Wednesday, 1 June 2011

Hanif Azizi


‘ HANIF AZIZI ’

‘ Ya Allah ya Tuhanku,
andainya dia jodoh terbaik buatku,
kau pertemukanlah aku dengannya.
Dan andainya dia bukan pilihan terbaik untukku,
Kau butakanlah hatiku dari merinduinya,
Kau lenyapkanlah minda ini dari mengingatinya,
Kau jauhkanlah dirinya dari membelenggu diri ini,
Sesungguhnya kau amat berkuasa menentukan semua ini.
Dan hanya tempat Mulah aku berserah segalanya’

                Aku menekupkan kedua tanganku ke muka. Satu permohonan yang kupanjatkan kepada Illahi dengan harapan agar dimakbulkan. Sejak kebelakangan ini aku sering saja melafazkan doa ini setiap akhir solatku. Aku harapkan ketenangan yang betul-betul dapat mendamaikan jiwaku. Kalau boleh aku tidak ingin membelenggu diri ini dengan perkara yang sia-sia atau membiarkan diriku bermain dengan perasaan. Tapi apakan dayaku, aku hanyalah insan biasa yang tidak punya kekuatan untuk menentang semua ini.
                        Perlahan-lahan aku meninggalkan sejadah yang terbentang di hadapanku. Aku berdiri menghadap jendela yang terkuak luas, menatap wajah malam. Cahaya bintang berkerdipan. Ya Allah sungguh indah ciptaan-Mu. Kau menyedarkan aku betapa agungNYa diriMU, betapa kerdilnya diri ini sehingga sebegitu mudah tewas. Perlahan-lahan terasa panas mengalir dipipiku. Ahh! Aku betul-betul telah kecundang. Kenapa hanya kerana seorang lelaki aku mensia-siakan air mataku yang terlalu berharga ini? Aku cuba memberontak namun ternyata hati dan perasaanku telah menguasai segalanya.
                        Tiba-tiba aku rasa diri ini hina dan jijik. Sebetulnya aku masih gadis suci dan tidak pernah diri ini dicemari oleh mana-mana lelaki malah tangan yang bukan muhrim tidak pernah sekalipun menyentuhku. Begitu teguh dan kuatnya peganganku sebagai gadis Timur yang kaya adat kesopanan. Entah kenapa aku berperasaan demikian? Perkara yang tidak pernah aku rasakan sebelum ini malah  tidak pernah aku mengimpikannya suatu hari nanti berlaku kepadaku. Takdirkah semua ini?
                        Aku melepaskan keluhan kecilku yang tidak pernah sudah-sudah. Wajah dia kembali lagi. Wajah yang tidak asing dari mataku. ‘ Hanif Azizi ’. Satu nama yang cukup ringkas seringkas orangnya. Dia hanyalah pemuda biasa malah aku rasa tidak ramai gadis yang menyedari akan kewujudannya di sini apatah lagi bagi gadis yang mementingkan ketampanan wajah seorang lelaki. Penampilannya serba ringkas dengan jeans lusuh dan t-shirt yang tidak berjenama. Malah dari pandangan mata kasar dia nampak seperti budak nakal. Dia bukanlah lelaki idaman yang diimpikan oleh semua gadis.
                        Tapi aku tidak pernah menilai diri seseorang itu berpandukan semua itu. Apa yang telah menarik perhatianku adalah sifatnya. Aku mengimpikan lelaki yang tahu menghargai dan menyayangiku. Naluri wanitaku dapat merasakan bahawa dialah lelaki penyayang. Dari tingkahlakunya, tutur katanya membuktikan penilaianku tepat. Hanif menyanjungi dan menghormati kedudukan seorang perempuan. Dia tidak pernah mempertikaikan kelemahan dan kekurangan diri orang lain. Dia tahu manusia bukan sempurna untuk memiliki semua keindahan. Sifatnya itulah yang benar-benar telah menggugat perasaanku sebagai seorang perempuan.

                        Aku tertawa kecil. Terasa lucu mencuit hatiku. Ina juga tertawa. Kupandang Hanif, dia tersenyum lebar.

“ Kau ni suka sangat ketawa Aja” komenya masih dalam senyuman.
Aku tertawa kecil lagi. Entah kenapa hari ini aku begitu mudah tertawa. Ahh... memang sikapku sentiasa ceria. Kawan-kawanku kata aku seorang yang happy go lucky. Manusia yang tidak pernah tewas dengan masalah malah Hanif kata aku seorang yang murah dengan senyuman. Satu persamaan antara kami yang tidak disedarinya.
“ Kau tak balikkah cuti ni?”
Tawaku terhenti. Hanif memandangku.
“ Aku?” soalku semula.
Hanif mengangguk.
“ Balik..... siapa kata tak balik. Ni cuti seminggu tau” terangku tanpa dipinta.
“ Nak ikut boleh tak?” sampuk Ezat yang dari tadi diam.
“ Alah.... kau tak payahlah ikut, aku dah booking awal nak ikut Aja” bantah Hanif sebelum sempat aku bersuara.
“ Hey..... kau orang tak nak ikut akukah? Takkan nak ikut Aja je, jealouslah aku” seloroh Ina.
Hanif dan Ezat tertawa. Aku hanya senyum.
“ Aku nak ikut kau tau” kata Hanif lagi.
 Aku hanya mengangguk sambil tersenyum. Aku tahu semua itu hanya gurauan. Hanif tidak akan berani balik bersama seorang gadis yang tiada pertalian dengannya melainkan sebagai seorang sahabat. Malah aku belum bersedia menerima sebarang risiko.
“ Hanif tak balik?” soalku pula.
“ Tak, mungkin duduk kat sini je” ujarnya dalam nada sedih.
“ Ikutlah aku balik” ajak Ezat.
“ Tengoklah nanti”
Dia kembali senyum. Aku menatap Hanif. Tiba-tiba tersirat satu perasaan dihatiku. Ahh! Tidak mungkin. Kualih pandanganku jauh-jauh. Aku tersedar apabila Hanif menggerak-gerakkan tangannya di hadapan mukaku sambil tertawa kecil. Aku senyum lagi.
“ Termenung ingatkan siapa?”
Aku geleng kepala.

                        Hari yang kulalui mula berubah. Aku sentiasa saja terkenangkan Hanif. Tatkala aku terserempak Hanif aku seolah-olah kaku untuk berhadapan dengannya. Aku tidak mampu menunjukkan kemesraanku seperti selalu. Adakalanya aku tidak sabar-sabar untuk menemuinya. Tika kami berbual-bual mesra, aku sentiasa mengharapkan agar perbualan itu berpanjangan. Aku akan bergembira apabila bersama Hanif walaupun dalam masa yang singkat malah akan menjadi satu kenangan buatku. Setiap kata-kata yang keluar dari mulut Hanif akan kuhafal satu-persatu. Bayangan Hanif betul-betul telah menghantuiku. Aku sedar aku mula menaruh minat terhadap Hanif lebih sebagai seorang sahabat. Maafkan aku Hanif kalau aku telah menodai ikatan persahabatan ini.

                        Setiap kali kami berkumpul bersama, aku dan Hanif saling berpandangan tapi akhirnya aku juga yang akan melarikan wajah atau sekurang-kurangnya buat tidak tahu. Hakikat dan realitinya hatiku resah. Kenapa aku tidak punya keberanian untuk meluahkan segalanya kepada dia? Apakah kerana aku seorang perempuan, segalanya agak terbatas dan terpaksa mengikut peraturan azali walaupun tidak termaktub sebagai undang-undang rasmi yang terbuku di mana-mana mazhab atau kitab. Siapakah yang salah dalam hal ini? Akukah sebagai perempuan atau adat yang tercanang sejak sekian lama? Ahh... aku tidak harus mempersalahkan semua ini. Hakikatnya aku masih mahu mempertahankan maruahku. Aku tidak mahu diibaratkan sebagai perigi mencari timba. Walaupun kiasan itu agak lapuk pada zaman moden ini tapi tetap berjaya mempengaruhiku.

                        Aku sedar kebanyakan gadis masih tetap berpegang dengan pepatah ini. Apa yang paling kutakutkan adalah Hanif akan menolak perasaanku. Aku tidak boleh berhadapan dengan semua orang apatah lagi dengan Hanif kalau perkara ini betul-betul terjadi. Dalam masa yang sama aku takut ada insan lain yang akan mengisi hati Hanif kalau aku tidak bertindak awal. Aku betul-betul takut kehilangan dia. Aku takut untuk kecewa sama ada jika Hanif menolak keinginanku atau atas tindakanku sendiri yang mendiamkan diri.
                       
Ada tikanya aku punya keberanian luar biasa dan pernah nekad untuk menemui Hanif demi menerangkan segalanya. Serentak dengan itu aku cuba membayangkan reaksi darinya. Pelbagai andaian bercambah di mindaku malah dalam ilusiku aku telah menyusun bait - bait yang begitu indah dan berdiplomasi untuk kuungkapkan kepadanya. Aku seolah-olah menjadi wanita yang begitu tabah. Namun tatkala aku kembali waras aku cuba melawan segala ilusiku. Aku belum bersedia membuang perasaan maluku. Aku terbayang wajah Zana, teman baikku. Hatiku berkeras untuk meluahkan segalanya pada gadis itu tapi tiba-tiba saja rasa egoku memuncak. Masakan aku sanggup mengubah tanggapannya terhadapku sebagai seorang yang tidak pernah tewas oleh masalah.

                        Mujur saja tika ini malam menjelma. Kalau tidak sudah pasti aku akan melangkahkan kakiku mencari sasarannya. Maka gemparlah, Zana tentu terdiam panjang malah dia tidak akan percaya apa yang bakal kukatakan. Keadaan yang sama juga, Hanif pasti rasa bangga kerana dalam diam ada gadis yang meminatinya lalu kami menjadi pasangan kekasih yang bahagia atau Hanif tidak mampu menerimaku selain sebagai seorang sahabat lantas atas tindakanku itu ikatan persahabatan kami terputus.

Ya Allah berilah aku petunjukMu. Apakah hambuMu ini harus lakukan? Andainya aku belum bersedia tutupkanlah hatiku daripada menerima mana-mana lelaki termasuk Hanif, tapi kenapa tiba-tiba saja aku ingin memiliki Hanif sedangkan selama ini aku tidak pernah tertarik kepada kaum Adam. Bukan aku benci mereka atau tiada siapa yang sudi untuk mengisi kekosongan hatiku tapi aku tidak pernah terfikirkan hal itu lantas aku tidak cuba melibatkan diriku dengan semua itu. Sekarang bagai mengejut aku berkeinginan untuk menyayangi dan disayangi. Adakah kerana usia semakin berganjak membuatkan pendirianku turut berubah?

“ Aja nak pergi mana ni?” sapa satu suara.
Pantas aku menoleh. Dadaku berdegup kencang. Hanif seperti biasa tersenyum.
“ Hey... Hanif” balasku sambil cuba menyembunyikan debaran perasaanku.
“ Aku nak pergi librarylah. Nak ikut?”
“ Boleh juga. Jom......” sahutnya tanpa berfikir panjang.
Aku terdiam seketika. Ya Allah apa yang kulakukan ini? Aku bukan berniat mengajaknya bersungguh-sungguh hanya sekadar ajakan spontan. Tidak sangka tiba-tiba saja Hanif menerimanya sedangkan aku nampak dia seolah-olah bergegas seperti ada hal penting. Aku yang bertekad untuk menjauhinya terus kematian akal.
“ Kenapa terpacak kat situ lagi? Jomlah.... kan library di hadapan tu” ujarnya sambil menunding jari ke satu arah dengan senyuman.
Mahu tidak mahu aku terpaksa juga melangkah. Sepanjang bersama Hanif di library, aku cuba berkelakuan seperti biasa. Aku cuba menimbulkan kemesraan antara kami. Namun terasa hambar. Aku tidak mahu Hanif menyedari sesuatu atau prasangka yang bukan-bukan dengan perubahanku ini.
“ Aja hari ni kau nampak peliklah” komen Hanif tiba-tiba.
Aku tersentak.
“ Tak delah” bantahku.
“ Kenapa kau tiba-tiba je jadi pendiam?” soalnya.
“ Rasanya hari ni aku aje yang bercakap” tambahnya lagi.
“ Itu cuma perasaan kau je” ujarku cuba mengelak.
Any problem?” soalnya seolah-olah tidak mempercayaiku.
“ Hey.... ini Ajalah” balasku cuba menyedarkannya siapa dengan dia berhadapan sekarang.
Harapanku agar dia faham dengan kata-kataku yang tersirat itu.
“ Ajakan manusia juga. Tak pun banyak kali tapi sekali mesti pernah tewas dengan masalah” ujarnya menyedarkanku.
Aku terdiam. Aku mengakui kebenaran kata-kata yang tersirat itu.
“ Aku rasa sejak akhir-akhir ni ada yang tak kena dengan kau” komennya terus.
Aku meneruskan diamku. Tiba-tiba saja langkah Hanif yang rancak tadi terhenti. Aku juga berhenti melangkah. Hanif menatapku. Kami berpandangan. Ya Allah, apakah yang harus aku lakukan? Inikah masanya untuk aku berterus-terang segalanya? Ahh! Tidak. Aku terus memalingkan mukaku.
“ Aja... ni Haniflah” ujarnya tiba-tiba.
“ Aku tahulah” jawabku cuba berseloroh.
“ Kau tentu fahamkan apa yang aku maksudkan?”
Dahiku berkerut. Aku memaksa diriku tidak memahami akan kata-kata Hanif. Walau apapun yang terjadi biarlah semua ini menjadi rahsia peribadiku. Biarlah aku memuja Hanif dalam diam.
“ Aku sayangkan kau tau. Kalau ada problem cakaplah dengan aku” gesanya.
“ Betul?” soalku masih dalam senyuman gurauan.
“ Ya sebagai seorang sahabat”
Kegembiraank yang sedikit berputik tadi terus hilang. ‘Sahabat’, ya sebagai seorang sahabat. Aku cukup faham maksud bicara itu.
“ Aa... termenung lagi..... tu kata tak de masalah” suara Hanif menyentakkanku.
“ Hey.... jomlah kita pergi”
Aku hanya tersengih lalu menyambung langkah. Sepanjang berada di sisi Hanif, aku cuba berlagak seperti biasa. Gelak tawa dan senyuman silih berganti. Walaupun aku tidak mampu membohongi perasaanku tapi sekurang-kurangnya aku boleh berlakon di hadapan Hanif. Namun ternyata Hanif tetap menyedari akan perubahanku. Dia berusaha mengorek sesuatu dariku. Namun tidak berhasil.

                        Petang itu sebaik sebaik saja aku berpisah dengan Hanif, aku kembali muram. Rasa menyesal terselit dihati. Kenapa aku tidak menggunakan peluang itu sebaik-baiknya untuk berterus-terang saja kepada Hanif? Tapi apa kata Hanif nanti? Bagaimana pula kalau dia juga berperasaan sepertiku?.... Atau...ahh.. aku tidak sanggup menerima kenyataan ini. Persoalan tidak henti-henti bermain di otakku.
                       
Hanif kalaulah tika ini kau sudah berpunya, alangkah baiknya. Tidak perlu aku berangan dengan harapanku ini. Biarlah segala-galanya pasti. Aku sudah tidak larat terus-terusan berkeadaan begini. Timbul persoalan lain. Tidakkah aku kecewa kalau Hanif dimiliki orang lain? Pasti! Aku tentu saja kecewa kalau orang yang aku puja selama ini sudah berpunya tapi kalau itu sudah pilihannya dan merupakan kebahagiaan bagi Hanif, aku redha. Biarlah aku hanya mencintainya walaupun tidak mampu memilikinya. Namun aku akan sentiasa berdoa semoga masih ada kesempatan untuk aku bertakhta dihati Hanif. Aku betul-betul menyayanginya.

“ Na, aku betul-betul tak boleh lupakan dia”
Air mataku menitis. Tangan Zana kugenggam erat. Zana menatapku cuba menyelami perasaanku. Akhirnya terkeluar juga perkataan ini dari mulutku.
“ Siapa?” suaranya lembut menyusup ke telingaku.
Aku menatapnya. Terlalu berat untukku menyebut nama itu. Aku terdiam dan tertunduk. Jelas aku belum mampu untuk berterus-terang segalanya.
“ Maaf, aku belum ada kekuatan untuk mengatakannya pada kau”
“ Aku faham. Kalau kau dah sedia, cakaplah denganku nanti” ujarnya masih dengan kelembutan suaranya.
“ Aku betul-betul sayangkan dia. Aku takut akan kehilangannya tapi untuk berterus-terang dengannya adalah perkara mustahil. Kau fahamkan........”
Zana mengangguk perlahan.
                       
Hari-hari yang kulalui betapa menyeksakan. Bayangan Hanif terus membelengguku. Di hadapan kawan-kawan terutama Zana aku cuba berkelakuan biasa. Aku tidak mahu Zana risaukan aku apatah lagi sejak akhir-akhir ini aku lihat dia bertambah ceria.
           
                        Sudah seminggu aku tidak berjumpa Hanif. Tentunya dia sedang sibuk study untuk exam akhir semester ini. Aku juga tidak melupakan tanggungjawabku sebagai mahasiswi. Walau seresah manapun aku, aku tidak pernah ketepikan buku-buku pelajaranku. Masing-masing bergelut dengan buku.

“ Hey... Aja, kau tau tak cerita terbaru tentang Hanif?” suara Ina betul-betul menarik perhatianku.
Sudah pasti kerana sebuah nama itu. Nama yang tidak pernah luput dari ingatanku.
“ Cerita apa?” soalku tak sabar-sabar.
“ Tak sangka betullah”
Ina tersenyum-senyum sambil geleng kepala.
Sure kau terkejut dan tak caya cakap aku. Patutlah Zana tu bertambah ceria sekarang” komennya terus.
Zana? Apa kaitan dia dengan Hanif? Apakah Zana sudah dapat membaca isi hatiku lalu menyatakan kepada Hanif tentang hal ini? Aku menatap Ina, rasa tidak sabar untuk mendengar bicara seterusnya.
“ Kau tau, Hanif dan Zana sekarang ni tengah hot bercinta”
“ Apa?”
Aku terpaku. Degup jantungku terasa terhenti.
“ Aa.... Kan aku dah kata kau akan terkejut”
“ Tadikan aku jumpa diaorang jalan sama-sama tau. Nampak romantik sungguh” cerita Ina.
“ Alah! Tukan perkara biasa. Mungkin mereka hanya kawan baik” ujarku membuat andaian.
Sesungguhnya aku cuba menolak kenyataan ini. Tenanglah hati! Gembiralah!
“ Kau ingat Hanif tu kenal sangat dengan Zanakah? Hey... Zana tu kawan rapat kau, takkan kau tak perasan yang sebelum ni dia tak pernah pun jalan sorang-sorang dengan lelaki” kata-kata Ina menyedarkan aku.
Ahh! Hanif telah menjadi milik Zana. Aku menarik nafas dalam-dalam. Tabahlah hati...........
“ Kenapa?” tiba-tiba saja soalan itu keluar dari mulut Ina.
Barangkali dia perasan melihat perubahanku.
“ Aku terkejut betul dengan cerita kau ni” ujarku perlahan.
“ Betulkan apa yang aku cakap. Tak sangka diaorang dua tu. Ingatkan Hanif tu jodoh kau” ujarnya selamba.
Aku hanya diam mendengar ungkapan itu. Jika dibandingkan aku dengan Zana, memang aku lebih rapat dengan Hanif. Kami satu jurusan sedangkan Zana jurusan lain. Macam mana mereka boleh berkenalan lalu bercinta? Kenapa aku tidak menyedari semua ini? Barangkali mereka sengaja merahsiakan dari pengetahuanku.

                        Kutatap wajah Zana. Memang sentiasa ceria. Dia tidak lekang - lekang dengan senyumannya.
“ Aja, aku nak beritahu kau sesuatu” ujarnya tiba-tiba.
“ Apa dia?”
Zana senyum lagi.
“ Aku dan Hanif ada hubungan sekarang. Kau tentu dah dengarkan. Sorrylah aku bukannya nak rahsiakan dari kau. Cuma belum ada kesempatan lagipun baru je nak bermula” cerita Zana.
Aku cuba sedaya-upaya mengukir senyuman.
“ Baguslah tu, Hanif tu budak baik tau. Bertuahlah dapat dia” usikku.
Zana senyum. Tidak sangka rupanya aku masih mampu juga berhadapan dengan semua ini.
“ Macam mana boleh terjalin hubungan ni?” soalku selanjutnya.
Zana tersipu malu.
“ Panjang ceritanya. Hari lain je aku cerita kat kau..”
Aku diam. Kematian akal untuk terus berbicara. Kubuang pandanganku jauh-jauh.
“ Hanif ada juga cakap tentang kau”
Kata-kata Zana kubiarkan berlalu. Aku sudah tidak berminat untuk tahu. Hanif, akhirnya kau dimiliki orang juga.
“ Dia kata kau seperti ada masalah je. Dia risau sangat dengan kau” tambahnya lagi.
Hanif risaukan aku? Aku tersenyum sendiri.
“ Aja, kau dah bersedia nak beritahu aku nama lelaki tu?” ujarnya tiba-tiba mengubah topik perbualan kami.
Aku menatap Zana. Apakah perlu aku katakan sekarang sedangkan dia sudah dimiliki? Haruskah aku beritahu kau bahawa lelaki yang kau miliki tika ini, itulah orangnya?
“ Tak pelah, segalanya dah okey” balasku tanpa memberi jawapan yang tepat.
Zana nampak hampa. Bukan niatku untuk mengenepikan dia dalam hal ini. Sebenarnya aku ingin menjaga perasaannya dan menjaga ikatan persahabatan ini. Aku tidak mahu kehilangan kedua-duanya. Biarlah aku kehilangan Hanif asalkan Zana terus menjadi sahabatku.
“ Aku faham. Kadang kala kita perlu berahsia” tambah Zana.
Aku menatap wajahnya. Dia senyum. Nampak kata-kata itu ikhlas dari mulutnya.

                        Aku menatap wajah Zana. Begitu ceria sekali dia bercerita tentang Hanif. Mereka betul-betul pasangan bahagia. Aku tidak menafikan memang hatiku sakit tapi semua ini bukan salah Zana atau Hanif. Semua ini angkara perasaanku. Bayangkan aku terpaksa mendengar cerita-cerita indah antara Zana dengan Hanif. Betapa sukarnya menghadapi semua ini. Tatkala Zana tertawa gembira aku juga turut tersenyum seolah-olah aku turut meraikan kegembiraan Zana sedangkan sebetulnya aku sengsara. Sejak akhir-akhir ini, aku betul-betul menjadi manusia hipokrit.

                        Aku tertawa panjang. Entah senja ini aku kembali ceria setelah sekian lama berperang dengan perasaan. Barangkali kerana aku sudah menemui jawapan yang aku harapkan selama ini. Terima kasih Zana, sekurang-kurangnya tindakanmu mengurangkan tekanan kepadaku.

“ Ada hubungan dengan Zana, kenapa tak cakap dengan aku?” usikku kepada Hanif.
Hanif tersengih.
“ Aku saja nak biarkan kau tau sendiri” balasnya spontan.
“ Zana tu baik tau, beruntung kau dapat dia. Kau jangan persiakan dia tau” pujiku seraya memperingatkannya.
Don’t worry. Kalau kawan kau, aku akan jaga dia macam tuan puteri”
Aku terdiam mendengar kata-kata Hanif. Terdetik rasa cemburu di hatiku. Beruntung Zana dapat memiliki orang yang betul-betul menyayanginya. Aku tidak seharusnya mencemburui mereka. Aku  sudah membuang jauh perasaan itu. Hanif  adalah sahabatku! Ahh! Aku melepaskan keluhan kecilku.
“ Kenapa?”
Aku menatap Hanif. Hairan dengan persoalannya.
Are you okey?”
Aku mengangguk sambil mengukir senyuman.
“ Kau bila lagi nak perkenalkan aku dengan boyfriend kau?” tiba-tiba soalan itu keluar dari mulut Hanif.
“ Alah! Muka macam aku ni siapalah yang nak” ujarku merendah diri seraya tersenyum.
“ Kau tu yang jual mahal sangat. Barangkali citarasa kau tu terlalu tinggi. Kau betul-betul nakkan lelaki yang sempurna kot” tekanya.
“ Boleh juga kalau ada...........” balasku spontan.
Hanif terdiam seketika.
“Mungkin sebab tu tak de orang berani nak luahkan perasaan kat kau” tambah Hanif lagi.
“Betulkah ada orang minat kat aku?” soalku berjenaka.
“Kolej ni besar, takkan tak de seorang pun yang berminat kat kau. Sure ada”.
Aku hanya senyum. Biarlah...... kalau ada yang minat pun, aku tidak kisah. Buat masa ini hatiku sudah tertutup untuk memikirkan semua itu. Biarlah perkara ini datang sendiri. Itu semua urusan Tuhan.
“ Hanif, aku nak beritahu kau sesuatu?”
Hanif menatapku, menanti kata-kataku seterusnya.
“Aku dah ambik keputusan, semester depan aku nak pindah kolej” ujarku perlahan.
Nampak Hanif tersentak.
“ Kenapa?”
Satu soalan yang kujangka akan keluar dari mulut Hanif dan juga soalan yang sukar untuk aku jawab.
“ Dah lama aku tinggal berjauhan dari keluarga. Rasa nak ubah seleralah” balasku dengan alasan yang tidak munasabah tetapi boleh diterima akal.
“ Takkan sebab tu kot. Kau tu bukan budak lagi” balas Hanif curiga.
Aku hanya senyum. Memang itu saja alasan yang aku terfikir tika ini. Mustahil aku hendak beritahu dia yang aku telah kecewa lalu membawa diri.
“ Kau dah beritahu Zana?” soalnya lagi.
Aku geleng kepala.
“Tak sampai hati aku nak cakap. Kau beritahulah dia” pintaku.
Hanif kembali diam. Dibuangnya pandangan jauh-jauh.
“ Tentu aku rindukan kau nanti. Macam mana kalau aku rindu kau?”
“ Alah.... telefonlah aku!”
“ Kalau nak tengok muka kau?”
“ Jumpa aku” balasku.
“ Suatu hari nanti, kalau kau dan Zana rancang nak kahwin jangan lupa  beritahu aku tau” pesanku.
Hanif tersenyum.
                        Akhirnya aku tinggalkan juga Hanif dan Zana di sini. Aku ingin melalui hari-hari mendatang dengan kehidupan baru. Biarlah kenangan semalam itu berlalu. Tidak akan kubiarkan hati ini terus kecewa dan menyeksa diri hanya kerana seorang lelaki. Aku berharap suatu hari nanti, Hanif akan mengerti perasaanku.
           
                        Sudah lama aku memulakan kehidupan baru. Pengajianku sudah sampai ke penghujungnya. Ternyata usahaku selama ini tidak sia-sia. Aku menamatkan pengajianku dengan cemerlang. Pastinya hadiah istimewa buat abah dan mama. Aku teringatkan Zana dan Hanif. Sudah lama aku tidak mendengar berita mereka. Hanif, tatkala aku bersendirian, pasti aku terkenangkan dia. Aku fikir setelah dia dimiliki, aku boleh lupakan dia. Walaupun aku mampu menerima hakikat bahawa dia sudah berpunya, namun aku tetap merinduinya. Rupa-rupanya aku masih menyayangi Hanif lebih daripada seorang sahabat. Pastinya aku kecewa dengan tindakanku sendiri.

                        Pasti saja berita ini perit untuk aku terima. Aku hampir-hampir saja rebah dan tersungkur di situ. Mujur cepat-cepat aku ingatkan Tuhan. Kukumpulkan sisa-sisa kekuatan yang ada. Aku tidak boleh menangisinya. Semua ini sudah ditakdirkan. Masanya sudah tiba, sebagai hamba kita harus redha. Tiba-tiba aku terbayangkan wajah Zana. Aku harap kau akan tabah menerima hakikat ini.

                        Dari jauh, aku lihat Zana sedang manantiku. Dia tersenyum menyambutku, namun senyuman itu nampak lesu saja.
“ Aja........”
Dia terus memelukku. Kedengaran esakan tangisannya.
“ Sabar Na, Tuhan lebih menyayanginya. Kita harus redha” ucapku lembut.
Zana melepaskan tubuhku. Dia mengesat sisa-sisa air matanya.
“ Sejak akhir-akhir ni, dia asyik teringatkan kau. Katanya dia rindukan kau sebab tu kita cadang nak jumpa kau”
Cerita Zana menyentuh hatiku.
“ Tiba-tiba je dia terlibat dalam kemalangan”
Anak mata Zana kembali berkaca.
“ Aku tak sangka tu pertemuan terakhirku dengannya”
“ Sabarlah, semua tu dah ditakdirkan untuknya”
Aku masih juga tabah. Sepi seketika. Masing-masing mendiamkan diri. Tika ini aku berdoa untuk Hanif agar rohnya bersemadi dengan aman. Biarlah rahsia cintaku berkubur dengan jasadnya.
“ Aja.... Hanifkah yang buat kau terseksa selama ni?” soalnya tiba-tiba.
Aku tersentak. Betul-betul terkejut dengan persoalan Zana ini. Pantas saja aku menggeleng. Tidakkan aku mengaku macam itu saja. Aku tidak sanggup menambah bebanan yang terpaksa Zana tanggung. Biarlah hatinya tenang.
“ Semasa aku mengemas barang-barang Hanif, aku terjumpa benda ni”
Zana meletakkan sesuatu di tanganku. Kutatap dada penanda buku itu. Sebaris nama Ajaraini dan Hanif terletak antara lukisan berbentuk hati yang terukir indah. Di bawah sepotong ayat yang berbunyi...... ‘ mencintainya tidak bermakna memiliki dirinya........’ Aku terpaku. Perlahan-lahan air mataku menitis keluar. Terasa Zana menggenggam erat tanganku. Di wajahnya tiada dendam. Namun yang terlukis hanya rasa simpati.
“ Sejak kau pergi, Hanif telah banyak berubah. Dia jadi pendiam dan sering saja bercerita tentang kau” ujarnya lembut menambah kepiluan hatiku.
Hanif, terima kasih. Akhirnya kau membuatkan aku gembira juga. Semoga rohmu dirahmati Allah. Amin.












Hello                      







2 comments:

  1. terharunyeee..sedeh betul ending dieee

    ReplyDelete
  2. nie ler lumrah percintaan. kadangkala bahagia kadangkala berduka. bercinta tak semestinya bersatu...

    ReplyDelete