XIV.
Perlahan – lahan kubuka mataku. Rasa sakit kepala yang kutanggung sepanjang berada di sekolah tadi sudah lenyap. Mujur juga aku mampu bertahan. Kalau tidak tentu rugi besar kalau aku terpaksa menelan ubat sekaligus mewajibkan aku qadak puasa. Sesuatu yang agak mencabar apabila terpaksa menahan liur di saat orang lain boleh makan sepuas – puasnya.
Kedengaran bunyi barang – barang berlaga – laga di dapur. Kutoleh jam di meja tepi katilku. Agaknya Lina yang berada di dapur. Bingkas aku bangun lantas melangkah ke dapur. Aku melihat Lina sedang sibuk menyediakan jaudah untuk berbuka.
“Dah bangun kau, Nia” sapanya.
“Emm...”
Aku memandang ke meja. Ada pelbagai jenis bahan ada di situ. Macam banyak sangat menu yang hendak dimasak Lina kejap lagi. Sememangnya Lina pakar dalam bab masak memasak ini. Aku memang bukan tandingannya.
“Banyak kau masak hari ni”
Lina tersenyum lebar. Nampak gembira sangat dia hari ini. Memasak pun begitu bersemangat. Apa mimpi dia hari ini? Semalam aku tengok bukan main lagi lemahnya dia sampai terdampar di sofa di ruang tamu tidak menyempat untuk ke biliknya lagi. Di situlah dia mengalun dengkurannya dengan khusyuk.
“Aku nak suruh budak hantar kat rumah Dennis dan Ustaz Firdaus nanti sebab tu masak lebih sikit” jelasnya tanpa berselindung.
“Emm..... sedekah bulan puasa ni besar pahalanya. Apatah lagi sedekah pada suadara baru” tuturku menyenangkan hati.
“Dennis tu sebut je saudara baru tapi sebenarnya dah lama juga dia Islam” tutur Lina cuba memberi lebih pengertian pada bicaraku sebentar tadi.
Aku terdiam panjang. Sememangnya Lina lebih mengetahui daripadaku. Bukan sesuatu yang aneh insan yang mempunyai hubungan istimewa saling mengetahui antara satu sama lain.
“Dennis pun cakap teringin nak makan semua ni. Kasihan juga dia kalau aku tak masakkan” tambah Lina lagi memanjangkan diamku.
Aku memerhatikan buat seketika gelagat Lina. Memang dia penuh kesungguhan melakukannya. Pasti saja dia mahu Dennis Lee menikmati hidangan yang lazat waktu berbuka nanti. Inilah salah satu cara untuk menambat hati si teruna. Seorang lelaki akan mencari seorang wanita yang pandai memasak untuk menjadi isterinya. Lina memiliki ciri – ciri itu.
“Aku masuk dulu nak solat asar” putusku lalu meninggalkan Lina yang langsung tidak sempat memberi reaksi ke atas bicaraku itu.
Ya Allah, janganlah kau mekarkan perasaan hasad dengki itu dalam diri ini. Kau berikanlah aku rasa keikhlasan dan keredhaan agar aku ikhlas dan redha melihat kebahagiaan orang lain dan tidak terdorang atas hasutan syaitan yang sentiasa mencari peluang memecah - belahkan manusia di muka bumi ini. Ya Allah hapuskanlah perasaan tamak dalam diri ini. Janganlah biarkan perasaanku mencelah antara mereka.Cukuplah hanya Amir Hamzah yang ada dihati ini. Maka dengan itu ya Allah, ya Rabbi engkau satukanlah Dennis Lee dan Lina andai itu jodoh terbaik buat mereka. Amin.
Dennis Lee sudah terpacak di depan pintu menanti kedatangan Lina sambil tersenyum lebar. Nampak tidak sabar – sabar dia ingin berbicara dengan Lina. Sudah semestinya Linalah insan yang sentiasa dinanti – nantikannya.
“Thanks Lina. Sedap betul masakan kau” pujinya melangit membuatkan Lina tersenyum lebar.
Aku menumpang sama turut tersenyum lalu meneruskan langkahku meninggalkan mereka yang sedang berbual – bual. Kucapai buku aktiviti Sejarah Tingkatan 5. Menyelak – nyelak helaian demi helaian cuba mencari soalan yang sesuai dan terbaik untuk diberikan kepada pelajar – pelajar kelasku sebagai kerja rumah mereka cuti nanti.
“Awak nak beri homework kat budak – budak ke? Awak ni memang pandai dera orang, cuti singkat macam tu pun nak bebankan fikiran mereka. Dah ler cuti nak
raya” ada suara menegurku.
Aku mengangkat muka. Dennis Lee sudah terpacak di depan mejaku dengan senyumannya. Kutoleh kiri kanan. Rupanya tinggal kami berdua saja di sini.
“Aku tidak mahu mereka cuti sakan sampai lupakan pelajaran” balasku.
“Sebab itulah Cikgu Elvart Hee sayangkan awak. Awak rajin dan bertanggungjawab” ujarnya lagi.
Aku terdiam mendengar sebaris nama itu keluar dari mulut Dennis Lee. Terasa wajahku panas tiba – tiba. Rupanya dia tidak pernah melupakan Cikgu Elvart Hee. Pasti juga dia masih ingat cinta pertamaku. Dennis Lee juga mesti masih terasa peritnya tamparanku di wajahnya. Aku menatap wajah putih nan bersih itu. Lama.
“Jangan tenung aku macam tu, Deliya” tegurnya.
Aku tersentak lagi. Rasa segan, malu menyelubungi diriku.
“Dennis Lee, maafkan aku atas apa yang berlaku. Habis SPM aku cuba cari kau tapi gagal. Nombor telefon kau pun dah tak aktif. Aku simpati atas kejadian yang menimpa keluarga kau” kali ini baru aku berpeluang meluahkan kepadanya.
Dennis Lee tertawa kecil. Wajahnya nampak ceria.
“Tak sangka kau cari aku juga Deliya. Aku happy mendengarnya”
Diam seketika. Pandangan Dennis Lee tepat ke wajahku membuatkan aku gelisah. Rimas aku diperlakukan sedemikian. Dalam masa yang sama aku tidak mahu Lina fikir yang bukan – bukan. Aku mahu menjaga hati Lina, menjaga persahabatan kami. Aku tidak mahu kisahku dengan Dennis Lee berulang lagi kepadaku dan Lina.
“Tapi lepas tu awak tak cari aku lagi kan, sepertimana aku susah payah jejaki awak selama lapan tahun. Lastly aku temui awak di sini hidup penuh kegembiraan dan awak lupakan aku macam tu saja” tutur Dennis Lee dalam senyuman yang sukar untukku fahami.
Aku tergamam mendengar bicara Dennis Lee. Betulkah aku hidup penuh kegembiraan setelah cinta pertamaku musnah akibat tentangan hebat mama? Bahagiakah aku setelah terpisah dengannya? Selama itu juga aku menyesali dengan apa yang telah berlaku antara aku dengan dia. Aku selamanya dikejar rasa bersalah. Rasa bersalah memperlakukan Dennis Lee sedemikian rupa. Rasa bersalah kerana meminggirkannya semata – mata kerana aku jatuh dengan Cikgu Elvart Lee. Kemudian Amir Hamzah muncul dalam hidupku. Biarpun Amir Hamzah hanyalah cinta mayaku, tapi aku tetap rasa bahagia.Aku dapat rasakan Amir Hamzah sentiasa dekat denganku, setiap detik dia bersamaku.
Bicara Dennis Lee tadi aku lupakan saja dan aku tidak mahu memanjang – manjangkannya. Biarlah yang terjadi tetap berlalu. Aku tidak ingin mengungkitnya lagi.
“Dennis Lee, terima kasih kerana menyelamatkan aku tempoh hari. Aku sering saja lupa untuk mengatakannya” luahku sedikit kesal atas kelewatan ini.
“Kan aku dah pernah cakap kasihmu diterima” balas Dennis Lee tersenyum lalu melangkah meninggalkan aku terpaku untuk sekian kalinya.
Bijak sungguh dia membuai perasaan seorang perempuan. Wahai Dennis Lee sebeginikah dirimu memerangkap perhatian dan menjerat perasaan halus setiap wanita lantas menjaja cintamu pada siapa saja yang ada di depan matamu. Janganlah kau gunakan kesempurnaan anugerah yang kau miliki ini untuk mencairkan hati wanita. Sungguh aku tidak mahu kau jadi sedemikian. Aku seakan tidak mengenali Dennis Lee lagi. Dia sudah tidak seperti dulu lagi.
Aku hanya mampu memerhatikan langkah Dannis Lee di depanku. Kulontarkan kata hatiku bersama aturan langkahnya. Namun tanpa kuduga tiba – tiba saja dia berpaling semula ke arahku. Mata kami bersatu.
“Aku dengar awak dah ada kekasih gelap. Awak masih juga tak berubah – ubah Deliya” suaranya agak sinis dipendengaranku.
Sekelip mata saja Dennis Lee telah mengubah moodku. Terasa panas hatiku mendengar bicaranya itu. Namun pantas saja kupujuk diri meminta diri bersabar saja. Walau apa saja yang difikirkannya sekarang aku langsung tidak peduli. Paling penting aku yakin dengan kata hatiku. Nama Amir Hamzah tidak akan berganjak walau seinci pun dari hatiku. Lantas saja aku mengangguk mengakui bicaranya. Dennis Lee geleng – geleng kepala lalu meninggalkan aku tanpa sebarang bicara lagi.
***********************************************************
Aku sudah siap mengemaskan beberapa helai pakaian yang harus aku bawa balik nanti. Kuzip beg itu setelah tiada keperluan lain lagi yang harus aku simpan di situ lalu meletakkannya ke tepi. Petang ini mama sendiri yang akan datang menjemputku kerana Pak Ali sudah balik kampung bercuti membuat persediaan sebelum kedatangan Aidilfitri. Semua orang akan balik ke tempat asal masing – masing untuk bersama keluarga bagi meraikan sambutan 1 Syawal hanya tinggal beberapa hari saja lagi.
Terdetik nama Dennis Lee difikiranku. Bagaimanakah Syawal yang disambutnya? Sendiriankah dia? Bukankah dia sudah ada Lina yang pasti setia menemaninya. Aku amat yakin Lina tidak akan membiarkannya keseorangan. Lina benar – benar mengambil berat terhadapnya. Dua hari lepas, mereka keluar ke bandar bersama –sama. Lina ada juga menyatakan kepadaku bahawa Dennis Lee telah membeli dua pasang baju melayu warna ungu gelap dan jingga terang. Kedua – dua warna kegemaranku selain warna merah. Ketika itu aku lihat betapa cerianya dia bercerita tentang kekasih hatinya itu. Betapa kacaknya Dennis memakai baju melayu itu nanti. Sayangnya aku tidak berpeluang menyaksikannya.
Daun pintu bilikku diketuk. Lina tersenyum terpacak di situ. Lantas saja aku memintanya melangkah masuk. Sudah lama juga kami tidak berbual panjang. Lina duduk di birai katilku lalu menatap wajahku. Aku dapat rasakan sedikit pelik perangai Lina tika ini.
“Raya dah nak dekat. Aku minta maaf banyak – banyak. Aku pasti sepanjang perkenalan kita aku telah banyak menyinggung perasaan kau. Tolong halalkan segala – galanya” tuturnya sedikit beremosi sambil menggenggam tanganku.
“Aku pun macam tu juga, Lina” pintaku.
Aku dan Lina berpelukan. Betapa banyak salahku pada Lina. Aku seringkali memikirkan tentang kekasihnya. Kalau Lina tahu pasti dia kecewa sangat dengan tindakanku ini. Justeru, aku terpaksa menyimpannya dihati ini. Biarlah menjadi rahsiaku.
Aku dan Lina tertawa sendiri melihat gelagat masing – masing. Terasa lucu pun ada. Pantas saja aku dan Lina mengesat air matanya yang keluar sebentar tadi. Kali ini Lina nampak lebih tenang dari tadi. Dia menatapku lagi. Lama. Sedikit mengundang rasa sangsiku. Aku dapat rasakan bagai ada sesuatu yang terpendam dalam hati Lina, namun tidak terluah.
“Nia....” panggilnya perlahan.
“Kenapa Lina? Cakaplah....” pintaku.
Aku agak gelisah melihat tingkah Lina. Barangkali ada masalah berat yang terpaksa Lina tanggung.
“Apa hubungan kau dengan Dennis sebelum ni? Kamu memang dari dulu saling mengenalikan?” soalan Lina memaku mulutku.
Aku tergamam. Kiranya akulah yang menjadi punca masalah Lina. Berantakankah hubungan Lina dengan Dennis Lee kerana aku? Oh, sungguh aku tidak tega andai diri ini yang menjadi puncanya! Renungan Lina memerangkapku membuatkan aku tidak boleh lari lagi. Perlahan – lahan aku mengangguk.
“Nia, aku mahu kau ikhlas berbicara denganku. Betul ke kau langsung takde perasaan cemburu melihat kemesraan kami?” soal Lina lagi semakin sukar untukku jawab.
“Aku mahu hari ni kita berterus terang segalanya, Nia. Jangan ada apa – apa yang terpendam lagi” tegas Lina setelah melihat aku hanya berdiam.
Persoalannya tadi masih berlegar – legar di kepalaku. Sanggupkah aku menghancur – leburkan hati Lina? Lantas memusnahkan cinta suci Lina. Aku pernah mengalami saat – saat getir itu dan aku dapat rasakan bagaimana peritnya tatkala aku dapat tahu Cikgu Elvart Hee telah bertunang. Bukan mudah untuk aku melupakan keruntuhan cinta pertamaku itu. Mujur Amir Hamzah yang merawat kelukaanku itu. Aku menjalani penyembuhan melalui tinta Amir Hamzah.
“Aku mahu jawapan ikhlas dari hatimu. Aku takkan marah kalau kau berterus terang denganku, malah aku akan lebih menghargainya” pinta Lina memberi jaminan kepadaku.
Betulkah? Atau Lina sekadar berpura – pura saja. Lina memegang erat jari – jemariku. Jelasnya renungannya begitu ikhlas. Perlahan – lahan aku mengangguk. Lina tersenyum senang menatapku.
“Lepas ni pasti kau akan lebih cemburu lagi” ujarnya membuatkan aku tertanya – tanya.
“Nia, setiap yang berlaku itu ada hikmahnya. Kejadian kemalangan yang menimpa kau dan Dennis telah membongkar segala – galanya. Ketika aku menguruskan keperluan Dennis di wad, aku dapat tahu tentang dirinya bukan setakat Dennis Lee bin Abdullah, aku juga ada nampak gambar kamu berdua dalam dompetnya, malah sebenarnya dialah Amir Hamzah, kekasih gelapmu”
“Amir Hamzah?” nama itu meniti di bibirku perlahan – lahan.
“Nia....”
Hampir – hampir saja aku rebah, namun pantas saja tangan Lina memaut tubuhku. Sungguh aku terkesima menerima kenyataan ini. Terasa lemah seluruh anggota badanku. Kenyataan yang benar – benar mengejutkan aku. Lina menyandarkan tubuhku di kepala katil. Segelas air sudah disuakan kepadaku. Aku terus saja meneguknya bersama kalimah bismillahirahmanirahim.
“Kenapa selama ni kau sembunyikan semua ni dari pengetahuanku?” soalku setelah diriku benar – benar tenang.
Lina tersenyum. Dipegangnya lagi tanganku.
“Aku mahu kepastian. Aku nak uji sama ada kau ada perasaan kepada dia” ujar Lina mengusikku.
“Walaupun Dennis tak pernah meluahkannya, tapi aku cukup yakin dia memang menyukai kau melebihi sebagai seorang sahabat. Dari reaksi dia merenung kau, aku dapat rasakan perasaannya. Lihat saja tindakannya tempoh hari. Mana ada orang bertindak sepantas itu kalau bukan didorong rasa sayang dan cinta yang mendalam. Dia memang mahu sentiasa melindungi kau dari sebarang kesakitan” tutur Lina lagi sekaligus membahagiakan hati dan perasaanku..
“Lina, kau tak marahkan aku?” soalku berhati – hati.
“Marah! Aku memang marah sebab kau merahsiakan perkenalan kau dengan Dennis. Sebab tu aku berlagak mesra dengan Dennis di depan kau. Aku nak tengok sejauhmana kau mampu bertahan. Tapi kau terlalu degil, Nia. Aku yang terpaksa mengalah” tuturnya tersenyum.
Aku juga turut senyum sama.
“Amir Hamzah sudah berada di depan matamu sekarang. Apa tunggu lagi. Kali ini kau tak boleh lepaskan dia” nasihat Lina.
Aku tersenyum lagi.
“Terima kasih, Lina”
Lina tersenyum. Dia bingkas bangun dari katilku lalu melangkah ke muka pintu meninggalkan aku sendirian. Seminit kemudian dia menjengukkan semula kepalanya di muka pintu membuatkan aku kehairanan.
“Dennis Lee memang tahu kau adalah rakan facebooknya, tapi dia tidak tahu siapa kekasih gelapmu itu. Aku tak pernah beritahu dia” tambah Lina lagi menyampaikan maklumat yang belum habis diberitahunya tadi.
Kelibat Lina terus hilang. Hanya kedengaran suara kecilnya yang menyanyi – nyanyi riang. Aku tersenyum sendiri. Terima kasih Lina. Allahuakhbar! Allahuakhbar! Allahuakhbar! Maha Berkuasa Allah menetapkan sesuatu kejadian. Ya Allah, sungguh indah suratan yang telah engkau tentukan buatku. Rupanya Amir Hamzah adalah Dennis Lee. Patutlah aku sentiasa merasakan Amir Hamzah sentiasa bersamaku, dekat denganku. Terima kasih Allah!
XV.
Aku melangkah ke dapur. Kelihatan mama sedang sibuk menyiapkan juadah berbuka untuk puasa terakhir pada Ramadhan kali ini. Esok sudah menjelang 1 Syawal. Betapa seronoknya menanti kedatangan esok. Bulan kemenangan buat umat Islam setelah genap sebulan berpuasa.
Terlintas juga difikiranku tentang Amir Hamzah. Di manakah dia beraya pada tahun ini? Tidakkah mama mempelawanya untuk beraya bersama kami. Aku sudah tentu gembira dengan kehadirannya di rumah ini. Mama pun rasanya mengalu – alukan kedatangannya ke sini.
Usai saja berbuka, aku dan mama melangkah ke masjid untuk bersama – sama penghuni taman ini bersolat terawih pada malam terakhir Ramadhan sekaligus bertakbir raya. Menitis lagi air mataku tatkala takbir raya bergema memenuhi ruang – ruang masjid ini. Betapa sedihnya aku melepaskan bulan Ramadhan pergi dan terharunya hatiku tatkala melafazkan takbir raya ini. Sekembalinya kami di rumah, aku menolong mama membuat persediaan terakhir bagi menyambut Aidilfitri. Menurut mama esok ada tetamu istimewa yang akan berkunjung ke rumah ini.
Tetamu yang mama maksudkan adalah anak angkatnya. Lama juga aku berfikir, bila masa pula mama ada anak angkat. Penjelasan mama menerangkan segala – galanya. Sejak aku tinggal di asrama lapan tahun lalu. Kesunyian mama tinggal bersendirian yang membuatkan mama mengambil keputusan untuk mengambil anak angkat itu. Pelik. Sebelum ini mama tidak pernah menceritakannya kepadaku mahupun memperkenalkan anak angkatnya itu kepadaku. Seorang lelaki tapi tidak tahu pula berapa usianya. Aku tidak mahu bertanya lebih – lebih. Sebenarnya rasa cemburu juga melihat kesungguhan mama bercerita tentang anak angkatnya itu. Betapa mama menyenangi anak angkatnya itu dengan kata lain mama juga menyayanginya. Rasa tercabar juga diriku. Kasih mama sudah terbahagi dua. Sebetulnya aku tidak pernah berkongsi kasih mama dengan orang lain.
Telefonku berkelip – kelip tanda ada mesej yang masuk. Mesej daripada Lina yang mendahului sebelum sempat aku menghantar mesej ucapan rayaku untuknya.
~ Biar Kulit Segelap Almond London, Asalkan Hati Sesuci Tat Nenas. Biar Iman Sekental Dodol, Jangan Senipis Rempeyek. Biar Jiwa Selembut Baulu, Asalkan Akhlak Secantik Kek Lapis. Senyumlah Semanis Sirap Agar Lebaran Yang Disambut Lebih Bermakna. Selamat Hari Lebaran Minal Aidil Wal – Faizin. Maaf Zahir & Batin. Jemput ke rumah esok sahabatku! ~
Kemudian berderet – deret mesej masuk ke dalam peti mesejku sampaikan tanganku alah membalasnya. Betul – betul hot line sekarang.Bila ingatkan Amir Hamzah, pantas saja tanganku membuka facebook ku. Aku tersenyum menatap ucapan yang disampaikan oleh Dennis Lee, dengan nama sinonimnya Amir Hamzah.
~ kIRANYA SEBENING AIR WUDHU, SESUCI aL – qURAN, SEMERDU ALUNAN ZIKIR, SEINDAH SOLAT 5 WAKTU, SETENANG HATI YANG TIADA RASA BENCI DAN DENDAM. jIKA TANGAN TIDAK SEMPAT BERJABAT, JIKA WAJAH TIDAK SEMPAT BERTATAP, JIKA KATA TERSALAH TUTUR, JIKA LAKU TERSALAH LAKSANA. bUKALAH PINTU AMPUN DAN MAAF. selamat hari raya aidilfitri, maaf zahir & batin ~
“Nia buat apa tu?”
Mama sudah berada di ambang pintu lalu bergerak melangkah masuk ke bilikku. Mama duduk di birai katil.
“Baca mesej dari kawan – kawan” tuturku sambil mengalih pandanganku kepada mama.
“Boleh kita bincang kejap” pinta mama.
Aku mengangguk lantas kuletak ke tepi laktopku. Aku kembali menatap mama. Sudah bersedia untuk berbicara dengan mama.
“Tadi mama ada cerita tentang anak angkat mama pada Nia kan” ujar mama mengingatkanku.
Aku mengangguk. Namun pengetahuanku tentang dia sedikit sangat. Aku tidak tahu nama atau berapa umurnya selain jantinanya lelaki. Yang aku tahu juga esok dialah tetamu penting mama. Tetamu yang membuatkan mama begitu bersemangat menyediakan pelbagai jaudah.
“Mama suka sangat dan sayang dia sama seperti mama sayangkan Nia. Mama tak mahu kehilangan dia. Mama tahu dia seorang yang baik, yang boleh jaga Nia” tutur mama sedikit menimbulkan rasa iri hatiku.
Mama telah membahagikan kasihnya yang sebahagiannya telah diserahkan kepada anak angkatnya itu. Mama juga sudah menyamakan kasihnya terhadapku senilai kasihnya terhadap anak angkatnya itu.
“Mama ajaklah dia tinggal di sini” cadangku.
Mama tersenyum. Gembira dia mendengar bicaraku.
“Memang niat mama begitu tapi dari segi agama dan adat kita tak membenarkan bukan muhrim tinggal sebumbung. Jadi mama perlukan persetujuan Nia” bicara mama cukup teratur.
“Nia, takde apa – apa halangan. Ajaklah dia tinggal di sini. Kalau mama suka, Nia tak kisah” ulangku jujur.
Kalau sudah mama bahagia dengan kehadiran anak angkatnya itu, aku dengan rela hati mengenepikan perasaanku ini. Aku akan cuba menerima kewujudannya di astana mama ini.
“Betul ke Nia boleh terima dia sebagai jodoh Nia?”
Gedebup! Seakan jantungku terhenti berdegup. Berlawakkah mama? Adakah aku bermimpi? Logikkah bicara mama ini untukku terima? Mama menjodohkan aku dengan anak angkatnya itu. Kalau betul mama terlalu menyayanginya, kenapa bukan mama saja yang mengahwininya. Ingin saja aku luahkan sebegini kepada mama tapi mengingatkan aku adalah anaknya kupendamkan saja bicara itu. Aku tidak ralat menyinggung perasaan mama walaupun tindakan mama itu tidak munasabah.
“Mama tak paksa Nia kalau Nia tak suka. Tapi satu je harapan mama, Nia berkenalanlah dulu dengan dia. Mana tau lepas jumpa dia Nia akan berubah fikiran” cadang mama lebih berdiplomasi sedikit memberi kelegaan kepadaku.
Aku masih ada harapan untuk menolak calon pilihan mama lantas mengikut kehendak hatiku. Terasa lemah tatkala aku memaksa kepalaku mengangguk menyetujui cadangan mama. Mama tersenyum ceria dan berlalu pergi.
Aku menatap kembali ucapan Aidilfitri yang dikirimkan oleh Amir Hamzah di facebook ku. Maafkan aku mama, aku sudah menetapkan pilihan hatiku. Hanya Amir Hamzah saja yang ada di hati ini.
Awal pagi aku sudah bangun bersiap sedia untuk solat raya bersama mama di masjid yang berdekatan. Usai solat dan mengikuti khutbah Aidilfitri serta bertegur sapa sekejap dengan jiran tetangga, mama bergegas balik ke rumah sedangkan aku di belakang mengekorinya dengan langkah longlai. Ringkasnya permintaan mama telah menjejaskan keseronokanku di pagi Syawal ini. Mama begitu beria – ia sangat mengarahkan aku menyiapkan diri. Kucapai baju kurung jingga berbunga putih halus sedondon dengan tudungku. Agaknya hari ini Amir Hamzah juga akan memakai baju melayu jingganya. Terbayang di mataku wajah tampan jejaka Tionghoa kacukan Minaci itu lengkap berbaju melayu memukau mata yang memandangnya.
Ketika aku menuruni anak tangga, mama sudah hampir siap menyusun hidangan di atas meja.
“Wah, cantiknya anak gadis mama!” pujinya ketika baru menyedari kehadiranku di situ.
Mama apa yang aku lakukan sekarang sekadar memenuhi cadangan mama tapi bukan untuk memenuhi permintaan mama, bisik hati kecilku tatkala menatap wajah mama yang sentiasa dihiasi senyuman indahnya. Mama nampak gembira sangat seakan dia sedang menyambut menantu kesayangannya. Betapa mama nampak yakin yang aku akan menerima tetamunya itu sebagai jodohku.
Aku bersandar di sofa. Langsung tidak teruja dengan kedatangan tetamu mama ini. Doa – doa dibatalkan kunjungannya hari ini. Tidak pun kereta dia rosakkah, atau paling mudah tayar kereta dia pancit. Nanti bolehlah aku melarikan diri buat seketika dengan alasan aku mahu beraya di rumah rakan – rakan. Kemudian dia tidak sempat bertemuku kerana adalah mustahil untuknya lama – lama menanti kepulanganku. Tidak pun aku langsung tidak balik kononnya mahu beraya sakan bersama Lina. Bila kufikir balik, alasanku itu kurang konkrit. Aku bukan remaja belasan tahun yang seronok beraya sampai lupa hendak balik rumah.
“Nia, agaknya tetamu mama dah sampai. Tolong buka pintu”
Aku tersentak. Imaginasiku tadi terus lenyap. Mama sedang menatapku. Pantas saja jarinya menunding ke muka pintu. Lambat – lambat aku bangun. Dengan langkah malas dan cukup perlahan aku melangkah mendekati pintu. Berat hatiku mahu membuka pintu ini. Beberapa minit berlalu aku masih terpacak di depan pintu. Ingin saja rasanya aku berlari meninggalkan pintu ini lalu bersembunyi di bilikku.
“Buka ler pintu itu” suara mama mengarahkanku.
Agaknya dari tadi mama memerhatikan gelagatku. Aku tiada pilihan lain lagi selain menuruti perintah mama. Alangkah bahagianya jika yang berdiri di depanku sedetik lagi adalah Amir Hamzah. ‘Kun fayakun’! Apabila Allah mengkehendaki sesuatu, hanya dengan perintahnya: ‘Jadilah’, maka jadilah ia. Sempat juga aku mengingat ayat 82 surah yasin. Bismillahirahmanirahim.... Dengan nama Allah yang Maha Pengasaih lagi Maha Pemurah. Daun pintu kutolak perlahan. Seraut wajah itu tersenyum menatapku. Aku tergamam. Mataku langsung tidak berkelip.
“Assalamualaikum.....”
Salam itu tidak bersambut. Aku masih terpacak di situ tanpa sedikit pun mahu berganjak. Kim Hyeonjung lengkap berbaju melayu jingga sedondon denganku sedang terpacak di depanku saat ini.
“Salam orang kalau tak disambut berdosa”
Aku tersentak. Aku menepuk pipiku. Barulah aku tersedar rupanya yang ada di depanku ini adalah Amir Hamzah insan yang aku nanti – nantikan kehadirannya. Hampir – hampir saja aku melonjak keriangan namun suara mama menyedarkanku. Amir Hamzah melangkah masuk bersama sejambak mawar putih yang segar untukku.
“Terima kasih, Amir Hamzah” tuturku tersenyum bahagia.
Dia menatapku. Barangkali tidak menyangka bahawa aku telah mengetahui dirinya adalah Amir Hamzah.
“Dari awal dah aku beritahu awak, kasih awak diterima” balasnya seperti yang pernah diperkatakannya menambah kebahagiaanku.
Aku menatap wajah mama. Mahu saja aku memeluk mama lantas menyatakan persetujuanku untuk menjadi suri hidup Amir Hamzah. Dalam masa yang sama aku teringat kembali niatku untuk memadankan mama dengan anak angkatnya. Aku tidak rela Amir Hamzah menjadi bapa tiriku. Sungguh tidak rela. Amir Hamzah adalah kekasih akhirku.
Di balkoni ini, ditemani sapaan angin 1 Syawal yang mendamaikan.....
“ Deliya, aku tak kisah menjadi cinta kedua awak. Aku pasti cintaku pada awak melebihi cinta pertama awak. ketahuilah aku menjadi cikgu Sejarah adalah kerana awak” tuturnya serius.
Aku terharu mendengar bicaranya. Tidakkah dia tahu bahawa sedari dahulu sudah aku mencintai Amir Hamzah. Dia menatapku lagi.
“Sudikah awak menjadi suri hidup Dennis Lee bin Abdullah @ Amir Hamzah?” bicara yang kutunggu – tunggu selama ini.
Perlahan – lahan aku mengangguk. Dia tersenyum lantas menadah tangannya penuh kesyukuran.
“Tidakkah kau tahu kekasih gelapku selama ni adalah Amir Hamzah. Aku mencintai dia melebihi cinta pertamaku” kali ini giliranku pula membuat kejutan sekaligus meluahkan isi hatiku tanpa berselindung lagi.
Semakin lebar senyumannya. Dia memandangku dengan penuh kasih sayang. Pastinya hati Dennis Lee bahagia mendengar bicaraku ini. Sesungguhnya aku juga bahagia. Niat hatiku ingin membuat kejutan kepadanya, tapi tidak sangka mama terlebih dahulu membuat kejutan padaku.
“Jom...” ajaknya tiba – tiba.
“Nak ke mana?” soalku hairan.
“Pergi rumah Lina. Hari ni majlis pertunangan dia dengan Ustaz Firdaus” tutur Amir Hamzah mengejutkan aku sekali lagi.
“Sejak bila pula mereka ada hubungan?” soalku ingin tahu.
Amir Hamzah geleng kepala.
“Yang aku tahu Ustaz Firdaus dah terpikat dengan masakan Lina” tutur Amir Hamzah membuatkan kami sama – sama ketawa.
Ya Allah, inilah Syawal yang terindah dalam hidupku. Kau kembalikan Dennis Lee kepadaku. Kau temukan aku dengan Amir Hamzah, kekasih dambaan hatiku. Terima kasih Allah. Terima kasih kerana mencipta suratan terindah buatku.
- Tamat -
8 / 6 / 2011 : 12. 10 am
No comments:
Post a Comment