BAB 10
Bertalu – talu daun pintu diketuk.
“Alah.... kacaulah!” rungutku.
Kutarik selimut menutup kepalaku.
“Hoi..... anak dara, matahari dah meninggi ni!”
Aku dapat menangkap suara abang yang sedang berkicauan macam burung di awal pagi. Kulihat daun pintu terkuak. Abang melangkah masuk sambil tersengih. “ Apalah Adik ni, tak nak berbasikal ke?”
Ditariknya selimut yang menyelubungiku.
“Abang janganlah kacau!” marahku.
Abang duduk di birai katil sambil menatapku.
“Pukul berapa Adik tidur semalam?”
Kutunjukkan isyarat jari.
“Ah, pukul 4.00 pagi! Adik buat apa malam tadi?”
Hey, budak ni lebih – lebih pula nak tahu. Abang menarik tanganku.
“Cepat bangun, matahari dah nak keluar nanti tak sedap pula nak berbasikal” leter abang terus mengalahkan mak nenek.
“Yalah..... yalah, abang keluar dulu, Adik nak tukar pakaian ni”
Pantas aku mengayuh basikal menyaingi abang. Semakin lama semakin laju. Masing – masing ingin mendahului. Tiba di selekoh aku meninggalkan abang. Tiba – tiba dari depan datang sebuah kereta sport BMW merah meluru ke arahku. Aku cuba mengelak dan akhirnya aku tumbang bersama basikal ke tepi. Tubuhku ditimpa basikal. “Adik!” jerit abang dari belakang yang sempat melihat situasi itu.
Kereta yang hampir – hampir melanggarku tadi, tiba – tiba saja berhenti di tengah jalan. Abang mengangkat basikal yang menimpa tubuhku. Lututku berdarah.
“Adik, lutut Adik luka” beritahu abang.
Aku tidak hiraukannya. Anak mataku tajam merenung kereta tersebut. Kereta itu berundur lalu berhenti tepat – tepat di depan kami. Keluar pemandu kereta itu dengan muka pucat dan serba salahnya. Rupanya budak seekor ni. Geramnya aku..........!!!!!
“Maaf, saya tak sengaja. Bagaimana dengan Edora?”
“Buta ke! Ingat jalan raya ni bapa kau punya ke? Nak berlagak pula. Ingat terror betul” marahku.
“Alah, Adik dah ler tu! Eddy pun dah minta maaf”
“Adik mesti ajar budak ni bang” ujarku sambil menggenggam penumbuk.
“Maaf Edora. Saya .... saya” ujarnya gagap sambil sesekali mengatur cermin mata barunya. Pasti cermin mata yang baru sebab yang selalu dipakainya sebelum ini telah menemui ajal ditanganku.
“Edora? Siapa suruh kau panggil aku begitu ahh!” bentakku geram.
“A.... er.... er...”
Dia garu – garu kepala. Pantas aku melangkah ke depan mendekatinya. Satu tumbukan padu singgah di pipinya yang nan putih bersih itu. Lepas ini pasti ada bekas. Abang yang terkebil – kebil menyaksikan kejadian ini, laju saja menarik tanganku. Diusapnya pipinya yang sudah nampak kemerah – merahan. Lebam.
“Adik kenapa ni?”
Abang menatapku tajam. Aku buat muka selamba saja. Rasa puas hati setelah hajat kesampaian. Kucapai basikal dan terus berlalu meninggalkan abang dan budak muka seposen itu.
“Eddy, aku minta maaf”
“Tak pelah Lan, salahku juga” ucapnya sambil tersenyum.
Lidahnya menjolok – jolok pipinya. Terasa kebas juga akibat tumbukan padu gadis itu. Tumbukan yang menyerupai tumbukan seorang lelaki. Ada bisanya.
Basikal yang kutunggang memasuki garaj. Abang mengekori dari belakang. “Adik, apa hal Adik buat macam tu?” marah abang yang belum habis lagi. Aku buat tak peduli saja. Kubuka peti sejuk. Air dalam botol kuteguk.
“Adik ni, malukan abang je ler” rungut abang lagi.
“Abang marakan Adik apasal, kan dia yang mula buat hal”
“ Dia tak sengaja nak buat macam mana. Lagi pun dia dah minta maaf apasal Adik tumbuk dia pula. Adik tak apa – apa pun. Memanglah Adik ni keterlaluan” protes abang masih tidak berpuas hati dengan tindakanku sebentar tadi.
“Abang kata tak apa – apa. Cuba tengok lutut Adik ni”
“Eleh, sikit je!”
“Memang abang nak bela dia, mentang – mentang dia kawan abang”
Botol ditangan kubaling kepada abang. Nasib baik sempat disambutnya kalau tidak pasti ada yang berdahi benjol tadi.
“Hey, Adik ni nak bunuh abang ke!” tuturnya separuh terkejut.
Kalau aku tak ingatkan dia ini abangku sudah pasti kuberikan sebiji penumbuk. Celupar betul. Sakit telingaku ini mendengar suaranya berleter memanjang. Pet ... pot .... pet .... pot.... tak henti – henti. Betul – betul mendidihkan hati dan mencabar kesabaranku.
“Adik, abang cerita kat abah nanti” ancamnya bagai anak kecil.
“Cerita ler kalau abang berani” balasku turut memberi amaran.
Dia ingat aku akan takut dengan ancamannya itu. Agaknya abang mahu aku minta maaf kepada kawannya itu barulah dia berhenti bercakap dan berpuas hati. Jangan haraplah aku akan buat. Kiamat dunia ini pun aku tidak akan lakukannya. Usah bermimpilah abang.
“Hey, apa hal bising – bising ni!”
Mak Edah muncul di muka pintu. Ditatapnya aku dan abang silih berganti. Lagak seorang nenek yang cuba menghakimi cucu – cucunya.
“Mak Edah, Adik cari gaduh. Nasib baik Eddy tu tak mengamuk tadi”
“Apa Adik buat kat budak tu?” soal Mak Edah ingin tahu.
“Adik tumbuk muka dia”
“Astaga, anak dara seorang ni” rungut Mak Edah sambil geleng kepala.
“Dia yang nak langgar Adik” balasku tidak mahu mengalah.
Tanganku giat membalut luka di lutut.
“Ya Allah, kenapa dengan lutut Adik tu?” tanya Mak Edah kerisauan.
“Jatuh basikal” jawab abang selamba mendahuluiku.
“Sakit Adik?”
“Alah, sikit je” balasku tersengih.
“Tuler lain kali hati – hati sikit” nasihatnya.
Aku diamkan diri saja. Tiada lagi lain kali Mak Edah. Aku tidak akan biarkan perkara ini berulang untuk kali kedua. Cukup sekali! Harap – harap aku sudah memberikan pengajaran yang setimpal yang boleh diingati untuk seumur hidupnya. Aku juga mahu mengingatkannya agar dia berhati – hati denganku. Paling penting amaran keras untuknya agar tidak mendekati abang lagi.
No comments:
Post a Comment