Aku melangkah longlai menuruni anak tangga. Malas hendak bertemu dengan Yen. Sekejap tadi dia menghubungi lalu mengarahkan aku ke laman letak kereta. Kemunculan mengejut untuk menjemputku seterusnya berkunjung ke Villa Sentosa. Konon Puan Sodiah menjemput kami untuk makan tengah hari bersama-sama. Aku tidak boleh menolak pelawaan itu sekali gus bersetuju akan pergi bersama Yen. Duduk di sebelah Yen di dalam kereta ini, aku hanya menunjukkan muka masam. Sebenarnya masih ada perasaan marahku kepadanya. Sepanjang perjalanan ini kami hanya membisukan diri. Masing-masing tidak berminat mahu berbual.
Sudah beberapa kali dia melirik ke arah gadis itu. Malah dia berusaha untuk menunjukkan cincin yang tersarung di jari itu. Harapan agar gadis itu melontar pandangan pada cincin suasa belah rotan yang tersarung di jarinya. Hampa. Pandangan gadis itu statik mengarah keluar. Tidak sudi memandangnya walau sekilas. Akhirnya mereka sampai ke halaman Villa Sentosa tanpa sempat berbual walau sepatah pun.
Kedatangan kami disambut oleh Puan Sodiah dan Datuk Kamarudin di muka pintu. Berseri-seri wajah anak-beranak ini menyambut kedatangan kami. Aku mencium tangan Puan Sodiah. Lantas tubuhku dipeluk erat buat aku terharu. Setiap kali Puan Sodiah memelukku, terasa arwah nenek sedang memelukku. Ada jelmaan arwah nenek di sebalik sentuhan Puan Sodiah itu. Kami terus sahaja diajak ke ruang makan. Di atas meja sudah tersedia hidangan tengah hari untuk dinikmati. Aku melabuhkan duduk di kerusi bersebelahan dengan Yen berhadapan dengan Datuk Kamarudin. Usai bacaan doa mengadap rezeki, aku memainkan peranan sebagai menantu dalam keluarga ini. Aku menyenduk nasi lalu meletakkan ke dalam pinggan. Yen membantuku menghidang. Pinggan yang sudah terisi nasi diletakkan di depan Datuk Kamarudin dan Puan Sodiah. Kemudian sepinggan nasi untuk sendiri dan sepinggan untukku.
“Hey, mana cincin kamu, Iman? Kenapa kamu tak pakai?” Dua persoalan Puan Sodiah diajukan kepadaku. Aku tersentak. Sepasang mata Puan Sodiah dan Datuk Kamarudin sudah terarah kepadaku.
“Dia memang tak nak pakai cincin tu,” mendatar suara Yen memecah kesepian. Tajam pandanganku menatap Yen. Kurang senang mendengar bicara itu.
“Dia pun tak pakai cincin tu, nek,” balasku tidak mahu dipersalahkan sendirian. Lantas menjeling tajam ke arah Yen.
“Siapa kata saya tak pakai. Tengok ni,” Yen sudah menayangkan cincin pernikahan yang tersarung di jari manis itu. Aku terdiam. Sejak bila pula dia menyarungkan cincin itu ke jarinya. Selama ini tidak pernah pun aku nampak selain cincin-cincin besi itu. Mesti Yen mahu mengenakan aku! Aku menjeling sekilas ke arah Yen. Geram.
“Mana cincin kamu?” soal Puan Sodiah buat aku serba salah.
“Aaaa...,” Aku tersengih.
“Saya simpan di dalam laci kat rumah,” jelasku masih dalam sengihan.
“Pakai cincin tu jangan disimpan. Cincin tu lebih bernilai daripada cincin-cincin yang lain sebab itu cincin pernikahan kamu berdua,” ujar Puan Sodiah. Aku hanya mengangguk. Yen tersenyum sendiri. Pasti gembira melihat aku dileteri oleh Puan Sodiah.
“Takpe balik nanti Iman pakai. Mari kita makan,” ajak Datuk Kamarudin menyelamatkan keadaan. Aku menarik nafas lega sambil melirik ke arah Yen yang masih tersenyum. Geram tengok senyuman itu. Mujur juga pemuda Korea ini kacak yang membuatkan aku tidak sampai hati mahu menyumpahnya. Sebetulnya aku tetap ingat tentang status dirinya itu. Mana boleh menyumpah Yen selagi dia bergelar suamiku.
“Haah... makan Iman,” suara Datuk Kamarudin menyentakkanku. Aku mengangguk. Yen terus meletakkan ikan goreng dan udang masak cili di dalam pingganku buat Puan Sodiah tersenyum senang.
“Dia memang suka ikan goreng dan udang cili ni,” ujar Yen. Aku senyum. Berlagak romantik pula pemuda Korea ini. Kemudian aku tersedar bahawa aku dan Yen sekarang berada di hadapan Datuk Kamarudin dan Puan Sodiah. Memang patut tindakan Yen ini. Sekurang-kurangnya kami nampak bagai pasangan suami isteri yang bahagia di mata Puan Sodiah dan Datuk Kamarudin. Namun kebenarannya ikan goreng dan udang masak cili ini memang makanan kegemaranku.
“Thanks...,” ujarku sambil mengukir senyuman manis kepada Yen.
“Makan banyak-banyak ye Sayang,” Mujur aku tidak tercekik mendengar suara romantik Yen itu. Aku memaksa diri tersenyum. Berlebih-lebih pula pemuda Korea ini. Namun sempat juga aku memijak kaki Yen. Melihat wajah Yen berkerut, aku tersenyum sendiri. Puas hati melihat reaksi itu.
“Bagaimana dengan kerja kamu di pejabat?” soal Datuk Kamarudin sambil memandang ke arah Yen.
“Setakat ni okey,” sahut Yen berbalas pandangan dengan Datuk Kamarudin. Aku dan Puan Sodiah hanya jadi pendengar dan pemerhati perbualan dua beranak ini.
“Kamu ada masa untuk My Dream Centre ke?” soal Datuk Kamarudin membuatkan Yen nampak sedikit tersentak dihujani persoalan itu. Barangkali tidak diduga Datuk Kamarudin akan bertanya perkara itu dalam keadaan santai. Berbeza sekali dengan reaksi yang pernah ditunjukkan setiap kali berbicara tentang muzik sebelum ini. Aku pun tidak menjangka pertanyaan itu akan keluar dari mulut seorang ayah yang tidak pernah mengizinkan anak lelakinya menceburi bidang tersebut. Kiranya dia sudah mengubah persepsinya terhadap muzik. Datuk Kamarudin sudah mengizinkan Yen menceburi bidang ini. Alhamdulillah. Lambat-lambat Yen mengangguk.
“Pandai-pandailah kamu bahagikan masa kamu. Ayah tak nak usaha kamu selama ni sia-sia,” ujar Datuk Kamarudin. Yen mengangguk-angguk lagi. Namun wajahnya terpancar keriangan tatkala restu Datuk Kamarudin telah diperoleh. Anak mana yang tidak bahagia jika perjuangan yang ditentang selama ini sudah diterima baik oleh si ayah. Puan Sodiah tersenyum. Pasti hatinya senang melihat hubungan dua beranak ini kian mesra.
“Ayah kamu dah tak halang kamu melibatkan diri dalam bidang muzik tu. Kamu kena buktikan kemampuan kamu. Jangan sia-siakan peluang yang diberi,” nasihat Puan Sodiah.
“Ye nek, Yen janji akan lakukan yang terbaik,” sahut Yen tersenyum ceria.
“Nenek dan ayah tak payah risau. Dia memang berkemampuan melakukan semua ni,” tokokku meyakini kemampuan Yen sekali gus cuba menyenangkan hati Puan Sodiah dan Datuk Kamarudin.
“Dengan adanya kamu bersama Yen baru ayah tak risau,” ujar Datuk Kamarudin buat aku terdiam panjang. Tersentuh hati mendengar bicara itu. Yen menatapku.
“Terima kasih Iman kerana sudi hidup bersama Yen. Kamu telah banyak mengubah Yen menjadi lebih baik malah membuatkan keluarga ni bersatu kembali,” suara Puan Sodiah mula mencelah. Nada suara itu kedengaran hiba. Aku kehilangan kata-kata hendak berbicara. Yen tersenyum. Langsung tidak mahu menafikan bicara Datuk Kamarudin mahupun bicara Puan Sodiah.
“Kalau ayah dan nenek nak tahu, dia ni hadiah dari syurga,” ujar Yen buat aku tergamam. Terlalu tinggi sanjungan itu.
“Ye, hadiah dari syurga,” ujar Puan Sodiah mengulangi bicara Yen itu. Puan Sodiah dan Datuk Kamarudin tersenyum. Sementara aku terus kehilangan kata-kata. Apatah lagi Yen terus menatapku buat aku tidak keruan.
Usai menikmati hidangan tengah hari, aku membantu Santi mencuci pinggan mangkuk dan mengemas dapur. Kemudian bergerak ke ruang tamu menyertai Yen sekeluarga yang sedang rancak berbual. Aku lebih banyak jadi pendengar dan pemerhati gelagat tiga sekeluarga ini. Senang hati melihat kemesraan yang terjalin antara mereka. Kemudian kami solat zuhur dengan diimankan oleh Datuk Kamarudin sebagai ketua keluarga. Syahdu dan mendamaikan. Inilah keharmonian sebuah keluarga.
“Kalau kamu dah ada anak-anak nanti, nenek akan lebih bahagia lagi,” bisik Puan Sodiah sambil memeluk tubuhku. Aku terkedu. Harapan yang sukar aku penuhi. Pasti semua itu tidak akan berlaku. Puan Sodiah melepaskan tubuhku dari pelukan. Aku sedikit tersentak tatkala mendapati Yen ada di sebelahku sekarang. Pasti dia juga mendengar bicara Puan Sodiah itu. Seketika aku dan Yen saling berpandangan. Adakah aku ditakdirkan untuk melahirkan zuriat pemuda Korea ini? Kalau bukan kerana Velviana sudah pasti aku bersedia menjadi ibu kepada anak-anak Yen. Aku akan membina sebuah keluarga bahagia bersama Yen. Aku tidak akan mengecewakan Puan Sodiah dan Datuk Kamarudin.
“Nenek jangan risau. InsyaAllah Yen akan jadi ayah juga nanti,” ujar Yen begitu yakin. Aku diam. Yen sedang memperkatakan tentang hidupnya dengan Velviana. Sudah pasti Yen akan menjadi ayah hasil penyatuannya dengan Velviana. Mereka akan mempunyai anak-anak yang comel. Terbayang di mataku kebahagiaan mereka. Lantas aku tersenyum.
“Awak tak nak singgah ke rumah dulu?” soal Yen tatkala kereta Mercedez Benz ini bergerak meninggalkan perkarangan Villa Sentosa.
“Terus balik ke asrama,” sahutku.
“Kenapa tak esok je awak balik ke asrama. Saya boleh hantar awak awal pagi,” ujar Yen. Betulkah dia boleh bangun seawal pukul 6.00 pagi? Setahuku tidak pernah pun dia bangkit dari katil seawal jam itu. Kalau berjaga jauh malam memang tidak boleh diragui lagi. Itulah rutin hidup Yen tidur lewat. Berjaga sehingga waktu subuh. Usai solat dia akan tidur kembali.
“Kelas saya awal pagi esok,” jelasku.
“Kan saya boleh hantar awak pagi tu,”
“Takpe. Ada homework saya nak siapkan malam ni,” ujarku menolak kesudiannya mahu menghantarku.
“Ada kerja ke atau awak nak jumpa lelaki tu?” serkap jarang Yen. Aku mendengus kasar lalu mengunci mulut. Geram dengan sikap Yen yang suka sangat prasangka buruk.
“Dah lama ke awak mengenali ibu lelaki tu?” soal Yen menyiasat.
“Lelaki tu ada nama yang elok,” balasku. Seingatku Yen jarang menyebut nama Encik Rizal. Entah apa yang menyebabkan dia kurang senang dengan Encik Rizal. Yen mendengus.
“Awak nak nikah dengan dia?” soalnya. Yen masih mahu memperkatakan tentang Encik Rizal. Kupandang pemuda Korea ini dengan renungan yang tajam.
“Mwo (apa)...!” soalnya tatkala aku merenungnya sedemikian.
“Lain kali fikir dulu sebelum bercakap,” tegasku.
“Mwo (apa)...!” Yen melenting lagi.
“Awak ingat saya boleh bersuami lebih daripada seorang lelaki? Awak nak saya madukan awak dengan Encik Rizal ke?” soalku.Yen terkebil-kebil. Andaian fikirannya langsung tidak masuk akal.
“Awak perlu ingat selagi awak bergelar suami saya, selagi itu saya tak boleh jadi isteri kepada mana-mana lelaki. Puas hati?” radangku. Senyap. Kulihat Yen tersenyum-senyum sendiri. Mesti dia fikir betapa dirinya berkuasa. Apa tidaknya seolah-olah masa depanku berada di tangannya sekarang. Betapa perlu aku mewujudkan keyakinan dalam diri Yen terhadap sebuah perkahwinan yang mampu memberikan kebahagiaan serta menjadikan dirinya lebih bertanggungjawab terhadap Velviana yang begitu setia kepadanya. Kereta berhenti di laman letak kereta asrama puteri.
“Thanks...,” tuturku lalu menguak daun pintu. Lantas memijakkan kaki kiriku ke simen.
“Jumpa esok,” ujarnya sambil menatapku. Kupandang wajah Yen ingin lebih mengerti maksud bicara itu. Namun tidak sempat aku hendak meminta penjelasan tatkala iPhone Yen berdering. Panggilan daripada Velviana. Lantas aku keluar lalu menutup daun pintu kereta. Beberapa minit kemudian, kereta Mercedez Benz itu bergerak meninggalkan perkarangan asrama puteri sekali gus meninggalkan aku. Sekejap lagi Yen akan bertemu dengan Velviana kekasih dambaan hati. Perlahan-lahan aku melepaskan keluhan kecil.
“KITA balik asrama kejap nanti. Saya tak bawa gitar ni,” ujar Wendy mengajakku. Aku mengangguk.
“Saya pun belum bawa gitar,” sahutku. Wendy tersenyum senang. Usai kelas toturial minor yang kuambil, aku dan Wendy balik ke asrama mengambil gitar masing-masing. Sempat aku berbaring di katil seketika sebelum mendengar suara Wendy memanggil mengajakku pergi. Dengan malas aku bangkit dari katil. Singgah seminit di depan cermin lalu merapikan rambutku agar tidak berserabut. Maklumlah baru lepas berbaring-baring di katil sebentar tadi.
“ Mana tahu suatu hari nanti hati awak terbuka untuk pakai tudung,” suara Encik Rizal menerjah pendengaranku. Seketika aku terpacak di depan cermin ini. Mula memikirkan bicara Encik Rizal itu.
“ Lelaki yang baik ialah lelaki yang membawa ke arah kebaikan. Golongan inilah yang selayaknya dijadikan suami sekali gus pemimpin kita. Suami yang mampu memimpin kita ke arah jalan Allah, nescaya hidup kita akan bahagia dunia akhirat,” Suara Ustazah Fatimah terngiang-ngiang di telingaku.
“Iman, awak dah siap ke?” Aku tersentak tatkala mendengar suara Wendy disusuli ketukan di muka pintu. Bergegas aku keluar mendapatkannya.
“Saya ingat awak tertidur tadi,” ujar Wendy tatkala aku muncul di muka pintu.
“Takdelah. Saya baring-baring je tadi,” jelasku tersenyum. Kemudian kami mula bergerak ke perhentian bas untuk menaiki bas kampus yang akan melalui laluan ke kelas Seni Muzik. Mujur aku dan Wendy tidak terlewat. Kira-kira 10 minit lagi kelas akan bermula, kami sudah berada di dalam kelas. Kemudian bersiap sedia untuk kelas yang akan dimulakan sedikit masa lagi. Namun masing-masing sudah mula mendakap gitar lantas mengalun melodi. Aku leka menunjukkan kemahiranku setelah kira-kira dua bulan berguru dengan Yen. Ternyata Wendy terpaku melihat kebolehanku memetik gitar ini.
“Wah, boleh tahan awak ye! Mesti sepanjang cuti awak ada ikuti kelas gitar kan,” teka Wendy kekaguman. Aku mengangguk. Namun tidak mahu bercerita lebih lanjut. Risau segalanya terbongkar.
“Awak belajar main gitar kat mana?” soal Wendy nampak berminat untuk mengetahui lebih lanjut.
“Saya berguru dengan artis Korea,” ujarku bersahaja.
“Huhuhuhu...,” Wendy mencebik bibir. Bicaraku sekadar gurauan. Perbualanku dengan Wendy terhenti tatkala daun pintu ditolak. Mesti Encik Terance yang datang. Maka teman-teman yang lain juga kembali ke tempat duduk masing-masing. Senyap. Tiada lagi bunyi petikan alunan gitar. Semua melontar pandangan ke muka pintu menyambut kedatangan tutor muda kelas muzik ini. Tepat jangkaanku. Encik Terance tersenyum tatkala muncul di sebalik pintu.
“Selamat petang semua,” sapanya sambil menebar pandangan ke arah 30 orang pelajar kelas muzik ini.
“Selamat petang Encik Teran... Mr. Teran,” hampir serentak kami membalas sapaan itu. Tutor muda ini tersenyum manis. Dia tidak terus ke hadapan untuk memulakan kelas sebaliknya berpaling ke muka pintu semula bagai menanti kemunculan seseorang yang datang bersamanya petang ini. Memang ada seseorang yang akan muncul di sebalik daun pintu itu.
“Sila masuk...,” kedengaran suara Encik Terance menjemput tetamu melangkah masuk. Bunyi tapak kasut melangkah masuk melewati pintu. Aku berpaling lalu melontar pandangan ke situ. Aku terkedu. Betapa aku terkejut saat ini. Kemunculan Yen di kelas Encik Terance ini membuatkan aku tergamam panjang. Senyap. Semua mata sedang mengarah kepada Yen. Terpukau dengan tetamu yang kacak dan rock ini.
“Hey..., handsomenya dia, Iman,” suara Wendy berbisik memuji Yen yang sedang tersenyum panjang di sebelah Encik Terance di depan kelas ini. Buat apa pemuda Korea ini datang ke sini? Dia mahu mencari aku ke? Tetapi untuk apa? Otakku masih ligat memikirkan kemunculan Yen ini.
“Saya perkenalkan kepada semua, pemuda handsome di sebelah saya ni ialah Mr. Yen rakan sekelas saya ketika study di Kyung Hee University, South Korea. Hari ni saya jemput Mr. Yen untuk memberi tunjuk ajar cara mudah memahirkan diri bermain gitar. Mr. Yen memang pakar dalam bidang ini. Banyak input berguna yang kamu semua boleh pelajari daripada Mr. Yen nanti. Malah Mr. Yen ada kaedah dan teknik mudah untuk kamu cepat mahir bermain gitar,” tutur Encik Terance panjang lebar. Sekali lagi aku terkejut dengan kenyataan Encik Terance itu. Sungguh aku tidak menjangka Yen dan Encik Terance saling mengenali dan pernah belajar bersama-sama di Universiti Kyung Hee. Sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiranku. Patutlah sedikit ada persamaan antara kedua-duanya.
“Mr. Teran, Mr. Yen ni artis Korea ke?” ada suara nakal melontar pertanyaan kepada Encik Terance meminta penjelasan. Yen dan Encik Terance tersenyum.
“Rasa-rasanya macam tulah,” balas Encik Terance bergurau sekali gus mengusik Yen yang hanya tersenyum. Kemudian nampak mereka berbual-bual seketika namun tidak jelas butiran memandangkan nada suara mereka perlahan sahaja. Encik Terance berpaling semula memandang ke arah pelajar-pelajar.
“Sebelum Mr. Yen memberi tunjuk ajar, terlebih dahulu saya ingin memperkenalkan diri Mr. Yen kepada kamu semua. Mr. Yen merupakan pelajar cemerlang dan terbaik daripada pengajian ‘Post Modern Music Department’, Kyung Hee University. Pakar bermain gitar. Maka Mr. Yen boleh memainkan apa saja jenis gitar. Cukup mengenali gitar. Malahan gitar boleh diibaratkan sebagai isteri dan nyawa kedua Mr. Yen,” jelas Encik Terance tersenyum lalu menoleh ke arah Yen. Mereka saling bertukar senyuman. Mesti Yen bangga sekarang kerana kehebatan dirinya dijaja di depan 30 orang pelajar Encik Terance.
“Wah...!” Ada suara pelajar-pelajar perempuan melontar kekaguman kepada Yen. Kupandang Yen lagi. Senyuman masih terukir di bibirnya.
“Sekarang Mr. Yen seorang komposer dan sering menghasilkan lagu-lagu tema drama hebat malah memiliki premis tuisyen muzik kelas gitar. Kalau sesiapa yang nak belajar bermain gitar untuk menjadi lebih mahir bolehlah berkunjung di My Dream Centre,” ujar Encik Terance lagi sambil sempat mempromosi kelas gitar yang dikendalikan oleh Yen dengan kawan-kawannya. Kelihatan semua masih khusyuk mendengar Encik Terance memperkenalkan tutor jemputan hari ini sambil memfokus pandangan ke arah Yen. Aku yakin dan percaya semua mata yang terikat kepada Yen sebenarnya sedang menikmati kesempurnaan raut wajah ciptaaan Ilahi itu. Sekali pandang memang tidak cukup. Banyak kali pandangpun masih terus mahu menatap Yen. Kalaulah Velviana ada di sini sekarang, pasti dikorek satu-persatu mata yang terpesona menatap Yen.
“Jom kita belajar kat situ,” ajak Wendy berbisik kepadaku. Aku mengangkat kening. Tidak perlu aku bersusah payah untuk ke My Dream Centre memandangkan Mr. Yen ini ialah rakan sebumbungku. Maka kelas gitarku boleh diteruskan pada cuti semester ini.
“Saya persilakan Mr. Yen,” suara Encik Terance menjemput Yen untuk mengendalikan kelas ini. Aku melontar pandangan kepada Yen. Kebetulan juga dia sedang mengarah pandangan kepadaku. Lantas aku pamerkan reaksi bersahajaku seolah-olah tidak mengenalinya.
“Aduhai..., handsomenya dia....!” bisik Wendy sambil tersengih melirik kepadaku. Aku mencebik bibir. Memang dia teruja sungguh menatap Yen. Suara Yen sudah bergema di bilik ini. Tenang, berkeyakinan dan santai dia mengendalikan kelas ini. Terbit kagumku pada bakat dan kebolehannya. Barangkali beginilah dia mengajar pelajar-pelajarnya bermain gitar di kelasnya. Sebenarnya ciri-ciri seorang pendidik memang ada dalam diri Yen.
“Aduh...., saya dah jatuh cinta kat dialah!” bisik Wendy bagai orang gila bayang sambil tersengih kepadaku. Jatuh cinta pandang pertama. Itu kehebatan Yen yang tidak mahu aku sangkal. Sesiapa sahaja boleh jatuh cinta pada Yen tetapi bukan untuk memilikinya.
“Merepeklah awak ni...,” rungutku.
“Awak jealous ke?” bisik Wendy lagi. Aku hanya menghadiahkan jelingan tajam kepada Wendy. Dia tersenyum. Tidak salah kalau aku berperasaan demikian kerana aku isterinya. Namun tidak dapat aku bayangkan andai kata Wendy mengetahui akulah isteri pemuda Korea yang berada di depan kelas sekarang.
“Power Chord selalu digunakan untuk lagu-lagu rock dan metal. Petik tiga tali pada satu masa dan matikan mute tali yang lain. Nama kord ini ditentukan dengan not root,” tutur Yen sambil memposisikan jari-jemarinya di tempat yang sepatutnya pada gitar Encik Terance. Aku menatap jari-jemari panjang Yen yang tampak gagah perkasa sedang bermain-main pada tali gitar itu. Pandanganku melekat pada cincin suasa belah rotan yang masih tersarung di jari manis itu. Sungguh luar jangkaanku yang dia masih memakai cincin pernikahan itu.
“Masih ingat lagi kan dengan asas minor, A minor, B minor, C minor, D minor, E minor, F minor, F# minor dan G minor,” jari Yen sudah menunjukkan letaknya setiap posisi kord-kord itu .
“Untuk F, F# dan G minor ni, apa yang perlu kita lakukan kelas?” soal Yen kepada para pelajar yang kelihatan begitu khusyuk mengikuti penerangannya. Senyap. Anak mata Yen masih terarah kepada 30 orang pelajar yang berada di depannya sekarang.
“Luruskan jari telunjuk,” jawabku memecah kesepian. Wendy berpaling menatapku. Terkejut dengan tindakanku ini.
“Good,” puji Yen sambil menguntum senyuman kepadaku. Begitu juga dengan Encik Terance.
“Dia pelajar cemerlang saya. Dari tak tahu apa-apa, sekarang dah boleh mainkan melodi beberapa buah lagu,” jelasnya tentang gadis itu. Yen tersenyum dan tumpang bangga. Ternyata usahanya membuahkan hasil.
“Awak juga patut mengucapkan terima kasih pada saya,” balas Yen tersenyum.
“Sorry...,” Encik Terence keliru menatap sahabatnya. Yen hanya senyum.
“Iman, awak perasan tak cincin kat jari dia tu sama macam cincin awak. Tengok cincin awak,” pinta Wendy buat aku tersentak. Jariku sudah dicapai oleh tangan Wendy.
“Saya tak pakai cincin tu,” jelasku.
“Kenapa awak tak pakai lagi?” soal Wendy. Aku tidak berhak memakainya kerana cincin itu sepatutnya milik Velviana. Pertanyaan Wendy kubiarkan tidak dijawab.
“Iman, maknanya dia dah berpunya? Jangan-jangan tu cincin tunang dia, tak pun cincin kahwin,” ujar Wendy berteka-teki sendiri. Aku hanya menatap wajah hampa Wendy tanpa sebarang kata. Kasihan juga tengok reaksinya itu. Sebentar tadi bukan main terujanya dia dengan Yen.
“Boleh pinjam gitar awak kejap?” suara Yen begitu dekat. Serentak aku dan Wendy berpaling. Sama-sama terkejut. Yen sudah berada di depan kami sambil menghulurkan tangan kepadaku. Lantas gitar bertukar tangan. Yen sudah mendakap gitar itu lalu mula memetiknya sambil diperhatikan olehku dan Wendy
“Kenapa dengan gitar ni? Awak ada putar apa-apa kat ‘Machine Heads’ ni? Sekarang bunyi dah lari,” tanya Yen sambil mula memutar-mutar ‘Machine Heads’ gitar itu. Laju aku geleng kepala. Wendy menatapku. Hairan. Aku dan Wendy terus memerhatikan gelagat Yen.
“Aaa... ni baru betul tune,” ujar Yen mula tersenyum. Aku diam.
“Saya pinjam gitar awak ye,” ujar Yen buat aku terpinga-pinga. Yen terus bergerak ke depan kelas. Kembali bersama Encik Terance sambil mendakap gitar itu. Kemudian dia terus sahaja memulakan pengajarannya. Selepas itu, mengarahkan kami melakukan sendiri pada gitar masing-masing. Maka aku hanya jadi pemerhati dan sesekali membimbing Wendy. Apa boleh buat gitar itu memang hak milik Yen yang dipinjamkan kepadaku sebab itu dia lebih serasi dengan gitar itu.
“Awak dah pandai pun mainkan kord-kord ni,” ujar Wendy.
“Saya dah belajar semua ni,” jelasku sambil memerhatikan setiap posisi letakan jari-jemari Wendy. Mana yang silap aku perbetulkan dengan mengalih kedudukan jari Wendy pada tempat yang sepatutnya.
“Hey..., menyesal pula time cuti tak ambil tuisyen kelas gitar macam awak. Sekarang tengok macam tak tahu apa-apa je saya ni. Yang Mr. Teran ajar pun saya hampir lupa,” rungut Wendy patah semangat.
“Alah..., boleh ni nanti!” pujukku. Wendy mengeluh lagi. Namun tatkala menatap Yen yang sedang melontar pandangan ke arah kami cepat sahaja dia tersenyum.
“Dia pandang kita...,” bisik Wendy teruja. Aku menulikan telinga. Lelaki buaya seperti Yen memang suka memandang gadis cantik. Wendy gadis Tionghoa berkulit putih ini memang cantik pun malah setanding dengan Velviana.
“Awak rasa dia minat kat sapa ye...,” bisik Wendy masih melontar pandangan ke arah Yen yang sedang berbual-bual dengan Encik Terance.
“Kat awak kot...,” sahutku cuba membuatkan Wendy terus teruja. Wendy tersenyum meleret. Namun timbul rasa bersalah tatkala mengenangkan siapa sebenarnya Yen. Pemuda Korea ini ialah suamiku dan kekasih Velviana. Masakan aku mahu menambah kesulitan hubungan ini dengan melibatkan diri Wendy pula. Kalau diberi peluang kepada Yen untuk berkenalan sekali gus menjalin hubungan dengan gadis Tionghoa ini, rasanya Yen tidak akan melepaskan peluang tersebut.
“Dia datang sinilah, Iman” ujar Wendy semakin teruja. Kulihat Yen sedang mengatur langkah ke arahku. Gitar di tangannya dihulurkan kepadaku.
“Gomawoyo (terima kasih),” tutur Yen berbahasa Korea. Aku hanya mengangguk. Langsung tidak berniat ingin berbicara dengan Yen. Apatah lagi Wendy ada di sebelahku. Malah banyak mata yang sedang memandang sekarang. Tidak mahu menimbulkan sebarang spekulasi. Yen kembali bersama Encik Terance di depan kelas.
“Mr. Yen cakap apa?” soal Wendy ingin tahu.
“Terima kasih sebab pinjamkan dia gitar,” jelasku selengkapnya.
“Tak tahu pula awak boleh faham bahasa Korea,” balas Wendy tersengih. Aku tersenyum bangga. Tidak banyak perbendaharaan kata Korea yang aku ketahui. Masih banyak lagi yang perlu aku pelajari.
“Wen, saya rasa dia dah berpunya. Cincin yang dia pakai tu cincin belah rotan yang selalu dipakai oleh lelaki yang dah berkahwin,” bisikku kepada Wendy lantas mereka cerita di sebalik simbolik sebentuk cincin di jari Yen. Aku terpaksa memperbetulkan ketelanjuran bicaraku tadi tatkala menyedari Wendy begitu teruja kepada Yen.
“Ye ke? Hu…hu….hu… frustnya…,” bisik Wendy dengan wajah sedih.
“Tak payah cari boyfriend handsome nanti ramai pula yang berkenan,” nasihatku disambut sengihan Wendy. Aku yakin Velviana sentiasa menjeruk perasaan sepanjang menjadi kekasih pemuda Korea ini.
“Sangat penting untuk mempelajari teknik strumming dan scaling dengan betul, belajar cara untuk tune gitar sendiri serta sentiasa mengetahui beberapa kesalahan utama dalam bermain gitar agar kalian dapat menguasai kemahiran ini dengan lebih pantas,” tutur Yen menutup sesi kelas gitar yang dikendalikannya ini.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih atas kesudian Mr. Yen berkongsi ilmu dan kemahiran bermain gitar sepanjang berlangsung kelas ini. Harapan saya semoga ilmu yang Mr. Yen kongsi bersama kita hari ini akan dapat membantu meningkatkan kemahiran kalian bermain gitar. Ada sebarang pertanyaan?” giliran Encik Terance mengambilalih kelas. Yen sudah duduk di kerusi sambil mendakap gitar milik Encik Terance. Izbella mengangkat.
“Ye Izbella, silakan,” suara Encik Terance menjemput gadis itu.
“Saya mewakili teman-teman ni, boleh tak minta nombor iPhone Mr.Yen?’ soalnya lantas disambut oleh suara sumbang pelajar lelaki di kelas ini. Izbella tersengih. Encik Terance berpaling ke arah Yen.
“Bagaimana Mr. Yen?” soal Encik Terance berkaitan permintaan Izbella tadi. Yen tersenyum menambahkan ketampanannya.
“Saya kenalah minta keizinan isteri saya dulu,” ujar Yen buat aku tersentak. Yen melontar pandangan sekilas padaku.
“Ohhhh.... dah kahwin rupanya...,” pengakuan Yen mengejutkan pelajar-pelajar kelas ini termasuklah Encik Terance sendiri.
“Really? Are you serious?” soal Encik Terance. Yen hanya tersenyum.
“Betul juga cakap awak tadi,” ujar Wendy menyikuku. Aku diam. Sebenarnya aku masih terkejut dengan pengakuan Yen ini.
“Setakat di sini saja kelas kita hari ini. Kita jumpa minggu depan,” ujar Encik Terance menutup kelas muzik hari ini. Aku dan Wendy bersama-sama pelajar lain terus bergerak ke muka pintu. Sempat juga aku melihat Encik Terance berjabat tangan dengan Yen. Barangkali dia ingin mengucapkan tahniah atas pengakuan Yen sebentar tadi.
“Iman ssi...!” Langkahku dan Wendy terhenti. Serentak kami berpaling. Yen berdiri beberapa langkah dari kami. Aku sedar pandangan hairan Wendy sedang menatapku tika inii.
“Temankan saya minum,” pinta Yen menambah persoalan yang terpamer di wajah Wendy.
“Sorry, saya ada hal dengan Wendy sekarang,” ujarku meminjam nama Wendy untuk menolak pelawaan Yen itu. Wendy ternganga. Namun melihat lirikan mataku laju sahaja dia menganggukkan kepala.
“Okey...kalau macam tu,” putus Yen nampak sedikit hampa.
“Saya pergi dulu,” tutur Yen meminta diri lalu memulakan langkah meninggalkan aku dan Wendy yang masih memerhatikannya.
“Teruklah awak ni,” kutuk Wendy lantaran pembohonganku sebentar tadi. Sebenarnya kami lapang sekarang setelah tamat gerko ini.
“Sorry saya membabitkan awak tadi,” ujarku tersengih. Wendy menarik muka masam. Lalu aku dan Wendy beriringan mengatur langkah ke perhentian bas.
“Iman, awak dengan Mr. Yen saling mengenali? Bagaimana kamu berdua boleh kenal?” soal Wendy bertubi-tubi. Senyap. Tidak tahu jawapan yang patut aku berikan untuk persoalan itu.
“Jangan-jangan dialah guru Korea yang ajar awak main gitar kan,” teka Wendy menjawab sendiri persoalan tadi. Aku diam lagi.
“Mesti awak kenal dengan isteri dia kan. Cantik tak isteri dia?” soal Wendy mengejutkan aku.
“Iman, awak dengar tak ni?” keluh Wendy tatkala aku hanya mendiamkan diri. Aku mengangguk.
“Cuba awak tengok muka saya. Saya cantik tak?” soalku bagi menjawab pertanyaan itu. Dia mengangguk dan tersenyum.
“Haa... cantiklah isteri dia tu,” ujarku berkias-kias.
“Apa kaitan awak dengan isterinya pula? Awak dengan isteri Mr. Yen adik-beradik kembar ke?” soal Wendy tersengih. Senyap. Kelihatan Wendy sedang berfikir.
“Saya macam pernah tengok muka dia sebelum ni... kat mana ye... Bukan dia ke lelaki handsome yang pernah datang ke asrama nak jumpa awak?” soal Wendy mengimbau perkara lalu sekali gus mengejutkan aku.
“Hey..., takdelah,” nafiku diserbu kerisauan.
“Betul ke? Macam seiras je,” ujarnya berbicara sendiri.
“Yelah... mesti orang yang tak sama kan,” putus Wendy meyakini penafianku itu. Aku menarik nafas lega. Mujur juga memorinya untuk mengenali orang lain tumpul. Tiba-tiba sahaja aku rasa bersalah kepada Wendy.
“Wen, sorry...,” pintaku setelah membohonginya.
“Aaa...,” Wendy keliru dengan permohonan maafku ini.
“Sebenarnya sayalah isteri Mr. Yen,” sahut suara hatiku yang tidak mampu aku luahkan. Wendy masih menatapku.
“Sebab libatkan awak tadi,” ujarku masih tidak mampu berterus terang.
“It’s okay...,” Wendy sudah tersenyum. Dalam diam aku melepaskan keluhan kecil. Ternyata aku masih tidak mampu bercakap benar tentang kenyataan ini. Bilakah semua ini akan berakhir? Semakin lama semakin banyak dosaku atas pembohongan yang berpanjangan ini.
No comments:
Post a Comment