BAB 7
“Abang!” laungku kuat.
Aku berlari mendapatkan abang. Mendengar dia dipanggil langkahnya turut terhenti.
“Siapa perempuan ni, bang?” soalku hairan melihat seorang gadis berdiri di sisinya.
Aku dan dia bertukar – tukar senyuman. Buat pertama kali aku melihat perempuan ini.
“Perkenalkan adik aku, Wan. Dik ni Rima” ujar abang memperkenalkan.
Aku menghulurkan tangan dengan senyuman yang masih terukir. Anak mataku liar memerhatikan perempuan bernama Rima ini dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Aku tersenyum sendiri.
“Awak berbual ler dengan Wan, aku nak pergi sana kejap”
Abang meninggalkan kami berdua. Mulalah aku berfikiran nakal.
“Rima dah lama ke kenal abang?” soalku memulakan bicara.
Dia mengangguk. Kepalaku sudah sarat dengan pelbagai idea jahat. Nasib kau ler Rima, hari ini mungkin merupakan hari malang buat kau.
“Lebih kurang setahun”
“Wow ........!”
“Abang aku tu handsome kan?”
Dia mengangguk malu – malu sambil tubuhnya mula pusing sana pusing sini. Menyampah aku tengok. Meluatnya .............!
“Sebab tuler aku cuba nak jalinkan hubungan yang lebih serius”
Aku tergelak. Perempuan ini perlu dibasuh agar cepat sedar.
“Abang aku suka kat kau ke?”
Dia menggigit – gigit jarinya. Nampak terkedik – kedik sangat. Geramnya aku tengok.
“Suka. Aku rasa kami pasangan ideal” lancang saja mulutnya berbicara.
Aku tertawa besar. Cepat – cepat kututup mulutku.
“Kenapa kau ketawa?”
“Lucu. Abang aku tu handsome, yang kau pula....”
Aku ketawa lagi. Tengok tubuh dia langsung tiada potongan. Pipinya tembam macam kuih pau. Kalau inilah girlfriend abang, huhhh.... matilah abang aku! Aku tidak boleh membiarkan abang menjalin hubungan dengan gadis seperti Rima ini. Sungguh aku akan halang bermati – matian.
“Kenapa dengan aku?”
“Tak pe ler. Kalau abang aku suka kat kau rasanya aku juga terpaksa suka kat kau” ujarku tersenyum – senyum.
“Apa yang kau nak katakan tentang aku tadi?” gesanya.
Aku menatap wajah itu. Tercelit sedikit rasa simpatiku, tapi kalau aku tidak berterus - terang sampai bila pun dia tidak akan sedar dan akan terus hidup dalam angan – angannya. Manusia yang hidup dalam angan – angan ini adalah suatu yang sia – sia dan selalunya sering menemui kegagalan dalam hidup.
“Cepat ler cakap”
“Aku terus terang saja, janji jangan marah tau”
Dia mengangguk.
“Sumpah” janjinya sambil angkat tangan.
“Kau dan abang berbatu – batu bezanya tau”
“Maksud kau?”
“Abang aku tu lawa, handsome. Kau pula? Tengok ler sendiri dalam cermin” tuturku lebih terperinci tapi masih cuba berlapik agar tidak mengguris hatinya.
Rima menarik muka masam. Aku ketawa lagi.
“Hah...!” marahnya.
Dia terus saja melangkah meninggalkan aku yang masih tertawa. Dari jauh kulihat abang datang.
“Mana Rima?”
“Dah pergi bang”
“Tentu Adik buat hal ni”
“Takde ler bang. Adik Cuma sedarkan dia agar jangan bermimpi di siang hari” “Maksud Adik?”
“Ada ke dia kata nak jadi girlfriend abang”
“Apa salahnya kalau dia nak jadi girlfriend abang”
Abang mengiyakannya. Ketawaku berterusan.
“Kalau betul – betul terjadi, alamak terjongkang – jangkit ler abang nak angkat dia” tuturku selamba.
Abang turut ketawa. Kepalaku ditepuk.
“Nakal betul ler Adik ni”
“Mati ler abang terhimpit nanti” tambahku nakal.
“Dah ler tu. Jom”
Aku dan abang mula melangkah. Sunyi seketika. Aku melangkah sambil berpaut pada lengan abang.
“Abang, kalau nak pilih makwe mesti yang sopan – santun, yang pakai tudung, baju kurung” tuturku mengajarnya.
“Eleh, Adik ni merepek ler! Pandai – pandai ajar abang tapi Adik tu”
“Alah, abang ni! Adik kata betul tau dan demi kebaikan abang juga”
“Yalah, menang ler Adik tu”
“Abang kat Kelab Kepenggunaan Adik ada seorang gadis cantik tau. Lemah – lembut, bijak pula tu. Memang padan dengan abang. Macam mana? Abang berkenan tak? Kalau tak boleh juga Adik risik untuk abang” cadangku.
Aku berharap agar abang menyetujui cadanganku itu. Wajah ayu gadis yang aku maksudkan sudah tergambar di ruang mataku. Aku dapat rasakan seolah – olah dialah bakal kakak iparku.
“Alah, Adik ni macam – macam ler!”
“Betul bang. Nama dia Eda. Adik takut nanti abang salah pilih, terpilih pula gadis seperti Rima tu. Abang juga yang rugi nanti” tuturku menakutkannya.
“Dosa tau kutuk orang. Adik mana tahu hati dia baik” bidas abang menimbulkan kerisauan di hatiku.
Betul ke mamat seorang ini telah terpikat dengan Rima? Bicaranya terus – terusan mempertahankan gadis terkedik – kedik itu. Eh, aku tidak boleh berlengah lagi! Misi dan visi aku sekarang adalah menyelamatkan abang dari jatuh cinta pada Rima. Aku tidak rela Si Rima itu jadi kakak iparku huh...huuu....
“Alah, abang setuju ler! Nanti terlepas menyesal seumur hidup abang” gesaku. Tangannya kutarik – tarik. Tidak kupedulikan pandangan siswa siswa yang lain. Malah pandangan – pandangan sebegitu amat kuperlukan dalam situasi sekarang. Semakin ramai yang memandang, bermakna semakin cerah peluangku untuk melaksanakan visi dan misiku yang berkeinginan untuk berkakak iparkan Si Eda itu.
“Adik lepaskan tangan abang. Malu ler orang ramai tengok kita”
“Adik peduli apa dengan diaorang. Adik hanya akan lepaskan tangan abang, kalau abang setuju dengan permintaan Adik tadi” ancamku.
“Malu ler abang” luahnya.
“Gentleman ler sikit. Okey, Adik aturkan plan untuk abang. Boleh ke?”
Abang diam seketika. Tampak sedang berfikir. Pastinya dia sedang mempertimbangkan antara peluang dengan maruah serta egois dirinya.
“Boleh ler” rengekku manja.
“Yalah...”
“Gitu ler baru ngam” tuturku tersenyum riang menyambut kesanggupan abang. Abang hanya geleng kepala melihat telatahku. Sesungguhnya sehingga ke hari ini tidak pernah sekali pun abang menghampakan permintaanku. Dia sentiasa mengalah dalam semua hal.
“Tapi ingat jangan buat yang bukan – bukan tau” tuturnya memberi amaran sambil menepuk kepalaku tanda geram dengan kedegilanku.
Aku berdiri tegak sambil tabik hormat.
######################################
Aku menyanyi – nyanyi kecil masuk ke Bilik Operasi sekaligus berperanan sebagai pejabat Kelab Kepenggunaan kampus ini. Anak mataku liar memerhatikan sekeliling, mencari – cari kelibat gadis itu. Selalunya dia suka sangat duduk di sudut tepi itu bersama bukunya. Tepat. Dia sedang tekun membaca buku di situ. Cuba kuingat skrip yang kukarang semalam.
“Wan!”
Aku tersentak. Pantas aku menoleh.
“Jom ke kafe” ajaknya.
“Malas ler aku Boy”
“Aku lapar ni, tak sempat sarapan kat rumah tadi” terangnya barangkali masih cuba memancing kesudianku.
“Aku dah sarapan, kau pergi ler sorang” arahku menolak ajakannya.
“ Okey ler, aku pergi dulu”
Aku mengangguk. Baru hendak angkat punggung ada pula yang berminat sebut namaku lagi.
“Oh, banyak juga peminat aku hari ni ye” keluhku.
Rahman, pengerusi Kelab Kepenggunaan sudah tercegat sambil bercekak pinggang di depanku.
“Kau tak ingat ke hari ni kau bertugas?”
“Tugas apa bos?” tanyaku semula.
“Tu tengok tu” jarinya menunding ke arah penyapu.
“Alamak, menyapu lagi!”
Kutepuk dahiku. Baru aku teringat. Setiap Jumaat pasti beberapa ringgit wangku melayang kena bayar gaji tukang sapu menggantikanku. Kutoleh kiri kanan mencari Diah, teman yang sering mengambil alih tugasku. Kiranya dia itu adalah pekerjaku sebab aku selalu upah dia.
“Mana Diah?” tanyaku.
Semua geleng kepala. Ke mana agaknya gadis mata duitan ini pergi? Aku kata begini sebab semua perkara yang diminta dia buat mesti ada upahnya. Paling kurang pun setin cola. Namun sikapnya itu betul – betul berguna kepadaku. Dialah penyelamatku daripada memegang batang penyapu itu.
“Cepat ler Wan, kejap lagi kita meeting ni”
“Alah, bos tolong ler! Aku tak reti bab sapu menyapu ni” tuturku serius.
Kedengaran beberapa orang teman ketawa. Rahman geleng kepala. Dia bukan tidak tahu memang aku tidak akan memegang penyapu kalau tujuan untuk menyapu. Aku hanya akan pegang penyapu untuk mengejar dan memukul ‘cik siti’ yang sekali sekala tersesat berkunjung ke sini. Ketika itu jasaku memang sangat – sangat diperlukan. Hendak harapkan pengerusi ini, berpestalah ‘cik siti – cik siti’ di sini. Apa tidaknya dia pun lari lintang pukang bersama gadis – gadis di sini.
“Kacau betul bos ni” rungutku.
“Wan jangan berlengah lagi”
“Okey.... okey”
Aku bangun lalu melangkah mendekati Salmah yang berada di meja depan. Harap – harap sasaranku ini tepat.
“Sal, kau boleh tolong aku tak?”
“Tolong sapu? Sorry ler Wan”
“Hey.....tunggu dulu. Aku belum habis cakap ni. Kalau kau mahu upahnya lumayan tau” tuturku memancing persetujuannya.
Sekeping wang kertas berwarna merah kutayang – tayang kepadanya.
“Nak tak? Kalau nak RM 10.00 ni kau punya”
Salmah seakan – akan berfikir mempertimbangkan tawaranku itu.
“Cepat kalau tak aku beri peluang pada orang lain”
“Okey, aku setuju”
“Hah, macam tuler!”
Aku tersenyum meleret. Nasib baik terlepas lagi jadi tukang sapu. Sebenarnya bukan aku malas nak jalankan tugas tapi seingat aku seumur hidup aku ini tidak pernah pun aku menyapu. Kalau kerja potong – memotong rumput itu bolehlah.
“Wan, Jumaat depan aku booking kerja kat kau”
“Boleh Sabrie kalau kau nak. Tak payah ler susah – susah aku nak cari”
“Hish, Sabrie tak malu!” perli Ika.
“Nak cari duit apa salahnya. Lagipun kerja ni halalkan, Wan”
Aku mengangguk.
“Minggu depan berapa upahnya?”
“Tengok hasil kerja kau ler dulu. Kalau takde komen bos, lumayan ler bayarannya” jelasku.
“Okey, aku setuju” balasnya bersungguh – sungguh.
Rahman geleng kepala. Mulutnya tidak bising lagi sebaik saja Salmah mengambilalih tugasku.
“Kalau macam ni Wan, aku pun nak minta kerja kat kau ler” selorohnya.
Serentak kami ketawa.
#####################################
“Hah.....” satu suara mengejutkannya.
Eddy tersentak. Tubuhnya terangkat sedikit.
“Mengalamun panjang nampak” usik Mahmud tersengih.
Eddy mengeluh kecil.
“Kenapa? Kau ada masalah ke?”
“Entah ler, bila difikirkan nyatanya aku sendiri yang menempah masalah ni” luahnya.
“Maksud kau?”
“Dia tu terlalu keras. Aku gagal mendekatinya”
“Wan?” pantas nama itu terpancul dari mulutnya.
Eddy mengangguk lemah.
“Sabar ler Eddy. Suatu hari nanti gerenti kau akan berjaya juga”
“Kau yakin?”
“Hati perempuan ni sekeras – keras mana pun akan lembut juga akhirnya. Yang penting sekarang kau harus tabah dan setia menunggu sampai bila pun”
Eddy mengangguk dan kembali senyum.
No comments:
Post a Comment