Aku bergegas ke hospital. Sesampai di situ, aku terus ke kaunter bertanya bilik rawatan ICU yang menempatkan Mak Long. Kubesarkan langkah mendapatkan Pak Long dan Lili. Dari kejauhan kelihatan Lili dan Pak Long mundar-mandir di depan bilik ICU itu.
“Iman...,” Lili terus menerpa ke arahku bersama tangisan. Sekelip mata tangisanku dengan Lili bergabung.
“Janganlah macam ni. Sabar dan kita berdoa banyak-banyak semoga Mak Long kamu selamat,” pujuk Pak Long seraya menepuk-nepuk belakangku. Aku mengesat titisan air mata di pipi. Segera kusalami tangan Pak Long. Kemudian bergerak ke bangku kayu lantas duduk di situ. Pak Long, aku dan Lili setia menanti di situ. Kegusaran jelas tergambar di wajah Pak Long. Aku tahu hati Pak Long tidak tenteram sekarang. Lili di sebelahku mengesat-ngesat sisa air mata. Untuk sekian lama kami mendiamkan diri dan berdoa semoga Mak Long selamat.
Begitu lama kami menunggu untuk mengetahui keadaan Mak Long. Doa yang kami panjatkan tidak putus-putus. Tidak tenang hati ini selagi tidak mengetahui keadaan Mak Long. Dua jam berlalu akhirnya penantian kami berakhir tatkala kemunculan Doktor Muaz, tag nama yang aku nampak pada kot putih itu. Pak Long mendahului aku dan Lili mendapatkan doktor muda itu.
“Bagaimana keadaan isteri saya doktor?” soal Pak Long gusar. Aku dan Lili hanya memasang telinga mendengar penjelasan yang bakal keluar dari mulut doktor muda ini. Harap-harap keadaan Mak Long tidak serius.
“Isteri pak cik masih belum sedarkan diri. Kami dah berusaha buat yang terbaik. Kita tunggu perkembangan selanjutnya. Sama-samalah kita berdoa semoga isteri pak cik cepat sedar dan selamat,” ujar Doktor Muaz tenang sambil menepuk-nepuk bahu Pak Long. Pak Long tertunduk. Aku menelan liur pahit. Penjelasan yang diberikan oleh Doktor Muaz ini belum cukup menyenangkan hati kami. Kesimpulannya, belum dapat dinyatakan sejelasnya keadaan Mak Long tika ini. Mak Long masih berada dalam keadaan berjaga-jaga.
“Boleh kami tengok isteri saya sekarang doktor?” soal Pak Long lemah. Doktor Muaz mengangguk.
“Masuk gilir-gilir ye, pak cik. Pesakit perlu berehat tanpa sebarang gangguan. Tak perlu risau, isteri pak cik memang sentiasa dalam pengawasan kami,” jelas Doktor Muaz.
“Terima kasih doktor,” ujar Pak Long. Doktor Muaz tersenyum.
“Permisi,” tuturnya meminta diri. Pak Long mengangguk. Doktor Muaz berlalu. Lili terus memeluk tubuh Pak Long. Penjelasan Doktor Muaz merisaukan kami. Nasib Mak Long belum pasti. Namun yang nyata Mak Long masih bergelut dengan maut.
“Biar ayah masuk dulu tengok mak kamu,” tutur Pak Long. Lili mengangguk. Langkah longlai Pak Long hilang di sebalik daun pintu. Aku menarik tangan Lili mengajaknya duduk di bangku kayu tadi menunggu giliran untuk bertemu dengan Mak Long.
“Mana budak-budak?” soalku tatkala mula menyedari ketiadaan anak-anak Lili di sini.
“Saya tumpangkan mereka di rumah Nek Senah. Anak dara Nek Senah janji nak tolong tengok-tengokkan mereka,” sahut Lili. Aku mengangguk. Nek Senah merupakan jiran terdekat dengan rumah Pak Long. Bahkan merangkap sepupu arwah nenek. Mereka pun saudara mara kami juga. Senyap. Masing-masing melayan perasaan sendiri.
“Iman...,” panggil Lili. Aku berpaling menatap wajah mendung Lili.
“Saya mohon, tolong maafkan segala kesalahan mak pada awak ye,” pinta Lili mengejutkan aku.
“Apa awak cakap ni,” tingkahku kurang senang. Selama ini aku yang menyusahkan hidup Mak Long. Mak Long tidak bersalah padaku.
“Selama ni, mak layan awak dengan buruk. Hidup awak terseksa. Mungkin ini hukuman Allah ke atas mak kerana berlaku kejam pada anak yatim piatu seperti awak,” luah Lili tanpa berselindung.
“Lili...,” tegurku. Aku tidak senang mendengar bicara ini. Mana boleh dia berkata-kata sedemikian kepada Mak Long.
“Awak tolong maafkan segala dosa mak pada awak ye,” ujar Lili bernada rayuan. Aku terkedu. Tidak perlu Lili berbicara sebegini kerana aku tidak pernah menyalahkan Mak Long melayanku dingin selama ini.
“Andai Allah mahu menjemput mak pergi, saya nak biarlah kepergian mak dengan cara mudah dan memberi ketenangan di sana,” ujar Lili dalam getaran.
“Apa awak cakap nie! Mak Long takkan tinggalkan kita!” tegasku radang. Aku menatap Lili dengan pandangan tajam. Lili tertunduk dan diam membisu.
“Tak baik awak cakap macam tu. Sepatutnya awak berdoa banyak-banyak semoga Allah panjangkan usia Mak Long. Bukan fikir ke arah tu,” marahku pada Lili. Lili masih tertunduk.
“Maafkan saya, Iman. Saya masih mahu mengatakan, walau apapun kesalahan mak pada awak, saya mahu awak maafkan dia,” pinta Lili lagi. Senyap lagi.
“Boleh awak maafkan mak?” soal Lili menyambung bicara.
“Saya dah lama maafkan Mak Long. Tak perlu awak ungkit perkara ni lagi,” tegasku. Sungguh saat Mak Long kritikal begini aku tidak tega membicarakan layanan Mak Long kepadaku.
“Terima kasih,” tutur Lili seraya menggenggam tanganku. Seketika aku dan Lili berpelukan. Pelukan kami terlerai tatkala Pak Long muncul di ambang pintu. Lili bingkas bangun lalu melangkah masuk ke bilik itu menggantikan Pak Long. Pak Long mendekatiku lalu melabuhkan duduk di sebelahku.
“Bagaimana keadaan Mak Long?” soalku tidak sabar-sabar.
“Macam tulah keadaannya,” keluh Pak Long lemah.
“Sabarlah Pak Long. Kita sama-sama berdoa semoga Mak Long selamat,” ujarku sambil menenangkan hati Pak Long. Pak Long mengangguk.
“Walaupun Mak Long kamu tak pernah layan kamu dengan baik, tapi kamu masih sayang dan ambil berat pada Mak Long kamu. Terima kasih, Iman,” tutur Pak Long membuatkan emosiku terusik.
“Saya tak pernah berdendam dengan Mak Long. Malah Saya dah anggap Mak Long seperti ibu sendiri. Walaupun Mak Long tak suka saya, tapi dia juga yang jaga saya sejak nenek tiada. Saya takkan lupa jasa Mak Long tu,” tuturku telus. Bukan mudah untuk Mak Long menjaga aku tika dendam dan benci terhadapku menebal dalam dirinya. Lili muncul di ambang pintu setelah hampir setengah jam berlalu.
“Kamu nak tengok Mak Long kamu?” soal Pak Long. Diam. Perlahan-lahan aku geleng kepala. Kehadiranku ke situ pasti tidak menggembirakan hati Mak Long. Dalam keadaan sekarang aku tidak mahu menambah bebanan yang terpaksa Mak Long pikul.
“Maafkan saya, Pak Long. Bukan saya tak nak masuk jenguk Mak Long tapi saya risau Mak Long takkan gembira tengok saya. InsyaAllah masa yang sesuai nanti, saya akan tengok Mak Long,” luahku lantas berjanji.
“Takpe... Pak Long faham,” sahut Pak Long mengerti. Begitu juga dengan Lili. Mereka sama-sama faham.
“Suami kamu tahu tak kamu datang ke sini?” soal Pak Long lantas mengingatkan aku pada Yen. Baru aku teringat kepada pemuda Korea itu. Aku geleng kepala. Yen sudah keluar rumah tadi. Aku benar-benar terlupa memaklumkan perkara ini kepada Yen.
“Yen takde kat rumah. Saya terlupa nak call dia tadi,” jelasku. Pak Long menunjukkan reaksi kurang senang dengan tindakanku itu.
“Kamu baliklah sekarang. Nanti tercari-cari pula dia. Malam ni biar Pak Long yang jaga Mak Long kamu dan kamu tumpangkan Lili tidur kat rumah kamu,” pinta Pak Long.
“Takpe ayah. Lili nak temankan ayah jaga mak kat sini. Biar Lili tunggu kat luar ni je. Senang Lili nak mengikuti perkembangan mak nanti,” tingkah Lili.
“Sesekali boleh kita berdua gilir-gilir jaga mak nanti,” tambah Lili tidak tega berjauhan dengan Mak Long dan Pak Long.
“Kalau macam tu takpelah,” putus Pak Long menyetujui permintaan Lili.
“Kamu baliklah dulu dah lewat ni. Kalau ada apa-apa perkembangan Mak Long kamu kami call kamu nanti,” tutur Pak Long berjanji.
“Biar kita bertiga tunggu Mak Long. Saya pun nak berada di sini juga. Nanti saya maklumkan pada Yen saya tidur di sini malam ni. Pak Long tak payah risau, Yen pasti faham dengan keadaan sekarang,” jelasku memberi jaminan kepada Pak Long.
“Ikut suka hati kamulah Iman, tapi jangan lupa beritahu Yen yang kamu ada kat sini sekarang,” ujar Pak Long mengingatkan aku. Aku mengangguk. Pak Long meninggalkan aku dan Lili di luar bilik ini sementara dia menemani Mak Long di bilik ICU sepanjang malam ini.
“Kalau mengantuk nanti kita tidur je kat bangku kayu ni ye,” ujar Lili. Aku hanya mengangguk. Malam ini yang pasti aku dan Lili mahupun Pak Long tidak akan tidur lena. Kami perlu mengikuti perkembangan Mak Long setiap detik.
“Terima kasih Iman,” Aku berpaling. Beradu pandangan dengan Lili seketika. Menuntut penjelasan daripada Lili.
“Dalam saat begini awak masih bersama kami,” luah Lili beremosi.
“Hanya Pak Long keluarga yang saya ada di dunia ni. Kamu sekeluarga saja saudara saya. Lagipun dibandingkan dengan apa yang saya lakukan selama ni sebenarnya belum cukup untuk membalas jasa Mak Long menjaga saya selama ni. Sejujurnya saya tak pernah berdendam dengan Mak Long walaupun adakala hati saya terkilan dan terguris dengan tindakannya,” luahku.
“Sungguh mulia hatimu, Iman,” puji Lili. Aku geleng kepala. Pujian itu terlalu tinggi untukku. Aku berusaha membalas jasa keluarga Pak Long kerana telah memberi peluang kepadaku menjadi sebahagian daripada ahli keluarga mereka. Selebihnya aku mahu menembus segala kesalahan ayah dan ibu kerana telah mengkhianati cinta Mak Long.
“Berehatlah. Nanti kalau ada apa-apa saya kejutkan awak,” arahku. Lili mengangguk dan tersenyum. Beberapa minit kemudian Lili sudah memejamkan mata. Aku melirik ke arah Lili. Kasihan Lili. Pasti hari ini begitu memenatkan. Hatinya terbeban. Aku hanya menyandarkan tubuh ke dinding cuba mencari keselesaan. Tika ini Pak Long dan Lili perlukan aku. Aku perlu jadi lebih kuat dan tabah untuk menyokong mereka menghadapi semua ini. Aku teringatkan janjiku pada Pak Long untuk menghubungi Yen. Laju tanganku membuka beg galas. Hanya kelihatan dompetku. Oh..., iPhoneku tertinggal di rumah tadi. Aku mengeluh sendirian. Harap-harap Yen tidak mencariku.
“Kenapa?” suara Lili menyoalku. Laju aku berpaling ke arah Lili. Aku geleng kepala .
“Awak tak boleh tidur?” soal Lili lagi. Lili tersilap tanggapan dengan keluhanku tadi.
“iPhone saya tertinggal di rumah,” jelasku membetulkan tanggapan silap Lili.
“Nah, call Yen sekarang,” Laju tangannya menyerahkan telefon bimbit itu kepadaku. Aku geleng kepala.
“Takpe. Saya tak ingat nombor iPhone Yen,” jelasku tersengih.
“Awak ni...,” rungut Lili sambil menjelingku. Aku tersenyum.
“Dari dulu sampai sekarang otak awak masih tak suka nombor,” perli Lili. Aku tersenyum lagi. Ketika zaman persekolahan dulu, Lililah sumber rujukanku untuk menyiapkan latihan matematik. Kalau subjek matematik Lili lebih bijak daripadaku. Lili pun tergolong dalam kumpulan pelajar cemerlang. Namun nasib tidak menyebelahinya. Ternyata percaturan yang Mak Long lakukan ke atas kehidupan Lili tidak membawa kebahagiaan yang berpanjangan. Sebenarnya aku juga rasa bersalah dengan nasib yang menimpa Lili. Kata Mak Long kalau bukan kerana aku pasti dia tidak akan mengahwinkan Lili dengan Redhuan. Kemunculanku dalam keluarga Pak Long telah membebankan mereka. Disebabkan menyara persekolahanku, Pak Long sekeluarga terpaksa bergadai dan mengikat perut. Lili telah berkorban untuk menerima sahaja jodoh yang dipilih oleh Mak Long dengan harapan Redhuan akan membawa sinar baru dalam keluarga ini. Maafkan aku, Lili. Aku sudah berjanji dengan diriku bahawa aku akan membela nasibmu dan anak-anakmu serta akan menjaga Pak Long dan Mak Long selagi nyawa dan jasad ini bergabung. Aku berpaling ke sisi. Kelihatan Lili kembali memejamkan mata. Mungkin sudah terlena kerana keletihan. Kasihan Lili. Kejadian hari ini benar-benar menuntut kekentalan emosi.
Anak mataku menunduk ke bawah. Lantas aku terpandang buah loket bintang rantai silver yang tergantung di leher ini. Nombor iPhone Yen tertera di situ. Aku membuat pertimbangan. Perlukah aku memaklumkan kepada Yen bahawa aku berada di hospital sekarang. Kalau aku bertindak sedemikian tidakkah dia fikir nanti aku meminta perhatian darinya. Ahh... lebih baik Yen tidak tahu di mana aku berada sekarang! Yen pun bukan suka dengan Mak Long. Aku yakin juga Yen tidak akan mencariku. Lantas kupejamkan mata cuba merehatkan diri. Kulenyapkan bayangan Yen dari ingatanku.
“Iman bangun...,” sayup-sayup kedengaran suara lembut Pak Long memanggil namaku. Bahuku dicuit lembut. Perlahan-lahan aku mengangkat kelopak mata. Pak Long sedang memandangku dengan senyuman. Kugosok-gosok mata. Tidak sangka aku boleh terlena sebegini. Pantas aku berpaling. Lili masih tidur.
“Pergi solat subuh. Dah masuk waktu. Lili bangun nak,” panggil Pak Long lembut seraya mengejutkan Lili yang masih lena. Aku menguap. Laju tanganku menutup mulut. Terasa bahu dan tengkuk sengal-sengal. Maklum tidur dalam posisi duduk sambil bersandar pada dinding batu. Lili menggeliat beberapa kali.
“Bagaimana keadaan Mak Long,?” soalku.
“Masih macam tu,” sahut Pak Long hampa. Aku terdiam. Lidahku kelu hendak memanjangkan bicara. Hati kecilku berdoa semoga Mak Long terus diberi peluang untuk menikmati hidup bersama keluarganya di dunia ini.
“Kamu berdua pergi solat cepat. Lepas tu Iman terus balik ke rumah. Suami kamu dah tinggal semalaman di rumah tu. Kamu pun Lili balik juga jaga anak-anak kamu di kampung tu. Biar ayah saja yang jaga mak kamu di sini. Kalau ada apa-apa ayah call kamu,” ujar Pak Long berjela. Lili mengangguk akur.
“Saya akan temankan Pak Long di sini habis kerja nanti. Hari tak sekolah Lili boleh tinggal di rumah kami. Yen tak kisahpun. Nanti dekat nak ulang alik ke hospital,” cadangku cuba mempermudahkan Lili.
“Nanti saya fikirkan,” sahut Lili buat aku tersenyum. Untuk berlakon menjadi pasangan suami isteri normal di depan Lili bukan sukar untuk Yen lakukan. Aku dan Yen sudah berpengalaman berlakon di depan keluarganya. Cuma aku masih janggal hendak duduk berhampiran dan berkongsi bilik dengan Yen.
“Jom kita solat,” ajak Lili seraya menarik tanganku.
“Kami pergi dulu Pak Long,” ujarku memaklumkan kepada Pak Long. Pak Long hanya mengangguk. Kira-kira 10 minit aku dan Lili berada di bilik solat. Kemudian kami mendapatkan Pak Long semula. Sekali lagi Lili menjenguk Mak Long di bilik ICU sebelum meninggalkan hospital. Aku sempat berpesan pada Lili agar memaklumkan keadaan Mak Long padaku. Tika aku melangkah keluar dari bangunan hospital ini air mataku menitis ke pipi. Pilu dan sedih mengenangkan nasib Mak Long. Sesungguhnya aku ingin sekali memegang tangan Mak Long lalu membisikkan kata-kata semangat agar dia bertahan dengan kesakitan itu. Aku juga mohon pada Mak Long agar dia sudi menerima kudratku untuk menjaganya. Tiba di rumah hampir mencecah jam 7.00 pagi. Aku segera ke dapur membancuh air teh kosong dan membakar roti keping lalu mencelit dengan kaya dan margerin. Sempat juga aku merebus tiga biji telur. Pagi ini aku hanya menyiapkan sarapan yang ringkas.
Kemudian aku bergegas ke bilik menyiapkan diri. Tuala kucapai. Langkahku yang baru sahaja menapak di muka pintu bilik mandi terus terhenti. Aku berpaling semula. Wajah Jang Geun Suk menarik perhatianku. Kumatikan niat hendak melangkah ke bilik air. Sebaliknya terus duduk di birai katil menilik-nilik wajah aktor kacak Korea itu. ‘Love Rain’ drama semalam yang aku nampak ketika melewati kedai cd kini sudah berada di depanku. Senyumanku kian melebar tatkala poster Jang Geun Suk sudah berada di depanku. Pasti Yen masuk ke dalam bilik ini semalam. Aku mencari iPhone mahu memastikan kalau Yen ada menghubungiku. Kutemui iPhone di tepi katil. Laju ibu jariku menekan punat iPhone. Aku menarik nafas lega. Tiada panggilan Yen mahupun menghantar whatsApp padaku. Lega namun terselit kecewa. Ternyata Yen tidak peduli ke mana aku pergi semalaman. Apapun terima kasih Jang Geun Sik. Apa yang awak buat ini sangat membahagiakan saya. Sungguh!
Usai bersiap, aku terus keluar. Tidak sempat bersarapan kerana aku sudah terlewat. Tidak sempat juga bersemuka dengan Yen di meja makan. Dalam perjalanan ke tempat kerja, kuhantar whatsApp kepada Encik Rustam memaklumkan tentang kelewatanku. Seringkasnya aku nyatakan bahawa ada hal kecemasan. Lalu Encik Rustam menghubungiku lantas memintaku supaya berhati-hati sepanjang perjalanan. Sempat dia berpesan agar aku tidak perlu bergegas sampai ke tempat kerja. Keprihatinan Encik Rustam buat aku terharu. Aku menarik nafas lega tatkala kakiku selamat mencecah ke muka pintu utama DLH. Sempat aku bertukar senyuman dengan gadis penyambut tetamu yang cantik berpakaian hanbok ini.
“Apa yang berlaku, Iman?” Aku menoleh. Encik Rustam baru melangkah masuk ke bilik ini.
“Mak Long saya dimasukkan ke wad ICU sekarang. Dia diserang strok ... masih tak sedar,” jelasku dengan perasaan sayu.
“Oh...ye... Saya bersimpati dengan Mak Long awak. Semoga dia selamat,” ujar Encik Rustam turut mendoakan kesejahteraan Mak Long. Aku mengangguk. Memang itu yang aku harapkan.
“Terima kasih,” ujarku menghargai doa yang dipanjatkan itu. Semoga Mak Long akan cepat sembuh dan kembali menjalani kehidupan normal.
“Awak ok ke ni?” soal Encik Rustam sambil menatapku. Aku tersenyum sekilas pada Encik Rustam.
“Saya tengok awak nampak lesu je,” komen Encik Rustam.
“Malam tadi saya tidur di hospital temankan sepupu saya,” jelasku.
“Awak tak tidurlah semalaman ni? Kenapa tak ambik mc je,” cadangnya.
“Tidur tapi tak lena,” jelasku. Pasti Encik Rustam nampak mataku yang kemerah-merahan sekarang. Maklumlah tidur yang tidak lena.
“Kalau awak tak sihat rehat jelah ye,” arah Encik Rustam.
“Saya tak apa-apa,” balasku memberi jaminan tentang keadaanku.
“Ingat jangan paksa diri tau,” ujar Encik Rustam lalu berdar meninggalkan aku. Aku mengangguk.
“Terima kasih Encik Rustam atas keprihatinan awak,” bisik hati kecilku. Aku meneruskan tugas rutinku di TSM ini. Tatkala kepalaku terasa berdenyut-denyut segera aku menelan panadol kerana tidak mahu menjejaskan kerjaku hari ini. Usai melengkapkan dokumen, aku meninjau rakan-rakan yang tekun melaksanakan tugas masing-masing. Sempat juga aku meluangkan masa menyapa dan beramah mesra dengan para pengunjung.
“Cik Iman!”Aku berpaling. Velviana melambai-lambai tangan ke arahku. Yen yang ada di sebelahnya hanya memandangku dengan pandangan kosong. Tangan Velviana masih melambai-lambai padaku. Jelasnya, dia mengkehendaki kehadiranku ke situ. Aku terus mendapatkan Velviana dan Yen.
“Awak dah kerja kat sini ye. Tak tahu pula saya,” ujar Velviana seakan-akan berminat mahu mengikuti perjalananan hidupku.
“Yen pun kerja kat sini sekarang,” suara Velviana bernada kurang senang. Aku hanya mengangguk dan tidak mahu menafikan.
“Dah order ke?” soalku.
“Saya order jus oren je. Saya tak boleh makan makanan manis yang banyak perisa dan pewarna. Tak elok untuk kesihatan,” komen Velviana. Aku tersenyum. Begitu telus bicara gadis ini. Yen tetap dengan wajah yang bersahaja.
“Okeylah, kalau perlukan apa-apa panggil je pekerja kat sini ye,” ujarku berniat mahu memohon diri.
“Saya nak awak yang layan kami. Bolehkan Yen,” Velviana melirik manja ke arah Yen. Kepalanya mula terlentok di bahu Yen.
“Tak jadi masalah. Saya sedia membantu kalau kalian perlukan pertolongan saya,” ujarku ikhlas. Velviana tersenyum lebar.
“Kalau takde apa-apa saya pergi dulu ye,” ujarku memohon diri sekali lagi. Velviana masih terlentok di bahu Yen. Sengaja dia menunjuk-nunjuk aksi manja kepada pemuda Korea ini.
“Mereka pasangan kekasih, mestilah Velviana boleh bermanja dengan Yen,” bisik hati kecilku memujuk diri cuba menyedarkan diri sendiri agar tidak lagi menyemai perasaan indah-indah terhadap Yen.
“Kenapa awak diam je. Itukan sepupu awak,” tegur Velviana tidak senang dengan diam Yen.
“Takde benda saya nak cakap dengan dia,” sahut Yen.
“Aik, awak bergaduh dengan dia ke? Nampak awak macam tak puas hati je dengan dia,” komen Velviana. Yen diam. Ada persoalan yang belum terungkai di kepala. Semua panggilan tidak dijawab. Kemudian ditemui iPhone itu berada di bilik gadis itu. Deretan panggilan yang tidak dijawab itu dipadamkan. Beberapa minit kemudian, datang seorang gadis menghantar menu yang dipesan.
“Sila menikmati, cik, encik,” ujar gadis itu sambil mencuri pandang ke arah Yen. Wajah pemuda Korea itu telah menarik perhatian.
“Awak tak pernah tengok orang ke?” sergah Velviana kasar. Gadis itu tersentak lalu berpaling ke arah Velviana. Wajahnya pucat.
“Saya tak suka orang lain pandang my boyfriend!” bentak Velviana sehingga menarik perhatian pengunjung lain. Gadis itu tertunduk malu. Ada suara sumbang berbisik-bisik.
“Maafkan saya...cik,” ujarnya dalam getaran.
“Janganlah buat kecoh di sini,” tegur Yen serius. Tidak merestui tindakan Velviana.
“Jangan ulangi tindakan awak tadi,” tegas Velviana memberi amaran.
“Ba..baik...cik,” sahut gadis itu gagap sambil menundukkan kepala. Tidak berani bertentang mata dengan Velviana. Jauh sekali mahu memandang Yen lagi.
“Awak boleh pergi sekarang,” arah Velviana kasar. Terkocoh-kocoh gadis itu beredar meninggalkan mereka. Malu menebal disergah sedemikian.
“Apa yang awak buat ni,” tegur Yen kurang senang dengan tindakan kasar Velviana itu.
“Awak tak nampak ke cara dia pandang awak tadi!” radang Velviana dengan wajah yang masam mencuka.
“Awak cemburu sangat,” keluh Yen. Velviana mendengus kasar.
“Awak seronoklah gadis tu pandang awak,” tingkah Velviana dengan api kemarahan. Yen mengeluh.
“Cepatlah minum jus tu. Banyak kerja yang saya nak buat ni,” ujar Yen dengan suara mendatar. Velviana mendengus lagi. Marah ditahan-tahan. Habis sahaja jus di dalam gelas, Yen lantas bangkit mendahului Velviana. Terkocoh-kocoh gadis itu bangun lalu mengejar langkah Yen cuba melangkah seiringan. Tangan Yen dipaut mesra. Lagaknya mahu menyatakan pada semua orang bahawa Yen memang miliknya seorang.
Aku menatap wajah Izati dengan perasaan belas kasihan. Aku sempat memerhatikan kejadian tadi lantas bersimpati dengan gadis ini. Tindakan Velviana memang melampau dan aku langsung tidak terkejut dengan sikapnya itu memandangkan dia juga pernah menyerangku.
“Sabar... Izati. Perangai dia memang macam tu. Mungkin dia ingat boyfriend dia tu handsome sangat,” pujukku pada Izati yang tertunduk malu. Sejak aku mengajaknya masuk ke bilik ini Izati hanya berani menatap lantai. Dia malu. Aku faham akan perasaan itu, maka aku cuba mendamaikan gadis ini. Pasti dia rasa maruahnya telah tercalar.
“Memang handsome pun, Cik Iman,” sahut Izati tiba-tiba namun masih tidak mahu menatapku. Aku tersenyum sendiri. Memang itulah hakikatnya. Yen cukup sempurna.
“Memang salah saya juga, Cik Iman. Saya tak boleh kawal pandangan saya dari melihat wajah kekasihnya itu,” akui Izati jujur menyambung bicara. Aku tersenyum. Kutepuk lembut bahunya. Kelihatan dia mula mengesat sisa-sisa air mata. Hatinya sungguh terguris dengan tindakan Velviana. Geram. Yen hanya membiarkan sahaja Velviana memarahi orang lain sesuka hati. Ada perasaan marahku pada pemuda Korea itu.
“Kekasih lelaki tu yang kuat cemburu,” ujarku membela. Padaku Velviana memang tidak rasional. Kalau boleh dia hendak simpan Yen itu di dalam kotak kemas-kemas. Biar kaum Hawa tidak nampak Yen.
“Mestilah dia cemburu kalau kekasihnya dipandang gadis lain,” sahut Izati masih mahu membela Velviana dan menyalahkan diri.
“Kalau kekasih Cik Iman dipandang gadis lain, Cik Iman tak cemburu ke?” soalan cepumas dilontarkan Izati padaku. Laju aku geleng kepala. Nampak begitu yakin aku bertindak balas pada pertanyaan itu.
“Saya takkan cemburu, malah saya begitu bangga kerana ada orang yang sudi pandang kekasih saya. Sekurang-kurangnya saya tahu dia sangat tampan dan kacak sehingga gadis lain mahu menatapnya banyak kali malah menyedarkan saya betapa bertuah saya kerana telah terpilih menjadi kekasihnya dari kalangan berjuta gadis kat Malaysia ni yang pasti juga tertarik dengan dirinya,” jawabku panjang lebar. Aku tahu Yen punya ramai peminat. Dia mampu menggetarkan hati setiap gadis yang memandangnya.
“Wah, hebatlah Cik Iman! Saya tabik dengan Cik Iman,” tutur Izati seraya mengangkat tangan lalu membuat tabik hormat persis perajurit. Kali ini Izati sudah ada keyakinan menatapku. Aku tersenyum. Begitu juga dengan Izati yang turut tersenyum memadamkan mendung di wajahnya. Sekurang-kurangnya aku telah berjaya mengembalikan keceriaan gadis ini. Betulkah aku langsung tiada perasaan cemburu? Namun sejak akhir-akhir ini aku merasakan terluka setiap kali melihat Yen bersama Velviana dan setiap kali Yen bercerita tentang gadis-gadis lain yang begitu meminatinya. Bukankah perasaan sedemikian ciri-ciri orang yang cemburu? Layakkah aku berperasaan demikian sedangkan aku tahu Yen bersama insan yang dicintainya sejak sekian lama. Aku yang bernasib malang kerana mencelah dalam kehidupan Yen. Hati kecilku merintih pilu.
“Betul ke Cik Iman takkan cemburu?” soal Izati sangsi. Aku mengangguk lagi. Mungkin pada Izati nampak aku manusia yang tiada perasaan sehingga menjadi terlalu rasional.
“Betul. Bukan setakat kekasih saya awak boleh tengok, malah suami saya juga awak boleh tengok,” ujarku mengusik Izati. Izati terlopong mendengar bicaraku. Betapa teguh hatiku.
“Bahkan suami saya sendiripun saya tak marah keluar dengan perempuan lain,” tuturku mengaitkan bicaraku dengan Yen.
“Eh, Cik Iman, dah melampau ni! Tak boleh diam. Dalam situasi sekarang dua-dua kena gasak,” tingkah Izati bersungguh-sungguh. Aku tertawa melihat keseriusan itu.
“Yelah dah jadi suami nak menggatal pula dengan perempuan lain,” marah Izati begitu emosional. Sekelip mata bertukar watak segarang Velviana.
“Betul ke saya boleh serang kedua-duanya?” soalku mengusik Izati.
“Confirm boleh, Cik Iman,” tegas Izati serius.
“Sebab bila dia dah jadi suami kita, dia dah jadi hak kita. Mahu ke Cik Iman kongsi hak kepunyaan kita dengan orang lain?” soal Izati buat aku terdiam. Sekarang ada dua cerita yang berbeza yang boleh dikaitkan dengan kenyataan Izati itu. Situasi pertama, sebagai isteri sah Yen, sanggupkah aku berkongsi suami dengan Velviana? Situasi kedua, sebagai kekasih pertamanya, sanggupkah Velviana berkongsi kasih denganku terhadap seorang lelaki yang sudah sekian lama memadu asmara bersamanya?
“Kalau saya, saya tak sanggup, Cik Iman,” luah Izati tanpa berselindung. Aku tersenyum sekilas. Sedikit terasa dengan bicara Izati. Andai kata aku lebih awal mengenali Yen daripada Velviana, pasti aku juga sependapat Izati. Namun dalam situasi sekarang, Velvianalah yang patut berperasaan sedemikian. Sayup-sayup kedengaran keluahan Izati lagi.
“Saya yang bersalah, Cik Iman. Malu pada pasangan kekasih tadi, pada semua orang yang ada di situ dan pada rakan-rakan sekerja. Bahkan malu pada Cik Iman juga. Saya tak patut tengok kekasih orang lain,” keluh Izati menyesali perbuatan tadi. Izati tertunduk lagi.
“Anggaplah semua ni sebagai dugaan dan hari terburuk awak,” pujukku. Izati masih tertunduk.
“Kalau awak betul-betul nak tengok lelaki tadi, saya boleh ambil gambar dia untuk awak. Awak nak tak?” ujarku mengusiknya.
“Cik Iman ni...,” Izati mengangkat kepala lalu menatapku. Dia tersenyum.
“Betul saya serius ni. Saya boleh ambil gambar lelaki tadi untuk awak,” kali ini aku serius.
“Cik Iman nampak yakin je boleh dapat gambar dia. Cik Iman kenal ke dengan lelaki tu?” soal Izati curiga. Aku senyum. Kalau aku mengaku yang Yen itu ialah suamiku risau pula kalau Izati jatuh pengsan kerana terlalu terkejut.
“Tak takut ke kalau girlfriend dia tu serang Cik Iman?” soal Izati lagi. Aku geleng kepala.
“Nanti saya lawanlah balik,” sahutku persis orang yang handal bertarung. Izati tersenyum lagi.
“Kalau Cik Iman nak berlawan dengan dia jangan lupa beritahu saya juga. Saya pun teringin nak pukul dia,” luah Izati serius. Aku tergelak. Kemudian gelak Izati pula yang menyusul. Kali ini wajah Izati sudah ceria semula.
“Baiklah, Cik Iman, saya nak sambung kerja saya semula. Terima kasih banyak-banyak. Sekarang saya dah lega,” tutur Izati masih dengan senyuman. Aku mengangguk dan tersenyum lagi. Lapang dada melihat senyuman gadis ini.
Izati beredar pergi lalu kelibatnya hilang di sebalik daun pintu. Aku menyandarkan tubuh di kerusi empuk ini lantas memejamkan mata. Kasihan Izati. Simpati pada gadis itu belum hilang lagi. Wajah Velviana dan Yen terus muncul. Aku mula marah pada pasangan kekasih itu. Apakah tujuan mereka berkunjung ke sini? Adakah semata-mata kerana segelas jus oren? Kalau mereka teringin hendak minum jus oren, di mana-mana sahaja ada dijual malah di Restoran DLH pun ada menu sebegitu. Bahkan di situ Yen boleh mendapatkan secara percuma. Aku melepaskan keluhan panjang. Barangkali mereka datang ke sini semata-mata mahu memperlihatkan kepada umum bahawa mereka ialah pasangan kekasih yang ideal sama cantik sama padan. Ataupun Velviana ingin memberi amaran padaku bahawa Yen ialah kekasihnya. Aku menghela nafas panjang.
Deringan iPhone memecah keheningan ini. Kubuka mata lalu memandang nama pemanggil yang tertera pada skrin. Yen yang membuat panggilan ini. Kubiarkan sahaja panggilan ini tidak dijawab. Aku tidak mahu mendengar suara pemuda Korea itu.
No comments:
Post a Comment