Wednesday, 17 August 2011

Novel: GuruKu CintaKu.... Cikgu Itu Kekasihku....2



BAB 2


Pandangan mama dari rekod kemajuan pelajaran beralih ke wajahku. Tiada sekelumit pun senyuman. Biarpun ada A tunggal yang aku peroleh untuk exam kali ini. Betapa aku telah berusaha berganda – ganda untuk mendapatkan A yang cemerlang itu. Betul ke aku bersungguh – sungguh untuk semua subjek? Rasanya tidak ler he....he....he....he.....
“Tiada kemajuan langsung” tegas saja suara mama meluah rasa tidak puas hatinya terhadap pencapaianku itu.
Ditatapnya lagi paparan rekod kemajuan pelajar yang masih terbentang luas di tangannya. Mama geleng – geleng kepala. Jelas mama tidak dapat menerima hakikat bahawa sedemikianlah keputusan anak gadis kacukan peguam dan pensyarah. Agaknya mama sudah merencanakan bahawa aku akan lebih berIQ tinggi memandangkan latar belakang mereka yang merupakan golongan ilmuwan yang memiliki keintelektualan yang tinggi.
“Tapi result tu ada A juga mama” pujukku.
“Satu je A. Yang lain mana A nya? Asyik – asyik History je yang A”
“Syukur ler tu mama” balasku cuba menyenangkan hati mama.
Aku tersenyum sendiri. Syukur, aku masih mampu mempertahankan Sejarahku A. Bukan sedikit aku berusaha untuk mendapatkan A tunggal itu. Sungguh Cikgu Elvart Hee penyuntik semangatku.
“Okey ler tu. Sekurang – kurangnya Nia boleh jadi peguam. Usaha sikit lagi, pencapaian bahasa Inggeris ini boleh ditingkatkan lagi” tutur mama cuba lebih berdiplomasi.
“Nia tak nak jadi peguam” laju aku memintas bicara mama.
Aku tidak terfikir untuk mengikut jejak mama. Cukuplah mama ada firma guaman sendiri. Cita – citaku ini tidaklah setinggi impian mama.
“Habis tu Nia nak jadi apa?” soal mama ingin tahu.
Aku tersenyum lebar. Perlukah aku beritahu mama? Rasanya tidak perlulah untuk sementara waktu ini.
“Nak ikut jejak langkah arwah abah ke?” soal mama lagi.
Aku geleng kepala. Karier ini memang sama sifat seperti pensyarah, tetapi pensyarah lebih tinggi levalnya.
“Kemudian ler Nia fikirkan” putusku menamatkan persoalan yang bermain di minda mama.
“Mulai dari sekarang, Nia mesti fikirkan cita – cita sendiri supaya Nia ada hala tuju, ada matlamat yang hendak dicapai. Justeru, Nia ada motivasi untuk majukan diri demi merealisasikan cita – cita itu” hujah mama petah seperti dia berhujah ketika mengendalikan kes di mahkamah.
Aku menatap wajah mama. Ada kesungguhan terpamer di situ. Pastinya mama juga seperti ibu – ibu yang lain ingin melihat kejayaan anak – anaknya dalam hidup ini. Apatah lagi hanya aku satu – satunya anak mama, lambang cintanya dengan abah. Aku tahu jauh di sudut hati mama, dia ingin benar aku mewarisi kejayaannya sekaligus menguruskan empayar firma guamannya pada masa depan. Maafkan aku mama. Rasanya aku tidak boleh jadi peguam seperti mama.
“Nia, Cikgu Elvart Hee nak jumpa kau” suara Siti mengutus pesanannya.
Sepantas kilat aku berpaling. Cukup sensitif aku mendengar sebaris nama itu.
“Dia suruh kau jumpa dia kat bilik guru” tambah Siti.
Aku terus saja mengatur langkah berhajat untuk pergi ke bilik guru. Sesaat pun tidak akan kutangguhkan.
“Hoi, Deliya, awak nak pergi mana tu!”
Oppss! Langkahku mati. Aku berpaling ke belakang. Dennis Lee sedang tercengang – cengang menatapku sambil menayangkan dua bungkus nasi lemak kepadaku. Alahai....., aku lupa yang sebenarnya sebentar tadi aku bersama mamat ini.
“Kau makan dulu ye. Aku nak jumpa Cikgu Elvart Hee sekarang” beritahuku lalu berpaling semula untuk menyambung langkahku.
Perutku yang kelaparan tadi, tiba – tiba jadi kenyang. Nama Cikgu Elvart Hee betul – betul ada magik. Boleh jadi penawar buat diriku.
“Come here, my dear my best student” panggil Cikgu Elvart Hee ceria dan mesra sebaik saja aku menapak di bilik guru dalam beberapa langkah jaraknya dari tempat duduknya.
Aduhai......, macam tidak berpijak di bumi nyata aku dipanggil sedemikian. Suaranya cukup lunak dan romantis. Aku dibuai perasaan.
“Cikgu Aminah, ini dia pelajar kesayangan saya, Nia Deliya. Saya mahu dia jadi wakil sekolah untuk kuiz Sejarah tu nanti” tuturnya buat jiwaku melayang – layang di awangan dengan bahagiannya.
Perkataan ‘kesayangan saya’ itu saja yang melekat di halwa pendengaranku lalu terngiang – ngiang ditelingaku. Aku diperkenalkan kepada Cikgu Aminah, seorang guru baru yang mengajar subjek Sejarah di kelas sebelah kelas kami. Tentu dia belum cukup mengenali aku yang merupakan pelajar pintar Sejarah di sekolah ini. Aku dan Cikgu Aminah bertukar senyuman. Cantik juga cikgu ini. Sedikit sebanyak aku rasa tergugat dengan kewujudannya. Apatah lagi Cikgu Elvart Hee tampak mesra dengannya. Aduh..... sabarlah hati! Aku memujuk diri.
Mereka merupakan rakan sekerja, sudah semestinya hubungan mereka mesra. Cikgu Elvart Hee pun memang terkenal dengan sikapnya yang peramah. Aku cuba memujuk hati dari terus bergolak. Aduhai, cikgu pujaan hati, pengarang jatung, janganlah kau deraku aku sebegini!
“Saya yakin awak takkan mengecewakan saya” ujar Cikgu Elvart Hee serius.
Aku melawan pandangan Cikgu Elvart Hee yang menusuk ke hatiku. Aku menyambut sesuatu yang dihulurkannya kepadaku. Sebentuk cincin berlian tersemat dalam kotak baldu merah hati tanda cinta yang tersemi berapi – api.
“Nia..... Nia Deliya!”
Aku tersentak. Cikgu Elvart Hee dan Cikgu Aminah sedang memandangku.
“Are you okey?” suara Cikgu Elvart Hee mengusir aku dari dunia khayalan yang panjang sekaligus mengembalikan aku ke dunia nyata.
Aku menatap sesuatu di tangan Cikgu Elvart Hee yang masih berada di awangan menunggu sambutan tanganku. Ohh, bukan cincin berlian tetapi hanyalah beberapa helaian kertas A4! Aku garu – garu kepala sambil tersengih panjang. Kalaulah aku ceritakan khayalanku ini kepada Dennis Lee, pasti berbakul – bakul kutukan pedas dihadiahkan kepadaku. Parah! Parah!
“Balik rumah isi borang ni dan minta tandatangan kebenaran daripada ibu awak. Esok awak hantar semula borang ini kepada saya” terang Cikgu Elvart Hee.
Aku hanya mengangguk. Esok borang ini mesti dihantar kepada Cikgu Elvart Hee. Bermakna esok aku berpeluang bertemu dengannya lagi. Bestnya.....tidak sabar aku hendak menanti kemunculan esok. Kemaruknya aku dengan cikgu kacak ini!



No comments:

Post a Comment