Monday, 25 October 2021

Awaklah SonataKu....Bab 40

Keluar dari kereta Encik Rizal, aku nampak kereta Mercedez Benz Yen ada di garaj. Dia sudah balik lebih awal daripadaku. Tatkala aku melangkah masuk kelihatan Yen sedang leka menonton rancangan di tv sambil tersandar di sofa. Aku singgah di ruang tamu.

“Awak dah balik,” tegurnya tanpa sempat menatapku.

“Ye,” balasku lalu menyandarkan tubuh di sofa. Letih sebab sepanjang hari ada sahaja aktiviti.

“Bagaimana  majlisnya?” soal Yen menunjukkan minat ingin mengetahui majlis ulang tahun perkahwinan ibu bapa Encik Rustam yang kuhadiri tadi.

“Seronok sangat tengok hubungan akrab mereka. Betul-betul nampak keluarga yang bahagia dan harmoni,” pujiku jujur dengan senyuman yang panjang. Masih terbayang keakraban dan kemesraan setiap ahli keluarga itu.

“Mesti ler seronok. Itukan keluarga lelaki yang selalu bersama awak. Pasti awak teruja dapat berkenalan dengan mereka. Syukur ler awak diterima baik oleh mereka,” tutur Yen sinis membangkitkan sakit hatiku. Aku diam.

“Bos awak tu betul ke suka kat awak? Jangan selalu sangat menerima kebaikannya. Risau juga kalau dia ada niat tak baik pada awak. Awak tu begitu naif. Zaman sekarang ni susah nak jumpa lelaki yang benar-benar ikhlas,” ujar Yen begitu curiga terhadap Encik Rizal. Aku mengetap bibir menahan nyalaan api di hatiku. Dia ini bercakap sesuka hati.

“Awak tak kenal dengan Encik Rizal. Dia bukan jenis lelaki macam tu,” tegasku. Berbanding dengan Encik Rizal, aku lebih gerun dengan dirinya. Encik Rizal tidak pernah menunjukkan aksi-aksi menggodan. Jauh sekali hendak bermain mata denganku. Apatah lagi berbicara tidak elok kepadaku.

“Tengok tu awak sentiasa saja berpihak pada dia,” tingkah Yen sinis.

“Saya berpihak pada yang benar,” balasku lagi.

“Kalau tentang Encik Rizal semua betul, semua elok di mata awak. Saya juga yang salah,” ujar Yen persis orang yang sedang merajuk.

“Awak kahwin saja ler dengan dia,” arahnya. Kutatap wajah Yen.

“Macam mana saya nak kahwin dengan dia sedangkan saya masih terikat dengan awak,” ujarku menyedarkan Yen tentang hakikat ini. Yen terdiam. Seketika kami saling berpandangan.

“Betul ke dia tu suka awak?” soal Yen serius. Tetiba aku begitu sensitif dengan persoalan yang diajukan oleh Yen itu. Dia nampak suka sangat mengaitkan aku dengan Encik Rizal. Kalau pun dia tiada perasaan kepadaku, janganlah hendak padankan aku dengan lelaki lain. Geram aku dengan sikap Yen ini.

“Sudah sampai masa untuk saya berterus terang dengan awak,” ujarku serius. Yen menatapku. Aku berfikir seketika. Mana satu yang harus aku luahkan? Perasaanku atau perasaan Encik Rizal?

“Encik Rizal memang sukakan saya. Dia dah banyak kali meluahkan perasaannya kepada saya,” luahku tidak mahu berselindung lagi.

“Apa awak cakap pada dia?” soal Yen yang sudah mempamer wajah serius.

“Saya jadi serba salah. Saya rasa bersalah pada Encik Rizal dan rasa berdosa pada awak,” ujarku. Berdosa pada Yen kerana aku ialah isterinya. Senyap lagi.

“Jang Geun Sik, boleh ke saya pertimbangkan perasaan Encik Rizal tu? Awak tak kisahkan kalau saya suka pada Encik Rizal?” soalku. Yen menatapku lama. Mulutnya masih tertutup rapat. Dua persoalan yang kuajukan padanya tidak dijawab. Akhirnya aku dan Yen sama-sama mendiamkan diri. Diam yang panjang. 

 

SUDAH sejam aku dan Yen berada di meja ini menghadap sarapan penuh kebisuan. Hanya kedengaran bunyi mengunyah isi yang ada di dalam mulut disusuli sesekali bunyi sudu yang berlaga dengan mangkuk. Sesekali aku melirik dan memandang sekilas kepada Yen. Yen langsung tidak sempat mengarah pandangan kepadaku. Tampak khusyuk dia dengan mi rebus yang kuhidangkan untuk sarapan. Agaknya mi rebus yang kumasak ini begitu lazat sehingga dia benar-benar menikmati lantas tidak sempat memandangku. Sesekali dia meneguk milo susu panas di dalam cawan.

“Tak puas lagi ke awak perhatikan saya?” suara sinis Yen singgah di telingaku. Aku tersenyum. Bicara Yen mencuit hati.

“Awak tak boleh tidur ke semalam?” soalnya lagi bagai ahli nujum seraya merenungku. Aku mengangguk. Banyak perkara yang aku fikirkan malam tadi. Kemudian perkara tersebut telah meninggalkan banyak persoalan di benakku. Aku gagal mencari jawapan untuk semua persoalan itu.

“Macam mana awak tahu?” soalku hairan.

“Mata awak nampak orang kurang tidur,” jelas Yen.

“Kenapa awak tak boleh tidur?” soal Yen lagi. Aku mengukir sekilas senyuman. Sungguh sukar aku hendak meluahkan perkara yang terpendam dalam hati ini kepada Yen.

“Saya pun tak boleh tidur semalam,” ujar Yen membuat pengakuan lantas mengejutkan aku. Kupandang wajah Yen yang sudah menyandarkan tubuh di kerusi kayu jati ini.

“Kenapa awak tak boleh tidur?” soalku teruja hendak mengetahui. Adakah Yen juga memikirkan perkara yang sedang aku fikirkan?

“Saya fikirkan awak dan fikirkan tentang hubungan kita,” luah Yen tanpa berselindung. Tepat dugaanku.

“Awak fikirkan saya? Fikirkan tentang hubungan kita?” ulangku seakan tidak percaya pada pengakuan itu. Yen mengangguk.

“Iman ssi...,” suara Yen memanggilku.

“Ye....” sahutku sambil menatap wajah pemuda Korea ini.

“Awak... awak boleh menyukai Encik Rizal. Saya takde halangan,” ujar Yen buat aku terkedu. Arahan yang baru keluar dari mulut Yen sangat mengecewakanku. Kenapa dia perlu berbicara begini? Tidakkah Yen mengetahui bicara ini telah mengguris emosiku? Kupandang wajah Yen.

“Betul awak tak kisah kalau saya menyukai Encik Rizal? Awak takkan marah saya?” soalku meminta kepastian. Yen mengangguk. Kecewaku berpanjangan. Apatah lagi melihat kesungguhan dan keyakinan Yen meluahkan bicara itu. Begitu lancar tanpa tersekat-sekat sudah cukup membuktikan bahawa perasaannya kosong terhadapku. Dia ikhlas menuturkan bicara itu. Aku tersenyum sendiri.

“Mulai hari ni saya akan berusaha menjalin hubungan lebih baik dengan Encik Rizal. Terima kasih atas pertimbangan awak. Semoga hubungan awak dan Velviana berjalan lancar,” ujarku sambil membisikkan pada hati kecilku agar bertahan dan menjadi lebih kuat. Aku kembali memfokuskan perhatianku pada mi rebus di dalam mangkuk tanpa mempedulikan lagi pandangan mata Yen yang masih terikat padaku. Kukunyah perlahan-lahan mi yang ada dalam mulutku ini. Tawar seolah-olah langsung tiada bahan perisa yang diadun bersama tadi. Habis semangkuk mi ini aku bingkas bangun lalu bergerak ke singki mencuci peralatan dapur yang telah aku gunakan. Beberapa minit kemudian aku kembali menghadap Yen. Namun kali ini aku hanya berdiri di depannya. Yen menatapku.

“Awak teruskan sarapan ye, saya nak naik ke atas. Ada kerja yang saya nak buat. Tak payah kemas semua ni sebab kejap lagi saya akan kemas,” jelasku. Tanpa menunggu reaksi Yen aku terus meninggalkannya.

“Iman ssi...,” panggil Yen. Langkahku yang hanya tinggal selangkah tiba di ambang pintu terus terhenti. Aku berpaling ke arah Yen. Seketika aku dan Yen saling berpandangan. Adakah Yen ingin mengubah kenyataan tadi? Betulkah aku berharap sangat agar Yen menarik balik kata-katanya tadi? Hakikatnya dia menyukaiku namun keegoan diri menghalangnya untuk berterus terang. Benarkah Yen akan berbicara sedemikian? Oh.., aku tidak mahu terus berangan-angan lagi!

“Pastikan kalau awak keluar dengan bos awak jangan sampai bertemu dengan keluarga saya. Saya tak mahu mengundang curiga mereka,” ujar Yen mengembalikan aku ke dunia nyata.

“Awak tak payah susah hati. Selagi saya bergelar isteri awak selagi itu saya akan pastikan awak takkan dapat susah kerana saya,” janjiku. Senyap. Seketika aku masih terpacak di situ. Sebaliknya Yen kembali melontar pandangan pada hidangan sarapan di atas meja.

“Jang Geun Sik...!” panggilku yang tiba-tiba sahaja disuntik kekuatan mahu mengemukakan pertanyaan kepada pemuda Korea ini.

“Awak langsung tak suka saya?” meluncur laju soalan itu dari celah bibirku. Yen menatapku. Lama.

“Kalau awak tak nak jawab awak boleh abaikan saja,” putusku mula menyesal kerana mengemukakan pertanyaan itu. Aku kembali melangkah.

“Iman ssi...,” langkahku mati. Aku berpaling menatap Yen.

“Siapa kata saya tak suka awak. Saya memang suka awak,” hatiku berbunga-bunga mendengar pengakuan Yen itu. Kutatap wajah Yen. Matanya nampak bercahaya. Memang dia ikhlas menuturkan kata-katanya itu. Aku yakin.

“Awak selalu menghiburkan saya. Bersama awak saya boleh ketawa dan tersenyum. Malah saya boleh bercakap banyak. Kadangkala perangai awak lucu buat saya seronok bersama awak. Sejak awak tinggal di rumah ini saya tak sunyi lagi,” tutur Yen buat aku tersenyum mekar. Bicara Yen membahagiakan aku. Adakah Yen juga turut mengalami perasaan indah ini?

“Saya tak dapat bayangkan kehidupan saya tanpa awak suatu hari nanti. Sukar saya nak cari orang seperti awak. Awak ialah sahabat terbaik saya. Hati awak dipenuhi dengan kemuliaan,” Boom! Sekelip mata perasaan bahagia itu lenyap. Aku hanya sahabat terbaik Yen. Dia hanya menganggap aku sebagai sahabat yang berhati mulia kerana telah membahagiakan dan menceriakan hidupnya. Tidak lebih daripada itu. Ini hakikat dan kebenaran yang harus aku terima. Aku wajib menamatkan sahaja perasaan berbunga-bunga ini.  

“Saya menghargai kata-kata awak tu. Gomawoyo (terima kasih),” tuturku perlahan diselit dengan perasaan kecewa. Yen merenungku namun cepat aku mengalihnya. Tidak mahu Yen membaca cetusan emosiku yang sedang bergolak tika ini.

“Saya nak berehat di bilik kejap. Nanti saya turun kemas dapur,” ujarku lemah lalu meninggalkan Yen bersendirian di ruang makan ini. Tiba di dalam bilik, aku terus melemparkan tubuh ke tilam. Lesu dan longlai menyelubungiku. Sunyi. Aku benar-benar terasa sunyi tika ini. Tidak semena-mena aku benci dengan kesunyian ini.

Ya Allah, jagakanlah aku daripada berkhayal panjang untuk berdiri di samping Yen. Hapuskanlah cinta yang berputik ini. Betapa aku terus terseksa andai berharap untuk menjadi insan yang istimewa di hati Yen. Biarlah Yen tidak mengetahui perasaanku ini. Sedarlah diri! Terimalah hakikat bahawa hati Yen hanya milik Velviana seorang. Aku sayang pada seseorang. Kuingat perasaan ini tidak akan wujud kerana dia telah dimiliki dari azali. Namun siapa menduga dan dapat melawan ketentuan Ilahi yang menganugerahkan perasaan indah ini. Perasaan indah untuk dinikmati namun aku menangisinya. Keindahan yang harus dibajai agar mekar mewangi tapi aku hanya mampu memandang dalam ketidakberdayaan. Semoga kau bahagia putera sonataku bersama kekasih hatimu. Biarlah aku menyemai kasih dan sayang ini dalam diam. Maafkan diriku jua sebab membiarkan perasaan indah ini wujud dalam diri ini. Sesungguhnya aku tidak mampu menghalang kewujudannya. Maafkan aku sekali lagi Yen Aieqal Shuein. Air mata meluncur laju di pipi. Aku menangis sendirian di kamar ini.

 

“Kali ni awak tak boleh menolak pelawaan saya ye,” ujar Encik Rizal mengingatkan aku pada janjiku yang lalu. Aku hanya tersenyum.

“Awak ikut sekali,” ajakku kepada Encik Rustam. Dia geleng kepala.

Sorry saya dah janji dengan Juita nak lunch sama-sama,” ujar Encik Rustam menolak ajakanku. Nampaknya aku dan Encik Rizal sahaja yang keluar makan tengah hari nanti tanpa penyertaan Encik Rustam. Tidak patutlah aku terus meminta kesudian Encik Rustam untuk bersama kami nanti. Pertemuaannya dengan Juita lebih penting. Encik Rustam harus menjaga hati Juita. Seronok Juita bakal melakar kebahagiaan bersama insan yang dicintai.

Tepat waktu rehat, Encik Rizal muncul di muka pintu premis ini. Tidak mahu mengundang banyak mata teman-teman yang memerhatikan kami, tanpa membuang masa aku terus mengajak Encik Rizal beredar pergi. Encik Rizal telah mengajak aku makan di Restoran Selera Muhibbah salah sebuah tempat makan ekskulsif yang terkenal di daerah ini. Kebanyakan pengunjung setia di sini terdiri daripada golongan elit. Aku dan Encik Rizal dihantar oleh pelayan restoran di tempat duduk. Di sini layanan yang diterima pengujung memang kelas pertama. Usai memesan makanan, masa yang terluang aku berbual-bual santai dengan Encik Rizal. Sesekali disusuli tawaku tatkala bicara Encik Rizal mencuit hati. Tidak sangka dalam diam-diam ada juga lawaknya Encik Rizal ini. Kami berkongsi cerita tentang pengalaman hidup masing-masing.

“Hai...!” Perbualan kami terhenti. Serentak aku dan Encik Rizal berpaling. Aku tersentak. Terasa dengupan jantungku terhenti. Yen sedang menatapku dengan wajah serius manakala Velviana masih dengan senyuman meleret. Bagai tiada pernah berlaku apa-apa antara aku dengannya. Mungkinkah dia sudah lupa tentang kejadian dia menyerangku dahulu? Kupandang Encik Rizal. Dia tetap tenang.

“Kebetulan nak makan sama-sama kat sini, duduk kat sini,” ajak Encik Rizal pada Velviana dan Yen mahu berkongsi meja bersama kami. Aku terdiam.

“Iman tak kisah ke saya dan Yen duduk sini?” soal Velviana bermuka manis. Aku tersentak lagi. Encik Rizal, Yen dan Velviana menatapku.

“Eh, takpe...persilakan,” sahutku tersenyum tawar. Kupandang sekilas Yen. Tampak dia juga kurang selesa berada di sini. Namun Velviana sudah membuat keputusan mahu bersamaku dengan Encik Rizal. Entah apa motif Velviana bermuka dan berbicara manis sebegini? Barangkali dia mahu menyedarkan aku bahawa Yen milik mutlaknya.

“Awak tak kisah pun saya dan Yen duduk di sinikan. Yen kan sepupu awak,” tutur Velviana sambil melabuhkan duduk di sebelahku. Aku paksa diri senyum lagi.

“Betul tak honey?” soal Velviana seraya melirik manja ke arah Yen yang sejak dari tadi hanya mendiamkan diri.

“Ye...,” balas Yen pendek sambil memandang ke arahku.

“Dah buat pesanan?” soal Encik Rizal sekadar mengajak berbual-bual.

“Takpe Rizal, opps..sorry...Yen ada cakap kat saya nama awak tadi,” jelas Velviana menjawab persoalan yang baru sahaja muncul di fikiranku. Hairan dia mengetahui nama Encik Rizal. Kalau namaku pasti dia tahu kerana sebelum dia menyerang aku di RCC aku pernah berkenalan dengannya di depan pawagam.

“Kamu tak nak pesan makanan?” soal Encik Rizal lagi.

“Kami pelanggan vip makan kat sini. So mereka dah tahu apa yang patut dihidangkan untuk saya dan Yen,” jelas Velviana menamatkan kemusykilan yang bermain di fikiran Encik Rizal. Angkuh.

“Oh, begitu. Boleh tahan juga awak makan menu yang sama ye,” ujar Encik Rizal sedikit mencuit hatiku.

“Kami makan simple je Encik Rizal,” ujar Velviana lagi.

“Yeler awakkan patut jaga badan,” balas Encik Rizal yang mengetahui kerier Velviana sebagai modeling. Velviana mengangguk sambil tersenyum.

“Yang kamu berdua ni senyap je? Takkan takde benda nak dibualkan,” ujar Velviana sambil memandangku dan Yen silih berganti. Barangkali dia baru tersedar hanya dia dan Encik Rizal sahaja yang mendominasi perbualan ini.

“Sayapun hairan. Tadi bukan main saya tengok rancak awak berbual dengan Encik Rizal,” tiba-tiba sahaja Yen melontar bicara kepadaku.

“Ye ler... Awak tak senang saya di sini ke? Minta maaf ler Iman sebab serang awak dulu. Saya tak tahu pun yang awak ni sepupu Yen. Dia ni bukan nak perkenalkan ahli keluarganya pada saya,” tutur Velviana mengungkit kejadian itu. Rasanya Velviana tidak perlu diperkenalkan kerana dia memang sudah diketahui umum dengan kepopularitiannya dalam kerjaya serta kejelitaan wajah dan kesempurnaan fizikal yang dimilikinya. Velviana modeling terlaris tika ini.

“Takpe saya dah lupakan perkara tu. Salah saya juga buat awak curiga. Sepatutnya saya tak pinjam boyfriend awak hari tu,” ujarku tersengih. Velviana tersenyum. Pasti dia gembira mendengar bicaraku ini. Wajah Yen serius menatapku. Encik Rizal di sebelahku turut tersenyum. Perbualan kami terhenti seketika tatkala pelayan datang menghantar makanan yang Encik Rizal pesan tadi.

“Awak makan semua ni?” soal Velviana dengan wajah berkerut. Tampak takut sangat melihat nasi goreng kampung kegemaranku ini. Ada pula hidangan sayur goreng kailan campur udang, daging kicap dan ikan gulai lemak cili api. Menu yang tidak sihat dan menakutkan Velviana. Pasti Velviana beranggapan begitu.

“Saya kalau makan tak berpantang,” jelasku berterustterang.

“Eh..., berminyak ... banyak kolesterol ler...,” ujar Velviana sambil geleng-geleng kepala. Makanan yang terhidang ini memang tidak boleh diterima oleh tekaknya.

“Takpe ... saya bukan perlu jaga badan macam awak,” balasku.

“Awak tak takut jadi gemuk ke?” soal Velviana. Aku mengangguk. Setahuku sepanjang hidupku ini aku memang tidak pernah mengawal kuantiti makanan yang aku makan. Alhamdulillah sampai saat ini aku masih kekal bertubuh begini. Tidak kurus tidak juga gemuk. Badan ideal he...he...he... perasan pula!

“Kalau Iman gemuk saya tak kisah. Kalau dia gemuk pun mesti dia nampak bertambah cute,” ujar Encik Rizal buat aku terkedu. Velviana tersenyum. Alamak kelatnya wajah Yen!  

“Sayang betul awak dengan dia. Cemburu saya,” ujar Velviana. Encik Rizal tersenyum. Mujur juga dia tidak mengangguk atau mengiyakan.

“Makan ler...,” arah Velviana.

“Jemput sekali,” ajak Encik Rizal. Yen dan Velviana hanya mengangguk. Aku dan Encik Rizal terus menikmati hidangan di meja. Daripada pandangan yang dilontarkan Velviana kepadaku, nampak dia takut  sangat melihat menu yang kulontar dalam mulutku ini. Tidak lama kemudian hidangan untuk Yen dan Velviana pun sampai. Tatkala terpandang dua gelas jus oren dan dua pinggan salad sayur campur buah-buahan itu, aku dan Encik Rizal terpaku menatap. Patutlah kalau makan dengan Velviana, Yen tidak pernah kenyang.

“Ni ler menu harian saya,” ujar Velviana dengan bangga. Kasihan dia tidak merasai nikmat dunia.

“Cukup makan tu je?” soal Encik Rizal sambil menatap salad sayur bercampur buah-buahan di dalam pinggan Velviana dan Yen.

“Saya makan sekadar untuk menghilangkan lapar, tak perlu kenyang,” sahut Velviana. Dia memang menjaga badan. Kualih pandangan pada Yen.

“Boleh kenyang ke awak makan tu je? Ni ada daging, sayur dan ikan lemak cili api kegemaran awak. Makan ler,” ujarku menjemput Yen merasa makanan yang dipesan oleh Encik Rizal ini.

“Dia tak boleh makan tu,” tingkah Velviana.

“Hey, boleh ler! Kat rumah saya selalu masak menu ni untuk dia. Satu je yang takde... sup. Setiap kali Yen sarapan dan makan wajib ada sup,” ujarku memperbetulkan tanggapan Velviana. Senyap. Velviana dan Encik Rizal sedang menatapku. Aku terdiam. Silapkah bicaraku? Alamak, macam mana aku boleh terlanjur berkata sedemikian. Bicaraku tadi pasti mengundang persoalan kepada Velviana dan Encik Rizal. Aduh, kenapa aku cuai sangat! Kupandang Yen. Dia tersenyum sendiri.

“Awak lebih banyak tahu tentang selera Yen,” ujar Velviana curiga. Aku diam. Nasi di sudu terus kumasukkan ke dalam mulut. Cuba mengabaikan bicara Velviana sebaliknya menikmati hidangan di depan ini.

“Iman selalu tolong auntie dia kat dapur dan Iman pun memang pandai masak,” sahut Encik Rizal menjadi penyelamatku. Aku mengangguk menyokong bicara Encik Rizal. Kulihat Yen sedang tersengih menatapku. Hatinya sedang mentertawakan aku. Betapa aku cuai.

“Betul juga kan,” ujar Velviana mula tersenyum. Aku menarik nafas lega.

“Satu lagi saya memang nak isteri yang pandai masak dan buat kerja-kerja di dapur. Bila dah kahwin nanti senang,” ujar Encik Rizal buat aku tersedak. Nasi bersama daging yang kutelan terasa tercekek di kerongkong. Aku menepuk-nepuk dada. Laju tangan Yen menyuakan air kosong di dalam gelas kepadaku.

“Iman, awak okey ke?” soal Encik Rizal sambil menatapku.

“Ye...saya okey...,” sahutku masih terbatuk-batuk. Tiba-tiba sahaja Yen bangkit lalu berdiri di sebelahku. Tangannya tmenepuk-nepuk lembut belakangku. Cuba memberikan kelegaaan.

“Tuler awak cuai sangat. Minum air tu sekarang,” rungut Yen seakan sedang memarahi anak kecil sambil tangan masih menepuk-nepuk belakangku.

“Takpe saya dah okey ni,” ujarku meminta Yen segera menghentikan tindakannya tatkala aku tersedar pandangan membutang Velviana dan Encik Rizal memerhatikan kami.

“Betul awak dah okey?” soal Yen. Aku mengangguk.

“Awak makan ler,” arahku. Yen kembali di tempat duduknya. Langsung dia tidak terganggu dengan pandangan Velviana dan Encik Rizal. Wajahnya tetap bersahaja.

“Awak dan Iman bukan main mesranya,” ujar Velviana sambil memandang Yen. Yen hanya diam lalu menyambung selera menikmati salad sebagai hidangan tengah harinya. Yen tetap tenang dan bersahaja. Bicara Velviana persis orang yang sedang cemburu. Aku melirik ke arah Encik Rizal yang tampak tekun menikmati hidangan ini. Kali ini dia tidak berbicara lagi untuk bertindak balas pada bicara Velviana. Senyap. Akhirnya masing-masing berdiam diri untuk menghabiskan makanan di dalam pinggan.

Usai makan, Velviana dan Yen terlebih dahulu memohon diri. Tidak tahu ke mana destinasi mereka. Setahuku Yen hanya memandangku sekilas sebelum dia berangkat pergi bersama Velviana. Langsung dia tidak mahu berbicara denganku lagi. Kemudian aku dan Encik Rizal pula menyusul pergi. Encik Rizal terus menghantar aku ke perkarangan DLH. Terlewat 10 minit dari waktu masuk kerja.

“Terima kasih atas lunch tadi, Encik Rizal,” ujarku memandang ke arah Encik Rizal yang tersenyum.

“Hati-hati pandu kereta. Saya pergi dulu,” ujarku memohon diri lalu menolak daun pintu kereta.

“Iman...,” Aku tidak sempat melangkah keluar tatkala Encik Rizal memanggil namaku.

“Ye Encik Rizal...,” Kupandang wajah Encik Rizal kembali.

“Saya nak tanya awak. Sama ada awak nak jawab atau tidak, terpulanglah pada awak” ujar Encik Rizal buat aku sangsi.

“Apa soalannya Encik Rizal?” Encik Rizal diam seketika.

“Awak dan Yen ada hubungan istimewa ke?”

“Aaa...,” Aku terkedu mendengar persoalan yang keluar dari mulut Encik Rizal. Kelu lidah hendak menjawab persoalan ini.

“Awak suka Yen ke?” soalan kedua yang menyusul lebih mengejutkan aku. Diam. Nampak sangatkah aku menyukai Yen? Aku diam. Tidak mampu menjawab pertanyaan Encik Rizal itu. Pertanyaan itu berlalu bersama angin.

“Takpe ler. Saya pergi dulu. Bye...,” Kereta BMW Encik Rizal berlalu pergi.

Kelibat Encik Rizal sudah tidak kelihatan. Namun aku masih terpacak di situ memikirkan persoalan Encik Rizal tadi. Andai kata Encik Rizal menagih jawapan pada pertanyaan yang belum aku jawab ini, apa yang akan aku katakan? Haruskah aku mengakuinya? Patutkah aku menafikannya? Bukankah aku mahu melenyapkan perasaan indah ini? Kebetulan memang harapan Yen agar aku menjalin hubungan yang baik dengan Encik Rizal.

 

Ya Allah, andai Encik Rizal jodoh terbaik buatku, Engkau hapuskanlah perasaan cinta dan kasihku pada Yen. Ya Allah, andai ikatanku dengan Yen hanya setakat ini sahaja, Engkau segerakan dan permudahkanlah perpisahanku dengan dirinya. Aku sungguh mengharap petunjuk dariMu ya Allah. Lalu kuatur langkah longlai memasuki bangunan DLH milik keluarga Yen untuk sampai ke premis Setia Menanti milik Encik Rizal. Seolah persis nasib hidupku yang berputar bersama dua orang pemuda ini.


No comments:

Post a Comment