Aku berteleku di anak tangga ini dengan esakan tangisan. Betapa aku dalam ketakutan yang sekarang. Yen yang aku harapkan muncul di depanku saat ini masih tidak kedengaran gerak bunyinya. Dalam kegelapan yang pekat ini aku memanjat doa semoga Allah melindungiku. Cerita Yen yang sesekali singgah di telingaku cuba kupadamkan dari kotak fikiranku. Saat genting begini aku tidak mahu memikirkan perkara seram begitu. Sesungguhnya, syaitan boleh menjelmakan diri untuk mengaburi manusia sekali gus menyesatkan akidah umat Nabi Muhammad SAW.
“Aaaaahhhhhhh...!!!!!!” Aku menjerit sekuat hati tatkala terasa ada sesuatu mendarat di bahuku. Lantas kupejamkan mata sambil membenamkan muka ke lutut. Sungguh aku tidak ada keberanian untuk memandang sekeliling mahupun yang berada dekat denganku sekarang.
“Iman ssi...saya ler...,” sayup-sayup kedengaran suara Yen. Terasa bagai gempa bumi sedang berlaku tatkala tubuhku digegar.
“Awak tak payah takut saya ada kat sebelah awak sekarang,” tutur Yen. Perlahan-lahan aku membuka mata. Aku mendongak. Aku masih tidak dapat melihat kelibat Yen. Namun aku terasa kehadirannya dekat denganku sekarang.
“Betul awak ada kat sini?” soalku untuk lebih meyakinkan diri.
“Ya. Cuba hulurkan tangan awak,” arah Yen. Aku memberanikan diri menghulurkan tangan. Seminit kemudian terasa tangan Yen menyambut huluran tanganku. Digenggam seketika.
“Awak percaya sekarang?” soal Yen.
“Ye saya tahu awak ada di sebelah saya sekarang,” ujarku mendapat suntikan keberanian dengan kewujudan Yen di sisiku saat ini. Aku melepaskan keluhan kelegaan. Yen tidak akan kejam membiarkan aku berada dalam ketakutan yang panjang.
“Awak tunggu kat sini saya ke dapur cari lilin,” arah Yen.
“Saya mahu ikut awak,” pintasku cepat. Aku tidak mahu bersendirian dalam kegelapan ini. Kegelapan ialah musuhku.
“Keluarkan iPhone awak. Kita perlukan cahaya untuk memandu arah kita,” jelas Yen. Lantas kumasukkan tangan cuba mencapai iPhone. Aku terus menekan mana-mana punat di dada skrin ini secara berterusan. Kemudian menyalakan lampu. Senang juga hati dengan ada sinaran cahaya ini. Tadi aku langsung tidak terfikir tentang kewujudannya.
“Mari...,” ajak Yen mula melangkah. Aku memaut kemas-kemas baju Yen. Sedikit menyukarkan pergerakan menuruni anak tangga ini. Apatah lagi pautan tanganku ini terlalu erat kerana aku tidak mahu terlepas daripada Yen.
“Pegang lengan saya. Kalau macam ni susah nak bergerak,” jelas Yen. Tanpa banyak soal, aku terus memaut lengan Yen. Begitu erat sekali. Kali ini baru aku yakin selamat. Berpandukan cahaya lampu iPhone ini, aku dan Yen bergerak ke dapur mencari lilin.
“Kacau betul malam ni. Tetiba je elektrik terputus,” rungut Yen sendirian. Aku hanya mendiamkan diri sambil menyusun langkah berhati-hati menuruti aturan langkah Yen. Yen mencapai lilin di dalam laci lalu menyucuh pada api dapur gas. Sungguh lega tatkala melihat cahaya lilin. Sekarang aku sudah boleh nampak wajah Yen dengan jelas.
“Nah, ambil lilin ni,” Aku menyambut lilin menyala yang Yen hulurkan kepadaku ini. Sekarang masing-masing ada cahaya sendiri.
“Awak jalan belakang saya,” arahku lalu menapak di depan Yen.
“Awak ni penakut sangat,” perli Yen namun tidak kuendahkan. Aku tidak mahu melancarkan pertikaman lidah dengannya memandangkan aku memang memerlukan sangat Yen berada di sampingku saat ini. Sebetulnya juga memang pun aku ini tergolong dalam manusia yang penakut. Buktinya aku fobia dengan kegelapan. Kegelapan akan membuatkan aku berimaginasi buruk. Akhirnya imaginasiku itu akan menambahkan gerunku. Langkahku terhenti di depan pintu. Aku berdiri seketika di situ.
“Masuk,” arah Yen sebaik sahaja melihat aku masih statik pada kedudukanku. Yen melewatiku melangkah ke bilik. Kedengaran bunyi daun pintu bilikn ditolak sedangkan aku masih terpacak di depan pintu bilik ini.
“Jang Geun Sik!” laungku tiba-tiba. Tubuh Yen yang sebahagian sudah berada di sebalik pintu dan sebahagian masih kelihatan, kembali menjengukkan kepala. Wajahku ditenung.
“Saya tak berani bersendirian,” luahku berterus terang dengan wajah yang menagih simpati. Dari sinaran cahaya lilin yang samar-samar kelihatan Yen sedang berfikir.
“Awak nak lepak kat bilik saya ke?” soal Yen lagi. Aku geleng kepala. Senyap. Yen berfikir lagi.
“Awak nak saya temankan awak kat bilik awak?” soal Yen lagi. Perlahan-lahan aku mengangguk. Yen mematikan niat untuk masuk ke bilik itu. Sebaliknya melangkah ke arahku.
“Masuk,” arah Yen. Aku menolak daun pintu lalu melangkah masuk ke dalam bilik ini diiringi langkah Yen. Beberapa batang lilin dinyalakan lagi untuk menerangi bilik ini. Lilin-lilin diletakkan di setiap sudut menyebabkan ruang bilik ini sedikit terang. Yen menghumbankan tubuh ke sofa di tepi sudut bilik ini. Dia berbaring di situ berbantalkan lengan. Sementara aku juga turut berbaring di atas katil ini. Kuamati suasana bilik yang dipenuhi cahaya samar-samar lilin ini. Romantik juga. Kulontar pandangan kepada Yen. Dia sedang tersenyum. Entah apa yang mencuit hatinya sehingga membuatkan dia tersenyum sendiri.
“Kenapa awak senyum?” soalku. Yen mengarah sepasang matanya ke arahku dengan senyuman yang masih terukir di bibir.
“Terasa lucu. Yeler saya tak sangka akhirnya awak ajak saya masuk ke bilik awak,” tutur Yen. Aku menjeling Yen.
“Apa salahnya saya ajak suami saya sendiri masuk ke dalam bilik ni. Dari segi hukum agama bukan salah pun,” balasku mematahkan bicara Yen sekali gus melindungi diri dari terkena tempias perlian Yen andai dia berhajat sedemikian. Yen tersenyum lebih lebar lagi.
“Kalau macam tu awak benarkan ler saya tidur di sebelah awak atas katil tu ye,” ujar Yen tersengih.
“Awak jangan nak berangan-angan nak ambil kesempatan ke atas saya,” ujarku serius mula terhidu niat jahatnya.
“Okey..., saya keluar sekarang,” sahut Yen lalu bangkit dari perbaringan di sofa itu.
“Jangan pergi!” laungku menahan langkah Yen yang sudah berada di ambang pintu. Dia tersenyum sendiri. Yen berpaling ke arahku semula.
“Awak dah ubah fikiran awak ke?” soal Yen tersenyum simpul. Aku mengetap bibir menahan geram. Apa boleh buat keadaan sekarang terdesak. Aku tiada pilihan lain selain membenarkan Yen berbaring di sebelahku ini. Namun jangan ingat dia akan sewenangnya mengambil kesempatan ke atasku.
“Awak boleh tidur di atas katil ini tetapi jangan sesekali melepasi sempadan ni,” ujarku serius sambil menunjukkan bantal peluk yang sudah kuletakkan di tengah-tengah katil ini. Yen tersengih panjang. Tanpa membuang masa dia terus menjatuhkan tubuh ke tilam. Bingkas aku bangkit.
“Emmm... selesanya,” ujar Yen suka sambil tersenyum-senyum. Suka sangat dia berbaring di atas tilam ini. Langsung tidak mengendahkan pandangan mataku yang asyik memerhatikan gelagatnya. Memang syok sendiri pemuda Korea ini.
“Iman ssi..., awak nampak perempuan berpakaian Hanbok dan bersolek opera ke tadi?” suara Yen berbisik.
“Yah...!!!!!” Aku menjerit lantas mencengkam lengan Yen.
“Aduuuuhhhhh...!!!!” Yen terjerit membuatkan cengkaman kukuku pada lengannya terlepas.
“Awak ni lahir tahun harimau ke? Tengok...,” radang Yen sambil menayangkan lengannya yang merah. Jemarinya menggosok – gosok bahagian lengan yang telah menjadi mangsa cengkaman tanganku tadi.
“Peringatan untuk awak. Kalau awak berani buat perkara tak elok pada saya, sumpah saya akan buat sesuatu yang menyakitkan awak,” tegasku serius. Yen hanya terkebil-kebil menatapku. Baru dia tahu betapa aku ini seorang yang menakutkan. Peringatan penting kiranya Yen berangan-angan jahat, lebih baik dia padamkan sahaja angan-angannya itu. Aku menarik selimut menyelubungi tubuh lalu berbaring mengiring. Sengaja memberi belakang pada Yen. Seminit kemudian Yen turut berbaring. Sunyi sepi. Masing-masing melayan parasaan sendiri di bawah limpahan cahaya lilin yang samar-samar.
“Iman ssi... awak dah tidur ke?” sayup-sayup kedengaran suara Yen.
“Belum...,” balasku pendek. Senyap semula.
“Awak belum mahu tidur ke?” soalku semula.
“Belum mengantuk,” sahut Yen. Aku tersenyum sendiri. Belum mengantuk atau dia sedang berhempas pulas melawan suara hati lelakinya. Diakan lelaki normal, maka tidak mustahil dia berfikiran ke arah itu. Semoga Yen terus mampu mengawal diri sekali gus tidak terpengaruh dengan bisikan syaitan.
“Iman ssi...,” suara Yen memanggilku lagi.
“Ye...,” sahutku malas.
“Andai awak tak jadi isteri saya, agaknya apa awak buat sekarang?” soal Yen di luar jangkauan fikiranku.
“Pasti takde lelaki yang berbaring di sebelah saya sekarang,” balasku tidak mahu memerah otak untuk berfikir. Yen tergelak mendengar jawapan ringkas yang aku berikan itu.
“Yeler saya dah pasti bersama Linda dan Kak Leha sekarang,” tambahku menjelaskan lebih terperinci. Sebelum ini aku tinggal bersama mereka.
“Mungkin juga awak dah kahwin dengan bos awak kan. Bukan ke dia lebih awal mengenali awak dari saya,” tambah Yen mencelah. Aku diam. Betulkah itu yang terjadi? Barangkali kalau aku tidak muncul, Yen dan Velviana juga pasti sudah hidup bersama sebagai pasangan suami isteri. Kemudian melahirkan anak-anak yang comel-comel belaka. Seronoknya kehidupan mereka.
“Andai awak tak jadi suami saya, agaknya apa yang awak buat sekarang?” giliranku pula mengajukan soalan itu kepada Yen.
“Emmm...,” Yen sedang berfikir. Pasti Yen akan memberi jawapan sama persis perkara yang aku fikirkan tadi. Dia akan hidup bahagia bersama Velviana dan anak-anak comel yang lahir daripada perkongsian hidup mereka.
“Saya pasti sedang cari awak,” sahut Yen setelah berdiam diri seketika. Pantas aku mengalih tubuh lalu beradu pandangan dengan Yen buat seketika. Bicara Yen jauh menyimpang daripada perkara yang aku fikirkan tadi.
“Berapa lama awak mengenali Velviana?” soalku mengejutkan Yen.
“Hampir tujuh tahun. Wae (kenapa)?” soal Yen.
“Kenapa awak tak kahwin saja dengan dia sedangkan awak dan dia bercinta sudah sekian lama?” soalku lagi. Bagaimana Yen mahu mengahwini gadis itu sedangkan dia dipaksa memenuhi wasiat datuknya untuk menjadi suamiku. Kebetulan pula percintaan Yen dengan Velviana kurang mendapat restu keluarga. Velviana bukan gadis yang mampu memenuhi kehendak hati Puan Sodiah. Kasihan Yen dan Velviana.
“Untuk apa awak cari saya?” soalku kembali pada bicara Yen tadi.
“Entah...,” Yen angkat bahu. Aku tersenyum sendiri. Sungguh pemuda ini nampak keliru dan tidak yakin pada kehendak hatinya.
“Saya boleh jadi sahabat akrab awak dan mungkin setakat itu saja,” tambahku. Yen mengangguk menyokong bicaraku.
“Lain kali awak mesti yakin pada diri sendiri. Jangan keliru lagi,” nasihatku penuh makna tersirat. Yen diam.
“Awak juga mesti jadi kekasih yang setia,” tambahku menasihatinya.
“Excuse me... Iman ssi, awak ingat saya dah suka kat awak ke?” soal Yen sinis. Aku menatap Yen dengan wajah bersahaja. Langsung tidak terusik dengan pertanyaan itu. Jauh sekali segan mahupun malu.
“Kalau awak tak jadi suami saya sekarang, kan awak kata nak cari saya. Buat apa awak nak cari saya kalau awak tak suka saya,” balasku memberi alasan kukuh. Yen terdiam. Mungkin sudah terperangkap dengan bicara sendiri.
“Tak payah fikir dalam-dalam. Saya tahu perasaan lelaki seperti awak memang mudah terusik. Harga cinta awak terlalu murah. Awak boleh menyukai sesiapa saja dalam masa yang singkat. Malah awak juga boleh melupakannya dalam masa beberapa minit,” ujarku tersenyum sendiri lalu kembali berpaling dan membelakangi Yen persis awal-awal tadi. Senyap. Biarlah Yen memikirkan sedalamnya bicaraku itu.
“Iman ssi...,” panggil Yen lagi.
“Tidur ler...saya dah mengantuk sangat ni. Esok saya perlu kerja. Annyeonghi jumuseyo (Selamat malam), Jang Geun Sik,” tuturku mengharap Yen menamatkan sahaja perbualan ini. Yen tidak bersuara lagi. Dia mula akur dengan permintaanku. Kupejamkan mata lalu mengundang lena yang panjang.
AKU terdengar bunyi deruan nafas yang begitu hampir denganku. Pipiku berlaga dengan bantal. Lembut sangat. Namun terasa ada bebanan berat menindih tubuhku. Kelopak mataku yang renggang sedikit terpandang pada kaki yang terlentang di tubuhku. Tubuhku seolah-olah menjadi bantal peluk. Kuangkat kelopak mata. Pipi Yen sedang bersentuhan dengan pipiku.
“Jang Geun Sik...!!!!!!” jeritku lantang dan sekuat tenaga menolak tubuh Yen. Puppp!!! Yen tergolek ke lantai. Terkebil-kebil dia menatapku.
“Yah...!!” Dia menjerit lantang. Barangkali marah lenanya diganggu. Kucapai bantal lalu kubaling tepat mengena kepalanya. Yen mengangkat tangan lalu melindungi kepala tatkala aku membaling bantal ke arahnya lagi. Dia cuba menangkis balinganku yang bertubi-tubi. Tatkala melihat aku mencapai buku lalu mengangkatnya sedia mahu membaling ke arahnya, Yen tergopoh-gapah bangkit lalu berlari ke muka pintu menyelamatkan diri.
“Jang Geun Sik!!!” jeritku geram. Senang-senang dia memeluk tubuhku malah mendakapkan pipinya ke pipiku. Kalau sudah bergelar lelaki, lelaki juga namanya. Aku melepaskan buku di tangan ke tilam. Mujur juga Yen cepat melarikan diri. Kalau buku tebal berkulit keras ini mengena pada sasaran mahu benjol juga dahi pemuda Korea itu. Silap hari bulan mahu patah hidung mancung itu. Tika itu baru aku berpuas hati.
Yen membaling tubuh ke tilam. Dia mahu menyambung kembali tidur yang terganggu tadi. Dipejamkan mata rapat-rapat. Seminit kemudian ada senyuman yang terukir di bibir. Tercuit hatinya mengingati gelagat gadis itu. Bukan niat mahu mengambil kesempatan ke atas gadis itu. Segalanya tidak dirancang. Apatah lagi gelagat tidurnya memang sukar untuk dikawal.
“Kiranya rezeki aku ler Iman bersentuhan mesra dengan awak sepanjang malam tadi,” bisiknya nakal melebarkan lagi senyuman di bibir. Yen terus menyambung tidur dengan senyuman yang masih terukir.
Aku sampai di tempat kerja lebih awal daripada biasa. Pagi ini aku melancarkan mogok tidak mahu menyediakan sarapan untuk Yen sebagai balasan atas sikapnya yang gemar mengambil kesempatan terhadap perempuan. Dalam konteks ini akulah perempuan malang itu. Perempuan yang dipeluk dan berlaga pipi dengan Yen sepanjang malam. Mengingati semua itu membuatkan hatiku kian panas terhadap pemuda Korea itu. Bijak betul dia mengambil kesempatan atas kelemahanku. Kalau aku tiada penyakit takut aku tidak akan mengajaknya berada di dalam bilik yang sama kemudian tidur sekatil denganku. Kalau aku tidak tidur mati pasti aku akan sedar lebih awal lantas mematah-matahkan tulang-temulang Yen. Tika itu Yen akan menjunjung ampun kepadaku minta dilepaskan daripada hukuman seksa itu. Terbayang di mataku Yen sedang terkangkang serta diikat tangan untuk dijatuhi hukuman sula. Aku tersenyum sendiri memikirkan khayalan anganku itu.
“Assalamualaikum..., morning...!” suara Encik Rustam menyapaku mesra. Aku tersentak. Kujawab salam Encik Rustam di dalam hati. Dia sudah berada di tempat duduk sambil tersenyum memandangku.
“Awal pagi awak mengalamun jauh,” tegurnya. Aku hanya senyum. Tidak mahu berkongsi cerita dengannya.
“Saya dah siapkan senarai pesanan untuk bulan depan,” ujarku memaklumkan kepada Encik Rustam.
“Bagus. Nanti saya semak dan tandatangan sebelum minta Zizie hantar pesanan tu,” sahut Encik Rustam seraya menyebut nama kerani Teratak Setia Menanti. Aku mengangguk. Memang ini prosuder.
“Kejap lagi saya nak sambung kerja kat stor. Ada stok yang belum habis check dan dikemaskini datanya,” tambahku lagi.
“Okey...,” balas Encik Rustam mengangguk.
“Kalau awak perlukan bantuan daripada saya, awak cakap je ye,” ujarku memperingatkannya. Encik Rustam mengangguk lagi.
“Lepas lunch nanti saya nak pergi ke RCC jumpa Encik Rizal kejap. Ada perkara yang saya perlu bincang dengan dia. Awak tolong tengok-tengok kat sini ye,” pinta Encik Rustam.
“Okey, tak jadi masalah,” balasku sambil mencapai fail hitam yang mengandungi rekod stok bahan lalu bergerak ke muka pintu memulakan tugasku. Sementara Encik Rustam sekejap lagi akan memberikan taklimat pagi kepada rakan sekerja yang lain. Perkara ini sudah menjadi rutin sekali gus sebagai langkah untuk memotivasikan rrakan sekerja agar produktif dalam melaksanakan tugas masing-masing.
Hampir sejam sudah aku berada di stor ini. Sufian dan Suraj tidak bersamaku kerana tenaga mereka diperlukan di dapur di bahagian operasi. Baru sahaja mereka meninggalkan aku setelah dipanggil oleh Encik Rustam yang sempat menjengukkan diri ke sini sekejap tadi. Maka bersendirianlah aku di dalam stor ini. Hanya suara-suara yang datang dari tv yang menemaniku. Kelekaanku bekerja terganggu tatkala mendengar bunyi mesej yang masuk. Setelah membuat catatan terakhir barulah aku mengeluarkan iPhone dari beg galas ini. Mesej daripada Yen. Aku tersenyum puas hati sebaik sahaja membaca mesej yang dihantar itu. Pasti wajahnya masam mencuka saat ini tatkala mendapati tiada apa-apa hidangan di bawah tudung saji di atas meja itu. Padan muka dia he..he...he...!
Kumasukkan iPhone ke dalam beg galas semula. Langsung aku tidak berniat mahu membalas. Aku menyambung kerja kembali. Biarlah saat ini kemarahan Yen menyala-nyala. Mesti dadanya sakit sekarang kerana menahan amukan perasaannya. Aku bukan tidak tahu dengan perangainya itu yang akan mengganas jika kelaparan. Tiada yang perlu aku risaukan memandangkan aku bukan berada di depan Yen sekarang. Nanti pandai-pandailah dia memikirkan cara untuk dia menghilangkan kebulurannya itu. Hampir waktu rehat makan tengah hari, aku berjaya menyelesaikan tugas di bahagian stok ini. Kemudian aku membuat tinjauan tidak rasmi di bahagian kaunter. Sekadar beramah mesra dan bertegur sapa dengan rakan sekerja yang lain. Sempat juga aku membantu rakan-rakan yang kelihatan sibuk membersihkan meja dan menyusun kerusi sebelum kedatangan pelanggan lain. Proses kerja ini memang akan berulang-ulang persis datang dan pergi para pelanggan. Pekerja di bahagian ini mesti tangkas agar para pelenggan tidak perlu tertunggu-tunggu dan tercari-cari tempat duduk.
Aku nampak Ruran yang bertugas di kaunter 3 sedang garu-garu kepala bagai ada masalah dengan mesin kira-kira wang itu. Amenda jurukaunter 2 yang kebetulan tiada pelanggan datang membantu. Dari reaksi wajah mereka jelas menampakkan mereka belum menemui penyelesaian. Lantas aku bergerak ke kaunter mendekati mereka.
“Ada masalah ke?” soalku ingin membantu mereka. Serentak Ruran dan Amenda mengangguk.
“Mesin ni ada masalah Cik Iman,” ujar Ruran memaklumkan keadaan itu. Aku senyum lalu masuk ke bahagian kaunter. Ruran dan Amenda bergerak ke tepi memberi ruang kepadaku.
“Awak sambung kerja awak,” arahku pada Amenda apabila melihat ada pelanggan yang baru sahaja masuk ke premis ini. Amenda mengangguk lantas kembali ke tempatnya. Dia terus menyapa sepasang pelanggan dengan senyuman dan seterusnya melayan mereka. Aku mengarahkan Ruran meletakkan ‘close tag’ di depan mesin ini sementara membolehkan aku mengenal pasti masalah.
“Biar saya tengok dulu...,” jelasku pada Ruran. Ruran mengangguk. Dia terpacak di belakangku sedang memerhatikan gerak kerjaku. Namun melihat kesibukan dua orang rakannya melayan pesanan pelanggan lantas dia datang membantu. Dalam diam sempat juga aku memuji sikap gadis ini. Aku begitu menyenangi tindakan yang Ruran tunjukkan ini. Cepat bertindak meskipun tidak diarah. Itulah yang aku harapkan sebagai satu sepasukan. Kebetulan pula aku memang tidak suka hendak mengarah mereka. Betapa beruntung Encik Rizal memiliki tenaga kerja yang berkualiti ini. Sesungguhnya inilah berkat kemuliaan hati Encik Rizal sebagai majikan. Lantas sebagai balasannya, Allah kurniakan dia pekerja-pekerja yang baik dan produktif.
“Ruran, dah boleh guna mesin ni. Ada sedikit masalah tadi. Pastikan awak tak tertekan dua kekunci ni serentak,” ujarku mengingatkan sambil menunjukkan dua bahagian yang aku maksudkan sebentar tadi. Ruran mengangguk faham. Ruran baru dua bulan bekerja di sini. Tiada yang menghairankan kalau dia tersilap tekan papan kekunci mesin kira-kira ini. Aku yakin lama-kelamaan nanti dia akan biasa menggunakan mesin ini.
“Macam juruteknik pula Cik Iman ni. Thanks,” tutur Ruran memujiku lantas bersedia menyambung kembali tugas yang tergendala sebentar tadi.
“Lama saya kerja di bahagian kaunter RCC. Jadi banyak perkara yang telah saya pelajari berkaitan mesin ni. Nak repair yang mudah-mudah boleh ler,” ujarku merendah diri. Ruran tersenyum.
“Terima kasih sekali lagi, Cik Iman” tutur Ruran terhutang budi.
“Sama-sama. Awak teruskan kerja awak,” ujarku lalu berganjak dari situ. Ruran mengangguk lagi. Aku kembali ke pejabat. Kelihatan Encik Rustam sedang bersiap-siap hendak keluar.
“Awak tak keluar rehat ke?” soalnya menyapa kedatanganku.
“Kejap lagi,” sahutku.
“Lain kali ler kita lunch sama-sama,” cadang Encik Rustam.
“Boleh,” ujarku memberikan persetujuan.
“Okey ler Iman, saya pergi dulu,” tutur Encik Rustam meminta diri. Aku mengangguk sambil menyoroti langkah Encik Rustam meninggalkan bilik ini. Kulabuhkan duduk di kerusi lalu bersandar. Kupejamkan mata seketika cuba merehatkan diri. Perut ini tidak lapar. Kejap lagi aku minum air milo ais dan makan cupcake sekadar alas perut risau jika lapar mendatangiku tiba-tiba. Hendak makan hidangan berat tidak berselera. Sepuluh minit kemudian, aku bergerak ke bahagian dapur. Kemunculanku di situ disambut baik. Tidak mahu membuang masa, aku terus meletakkan dua biji cupcake yang berbeza perisa ke dalam pinggan kecil serta menuang segelas air milo ais lalu melangkah keluar. Kupilih meja kecil khas untuk pasangan di sudut paling tepi.
Sebelum sampai kakiku melangkah ke situ, pantas tanganku mencapai akhbar Berita Harian di rak. Bahan-bahan bacaan sebegini memang dikhaskan untuk para pengunjung yang berminat dan ingin membaca sambil-sambil bersantai menikmati hidangan yang disediakan di premis ini. Aku menyedut sedikit milo ais di dalam gelas sambil menatap dada akhbar yang sudah terbentang di depanku. Kucapai sebiji cupcake perisa coklat. Hmmm... memang sedap. Sama rasa chocolate cupcake di RCC. Mesti adunan bahan-bahan yang digunakan 100% sama. Tiada yang kurang, tiada yang lebih. Sambil mengunyah cupcake ini aku membaca senyap akhbar ini. Tiada paparan yang menarik perhatianku. Sebahagian yang ditulis di dada akhbar ini sudah kuketahui dari siaran berita yang kutonton di kaca tv sepanjang berada di bilik stor tadi.
“Boleh kami duduk di sini?” ada suara lelaki menyapa. Aku berpaling dan mendongak. Encik Rustam bersama Encik Rizal sedang tersenyum kepadaku.
“Sila duduk,” jemputku kepada kedua-dua lelaki ini. Seminit kemudian kedua-duanya sudah duduk semeja denganku. Sedikit menghairankan aku dengan kemunculan mereka di sini. Setahu aku tadi Encik Rustam hendak berjumpa dengan Encik Rizal di RCC. Sekarang kedua-duanya sudah berada di sini pula. Barangkali mereka sudah mengubah rancangan.
“Bila Encik Rizal dapat tahu awak belum makan lagi, dia terus ajak saya ke sini nak belanja kita makan,” jelas Encik Rustam tersenyum mengusikku. Bagai tahu-tahu sahaja dia apa yang sedang aku fikirkan sekarang.
“Saya dah minum dan makan kek ni,” jelasku menolak pelawaan mereka secara halus.
“Alah, Iman kalau setakat air milo segelas dan dua biji cupcake ni belum cukup mengenyangkan awak kecuali ler awak nak diet,” ujar Encik Rustam mengusikku lagi.
“Tak payah ler diet-diet. Tubuh macam awak ni makan banyak macam mana sekalipun takkan gemuk ler. Tambahan pula Encik Rizal memang tak kisah pun kalau awak gemuk,” tambah Encik Rustam mengusikku. Terasa mukaku panas membahang. Encik Rizal hanya tersenyum.
“Awak tak sudi ke lunch dengan kami?” soal Encik Rizal telus.
“Takde ler, ” balasku.
“Okey, kalau macam tu awak setuju ler ni,” celah Encik Rustam. Aku hanya senyum. Bagaimana sekalipun aku beralasan mereka tetap akan mengajakku pergi bersama mereka.
“Iman ssi!” Serentak aku, Encik Rizal dan Encik Rustam berpaling ke muka pintu premis ini. Aku terperanjat tatkala melihat Yen sedang terpacak di situ dengan wajah serius menatapku. Sekelip mata sahaja Yen menjadi tumpuan pandangan semua mata yang ada di sini.
“Minta maaf ye, saya nak jumpa sepupu saya sekejap,” ujarku meminta diri daripada Encik Rizal dan Encik Rustam.
“Pergi ler...,” arah Encik Rizal. Encik Rustam mengangguk. Laju langkahku mendekati Yen.
“Jang Geun Sik, apa awak buat kat sini?” soalku berbisik meluahkan kurang senang dengan kemunculannya yang mengejut ini.
“Ni kan bangunan milik keluarga saya. Suka hati saya ler nak datang ke sini,” balas Yen bersahaja. Aku menelan liur. Geram dengan tabiatnya yang suka mengenakan aku. Yen sengaja buat- buat tidak faham dengan bicaraku.
“Mari temankan saya makan. Awak ada masa rehat satu jam kan. Dari pagi tadi satu pun belum masuk dalam perut saya lagi,” ujar Yen menambah geramku terhadap dirinya. Langsung tidak logik perangainya ini. Dia bukan budak kecil yang tidak boleh fikir apa-apa lalu bergantung pada orang dewasa.
“Kalau dah tahu lapar pergilah makan, buat apa pula datang cari saya,” balasku radang yang terpaksa ditahan-tahan.
“Sebab saya nak makan ler saya cari awak ni,” sahut Yen.
“Saya dah janji dengan Encik Rizal dan Encik Rustam nak makan dengan mereka,” jelasku sambil menoleh ke arah Encik Rizal dan Encik Rustam yang sedang memerhatikan aku dan Yen. Malah semua yang berada di sini melontar padangan ke arah kami. Sebetulnya ke arah Yen. Kemunculannya benar-benar menarik perhatian orang lain.
“Kalau awak tak nak pergi, saya peluk awak. Biar semua orang kat sini tengok,” ancam Yen bagai tidak waras. Aku menatap Yen dengan pandangan menyinga.
“Awak ni buang tabiat ke? Awak call Velviana, minta dia temankan awak,” cadangku.
“Awak yang harus temankan saya sebab awak tak sediakan sarapan saya tadi. Ini hukuman untuk awak,” ujar Yen berterus terang.
“Saya tak buat sarapan sebab salah awak juga. Siapa suruh awak menggatal,” tegasku berbisik tidak mahu didengari oleh orang lain.
“Cepat awak harus buat keputusan sekarang,” tegas Yen memaksaku.
“Kalau saya kata saya tetap nak makan bersama mereka?” soalku menduga Yen.
“Kalau awak tak bergerak dari sini saya akan peluk awak,” ujar Yen nekad dengan tindakan yang bakal dilakukannya. Aku nampak tangan Yen sudah terangkat-angkat. Suatu amaran tegas buatku. Buaya darat persis Yen tidak akan segan-silu memeluk perempuan di khalayak ramai. Bila-bila masa sahaja Yen akan merealisasikan bicara itu.
“Tunggu sini kejap,” rungutku lalu meninggalkan Yen yang sedang tersenyum lebar meraikan kemenangan. Dengan wajah bersalah aku menemui Encik Rizal dan Encik Rustam.
“Minta maaf, saya tak dapat lunch bersama kalian. Saya ada hal,” tuturku kesal kerana terpaksa mungkir janji. Kedua-dua pemuda ini tersenyum.
“Takpe ler awak boleh pergi,” ujar Encik Rizal tanpa banyak soal. Kucapai beg galas dan akhbar tadi.
“Saya pergi dulu ye,” ujarku memohon diri. Serentak mereka mengangguk. Akhbar Berita Harian kuletak kembali di rak. Tatkala teringat pinggan dan gelas masih di atas meja, aku berpatah balik membuatkan Yen nampak terpinga-pinga. Mungkin dia ingat aku tidak akan pergi bersamanya.
“Saya terlupa nak simpan pinggan dan gelas ni,” tuturku.
“Hey, takpe biar saya suruh mereka angkat nanti,” jelas Encik Rustam.
“Takpe,” pinggan dan gelas terus kubawa ke bahagian cucian. Seketika berada di situ. Biarlah Yen menantiku di luar sana. Lima minit kemudian kulihat Yen masih terpacak di tempat tadi sambil terus-terusan diperhatikan oleh berpasang-pasang mata. Persis bintang popular Kpop Korea pula dirinya.
“Saya dah lapar sangat ni. Awak pula sengaja melengah-lengahkan masa,” rungut Yen dengan suara yang terkawal. Kalau kami berada di rumah saat ini pasti Yen akan melenting kuat sekarang. Tanpa kuduga Yen terus mencapai tanganku lalu memaksaku mengekori langkahnya meninggalkan premis ini. Aku tahu banyak mata yang sedang memerhatikan kami sekarang tidak terkecuali Encik Rizal dan Encik Rustam.
“Nampaknya mereka tu sepupu yang akrab kan,” komen Encik Rustam disokong oleh anggukan kepala Encik Rizal.
“Handsome lelaki tu,” puji Encik Rustam menambah diam Encik Rizal.
“Hubungan awak dengan Rina ada ke seakrab tu?” soal Encik Rustam mengaitkan sepupunya itu dengan adik perempuannya.
“Aaa...,” Encik Rizal kehilangan kata-kata. Lantas dia dan Encik Rustam berpandangan buat seketika. Kelibat Iman bersama pemuda Korea yang diperkenalkan sebagai sepupu gadis itu hilang dari pandangan mereka.
“Awak buat apa ni? Lepaskan tangan saya!” bentakku sambil cuba menarik tanganku. Namun pautan tangan Yen begitu erat. Aku gagal meleraikan pautan tangan Yen. Dalam terpaksa aku membiarkan tangan Yen memaut tanganku lantas mengekori langkahnya.
“Awak tu jalan lambat sangat macam kura-kura,” rungut Yen beralasan memaksaku mengekori langkahnya. Tatkala aku teringat peristiwa malam tadi, aku tahu Yen cuba mengambil kesempatan ke atasku sekarang. Cuba kutarik tanganku dari genggaman Yen.
“Lepaskan tangan saya sekarang. Kalau tak saya gigit tangan awak ni,” ancamku. Aku dan Yen beradu pandangan seketika. Seminit kemudian baru Yen melepaskannya. Kuusap-usap jari-jemariku. Baru terasa lega.
“Gerak sekarang,” ujar Yen mengarahkan aku berjalan di depannya. Nampak dia cuba hendak mengawal langkahku. Mungkin dia khuatir aku akan melarikan diri darinya.
“Tak payah awak nak jadi bodyguard saya. Awak ingat saya ni seperti awak mudah mungkir janji,” rungutku.
“Pastinya. Bukan ke baru sekejap tadi awak mungkir janji awak pada mereka,” balas Yen mengaitkan aku dengan Encik Rizal dan Encik Rustam. Bertambah-tambah sakit hatiku. Dialah punca. Sekarang sewenangnya meletakkan aku persis manusia lidah bercabang.
“Saya bukan mungkir janji tapi sekarang sedang menerima hukuman kejam daripada awak,” tingkahku geram.
“Awak ni selalu saja buat tafsiran yang silap,” rungut Yen.
“Awak sendiri yang cakap tadi kan nak hukum saya,” balasku tidak mahu mengalah.
“Bukan hukum tapi keprihatinan seorang suami terhadap isterinya. Salah ke?” soal Yen serius. Aku terdiam. Diam yang panjang. Bicara Yen ini masih berlegar-legar di kepalaku. Entah kenapa, tiba-tiba sahaja aku cukup senang dengan bicaran itu. Langkahku terhenti. Lantas aku berpaling ke arah Yen. Langkah Yen turut sama terhenti. Kutenung wajah Yen seketika. Jatuh cintakah aku pada pemuda Korea ini?
“Wae (kenapa)?” suara Yen menyentakkanku. Lantas kusambung kembali langkah tanpa mengendahkan pertanyaan Yen sebentar tadi. Aku tersenyum sendiri. Senyuman yang paling lama. Kedengaran suara hatiku menyanyi riang. Saat ini perasaanku berbunga-bunga. Lalu berbisiklah suara hatiku lagi...
“Oh... indahnya perasaanku saat ini!” Tiba-tiba tangan Yen menangkap tanganku menghalang aku dari terlajak arah.
“Awak ni suka berkhayal ler,” rungut Yen lalu membawaku membelok melalui satu lorong. Di depan sana kelihatan Daejeon Legend Cafe. Tanganku masih dalam genggaman tangan Yen. Erat sekali. Kali ini aku tidak berniat mahu meleraikannya. Yen masih memaut tanganku dengan mesra sehingga tiba di ruangan Daejeon Legend Cafe ini.
“Iman ssi, are you okay?” Aku tersentak. Anak mata Yen sedang merenungku. Serentak itu tautan tanganku dengan tangan Yen terlerai. Perasaan berbunga-bunga yang begitu indah terus sahaja padam.
“Awak ni kacau betullah...,” marahku buat Yen terkebil-kebil menatapku. Aku mula mendiamkan diri. Biarlah lamunanku tadi jadi rahsia. Namun yang pasti itulah khayalan yang terindah yang pernah aku rasakan dalam hidupku. Sungguh....!!!!!
No comments:
Post a Comment