Usai aku menyediakan sarapan untuk Yen, Linda pun muncul bersama kancilnya di halaman rumah. Aku dan Linda memulakan perjalanan balik ke kampung pada awal pagi agar balik nanti tidak kelewatan. Kebetulan Linda bercuti hari ini. Kesempatan untuk menjenguk keluarga di kampung yang sedang sibuk membuat persiapan kenduri abangnya yang akan melangsungkan majlis persandingan minggu ketiga dalam bulan ini. Tatkala aku suarakan hajatku hendak menjenguk Pak Long di kampung, Linda terus mempelawaku bersamanya. Dengan kesudian yang tidak berbelah bahagi aku menerima pelawaan Linda itu.
“Abang awak kahwin dengan orang mana?” soalku.
“Orang Negeri,” sahut Linda.
“Wow, jauhnya jodoh abang awak, Lin,” balasku teruja dengan kenyataan yang baru Linda sampaikan itu.
“Cikgu sama tempat dia mengajar,” tambah Linda lagi.
“Oooh...,” Aku mula faham. Di Bumi Kenyalang ini jodoh mereka dipertemukan. Memang dalam Islam digalakkan kahwin di luar kolompok masyarakat setempat agar keluarga berkembang jauh sekali gus semakin luas sebaran umat Muhammad S.A.W. Kalau sudah jodoh biarpun seorang di Utara seorang di Selatan, pasti akan bertemu juga. Sekalipun orang itu di hujung dunia. Aku tersenyum sendiri.
“Sudah jodoh abang saya kahwin dengan orang jauh,” tutur Linda. Aku mengangguk menyokong bicaranya. Soal jodoh sudah ditentukan oleh Allah. Tiada siapa yang mampu mengubah ketetapan ini. Inilah zat Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui.
“Majlis diadakan serumah ke?” soalku lagi. Linda mengangguk.
“Majlisnya di sini dulu. Cuti sekolah nanti baru dibuat sebelah pihak perempuan. Nanti kita sama-sama pergi ke sana,” pelawa Linda bersungguh-sungguh.
“InsyaAllah,” sahutku. Seronok kalau dapat pergi ke tempat orang. Boleh tengok budaya orang lain selain menambah kenalan. Namun tatkala fikirkan kekangan masa dan sumber kewangan serasa tipis pula peluangku untuk mengiringi rombongan pengantin lelaki. Nampaknya aku belum berpeluang untuk berkunjung ke negeri orang. Dalam diam aku mengeluh.
“Bagaimana hubungan awak dengan Yen sekarang?” soal Linda mengubah topik perbualan kami.
“Okey,” balasku pendek. Linda menoleh ke arahku seketika sebelum kembali memandang ke hadapan fokus pada pemanduannya.
“Kamu dah bincang ke soal masa depan masing-masing?” soal Linda menyukarkan aku menjawab. Aku diam. Pertanyaan Linda tergantung tanpa penjelasan. Linda sekali lagi menoleh dan memandangku sekilas.
“Bagaimana Iman?” soal Linda seakan mewajibkan aku memberikan jawapan. Sedikit menekan diriku.
“Kami belum bincang secara terperinci,” jelasku. Walau bagaimanapun Yen pernah menyatakan bahawa dia masih mahu meneruskan kehidupan kami sekarang. Kebetulan pula buat masa ini aku ingin memfokuskan perhatianku pada kuliaj yang akan bermula sedikit masa lagi.
“Kalau ada peluang kamu bincanglah perkara ni baik-baik. Saya hanya mahukan kehidupan yang lebih baik untuk awak,” nasihat Linda membuat hatiku tersentuh. Linda tetap prihatin terhadapku. Aku mengangguk.
“Mana tahu ada lagi kehidupan yang lebih baik untuk awak selepas ni,” ujar Linda. Aku hanya tersenyum.
“Saya tengok Encik Rizal tu memang suka kat awak. Tulah yang bahayanya dengan status awak sekarang,” tambah Linda meluahkan kegusaran.
“Saya pun dah tak tahu nak buat apa dengan dia, Lin” luahku.
“Satu je penyelesaiannya. Awak kena berterus terang tentang status awak sekarang pada dia,” cadang Linda. Malangnya perkara ini menjadi rahsia antara aku dengan Yen. Aku tidak boleh membongkarnya pada sesiapapun. Itu sumpahku pada Yen. Dalam masa yang sama aku terbayang wajah Puan Sodiah. Sungguh aku tidak boleh memberi kejutan pada Puan Sodiah kerana boleh mengancam nyawanya.
“Awak yakin yang awak sedikit pun takde perasaan kat Yen? Bagaimana pula Yen, dia langsung takde perasaan kat awak ke?” soal Linda. Aku mengangguk. Yen pernah melarangku agar tidak bersama Encik Rizal termasuk lelaki lain. Namun larangan ini baru sahaja ditarik balik. Hakikatnya juga bicara Yen sekadar mahu melindungi rahsiaku dan dirinya. Pernikahanku dengan Yen harus disembunyikan.
“Yen tu bukan calang-calang orang. Saya rasa mana-mana perempuan mesti tertarik kat dia. Bukan susah pun buat orang jatuh cinta pada dirinya. Yen ada segala-galanya,” tutur Linda meluahkan buah fikirannya. Pendapat Linda memang berasas. Zahirnya Yen memang lelaki sempurna.
“Jadi awak pun dah tertarik dengan dia ke?” soalku mengusik Linda. Linda geleng kepala. Aku dan Linda terus ketawa.
“Mana saya boleh tertarik dengan suami sahabat sendiri yang bagaikan saudara kandung,” balas Linda. Aku tersenyum lagi. Cukup senang mendengar penghujung bicara Linda. Pengakuan saudara kandung itu sangat membahagiakanku. Aku pun menganggap Linda sebagai ahli keluargaku melebihi taraf sahabat karibku.
“Tak mustahil Yen boleh buat awak jatuh cinta padanya. Tengok wajah dia tu. Awakkan dari dulu lagi memang tergila-gilakan orang Korea. Lagipun tak jadi salah pun kalau awak ada perasaan demikian malah dia adalah hak milik awak,” tambah Linda cuba menyedarkanku.
“Lin...,” Aku tidak senang mendengar bicara itu. Linda tersenyum.
“Begitu juga dengan awak yang dah jadi hak milik Yen,” tambah Linda. Aku menarik muka masam. Sebaliknya bertambah lebar senyuman Linda.
“Seorang isteri adalah hak mutlak suami, begitu juga seorang suami adalah hak isteri,” tambah Linda terus mengusik.
“Hak yang mesti dikongsi dengan mak mertua. Mujur juga saya takde mak mertua,” tambahku berjenaka. Sekali lagi aku dan Linda berpadu tawa.
“Tapi awak masih ada bapa mertua. Itu awak jangan lupa,” tambah Linda menyedarkanku. Aku senyum. Datuk Kamarudin seorang lelaki yang baik. Senang hatiku mengenangkan hubungan Yen dan Datuk Kamarudin bertambah baik. Tidak sia-sia usahaku dengan Puan Sodiah. Akhirnya dengan izin Allah hubungan anak dengan bapa yang renggang suatu masa lalu kembali bertaut erat. Aku tersenyum sendiri.
“Senyum-senyum sendiri mesti ingatkan Yen ni,” usik Linda.
“Takdelah,” tingkahku sambil menghadiahkan jelingan tajam pada Linda. Linda ketawa lagi. Tiada masa aku hendak mengingati pemuda Korea yang sedang melancarkan perang dingin padaku. Langsung tidak memberikan keuntungan kepadaku.
“Tak mustahil kalau Yen ada hati kat awak,” Linda menyambung kembali bicara tadi. Masih mahu juga dia memadankan aku dengan Yen.
“Saya bukan jenis perempuan yang dia suka. Dulu dia pernah cakap macam tu kat saya. Samalah macam saya juga,” jelasku.
“Betul ke dia cakap macam tu?” Aku mengangguk.
“Memang mulut dia tu takde insurans,” rungut Linda. Aku tersenyum.
“Tapi mana tahu setelah tinggal lama dengan awak citarasa Yen dah berubah,” tingkah Linda masih mahu menemukan aku dengan Yen. Aku geleng kepala lalu meletakkan telunjuk di bibirku meminta Linda diam. Aku tidak mahu Linda terus berbicara tentang aku dan Yen. Akhirnya, Linda patuh juga dengan permintaanku. Aku dan Linda mula berbicara tentang hal lain. Sesekali mengenangkan kembali kisah zaman persekolahan dahulu. Menjangkit juga kisah-kisah terkini kawan-kawan lama yang sudah sekian waktu tidak bertemu dengan mereka. Banyak juga cerita yang Linda tahu tentang mereka. Cerita gembira dan cerita sedih mewarnai kehidupan. Memang setiap insan tidak terkecuali untuk melalui dan merasai kehidupan sedemikian.
SUDAH sejam dia terpaku di kerusi empuk itu. Fail di atas meja dipandang kosong. Langsung dia tidak tahu kandungan helaian kertas di depannya ini lantaran fikirannya menerawang jauh.
“Kenapa aku biarkan dia balik ke kampung sendirian? Takkah mak saudaranya akan berkasar dengan dia? Siapa yang akan melindungi dia nanti?” bertubi -tubi persoalan mendatanginya. Yen geleng-geleng kepala. Hatinya dilanda kerisauan. Timbul kekesalan kerana membiarkan gadis itu bersendirian.
“Yang awak nampak tak bersemangat ni, kenapa?” soal Jack yang baru sahaja muncul di sebalik pintu itu. Jack duduk di depan Yen.
“Saya tak dapat tidur semalam,” keluhnya.
“Awak dapat mimpi ngeri ke?” soal Jack.
“Ada sesuatu yang membebani fikiran saya,” balas Yen lemah. Jack menatap wajah sahabatnya itu. Jarang benar dia mendengar pemuda ini berkata demikian. Yen tidak pernah tunduk pada masalah.
“Awak ada masalah ke?” soalnya lagi. Yen mengeluh. Mulutnya masih terkunci. Tidak akan dia membuka rahsia hatinya.
“Perasaan awak sudah beralih kepada ustazah tu?” soal Jack.
“Ustazah?” Yen tercengang-cengang memandang Jack. Dia memutar ingatannya ke belakang. Cuba menjejaki gerangan yang dimaksudkan oleh Jack.
“Yang pernah awak cerita dulu. Yang ajar awak beri salam di talian,” ujar Jack cuba menolong sahabatnya itu mengingat semula. Sudah terbayang wajah Iman di mata Yen.
“Awak sukakan ustazah tu melebihi Velviana ke? Awak betul-betul serius pada ustazah tu?” bertubi-tubi soalan keluar dari mulut Jack. Yen hanya menatap Jack dengan pandangan kosong.
“Sudahkah dia sampai ke kampung sekarang? Apakah reaksi perempuan itu bila saja melihat kedatangannya itu? Bersedihkah dia sekarang?” persoalan demi persoalan berlegar-legar di kepalanya.
“Yen, awak dengar tak ni?” soal Jack tatkala menyedari tingkahlaku Yen yang memandang seolah olah-olah menembusi dirinya.
“Saya nak balik ke kampung. Awak jaga kat sini. Kalau mereka dah sampai nanti mulakan jiming. Tak payah tunggu saya,” arahnya yang sudah berdiri bersedia hendak melangkah pergi. Jack terkebil-kebil dan garu-garu kepala. Bingung dia memikirkan tingkahlaku sahabatnya itu.
“Pelik betul perangai awak kali ni,” tutur Jack geleng-geleng kepala. Yen tidak mempedulikan bicara sahabatnya itu, lantas meneruskan langkah meninggalkan Jack itu sekali gus meninggalkan studio My Dream.
SUDAH lebih satu jam dia terpaku bersandar di sofa itu. Otaknya masih ligat membuat pertimbangan. Kalau ikutkan suara hatinya mahu sahaja dia menjejaki langkah gadis itu. Namun keegoan diri menghalangnya. Dia tidak mahu gadis itu memikirkan sesuatu yang boleh mempermainkan maruah dirinya. Diaturnya langkah mendaki satu persatu anak tangga ke tingkat atas. Langkahnya terhenti di depan pintu bilik itu. Berfikir seketika. Laju tangannya mengetuk daun pintu. Cuba mempastikan hanya dia sahaja yang berada di dalam banglo itu tika ini. Senyap. Dipusing tembol pintu. Daun pintu dikuak sedikit. Anak matanya menjenguk isi bilik. Sah memang dia bersendirian di banglo ini sekarang.
Daun pintu dikuak seluasnya. Yen melangkah masuk. Kehadirannya di situ disambut oleh senyuman wajah-wajah lelaki tampan. Spesis mirip dirinya. Dia mencebik.
“Suka buat perkara sia-sia,” tuturnya sendirian. Anak matanya terikat pada satu poster yang pernah dilihatnya sebelum ini. Ditenung seketika.
“Awak tahu Jang Geun Suk?” Dia geleng kepala. Soalan itu muncul lagi.
“Siapa tu? Boyfriend awak?” soalnya ingin tahu. Gadis itu geleng kepala sambil tersenyum. Kemudian nama itu melekat pada dirinya. Gadis itu mula memanggilnya dengan sebaris nama yang tidak diketahuinya itu.
“Jang Geun Suk,” perlahan-lahan sebaris nama itu meniti di bibirnya lagi sambil tangan menyentuh pipinya. Dia berdiri di depan cermin merenung wajahnya. Kemudian melirik ke arah seraut wajah tadi. Dalam diam dia membuat perbandingan. Dia tersenyum sendiri.
“Lusa saya dah nak mendaftar masuk ke hostel. Isnin tu dah mula orentasi pelajar-pelajar baru,” suara itu mendatangi pendengarannya. Dia bergegas keluar dari bilik itu. Ada sesuatu yang ingin dilakukannya. Mercedez Benz meluncur laju menuju ke destinasi. Yen mengatur langkah memasuki bangunan itu. Dia singgah di IT First World sebuah premis yang menjual barangan berteknologi tinggi yang cukup popular di daerah itu. Ada pelbagai pilihan barangan IT yang dijual di situ. Kehadiran Yen disambut oleh seorang gadis yang tersenyum mesra.
“Apa yang saya boleh bantu encik?” soalnya santun. Yen tersenyum. Dalam hati sempat juga gadis itu memuji kesempurnaan fizikal yang Yen miliki.
“Saya nak beli model terbaharu Apple iPad. Awak boleh tunjukkan kepada saya model tersebut,” pinta Yen. Gadis itu mengangguk dan tersenyum lagi.
“Mari saya tunjukkan kepada encik,” ujarnya meminta Yen mengekori langkahnya. Yen mengangguk lalu menuruti langkah gadis itu. Yen dipersilakan duduk di sofa itu. Layanan ekskulsif kepada setiap pelanggan dan pengunjung premis IT First World memang sentiasa diutamakan.
“Yang ni Apple iPad Pro 12.9, model terbaharu keluaran Apple,” ujar gadis itu memulakan penerangan terhadap model itu.
“ Dimensions 280.6 x 214.9 x 6.4 mm, weight 682 g (Wi-Fi), 685 g (5G) (1.50 lb). Build glass front, aluminum back, aluminum frame. Size 12.9 inches dan memory 2TB 16GB RAM,” tambah gadis ini lagi. Yen tekun mendengar penerangan gadis ini tentang kehebatan modul iPad ini.
“Penerangan lebih terperinci encik boleh baca dari risalah ini,” sekeping kertas dihulurkan kepadanya. Laju tangan Yen menyambut risalah itu. Diteliti seketika info bagi setiap fungsi yang telah diutarakan oleh gadis itu tadi.
“Seperti yang dikatakan oleh Steve Jobs, co-founder dan ketua pegawai eksekutif, Apple iPad bukan sebuah komputer tablet biasa tetapi merupakan sebuah peranti yang serba boleh. iPad jauh lebih menyenangkan berbanding laptop dan jauh lebih pintar dari smartphone,” ujar gadis itu yang petah berbicara. Yen tersenyum lagi. Dia cukup berpuas hati dengan penjelasan gadis itu. Bahkan layanan yang diberikan juga cukup menyenangkan.
“Ada dua pilihan warna silver and space gray. Encik nak warna yang mana satu?”
“Saya nak silver,” putus Yen yang sudah tertambat hatinya.
“Boleh,” sahut gadis itu tersenyum lagi.
“Kat sini ada perkhidmatan membalut?” soal Yen lagi.
“Maksud encik Apple iPad Pro 12.9 nak jadikan hadiah?” soal gadis itu. Yen mengangguk. Gadis itu cukup pintar membaca isi hatinya.
“Saya nak hadiahkan pada isteri saya,” laju bicara itu keluar dari mulutnya. Buat pertama kali Yen membuat pengakuan tentang status dirinya. Gadis itu tersenyum lagi. Terselit iri hati. Sempat juga dia membayangkan betapa bertuah si isteri itu. Bahkan dia juga mengandaikan bahawa isteri pemuda ini pasti jelita sepadan dengan suaminya ini. Sekali lagi dia cemburu.
“Ohh… so sweet. Memang kami ada menyediakan perkhidmatan sedemikian. Encik boleh pilih box yang ada kat sana,” jelas gadis itu sambil menunding jari pada satu bahagian lain. Yen mengangguk faham. Lantas dia bangkit dari sofa itu lalu bergerak ke sudut yang dimaklumkan oleh gadis itu. Pandangan Yen jatuh pada kotak kertas berwarna merah hati itu. Ada gambar bunga sakura pada penutup kotak itu. Malah tali riben berwarna putih itu menambah seri pada kotak itu. Hati Yen sudah berkenan pada kotak itu. Lantas terus tangannya mencapai kotak itu lalu menyerahkannya kepada gadis itu.
“Mesti hari ini istimewa buat isteri encik kan,” ujar gadis itu cuba mengajak Yen berbual-bual sementara tangannya giat membuat kerjanya. Yen senyum lagi. Tiada komen yang diberikan.
“Kadnya encik?” soal gadis itu tatkala tangannya mahu menyatukan kotak itu dengan penutupnya. Dia mahu menyelitkan kad di celah-celah tali riben itu. Yen geleng kepala.
“Tak perlu ada kad,” tutur Yen. Gadis itu tersenyum lagi. Dia tahu setiap orang ada cara tersendiri untuk meluahkan perasaan cinta dan sayang. Sesetengah orang lebih suka meluahkan perasaan melalui coretan-coretan pada kad ucapan. Ada juga yang akan melafazkan secara lisan sambil bertentangan mata dalam suasana yang begitu romantik. Malah ada orang yang hanya mahu menunjukkan kasih sayang melalui perlakuan yang ditunjukkan. Di manakah pemuda ini meletakkan dirinya? Gadis itu tersenyum sendiri.
“Dah siap encik,” Kotak cantik yang sudah terisi dengan Apple iPad Pro 12.9 itu dihulurkan kepada Yen.
“Terima kasih,” tutur Yen sambil menyambut kotak itu.
“Terima kasih juga kerana sudi menjadi pelanggan IT First World. Silalah datang kembali,” tutur gadis itu sebalik sahaja selesai urusniaga antara dia dengan pemuda itu. Yen mengangguk. Memang dia berpuas hati sepanjang dia berada di premis itu. Tambahan pula gadis itu bijak memainkan peranan.
Kotak merah hati beriben putih itu diletak di atas kerusi penumpang di sebelahnya. Dipandang sekilas. Dia tersenyum sendiri. Yen berfikir seketika. Ada sesuatu bermain di benaknya. Lantas dihidupkan enjin kereta dan terus bergerak ke destinasi yang dituju. Mercedez Benz hitam metalik itu berhenti tepat-tepat di depan studio My Dream. Penuh berhati-hati kotak itu dibawa keluar dari kereta itu. Bukan setakat mahu menjaga kerapian kotak itu malah isinya juga merupakan barangan berharga yang terlalu sensitif lantas memerlukan penjagaan rapi.
Yen melangkah ke bilik pejabatnya. Kotak merah hati itu diletakkan di atas meja. Tangannya mengangkat penutup kotak itu dan perlahan-lahan Apple iPad Pro 12.9 itu dikeluarkan dari situ. Yen tetap berjaga-jaga. Apple iPad Pro 12.9 dihidupkan. Dia mengakses Internet mencari sesuatu. Beberapa gambar aktor itu disimpan di bahagian photos. Yen tersenyum sendiri. Suka hati setelah melakukan semua itu. Bahkan dia juga mengharapkan agar gadis itu menyukainya juga memandangkan gambar-gambar yang diambil merupakan wajah aktor kesayangan gadis itu.
“Aik, awak ada kat sini. Jack kata tadi awak nak balik kampung,” suara itu mencerobohi kelekaannya. Yen melontar pandangan ke muka pintu. Haikal seorang lagi sahabatnya sedang berpeluk tangan bersandar di tepi pintu. Di sebelahnya Affiq yang juga sahabatnya.
“Tak jadi balik,” balas Yen ringkas sambil anak matanya masih tidak beralih pada skrin Apple iPad Pro 12.9 itu. Kedua-dua orang pemuda yang berada di ambang muka pintu itu mula menghampirinya.
“Awak buat apa tu? Wah, Apple iPad Pro 12.9!” ujar Haikal teruja. Belum sempat tangannya menyentuh alatan IT itu, tangan Yen terlebih awal menghalangnya.
“Tak boleh sentuh,” tegah Yen. Haikal mencebik tidak puas hati. Hajat tidak kesampaian. Buru-buru Yen mematikan Apple iPad Pro 12.9 itu lalu menyimpan kembali di tempat asal tadi. Kotak merah hati beriben putih itu disorok ke dalam laci. Kemudian laci itu dikunci. Kotak itu begitu selamat sekarang. Yen menarik nafas lega. Dia tahu selagi kunci yang ada padanya itu tidak dirampas selagi itu hadiah yang ingin diberikan kepada gadis itu tidak akan diganggu.
“Alahai, kedekutnya! Itu pun awak tak bagi kami tengok,” kutuk Haikal tidak puas hati dengan tindakan pantas Yen menyembunyikan kotak itu.
“Hanya saya dan tuannya saja yang berhak menyentuhnya” jelas Yen.
“Tuannya? Apple iPad Pro 12.9 tu bukan awak punya?” soal Affiq pula. Yen angguk.
“Saya beli tapi bukan untuk kegunaan diri sendiri,” jelas Yen berterus terang sekerat jalan sahaja. Berkerut dahi Affiq mendengar bicara Yen itu. Ada kemusykilan dalam dirinya.
“Barang berharga macam tu mesti awak nak bagi kat orang yang istimewa,” teka Haikal. Yen tersenyum.
“Hadiah untuk Velviana,” teka Haikal. Senyuman yang terukir di bibir Yen terus padam tatkala mendengar sebaris nama itu. Nama yang tiba-tiba sahaja padam semalam. Yen geleng kepala. Sebaliknya Affiq dan Haikal saling berpandangan.
“Present for my wife,” tutur Yen membetulkan kenyataan itu.
Affiq dan Haikal berpandangan lagi. Seminit kemudian kedengaran gelak tawa mereka. Bicara Yen disangka satu gurauan tanpa curiga. Sebaliknya Yen tetap tenang menerima reaksi yang ditunjukkan oleh kedua-dua sahabatnya itu. Hatinya bersuara, belum sampai masa lagi untuk meyakinkan kepada mereka bahawa dia telah menjadi suami. Suami kepada insan yang bernama Nur Zahra Nur Iman yang membuat hatinya terdetik untuk menakluk hati sang isteri yang masih suci itu. Namun masih ada kekeliruan yang bermain dalam dirinya. Lantaran itu dia belum yakin untuk membuat satu keputusan mutlak. Akhirnya Yen berserah sahaja pada takdir yang telah Allah tentukan untuk dirinya.
No comments:
Post a Comment