BAB 8
Aku dan Boy keluar dari pawagam sambil tidak henti – henti ketawa.
“Kalau ler kau jadi macam tu Wan, seumur hidup aku tak nak kawan dengan kau”. Pantas tanganku menumbuk bahu Boy. Ketawa kami berlanjutan. Langkahku terhenti, serta – merta ketawaku juga mati.
“Kenapa Wan?” tanya Boy kehairanan.
Aku diam. Boy mengalih pandangannya. Kereta Wira putih itu mengaum meninggalkan parking.
“Kau kenal lelaki tu?”
“Dia salah seorang mangsaku”
“Mangsa?”
Aku mengangguk. Baru Boy hendak buka mulut cepat kupintas.
“Tutup cerita tentang dia” perintahku.
Boy akur saja.
###################################
“Adik tahu tak?” suara abang mengejutkan aku.
Pantas aku menoleh menatapnya.
“Tahu apa bang?” tanyaku pula.
“Naz dah terbang ke Korea bawa lukanya”
“Ke Korea?”
Bulat anak mataku memandang abang.
“Apa hal dia pergi sana?”
“Apa lagi kalau bukan angkara Adik. Adik tolak cintanya, frust ler dia”
“Betul ke?”
Abang mengangguk. Aku ketawa gelihati.
“Budak ni ketawa pula, bukannya nak simpati” marah abang.
“Lucu bang”
“Lucu apa pula...” keluh abang lalu bangun meninggalkan aku di ruang tamu.
####################################
Aku dan abang bersaing memasuki gate kampus. Masing – masing mencari tempat parking di garaj. Aku meloncat turun dari motor sebaik saja enjin kumatikan.
“Adik, lepas kelas toturial terus balik, tak payah tunggu abang tau”
“Kenapa?” tanyaku ingin tahu.
“Alah, tak payah ler sibuk – sibuk nak tahu!”
“Aa... Adik dah tahu. Tentu pasal ngorat perempuan ni” tekaku.
“Adik jangan ler bising, nanti pecah tembelang abang”
“Eleh, Adik nak beritahu Eda abang nak pasang satu lagi” ugutku.
“Adik sporting ler sikit” pinta abang.
“Boleh tapi abang mesti belanja Adik makan kat kafe nanti”
“Okey, no problem”
“Cish!”
Telapak tanganku dan telapak tangan abang berlaga.
Aku mengatur langkah ke kelas tutorial. Tiba je di depan pintu, aku nampak misai melentik tebal seinci itu.Tengok je muka dia sahlah aku kena marah lagi
ini.
“Kenapa lewat?”
“Ada traffic jam prof” jawabku spontan.
Teman – teman sekelas tersenyum memandangku.
“Tak pernah pun jalan ke kampus ni jam”tuturnya cuba memerangkapku.
Aku garu – garu kepala.
“Yalah, saya pun hairan kenapa hari ni tiba – tiba je ada jam. Kenapa ye prof?” jawabku serius.
Terburai ketawa teman – teman mendengar jawapanku. Profesor Karim geleng kepala.
“Dah ler berloyar buruk tu Irwanna. Cepat pergi tempat duduk kamu”
“Okey, terima kasih prof”
Aku melangkah ke tempat dudukku. Boy yang duduk di sebelahku tersenyum memandangku.
“Kenapa senyum – senyum ni, kusekang sebiji kang”
“Apa hal kau lewat?”
“Biasa ler lewat bangun”
“Kau tidur pukul berapa semalam?”
“03.00 pagi”
“Lewat juga. Kau buat apa?”
“Ala, tak payah ler nak jadi wartawan tak bergaji tu. Buang masa je” cemuhku bosan.
Boy tersengih.
“Apa lagi tu Irwanna, Herry?” tegur Profesor Karim.
Anak matanya menjunam menatap aku dan Boy. Boy angkat tangan, aku hanya tersengih memandangnya.
“Ambil perhatian sepanjang kelas ni, jangan asyik nak berbual kosong je” omelnya. “Tua bengkak” kutukku sakit hati.
Boy tertawa kecil mendengarnya.
“Dosa tau kau kutuk prof macam tu” tegur Boy.
“Eleh, siapa suruh sibuk – sibuk nak ambil tahu hal orang!” rungutku.
“Dah kerja dia”
Pantas tanganku menumbuk bahu Boy. Asyik hendak bela profesor itu saja. “Banyak mulut” cemuhku.
Boy tersengih lagi.
“Irwanna dah sedia dengan jawapan soalan pertama?”
Alah, aku lagi. Boy tersengih menjelingku. Kutatap kertas edaran ditanganku. Ada beberapa deratan soalan yang perlu dibincangkan. Aku juga yang jadi mangsa pertama kena jawab soalan nombor satu ini.
“Belum prof, baru je nak fikirkan” terus terangku.
“Baru nak tengok soalan. Tuler asyik nak berbual kosong je. Nanti saya nikahkan kamu berdua baru padan muka” ancamnya.
Kedengaran ketawa teman – teman menyambut bicaranya. Merah merona mukaku menahan malu berbaur geram. Boy di sisiku selamba memanjang. Lengkap sejam menandakan kelas toturial sudah tamat. Profesor Karim berlalu meninggalkan kelas.
“Benci betul aku dengan si misai tebal tu. Kau tak geram ke Boy? Asyik nak kenakan aku je” rungutku.
“Alaa, apa salahnya Profesor Karim buat macam tu”
“Apa kau kata? Apa salahnya?”
Besar anak mataku menatap Boy. Dia mengangguk menambah sakit hatiku. Bedebah betul mamat seorang ini. Sejak kebelakangan ini, seringkali kami tidak sependapat. Agaknya dia sudah diambang keinsafan dan ingin bertaubat nasuhah. Syukur .... syukur ....
“Ingat aku ni tak tahu malu ke? Takde maruah? Muka tembok? Sorry ler Boy, aku bukan orang macam tu, yang boleh dibuat sesuka hati, senang je dikutuk dan dibuli” panjang berjela aku berbicara.
“Apa kata jika cakap Profesor Karim tadi tu jadi kenyataan?” bicara Boy menambah panas hatiku.
“Gila kau! Aku tak teringin nak jadikan muka macam kau ni jadi boyfriend aku, apa lagi nak jadikan suami, jauh – jauhkan, selisih 44 malaikat” luahku serius.
“Kenapa? Aku ni tak cukup handsome ke?” usiknya lagi.
“Eleh, jangan nak perasan. Nak jadikan suami konon, tak layak langsung. Jadi kuli boleh ler”
Aku tertawa sendiri. Boy masih dengan sengihannya.
“Kalau budak engineer tu nakkan kau, kau nak tak Wan?” soalnya tiba – tiba. Besar mataku menatapnya.
“Sorry, lelaki tak main ler. Kalau nak jadikan geng pun tak payah. Semua orang aku boleh terima tapi bukan dengan budak seekor tu” tuturku penuh janggal.
“Apa hal kau anti sangat kat dia tu?”
“Kau bukan tak tahu, anak orang puteh, penjajah” kutukku geram.
“Hoi, dah lupa ke kot, siapa diri kau tu?”
Aku memandang tajam wajah Boy. Kugenggam jari jemariku. Pantas sebiji penumbuk singgah di pipinya. Boy yang tidak bersedia apa – apa tumbang bersama kerusinya ke belakang. Kelas yang tadi bising, tiba – tiba saja senyap. Semua mata terpukau menyaksikan kami. Boy mengusap – usap pipinya yang merah merona akibat ciuman penumbukku sebentar tadi.
“Jaga sikit mulut kau tu”
Aku memberi amaran keras kepada Boy dan terus berlalu meninggalkan kelas. “Wan maafkan aku. Aku bergurau je!”
Tidak kupedulikan laungan Boy. Boy mengejarku di belakang, cuba ditahannya langkahku. Kutolak tubuhnya ke tepi membuatkan Boy tersungkur lagi. Kucapai kunci motor dan terus memecut meninggalkan Boy sekaligus perkarangan kampus.
Majalah Roda – Roda kuhempaskan ke meja. Boringnya...... Tidak tahu hendak buat apa. Kuputar punat volume walk – man mencapai 100%. Lagu Kami Rappers membingitkan telingaku. Perutku sudah mula berkeroncong minta diisi. Hendak masak tidak tahu apa yang harus dimasak. Bukan tidak ada bahan cuma tidak arif tentang bab masak memasak ini. Kalau sekadar goreng telur dan masak mee maggie bolehlah. Tunggu punya tunggu, Mak Edah belum juga muncul. Mahu tak mahu aku terpaksa menahan laparku. Akhirnya aku tertidur.
“Hey, bangun!”
Terasa lututku ditampar. Peritnya! Kubuka mata, abang sudah duduk di bawah lunjuran kakiku.
“Kenapa Adik balik awal hari ni?”
Aku menguap beberapa kali.Pura-pura tidak mendengar pertanyaan itu.
Malas aku hendak mengenangkannya. Aku ambil kusyen kecil lalu menutup mukaku. Berhajat menyambung tidurku yang terganggu sebentar tadi. Baru hendak pejamkan mata semula, kusyen di mukaku diangkat.
“Alah, abang ni kacau ler” rungutku.
“Janji nak minta belanja makan. Susah – susah je abang tunggu Adik di kafe tadi” rungut abang. Alamak, aku terlupa ler!
“Kalau macam tu, jom belanja Adik makan kat luar” cadangku.
“Banyak cantik muka” ujarnya sambil menekan jarinya tepat – tepat ke hidungku. “Alah, kemek ler nanti hidung mancung Adik ni” rungutku.
Abang mencebik mengutuk.
“Boy ada jumpa abang tadi”
“Dah ler tu, Adik tak nak dengar” tingkahku laju.
Aku menarik muka masam.
“Marah?” usik abang.
Pantas tanganku memukul abang. Abang cuba mengelak. Seketika jadi pergelutan antara kami.
“Ya Allah, apa hal ni Lan, Adik? Kamu ni macam budak kecik” suara Mak Edah mengejutkanku.
“Adik ni nak cabar Lan, Mak Edah”
“Dah ler tu”
“Mak Edah dah masak? Adik lapar ni”
“Semuanya dah terhidang. Pergi ler makan nanti sejuk tak sedap pula”
“Yahoo...!”
Aku berlari ke dapur maklumlah sedang kelaparan sangat. Kedengaran telefon di ruang tamu berdering.
“Adik, Boy telefon!” laung abang.
Dengar nama itu, aku hanya menulikan telinga. Tidak sudi aku hendak berbual dengan budak keparat itu.
“Adik telefon” beritahu Mak Edah melihat aku sedikit pun tidak berganjak. Barangkali dia fikir aku tidak mendengar panggilan abang itu.
“Dah tahu Mak Edah” balasku selamba.
“Habis tu kenapa tak pergi jawab?”
Hairan dia melihat tingkahlakuku. Selalunya sebut saja nama Boy pasti aku akan berlari ke ruang tamu menjawab panggilan itu. Dia sememangnya cukup arif tentang persahabatanku dengan Boy. Boy kawanku sejak kecil lagi.
“Malas. Abang beritahu budak tu, Adik tak nak cakap dengan dia!” laungku. Mak Edah geleng kepala.
“Depan rezeki tak baik jerit – jerit” tegur Mak Edah.
“Oppss.... sorry Mak Edah” ujarku tersengih.
“Boy, dia tak nak cakap dengan kau. Tuler kau siapa suruh. Lain kali kalau nak bergurau fikir dulu” kedengaran suara abang menasihati Boy.
Aku senyum sendiri. Rupa –rupanya abang sudah mengetahuinya.
“Kenapa senyum – senyum ni?”
Tiba – tiba abang muncul di depanku. Tidak kuhiraukan pertanyaan itu.
“Tu buah hati Adik minta maaf”
Kutulikan telinga. Mulutku menyanyi – nyanyi kecil.
“Mak Edah, sejak bila pula ada orang pekak dalam rumah ni” sindir abang. Nada suaraku semakin tinggi.
“Geramnya aku kat budak ni”
Tangan abang mendarat di leherku. Aku menjerit dan meronta – ronta cuba melepaskan diri.
“Mak Edah tolong!” panggilku.
“Hey, apa hal ni! Dah ler tu, kau orang ni betul – betul buat Mak Edah pening kepala” rungutnya.
Aku dan abang hanya tersenyum menatap Mak Edah. Kujeling abang. Baru hendak melangkah masuk, abang meraih pinggangku lalu digeleteknya. Aku tertawa geli sambil meronta – ronta cuba melepaskan diri.
“Mak Edah!” jeritku sekali lagi memanggilnya.
“Lan dah ler tu. Jangan asyik nak bergurau je. Kamu ni betul – betul macam budak – budak kecil” rungutnya lagi sambil geleng kepala.
“Abang lepaskan Adik!” laungku kerana tidak tahan lagi.
“Abang tolong ler!” rayuku pula.
“Janji lain kali jangan nak tunjuk samseng”
“Janji.....” jaminku sambil angkat tangan berikrar.
Lepas saja dari tangan abang, aku terus berlari ke bilik air. Abang terkekeh – kekeh ketawa.
“Nasib baik Adik tak terkencing kalau tak habis ler abang” laungnya memerliku.
No comments:
Post a Comment