Saturday, 17 December 2011

NamaKu Bukan Flora! 16


BAB 16

Aku melangkah longlai masuk ke dalam rumah. Serasa separuh saja semangat yang masih menghuni dalam diriku separuh lagi sudah terbang entah ke mana. Permulaan hari ini kurang baik. Pertemuanku dengan Haqem membangkitkan rasa sedihku. Aku belum cukup kuat untuk bertentang mata dengan pemuda itu. 

“Lia, kamu tak apa – apa ke?” soalan yang terpancul keluar dari mulut mak betul – betul mengejutkanku. Mak sedang merenungku buat hatiku tidak tenteram. Adakah Aqel telah memaklumkan keadaanku tadi kepada Mak Long? Lantas Mak Long menceritakannya pula kepada mak. Mungkin sudah berlaku satu rantaian cerita tentang kisah dukaku kepada mereka.

“Muka kamu nampak pucat je mak tengok. Kamu sakit ke?” soal mak lagi dalam nada kerisauan. Laju aku geleng kepala.

“Aqel ada cakap sesuatu kat mak ke dalam telefon?” tetiba soalan ini laju saja keluar dari mulutku tanpa dirancang. Berkerut dahi mak menatapku.

“Kenapa pula Aqel nak telefon mak?” bukan jawapan yang keluar dari mulut mak. Sebaliknya satu persoalan sekaligus menunjukkan Aqel tidak bertindak seperti yang aku fikirkan. Aku geleng kepala lagi. Nampaknya aku tersilap langkah.

“Ada apa – apa yang berlaku di tempat kerja ke?” soal mak menyiasat. Terasa menyesal pula membangkitkan kemusykilan mak. Risau kalau perkara yang ingin aku rahsiakan daripada mak akan terbongkar. Aku tidak mahu mak mengetahui yang Haqem adalah majikan di tempat kerjaku. Aku juga tidak mahu mak mengetahui kesedihanku ini kerana aku telah menyuarakan kepada mak bahawa kehidupanku lebih baik sekarang. 

Aku telah memaklumkan kepada mak bahawa aku telah melupakan pemuda itu. Kalau mak tahu tentang kemunculan Haqem saat ini, pasti mak juga akan tahu punca kesedihanku ini. Dalam masa yang sama, mak akan rasa tertipu olehku. Pasti mak akan bersedih.

“Mana tahu dia nak datang sini” sahutku mengeluarkan apa saja yang terlintas di fikiranku saat ini. Logik atau tidak di belakang kira. Paling penting perkara yang berlaku hari ini tidak sampai ke pengetahuan mak.

“Beritahu Aqel nanti, kedatangannya sangat dialu –alukan. Dia boleh datang sini pada bila – bila masa saja” tutur mak tersengih sendiri.

“Suka benar mak dengan dia” balasku. Mak mengangguk. Yalah mana ada mak saudara yang tidak sayang akan anak saudaranya. Mak Long pun sayang padaku. Apatah lagi satu – satunya saudara Mak Long di bumi Malaysia ini hanyalah keluarga kami.

“Aqel tu boleh jadi suami yang baik” ujar mak berkias – kias. Sedikit keluhan keluar dari mulutku. Aqel juga seperti Haqem tidak tahu menghargai perempuan. Dia tinggalkan Rania persis Haqem tinggalkan aku.

“Harap – harap cakap mak tu betul. Lia nak naik atas berehat” ujarku lemah meminta diri lalu meninggalkan mak bersendirian di ruang tamu.

  Aku menghumbankan tubuhku ke tilam. Fikiranku tidak tenteram. Kejadian di tempat kerja tadi kembali bermain di kepalaku. Jauh di sudat hatiku aku rasa kesal dengan tingkahlakuku sendiri. Bahkan marah pada diri sendiri. Wajah Aqel dan Haqem silih berganti mendatangiku. Khuatir kedua – dua pemuda itu berfikir yang bukan – bukan terhadapku. 

Aqel sudah pasti tertanya – tanya tentang situasi yang berlaku di depan matanya tadi. Haqem pula tentu melihat diriku terlalu lemah sehingga tidak mampu untuk berhadapan dengan dirinya. Oh...., pening kepalaku memikirkan semua ini! Keluhan beratku tercetus. Aku seharusnya jadi lebih kuat. Paling mustahak aku tidak patut melibatkan Aqel dalam hal ini. Aku mesti menghentikan pelarian ini. Sesuatu yang WAJIB aku lakukan! Nekadku.

“Boleh tak kalau Marnie je yang pergi dengan Encik Aqel?” soalku sambil melirik ke wajahnya. Senyap. Tiada sebarang reaksi yang ditunjukkan untuk pertanyaanku itu. Aku mencebik bosan sambil mengatur tempat dudukku di dalam kereta mewah ini. Pemuda ini suka sangat mencabar kesabaranku.

“Awak atau Marnie ke yang jadi wakil CNFL?” satu soalan sindiran yang menyakitkan hati dilontarkan kepadaku. Aku menarik muka masam.

“Kalau Encik Aqel je yang pergi, tak boleh ke? Kerja saya bertimbun kat office tu” bantahku berdegil. Aqel menatapku sekilas. Kemudian senyap lagi. Sikap yang tidak terlalu asing buat dirinya.

“Kenapa awak panggil saya Encik Aqel?” soalnya diluar dugaanku.

“Bukan ke itu nama encik?” soalku hairan dengan pertanyaannya itu. Dia menelan liur. Dipandangnya aku seketika.

“Maksud saya panggilan encik itu terasa terlalu asing je” balasnya lagi.

“Encik Aqel bos kat KDUT. Jadi memang patut ler saya panggil encik. Kenapa tak suka ke?” soalku semula. Diam.

“Kalau Encik Aqel nak tahu begitu juga ler perasaan saya bila ada orang panggil saya dengan nama yang tak sepatutnya” sindirku sinis. Dia memandangku sekilas. Mungkin terasa dengan bicaraku.

“Nama awakkan memang Flora!” balasnya berdegil.

“Siapa kata!” bantahku radang.

“Nur Dahlia tu kan sejenis bunga. Jadi memang padan ler nama Flora
tu kat awak. Kenapa awak tak suka ke nama tu? Flora..... so sweet” tuturnya ikut sesedap rasa saja. Aku mencebik bosan. Dasar lelaki tunggul kayu mana tahu menilai perasaan orang lain.

“Whatever.... tapi sekali lagi saya tegaskan nama saya bukan Flora tapi Nur Dahlia binti Sallehudin” tuturku lantang. 

Dia tersenyum sendiri buat hatiku kian mendidih. Geramnya dengan pemuda ini! Rasa macam nak telan hidup - hidup je dia ini. Ketegasan yang kutunjukkan kepadanya boleh pula mencuit hatinya. Betul – betul dia ini manusia tunggul kayu yang tidak tahu menilai perasaan orang lain.

“Kenapa awak nak jumpa Puan Rosie?” soalku mula mengubah topik perbualan sekaligus menukar kata panggilan untuknya. 

Pertanyaanku langsung tidak dijawab. Dia hanya memandang ke depan memberi tumpuan pada pemanduannya. Senyap. Keadaan ini berlanjutan untuk beberapa ketika. Melihat pemuda ini mengingatkan aku pada Mak Long. Tetiba saja rasa teringin untuk mengutarakan soalan ini kepadanya. Kupandang Aqel yang tampak serius tika ini.

“Awak awal - awal dah tahu tentang hubungan persaudaraan kita kan? Sebab itu juga awak tahu alamat rumah saya” ujarku mengungkit perkara itu. 
Aqel sengaja mempermainkan aku. Kononnya dia tahu alamat beberapa orang pekerja yang ada kaitan dengan dirinya. Rupanya hubungan persaudaraan inilah yang cuba katakannya. Aku yakin Aqel memang sudah tahu bahawa akulah sepupunya. Namun status ini dirahsiakannya sehinggalah dia bertandang ke rumah kami. Lantaran itu, dia langsung tidak terkejut tatkala melihat aku berada di rumah itu. Tidak seperti aku yang tergamam panjang bila saja menyedari bahawa dialah Hyeon anak teruna Mak Long, merangkap abang sepupuku.   

“Perlukah saya jawab pertanyaan awak itu?” soalnya semula.

“What!” Aku memandang Aqel yang tampak begitu dingin.

“Awak suka sangat mengenang perkara yang lepas sebab itu kehidupan awak begitu menyedihkan” bicaranya tanpa sempat menatapku biarpun hanya sekilas pandang.

“What!” Kehidupanku begitu menyedihkan? Aku begitu terasa dengan bicara yang baru saja keluar dari mulutnya ini. Tajam dan berbisa bagai sembilu yang menghiris hatiku. Sebegitukah dia melihat dan menilai terhadap kehidupan yang aku miliki sekarang?

“Siapa awak untuk menilai kehidupan saya? Awak tak berhak menilai kehidupan orang lain macam tu!” radangku tidak puas hati. 

Dia memandangku dengan pandangan tajam sekilas. Kebetulan kereta sudah berhenti di depan bangunan CNFL. Tanganku terus saja menolak daun pintu kereta lalu menutupnya kembali dengan kasar. Tidak kupedulikan harga ratusan ribu kereta mewah ini. Aku mahu menunjukkan protesku kepadanya.  

“Awak tak boleh buat macam tu kat kereta saya!” sergahnya radang. Aku hanya menghadiahkan jelingan tajam kepadanya.

“Awak ingat kereta saya ni dua tiga ringgit harganya” marahnya lagi tidak puas hati. Aku mendengus kasar. Bicaranya langsung tidak memberi makna buatku. Bahkan aku nampak keangkuhan dalam dirinya.

“Tak heran saya dengan kereta awak tu. Bukan boleh bawa mati pun” balasku sinis. 

Kian tajam pandangan matanya menatapku. Hatinya pasti panas membahang sekarang. Kalau aku ini sama jantina dengan dirinya pasti penumbuk sudah singgah di mukaku ini. Lantas aku mendahului langkahnya memasuki lot premis CNFL. Risau juga kalau Aqel tetiba saja bertindak kasar kepadaku bagi membalas kekasaranku terhadap kereta kesayangannya itu.

“Lia....!” Nana menyambut kedatanganku dengan begitu teruja. Bicara panjang yang ingin keluar dari mulutnya terhenti begitu saja tatkala terpandang Aqel yang berada di belakangku saat ini. Ada persoalan di wajahnya.

“Encik Aqel silalah ke bilik Puan Rosie, saya nak jumpa kawan saya sekejap” tuturku lembut penuh formal dan cuba berwajah manis sekaligus menutup ketegangan sebentar tadi. Dia memandangku dengan pandangan bersahaja. Tanpa sebarang bicara dia terus saja mengatur langkah ke bilik Puan Rosie. Pasti kemarahannya begitu banyak sekarang. Aku tersenyum sendiri.

“Siapa mamat handsome tu? Pelakon ke model?” Banyaknya soalan yang keluar dari mulut Nana. Nampak teruja pula setelah memandang wajah Aqel.

“Bos KDUT merangkap sepupu aku” balasku selamba. Nana ternganga dengan biji mata yang membutang. Tampak begitu terkejut sangat. Mujur juga dia tidak mendapat serangan jantung.

“Betul ke dia sepupu kau?” balas Nana seakan tidak mempercayai bicaraku. Aku hanya mengangguk. Tiada perasaan bangga mahupun teruja melihat kekaguman Nana terhadapku kerana memiliki sepupu sedemikian rupa.

“Kenalkan aku dengan dia” pinta Nana.

“Tak usah” bantahku.

“Kenapa? Awak jealous ke?” soalannya tersengih. 

Besar biji mataku menatap Nana. Tidak senang dengan tuduhan yang baru saja keluar dari mulutnya itu. Langsung tidak dapat diterima akal. Aku tidak perlukan pemuda persis Aqel mahupun seperti Haqem untuk dijadikan pilihan hati. Aku hanya mendambakan pemuda yang berhati mulia, ikhlas mencintaiku dan menerimaku seadanya. Paling mustahak mampu menjadi khalifahku.
                     
   “Jangan buang masa dengan dia. Dia tu patung yang bernyawa, manusia tunggul kayu yang takde perasaan” jelasku berkias – kias. 

Nana terus saja ketawa. Tercuit hatinya mendengar bicaraku serta kesungguhan yang kupamerkan  di wajahku. Aku sayangkan Nana. Sumpah tidak akan aku biarkan Nana terluka oleh Aqel spesies buaya darat yang bertopengkan ketampanan mencari mangsa seterusnya untuk dijadikan koleksi penghibur hatinya.

“Dia juga persis Haqem hanya tahu melukakan perasaan perempuan”
tambahku perlahan sekaligus melenyapkan tawa Nana. 

Nana menatapku sayu. Dia cukup tahu tentang kisah yang berlaku antara aku dengan Haqem. Kisah yang menyayat hati. Kalau aku tidak ingatkan Mak Long, tidak sudi aku mahu mengakui diri Aqel ialah sepupuku. Marah dan malu aku ada sepupu yang suka mempermainkan hati dan perasaan kaum Hawa.

“Jom balik” Aku menoleh. Aqel sudah terpacak di belakangku. Perbualan rancakku dengan Nana terus saja lenyap.

“Dah selesai ke?” soalku ragu – ragu. Sekejap saja dia berbincang dengan Puan Rosie sehinggakan aku belum sempat lagi masuk ke bilik itu. Dia mengangguk lalu melangkah ke muka pintu utama tanpa sempat menyapa Nana. Nana memberi isyarat matanya.

“Kau dah tengokkan perangai buruk dia” kutukku berbisik kepada Nana. Lantas Nana menganggukkan kepalanya.

“Takpe paling penting muka handsome he..he...he...” seloroh Nana membuatkan aku mencebik. Nana hanya tersengih.

“Aku balik dulu. Ada masa nanti aku sms kau” janjiku.

Nana mengangguk. Aku terpaksa meninggalkan Nana walaupun belum puas lagi untuk berbual – bual dengannya. Alangkah baiknya kalau Aqel dan Puan Rosie berbincang lama tadi. Sekurang – kurangnya aku boleh bertegur sapa dengan rakan – rakan yang lain. Bolehlah aku melempiaskan kerinduanku kepada mereka. Betapa aku merindui kemesraan mereka.

“Kirim salam kat abang sepupu kau yang macho tu” tutur Nana buat aku meloya. Aku tunjukkan lagak termuntah – muntah. ­

“Minta maaf banyak – banyak, aku tak dapat nak sampaikan salam kau tu kat dia. Risau kalau dia terperasan lebih. Kalau ada peluang kau cakaplah sendiri kat dia ye” balasku buat Nana tertawa. 

Tiba – tiba saja kedengaran deringan telefonku. Laju saja tanganku mengeluarkannya dari beg galasku. Sederet nombor baru yang tidak kukenali. Kutekan punat panggilan diterima.

“Awak tak nak balik ke?” suara Aqel menggegarkan gegendang  telingaku. Bila masa pula dia ada nombor telefonku ini? Kemudian baru aku teringat bahawa aku pernah memberikan nombor telefonku kepadanya.

“Saya dah keluar ni” balasku berbohong. Berkerut dahi Nana menatapku. Aku tersenyum. Bohong sunat.

“Aku balik dulu. Lelaki dingin membeku itu dah tak sabar – sabar nak pergi. Kirim salam kat member - member” rungutku sambil sempat berpesan.

Nana mengangguk lagi. Kutinggal Nana dengan lambaian tanganku lantas mempercepatkan langkahku. Di luar kelihatan Aqel sedang terpacak menanti kemunculanku. Tatkala melihat aku sedang bergerak ke arahnya, barulah dia masuk ke dalam kereta. Kali ini aku penuh berhati – hati menutup daun pintu kereta. Sewajarnya aku harus bertindak sedemikian memandangkan kereta mahal ini bukan milikku. Kereta ini mula  meluncur dengan bangganya di dada jalan raya.

“Kenapa sekejap sangat pertemuan awak dengan Puan Rosie tadi?” soalku ingin tahu. Kalaulah aku tahu hanya pertemuan singkat tadi, tidak perlulah aku ikut serta berkunjung ke CNFL. Buang masa aku saja.

“Dah settle balik ler. Buat apa nak tunggu lama – lama kat situ” sahutnya bersahaja. Aku memalingkan wajahku ke tingkap lalu menggerak – gerakkan bibirku cuba mengajuk bicaranya tanpa bersuara.

“Kita lunch dulu sebelum balik office” cadang Aqel. Aku terus saja berpaling menatap wajah Aqel.

“Kerja saya bertimbun kat office tu Encik Aqel. Saya nak segera balik office” bantahku kurang bersetuju dengan cadangan itu.

“Saya lapar ni. Sekarangkan dah waktu rehat. Tak payah ler awak nak tunjuk rajin kat saya” Besar biji mataku menatap Aqel. Sakit hatiku mendengar bicaranya itu. Dia ingat aku ini kaki ampu!

“ Kalau awak tak nak makan, awak tengok saja ler saya makan” tambahnya berbicara. Aku menjelingnya tajam. Buang masa saja aku hendak perhatikan dia makan. Lainlah kalau dia makan guna hidung he.... he.... he.... Aqel melirik jam di tangan kirinya.

“Awak dan Haqem kongsi kehidupan lepas ke?” soalnya. Laju aku berpaling ke arah Aqel. Seketika aku dan Aqel saling berpandangan.

“Kenapa awak tanya macam tu?” soalku mengembalikan satu pertanyaan kepada Aqel. 

Dia geleng kepala. Adakah mak telah menceritakan segalanya kepada Mak Long? Kemudian sampai pula ke pengetahuan Aqel cerita dukaku bersama Haqem suatu masa lalu. Aqel meletakkan kereta di ruangan parking tepat – tepat di depan sebuah restoran. Ak mahu tidak mahu terpaksa juga bangkit dari kerusi penumpang ini tatkala Aqel sudah berada di luar kereta.

“Saya tidak suka melarikan diri dari masalah. Paling penting saya takkan  melepaskan kebahagiaan yang  boleh saya nikmati selagi saya bernyawa” tutur Aqel buat aku terdiam panjang. Apakah niat Aqel menuturkan bicara ini? Dia mahu menyindirku? Atau satu motivasi yang cuba disuntikkannya kepadaku? Bingung! Sedar – sedar Aqel sudah melangkah jauh di depanku.

“Cik nak makan apa?” soal gadis itu. Aku geleng kepala.

“Saya nak minum jus oren je” pintaku. Gadis itu mengangguk lalu mencatat pada kertas kecil ditangannya. Kemudian dia berlalu pergi untuk menghantar pesanan yang telah dibuat.

“Pelik betul orang perempuan ni, sanggup seksa diri kerana nak jaga badan. Memang tak masuk akal” omel Aqel bersendirian. Pasti sedang mengutuk aku. Tajam pandanganku singgah ke wajahnya.

“Hello, sorry ler kalau awak nak samakan saya dengan gadis – gadis cantik yang ada kat syarikat awak tu. Saya takde selera nak makan depan awak. Lain kali pastikan diri awak tak dekat dengan saya sebab awak selalu bawa musibah pada saya” ujarku bersungguh – sungguh.

“What!!!” Aqel pasti sudah terasa bahang dengan bicaraku. Terbayang di mataku wajah murka Rania. Kucapai beg galasku lantas bangun. Terkebil – kebil Aqel mendongakku.

“Saya keluar dengan awak sebab awak ialah bos saya. Sebelum        malang menimpa saya, lebih baik saya pergi. Saya nak balik office sekarang. Nah, awak tolong saya bayar untuk jus oren tu nanti” ujarku lalu meletakkan not RM 10.00 di atas meja. Aku terus saja melangkah meninggalkan Aqel bersendirian di situ.
“Flora!” suara Aqel memanggilku langsung tidak kuhiraukan. Aku mengetap bibir menahan rasa geram bila saja Aqel melaung nama itu. Kalau aku tidak ingatkan dia ini anak muda Mak Long teringin juga aku hendak menjahit mulutnya itu. Biar dia terus berhenti melaung nama yang bukan milikku itu.

Aku meminta pemandu teksi segera menghantarku ke pejabat. Risau juga kalau Aqel mengejarku. Namun aku tidak perlu risau lagi bila saja aku selamat sampai ke bilik operasiku. Aku menghumbankan tubuhku di kerusi empuk itu dengan keluhan panjang. Bersandar seketika di situ.

“Saya tidak suka melarikan diri dari masalah. Paling penting saya takkan  melepaskan kebahagiaan yang  boleh saya nikmati selagi saya bernyawa” suara Aqel kembali menerjah halwa telingaku.

Aqel seakan sedang berbicara tentang aku. Mungkinkah Aqel sudah mengetahui kisah hidupku dengan Haqem. Kalau tidak masakan dia ada menyebut nama Haqem di depanku tadi. Barangkali juga Aqel cuba mengagak saja. Yalah dia sendiri menyaksikan keadaanku setiap kali aku bertembung dengan Haqem. Malah dialah yang akan jadi mangsaku sebagai tempat aku melarikan diri. Sesiapa saja boleh mengagak tingkahlakuku yang tidak keruan tatkala berhadapan dengan Haqem. Aku tidak cukup untuk bertentangan mata dengan Haqem. Ya Allah sampai bila aku harus begini?

Tiba – tiba saja nada telefonku berkumandang. Ada panggilan untukku. Lantas kumasukkan tanganku ke dalam beg galasku di atas meja cuba mencapai telefonku yang masih berdering – dering. Tertera nama Marnie di dada
skrin.

“Assalamualaikum, Mar. Saya baru sampai office ni” jelasku.

“Awak pergi mana tadi? Dah tiga kali Encik Haqem datang bilik kau” jelas Marnie buat aku tergamam. Jantungku berdegup kencang. Haqem datang ke sini tadi? Untuk apa?

“Awak dengar tak ni, Lia?” soal Marnie sebaik saja aku menyepikan diri.
 “Dia nak jumpa saya ke?” soalku panik. Kedengaran gelak Marnie.

“Maybe nak bertegur sapa dan berkenalan dengan awak. Maklumlah sejak – sejak awak dinobatkan sebagai pasangan ideal bersama Encik Aqel malam tu, rasanya awak dah jadi glamour  sebaris model – model kat sini” tutur Marnie mengusikku. 

Bicara Marnie tidak aku ambil kisah. Sekarang kepalaku sarat memikirkan sebaris nama itu. Apa tujuan Haqem untuk bertemu denganku? Barangkali Haqem terus – terusan mahu menguji keupayaan diriku. Mungkin dia berasa bangga dan megah melihat ketewasanku setiap kali kemunculannya di depanku. Kalau tidak masakan dia bersungguh – sungguh datang ke bilik ini.

“Saya rasa ler, Encik Haqem tu macam berkenan je dengan awak, Lia” bisik Marnie. Aku menelan liur pahit. Terasa longlai saja aku mendengar bicara Marnie ini.

“Setiap kali saya sebut nama awak, mesti dia beri perhatian. Ada juga dia tanya tentang awak kat saya” bisik Marnie berbisik lebih lanjut.  

“Takde apa – apa ler. Awak saja yang perasan lebih – lebih” bantahku cuba melenyapkan kesangsian Marnie. Tidak suka aku kalau diriku dikaitkan dengan Haqem lagi. Aku tahu Haqem hanya mahu menilai kelukaanku. 

“Awak pergi mana tadi?” soal Marnie lagi setelah soalan ini belum akujawab tadi. Aku mengeluh. Ini seorang lagi spesies yang sama seperti Haqem. Malangnya aku dan Rania yang jadi mangsa dan berduka durjana.

“Saya keluar dengan Encik Aqel” tuturku lemah.

“Oh, very interesting” suara Marnie kian ceria. Suka benar dia mendengar nama Aqel. Maklumlah lelaki pilihannya dan Reka. Dia dan Reka sepakat untuk memilih Aqel jika diminta membuat pilihan antara Aqel dengan Haqem. Marnie dan Reka persis trend wanita sekarang yang berlebihan memuja wajah peranakan Korea.

“Kami ada urusan dengan pihak CNFL ler. Ada perkara yang perlu dia bincangkan dengan Puan Rosie” jelasku cuba mematahkan tanggapan salah Marnie kalau dia mula berfikir ke arah itu.

“Encik Aqel ada discussion dengan Puan Rosie?” soal Marnie lagi.

“Ya” sahutku malas.

“So yang awak hanya menemaninya saja ler. He...he....he...” ujar Marnie mengenakan aku. Aku diam. Malas aku hendak berbicara lagi, nanti tidak pasal – pasal menyemarakkan idea Marnie untuk terus menyakatku.

“Sekarang Encik Haqem ada kat sana ke?” soalku merisik Marnie selaku setiausahanya.

“Dah keluar lunch” jelas Marnie. Aku menarik nafas kelegaan.

“Yang awak ni tak terus lunch dengan Encik Aqel tadi ke? Sekarangkan waktu rehat” omel Marnie. Serta merta situasi sedikit tegang di restoran tadi kembali terbayang di mataku. Aku mengeluh.

“Takde selera saya nak makan depan Si Tunggul Kayu tu” keluhku sekaligus kedengaran tawa Marnie terburai. Seketika tawa itu berpanjangan.
Bolehlah dia ketawa sakan sekarang sebab bosnya tiada di pejabat tika ini. 

“Takde selera ke atau awak takut tersangkut kat dia” usik Marnie lagi. Aku tergelak sendiri. Selisih 44 malaikat. Tidak mahu aku hidup ibarat keluar dari mulut buaya masuk pula ke mulut harimau. Sejarah tidak mungkin berulang. Tidak tega aku menyerahkan diri untuk dilukai lagi. Perkara yang nyata aku tiada hati dan perasaan kepada Aqel.

“Rugi ler awak tak makan sama diaorang”

“Diaorang?” soalku musykil. 

Setahuku tika aku meninggal Aqel tadi dia bersendirian. Tidak tahulah kalau Rania datang menyusul kemudian. Diakan sentiasa menjejaki pemuda itu. Aku menarik nafas lega lagi kerana terselamat daripada bersemuka dengan Rania ketika aku sedang bersama Aqel.

“Encik Haqem kata nak join makan dengan Encik Aqel” jelas Marnie. Aku tersentak. Sekali lagi aku menarik nafas lega. Tidak dapat aku bayangkan bagaimana tingkahku andai aku berada di situ sekarang? Saat sukar untukku makan tengah hari semeja dengan Haqem.

“Rugi ler awak terlepas peluang makan diapit dua jejaka kacak tampan” Marnie terus – terusan saja mengusikku.

“Tak ingin saya Mar. Hati saya telah dimiliki” terkeluar pengakuan palsu dari mulutku tanpa dirancang.

“Really? Sapa?” soal Marnie teruja. Aku terdiam seketika. Cuba berfikir mencari mangsa seterusnya yang jadi pak sanggup kekasihku. Tiba – tiba wajah Cikgu Firdaus terlintas di fikiranku.

“Seorang guru......... my cousin...” Alamak, kali ini aku tersasul jauh! Bila masa pula aku ada sepupu seorang guru. Setahuku sepupu tunggulku adalah Aqel. Hancus....hancus...! Habislah kalau mulut Marnie mencanang maklumat ini kepada Reka mahupun sesiapa saja. Lebih parah kalau sampai ke pengetahuan Aqel. Ahh, mana mungkin Aqel mengetahui hanya dialah satu – satunya sepupu aku! Aku boleh cakap sepupu aku di sebelah keluarga mak. Aku cuba berfikir positif bagi menenangkan hati.

“Okey ler Mar dah nak habis waktu rehat ni, aku nak sambung buat kerja aku” ujarku mematikan saja perbualan ini sekaligus mengelakkan daripada lebih banyak kesilapan yang bakal aku lakukan rentetan kenyataan palsu yang baru saja aku keluarkan tadi.

“Tak sangka benar saya, rupanya awak bercinta dengan cousin awak, Lia. Nanti lepas kahwin awak nak panggil mak dia Mak Long.... Mak Ngah... Mak Usu.. ke mak mertua? He... he...he...he..... Bye...” 

Klik telefon di sana diletakkan. Suara Marnie sudah lenyap. Aku mengembalikan telefonku ke dalam beg galasku semula. Ada rasa khuatir singgah dalam diriku. Rasa menyesal pula membuat pengakuan palsu tadi. Kalaulah aku boleh tahan dengan usikan – usikan Marnie tadi semua ini tidak akan berlaku.

“Minta maaflah Mar, awaklah yang membuatkan saya terpaksa berbohong pada awak” bicaraku sendiri sambil bersandar lemah di kerusi empuk ini. Sedikit berserabut fikiranku. Nama Haqem kembali menerjah fikiranku. Tiga kali Haqem muncul di bilik ini. Mujur juga aku tidak berada di sini tadi. Dalam sisa – sisa marahku pada Aqel, aku berterima kasih juga kepadanya. Syukur Aqel berkeras mengajakku ke CNFL. Untuk sekian kalinya, Aqel menjadi penyelamatku lagi.

Ahh! Kulepaskan lagi keluhanku. Hari ini banyak sangat keluhan yang keluar dari mulutku. Rasanya proses penuaan kepadaku akan berlaku dengan pantas di sini. Maklumlah banyak sangat mengeluh. Tua menjangkaui usia! Ee...ngerinya! Pantas saja aku mencapai fail di atas meja. Daripada aku memikirkan perkara yang bukan – bukan lebih baik aku menyudahkan kerjaku yang terbengkalai hari ini gara – gara Aqel yang memaksaku pergi bersamanya ke CNFL.

Terlebih 10 minit daripada tamatnya waktu kerjaku. Leka sangat menyiapkan dokumen – dokumen penting untuk dipersembahkan kepada Puan Rosie nanti sehingga aku tidak menyedari waktu balik ke rumah sudah tiba. Sungguh masa berlalu begitu pantas. Lantas kuhubungi mak menyatakan tentang kelewatanku sampai ke rumah hari ini. Tidak mahu mak dilanda kerisauan. Kemudian aku bergegas mengemas fail – fail di meja yang bertaburan tadi. Esok saja aku melangsaikan semuanya yang hanya tinggal sedikit untuk disiapkan. Harap – harap esok aku tidak perlu berada di luar pejabat.

Kupadamkan penghawa dingin. Kupandang sekeliling bilik ini. Setelah yakin semua dalam keadaan baik, aku terus saja melangkah ke pintu. Kupetik suis lampu dan menutup daun pintu lalu menguncinya. Aku terus saja mengorak langkah meninggalkan bilik ini. Dalam bangunan KDUT masih ramai manusia yang lalu lalang. Siang malam ada saja penggambaran yang berlangsung tanpa mengira waktu. Bangunan kaca ini tidak pernah sunyi kerana warganya tidak pernah tidur. Manusia di sini silih berganti pergi dan datang untuk melaksanakan tugas masing – masing tanpa menghiraukan peredaran waktu yang silih berganti.

Aku bertukar senyuman dengan pengawal keselamatan yang bertugas di muka pintu utama. Sekarang hubunganku dengan mereka sudah bertambah baik tidak seperti pada awal pertemuan dulu. Tiba di luar aku meraba – raba poket beg galasku untuk mencari kunci motor cabuk kesayanganku. Seingat aku ada dalam poket ini. Mana mungkin tertinggal di pejabat kerana aku tidak pernah mengeluarkannya dari poket beg ini. Rasa malas hendak kembali ke pejabat andai tidak kutemui di poket ini. Kubelek – belek lagi.

“Lia.....” ada suara lelaki menyapaku.

Aku cukup kenal dengan suara itu. Perlahan – lahan aku mengangkat wajahku memandang ke arah suara itu. Seraut wajah bersih sedang berlaga pandangan denganku. Senyuman indah terukir di bibirnya dilemparkan kepadaku. Jantungku berdegup kencang. Aku jadi kaku. Aku nampak sepasang kakinya sedang melangkah mendekatiku. Aku baru tersedar dan ingin lari jauh darinya. Namun aku tidak mampu. Kakiku seakan sudah dipaku di situ membuatkan aku langsung tidak boleh bergerak. Aku hanya menanti kedatangannya untuk berada di depanku, dekat denganku.


2 comments:

  1. best...lama tunggu entry masuk

    ReplyDelete
  2. tq skyAngel.... sy br blk dr holiday. time ct sekolah nie bz dgn family. sy curi2 ms nak smbg cite n cite2 ln. insyaAllah sy akan cb yg terbaik demi pembaca2 yg sudi bersama karya2 sy.

    ReplyDelete