Saturday, 16 February 2013

NamaKu Bukan Flora.....43




BAB 43

“Ya Allah..... kenapa jadi macam ini” bisikku sambil menatap lama wajahku di depan cermin. Mataku mengecil dan mukaku bengkak. Wajahku sudah berubah. Kusentuh hidungku yang sudah bertampal ini. Terasa sakit.  Nampak hodoh aku tika ini. Aku membaringkan tubuhku di katil semula. Niatku hendak bersarapan dengan Reka dan Marnie terus terpadam.
“Awak tidak mahu pergikah?” soal Marnie melihat aku masih terbaring di katil.
“Tidak mahulah. Segan bila orang tengok keadaan saya macam ini” tuturku meluahkan isi hatiku. Marnie geleng kepala.
“Awak jangan pedulikan pandangan orang. Paling penting perut kenyang. Marilah” ajak Marnie. Aku menggeleng.
“Kamu berdua sahajalah pergi” tuturku.
“Kalau macam itu nanti kami beli sarapan untuk awak. Mahu makan apa?” soal Reka.
“Belilah apa – apa sahaja” arahku tidak mahu berfikir. Marnie mengeluh. Simpati juga dia melihat keadaanku tika ini.
“Dahsyat betul penahan Rania kepada awak, Lia. Ini mesti melepaskan geram betul ini. Awak tidak tengok bagaimana reaksinya bila tengok Encik Aqel dan Encik Haqem cemas melihat keadaan awak semalam” tutur Reka mula bercerita. Aku melepaskan keluhanku.
“Tidak payah ceritalah. Kamu berdua pergilah sarapan” arahku tidak mahu menyesakkan kepala memikirkan perbuatan Rania itu.
“Namun puas hati juga tengok dia terkebil – kebil ditinggalkan” tutur Marnie mencelah. Kemudian dia dan Reka tergelak.
“Jahatnya kamu berdua ini” keluhku. Marnie dan Reka tersengih.
“Mesti awak seronokkan bila ada dua orang jejaka kacak lagi tampan begitu mengambil berat kepada awak. Encik Aqel tidak cemburukah melihat Encik Haqem juga begitu prihatin kepada awak” duga Reka tersengih.
“Sudahlah cerita fasal ini. Bosan tahu” keluhku tidak berminat untuk memberi ulasan selanjutnya. Marnie dan Reka tergelak lagi.
“Janganlah ganggu Lia. Mari....” ajak Marnie lantas menarik tangan Reka beredar dari situ. Aku memerhatikan langkah Reka dan Marnie meninggalkan aku.
“Bye Lia. Nanti kami beli sarapan sedap – sedap untuk awak, ya” tutur Reka tersengih sambil melambaikan tangan kepadaku. Kelibat Marnie dan Reka lenyap di sebalik pintu. Kini tinggallah aku bersendirian di sini. Aku melepaskan keluhanku. Teringat pada bicara Reka sebentar tadi. Jelasnya Reka mula mempersoalkan tindakan Haqem semalam. Secara logiknya, tidak perlulah Haqem prihatin sangat kepadaku sedangkan Aqel yang kononnya tunangku juga berada di situ. Pasti tindakan Haqem itu telah mengundang banyak persoalan yang memerhatikan kejadian semalam.
“Ahh... tidak patut Haqem berbuat baik kepadaku!” keluhku susah hati. Aku memejamkan mataku. Mahu menyambung tidurku kembali. Malas aku hendak memikirkan perkara itu lagi. Semuanya menyesakkan kepalaku.
“Assalamualaikum Encik Haqem, Encik Aqel...” sapa Marnie yang bertembung dengan kedua – dua pemuda itu di muka pintu restoran. Kedengaran suara kedua – dua orang pemuda itu menyambut salam itu.
“Mana Flora?” soal Aqel menyedari ketiadaan gadis itu. Reka tersengih.
“Dia tidak mahu keluar bilik. Katanya segan dengan keadaan dia sekarang” jelas Reka tidak mahu berselindung.
“Mengapa dengan dia?” suara Haqem pula menyoal.
“Muka dia bengkak” sahut Marnie pula. Aqel dan Haqem terdiam.
“Dia sudah sarapankah?” soal Aqel.
“Baru sahaja kami hendak beli sarapan untuk dia, Encik Aqel” jelas Marnie.
“Tidak apa kamu sarapanlah dahulu bersama Haqem. Saya hendak jenguk Flora sekarang” tutur Aqel tiba – tiba sahaja mengubah hala tujunya.
“Encik Aqel hendak menjenguk Liakah? Dia seorang sahaja di bilik sekarang” jelas Marnie. Aqel terus sahaja tergelak buat Marnie, Reka dan Haqem kehairanan.
“Mengapa? Awak risau saya dan dia ditangkap khalwatkah?” soal Aqel nakal. Marnie garu – garu kepala sambil tersengih.
“Bahaya masuk bilik perempuan sendirian, Encik Aqel” tutur Reka mengusik.
“Jikalau betul saya dan Flora ditangkap khalwat tidak menjadi masalah sebab memang kami akan bernikah pun” sahut Aqel bersahaja. Haqem terus sahaja berpaling menatap Aqel. Cuba memahami bicara sahabatnya itu. Namun Aqel tetap bersahaja.
“Hey... nakallah Encik Aqel ini” tutur Reka tersenyum suka. Marnie hanya tersenyum.
“Pergilah sarapan sekarang. Saya mahu jenguk Flora sekejap lagi” tutur Aqel.
“Kamu berdua tidak payahlah risau. Flora dan saya tidak akan ditangkap khalwat. Betulkan Haqem?” soal Aqel sambil menatap Haqem. Laju Haqem mengangguk buat Aqel tersenyum sendiri.
“Hati – hati Encik Aqel” pesan Marnie memberi peringatan. Aqel mengangguk. Sangat mengerti makna di sebalik peringatan Marnie itu. Mereka berpisah membawa haluan sendiri. Aqel melangkah masuk ke dalam kotak lif. Ditekan aras 10. Laju tangannya mengeluarkan telefon bimbitnya, lantas membuat satu panggilan. Berbual – bual seketika di talian. Aqel mula melangkah keluar tatkala pintu lif sudah ternganga di aras 10 sambil menamatkan perbualan di telefon itu. Liar anak matanya menatap barisan nombor pada setiap bilik. Dia tersenyum menatap bilik 313 yang sudah berada di depannya ini. Laju sahaja jarinya menekan loceng. Sayup – sayup aku mendengar bunyi loceng pintu ditekan. Mesti mereka lupa bawa kunci. Namun yang menghairankan mengapa cepat sahaja mereka bersarapan. Mungkin Marnie dan Reka bercadang mahu bersarapan bersamaku di bilik ini. Mereka memang sahabat yang setia. Aku tersenyum sendiri. Aku terus bangkit dari katil lalu melangkah longlai ke muka pintu. Kupusing tembol pintu, lalu menguak daun pintu.
“Sekejapnya kamu berdua sarapan” tuturku masih menundukkan pandanganku ke lantai. Baru sekarang aku menyedari betapa cantiknya corak permaidani bilik ini.
“Kenapa awak tidak ikut serta mereka bersarapan?” suara lelaki bertanya. Laju aku mengangkat mukaku. Pandanganku dan Aqel bertembung.
“Awak....!” Aku tersentak melihat Aqel sudah terpacak di muka pintu. Laju sahaja tanganku menutup mukaku daripada pandangan Aqel. Bagaikan tidak sanggup aku memperlihatkan wajahku tika ini kepada Aqel.
“Siapa suruh awak datang sini. Cepat pergi...!” arahku lantas cuba menutup kembali daun pintu dengan sebelah tanganku. Namun cepat sahaja tangan Aqel menahannya. Aku tidak mampu menyaingi tenaga lelaki Aqel. Maka pintu bilik ini terkuak buat seketika.
“Mari sarapan” ajak Aqel bagaikan tidak faham – faham dengan keadaanku sekarang.
“Saya sudah pesan kepada Reka dan Marnie tadi” jelasku.
“Saya beritahu mereka tidak payah beli sarapan untuk awak sebab saya janji akan bawa awak keluar dari bilik ini” tutur Aqel bersahaja.
“Awak....!” ujarku separuh menjerit. Geram kepada Aqel yang memandai – mandai bertindak sendiri.
“Saya tidak mahu keluar bilik sekarang” marahku.
“Kenapa? Awak malu dengan wajah awak sekarangkah?” soal Aqel menduga. Aku mendengus. Sudah tahu bertanya lagi. Bengang.
“Awak nampak comel dengan muka awak sekarang” tutur Aqel tersenyum.
“Aqel...!” tengkingku. Aku tahu Aqel sedang memerliku.
“Saya seriuslah. Cepat tukar pakaian awak sekarang. Kita sarapan bersama mereka” tutur Aqel berdegil. Aku mendengus kasar.
“Saya tidak ada selera hendak sarapan bersama awak. Perut saya sudah kenyang bila tengok muka awak sekarang” tuturku geram. Aqel terus sahaja tergelak.
“Saya tahulah saya ini tampan, tetapi tidak percayalah jikalau boleh buat awak kenyang pula. Mari kita sarapan sama – sama” tutur Aqel berdegil lagi.
“Saya tidak mahu sarapan” rungutku.
“Cepatlah jangan buang masa” tutur Aqel.
“Aqel.... awak tidak boleh paksa saya. Faham...!!!” laungku separuh menjerit. Aqel terus sahaja menarik tanganku keluar. Puppp.... daun pintu tertutup. Aku terlopong melihat pintu bilik ini sudah terkunci. Kuperhatikan diriku sekarang. Baju – t dengan seluar tidur berjalur – jalur. Rambut kusut - masai, berkaki ayam dengan wajah yang membengkak. Silap – silap tengok bagai orang tidak siuman pula. Comot sangat.
“Mari...” Aqel terus sahaja menarik tanganku.
“Aqel... awak hendak buat apa ini?” soalku yang sudah terdorong mengikut gerak langkah Aqel. Beberapa orang pekerja pembersih bilik hotel yang kami lewati kehairanan menatapku.
“Ajak awak sarapanlah” tutur Aqel bersahaja. Langsung dia tidak mempedulikan keadaan diriku sekarang serta pandangan pekerja - pekerja hotel yang bertembung dengan kami. Aqel  menarikku masuk ke dalam lif.
“Awak sengaja hendak malukan sayakan...” keluhku hiba. Aqel berpaling ke arahku. Dia merenungku. Laju sahaja tanganku mengesat air mata yang menitis di pipiku. Aqel betul – betul bertindak kejam sekarang. Senyap. Tiba – tiba sahaja Aqel menanggalkan seliparnya, lalu membongkok. Aku tergamam tatkala Aqel meletakkan seliparnya itu tepat – tepat di depanku.
“Pakailah selipar itu” arah Aqel yang sudah berdiri tegak di depanku. Aku masih mematungkan diriku. Niat di hati tidak mahu bertolak ansur dengan Aqel. Alang – alang dapat malu, biarlah kali ini malu betul. Sekurang – kurangnya Aqel juga akan dapat malu sama. Tiba – tiba sahaja Aqel membongkok semula. Tanpa kuduga Aqel terus sahaja mengangkat kakiku lalu menyarungkan sebelah selipar ini di kaki kananku.
“Aqel.... awak buat apa ini?” soalku binggung. Aqel langsung tidak mengendahkan teguranku. Sebaliknya dia mengangkat kaki kiriku pula lalu mengulangi perkara yang sama tadi. Kini kakiku sudah beralaskan selipar Aqel. Kupandang kaki Aqel yang putih bersih tidak beralas itu. Kemudian kutatap wajahnya.
“Apa yang sedang awak lakukan ini?” soalku tidak mengerti dengan sikap Aqel. Aqel hanya tersenyum.
“Mari...” Aqel terus sahaja mengajakku keluar tatkala pintu lif ini sudah terkuak. Aku hanya menuruti arahan Aqel sambil mengekori langkahnya. Begitu tenang Aqel melewati ruang tamu dengan hanya berkaki ayam sahaja di samping keadaan diriku yang bagaikan orang yang baru sahaja jaga daripada tidur. Memang pun sebab aku terlelap sekejap tadi. Ramai juga yang sedang melontar pandangan ke arah kami. Terasa panas wajahku. Sungguh aku rasa malu tika ini. Sekejap lagi akan bertambah malu tatkala berkunjung di restoran itu. Ahh.... pedulikanlah kerana Aqel juga akan turut merasa tempiasnya. Namun langkah Aqel tidak terhenti. Aqel terus sahaja melewati pintu restoran itu. Langkah Aqel pantas bergerak ke muka pintu utama hotel ini. Ke manakah Aqel mahu membawaku pergi? Aku melihat Aqel berjengket – jengket tatkala memijak permukaan jalan bertar itu. Batu – batu tajam dan permukaan jalan yang kasar.
“Cepat masuk kereta, Flora” arah Aqel. Aku mengikut sahaja arahan Aqel tanpa bantahan. Aqel terus sahaja menghidupkan enjin kereta. Seminit kemudian kereta Peugeot RCZ Sports Coupe telah meluncur laju meninggalkan perkarangan hotel.
“Kita hendak pergi mana Aqel?” soalku hairan.
“Buat sarapan awak” sahut Aqel bersahaja. Jawapan Aqel menyakitkan hatiku. Terasa Aqel sedang mempermainkan aku. Aqel mencapai telefon bimbitnya, lantas membuat satu panggilan. Sempat juga aku menatap kaki Aqel yang putih bersih itu merah merona.
“Assalamualaikum, Pak Shuib. Bahan – bahan yang saya perlukan tadi sudah Pak Shuib sediakan?” soal Aqel berbual dengan seorang lelaki. Aku memasang telinga mendengar perbualan ini.
“Ya Aqel. Aqel di mana sekarang?” soal lelaki ini.
“Saya dalam perjalanan ke sana. Sekejap lagi saya sampai” tutur Aqel memaklumkan kedatangannya kepada seseorang yang tidak kukenali.
“Baguslah kalau macam itu. Ramuan ubat – ubatan yang Aqel hendak itu pun sudah saya sediakan. InsyaAllah mujarab melancarkan darah dan bengkak – bengkak itu nanti” jelas lelaki itu. Aqel mengangguk – angguk dan tersenyum.
“Bagus Pak Shuib. Terima kasih banyak Pak Shuib. Assalamualaikum....” tutur Aqel berbesar hati. Aqel memasukkan kembali telefon bimbitnya ke dalam saku seluarnya.
“Awak telefon siapa?” soalku tidak boleh bersabar lagi untuk mengetahui gerangan lelaki yang sedang berbual dengan Aqel itu.
“Pak Shuib” jawab Aqel ringkas. Berkerut dahiku memikirkan nama itu. Nyatanya aku tidak mengenali lelaki ini. Dia bukan daripada kalangan saudara – mara keluargaku. Mungkin saudara di sebelah keluarga ayah Aqel. Tidak mungkin juga kerana ayah Aqel bukan orang Malaysia. Kedengaran suara Aqel mengerang kecil. Aqel menatap kakinya yang kemerahan itu. Mungkin tapak kaki Aqel sudah terluka akibat bersentuhan dengan permukaan jalan yang kasar dan tajam tadi. Aku buat – buat tidak tahu sahaja. Semua ini bukan salahku. Kereta Peugeot RCZ Sports Coupe ini membelok memasuki satu simpang. Kemudian melalui jalan yang di tanam dengan pokok – pokok yang merimbun di sepanjang jalan. Satu lanskap yang indah dan menyegarkan. Betapa aku telah jatuh cinta pada suasana dan persekitaran yang bersih dan segar sebegini. Kereta Peugeot RCZ Sports Coupe ini tiba – tiba sahaja berhenti di perkarangan sebuah banglo yang sebahagian besarnya berdindingkan kaca. Banglo yang unik dan mempesonakan. Aqel terus sahaja mematikan enjin keretanya.
“Kita di mana ini, Aqel? Banglo siapa ini?” soalku bertalu – talu. Muncul seorang lelaki separuh usia namun kelihatan begitu sihat dan bertenaga. Itu mungkin Pak Shuib, lelaki yang berbual dengan Aqel sebentar tadi. Bergegas lelaki tua ini mendapatkan Aqel.
“Mana kasut Aqel? Mengapa berkaki ayam sahaja?” soal Pak Shuib hairan. Kemudian pandangan Pak Shuib beralih pada kakiku. Aku tersengih. Kini persoalan Pak Shuib sudah terjawab.
“Pak Shuib, ini Flora, sepupu saya anak Mak Usu” ujar Aqel memperkenalkan aku kepada Pak Shuib. Pak Shuib menganggukkan sambil tersenyum kepadaku. Dia langsung tidak terkejut melihat keadaanku ini. Mungkin Aqel telah menceritakan segala – galanya kepada Pak Shuib.
“Apa khabar, Pak Shuib?” sapaku membalas senyumannya.
“Alhamdulillah sihat. Flora?” soal Pak Shuib.
“Kurang baik sedikit. Panggil saya Lia, Pak Shuib” pintaku. Berkerut dahi lelaki tua ini. Keliru dengan permintaanku ini.
“Sebenarnya nama saya Lia, bukan Flora. Saya pun tidak tahu mengapa dia suka sangat panggil saya dengan nama itu. Mungkin Pak Shuib kenal gadis yang bernama Flora itu. Siapakah dia, Pak Shuib?” soalku bersungguh – sungguh. Pak Shuib geleng kepala, manakala Aqel tergelak – gelak. Suka sangat membuatkan aku sering tertanya – tanya. Namun aku tidak akan cepat berputus asa menjejaki gadis yang bernama Flora ini. Betapa gadis ini telah merantai jiwa raga Aqel. Jelasnya, Aqel gila bayang kepadanya.
“Dia ini cemburu, Pak Shuib” tutur Aqel mengenakan aku.
“Bukan cemburu tetapi saya tidak mahu ada orang menyamakan saya dengan kekasihnya” tingkahku memerli Aqel. Aqel tergelak lagi.
“Marilah masuk nanti kita berbual panjang di dalam” tutur Pak Shuib tersenyum menatapku. Aqel terjengket – jengket mendahului langkahku dan Pak Shuib.
“Ini banglo siapa, Pak Shuib? Banglo Pak Shuib, ya” dugaku. Laju sahaja Pak Shuib menggeleng. Dia tersenyum.
“Bukan. Ini banglo Aqel” jelas Pak Shuib sedikit menyentakkanku. Kaya betul Aqel, sana – sini aset hartanya. Memang bertuah perempuan yang bersuamikan Aqel. Aqel ada segala – galanya.
“Awak pergilah menonton tv, saya hendak ke dapur. Sekejap lagi saya akan hidangkan menu sarapan istimewa untuk awak” jelas Aqel buat aku tersenyum mekar. Girang hatiku mendengar bicara Aqel itu. Aku terus duduk di sofa putih bersih ini serasi dengan warna tema ruang tamu hitam putih ini. Cantik banglo persinggahan Aqel ini. Hiasan dalamannya ringkas tetapi sangat menarik. Tampak kemas dan terjaga rapi. Suasana yang begitu mendamaikan. Pak Shuib telah menjaga banglo ini dengan baik. Kupandang ke kiri ke kanan. Aqel dan Pak Shuib tidak berada di sini, lantas kubaringkan tubuhku di sofa panjang ini. Kucapai kusyen hitam baldu ini untuk kujadikan alas kepalaku. Suhu yang dingin memberikan keselesaan berganda kepadaku. Aku mula memejamkan mataku. Terasa laksana tuan puteri sedang beradu di mahligai indah. Aku tersenyum sendiri. Alangkah seronoknya andai aku dapat melelapkan mata seketika. Tatkala aku membuka mata nanti seorang putera sudah berada di depanku bersama santapan lazat yang membangkitkan seleraku.  

Semerbak mewangi menyerang rongga hidungku. Bau yang membangkitkan selera. Aku mula terasa lapar. Perutku berkeroncong. Barangkali sebentar lagi muncul seorang putera kacak bersama hidangan santapan yang lazat. Terasa ada seseorang sedang bersamaku saat ini. Perlahan –lahan aku mengangkat kelopak mataku. Nampak samar – samar bayangan seseorang. Bayangan yang semakin jelas. Mataku bertembung dengan sepasang mata yang sedikit sepet itu. Lama. Begitu tenang sepasang mata ini merenungku. Aku tersedar. Aku terus sahaja bangkit dan duduk di sofa ini sambil garu – garu kepala. Segan. Kemunculan Si Putera yang kuangankan tadi, rupanya anak muda Mak Long ini yang berada di sini sekarang. Memang pun Si Putra tetapi bukan putera raja yang betul. Sebaliknya ialah Aqel Indra Putra bin Abdullah. 
“Berapa lama sudah awak berada di sini?” soalku kurang senang.
“Sudah lama” sahut Aqel bersahaja.
“Awak perhatikan saya tidur, ya” dugaku. Aqel mengangguk.
“Awak nampak comel sangat ketika tidur” tutur Aqel tersenyum.
“Aqel....” radangku. Aqel sedang memerliku.
“Mesti awak tidak percaya jikalau saya cakap awak memang comel dengan muka awak yang gemuk sekarang” tutur Aqel lagi.
“Aqel....” Aku separuh menjerit. Aqel tergelak – gelak.
“Makanlah bubur nasi itu” arah Aqel sambil menunding jari ke arah meja di depanku. Semangkuk bubur nasi cendawan yang menyelerakan dan segelas air jus oren sudah terhidang di atas meja. Patutlah bau wangian semerbak tadi.
“Awak mahu saya suapkan?” soal Aqel.
“Tidak perlu” sahutku. Laju sahaja tanganku mencapai sudu, lalu mengangkat mangkuk itu. Sudah bersedia untuk menikmati bubur nasi cendawan ini. Ada hirisan ayam dan udang juga. Mesti sedap. Aqel memang pakar memasak bubur nasi. Aku mula menikmatinya sambil diperhatikan oleh Aqel. Sesekali aku meneguk jus oren di gelas. Emm.... sedap!
“Awak tidak mahu menonton tvkah?” soalku mahu mengalih pandangan mata Aqel dari terus memerhatikanku. Aqel tergelak. Barangkali dia baru menyedari betapa aku tidak senang dengan perbuatannya tika ini.
“Awak tidak tahu betapa puas hati saya ketika melihat orang lain menikmati hasil tangan saya” jelas Aqel. Mesti Aqel berpuas hati melihat aku makan bubur nasi yang dimasaknya sehingga ke lantai mangkuk ini.
“Awak pernah bercita – cita hendak jadi tukang masakkah?” soalku merujuk kepakaran Aqel dalam bidang masakan ini. Aqel tersenyum.
“Awakkan banyak duit, nanti bukalah sebuah restoran. Sekali dalam seminggu awak perkenalkanlah menu istimewa awak kepada pelanggan” saranku.
“Boleh asalkan awak sanggup menguruskannya” sahut Aqel.
“Apa pula kaitan dengan saya. Lagipun saya tidak pakar dalam perniagaan makanan ini. Jikalau bidang dobi bolehlah...” tuturku.
“Apa kata kalau awak tamatkan pengajian awak dalam bidang perniagaan. Saya akan biayai pengajian awak. Selepas itu awak bukalah perniagaan sendiri. Jangan risau saya beri awak modal” cadang Aqel. Bagaikan tidak percaya sahaja aku dengan kemurahan hati Aqel ini.
“Baiknya awak” tuturku tersengih menatap Aqel.
“Baik ada makna itu, Lia” tiba – tiba sahaja suara Pak Shuib mencelah. Pak Shuib muncul di ruang tamu sambil menatang dulang. Aku dan Pak Shuib bertukar senyuman.
 “Saya pun sangsi dengan dia ini, Pak Shuib” tuturku mengulas sikap Aqel ini. Selebihnya mahu mengusik Aqel. Pak Shuib dan Aqel tertawa.
“Tidak salahkan kalau saya mahu tolong saudara sendiri” tutur Aqel membela diri.
“Tidak salah asalkan pertolongan itu ikhlas” tuturku mengingatkan Aqel. Aqel tertawa lagi. Pak Shuib tersenyum. Hatinya begitu senang melihat perubahan sikap pemuda ini. Aqel tampak begitu mesra dengan gadis ini, malah Aqel juga menjadi begitu murah dengan senyuman dan gelak tawanya. Sesuatu yang berbeza daripada kelazimannya.
“Apa yang Pak Shuib bawa ini?” soalku sambil memandang bekas yang berisi akar – akaran dan dedaun yang sudah dimasak. Pasti ini ubatan tradisional. Kupandang Pak Shuib.
“Ubatkah ini, Pak Shuib?” soalku ingin tahu. Pak Shuib mengangguk.
“Ubat kampung untuk menghilangkan bengkak di muka Lia. Mujarab juga hendak mengalirkan darah. Risau ada darah beku dan tersekat di batang hidung Lia ini” tutur Pak Shuib sebagai orang yang pakar dalam perubatan tradisional.
“Pak Shuib boleh tolong saya hilangkan bengkak muka saya inikah?” soalku sangat teruja. Pak Shuib mengangguk lagi.
“InsyaAllah, akar dan daun ini akan sembuhkan kesakitan Lia sekarang” tutur Pak Shuib tersenyum. Aku menarik nafas lega. Lapang dadaku mendengar kenyataan Pak Shuib ini. Aqel yang memerhatikan gelagatku juga turut tersenyum.
“Terima kasih, Pak Shuib” tuturku rasa terhutang budi.
“Belum buat lagi sudah ucap terima kasih. Belum tahu lagi selulukah ubat ini dengan Lia” sahut Pak Shuib. Aku tersenyum lagi.
“Pasti mujarab Pak Shuib. Saya memang yakin dengan kepakaran Pak Shuib” tuturku tersenyum riang membuatkan Pak Shuib turut tersenyum. Aqel juga tersenyum.
“Tengok dia hanya ucap terima kasih kepada Pak Shuib” suara Aqel mencelah memerliku. Aku masih tersenyum.
“Terima Encik Aqel sebab telah memasak bubur nasi cendawan sedap untuk saya. Terima kasih juga sebab menemukan saya dengan Pak Shuib yang boleh tolong saya” tuturku bersungguh – sungguh. Kemudian aku dan Aqel serentak tergelak. Pak Shuib tersenyum sambil geleng kepala.
“Memang sesuai....” tutur Pak Shuib.
“Apa yang sesuainya, Pak Shuib?” soalku mahukan penjelasan lanjut daripada bicara lelaki ini. Pak Shuib tersenyum menatapku.
“ Sesuai jadi pasangan kekasih” jelas Pak Shuib.
“Siapa? Saya dengan Aqelkah?” soalku sambil menunding jari kepada Aqel dan diriku sendiri. Pak Shuib mengangguk.
“Hey.... tidak mungkinlah Pak Shuib! Saya tidak suka lelaki buaya seperti dia” tingkahku tanpa berselindung. Pak Shuib terus tergelak. Aqel tersengih menatapku.
“Lia, janganlah jual mahal sangat” ujar Pak Shuib mengusikku.
“Pak Shuib pula janganlah risau, orang setampan Aqel mesti ramai yang berkenan. Percayalah... Aqel tidak akan sempat jadi bujang telajak” sahutku bercanda. Pak Shuib tertawa.
“Kata tadi hendak tolong Lia. Bila lagi saya boleh bubuh ubat ini di muka saya, Pak Shuib” ujarku mengubah topik perbualan.
“Sekarang pun boleh” sahut Pak Shuib. Lantas Pak Shuib mengangkat bekas yang berisi akar dan daun itu, lalu diletak di depanku.
“Sapukan air akar dengan daun ini ke batang hidung Lia. Jangan lupa selawat tiga kali” ujar Pak Shuib memberi tunjuk ajar. Aku mengangguk – angguk faham. Aqel sekadar menjadi pemerhati. Seperti yang telah diajar oleh Pak Shuib, aku memulakan bacaan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Kemudian mula menyapukan daun yang dibasahi air rendaman akar ini ke batang hidungku. Terasa dingin. Kuulangi beberapa kali sehingga aku mula terasa perubahannya. Bagaikan ronga – ronga deria hiduku terbuka luas. Tiada lagi nafas yang tersekat. Begitu lancar deruan nafasku. 

“Bagaimana sekarang, terasa ada perubahankah?” soal Pak Shuib.
“Memang mujarab betullah, Pak Shuib. Pasti sekejap lagi bengkak ini akan surut. Terima kasih, Pak Shuib” tuturku terhutang budi kepada lelaki ini. Pak Shuib hanya tersenyum.
“Terima kasih juga kepada Aqel. Sebenarnya Aqellah yang bersusah payah cari ramuannya. Saya hanya tolong sediakan” tutur Pak Shuib langsung tidak mahu mengenepikan jasa Aqel. Betapa setianya Pak Shuib kepada majikannya ini. Aqel tersenyum sekilas.
“Memang patut Aqel bersusah payah sebab pasangan dialah yang menyebabkan saya cedera begini” rungutku menyalahkan Aqel dan Rania. Besar anak mata Aqel menatapku.
“Siapa suruh berangan ketika perlawanan berlangsung” tingkah Aqel.
“Saya tidak beranganlah” sahutku mula radang.
“Tengok Pak Shuib dia mula melawan cakap saya” tutur Aqel mengadu kepada Pak Shuib. Aku mengerling Aqel. Macamlah dia ini suamiku yang langsung tidak boleh dibantah bicaranya. Aku mendengus. Pak Shuib hanya tersenyum.
“Kamu berdua ini seperti Tom dan Jerry” tutur Pak Shuib membuatkan aku dan Aqel serentak tertawa. Pandai juga Pak Shuib berperibahasa moden. Aku faham maksud bicara yang cuba Pak Shuib sampaikan ini. Pastinya Pak Shuib ingin mengatakan bahawa aku dan Aqel bagai kucing dan tikus. Langsung tidak boleh berjumpa mesti akan bergaduh. Kreatif juga fikiran Pak Shuib ini.

Lama juga aku bersama Pak Shuib dan Aqel di banglo cantik ini. Dalam masa singkat sahaja wujud kemesraan antara aku dengan Pak Shuib. Memang Pak Shuib seorang yang begitu menyenangkan, malah aku nampak sendiri hubungannya dengan Aqel lebih kepada hubungan anak dengan bapa. Langsung tidak nampak jurang antara pembantu rumah dengan majikan. Kasihan Aqel. Barangkali dia sudah menganggap Pak Shuib ibarat ayahnya. Maklumlah Aqel tidak hidup bersama seorang lelaki yang bergelar ayah. Situasiku dan Aqel serupa. Kasihan aku dan Aqel.    

“Termenung jauh nampak” tegur suara Aqel. Aku berpaling dan tersenyum. Aqel sudah berdiri di sisiku.
“Cantik banglo awak inikan. Ada pemandangan yang indah dan segar” pujiku sambil melontar pandangan keluar melalui dinding kaca ini. Aqel tersenyum.
“Namun sedikit menyeramkan” komenku. Berkerut dahi Aqel menatapku.
“Kenapa pula?” soal Aqel.
“Awak tidak seramkah tengok keadaan di luar yang gelap pada waktu malam? Ngerinya kalau ada sepasang mata merah di luar sana sedang memerhatikan awak tidur “tuturku dengan anak mata yang besar memandang Aqel. Aqel terus tergelak besar.
“Kalau awak tengok suasana malam pasti awak akan berjaga sepanjang malam kerana tidak mahu terlepas menikmati keindahan dan suasana romantik itu. Awak boleh nampak kerdipan bintang di hamparan langit yang terbentang luas, sinaran bulan yang begitu indah dan mempesonakan” tutur Aqel bersungguh – sungguh. Aku sudah terbayang suasana yang cuba Aqel gambarkan itu. Teringat pada gelagat Aqel yang terbaring di bangku berbantalkan lengan di halaman banglonya sambil memandang ke langit. Rupanya memang sudah menjadi hobi Aqel menikmati keindahan malam.
“Kalau waktu hujan, ada petir dan kilat, bagaimana pula?” soalku.
“Awak tariklah langsir ini. Tidakkan itu pun awak tidak boleh fikir” perli Aqel tersengih. Aku mengetap bibir menahan geram. Senyap.
“Awak sukakah banglo ini?” soal Aqel. Aku mengangguk. Berada di sini terasa begitu mendamaikan. Alangkah seronoknya menjadi jutawan. Semua kehendak hati pasti tertunai.
“Kalau begitu saya hadiahkan banglo ini kepada awak” tutur Aqel mempermainkan aku. Aku terus tergelak.
“Begitu mudahkan barang yang awak miliki serahkan kepada orang lain” perliku biarpun aku menyedari hakikatnya Aqel hanya bergurau. Memang dasar orang kaya yang tidak memandang nilai wang. Aqel hanya tersenyum.
“Barang awak barang saya juga nanti. Kita boleh selalu datang sini kalau awak mahu” tutur Aqel bersahaja. Aku memandang Aqel seketika. Cepat sahaja aku berfikiran positif.
“Kita ajaklah Mak Long, mak dan Aziq datang ke sini. Mesti mereka suka” saranku. Mak Long dan mak adalah pencinta alam semula jadi. Suasana di sini pasti menyenangkan mereka.
“Boleh” sahut Aqel bersetuju.
“Nanti saya dan Aziq boleh memancing di sungai itu” tutur Aqel sambil menunding jari ke satu arah yang berada di depan kami.
“Ada sungai di situ?” soalku terkejut. Aqel mengangguk.
“Airnya jernih. Sungai yang belum tercemar. Hari lain saya ajak awak pergi sana” janji Aqel. Aku tersenyum lebar.
“Sukanya... nanti bolehlah mandi di situ” tuturku teruja.
“Awak pandai berenangkah?” soal Aqel. Aku menggeleng. Berkerut dahi Aqel. Faham kemusyikilan yang sedang bermain di benak Aqel.
“Nanti saya mandilah di tempat yang cetek” tuturku tersengih.
“Bahaya sungai itu kepada mereka yang tidak tahu berenang” tutur Aqel mengingatkan aku.
“Tidak apa awakkan ada. Bukankah awak selalu jadi penyelamat saya? Awak hendak bersarakah sekarang” soalku bergurau.
“Tidak selamanya saya boleh melindungi awak, Flora” tutur Aqel menyahut bicaraku.
“Tidak apa saya boleh jaga diri saya sendiri” tuturku yakin. Aqel mencebik ke arahku. Memang dia tidak meyakini bicaraku ini.
“Kita balik sekarang. Mesti kawan – kawan awak sedang cari awak” tutur Aqel.
“Memanglah telefon saya tertinggal. Salah awak juga sebab hendak datang sini tidak cakap elok – elok” rungutku menyalahkan Aqel.
“Macamlah awak itu mudah sangat percayakan cakap saya” balas Aqel. Aku mencebik ke arah Aqel lagi. Aqel tidak sedar betapa dirinya ini sukar untuk diramal.
“Kita gerak sekarang” ulang Aqel. Aku mengekori langkah Aqel yang sudah bermula.
“Pak Shuib mana?” soalku ingin memaklumkan tentang keberangkatan kami.
“Ada di halaman sekarang” sahut Aqel. Betul kata Aqel. Pak Shuib sudah terpacak di halaman sedang menanti kedatangan kami sambil tersenyum. Segera aku mendapatkan Pak Shuib.
“Pak Shuib, kami hendak balik sekarang. Kalau ada masa jemputlah datang rumah” tuturku mempelawanya berkunjung ke rumah keluargaku. Pak Shuib mengangguk dan tersenyum.
“InsyaAllah suatu hari nanti pasti saya akan datang ke rumah Lia” tuturnya. Aku mengangguk dan tersenyum.
“Balik dahulu Pak Shuib. Kalau ada apa – apa Pak Shuib telefon saya ya. Jaga diri baik – baik, tahu” pesan Aqel persis berpesan kepada ayahnya. Aku tersenyum lagi.
“Tidak payah risaukan saya di sini. Pandu kereta hati – hati” pesan Pak Shuib lalu bersalaman dengan Aqel. Kemudian Aqel mula melangkah ke arah keretanya meninggalkan aku dan Pak Shuib.
“Terima kasih sebab telah tolong Lia merawat bengkak di muka ini. Terima kasih juga sebab melayan dan menerima baik kunjungan Lia ke sini” tuturku. Pak Shuib tersenyum.
“Saya seronok Lia dan Aqel datang sini. Selalu – lalulah datang sini” tutur Pak Shuib.
“InsyaAllah, Pak Shuib. Itu pun kalau Pak Shuib masih sudi menerima kunjungan saya” tuturku bergurau.
“Hey.... cakap macam itu pula. Mestilah saya akan sentiasa mengalu – alukan kedatangan Lia” tutur Pak Shuib tidak senang mendengar usikanku ini. Aku tersenyum.
“Terima kasih juga kepada Lia sebab buat Aqel sentiasa tergelak dan tersenyum” tutur Pak Shuib buat aku terdiam. Kurenung wajah Pak Shuib. Barangkali Pak Shuib sudah salah tanggapan terhadap hubunganku dan Aqel. Aku ingin benar memberi penjelasan kepada Pak Shuib tentang perkara ini.
“Aqel sudah tunggu Lia itu, pergilah. Jaga diri baik – baik” pesan Pak Shuib. Aku berpaling ke arah Aqel yang sudah berada di dalam kereta sambil bertelefon.
“Saya pergi dahulu Pak Shuib. Assalamualaikum.....” Terkumat – kamit mulut Pak Shuib menjawab salamku. Aku terus melangkah mendapatkan Aqel berada di dalam kereta. Aku dan Pak Shuib saling melambaikan tangan sebelum kereta Peugeot RCZ Sports Coupe ini bergerak meninggalkan perkarangan banglo ini.
“Awak sudah lama kenal dengan Pak Shuib?” soalku memulakan bicara.
“Kira – kira lima tahun” sahut Aqel.
“Oh... lama juga ya. Patutlah awak dan dia nampak mesra sangat” komenku.
“Dia ibarat seorang ayah kepada saya” jelas Aqel.
“Saya tahu...” sahutku. Aqel tersenyum.
“Kuat juga pengamatan awak ya” puji Aqel.
“Semasa belajar di univrsiti dahulu saya ambil kursus psikologi. Hati – hati saya boleh baca fikiran orang lain tahu” tuturku memberi amaran kepada Aqel sekali gus secara tidak langsung bercerita tentang kisah lalu hidupku kepada Aqel.
“Jikalaullah  saya berjaya menamatkan pengajian itu, pasti saya sudah menjadi pakar psikologi yang bertauliah sekarang” tuturku bercanda. Senyap. Perlahan – lahan aku melepaskan keluhanku. Terasa dengan bicara sendiri.
“Apa kata awak sambung belajar semula, penuhi impian awak dan impian keluarga awak” cadang Aqel memecah kesepian. Senyap. Aku masih tidak menyahut bicara Aqel ini.
“Soal wang tidak jadi masalah. Saya akan tanggung perbelanjaan sepanjang awak belajar” tutur Aqel begitu bermurah hati. Hubungan saudara yang tiada sempadan. Namun aku tidak mahu mengambil kesempatan atas kemurahan hati Aqel ini.
“Jika awak tidak setuju cara ini, apa kata saya jadi penaja awak. Tamat belajar awak bekerja dengan saya” saran Aqel.
“Berapa lama bekerja dengan awak? Tiga tahun? Lima tahun?” soalku mula bersuara.
“Seumur hidup” sahut Aqel bersahaja. Besar anak mataku menatap Aqel.
“Jikalau macam itu lebih baik saya pohon pinjaman PTPTN. Langsung tidak terikat pada perjanjian asalkan saya boleh bayar” tuturku kurang berminat dengan tawaran Aqel.
“PTPTN awak perlu bayar balik melebihi jumlah yang awak pinjam, sedangkan tawaran saya langsung tidak perlu dibayar walau sesen pun, malah terus dapat kerja. Awak tidak akan dapat tawaran terbaik sebegini” tutur Aqel cuba mematahkan hujahku sekali gus berusaha memikat hatiku pada tawarannya itu.
“Jikalau macam itu, apa kata awak tubuhkan tabung pendidikan untuk pelajar – pelajar miskin yang cemerlang. Beramal sambil menyumbang kepada masyarakat” saranku.
“Awak hendak sindir sayakah?” lirih sahaja suara Aqel bertanya.
“Tidaklah. Saya hanya beri cadangan yang terbaik kepada awak. Tidak salah awak salurkan sedikit duit awak yang bertimbun itu untuk kebajikan golongan miskin” tuturku.
“Boleh difikirkan” sahut Aqel menerima baik cadanganku.
“Bagaimana dengan cadangan saya tadi? Awak tidak mahu sambung pelajaran awakkah?” soal Aqel. Senyap. Aku mendiamkan diri. Aqel berpaling ke arahku.
“Saya belum terfikir ke arah itu lagi” balasku mula bersuara. Kedengaran keluhan Aqel. Mesti dia kecewa mendengar bicaraku ini.
“Bagaimana awak mengenali Pak Shuib?” soalku kembali pada topik perbualan awal tadi. Sekilas Aqel menatapku. Mungkin Aqel tidak mahu menjawab pertanyaanku ini.
“Saya mengenali dia secara tidak dirancang. Hidupnya melarat. Kasihan saya melihat keadaan dirinya tika itu. Dia tidak tahu ke mana dia harus pergi. Saya pelawa dia tinggal di banglo itu. Bolehlah dia tolong saya jaga dan tengok - tengokkannya” cerita Aqel setelah berdiam diri buat seketika. Alhamdulilah.... Masih ada juga insan yang berhati mulia seperti Aqel.
 “Pak Shuib tiada keluargakah?” soalku ingin tahu tentang lelaki itu lebih lanjut.
“Dia ada anak lelaki dan perempuan yang sudah berkahwin. Isterinya sudah lama meninggal” jelas Aqel.
“Mana anak – anak Pak Shuib itu? Mengapa Pak Shuib tidak tinggal bersama mereka? Mereka biarkan Pak Shuib hidup melaratkah?” soalku bertalu – talu.
“Agaknya macam itulah” sahut Aqel. Aku mendengus kasar. Kesal.
“Masih ada juga anak derhaka sebegitu. Anak yang tidak mengenang jasa ibu bapa pasti tidak akan hidup senang dunia akhirat” radangku emosional. Aku mendengus lagi. Aqel memandangku sekilas. Dia tersenyum sendiri.
“Ada bapa dibiarkan hidup melarat. Mengapa ada anak seteruk begitu?” keluhku kesal.
“Janganlah emosional sangat. Sudah nasib hidup Pak Shuib sedemikian” tutur Aqel lebih berfikiran terbuka. Tidak patut menyalahkan nasib hidup. Semua itu disengajakan berlaku. Kalau anak – anak Pak Shuib ada kesedaran tentang tanggungjawab mereka, pasti Pak Shuib tidak akan hidup bersendirian sekarang. Kasihan Pak Shuib. Sepatutnya pada usia sebegini dia harus bersama ahli keluarga sendiri. Bergurau senda dan bermanja dengan cucu – cucunya. Semoga tidak terlambat untuk anak – anak Pak Shuib menyedari kesilapan mereka ini.
“Saya sering terfikir alangkah baiknya jikalau ayah masih hidup sampai sekarang. Pasti saya tidak akan hidup kecewa lantaran tersalah pilih lelaki. Ayah pasti akan membimbing saya untuk mengenali lelaki terbaik untuk saya” tuturku melepaskan hiba di hatiku.
“Awak kesal kerana mengenali Haqem?” soal Aqel. Aku melepaskan keluhanku.
“Saya kesal sebab saya sering tewas oleh kata hati saya” keluhku lalu berpaling melontar pandangan jauh menembusi cermin kereta ini. Aku mula berbicara dengan perasaan sendiri. Perasaan sayu dan hiba kurasakan tika ini. Aku bersedih dengan nasib malang yang menimpa Pak Shuib dan diriku sendiri. Inilah namanya dugaan hidup yang menguji kesabaran dan ketabahan manusia.
“Sekejap lagi ada perjumpaan di ruang lobi hotel. Awak mahu menyertainyakah?” soal Aqel memecah kesepian.
“Saya hendak berehat di bilik” sahutku. Senyap. Aqel tidak bersuara lagi. Dia mula fokus pada pemanduannya. Aku kembali melayan perasaan sedihku.
“Aqel.... awak tidak pernah rindukan ayah awak?” soalku berhati – hati tanpa sempat menatap wajah Aqel. Senyap. Ternyata Aqel tidak mahu menjawab pertanyaanku ini.
“Terlalu tinggikah ego awak, Aqel” bisik suara hatiku. Soal perasaan tidak patut dipendam. Andai Aqel rindukan ayahnya, dia mesti meluahkan kerinduan itu bukan hanya mendiamkan diri sahaja. Aku mula memejamkan mataku. Saat ini mungkin Aqel tidak berminat mahu berbicara lagi, maka berdiam diri lebih baik. Ada baiknya aku melelapkan mata saja.

Kedengaran daun pintu kereta ditutup. Aku menangkat kelopak mataku. Aqel baru sahaja duduk di kerusi selepas keluar sedikit mengundang perasaan hairanku. Terkebil – kebil aku menatap Aqel. Terasa lama sangat perjalanan ini. Aqel menyambung perjalanan yang terhenti sekejap tadi.
“Kita di mana ini?” soalku sambil memerhatikan keluar. Nampak asing sahaja lokasi ini. Tersesatkah Aqel? Mustahil.
“Tidak lama lagi kita akan sampai ke rumah awak” tutur Aqel bersuara buat aku terlopong. Kenyatan Aqel benar – benar mengejutkanku.
“Kita hendak balikkah?” soalku termangu – mangu.
“Baliklah. Bukankah awak kata tidak mahu bertemu orang lain dengan keadaan diri awak sekarang” tutur Aqel memberi penjelasan.
“Barang saya?” soalku panik. Aqel nampak tenang sahaja.
“Bagaimana dengan barang saya yang tertinggal di bilik hotel itu?” soalku mengulangi bicaraku. Buntu.
“Saya sudah telefon Marnie arahkan dia kemas barang – barang awak. Tidak payahlah risau barang – barang awak akan selamat bersama mereka” jelas Aqel bersahaja. Oh.... aku telah menyusahkan Marnie dan Reka! Mesti mereka banyak berfikir tentang kehilangan mengejutku ini. Oh... aku harus bersedia menghadapi andaian – andaian yang bergolak dalam fikiran mereka saat ini.
“Awak inikan suka bertindak sesuka hati” keluhku memarahi Aqel.
“Awak tidak suka balik ke rumahkah?” soal Aqel.
“Suka sangat, tetapi awak beritahulah saya awal – awal agar saya boleh kemas barang – barang saya tadi” rungutku. Aqel tersenyum.
“Macam mana saya hendak beritahu awak sedangkan awak sedang nyenyak tidur tadi. Siap berdengkur – dengur lagi” tutur Aqel tersenyum.
“Betulkah?” soalku. Aqel mengangguk. Hey..., malunya aku! Mengapalah aku boleh tidur sebegitu. Aqel pun satu sengaja mahu memalukan aku. Sepatutnya dia kejutkan aku tadi. Tidak pun menafikan yang aku tidur berdengkur tadi. Dia langsung tidak tahu hendak jaga air mukaku. Aku kembali mendiamkan diri. Tatkala kereta Peugeot RCZ Sports Coupe ini memasuki halaman rumah keluargaku, aku masih membisukan diri lantaran rasa malu menebal dalam diri kepada Aqel. Tidak dapat kubayangkan andai air liurku juga terkeluar tadi. Mak yang muncul di ambang pintu terus sahaja melangkah keluar mendapatkan kami yang baru sahaja keluar dari kereta ini. Pandangan mak tepat ke wajahku. Aku tersengih panjang.
“Minta maaf Mak Usu, saya tidak jaga anak gadis Mak Usu dengan baik” tutur Aqel begitu sopan kepada mak. Laju sahaja mak geleng kepala dan tersenyum. Bahu Aqel ditepuk – tepuk lembut sedangkan mak mengabaikan kewujudanku di depannya tika ini. Sepatutnya aku yang sedang sakit ini diambil perhatian. Rasa cemburu dengan perhatian mak kepada Aqel saat ini.
“Kamu sudah jaga Lia dengan baik. Mak Usu memang yakin kepada kamu” tutur mak tersenyum menguntum. Aku mencebik ke arah Aqel yang sedang tersenyum ini. Pasti Aqel awal – awal telah memaklumkan perkara yang menimpaku kepada mak.
“Masuklah dahulu, Aqel” ajak mak. Aku sudah melangkah ke muka pintu. Tidak mahu berlama – lama di situ. Cemburu melihat keprihatinan mak kepada Aqel.
“Lain kali sahajalah, Mak Usu. Saya hendak ke pejabat sekarang” jelas Aqel. Huh... bukan main rajinnya anak muda Mak Long ini. Langsung tidak mengenal penat lelah. Sentiasa sahaja bertenaga dan bersemangat waja.
“Kerja lagikah?” soal mak hairan.
“Ada sedikit kerja yang perlu disiapkan segera” sahut Aqel.
“Lia?” soal mak.
“Biarlah dia rehat beberapa hari ini” tutur Aqel buat aku tersenyum lebar sendirian. Bicara Aqel menggembirakan aku. Aqel sudah memberi keizinan untuk aku berehat di rumah. Dapatlah aku bersenang – lenang di rumah ini. Aku terus sahaja membaringkan tubuhku di sofa panjang di ruang tamu ini. Mahu menyambung tidurku kembali. Kedengaran bunyi deruman kereta Peugeot RCZ Sports Coupe Aqel beredar pergi. Mak muncul di ruang tamu setelah mengiringi kepulangan anak buah kesayangannya itu.
“Mana beg pakaian kamu, Lia?” soal mak kehairanan.
“Marnie tolong bawa balik nanti. Kami balik ini tidak dirancang. Aqel tiba – tiba sahaja buang tabiat” rungutku. Berkerut dahi mak menatapku.

“Tengok kamu langsung tidak nampak kebaikan Aqel” rungut mak mencebik ke arahku. Aku mendiamkan diri. Geram kepada Aqel. Gara – gara dirinya aku dimarahi oleh mak.

“Tindakan Aqel hari ini memang betul” puji mak menambah bicara.
“Mengapa mak baik sangat kepada Aqel?” soalku makan hati.

“Dia anak saudara mak, mestilah mak baik dengan dia. Mak juga sayangkan Aqel seperti Mak Long sayangkan kamu” tutur mak berterus terang. Aku langsung tidak terkejut dengan bicara mak ini. Aku juga mengakui kebenaran bicara mak ini. Mak Long memang sayangkan aku.

“Sebab ini juga mak dan Mak Long kamu sudah sepakat hendak menyatukan kamu berdua” tutur mak menyentap tangkai jantungku bagai memberhentikan seketika deruan nafasku. Aku tergamam panjang. Kelu lidahku melihat senyuman yang terukir di bibir mak saat ini.  

4 comments:

  1. Yess...suka aqel n lia..cpt pikat lia tu aqel

    ReplyDelete
  2. Aqel yg sweet mmg sepadanlah dgn Lia yg keras kepala tu.

    ReplyDelete
  3. cpetlah lia dan aqel bnr2 tunangan. Kawin sekali lbh bagus.hehehe
    Tak sabar ingin tau reaksi hakem. Hehehe :D

    ReplyDelete