“Semalam macam dengar awak sebut nama lelaki. Har...Harr... Aduh, saya lupa nama tu!” ujar Mila sambil garu-garu kepala. Laju aku berpaling ke arahnya.
“Awak mimpi tu,” tingkahku cuba mengaburi ingatan Mila.
“Tapi suara awak memang jelas,” Mila tidak puas hati.
“Saya balik awak dah berdengkur-dengkur. Macam mana pula awak boleh dengar saya bercakap,” ujarku menguatkan hujah. Mila berfikir sejenak. Aku tersenyum sendiri.
“Betul juga,” Mila termakan dengan kata-kataku. Aku senyum lagi.
“Bagaimana majlis semalam?” tanya Mila.
“Alhamdulillah berjalan lancar,” jawabku ringkas dan padat.
“Nanti nak buat jamuan surprise kat Villa Tautan Kasih awak ikut sekali ye,” ajakku. Lebih seronok kalau Mila dapat pergi bersamaku ketika itu.
“InsyaAllah kalau takde aral melintang,” sahut Mila. Sukar sungguh hendak mengajaknya selain melibatkan hal-hal rasmi pengajian. Beruntung ibu bapa Mila dapat anak sepertinya. Pandai jaga diri.
“Assalamualaikum,” sapa suara lelaki. Serentak aku dan Mila berpaling sambil menyambut sapaan salam itu. Adib tersengih lalu melabuhkan duduk di kerusi kosong di sebelahku.
“Awal awak muncul,” komen Mila.
“Nak sarapan dengan Cahaya. Lagipun dari semalam tak dapat tidur,” jelas Adib.
“Kenapa?” Kali ini aku pula yang
mengutarakan pertanyaan kepada Adib. Hairan. Mustahil dia berusaha gigih hendak
menyiapkan tugasan Encik Syamil. Masih ada masa hendak menyiapkan tugasan itu.
“Awak tak balas whatsApp saya,” sahut Adib. Aku tersengih. Tidak sangka Adib menunggu balasan mesej dariku. Kasihan.
“Sorrylah. Saya mengantuk sangat semalam. Cepat saya tidur. Tak ingat lagi nak balas whatsApp awak,” jelasku berbohong sunat.
“It’s okay,” balas Adib tidak ambil hati.
“Takkan kerana Cahaya tak balas whatsApp awak tak dapat tidur. Parah betul awak,” kutuk Mila yang sememangnya tidak akan berkias-kias bercakap dengan Adib. Adib tersengih sambil garu-garu kepala.
“Itu satu hal. BMW biru itu benar-benar mengganggu fikiran saya,” ujar Adib mengungkit perkara semalam. Aku tersentak. Boleh pecah tembelangku jikalau begini. Mila akan sangsi kalau nama pemuda itu muncul. Malunya nanti pada Mila kalau dia masih ingat kata-kataku semalam.
“BMW biru?” Berkerut kening Mila.
“Bukankah Mr. Light yang jemput awak semalam,” tambah Mila. Aku mengangguk. Memang Rayyan yang menjemput aku dan yang menghantar aku balik ialah Harris. Dua orang lelaki yang berbeza tetapi dari rumpun keluarga yang sama.
“Pemilik lamborghini dan BMW biru itu orang yang samakan,” teka Adib menuntut penjelasan. Mila dan Adib memandangku. Mereka menanti jawapan yang bakal keluar dari mulutku.
“Ya...sekeluarga,” jawabku tidak memenuhi kehendak soalan yang diajukan oleh Adib sebentar tadi. Berharap Adib mahupun Mila tidak akan bertanya lebih lanjut tentang gerangan si pemandu kereta yang pasti berbeza orangnya.
“Cahaya..., saya harap awak bersabar. Saya janji akan beli kereta mewah untuk awak. Nanti saya akan jadi pemandu setia awak. Saya akan bawa awak ke mana saja awak nak pergi,” tutur Adib bersungguh-sungguh. Aku ketawa.
“Kereta awak tu nanti boleh bawa saya terbang ke Incheon International Airport ke? Saya nak jumpa Park Seo Jun ni,” selorohku mengusik Adib. Mila tergelak.
“Tak habis-habis dengan lelaki mata sepet itu. Dia tak puas tengok dunia sebab matanya tak terbuka luas,” kutuk Adib buat aku tergelak. Suka hati dia mempersoalkan idolaku.
“Nak ikut terbang sekalilah,” tambah Mila. Dia tergelak lagi.
“Awak salah faham. Saya bukan manusia yang materialistik,” jelasku. Adib menarik nafas lega. Gembira mendengar kenyataanku.
“Saya ada perkara nak cakap dengan awak,” jelasku. Sudah sampai masa aku membicarakan perkara ini. Perlakuanku selama ini tidak cukup melenyapkan perasaan Adib terhadapku.
“Perlu saya pergi?” tanya Mila. Aku mengangguk. Tidak mahu menjatuhkan maruah Adib di hadapan Mila walaupun aku tahu dia mempunyai kekebalan yang luar biasa.
“Tak perlu. Awak duduk saja di sini,” tingkah Adib tidak membenarkan Mila beredar meninggalkan kami. Soal hati dan perasaan bukan rahsia. Dia sendiri sudah banyak kali memperdengarkan luahan perasaannya terhadap Cahaya di hadapan gadis ini. Mila akur.
“Saya tak mahu awak bersusah payah kerana saya. Saya nak kita jadi kawan selamanya,” tuturku meluahkan isi hati. Mahu perkara ini sirna segera.
“Maaf... Adib,” pintaku kerana mencalar hati anak muda ini. Mila diam. Mesti dia turut bersimpati kepada Adib.
“Selagi awak belum bernikah dengan mana-mana lelaki, selagi itu saya masih berpeluang,” tutur Adib tidak mahu menyerah kalah. Aku mengeluh kecil. Utuh sungguh keyakinan dirinya.
“Saya tak nak awak kecewa suatu hari nanti. Kalau saya biarkan awak terus begini, awak akan lebih parah nanti,” tegasku.
“Saya sayang awak sebagai sahabat baik saya. Saya tak nak berlaku kejam pada awak,” tuturku serius. Senyap. Kalau aku tidak bersuara sekarang seolah-olah memberi harapan kepada Adib. Perasaan Adib terhadapku akan semakin mekar. Bermakna lukanya akan jadi lebih dalam.
“Takpe Adib, nanti saya kenalkan gadis lain kepada awak,” Kali ini suara Mila lembut memujuk Adib. Cuba mengubah ketegangan tika ini. Tidak sangka suasana santai tadi berubah serius begini. Hatinya gundah.
“Saya janji gadis itu lebih cantik dari Cahaya,” tambah Mila buat Adib tersenyum. Senyuman tawar.
“Saya takkan salahkan awak,” tutur Adib menolak permintaanku dan mengabaikan pujukan Mila.
“Adib...,” Aku buntu. Bukan mudah hendak mematahkan perasaan Adib ini.
“Betul...macam mana sekalipun saya kecewa, saya takkan salahkan awak. Biarkan saya terus mencuba dan berjuang mengisi kekosongan hati awak itu,” tambah Adib.
“Awak akan buat saya tertekan. Awak tak kasihan saya,” ujarku bernada merayu. Senyap.
“Saya tak boleh paksa diri terima awak lebih dari seorang sahabat. Bukalah hati awak untuk gadis lain,” tuturku mengharap lantas bangun meninggalkan Adib dan Mila di situ. Aku tidak mampu berhadapan dengan kedegilan Adib. Dalam masa yang sama terasa marah pada diri sendiri. Aku sendiri tidak mahu Adib jatuh cinta kepadaku. Aku memang tidak tega mengecewakan pemuda itu.
“Awak ikutlah nasihat Cahaya. Lepaskan dia. Baru awak boleh hidup tenang,” nasihat Mila simpati kepada pemuda itu.
“Saya dah cuba...tapi sukar,” keluh Adib tidak berdaya. Mila mengeluh. Dia serba salah.
“Awak boleh lakukannya...,” Bahu pemuda ini ditepuk-tepuk menitip motivasi.
“Awak cukup kuat. Awak mampu melupakan Cahaya,” tambah Mila menyuntik semangat dalam diri pemuda ini. Adib tertunduk menatap meja.
“Awak pergilah temankan Cahaya,” arahnya.
“Saya cukup kenal dia. Dia nak bersendirian sekarang. Cahaya sedang menyalahkan diri kerana buat awak sedih,” jelas Mila.
“Tolanglah tenangkan dia. Saya nak bersendirian sekarang,” pinta Adib meminta ruang untuk dirinya.
“Okey...,” Mila bangkit dari kerusi itu. Dipandang pemuda itu dengan perasaan simpati. Namun tidak mahu menyalahkan gadis itu. Lantas Mila melangkah meninggalkan Adib bersendirian di situ.
“Soal hati dan perasaan tak boleh dipaksa-paksa. Semoga kalian bertemu jodoh yang terbaik,” bisik hati Mila. Dia melepaskan keluhan kecil.
“Awak okey ke ni?” Mila mendekatiku. Lantas duduk di sebelahku di atas katil ini. Aku senyum. Selepas pertemuanku dengan Adib siang tadi, aku belum berbicara dengan Mila lagi. Aku tinggalkan dia dengan Adib. Habis kuliah aku tidur. Lena sungguh.
“Adib okey?” tanyaku. Aku terpaksa menguris perasaan pemuda itu. Mila senyum.
“Sedikit masa lagi, dia akan okey,” jelas Mila. Aku tahu Adib sedang berduka sekarang.
“Saya takde pilihan. Saya mesti berterus terang kepada Adib. Kejamkan saya,” luahku.
“Berterus terang lebih baik daripada berdiam memberi harapan,” ujar Mila merestui tindakanku. Aku melepaskan keluhan kecil.
“Awak langsung takde perasaan pada Adib?” Mila menatapku.
“Saya hanya boleh jadi sahabatnya. Tak lebih dari itu,” tegasku.
“Yelah soal hati dan perasaan tak boleh dipaksa-paksa,” sokong Mila mengerti.
“Apa kata awak cari jodoh awak sekarang,” cadang Mila. Besar anak mataku menatapnya.
“Mungkin itu cara terbaik mematahkan perasaan Adib kepada awak. Dia sendiri yang cakap selagi awak belum bernikah selagi itu dia akan terus mencuba,” Mila memberi peringatan.
Aku melepaskan keluhan. Buntu. Pening kepala memikirkan tentang Adib. Namun itu bukan caraku. Menolak cinta Adib lantas tergesa-gesa mencari cinta sendiri. Aku mahu perasaan itu hadir tanpa perlu dicari. Semua berlaku secara semula jadi.
“Nak jatuh cinta bukan perkara mudah. Bukan macam kita pilih barang yang nak dibeli. Bila kita suka tak semestinya kita akan dapat memilikinya,” ujarku meluahkan isi hati.
“Awak terlalu memilih. Selain Adib, ramai lelaki di kampus ini yang boleh dibuat kekasih. Jangan-jangan awak nak juga tunggu lelaki bermata sepet muncul di depan awak. Come onlah Cahaya. Takkan ada lelaki seperti Park Seo Jun di Malaysia ini,” ujar Mila geram. Aku tergelak. Jauhnya tanggapan Mila terhadapku. Tidak pernah terfikir langsung mencari cinta lelaki seiras Park Seo Jun. Buang masa sahaja hendak berangan-angan.
“Orang kata di muka bumi ini ada tujuh orang manusia serupa, tapi percayalah takkan ada orang seperti Park Seo Jun di Malaysia ini,” tegas Mila mengulangi kenyataan itu. Aku tergelak lagi.
“Kalau saya kaya-raya, wang berkepok-kepok dan harta bertimbun, sekarang juga saya pinang Park Seo Jun untuk awak. Berapa saja hantarannya saya sanggup bayar,” ujar Mila. Kali ini gelakku semakin besar.
“Terima kasih, Mila sebab nak pinang PSJ untuk saya,” tuturku menambah perasaan geram Mila. Dia mendengus.
“Nak tunggu anak Maryam dengan Ryzal, sudah pasti tika itu awak dah tua beruban,” tambah Mila membuatkan ketawaku semakin kuat. Sekarang sudah melibatkan pasangan suami isteri durian-kamchi yang tular di media sosial.
“Terima kasih sebab awak dah hilangkan stres saya,” ujarku jujur. Kali ini Mila tersenyum. Ketawa penawar stres.
“Mulai hari ini saya akan berdoa semoga awak bertemu lelaki bermata seperti seperti PSJ, bercinta dan akhirnya bernikah. Tika itu barulah Adib benar-benar melepaskan awak,” ujar Mila menitip doa. Senyap. Aku melepaskan keluhan. Terkenang kepada Adib membuatkan hatiku tidak tenang. Mungkin Adib akan mula menjauh. Aku bakal kehilangan seorang sahabat.
Aku melontar pandangan ke arah kerusi kosong di depanku. Selalunya Adib akan duduk di situ. Sekejap berpaling ke arahku. Kemudian berpaling lagi mengarah pandangan tepat ke wajahku. Tatkala beradu pandangan, Adib akan tersenyum lebar. Perkara ini akan berulang-ulang kali sehingga kelas toturial tamat. Itulah kebiasaan yang akan Adib lakukan tanpa perasaan bosan. Sebaliknya mengundang kemarahan Mila. Mila hilang fokus tatkala Adib tidak boleh duduk diam.
“Hari ini pun Adib tak datang kuliah,” cerita Mila seakan menyedari aku sedang memikirkan tentang pemuda itu. Aku melepaskan keluhan kecil.
“Mungkin dia sakit,” Ada kebimbingan terbit di hati.
“Dia dah cukup dewasa tahulah dia jaga diri,” Mila cuba memadamkan kerisauanku.
“Ya...Adib perlukan masa,” tambahku rasional. Sekebal manapun Adib jika ditolak sedemikian pasti menghancurkan perasaannya. Dia perlu masa untuk bangkit semula. Adib mesti merawat luka itu sendiri. Dia mesti kuat.
Selesai kelas toturial, aku dan Mila segera meninggalkan kelas. Mahu segera mengisi perut. Kemudian kembali ke desasiswa. Mahu berehat secukupnya sebelum menyambung tugasan Encik Syamil. Minggu hadapan merupakan tarikh penghantaran tugasan. Kami perlu menyatukan bahagian masing-masing sedangkan Adib tidak kelihatan sejak dua hari lalu. iPhoneku berdering. Langkahku terhenti. Aku segera mengeluarkannya dari poket beg sandang.
“Harris...,” Nama pemuda ini meniti di bibirku.
“Siapa?” Laju Mila meminta penjelasan.
“Cucu Nek Som,” jelasku. Kutekan punat panggilan diterima.
“Assalamualaikum, Dr. Harris,” sapaku. Kedengaran tawa kecil pemuda itu.
“Dah habis kuliah?” tanyanya.
“Baru saja habis,” jelasku sambil memulakan langkah di sisi Mila.
“Lepas ni nak buat apa?” tanyanya lagi.
“Nak makan dengan kawan,” balasku.
“Jom... saya belanja awak makan. Ajak kawan awak sekali,” arah Harris.
“Macam dekat je nak ajak makan,” tingkahku. Harris ketawa lagi.
“Memang pun dekat. Saya nampak awak pakai baju warna merah. Tudung hitam. Cantik sangat,” ujarnya disusuli dengan gelak. Tepat. Aku memang berbaju merah dan bertudung hitam. Mustahil kebetulan.
“Awak jangan main-main tau,” rungutku tidak suka. Kedengaran tawa pemuda ini. Berbahagia hatinya menyakat aku.
“Kalau betul awak nampak, kawan saya pakai baju warna apa?” tanyaku menguji.
“Serba biru,” jawabnya. Laju aku menoleh ke arah Mila. Mahu memastikan betul-betul. Memang Mila lengkap berpakaian biru hari ini.
“Awak kat mana sekarang?” gesaku ingin tahu.
“Di depan awak,” jelasnya.
“Seriuslah,” pintaku tidak suka terus tercari-cari.
“Saya betul-betul di depan awak. Awak pandang ke seberang,” arahnya. Aku melontar pandangan ke seberang jalan. Tersentak melihat Harris sedang melambai-lambai tangan ke arahku. Aku senyum. Memang benar dia berada di hadapanku sekarang.
“Awak nampak saya tak?” tanyanya.
“Tak...,” balasku berbohong. Harris tergelak lagi. Dia tahu aku berbohong.
“Datang ke sini cepat. Saya tunggu,” ujarnya. Kutamatkan perbualan ini. Aku sudah berjaya menjejaki kelibat Harris.
“Jom... Mila,” Kutarik tangan Mila mengekori langkahku.
“Nak ke mana?” Mila terkebil-kebil tatkala tangannya ditarik. Namun dia akur sahaja.
“Ada orang bermurah hati nak belanja kita makan,” jelasku.
“Siapa? Adib ke?” tanya Mila. Aku geleng kepala. Sekejap lagi aku akan perkenalkan Mila kepada Harris.
“Assalamualaikum...,” sapaku tersenyum memandang Harris. Mila meneliti wajah Harris. Kemudian memandangku.
“Dia bukan Mr. Light,” bisik Mila. Aku tersenyum. Panggilan untuk Rayyan yang dicipta sendiri oleh Mila.
“Ya...bukan,” sahutku berbisik.
“Dr. Harris, saya perkenalkan kawan baik saya... Mila Ardina,” ujarku separa formal.
“Saya Harris,” ujarnya memperkenalkan diri kepada Mila.
“Mila...,” balas Mila.
“Kita gerak sekarang,” ajak Harris. Aku dan Mila mengekori langkah pemuda ini. Mila awal-awal sudah mengambil tempat duduk penumpang belakang. Aku masih setia menjadi penumpang di sebelah pemandu.
“Petang ni ada kelas?” tanya Harris memulakan perbualan sebaik sahaja kereta ini bergerak meninggalkan kawasan kampus.
“Dah habis kelas. Nak fokus buat assignment nanti,” jelasku.
“Dengar assignment terasa rindu pula zaman study,” Harris tersenyum mengimbau kenangan lalu.
“Study di mana?” tanyaku ingin tahu.
“Harvard,” jelasnya.
“Wow...!” Serentak aku dan Mila memberi reaksi kagum. Harris senyum. Universiti nombor satu terbaik dunia dalam bidang perubatan. Hanya insan yang terpilih boleh belajar di situ. Wajib memenuhi standard piawaian yang ditempatkan oleh pihak universiti.
“Universiti yang menempatkan pelajar-pelajar pintar,” pujiku.
“Rezeki saya dapat belajar di situ,” sahut Harris tetap merendah diri.
“Saya membesar di Kota London. Ibu bapa saya menetap di situ. Bila jadi doktor baru saya kembali ke Malaysia,” cerita Harris tentang ringkasan perjalanan hidupnya.
“Awak ni anak Mat Salleh celup ke?” tanyaku. Harris tergelak.
“Ya, ayah orang Melayu, ibu orang Itali,” jelas Harris tidak berselindung tentang identiti dirinya. Orang Melayu ala-ala orang Latin juga. Warna rambut ada yang sama hitam.
“Patutlah wajah awak seiras orang Latin,” komenku mengulas tentang dirinya.
“...dan handsome,” sambung Mila mencelah. Harris tergelak.
“Terima kasih,” ujar Harris atas pujian yang Mila berikan.
“Ahli keluarga Nek Som memang antarabangsa,” tambahku. Harris tergelak lagi.
“Mr. Light tu sepupu awakkan,” teka Mila.
“Mr. Light?” Berkerut dahi Harris. Aku tergelak.
“Maksud dia... Rayyan,” jelasku. Harris tersenyum.
“Ya..., ayah kami adik-beradik,” sahut Harris menjawab pertanyaan Mila.
“Rayyan ada nama lain ke?” tanya Harris janggal. Aku dan Mila ketawa.
“Dia panggil Cahaya Ms. Shining. Jadi saya pun panggil dia Mr. Light,” cerita Mila merungkai persoalan di fikiran pemuda ini.
“Jadi awak pun kenal Rayyan juga,” tanyanya.
“Kenal macam tu je. Kebetulan terserempak Mr. Light dengan girlfriend dia di restoran hari itu,” jelas Mila. Senyap. Wajah gadis itu menjelma di ruang mata Harris. Rayyan tetap setia di sisi Sarah.
“Sarah...,” Harris menyebut nama gadis itu.
“Ya... Sarah. Saya masih ingat nama gadis itu. Kami sempat berkenalan. Cantik orangnya,” pujiku ikhlas. Senyap. Harris tidak memberikan reaksi pada ceritaku. Mungkin dia tidak berminat hendak mengetahui kisah peribadi sepupunya itu. Mereka nampak tidak rapat. Maklumlah Harris membesar di luar negara sedangkan Rayyan tinggal di sini. Betulkah Rayyan lahir dan membesar di Malaysia? Macamlah aku tahu kisah hidup pemuda itu. Pandai-pandai pula aku membuat andaian sendiri.
“Unik dia panggil nama awak. Awak rapat dengan Rayyan?” tanya Harris.
“Hey, takdelah!” Laju aku menafikan. Senyap kembali. Terasa sedikit perubahan tingkahlaku Harris setelah mendengar cerita Mila. Bagai ada kisah di sebalik dirinya, Rayyan dan Sarah. Mungkin cinta tiga segi. Sekali lagi berandaian sendiri.
“Alhamdulillah... kita dah sampai,” suara Harris memecah kesunyian.
“Stop. Awak sudah cukup gentleman di mata saya,” ujarku mengulangi dialog malam itu.
“Jadi saya tak perlu buka pintu untuk girls...,” sambung Harris melengkapkan arahanku. Harris tergelak lagi. Mila tumpang senyum. Kami melangkah beriringan memasuki restoron mewah pilihan Harris. Janggal dan kekok berada di restoran begini. Tidak biasa dengan protokol VIP. Aku dan Mila menyerahkan sepenuhnya kepada Harris untuk memilih menu.
“Awak selalu makan di sini?” tanyaku.
“Tak juga. Tak selesa ke?” tanya Harris. Aku dan Mila tersengih.
“Tempat ini teramat selesa. Tapi kami lebih suka makan di restoran biasa-biasa,” jelasku.
“Ya....betul,” sokong Mila. Harris senyum.
“Takpe... lain kali kita makan di restoran yang kamu suka,” ujar Harris. Aku dan Mila senyum. Bicara pemuda ini begitu menyenangkan.
“Kami ni orang biasa-biasa saja. Makan pun tempat biasa-biasa saja,” jelas Mila.
“Kalian bukan orang biasa tapi insan pembina bangsa,” tingkah Harris.
“Tinggi martabat cikgu ni,” tambah Harris mengangkat martabat guru.
“Kerana guru...lahirnya saya sebagai doktor, kerana guru lahir pemimpin yang menerajui negara, kerana guru lahir usahawan-usahawan yang kaya-raya, kerana guru lahirnya arkitek yang bijaksana melakar pelan bangunan-bangunan pencakar langit mercu tanda negara. Semuanya bermula dari guru,” ujar Harris penuh bersemangat waja. Lagaknya bagai sasterawan negara allahyarham Usman Awang sedang mendeklamasikan sajak ‘Guru Oh Guru’.
“Saya sungguh hormat kepada guru. Jadi kalian harus bangga menjadi guru,” ujar Harris menyatakan pandangannya terhadap guru sekali gus memberi peringatan kepada aku dan Mila.
“Hidup guru...!” tutur Harris bersemangat sambil mengangkat tangan. Aku dan Mila tergelak. Terasa sedang menyambut Hari Kebangsaan.
“Terima kasih. Awak buat kami terharu,” ujarku menghargai pandangan Harris terhadap golongan guru. Tidak lama menunggu, hidangan yang dipesan sampai. Banyak juga menu yang Harris pesan untuk makan tengah hari ini.
“Silalah makan. Jangan malu-malu,” Aku dan Mila hanya senyum. Tatkala Harris melafaz doa, terus sahaja aku dan Mila menadah tangan. Tumpang sekali dengan doa Harris. Kemudian masing-masing memulakan suapan pertama.
“Sedap tak?” Aku mengangguk. Begitu juga Mila.
“Alhamdulillah...,” Harris memanjat kesyukuran. Puas hati dengan reaksi yang kami berikan. Makanan mahal wajib sedap. Baru berbaloi dengan harganya.
“Wajib habiskan ye,” Harris memberi peringatan.
“Banyak sangat menu yang awak pesan ni. Ambil masa nak habiskan semua ni,” jelasku.
“Takpe...ambil seberapa banyak masa yang diperlukan. Hari ini saya cuti,” jelas Harris.
“Oh, saya ingat awak kerja sebelah malam,” Masih teringat dengan kata-kata Harris akan muncul apabila dia kerja syif malam.
“Cuti tak pergi dating dengan girlfriend ke?” tanya Mila mengusik.
“Saya dating dengan cikgu-cikgu sekarang,” balas Harris berseloroh. Aku dan Mila tergelak. Harris tidak mahu membuat sebarang pengakuan tentang status dirinya. Rahsia.
“Lebih seronok dating dengan cikgu dari dating dengan doktor,” tambah Harris melebarkan senyuman aku dan Mila.
“Pandai awak ambil hati cikgu ye,” pujiku. Harris tergelak.
“Oh, ye...hampir saya terlupa,” Harris memandangku.
“Saya terlupa nak minta nombor telefon awak malam tu. Jadi saya minta dari Nek Som tanpa keizinan awak. Sorry,” jelas Harris mensahihkan andaianku.
“It’s okay,” balasku bertenang.
“Oh, awak yang hantar Cahaya balik malam itu. Saya ingatkan Mr. Light,” suara Mila mencelah. Laju aku berpaling menatap Mila. Berdoa mudah-mudahan Mila tidak mengungkit perkara itu. Kalau pecah tembelang pasti mengundang malu di depan Harris. Malu yang berganda-ganda. Berdebar-debar juga menunggu Mila menyambung bicara. Lantas pandanganku sentiasa terikat kepada Mila. Cuba mengawasinya.
“Harris...,” suara perempuan memanggil pemuda ini. Hampir serentak kami berpaling. Sarah dan Rayyan melontar pandangan ke arah kami. Sempat sekilas beradu pandangan dengan Rayyan. Kupandang Harris. Reaksi wajah yang berbeza dipamerkan.
“Mr. Light,” bisik Mila. Sarah melangkah mendekati Harris.
“Saya call awak banyak kali. Kenapa awak tak angkat?” Sarah mengutara pertanyaan. Senyap. Kupandang Harris. Dia hanya mengunci mulut. Terasa tegang.
“Why, Harris?” gesa Sarah meminta penjelasan. Harris masih mengunci rapat mulutnya. Dia membiarkan pertanyaan itu berlalu tanpa penjelasan.
“Sarah..., kita pergi sekarang,” panggil Rayyan mengajak gadis ini beredar dari sini. Sarah statik berdiri di sisi Harris. Tidak berganjak.
“Jawab Harris,” gesa Sarah meminta Harris bersuara. Aku memfokus pandangan kepada Harris. Tidak sampai hati bertentang mata dengan Sarah. Aku simpati dengannya. Lantas aku teringat kepada Adib. Mungkinkah kisah kami sama.
“Mari kita pergi...,” Rayyan mendekati Sarah. Lantas ditarik tangan gadis itu menuruti langkahnya. Laju langkah Rayyan membawa gadis itu beredar menjauhi Harris. Kelibat mereka hilang di sebalik pintu kaca itu. Kedengaran keluhan Harris. Sunyi. Aku dan Mila masih mendiamkan diri. Terkesima dengan kejadian sebentar tadi.
“Maaf... dah siap makan?” suara Harris memecah keheningan.
“Oh, dah...,” laju aku menyahut.
“Boleh kita pergi sekarang?”
“Boleh...,” Hampir serentak aku dan Mila menyahut.
“Jom...saya hantar kamu balik,” ujar Harris. Bingkas aku dan Mila bangun. Kami terus bergerak ke muka pintu. Sebaliknya Harris singgah di kaunter pembayaran untuk melangsaikan bayaran hidangan makan tengah hari ini. Aku dan Mila masih membisu. Tiada perbualan antara kami biarpun berpeluang sementara menanti kedatangan Harris. Aku yakin Mila juga seperti aku terkesima dengan kejadian tadi.
Berbeza sungguh perjalanan balik ini. Sunyi sepi. Masing-masing mendiamkan diri. Tiba-tiba sahaja janggal hendak berbual-bual. Diam yang panjang membuatkan perjalanan ini terlalu lama. Sampai di perkarangan desasiswa, aku dan Mila bersaing mendahului keluar.
“Terima kasih belanja kami makan tadi,” ujarku sambil memandang Haris.
“Terima kasih,” ulang Mila. Harris senyum. Namun wajahnya tidak ceria.
“Saya minta maaf sebab buat kamu tak selesa,” tutur Harris.
“Takdelah, kami okey saja,” sahutku.
“Betul,” sokong Mila. Harris senyum.
“Saya balik dulu. Jumpa lagi,” Aku dan Mila mengangguk. Kemudian memerhatikan kereta BMW yang dipandu oleh Harris meninggalkan perkarangan desasiswa. Mila melepaskan keluhan berat. Bagai baru dapat bernafas dan menghirup udara segar. Aku menatap Mila.
“Awak tak rasa ada sesuatu yang berlaku antara Harris dengan gadis itu?” tanya Mila cuba mengulas kejadian tadi. Aku angkat bahu. Tidak mahu membicarakan perkara itu. Biarlah Harris dengan Sarah menyelesaikan masalah mereka.
“Adib...!” Tiba-tiba Mila melaung nama pemuda itu. Langkahku terhenti lalu berpaling ke arah Mila.
“Adib... tu...,” jelasnya sambil menunding jari ke arah pemuda itu. Aku nampak kelibat Adib. Dia tidak menghiraukan panggilan Mila. Langkahnya laju menjauhi kami. Tidak mampu dikejar. Lantas membiarkan pemuda itu berlalu pergi. Adib belum bersedia hendak bertentang mata denganku.
“Adib nampak kita,” jelas Mila. Aku melepaskan keluhan.
No comments:
Post a Comment