BAB 1
“Lan, adik kau bergaduh!” laung Jeffry dari kejauhan.
“Di mana?” tanyanya cemas.
“Sana!” laungnya lagi sambil menunding telunjuknya ke satu arah.
Eizlan terus berlari. Aku cuba melepaskan diri dari pegangan Boy.
“Hey, Adik apa hal ni!”
Aku menoleh. Kulihat abang datang.
“Hey, kalau kau betul – betul nak lawan aku kat luar kita jumpa!” cabarku sambil menunding jari tanpa pedulikan abang.
“Okey, ingat aku takkan lepaskan kau” ancam Rashid dan terus berlalu.
Abang menarik tanganku. Aku buat muka selamba saja.
“Apa hal ni, Dik?” ulang abang bertanya.
“Budak Rashid tu nak tunjuk hebat” jawabku selamba.
“Dahlah tu. Kalalu abah tahu Adik bergaduh, habis kita” rungut abang.
Kepalaku ditepuk. Berkerut wajahku menahan sakit. Tak guna punya abang!
Kuliah tamat. Aku berlari ke pintu tidak peduli langgar siapa saja. Beberapa orang pelajar lelaki yang kulewati geleng kepala.
“Adik cepatlah!” laung abang.
Aku melompat naik ke motor.
“Lain kali kalau Adik lambat lagi, abang tinggalkan” ujar abang memberi amaran kepadaku.
“Alaa… kalau dah motor Adik okey nanti tak payahlah tumpang abang” balasku angkuh.
Enjin motor dihidupkan.
“Apalah abang ni, bawa motor macam tak larat je. Slow tak main ler” perliku. “Ni kawasan larangan nanti kalau abang race mati kita kena marah”
“Pedulikan mereka bang” jawabku senang.
Tiba di jalan besar motor abang pecut laju. Wah, seronoknya! Enjin motor belum dimatikan, aku sudah meloncat turun dan berlari masuk. Terus saja aku ke dapur.
“Mak Edah masak apa hari ni?”
“Seperti biasa Adik”
Aku mencebik boring. Rasa tak lalu makan tengok menu hari ini.
“Adik nak makan?”
Aku geleng kepala dan terus berlalu naik ke bilik. Kulucutkan pakaianku dan menukarnya dengan jeans dan t – shirt. Lagu kami rappers memenuhi ruang bilik.
“Adik, abang nak keluar!” laung abang dari bawah antara kedengaran dengan tidak.
Kemudian kedengaran enjin motor meninggalkan halaman. Kujenguk keluar, abang sudah pergi. Kucapai cap dan terus keluar.
“Adik nak ke mana tu?”
“Keluar Mak Edah” jawabku ringkas.
Mak Edah geleng kepala. Nombor telefon kutekan satu persatu.
“Aa.. Boy kita keluar. Aku nak makan”
Aku mengangguk – angguk menerima arahan Boy.
“Okey, kita pergi tempat biasa”
Gagang kuletak.
“Mak Edah, Adik pergi dulu” laungku di ambang pintu ruang makan.
Mak Edah hanya mengangguk.
#################################
“Kita nak ke mana dulu?”
“Hantar aku ke workshop Abang Mat, aku nak ambik motor aku dulu. Lepas tu, baru kita pergi makan” jelasku.
Boy akur saja dengan perintahku.
“Hoi, bang Mat!” sapu sebaik saja kakiku memijak workshop itu.
Lelaki itu tersenyum menyambut kedatanganku.
“Bagaimana dengan motor saya?”
“Dah okey”
Aku mendekati TZMku. Kuteliti semuanya. Cap kuangkat sedikit. Baru aku terperasan dua biji mata itu asyik memerhatikan gelagatku sambil tersenyum.
“Bang Mat, nampaknya ada pekerja baru ler”
Tiada suara yang menyahut. Agaknya sibuk melayan pertanyaan Boy yang sedang berlegar – legar di workshop ini.
“Hai, aku Wan!”
Aku memperkenalkan diri sambil menghulurkan tangan.
“Kid” balasnya.
“Wan tak takut ke bawa motor besar?” tanyanya ramah.
Aku tergelak mendengar pertanyaannya itu.
“Motor besar bukan makan orang, buat apa nak takut” balasku.
Kid tertawa.
“Aku pergi dulu. Abang Mat duitnya ada kat meja tu” beritahuku dan terus memecut motor pergi.
Boy mengekori dari belakang.
“Ngah, ingatkan dia tu tak reti cakap kita” ujar Kid.
Abang Mat tergelak.
“Dia tu anak Datuk Osman di Bukit Damansara tu. Ibu dia orang puteh”
Kid mengangguk – angguk faham.
“Selalu ke dia hantar motor kat sini?” tanyanya lanjut.
“Dia ler pelanggan tetap Ngah. Begitu juga dengan Lan, abangnya”
Abang Mat terhenti berbicara lalu merenung anak buahnya.
“Kenapa tanya ni, berminat ke?” usiknya.
“Tak de ler” ujarnya berdalih.
“Wajah lembut tapi perangai macam budak lelaki” rungut lelaki itu sambil geleng kepala.
################################
“Lepas makan ni, kita tengok wayang ye” cadang Boy.
Aku angkat bahu tanda belum pasti lagi.
“Tayangan hari ni best tau” beritahunya cuba mempengaruhi aku.
“Cerita apa?” pantas aku bertanya.
“Tayangan filem kung fu, pelakonnya Jet Li tau”
“Okey, aku setuju” putusku.
“Gitulah baru geng”
Selesai saja menonton tayangan gambar, aku dan Boy keluar dari pawagam. Tengok jam masih awal lagi. Kutoleh ke arah Boy.
“Kita nak pergi mana lagi?”
Boy angkat bahu. Aku masih lagi tercengat berfikir sambil memasukkan kedua belah tanganku ke dalam saku seluar.
“Okey ler kita lepak – lepak je” putusku.
Motor kami pecut. Berhenti tepat – tepat di perkarangan stadium. Di situlah aku dan Boy menghabiskan masa dengan berbual – bual tentang cerita taekwondo, kung fu tadi, bola sepak, lumba motor, perang dan banyak lagi tentang aktiviti lasak. Sekumpulan anak muda bermotor virago melewati kami. Aku terjerit sendiri.
“Tu mereka!” jeritku sambil menunding jari.
Dari jauh aku lihat mereka bergerak ke arah kami. Kuturunkan helmet, begitu juga Boy. Kucuba gear. Dekat saja mereka, aku menjerit memanggil abang.
“Abang!” panggilku sambil angkat tangan.
Serentak mereka menoleh dan terus saja berhenti. Aku menghampiri mereka. “Apa Adik buat kat sini?” Tanya abang sambil memandangku dan Boy.
Aku tersengih saja. Kuangkat penghadang di mukaku.
“Wah, cunnya adik kau, Lan!” usik temannya.
Aku mencebik bibir dan menjeling tajam ke arah lelaki itu.
“Alamak, dia jelling kita ler!”
“Selama ni kau tak cakap pun ada adik” tutur seorang lagi.
“Yang kau sibuk – sibuk nak tahu apa hal?” rungut abang kurang senang.
Lelaki berambut ikal, berkulit cerah itu tersengih macam kerang busuk.
“Jangan ler marah Lan. Kami gurau je” tambah seorang pula cuba menenang abang. Aku buat tak kisah sahaja mendengar perbualan mereka itu.
“Join ler sama kita orang” pelawa lelaki tadi.
Abang merenungku tajam. Ada bahasa tersirat yang cuba disampaikannya.
“Terima kasih je, aku pun dah ada group sendiri” balasku spontan.
“Sombongnya……………”
“Okey abang, Adik pergi dulu. Jom Boy”
“Adik terus balik rumah ye” perintahnya.
“Tengok ler nanti”
Motor kupecut beriringan dengan Boy. Lewat petang barulah aku balik mencari rumah. Begitu juga abang.
“Adik, lain kali jangan buat macam tu” tegur abang mengingatkan aku.
“Buat apa?” tanyaku hairan.
“Mereka tu bukan baik sangat” terus terang abang tanpa berselindung.
Barulah aku faham apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh abang.
“Habis tu kalau mereka tak baik, kenapa abang geng dengan diaorang”
“Adik jangan nak kenakan abang”
Aku senyum. Pasti bertambah bengang abang melihat reaksiku ini.
“Hah, baru nampak muka ni dari mana!” tanya abah mengejutkan kami.
Kedatangan kami disambut oleh abah. Kupandang abang.
“Dari makan angin abah” jawabku spontan mendahului abang.
“Makan angin pun tak payah lewat – lewat balik” tegur abah.
“Kejap bukan makan angin namanya, abah”
“Jadi apa?” tanya abah lagi.
“Buang angin” sampukku.
Aku dan abang ketawa. Abah geleng kepala melihat telatah nakal kami.
“Malam ni abah tak benarkan sesiapapun keluar” tegas abah.
Kupandang abang. Berharap abang akan bersuara meminta pertimbangan abah agar menarik balik bicaranya itu. Kalau tidak pun menangguhkan saja bicaranya itu buat sementara waktu agar bukan malam ini arahan itu berkuatkuasa. Namun tiada tanda – tanda abang mahu berbicara.
“Mana boleh abah, Adik dah janji dengan kawan nak belanja makan” bantahku berani.
“Betul abah” sokong abang.
“Takkan setiap malam nak keluar saja”
Abah merenung aku dan abang. Menakutkan juga reaksi wajah yang dipamerkannya tika ini. Namun aku akan terus berusaha. Begitu juga abang.
“Tapi ni penting abah. Kami dah janji dengan kawan – kawan” abang cuba meyakinkan abah.
“Abah kata tak boleh, faham!” putus abah lebih tegas lagi.
Aku mengeluh hampa. Perlahan – lahan aku melangkah meninggalkan abah di ruang tamu. Kemudian abang menyusul.
Jam sudah menunjukkan pukul 10.00 malam. Mataku liat untuk tidur. Sudah berapa kali aku keluar menjenguk, abah masih juga leka di ruang tamu menyiapkan kerja pejabatnya. Detik 11.00 malam menjangkau tiba. Aku semakin gelisah. Akhirnya aku ambil keputusan keluar melalui tingkap. Tanpa pedulikan keselamatan, aku terjun dari tingkap. Perlahan – lahan aku menyorong motorku keluar pagar meninggalkan halaman rumah. Apabila sudah berada jauh barulah aku hidupkan enjin. Aku terus saja memecut motor membelah kegelapan malam. Pastinya teman – teman sudah lama menanti kemunculanku.
Kira – kira pukul 2.00 pagi barulah aku balik mencari bantal. Daun pintu kubuka perlahan, kalau boleh seperlahan mungkin. Bahuku dipegang membuatkan aku hamper terjerit. Pantas aku berpaling, abang tersengih.
“Alaa… abang ni buat jantung Adik luruh je” marahku.
Kalau tidak ingatkan dia ini abangku, terasa ringan saja tanganku mahu menghadiahkan sebiji buku lima tepat – tepat ke wajah kacaknya ini. Mujur aku masih mampu menyabarkan diri.
“Adik dari mana?” tanyanya menyibuk.
“Hish………….!”
Aku beri isyarat agar cakap perlahan – lahan. Kutarik tangan abang duduk di sofa.
“Tadi Adik tengok kawan – kawan racing, seronok tau” ceritaku berbisik – bisik. “Adik join ke?”
“Tengok je” balasku.
“Who winner?”
“Siapa lagi kalau bukan kawan – kawan Adik” jawabku angkuh.
Tiba – tiba kedengaran bunyi pintu ditolak. Aku dan abang berpandangan. Dengar saja bunyi langkah keluar, aku dan abang bertempiaran bersembunyi cuba menyelamatkan diri. Lampu di ruang tamu dibuka. Di celah – celah persembunyian ini kulihat abah melangkah ke dapur.
Kriinnnngggg! Ya Allah, abang tersepak besi tempat letak pasu bunga. Besi tadi tumbang. Abah muncul dari dapur.
“Siapa?” suara abah memecah keheningan subuh.
Aku dan abang masih diam di tempat persembunyian. Bagaikan malaikat maut sudah datang menjemput membawa perkhabaran buruk. Dahsyat!
“Lan, Adik, abah tahu kamu ada di sini. Keluar sekarang” arah abah.
Aku pandang abang. Akhirnya, aku dan abang mengalah jua. Bagai tikus takutkan kucing kami menghadap abah. Abah merenung wajah kami satu – persatu. Sungguh menakutkan reaksi abah.
“Kan abah dah cakap tak boleh keluar” suara abah mula meninggi.
“Lan tak keluar abah, Adik seorang je yang keluar” bela abang cuba menyelamatkan diri. Namun itu adalah kebenarannya.
Abah merenungku tajam. Terasa kecut juga hatiku. Abah ini jarang – jarang marah, tapi sekali dia marah boleh menggegarkan dunia.
“Adik ni memang degil, tak reti – reti nak dengar cakap abah” marah abah kepadaku.
Aku buat muka seposen. Abang menjelingku sambil tersenyum memerliku. Sempat juga kusepak kakinya.
“Kerana degil dan suka sangat nak keluar, abah nak kamu potong rumput di halaman. Esok abah nak tengok semuanya bersih”
“Tapi abah sekarang baru pukul 2.00 pagi. Takkan tak boleh tunggu esok” ujarku cuba menyedarkannya.
Mana tahu abah bermimpi subuh – subuh ini, maklumlah baru lepas lena.
“Tiada tapi – tapi. Kamu berdua cepat kerjakan sebelum abah beri hukuman lebih berat lagi” tegas abah.
Aku dan abang berpandangan. Memang tidak masuk akal.
“Takkan Lan juga kena hukum” ujar abang cuba membela dirinya.
Renungan tajam abah mematikan niat abang untuk berkecuali.
“Pergi sekarang” arah abah.
“Baiklah abah” jawab kami lemah.
Mahu tidak mahu, kami kalah juga. Bagai orang gila kami menebas halaman awal – awal buta begini. Mujur juga kami tinggal agak jauh dari jiran – jiran yang lain. Kalau tidak pasti kami telah mencerobohi lena mereka.
“Ni semua angkara Adik. Kalau tak, abang takkan kena hukum buat kerja ni” rungut abang tidak puas hati.
“Salah abang juga. Kalau kaki abang tu tak gatal nak bergerak takkan jadi gini” balasku tidak mahu mengalah.
“Abah pun satu, abang tak keluar pun kena hukum sama” rungut abang lagi. Aku tersengih. Lucu juga tengok gelagat abang. Dari tadi asyik membebel kerana terasa dirinya teraniaya.
“Mengapa sengih – sengih” marah abang.
“Hey…. Kerja tu buat betul – betul!” laung abah.
Tangan abang tidak sempat mendarat di kepalaku. Serentak kami menoleh. Abah sedang tercengat di balkoni sambil bercekak pinggang memerhatikan kami lagak seorang tuan besar. Inilah akibatnya ada abah yang berdisiplin. Salah sikit ada hukuman sedang menanti.
No comments:
Post a Comment