Wednesday, 27 October 2021

Awaklah SonataKu....Bab 43

                                        

“Awak betul-betul ke serius ni nak kerja kat DLH ni?” suara Jack bertanya dari corong iPhone. Jack belum mempercayai keputusan yang telah diambil itu. Semua berlaku dalam masa yang singkat.

“Ye. Saya beri peluang awak dan kawan-kawan uruskan kat sana. Saya percaya kalian boleh buat dengan baik walaupun tanpa saya,” ujar Yen memberi mandat kepada sahabatnya itu. Dia ikhlas menuturkan bicara itu. Sudah sekian lama dia mengenali mereka. Kepercayaan terhadap mereka tidak berbelah bahagi lagi.

“Awak serius ke ni, Yen?” soal Jack mengulangi pertanyaan tadi.

“Ye... saya serius ler ni,” suaranya ditekan meyakinkan sahabatnya itu. Anak matanya tetap terarah di muka pintu utama DLH. Sedikitpun tidak berganjak. Dia tidak mahu kehilangan jejak gadis itu.

“Awak tak percaya dengan saya?” soal Yen semula.

“Keputusan awak ni terlalu drastik. Banyak kali dah saya fikir tapi sukar nak percaya,” keluh Jack masih tidak dapat menerima keputusan sahabatnya itu. Sebahagian dirinya seakan belum bersedia melepaskan sahabatnya itu pergi.

“Apa yang awak dapat setelah banyak berfikir?” soal Yen dengan pandangan masih setia terarah ke muka pintu utama yang tepat-tepat bertentangan dengan parkir keretanya.

“Musykil dan tertanya-tanya. Awak masih tercabar dengan gadis tu ke? Kalau dia suka dengan bos biar ler. Awak bukan rugi apa-apapun. Lagipun Vel tu awak nak letak kat mana? Awak bukan serius pun dengan gadis tu kan?” duga Jack menggaitkan perkara yang baru sahaja terlintas di fikirannya.

“Tak boleh!” serius  suara Yen menyahut.

“Apa yang tak bolehnya?” soal Jack kurang mengerti.

“Saya tak boleh biarkan gadis itu suka dengan orang lain,” sahut Yen tanpa berselindung.

“Kenapa?” soal Jack tersenyum sendiri. Dasar buaya darat. Ego tinggi. Bisik hatinya mengutuk sahabatnya itu.

She is my wife,” sahut Yen tanpa teragak-agak mengakui.

What...! Hahahahahaha!!!!” Jack tertawa terbahak-bahak. Hatinya bagai digeletek. Pengakuan Yen itu telah mencuit hatinya. Begitu telus pengakuan  itu. Jack sedar ramai gadis ibarat telah menjadi isteri pada sahabatnya itu. Mereka dengan rela menyerahkan diri kepada Yen itu. Namun tidak tahu sama ada Yen menerima atau menolak semua itu. Secara logik jarang lelaki yang biasa di kelilingi perempuan menolak rezeki di depan mata mereka. Jack tersenyum sendiri.

“Awak tak percaya?” soal Yen.

“Saya tahu ler awak banyak peminat tapi ni kali pertama saya dengar awak mengaku ada isteri. Tu yang buat saya terkejut sungguh dan rasa lawak ni. Hahahahaha!” Jack ketawa lagi. Ketawa yang tidak mampu ditahan-tahan.

“Awak jangan fikir yang bukan-bukan. Ni isteri yang istimewa yang tak pernah saya sentuh lebih jauh selain berpeluang peluk dia je,” balas Yen serius. Ketawa Jack berterusan.

“Ohh... sebab tuler awak berusaha nak tundukkan diakan. Awak ni memang pantang menyerah kalah. Jangan-jangan awak nak kerja sana tu mesti ada kaitan dengan gadis tu,” serkap jarang Jack cuba menyiasat motif tindakan Yen itu. Yen diam.

“Nanti awak datang ke sini tak?” soal Jack. Anak mata Yen sudah melekat pada susuk tubuh yang sedang mengorak langkah ke muka pintu.  Pertanyaan Jack diabaikan. Gadis itu baru sahaja melewati muka pintu utama DLH.

“Hello Yen, awak dengar tak ni?” soal Jack.

“Nanti saya call awak balik ye. Saya ada hal ni,” ujarnya tergopoh-gapah mahu menamatkan perbualan itu.

“Apa hal?” soal Jack ingin mengetahui perkara yang berlaku. Yen telah mematikan talian itu. iPhone diletak di dalam saku seluar. Lantas dipandu kereta mendekati pintu utama lalu memberhentikan. Aku menarik nafas panjang. Terkejut dengan kedatangan mengejut kereta ini. Kusuakan muka ke cermin tingkap lalu kuamati wajah di sebalik cermin tingkap hitam ini. Samar-samar aku nampak wajah Yen yang bersahaja masih dengan pakaian kerja. Mungkin dia baru sahaja hendak balik.

“Opocot...!!!” Aku terjerit kecil tatkala cermin tingkap diturunkan. Kurrr... semangat. Pemuda Korea ini memang ada tabiat yang tidak elok. Yen memandang ke arahku yang sedang mengurut-urut dada.

“Cepat naik,” arahnya tatkala melihat aku masih terpacak di tepi kereta. Kupandang wajah Yen yang sentiasa kacak tampan ini. Pernah juga aku terfikir tentang hati dan perasaanku. Kadangkala aku rasa mungkin aku hanya jatuh cinta pada Yen lantaran kesempurnaan fizikal yang dimilikinya. Kebetulan pula aku memang fanatik sangat dengan wajah-wajah Korea. Lantas aku sedar cinta sebegini tidak akan kekal malah aku cukup yakin perasaan ini akan pudar mengikut peredaran waktu. Ketampanan dan kekacakan yang dimiliki oleh Yen sedikit demi sedikit akan hilang seiringan dangan pertambahan usianya. Tika itu aku sudah tidak ada perasaan istimewa terhadap Yen lagi. Cinta begini yang aku khuatirkan. Aku gusar kalau aku hanya jatuh cinta pada Yen lantaran ketampanan yang dimilikinya itu.

“Yang awak terkebil-kebil kat situ buat apa! Cepat ler masuk,” suara lantang Yen mengejutkan aku lantas perkara yang berada dalam kotak fikiranku sebentar tadi bertaburan tanpa haluan. Aku terus meloloskan diri dalam kereta Mercedez Benz hitam ini. Duduk di sebelah Yen dan mendiamkan diri. Kereta bergerak meninggalkan perkarangan DLH. Dalam sekelip mata bayangan DLH sudah tidak kelihatan lagi.

“Awak nak tunggu Encik Rizal ke tadi?” soal Yen memulakan bicara.

“Takde ler,” sahutku sambil geleng kepala. Aku dan Encik Rizal tiada sebarang janji temu hari ini. Sejak semalam aku dan Encik Rizal juga tidak bertemu malah tidak berhubung. Mungkin dia sibuk menyiapkan banyak perkara untuk mesyuarat tertinggi yang menggumpulkan orang penting DLH.

“Kenapa awak fikir yang saya tunggu Encik Rizal?” soalku kurang senang. Kulontar pandangan ke wajah pemuda Korea ini.

“Diakan selalu hantar awak balik,” balasnya sambil memandangku sekilas. Cemburukah lelaki ini dengan Encik Rizal? Laju tanganku menepuk kedua-dua belah pipiku. Tidak mahu hanyut dalam khayalan yang bisa memudaratkan ketenanganku. Kalau boleh aku tidak mahu mencelarukan perasaanku lagi.

“Semalam dan hari ni tak,” sahutku.

“Mulai esok awak tunggu je saya,” ujar Yen mengeluarkan arahan baru. Aku menoleh ke arah Yen.

“Pergi dan balik kerja?” soalku mencari kepastian.

“Ye...,” sahut Yen pendek. Aku diam. Berfikir. Untuk apa Yen melakukan semua ini? Adakah dia ingin membuatkan aku terasa dilayan istimewa lalu membuai perasaanku?

“Saya tak nak nenek mahupun ayah tengok awak sering bersama dengan Encik Rizal. Semua ini akan mengundang syak wasangka mereka,” jelas Yen sekali gus menjawab kemusykilanku sebentar tadi. Logik juga larangan dan penjelasan Yen ini.

“Saya juga akan cuba mengehadkan masa saya bersama Velviana,” ujar Yen sedikit menyentakkanku. Kutatap wajah Yen lagi.

“Saya tak kisah ler awak bersama dengan dia,” balasku ikhlas.

“Itu awak tapi family saya,” tingkah Yen sedikit tinggi nada suaranya. Senyap. Wajah Yen sudah kelihatan tegang.

“Iman ssi...,” panggilnya.

“Ye...,” sahutku tanpa memandang wajah Yen. Aku masih mengarah muka ke hadapan.

“Pernah tak awak terfikir tentang keluarga saya? Adakah awak juga tak kisah dengan mereka?” soal Yen tampak sedikit beremosi.

“Saya ambil berat terhadap mereka. Kalau bukan kerana mereka pasti saya tak berada di sisi awak sekarang,” balasku.

“Maksud awak?” Senyap. Pandangan Yen kuabaikan.

“Oh..., awak dah ada rancangan nak kahwin dengan bos awak ler ni,” serkap jarang Yen. Aku mengeluh. Yen tersenyum sinis sendirian.

“Hebat betul awak, Iman ssi!” tutur Yen masih dalam senyuman sinis.

“Awak tak perlu risau. Selagi awak tak kahwin dengan Velviana selagi tu saya akan terus bersama awak,” balasku.

“Buat apa saya nak risau,” sahut Yen ego.

“Bagus ler...,” balasku tidak mahu perkara ini menjadi isu. Senyap kembali. Aku melontar pandangan keluar. Kedengaran jeritan deringan iPhone di dalam beg galas. Laju tanganku mengeluarkannya. Tertera nama Puan Sodiah. Aku menarik nafas dalam-dalam.

“Assalamualaikum Puan So...eeee nenek. Apa khabar nenek sekarang?” soalku. Tatkala mendengar sebaris nama itu, Yen melirik ke arahku. Terkejut aku dengan kedatangan panggilan perempuan ini.

“Ye... saya pun baru dapat tahu tentang hal ni,” tindak balasku pada bicara Puan Sodiah yang sedang memperkatakan tentang Yen.

“Terima kasih banyak-banyak ler Iman. Saya dan ayah mertua kamu bersyukur dengan adanya  kamu dalam keluarga kami. Sekarang baru kami boleh menarik nafas lega,” luah Puan Sodiah ceria.

“Hey..., saya tak buat apa-apa ler nek,” sahutku. Aku tidak layak menerima penghargaan itu kerana aku tidak bertindak apa-apa. Yen bertindak atas kemahuan sendiri.

“Nenek ada tanya sebab musabab tiba-tiba je dia ubah fikiran. Bila nenek tanya sebab kamu ke ambil keputusan ni, Yen tersenyum je,” jelas Puan Sodiah masih dengan ceria.

“Saya hanya pernah nasihatkan dia. Itupun dah lama nek,” balasku.

“Apapun kamu telah menyebabkan Yen ubah fikiran. Terima kasih Iman. Ada masa datang ler ke sini. Tak pun hujung minggu ni nanti boleh ler kita masak dan makan sama-sama,” pelawa Puan Sodiah gembira.

“InsyaAllah nek. Masa ni saya masih busy. Sebelum semester mula nanti saya akan ajak Yen ke sana,” janjiku.

“Bagus juga tu. Nanti nenek boleh ajar kamu masakan Korea lagi,” ujar Puan Sodiah bijak memancing kemahuanku.

“Nak...nak...,” sahutku teruja dan tersenyum sendiri.

“Jangan lupa datang nanti tau,” ujar Puan Sodiah mengingatkan aku.

“InsyaAllah nek,” janjiku.

“Baiklah nenek nak letak telefon sekarang. Jaga diri kamu berdua baik-baik. Bila lagi nak bagi nenek cicit,” gelak Puan Sodiah di hujung bicara. Wajahku terasa panas membahang.

“Eeee... nek...,” Ketawa Puan Sodiah masih kedengaran.

“Assalamualaikum...,” Terkumat-kamit aku menjawab salam daripada Puan Sodiah. Suara Puan Sodiah sudah tidak kedengaran lagi. Aku menyimpan iPhone ke dalam beg galas.

“Awak berbual dengan nenek?” soal Yen sambil melirik sekilas ke arahku. Aku mengangguk.

“Kenapa tiba-tiba saja awak nak kerja kat DLH?” soalku setelah mengingati bicara Puan Sodiah tadi. Pertanyaanku tidak terus dijawab oleh Yen. Seketika masa berlalu Yen masih mendiamkan diri. Mungkin pertanyaanku itu tidak mahu dijawabnya.

“Saya rasa family awak dah salah faham. Mereka fikir saya yang pujuk awak kerja kat DLH,” jelasku tatkala pertanyaanku tidak dijawab oleh Yen. Diam semula. Yen masih mengunci mulut daripada berkata-kata. Kupalingkan muka ke tingkap semula lalu kulontar pandangan jauh-jauh. Mungkin buat masa ini Yen tidak mahu berbicara denganku. Maka lebih baik aku gunakan masa ini sepenuhnya merehatkan diri. Lantas aku ambil keputusan melenakan diriku walaupun seketika. Baru sahaja aku hendak memejamkan mata, aku terpandang poster Jang Geun Suk bersama heroin tatkala kereta ini melewati deretan kedai vcd. Aku hanya sempat memandang sekilas sahaja.

Love Rain. Belum tengok lagi walaupun drama lama,” ujarku berbicara sendiri. Senyuman Jang Geun Suk masih terbayang di mataku. Seketika aku berkhayal bersama aktor Korea yang kacak itu.

“Siapa nama aktor Korea kegilaan awak tu?” suara Yen mematikan khayalanku. Kupandang  Yen.

“Kembar awak tu ke?” soalku semula. Yen hanya membalas pertanyaanku dengan wajah bersahaja.

“Jang Geun Suk,” ujarku menyebut nama aktor kacak Korea itu setelah tiada tindak balas daripada Yen.

“Awak minat betul dengan dia ye,”

“Ye minat sangat,” balasku tidak mahu menafikan. Sejak pertemuaan pertamaku dengan Yen sudah aku nyatakan bahawa aku memang fanatik terhadap aktor-aktor Korea. Barangkali aku mampu hidup serumah dan bertahan sehingga sekarang bersama pemuda Korea ini juga disebabkan genetik Korea yang ada pada dirinya.

So awak pun minat kat saya juga ler,” ujar Yen tersenyum sendiri.

Mwo (apa)!” Bulat anak mataku menatap wajah Yen yang masih dengan senyuman. Kini kereta sudah membelok ke kawasan Pujangga Hill. Di depan itu banglo mewah milik Yen. Yen terus menekan alat kawalan jauh pintu pagar automatik itu lantas kereta Mercedez Benz ini terus dipandu sehingga ke garaj. Aku terkocoh-kocoh keluar tatkala mengingati ada tugas rutin yang sedang menungguku.

“Kita makan simple je malam ni ye,” ujarku pada Yen.

“Suka hati awaklah,” sahut Yen seraya mendahului langkahku masuk ke dalam rumah. Aku tersenyum dan lega. Sekurang-kurangnya aku ada lebih masa berehat nanti. Betapa nikmat dapat terbaring lama di atas tilam empuk penuh santai tanpa sebarang gangguan. Rehat yang betul-betul berkualiti. Sesampai di rumah, aku terus mandi dan solat asar. Usai solat aku melangkah ke dapur menyiapkan hidangan makan malam yang ringkas. Tepat pukul 8.00 malam seusai solat isyak aku dan Yen menikmati hidangan makan malam. Sepuluh minit berlalu tanpa sebarang kata. Masing-masing leka menikmati makanan yang terhidang di meja. Aku berhenti mengunyah. Kupandang tepat ke wajah Yen yang kelihatan masih leka memenuhi kehendak seleranya.

“Jang Geun Sik...,” panggilku.

“Ye...,” sahut Yen seraya memandangku.

“Saya minta maaf sebab bertindak kasar pada awak tempoh hari,” ujarku perlahan. Yen memandangku. Dia hanya mengunci mulut. Barangkali dia masih marahkan aku rentetan kejadian itu. Sebagai seorang isteri derhaka memukul suami sendiri.

“Tapi... saya nak tegaskan juga yang saya tak suka dengan perlakuan awak tu,” ujarku serius dengan pandangan tajam menatap Yen.

“Betul-betul tak suka!” tegasku. Seulas senyuman terukir di bibir Yen. Bicara seriusku tidak memberi kesan kepadanya. Memeluk tubuh perempuan yang bukan muhrim adalah perkara biasa. Walau sebanyak mana pun aku ada perasaan pada Yen, namun tidak sesekali aku akan membiarkan sewenangnya Yen menyentuhku. Memang aku tidak boleh menafikan hak Yen sebagai seorang suami ke atasku. Namun kisah hidupku dengan Yen sebagai sepasang suami isteri terlalu berbeza dengan pasangan normal yang lain.  

“Iman ssi...,” panggil Yen.

“Ye...,” sahutku sambil menatap wajahnya.

“Antara saya dengan Jang Geun Suk aktor Korea kegilaan awak tu, siapa yang awak lebih suka?” soal Yen mengejutkanku. Senyap. Aku tidak terus menjawab pertanyaan itu. Yen menatapku buat aku tidak keruan. Begitu seriuskah dia hendak mengetahui jawapan yang bakal keluar dari mulutku ini. Kupandang wajah Yen yang masih terarah ke wajahku. Serius. Betapa aku jadi musykil dengan pertanyaan yang diajukan ini. Tidak sangka Yen akan mengungkit perkara tadi.

“Jang Geun Suk,” nama itu perlahan-lahan keluar dari celah bibirku.

“Oh, begitu...,” kedengaran agak lemah nada suara itu. Senyap. Aku menanti lagi soalan yang akan keluar dari mulut Yen. Pasti dia akan bertanya sebab musabab aku tidak menyukai dirinya. Sesaat... seminit... Tiba-tiba sahaja Yen bangkit lalu melangkah meninggalkan aku terkebil-kebil memerhatikan gelagatnya. Kelibat Yen hilang di sebalik dinding. Penting sangatkah pertanyaannya itu sehingga jawapan yang aku berikan membuatkan dia tersinggung dan terkilan.

“Saya memang suka awak tapi tak boleh suka lebih-lebih. Saya tak boleh suka awak macam tu sebab hati awak dah dimiliki oleh Velviana,” bicaraku sendirian. Aku menghela nafas panjang. Lega. Aku hanya mampu  meluahkan setelah ketiadaan Yen di sini.

Usai mencuci pinggan, mengemas ruang makan dan dapur, aku melangkah ke ruang tamu. Bersandar pada sofa. Kutoleh ke kiri ke kanan. Sunyi sepi. Kucapai remote tv. Beberapa kali channel tv kutukar-tukar. Tiada satu pun yang menarik minatku. Bosan. Keluhanku berulang-ulang. Aku membaringkan tubuh di sofa. Terkebil-kebil mataku merenung hamparan siling. Malam yang begitu membosankan. Kupandang deretan anak tangga ke tingkat atas.

Apakah yang Yen sedang lakukan sekarang? Berbaring atau tidur di biliknya? Mungkinkah Yen berada di mini studio itu? Bingkas aku bangun lalu mendaki satu-persatu anak tangga naik ke tingkat atas. Sepi sahaja. Aku menjenguk ke bilik mini studio itu. Kutolak perlahan-lahan daun pintu. Yen tidak berada di situ. Aku tidak boleh mencerobohi bilik ini andai Yen tidak berada di sini. Kesemua yang ada di sini ialah harta benda kesayangan Yen. Bahkan nyawa kedua pemuda Korea itu. Kutinggalkan bilik mini studio ini. Seketika aku terpacak di depan pintu bilik Yen. Merenung jauh dan berfikir lama membuat pertimbangan sama ada aku harus mengganggu Yen atau membiarkannya bersendirian sahaja. Namun aku bosan bersendirian tika ini.  Aku menarik nafas panjang. Kuketuk daun pintu bilik pemuda Korea ini. Tiada suara yang menyahut. Namun aku yakin Yen berada di dalam bilik sekarang memandangkan keretanya ada di garaj.

“Saya tahu awak ada kat dalam bilik sekarang. Jom ler keluar berbual-bual saya tengah boring sangat bersendirian ni,” luahku berterus terang. Yen tersenyum sendiri mendengar suara gadis itu. Sedikit terubat hatinya mendengar bicara itu. Namun ego menghalangnya untuk mengalah begitu sahaja. Biarlah dia berdiri di depan pintu itu seketika sebagai hukuman yang harus diterima oleh gadis itu.

“Awak tak nak keluar ke?” soalku. Senyap lagi. Betul-betulkah Yen merajuk sekarang? Aku mula gelisah memikirkannya.

“Kalau awak tak keluar saya nak ke rumah Linda sekarang. Lagi pun saya ada hal nak jumpa dia,” tuturku memaklumkan. Kuambil masa beberapa minit terus terpacak di depan pintu ini. Masih berharap Yen akan muncul. Senyap. Memang Yen tidak mahu bertemu denganku. Aku berpaling lalu mengatur langkah ke bilik. Baru beberapa langkah, kedengaran bunyi gerakan daun pintu dikuak. Aku berpaling. Tersembul wajah Yen di sebalik daun pintu. Lantas aku berpatah balik mendapatkan Yen. Aku tersengih-sengih menatap Yen.

“Apa sengih-sengih!” marahnya. Yen menguak lebar daun pintu sambil berdiri di tepi memberi laluan untukku. Aku menatap Yen. Patutkah aku masuk ke dalam bilik pemuda Korea ini? Ada gentar dalam diriku. Susah aku hendak memberikan kepercayaan penuh kepadanya. Risau perkara tidak baik akan berlaku.

“Masuklah. Tadi kata nak berbual-bual dengan saya,” ujarnya.

“Kita berbual-bual kat luar, tak pun kat mini studio awak,” balasku cuba menolak ajakannya masuk ke bilik itu. Aku masih janggal berdua-duaan bersama Yen di bilik ini biarpun sudah beberapa kali aku pernah tidur sebilik dengan dirinya.

“Kenapa? Awak takut saya rogol awak ke?” soalnya dengan biji mata yang membutang menatapku.

Mwo (apa)!” Tajam saja anak mataku menatap Yen.

“Masuk ler, saya takkan sentuh awak. Lagipun awak isteri saya, jadi bukan perkara pelik kalau seorang isteri berada di bilik suaminya,” tutur Yen serius. Senyap. Aku masih membuat pertimbangan atas pelawaan ini.

“Saya tengah tengok english movie ni. Cepat ler masuk,” arah Yen lagi. Aku garu-garu kepala. Belum habis berfikir tahu-tahu Yen menarik tanganku membawa masuk lalu menutup daun pintu bilik. Dia hilang sabar.

“Awak buat apa ni,” rungutku. Yen terus melontar tubuh di tilam empuk itu. Pandangannya terarah pada skrin tv.

“Nah, ambik bantal ni baring kat sofa tu! Kalau awak nak, boleh juga baring kat sebelah saya nie,” tuturnya bersahaja. Bantal yang dibaling kusambut. Aku bergerak ke sofa. Hendak tempah maut berbaring di sebelah Yen. Aku turut melontar pandangan pada skrin tv. Cerita Inggeris bercorak sains. Handsome betul Keanu Reeves yang memegang watak hero. 10 minit berlalu terasa bosan. Jalan cerita memeningkanku. Mungkin disebabkan aku tidak mengikuti dari awal tadi. Aku melirik ke arah Yen. Begitu leka dia menonton lakonan Keanu Reeves. Aku mengeluh. Mula bosan hanya duduk mendiamkan diri di sini. Kutatap sekeliling bilik ini. Nampak bersih dan kemas. Yen sudah boleh menjaga bilik ini dengan baik.

“Awak kata tadi nak berbual. Cakap ler saya dengar ni,” suara Yen memecah kesepian. Aku berpaling ke arah pemuda Korea ini. Pandangannya masih tertumpu pada skrin tv. Senyap. Aku menarik nafas dalam-dalam.

“Tentang soalan awak tadi...,” bicaraku terhenti. Yen masih leka menyaksikan aksi-aksi tangkas Keanu Reeves mengatasi halangan musuh-musuh. Memang ini masa yang sesuai untukku meluahkan bicara ini. Sekurang-kurangnya Yen tidak perlu memberikan perhatian sepenuhnya.

“Saya memang suka awak tapi tak boleh suka lebih-lebih. Saya tak boleh suka awak macam tu sebab hati awak dah dimiliki oleh Velviana,” bicaraku mengulangi luahan hatiku tadi. Pantas Yen berpaling menatapku. Aku dan Yen saling berpandangan.

“Sejujurnya saya memang suka awak tapi sampai sekarang saya tak pasti seberapa banyak saya suka awak. Saya masih berfikir sama ada saya suka awak kerana awak seorang sahabat yang baik, yang adakala membuatkan saya tersenyum bahagia. Atau saya suka awak seperti perasaan isteri-isteri lain terhadap suaminya. Saya seringkali terkeliru dengan diri sendiri,” luahku sejujurnya. Pandangan Yen masih tidak berganjak di wajahku.

“Namun saya sedar saya tak boleh suka awak terlalu banyak. Saya dah ingatkan pada diri saya yang awak ialah sahabat saya. Saya tahu hati awak milik Velviana. Hanya dia saja yang berhak menyukai awak seberapa banyak yang boleh. Maafkan saya andai saya buat awak kecewa. Saya tahu perbuatan saya ni salah,” bicaraku lagi lalu menundukkan kepalaku. Bagai tiada kekuatan mahu menatap wajah Yen tika ini. Senyap.

“Bodohnya awak,” suara Yen kedengaran di telingaku. Aku mengangguk. Memang aku bodoh kerana berperasaan sebigini. Kuakui bicara Yen ada benarnya. Mana boleh aku menyimpan perasaan kepada seorang lelaki yang sudah dimiliki hatinya. Melontarkan diriku pada situasi ini sama menempah kekecewaan diri sendiri.

“Awak boleh terus menyukai saya sampai bila-bila. Pastikan suatu hari nanti awak menyukai saya sepenuh hati awak,” bicara Yen membuatkan aku tergamam. Yen sudah mengatur langkah ke pintu. Kemudian kelibatnya hilang di sebalik pintu. Beberapa minit kemudian kedengaran bunyi deruan kereta meninggalkan halaman rumah.

Aku masih terpaku sendirian di bilik ini memikirkan bicara Yen tadi. Patutkah aku menyukai Yen sepenuh hatiku sedangkan hati itu sudah dimiliki oleh Velviana. Yen membuat aku bertambah- tambah keliru di saat aku keliru dengan diriku sendiri. Aku disentakkan dengan panggilan iPhone. Nama Lili terpampang pada skrin.

“Iman, kat mana sekarang?” suara Lili kedengaran agak cemas.

“Kat rumah. Kenapa Lili?” soalku berdebar-debar.

“Mak kat ICU sekarang,” suara Lili lemah. Bagai tangkai jantungku disentap kuat. Aku terdiam. Betapa aku terkejut menerima berita yang baru sahaja Lili sampaikan ini.

“Kenapa dengan Mak Long?” soalku gusar.

“Mak kena serangan strok petang tadi,” cerita Lili pilu. Air mataku menitis ke pipi. Ya Allah betapa hebat dugaan yang menimpa keluarga kami sekarang. Bagaimana keadaan Pak Long tika ini? Aku tahu mesti Pak Long susah hati dengan nasib yang menimpa Mak Long sekarang. Kasihan Pak Long. Kasihan Mak Long. Aku sungguh simpati dengan nasib mereka. Lantas aku mematikan tv lalu bergegas ke bilik menyiapkan diri. Sebentar lagi aku akan ke Hospital Utama untuk mengikuti perkembangan Mak Long lantas menemani Pak Long. Aku tidak akan membiarkan Pak Long mahu pun Mak Long bersendirian melalui saat-saat sukar begini.


No comments:

Post a Comment