Bab 11
“Awak balik
sekarang. Tak payah tunggu saya,” tegas Aunie mengarah Azan beredar
meninggalkannya di situ. Azan menatapnya. Berat hati hendak pergi. Namun
kewujudannya di situ tidak diperlukan. Sebaliknya gadis ini hilang tumpuan
kerana tidak senang dia berada di situ.
“Okeylah... saya
tak nak ganggu awak. Kalau awak nak minta saya temankan makan tengah hari
nanti, call saya. Saya sentiasa ada
masa untuk awak,” pesan Azan separuh berbisik sebelum bangkit dari kerusi itu.
Aunie diam sahaja. Tidak sempat memberikan reaksi mahupun memandang ke arah
Azan. Fokus sepenuhnya ke arah buku yang dibaca. Lambat-lambat Azan melangkah ke
pintu meninggalkan Aunie.
Tidak lama Azan
pergi. Belum sampai 10 minit dia duduk kembali di kerusi kosong di sebelah
Aunie . Kehadiran pemuda itu mengganggu fokus pembacaannya.
“Kenapa awak
datang semula ke sini? Kan saya suruh awak balik tadi,” ujar Aunie kurang
senang. Masih tidak mahu mengalih pandangannya daripada buku yang dibaca. Diam.
“Pergilah balik
saya nak duduk lama-lama di sini,” tegas Aunie dengan suara yang ditahan-tahan.
Tidak mahu mengganggu pengunjung perpustakaan yang lain. Semua orang tahu
larangan utama tidak boleh berbuat bising di perpustakaan. Sejak menjejakkan
kaki di alam persekolahan sudah diingatkan perkara ini. Masih senyap. Kali ini
Azan tidak mahu bersuara. Hairan. Perubahan sikap yang drastik memaksa Aunie
berpaling ke sisinya.
“Awak... Apa awak
buat di sini?” Besar anak mata Aunie menatapnya. Terperanjat.
“Nak beli sayur,”
sahut Eymar cuba berlawak sekali gus mengenakan gadis ini. Aunie mencebik. Geram.
Ada sahaja gangguan. Eymar membuka buku yang diambil di rak tadi mahu mula
membaca. Langsung tidak mengendahkan pandangan tajam gadis ini. Tidak kisah
kedatangannya ke situ tidak dialu-alukan. Layanan biasa yang diterima daripada
gadis ini. Aunie tiada kuasa hendak melarangnya duduk di situ. Perpustakaan
kemudahan awam. Semua orang boleh menggunakannya.
“Awak duduklah di
tempat lain,” arah Aunie menghalau pemuda ini dengan suara berbisik. Tidak mahu
Eymar berada di sebelahnya. Dia mahu berada di situ bersama pengunjung
perpustakaan yang lain yang tidak dikenali. Lebih fokus tanpa gangguan.
“Perpustakaan ialah
kemudahan awam yang boleh digunakan oleh sesiapa sahaja,” ujar Eymar
mengeluarkan fakta hujahnya. Dia tersenyum. Aunie mengeluh kecil.
“Awak tengok di
sekeliling ini... Semua tempat dah penuhkan...,” tambah Eymar mengukuhkan
alasan agar dia tidak perlu berganjak dari situ. Aunie mengetap bibir. Cuba
bersabar. Pemuda ini memberikan alasan yang logik sekali gus memadamkan hasrat
hatinya. Dia merancang hendak berpindah tempat duduk jikalau Eymar masih mahu
duduk di sini. Namun tiada tempat kosong. Terpaksalah dia mendera perasaan
sendiri.
“Teruskanlah baca
buku itu. Saya takkan ganggu awak,” ujarnya sambil tersenyum. Dibalas dengan
jelingan tajam Aunie. Lantas menyambung pembacaan yang tergendala sebentar tadi.
Tidak percaya pemuda ini akan mengotakan kata-katanya.
“Duduklah
lama-lama di sini...saya akan temankan awak,” bisik Eymar lalu memulakan
pembacaannya. Aunie menulikan telinga. Tidak mahu membuang masa melayan pemuda
ini berbicara. Jika mereka terus berhujah walaupun dalam nada berbisik akan
mengganggu pengunjung yang lain. Lantas diabaikan kewujudan pemuda di
sebelahnya ini. Cuba berlagak mereka saling tidak mengenali. Pemuda ini juga
fokus pada buku yang dibaca. Maka Aunie masih berasa aman terus bertahan di
situ.
“Polisi yang
nampak cantik atas kertas tetapi gagal diterjemahkan dalam bentuk tindakan,
keadilan yang berat sebelah dan berpihak, keselamatan yang hanya memandang pada
status dan pangkat, prinsip demokrasi yang nampak cantik dalam perlembagaan
tetapi gagal dimanifestasikan secara realiti. Cantik ayat ini,” suara Eymar
berbicara sendiri. Aunie menjelingnya. Walaupun nada suara pemuda ini masih
terkawal namun memintas tumpuannya. Dia terganggu dengan lontaran suara pemuda
ini.
“ Di mana-mana di
seluruh dunia ini, keputusan demi keputusan yang menyusahkan dan membebankan
golongan yang diperintah, setiap tindakan, setiap hukuman, menjadikan rakyat
sasaran sementara yang berkuasa, berharta dan berpangkat kekal hidup bebas dan
bermaharajalela. Awak setuju dengan kenyataan ini?” Eymar mengajukan pertanyaan
kepada Aunie. Mula mengajak gadis ini berbicara lagi.
“Awak nak jadi
pemimpin alaf barukah? Boleh tak awak baca senyap? Baca dalam hati saja” arah
Aunie sinis. Dia menggetap bibir menahan ledakan emosi. Geram. Eymar senyum.
“Impaknya...
rakyat terus terpinggir dan ketinggalan dalam langkah golongan pemerintah
membina kekayaan bagi memuaskan nafsu kapitalisme,” Eymar membuat kesimpulan sekali
gus menjawab pertanyaan sendiri. Tidak mempedulikan arahan gadis ini.
“Saya suka buku
ini. Cetusan karya yang telus,” komennya menyanjungi penulis. Senyap. Tiada
suara Aunie menyahut memberikan reaksi pada komen itu. Aunie menutup buku di
depannya. Bingkas dia bangun.
“Awak dah nak
pergikah?” tanya Eymar terkocoh-kocoh bangun mengekori Aunie. Aunie
mempercepatkan langkahnya. Cuba menjarakkan diri daripada Eymar.
“Jangan ikut saya,”
tegah Aunie tatkala menyedari pemuda ini masih mengekorinya.
“Saya pun nak
pinjam buku juga macam awak,” tingkah Eymar. Tiada alasan Aunie hendak
menghalangnya melangkah sehaluan. Kini mereka sudah memasuki barisan menunggu
giliran menguruskan prosuder peminjaman buku di kaunter.
“Assalamualaikum...,”
sapa Aunie pada gadis yang bertugas di kaunter peminjaman hari ini. Salamnya
disambut. Mereka bertukar senyuman. Aunie meletakkan buku di atas meja lantas menghulurkan
kad pelajar kepada gadis itu. Tiba-tiba sahaja Eymar melangkah setapak ke
hadapan memintasnya. Sepantas kilat buku itu disambar oleh Eymar. Kemudian meletakkan
buku yang berada di tangannya di atas meja kaunter. Berlaku pertukaran buku.
“Cik...scan sekarang buku ini atas namanya
sebagai peminjam. Kami satu group study,”
jelas Eymar dan memberi arahan kepada gadis itu. Kemudian kembali berdiri di
belakang Aunie. Laju Aunie berpaling ke arahnya. Pandangan mereka bersatu.
Tindakan pemuda ini buatnya terkedu.
“Mengapa awak
ambil buku yang saya nak pinjam?” tanya Aunie terkebil-kebil menatap Eymar.
Terkejut dengan tindakan drastik pemuda ini. Wajahnya garang.
“Saya tolong awak
pinjam buku ni. Nanti kita boleh tukar-tukar,” ujar Eymar mengelirukan Aunie.
Dia tidak faham dengan tindakan pemuda ini. Tidak mahu bertegang leher di depan
siswa-siswi yang lain, akhirnya Aunie rela dalam paksa mengarahkan gadis itu
meneruskan prosuder peminjaman buku itu menggunakan namanya. Buku yang mahu
dipinjam oleh Eymar. Tidak mengerti motif pemuda ini menukar-nukar buku itu.
“Terima kasih...,”
ujar Aunie. Laju dia berpaling ke arah Eymar.
“Saya tunggu awak
di luar,” ujarnya serius.
“Ya tunggu saya,”
balas Eymar sambil tersenyum mempamerkan lesung pipit. Sudah bersedia
menghadapi kemurkaan gadis ini. Aunie mendengus lantas meninggalkannya. Bimbang
hilang sabar terus sahaja menerkam pemuda itu lantas mencekik leher dan
mematahkan tulang-temulang Eymar. Dalam keadaan marah, terasa dirinya begitu
gagah dan kuat.
“Pelik betul
perangainya. Suka sangat menyusahkan orang lain,” omel Aunie berbicara sendiri
melempiaskan perasaan geram terhadap pemuda itu. Tidak lama kemudian kelihatan
Eymar melewati pintu utama perpustakaan sambil menghala pandangan ke arahnya.
Senyuman masih menguntum di bibirnya. Mengganda-gandakan kemarahan Aunie.
“Minta buku tu,” pinta Aunie garang tidak mahu
berlengah lagi. Mahu cepat beredar dari situ. Buku yang dipinjam atas namanya
dihempap kasar ke tangan Eymar. Dia memulangkan buku itu kepada Eymar.
“Alamak...
garangnya cik nona manis hoi...!” perlinya mengusik. Dia menghulurkan buku itu.
Pantas disentap kasar oleh Aunie.
“Apa tujuan awak
bersikap kebudak-budakan ni?” Aunie mendengus tidak puas hati. Hatinya membara.
Kesabaran berhadapan dengan kerenah pemuda ini kian tipis.
“Dengan adanya
buku ini kita akan saling terikat,” ujar Eymar tersenyum suka.
“Itu motif awak?”
Aunie mendengus.
“Bukan susahpun
nak kembalikan buku ini ke perpustakaan. Saya tak perlukan kad matrik awak.
Habis saya baca... esok saya hantarlah buku ni,” jelas Aunie membuktikan
dirinya tidak perlu terikat kepada pemuda ini. Mahu meleburkan niat hati Eymar.
“Awak jangan pula
lupa buku yang saya pinjam atas nama awak,” Eymar memberi peringatan penting.
Aunie mendengus. Geram. Dia sudah terperangkap.
“Awak takkan boleh
lari dari saya. Saya ni ambil masa yang lama nak baca sebuah buku. Awak kenalah
banyak bersabar ya...,” ujarnya cuba menenangkan Aunie. Semakin panas hati
Aunie. Penangguhan Eymar akan mengehadkan buku yang boleh dipinjamnya. Lambat
hantar juga dia akan didenda. Paling dia tidak mahu kalau disenaraikan oleh
pihak perpustakaan sebagai peminjam bermasalah.
“Awak ingat saya
akan tunggu awak habis baca buku tu? Jangan fikir saya ni manusia lurus bendul.
Saya laporkan saja buku itu hilang. Ganti dengan wang ... selesai urusan,”
sahut Aunie menjelaskan ada penyelesaian mudah. Eymar tersengih.
“Memang mudah saja
nak bayar denda. Bukan mahal pun harga sebuah buku yang hilang... tetapi awak
harus ingat denda yang lain,” ujar Eymar kembali menyemarak kemarahan Aunie.
Pemuda ini tidak mudah mengalah. Dia ada hujah kukuh dan perancangan teliti
sebelum bertindak. Aunie mengeluh. Dia sudah tersilap tingkah. Bersetuju sahaja
tanpa berfikir panjang. Tidak menyangka pemuda ini punya agenda sejauh ini.
“Awak tak boleh
pinjam buku selama dua minggu. Kemudahan untuk pinjam tiga buah buku ditarik
balik. Hanya layak pinjam sebuah buku saja. Keadaan ini pasti menyukurkan ulat
buku seperti awak. Paling menyedihkan nama disenarai hitam sebagai peminjam
bermasalah. Anugerah yang terpaksa ditanggung sepanjang hayat. Awak dah
bersedia menerima semua ini?” tanya Eymar tersenyum sinis. Aunie mendengus.
Wajahnya merah merona. Dia tidak akan membiarkan dirinya menanggung hukuman
atas kesalahan orang lain.
“Awak ni memang
manusia tak berakhlak. Suka menyusahkan orang lain,” bentak Aunie radang. Dia
sudah terperangkap.
“Saya nak awak
sentiasa cari saya. Selagi buku ini ada pada saya... awak akan selalu
menghubungi saya,” ujar Eymar tersenyum. Aunie mendengus. Sakit hati.
“Awak gembira
menyusahkan orang lain,” keluh Aunie kesal.
“Saya hanya nak
sentiasa bersama awak,” sahut Eymar menyangkal bicara itu.
“Saya hanya kenal
awak kaki samseng yang suka bergaduh, ramai musuh dan seorang yang bermasalah.
Saya tak tahu siapa awak sebenarnya. Mengapa awak selalu muncul di depan saya?
Sekarang awak dah mula menyusahkan saya,” keluh Aunie rimas.
“Saya percaya
takdir yang mempertemukan kita,” sahutnya tenang.
“Cukup...! Saya
tak nak cakap dengan awak lagi,” tegas Aunie lantas memulakan langkah
meninggalkan Eymar. Pemuda itu tidak akan ketandusan idea menjawab setiap
kata-katanya. Ada sahaja alasan yang diberikan. Otaknya ligat berfikir.
“Awak akan datang
cari saya lagi. Percayalah...,” ujar Eymar separuh melaung tanpa menghiraukan
manusia yang lalu-lalang di ruang legar di hadapan perpustakaan itu.
“Saya takkan
bersimpati pada awak,” bisik hati kecil Aunie tatkala terkenang akan coretan
pemuda itu. Percaya kisah itu hanyalah cereka cetusan ilham kreatifnya.
Sepanjang
perjalanan balik itu, Aunie mengomel sendirian memarahi dirinya. Membuak-buak
perasan marah tatkala terbayang senyuman dan wajah tenang pemuda itu. Eymar
begitu kebal. Lain kali dia mesti lebih berhati-hati agar tidak tertipu dan
mudah terperangkap dengan tindakan Eymar.
Hari ini... tatkala
dia menjejakkan kaki masuk ke dalam kelas, dia terpandang senyuman pemuda itu.
Persis kedatangannya sedang ditunggu-tunggu. Langkahnya diperhatikan.
“Hai...,” sapa Eymar
dengan senyuman. Aunie menatap sekilas. Namun tiada sapaan balasan. Jauh sekali
mahu bertukar senyuman dengan pemuda itu. Hairan. Hari ini Eymar datang ke
kelas lebih awal daripadanya. Tindakan yang luar biasa.
“Orang sapa ...
awak buat tak tahu saja,” tegur Era. Aunie berpaling menatap Era.
“Awak seorang
sajalah yang layan orang asing tu,” balas Aunie tidak mahu memanjangkan
perbualan itu. Era tersenyum lebar.
“Apa? Awak panggil
saya orang asing?” Membutang mata Eymar dipanggil sedemikian. Dirinya bagai
nampak berbeza dengan orang lain.
“Awak pandang saya
betul-betul. Muka tampan seperti putera idaman sedunia macam saya ini awak kata
orang asing,” tingkah Eymar meninggi diri. Aunie mencemuh.
“Terlebih perasaan,”
kutuk Aunie disahut dengan gelak Eymar.
“Hey... dia memang
tampanlah,” tingkah Era menyokong pengakuan pemuda ini dengan lengok manja.
Aunie mencebik bibir. Dua kali lima sahaja. Sama padan sama citarasa. Memang
sesuai menjadi kekasih sejoli. Dibalas dengan jelingan Era.
“Sangat sesuai...sangat
padan kalian menjadi kekasih sehati sejiwa,” cemuh Aunie geram. Era tersenyum
lebar. Bicara Aunie membahagiakannya.
“Betul...betul...,”
sahut Era teruja sungguh. Eymar tersengih.
“Nanti saya
belanja awak makan sebab buat pertama kali kata-kata awak menggembirakan saya,”
ujar Era teruja dengan senyuman lebar sehingga ke telinga. Aunie ternganga.
Dalam hati dia mengulangi kata-katanya sebentar tadi. Era dengan Eymar memang
pasangan secocok menjadi kekasih. Sama-sama kebal dan bermuka tembok.
“Saya kasihan pada
awak...,” Kata-kata ini hanya tersimpan di dalam hati. Tidak mahu terlalu kejam
hendak menyinggung perasaan gadis ini.
“Awak mesti jaga
Era dengan baik,” nasihat Aunie lantas bangun. Eymar terkebil-kebil menatap
Aunie beredar pergi. Era di sebelahnya tersenyum panjang. Girangnya hati kerana
cintanya telah mendapat restu Aunie. Bermakna gadis itu tidak ada hati pada
Eymar.
“Saya balik dulu,”
ujar Eymar lantas bergegas ke muka pintu. Era terlopong dan hanya sempat
melihat kelibat pemuda itu sebelum hilang di sebalik pintu. Laju sahaja
langkahnya beredar. Entah apa yang mahu dikejarnya.
“Cepatnya dia
menghilangkan diri...,” keluh Eymar yang sudah kehilangan jejak langkah gadis
itu. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Aunie yang berselindung di
sebalik dinding konkrit itu, perlahan-lahan menjengukkan kepala keluar. Dia
menarik nafas lega tatkala menatap pemuda itu sedang mengorak langkah yang
semakin jauh.
“Hey..., Aunie apa
awak buat tu!” Aunie tersentak. Laju dia berpaling. Berkerut dahi Azan
menatapnya. Hairan.
“Main sorok-sorok
dengan siapa? Macam pengintip pula sembunyi-sembunyi,” komen Azan. Aunie
melepaskan keluhan. Suara Azan menyakitkan halwa pendengarannya.
“Awak ni bisinglah,”
rungutnya dengan wajah masam mencuka menatap Azan. Dipandang Azan dari hujung
kaki sehingga kemuncak kepala. Azan tersenyum panjang dipandang sedemikian.
Cuba mempamer kesegakan dirinya. Bangga.
“Ada perlawanan
bola sepak hari ini?” tanyanya tatkala menatap Azan lengkap berpakaian jersi
dengan sepatu bergigi. Stoking kuning menyala separa lutut. Tampak segak
sebagai pemain bola sepak. Azan mengangguk.
“Awak tak nak
tengok perlawanan ini? Marilah...,” ajak Azan mengharap kehadiran gadis ini
sebagai penyuntik semangat. Mahu mempamer aksi yang terbaik. Aunie berfikir
seketika. Cuba mempertimbangkan ajakan pemuda ini.
“Boleh juga.
Mari...,” sahut Aunie mendahului langkah Azan. Azan tersenyum-senyum sendiri.
Girang hatinya kerana Aunie berminat mahu menyaksikan perlawanan ini. Dia tekad
akan mempamer aksi lincah yang membuatkan gadis ini kagum. Sekurang-kurangnya
mahu Aunie berbangga akan dirinya. Satu teknik juga hendak memikat hati gadis
ini.
“Awak tunggu di
sini sampai permainan tamat. Nanti kita balik sama-sama,” pesan Azan. Aunie
menulikan telinga lalu melabuhkan duduk di kerusi bersama peminat bola yang
lain. Pesanan Azan dibiarkan sepi. Tiada sebarang jaminan yang diberikan.
“Kalau awak tak
nampak saya di sini lagi, tak payah cari saya. Pasti saya dah balik,” ujar
Aunie terlewat memberi respons pada pesanan Azan sebentar tadi. Azan mengeluh
kecil. Kecewa mendengar bicara gadis ini. Akhirnya dia hanya mengangguk dengan
reda. Tidak mampu membantah.
Sepak mula tepat
pada jam 5.00 petang. Pemain-pemain mula beraksi di padang. Pandangan Aunie
sudah pasti terikat pada Azan yang berada pada posisi penyerang utama. Lincah
dan tangkas Azan beraksi. Belum lama permainan dimulakan hampir-hampir sahaja
pemuda itu menjaringkan gol pertama. Namun ketangkasan penjaga gol lawan
menepis bola itu mengecewakan Azan dan penyokong Tiger FC. Aunie mendengus. Tidak puas hati.
“Oh... akhirnya
saya dapat jejaki awak di sini!” suara lelaki menegurnya. Aunie mendongak
pemuda yang sudah terpacak di depannya. Dia tersentak. Eymar sudah melabuhkan
duduk di kerusi kosong di sebelahnya.
“Takde tempat lain
lagi awak nak duduk?” sinis pertanyaan itu keluar dari mulut Aunie. Tidak
senang dengan kemunculan pemuda ini lantas duduk di sisinya. Eymar akan
mengganggu fokusnya terhadap perlawanan bola sepak yang sedang berlangsung.
“Ada... tetapi
awak duduk di sini, jadi saya pun duduk di sini juga,” sahut Eymar bersahaja.
Aunie mendengus.
“Di mana awak
berada...di situlah saya akan muncul,” ujar Eymar tersengih mempamer barisan
giginya yang rata dan tersusun kemas. Putih persis salji.
“Saya tak suka
awak dekat dengan saya,” keras Aunie suara memberi peringatan dalam nada
separuh berbisik. Tidak mahu orang lain menyedari ketegangan perbualan mereka.
Bimbang disalahertikan. Eymar tersenyum.
“Semakin banyak perasaan
tak suka awak pada saya... saya semakin berat hati saya nak jauhi awak,” balas
Eymar separuh berbisik. Aunie berpaling menatap Eymar sambil mengetap bibir.
Geram. Eymar masih tersenyum. Sedar hati Aunie sedang membara sekarang.
“Bisinglah awak
ni. Dari awak asyik membebel di sini lebih baik awak beraksi di tengah padang,”
arah Aunie sudah tidak mampu memberi tumpuan pada perlawanan bola sepak yang
sedang berlangsung itu. Sudah tidak sempat menonton aksi ligat Azan membawa
bola ke hadapan pintu gawang pihak lawan.
“Saya tak pandai
main bola sepak,” sahut Eymar. Aunie tergelak. Kesempatan hendak memperkecilkan
kemampuan pemuda ini sudah terbuka luas.
“Sungguh
mengecewakan darah Latin dalam tubuh awak tak menjadikan awak sehebat Neymar
beraksi di padang. Tak sangka kaki bangku rupa-rupanya awak,” kutuk Aunie
dengan senyuman sinis terukir di bibir. Eymar senyum. Dia tenang sahaja.
“Kalau bola sepak
ini boleh menjadikan kita kawan, saya sanggup mempelajarinya walaupun saya tak
suka sukan yang membuatkan tubuh bermandi-peluh,” keluhnya.
“Oh...sungguh saya
tersentuh mendengar kata-kata awak ini!” sahut Aunie buat-buat teruja. Orang
bersukan hendak mengeluarkan peluh. Tidak tahu pula ada sukan yang tidak
membuatkan orang berpeluh. Getus hati kecil Aunie memperli.
“Cakap awak memang
selalu tak boleh diterima akal,” kutuk Aunie mempertikaikan kelogikan bicara
pemuda ini.
“Semua sukan buat
orang berpeluhlah,” tingkah Aunie membidas fakta pemuda ini.
“Ada... Indoor game seperti dam dan catur. Main
di dalam bilik aircond mana ada peluh,”
balas Eymar. Aunie mendengus. Wajahnya serius dan nampak tidak berpuas hati.
“Diamlah awak...,”
arahnya garang. Eymar tergelak sendiri. Senyap.
“Sweet...,” Aunie berpaling menatap
Eymar. Pemuda ini memang mengganggu tumpuannya terhadap perlawanan bola sepak
yang sedang berlangsung.
“Awak nampak manis
bila marah,” Eymar memuji. Aunie menjeling tajam. Dia tidak akan mudah
terpedaya dengan kata-kata manis pemuda ini. Langsung tidak teruja.
“Boleh tak awak
duduk diam-diam? Tengok pemain-pemain itu kawal bola. Belajar cara sepak dan
tendang bola. Sekurang-kurangnya awak boleh jadi Neymar Malaysia suatu hari
nanti,” getus Aunie geram. Eymar tergelak lagi. Namun kali ini gelaknya panjang.
Bicara Aunie mencuit hati.
“Gol...!”
tiba-tiba sahaja Aunie melaung dan melonjak keriangan bersama penyokong Tiger FC yang lain. Eymar mengalih
pandangan ke padang. Azan sedang menerima ucapan tahniah daripada rakan
sepasukan.
“Kegembiraan awak
telus menyaksikan jaringan itu,” komen Eymar menatap senyuman yang masih
terukir di bibir gadis ini.
“Hanya peminat
fanatik sahaja yang mengetahui perasaan itu,” balas Aunie dengan pandangan
masih terarah di tengah padang menyoroti langkah Azan sambil tersenyum. Memang
dia mengharapkan Tiger FC akan
memenangi perlawanan bola sepak itu.
No comments:
Post a Comment