XII
Aku tertawa sambil menekan – nekan perut. Rasa sakit perut bila banyak sangat ketawa. Hinggakan air mataku turut sama keluar. Tidak dapat kutahan rasa lucu melihat aksi pelajar – pelajarku melompat tinggi dengan pelbagai gaya tersendiri. Ada yang terbang macam superman malah ada yang melompat ala – ala main ‘zero point’ Bahkan ada juga yang beraksi macam mahu terjun dalam sungai saja. Yang berlari kencang penuh semangat kemudian teragak – agak hendak melompat dan penyudahnya hanya mampu terbang di bawah kayu palang pun ramai. Walaupun nampak lawak – lawak, aku tetap bangga dengan mereka kerana mereka sentiasa bersemangat tinggi. Langsung tidak ada perasaan segan dan malu biarpun aksi mereka hari ini nampak sebagai pelawak yang membuatkan orang lain ketawa.
“Ni ler tugas guru sukan ajar budak – budak tu cara lompatan yang betul. Bukan nak jadikan mereka itu bahan ketawa” ada suara sinis menegurku dari belakang.
Pantas aku berpaling. Dennis Lee sudah berada di belakangku. Terasa membahang mukaku mendengar bicara serius itu. Lina datang sambil tersenyum lalu menghulurkan sebotol air mineral kepadaku. Aku terus saja meneguk air mineral itu dengan rakusnya. Mahu memadamkan bahang di wajahku. Selepas lapan tahun ditambah dengan 5 bulan bertugas di sekolah ini, inilah bicara pertama yang keluar dari mulut Dennis Lee. Betapa berbisanya bicara itu buat hatiku terguris. Ketawaku yang rancak tadi tiba – tiba saja lenyap.
“Kenapa tiba – tiba saja suasana kat sini nampak tegang?” bicara Lina menyentakkanku.
Dia menyedari perubahan suasana setelah beberapa minit berdiri di sini. Aku meneruskan diamku. Tidak berminat untuk meneruskan bicara bila hatiku telah terluka.
“Biasa ler cuaca panas sangat. Semua orang tak selesa” sahut Dennis Lee tanpa sedikit pun memandangku.
Bijak pula dia menyembunyikan keadaan sebenar. Kehadiran Lina cepat saja mengubah moodnya. Dia terus saja berbual panjang dengan Lina. Banyak sangat topik yang mereka bualkan sehinggakan sampai sekarang pun belum habis – habis lagi. Pantang bersama ada saja yang menjadi cerita. Ketawa mereka menambah duka hatiku. Tiba – tiba saja aku bangun lalu terpacak di depan mereka sekaligus mematikan perbualan rancak itu.
“Maaf. Lina kau tolong aku catat apa yang patut. Tenaga aku dah habis sebab banyak sangat ketawa tadi. Aku nak pergi bilik guru kejap” sindirku lalu terus saja melangkah pergi tanpa sempat menunggu persetujuan Lina terlebih dahulu.
Sebelum melangkah jauh sempat juga mataku melirik ke belakang. Kelihatan Dennis Lee yang duduk di kerusi itu mengambilalih tugas yang kutinggalkan. Aku tersenyum sendiri. Padan muka dia. Tadi komen aku lebih – lebih. Puas hatiku dapat menderanya kerana terpaksa mengambilalih tugasku dalam keadaan cuaca yang menguji tahap ketahanan fizikal seseorang. Kebetulan pula memang logik tugas ini dikendalikan oleh Dennis Lee. Biar kulit nan putih itu hangus terbakar. Tidak pun berbelang – belang. Jadilah si zebra ha... ha... ha..! Tika itu masihkah terserlah ketampanannya? Senyumanku kian lebar. Seronok berimaginasi sendiri.
Namun bila kufikir dari satu sudut yang lain, perasaan lain pula yang timbul. Aku rasa cemburu kerana Dennis Lee langsung tidak mahu menyusahkan Lina. Buktinya dia yang bertugas di situ bukannya Lina. Dia yang dengan rela hati menawarkan diri duduk di kerusi itu menjadi pencatat sedangkan lama juga aku duduk di situ, tidak pula dia berhajat untuk menggantikan aku. Memang sedari tadi dia menahan diri melihat aku ketawa. Ketawaku yang menyakitkan hatinya. Lantas saja dia melangkah ke arahku lalu melontarkan bicara sinis padaku dengan tujuan memusnahkan hari ceriaku. Betapa kejamnya manusia yang bernama Dennis Lee itu!
Aku terus saja melangkah melayan perasaanku yang sedang berkecamuk. Hati kecilku tidak henti – henti berbicara sendiri. Rasa marah kepada Dennis Lee belum padam lagi tambahan pula rasa tidak puas hati atas bicara yang dilemparkannya kepadaku sebentar tadi. Mudah sangat tokmahan yang dilontarkannya kepadaku. Bicaranya terang – terangan menuduh aku yang tidak mengajar budak – budak itu melompat cara yang betul. Niat baikku telah disalahertikan. Aku sengaja memberi peluang kepada pelajar – pelajar yang mahu mencuba melompat biarpun tidak berpotensi menjadi atlet lompat tinggi. Jadi aku sanggup mengorbankan diri berpanas di bawah pancaran terik matahari untuk menghakimi barisan pelajar – pelajar yang bersemangat juang tinggi tetapi tidak berpotensi. Namun dia sewenang – wenangnya saja menyalahkan aku.
Sebetulnya aku boleh terus mencatat nama beberapa orang pelajar yang memang dikenal pasti berbakat dan berkecenderungan dalam acara ini. Kemudian terus saja melatih mereka. Kerjaku pun mudah dan senang. Tidak perlu bazir tenaga dan membakar diri dengan berpanas – panas di bawah bahang matahari. Namun aku tidak setuju cara itu. Langsung tidak memenuhi prosuder pemilihan yang sepatutnya. Bahkan tidak adil untuk semua pelajar. Dalam kalangan mereka ada juga yang ingin mencuba kelebihan diri. Mana tahu ada bakat yang terpendam.
Oh, barangkali yang salah adalah aku! Aku disalahkan kerana tidak boleh mengawal diri dari ketawa. Salahkah aku ketawa untuk bergembira. Mungkin hati Dennis Lee tidak senang melihat aku menghiburkan hatiku. Lantas mudah saja dia mematikan keriangan hatiku yang cuma seketika itu. Marahku tidak surut lagi bila aku masih terkenang – kenangkan bicaranya sebentar tadi itu. Tega juga dia berbicara sedemikian terhadapku. Memanglah Dennis Lee menaruh dendam terhadapku.
“Deliya hati – hati .....!!!!”
Aku terdengar namaku dilaung sekuatnya oleh suara Dennis Lee. Aku berpaling ke belakang. Kulihat dia sedang berlari pantas ke arahku. Beberapa minit kemudian aku sudah berada dalam rangkulannya. Kedua – dua belah tangannya melindungi kepalaku. Sepintas kilat kami tersungkur menyembah bumi. Tubuh Dennis Lee menimpaku. Dalam keadaan terhimpit begini nafasku tertahan – tahan. Aku kaget dan terkeliru. Apa yang telah terjadi? Terasa panas menitis ke wajahku. Darah. Kulihat Dennis Lee tidak bergerak – gerak lagi. Matanya tertutup rapat. Rupanya darah di dahinya yang menimpa wajahku ini. Di mulutnya juga ada darah yang keluar.
“Dennis Lee...” panggilku lemah dan perlahan.
“Cepat angkat sama – sama!” kedengaran suara Cikgu Razali menjerit.
Aku nampak banyak sangat orang yang menggerumuni kami memberikan pertolongan. Tiang – tiang besi dan bilah – bilah dawai rangka penghadang dibaling ke tepi. Pandanganku berpinar – pinar.
“Cepat angkat Cikgu Dennis bawa ke kereta” suara Cikgu Razali kedengaran lagi. Suasana agak cemas. Tubuh Dennis Lee dirangkul lalu diangkat dan dilarikan pantas oleh beberapa orang guru lelaki yang tidak berapa jelas di mataku. Lalu tubuhku dipeluk dan dibangunkan perlahan.
“Nia kau okey?”
Pandanganku kabur dan berpinar – pinar. Namun aku masih nampak wajah Lina yang tampak cemas mendekatiku. Puan Rosnah, Cikgu Ujie, Cikgu Murni, Pengetua, Cikgu Lily, Cikgu ..... Kedengaran namaku dipanggil – panggil. Semakin lama semakin hilang suara – suara itu. Hitam. Gelap.
“Nia....! Cikgu Nia!!!!”
Ada suara bersatu melaung nama itu. Tubuhnya sempat disambut sebelum jatuh menyembah bumi untuk kedua kalinya.
Terasa seluruh tubuhku sengal – sengal. Sana sini rasa sakit. Tiba – tiba wajah Dennis Lee menerpa diingatanku. Kejadian cemas itu berputar kembali. Aku kurang jelas apa sebenarnya yang telah berlaku. Tahu – tahu Dennis Lee sudah mendakap tubuhku lantas memalingkannya. Tubuhnya yang menggantikan posisi awal tubuhku telah menjadi mangsa. Sepatutnya tubuhku yang menjadi sasaran tiang – tiang besi itu, namun tindakan pantas Dennis Lee telah menyelamatkanku. Perlahan – lahan aku membuka mataku.
“Alhamdulillah, Nia dah sedar”
Mama sudah berada di sisiku. Aku terpandang beberapa orang jururawat lalu lalang di sekitarku. Rupanya aku berada di hospital sekarang. Tidak sedar berapa lama sudah aku terbaring sebegini. Tanganku berbalut. Mungkin luka tertikam bilah – bilah dawai rangka penghadang itu.
“Bagaimana Dennis Lee mama?” soalku sebaik saja teringatkan dia.
Risau aku dibuatnya. Dia telah mengorbankan dirinya untuk menyelamatkan aku. Betapa kesalnya hatiku bila teringatkan bicaraku sebelum kejadian itu menimpa. Mulutku tidak henti – henti mengkritiknya.
“Dia masih belum sedar. Doktor kata tak de kecederaan yang serius. Dia selamat dan akan pulih seperti biasa. Cuma doktor beri suntikan suruh dia berehat. Beberapa jam lagi dia akan sedar. Nanti mama jenguk dia” jelas mama lengkap dan terperinci.
Kupanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana Dennis Lee selamat. Bagaimana dengan wajahnya? Ada calar – calar seriuskah? Aku tidak mahu mencacatkan kesempurnaan yang dimilikinya itu.
“Kawan Nia yang jaga dia sekarang” tambah mama.
Pasti Lina yang mama maksudkan. Biarlah Lina berada di sampingnya saat ini. Kasihan Dennis Lee, dia tiada sesiapa lagi di dunia ini. Dalam keadaan sekarang dia tidak boleh bersendirian.
Sekejap tadi ramai teman sekolah yang datang melawatku dan melawat Dennis Lee. Sempat juga mereka membawa khabar bahawa Dennis Lee sudah sedar. Betapa aku bersyukur kerana tiada perkara yang serius telah menimpa dirinya. Kalau tidak pasti aku akan menyalahkan diriku seumur hidup ini. Lina yang datang menjengukku beberapa kali juga menceritakan tentang perkembangan kesihatan Dennis Lee yang tidak perlu aku dirisaukan. Sempat juga aku meminta tolong agar Lina menjaganya dengan alasan aku terhutang budi kepada Dennis Lee. Dia cedera kerana cuba melindungi aku. Mujur juga perbuatan Dennis Lee tidak mengundang persoalan dalam dirinya. Setakat ini Lina tidak pernah bertanyaka perkara yang berkaitan dengan Dennis Lee kepadaku. Mungkin melihat keadaanku sekarang Lina dapat merasa bukan masa yang sesuai untuk menghujuniku dengan pelbagai persoalan andai wujud kekeliruan dalam dirinya. Mustahil Lina tidak banyak berfikir tentang tindakan Dennis Lee itu. Barangkali Lina menunggu masanya.
Aku melangkah meninggalkan katilku. Hajat dihati ingin menjenguk Dennis Lee yang ditempatkan di wad lelaki yang betul – betul berhadapan dengan wad perempuan. Sepanjang mengatur langkah sempat juga aku bertukar senyuman dengan beberapa orang jururawat yang bertembung denganku. Senyuman yang bisa menjadi penawar kepada pesakit. Tatkala beberapa langkah lagi kakiku mendekati katil Dennis Lee, aku nampak dia sedang leka membaca sebuah buku. Sempat juga mataku menangkap judulnya ‘Keindahan Mencintai Allah’ buku yang berupa keagamaan. Sedikit tersentuh hatiku. Dalam hati sempat juga aku berharap dan bermunajat semoga Allah memberinya hidayah. Alangkah bahagianya andai Dennis Lee mendapat hidayah itu!
“Assalam.... Selamat pagi Dennis Lee” sapaku perlahan.
Dennis Lee menoleh. Pandangan kami bersatu. Lantas saja dia meletakkan buku ditangannya ke tepi. Terasa gementar juga untukku berhadapan dengan lelaki ini. Tidak dapat kujangka reaksi yang bakal ditunjukkannya. Sama ada dia menyukai kedatanganku ini atau sebaliknya. Aku sudah bersedia mengambil sebarang risiko. Sesungguhnya keyakinan dirilah yang mendorongku bertandang ke sini.
“Awak apa khabar?” sapaku memulakan bicara.
Dia senyum mendamaikan gemuruh hatiku. Kiranya kedatanganku ini disambut baik olehnya.
“Baik” balasnya pendek.
Senyap lagi. Agak janggal juga pertemuan ini. Antara aku dengan Dennis Lee sudah tidak wujud kemesraan. Tika ini orang yang paling rapat dengan dia adalah Lina. Aku tahu Lina sahajalah yang boleh membuatkan dia berbicara panjang dan ketawa ceria. Menyedari pertemuan ini lebih banyak diam, mahu saja kakiku melangkah pergi meninggalkan Dennis Lee di sini. Segala yang kuharapkan tidak berjalan lancar. Terasa keyakinan diriku sebentar tadi semakin berkurangan.
“Awak nak beri salam tadikan. Waalaikumsalam.....”
Tersentak aku dengan bicaranya. Barangkali Dennis Lee sekadar ingin bergurau. Kalau tidak pun hanya untuk mengusir diam yang berpanjangan ini. Mungkin dia juga tidak selesa dalam situasi sekarang. Teringat juga aku pelajar – pelajarku yang bukan muslim pun ada yang pandai memberi salam sedemikian. Namun aku tidak berdaya untuk menyambutnya, sebaliknya membalas dengan seulas senyuman. Aku tidak rela menyumpah mereka, mahupun menyumpah Dennis Lee. Sungguh aku tidak tega. Aku tidak sanggup mendoa – doakan perkara tidak elok kepada mereka.
“ Kalau salam orang tak disambut berdosa” tuturnya lagi membuatkan aku tersenyum lagi. Dia juga turut tersenyum.
“Bila awak boleh keluar wad?” soalnya pula.
“Agaknya hari ni” jawabku.
Teringat aku bicara Doktor Kartina yang memeriksa aku semalam. Dia kata hari ini mungkin aku boleh keluar memandangkan aku sudah sihat sepenuhnya. Namun kenalah aku tunggu kedatangan doktor pagi ini sebelum keluar wad bagi mempastikan aku benar – benar sihat dan tidak perlukan rawatan lagi. Kebetulan juga aku akan diberikan cuti rehat beberapa hari lagi. Jadi dapatlah aku habiskan cuti itu di rumah nanti sebelum melangkah ke sekolah semula.
“Kau masih kena tinggal kat sini ke?” soalku pula.
Dennis Lee mengangguk.
“Agaknya macam tu ler” balasnya tenang.
Timbul rasa bersalahku. Semua ini angkaraku. Akulah penyebab yang membuatkan Dennis Lee terbaring di katil ini. Pasti dia rasa bosan tinggal lama – lama di sini. Aku dapat menyelami perasaan itu.
“Maafkan aku. Aku yang menyebabkan kau jadi macam ni” ujarku serius meluahkan apa yang terbuka dalam hatiku tika ini.
“Sebenarnya aku lebih seronok tinggal di sini, tidaklah sunyi bersendirian. Tengok ramai kawan - kawan kat sini” balasnya cuba berjenaka.
Aku senyum. Kasihan Dennis Lee, dia kesunyian rupanya. Aku dapat merasakannya. Dia kehilangan kasih sayang kedua ibu bapanya ketika zaman remajanya. Apatah lagi dia tinggal berjauhan daripada sanak saudaranya. Dennis Lee benar – benar bersendirian selama ini.
“Awak tengok aku macam tu, nak scan muka aku ke?”
Aku tersentak. Dennis Lee tersenyum menatapku. Segan pula aku diperlakukan begitu. Aku mengutuk diri kerana sempat berkhayal sebentar tadi. Apalah yang difikirkan oleh Dennis Lee melihat tingkahku sedemikian.
“Tengok takde kecederaan kat mukaku ni. Masih handsome lagi” lawaknya lagi membuatkan aku tertawa kecil.
“Nasib baik tak cedera, kalau tidak wajiblah awak kahwin dengan Dennis Lee” tuturnya bersahaja menyebut namanya sendiri sekaligus mematikan tawaku.
“Awak sedia bertanggungjawab Deliya?” soalnya.
Aku terdiam panjang. Soalan Dennis Lee berlegar – legar di kepalaku. Kedatangan Lina menyelamatkan keadaan. Aku menyaksikan betapa mesranya mereka. Jelas Dennis Lee lebih ceria dengan kehadiran Lina. Lina pun aku nampak begitu mengambil berat terhadap Dennis Lee. Mereka sememangnya bagai sepasang kekasih. Kekasih yang secocok. Suatu kenyataan yang tidak dapat kusangkal lagi. Bicara dan soalan Dennis Lee tidak membawa makna apa – apa. Dia sekadar bercanda denganku. Semoga kalian berbahagia. Alhamdullilah.... akhirnya Dennis Lee tidak bersendirian lagi. Tiba – tiba menjelma nama Amir Hamzah diingatanku. Adakah dia juga sudah memiliki cinta kekasih dambaan hatinya? Ketahuilah Amir Hamzah, aku di sini tetap setia menanti huluran cintamu! Aku akan setia menantimu!
XIII.
Lama aku duduk di depan laktop menghadap nukilan – nukilan yang dikirimkan oleh Amir Hamzah selama ini tanpa sebarang rasa jemu. Kiranya sepanjang cuti rehat ini aku hanya menghabiskan masaku bersama – sama cetusan mindanya. Aku rasa bahagia dengan menatap bait – bait bicara dan puisi yang ditulisnya itu penuh dengan keimanan dan keinsafan. Suatu penghijrahan diri dari dunia yang gelap ke suatu alam yang bercahaya bersinar – sinar dan terang benderang.
Ya Allah hatiku dimiliki lagi. Aku telah jatuh cinta kepada Amir Hamzah. Perasaan yang terlalu indah yang tidak pernah aku alami selama ini. Perasaan cinta yang tidak mampu ditandingi oleh rasa cintaku terhadap Cikgu Elvart Hee. Cinta dalam keimanan! Cinta dalam keinsafan! Bukan cinta yang berlandaskan nafsu! Bukan juga cinta yang bertunjangkan kesempurnaan dirinya! Sama sekali aku tidak pernah mengenali Amir Hamzah. Langsung tidak wujud pertemuan untuk aku bersemuka dengannya. Aku tidak pernah mendengar suaranya berbicara denganku. Amir Hamzah telah memikat hatiku dengan bakat tinta yang Allah anugerahkan kepadanya.
Ya Allah sekali pun aku tidak kisah andai aku kecewa untuk kedua kalinya kerana mencintai Amir Hamzah. Aku redha kalau begitu sudah suratan untukku. Keikhlasan hatiku mencintainya tidak mengharapkan sebarang balasan. Cukuplah aku bahagia kerana mencintainya.
“Cikgu Nia tolong saya angkat daging ni” pinta Cikgu Murni yang sudah memegang sebesen besar daging yang telah siap dipotong – potong nampak tidak terdaya diangkatnya.
Aku mendekatinya. Baru saja tanganku hendak memegang besen itu, ada tangan yang lebih pantas mendarat di situ sekaligus mematikan hajatku untuk menolong Cikgu Murni sebentar tadi. Aku mendongak wajah itu. Dennis Lee sudah berada dekat denganku membuatkan aku berganjak sedikit. Kurang selesa dengan posisi tersebut.
“Biar saya yang angkat Cikgu Murni. Perempuan tak elok angkat berat – berat” tutur Dennis Lee seraya mengangkat sebesen daging itu.
“Sayang juga kau kat Cikgu Nia ni ye” usik Cikgu Murni sekaligus mengenakanku.
“Hish... Cikgu Murni takde ler macam tu” bantahku kurang senang.
Cikgu Murni hanya tersenyum. Begitu juga Dennis Lee.
“Terima kasih Dennis Lee” ujarku kepadanya.
“Kasih awak diterima” balasnya bersahaja cukup mengejutkanku.
Dia tersenyum meninggalkan aku yang terdiam. Kupandang ke arah Cikgu Murni. Dia tersenyum lebar menatapku. Terasa hangat membahang wajahku. Agaknya dia juga mendengar bicara Dennis Lee tadi. Malunya aku!
Hari ini merupakan hari Nuzul Al – Quran iaitu tanggal 17 Ramadhan, penurunan Al – Quran dari Allah S.W. T kepada kekasihnya yang mulia Nabi Muhammad S.A.W. Pada setiap tahun sekolah akan mengadakan majlis bersempena Nuzul Al – Quran sebagai hari memperingati sekaligus menambah rasa ketakwaan kepada Allah S.W.T. Justeru tidak kira agama mahupun budaya, semua warga sekolah melibatkan diri bergotong – royong membuat persediaan. Walaupun mereka tidak terlibat dalam pengisian program, namun mereka tidak kedekut menawarkan tenaga mereka. Suatu keistimewaan sekolah ini yang menjadi kebangganku. Betul – betul mempamerkan Semangat 1 Malaysia seperti yang sering dilaung – laungkan oleh Perdana Menteri kita.
Kulihat Cikgu Robert sedang sibuk membantu sekumpulan guru lelaki membelah kayu api untuk digunakan memasak daging kawah nanti. Cikgu Lily dan Cikgu Sue Ling kelihatan sibuk membantu menyediakan bahan – bahan ramuan untuk masakan hari ini. Madam Choo dan Madam Ravina sedang membantu Puan Rosnah mengawasi pelajar – pelajar asrama menyusun atur Dewan Selara Danau lokasi majlis jamuan nanti. Begitu juga dengan Dennis Lee yang kulihat leka membantu Lina membelah buah timbikai sebagai pencuci mulut jamuan nanti.
Itu baru beberapa orang rakan guru yang tidak seagama yang sempat mataku memandangnya. Sebenarnya ramai lagi yang sedang bertungkus lumus di luar dewan, di dapur dan di sekitar sekolah ini. Bukan setakat kaki tangan sekolah malah pelajar – pelajar tidak seagama pun menolong sama. Jelas menunjukkan hubungan muhibah dalam kalangan warga sekolah. Dalam sibuk – sibuk membuat persediaan kedengaran suara Cikgu Razali menyampaikan pesanan buat pelajar – pelajar asrama yang beragama Islam.
“Tepat pukul 6.00 semua pelajar sudah berada di dalam surau. Takde lagi yang berkeliaran mahu pun yang baru mahu ambil wudhu. Pastikan bersedia awal – awal” tuturnya memperingatkan mereka disambut dengan anggukan kepala tanda faham dengan arahan yang diberi.
Sebelum pukul 6.00 petang, aku sudah siap sedia berganjak meninggalkan quaters guru ini untuk bergerak ke Surau Al – Iman. Kucapai telengkungku. Aku harus datang lebih awal bagi mempastikan pelajar – pelajar asrama yang muslim sudah semua berkumpul di surau. Lina kebetulan tidak dapat solat. Jadi dia ditugaskan mempastikan kelancaran persediaan di dewan buat kali terakhir sebelum bergerak ke surau untuk menyertai yang lain. Beberapa orang pelajar perempuan yang juga bercuti solat ada bersama – samanya.
Tatkala aku sampai di perkarangan Surau Al – Iman, kebanyakan pelajar sudah berada di dalam surau. Kelihatan beberapa orang pelajar perempuan lengkap bertelekung berlari – lari anak memasuki perkarangan Surau Al – Iman. Masih boleh dikatakan belum terlewat kerana jam belum mencecah ke angka 6.00 petang seperti mana yang digariskan oleh Cikgu Razali tengah hari tadi. Kumpulan terakhir yang masuk adalah pengawas – pengawas sekolah.
“Assalamualikum cikgu” sapa Aida ketua pengawas asrama perempuan.
Aku menyahut salamnya. Tanganku dikucup memohon restu guru. Guru ibarat ibu bapa. Di sekolah guru – guru adalah ibu dan bapa kepada pelajar – pelajarnya.
“Semua dah bergerak ke surau?” soalku.
Aida mengangguk. Pasti mereka sudah mempastikannya terlebih dahulu sebelum meninggalkan asrama tadi.
“Bagus. Cepat masuk” arahku pula.
Tanpa sebarang bantahan mereka patuh saja. Mereka adalah kumpulan pelajar yang berdisiplin dan bertanggungjawab. Sebab itulah juga mereka dilantik menjadi pengawas.
“Wah, handsomenya Cikgu Dennis Lee!”
Suaraku dapat menangkap pujian yang keluar dari mulut salah seorang daripada mereka yang baru menapak di anak tangga pintu kawasan jemaah perempuan. Perlahan – perlahan aku berpaling. Aku terpukau seketika pada seraut wajah yang sedang tersenyum itu. Senyuman yang betul – betul indah. Tubuhnya dibaluti sepasang baju melayu merah lengkap bersamping hitam bersulam benang kuning keemasan. Satu kombinasi warna yang cukup menarik lagi menyerlahkan dirinya. Ada songkok di kepalanya. Lagaknya seperti seorang pengantin lelaki. Dennis Lee sedang melangkah bergerak masuk ke perkarangan Surau Al – Iman bersama Ustaz Firdaus. Pantas saja aku memalingkan pandanganku sebaik saja dia bergerak ke anak tangga menuju ke pintu di bahagian yang dikhaskan untuk jemaah lelaki. Aku pura – pura tidak menyedari akan kehadirannya. Sebetulnya juga dia tidak menyedari akan kewujudanku di situ yang terpaku memerhatikannya buat seketika tadi.
Pastinya Lina akan tersenyum bangga sebaik saja melihat betapa tampannya kekasih hatinya itu. Tidak menduga Dennis Lee akan bertandang ke majlis ini yang sememangnya bukan menjadi satu kesalahan. Islam itu mementingkan persaudaraan sesama manusia biarpun berbeza agama kerana manusia itu berasal dari keturunan Adam dan Hawa. Barangkali inilah persediaan awal Dennis Lee sebelum melamar Lina menjadi suri hidupnya. Hubungan Dennis Lee dan Lina benar – benar serius. Aku beristighfar beberapa kali. Bulan yang baik ini, di tempat yang suci ini tidak seharusnya aku lalai memikirkan perkara yang bukan – bukan. Seharusnya aku memperbanyakkan amal ibadat dan melipat gandakan ketakwaan kepada Allah bagi mengisi bulan yang suci ini. Rugilah manusia yang lalai dan tidak tahu mengambil kesempatan atas kelebihan bulan Ramadhan bulan ibadat. Bulan inilah Allah akan melipat gandakan pahala bagi yang beramal dan sentiasa mendekatkan diri kepadaNya. Allahuakhbar! Maha Agung Allah lagi Maha Mengasahi hambaNya!
Aku memejamkan mataku menjiwai kalimah – kalimah suci Allah yang dilaungkan oleh suara merdu itu. Hatiku bergetar setiap kali suara itu berkumandang. Suara yang memuji kekuasaan dan kebesaran Allah. Suara yang sudah bertapak dihatiku. Aku membuka mataku. Aida sedang menghulurkan buku program kepadaku tanpa bersuara tapi dengan senyuman yang cukup menyenangkan. Guru – guru lain sudah berada di sebelahku tanpa kusedari. Masing – masing hanya bertukar senyuman. Tiada sepatahpun bicara yang keluar kecuali suara merdu itu masih melaung penghujung azan. Serasa mahu saja aku menegah agar suara merdu itu tidak berhenti sebaliknya terus mengalun azan sebanyak mungkin. Astaga!Aku beristighfar lagi. Betapa tipisnya imanku senipis kulit bawang. Aku seringkali tewas oleh kata hati. Ya Allah teguhkanlah hatiku seteguh hati Amir Hamzah yang begitu mencintaimu. Bicara Amir Hamzah hanya berlandaskan keranaMu Allah mahupun dengan izinMu Allah. Itulah kalimah keramat yang sering meniti di bibir Amir Hamzah. Mukadimah di setiap perbuatannya.
“Betapa merdunya suara Cikgu Dennis Lee tu” suara pelajar di belakangku bagaikan magnet melekat ditelingaku. Dalam masa yang sama pandanganku jatuh pada sebaris nama yang tertera di helaian kertas buku program yang ada ditanganku ini. Dennis Lee bin Abdullah perlahan – lahan sebaris nama itu meniti di bibirku. Tanpa kupinta air mataku menitis ke pipi. Subahanallah! Ya Allah Maha Agung kuasaMu!
“Cikgu Nia silalah makan. Jangan ditenung je makanan yang ada kat sini” tegur Cikgu Michael mengejutkanku.
Aku mengangguk. Guru – guru bukan muslim juga dijemput menikmati jamuan setelah berpenat – lelah bergotong – royong menyediakan masakan siang tadi. Kupandang Dennis Lee lagi. Kelihatan dia sedang berbual – bual dengan teman – teman guru lelaki sambil menikmati hidangan di meja.
“Dia handsome kan. Boleh buat hati terpikat”
Kali ini Lina pula yang muncul tiba – tiba lalu berdiri di sebelahku. Dia juga turut melontar pandangan ke arah Dennis Lee.
“Er... tak de ler” nafiku.
Lina mengalih pandangannya kepadaku. Wajahku ditenung lama buat aku sedikit rasa rimas. Tidak selesa ditenung sedemikian rupa. Barangkali tanda protes atas tindakanku tadi. Sudah pasti Lina menyedari gelagatku yang memerhatikan buah hatinya sebentar tadi. Maafkan aku Lina semua itu di luar kawalanku. Aku tidak mampu menegah mataku dari memandang Dennis Lee. Sebetulnya fikiranku masih sarat dengan namanya. Sesungguhnya aku bahagia sangat malam ini.
Di kamarku ini, aku tidak putus – putus menadah kesyukuran kepada Allah yang telah memberikannya hidayah yang terindah buat Dennis Lee bin Abdullah. Dialah insan yang terpilih untuk menerima penghijrahan yang paling besar dalam hidupnya. Aku bersujud di sejadah menyampaikan rasa kesyukuranku kepada Allah kerana menyayangi Dennis Lee lantas memberikan hidayahnya. Aku menangis lagi kerana harapan dan munajatku telah dikabulkan Allah.
“Kalau kita berdua yang kahwin, baru mencerminkan 1 Malaysia, ada darah Melayu, darah Cina dan darah India”
Dalam rasa menggantuk sangat suara Dennis Lee lapan tahun lalu tiba – tiba terngiang – ngiang ditelingaku. Akhirnya aku tertidur dalam senyuman.
No comments:
Post a Comment