“Assalamualaikum,” ujarku menyapa Nek Som yang sedang berdiri di muka pintu menyambut kedatanganku. Salamku disahut. Nek Som terus memelukku. Bagai sudah sekian lama tidak bertemu.
“Selamat hari jadi bonda. Semoga bonda sentiasa sihat dan sentiasa dalam lindunganNya,” doaku setulus hati sambil menghulurkan hadiah kepada Nek Som.
“Terima kasih,” ujar Nek Som tersenyum ceria menyambut hadiah yang kuhulurkan.
“Mari masuk,” ajak Nek Som seraya memimpin tanganku melangkah masuk ke dalam rumah bertemu dan bertegur sapa dengan tetamu yang datang pada malam ini. Mujur Kak Tinah ada di sini buat peneman duduk dan bicaraku memandangkan Nek Som menegahku berada di dapur. Aku lebih selesa jika dapat membantu mereka. Namun majlis ini telah diserahkan sepenuhnya kepada pihak yang profesional dalam mengurus bidang masing-masing bagi melicinkan perjalanan majlis. Jadi tiada kerja yang perlu dilakukan lagi. Berada di agam mewah Nek Som hanya sebagai tetamu.
“Acha dan Kak Ros, kenapa tak ikut sekali?” tanyaku.
“Ada kerja yang perlu mereka siapkan,” jelas Kak Tinah.
“Kita plan nak buat surprise untuk bonda di vila nanti,” bisik Kak Tinah tidak mahu didengar oleh Nek Som.
“Setuju,” balasku teruja. Aku lebih seronok dan selesa meraikan ulang tahun Nek Som bersama-sama warga Vila Tautan Kasih. Nek Som ibarat ibu kepada warga Vila Tautan Kasih.
“Mesti datang tau,” pinta Kak Tinah. Aku mengangguk. Tidak sabar mahu membuat kejutan istimewa kepada Nek Som.
“Kamu mesti membuat persembahan nanti,” Besar anak mataku menatap Kak Tinah. Terkejut mendengar permintaannya.
“Persembahan apa Kak Tinah?” soalku laju. Tidak sabar hendak mengetahui cadangan Kak Tinah. Bukan setakat mengejutkan Nek Som malah akupun turut sama terkejut. Surprise betul.
“Kamu menyanyi nanti,” pinta Kak Tinah mengusul cadangan.
“Boleh,” sahutku tanpa berfikir panjang. Tidak menjadi masalah. Sudah hobiku menyanyi. Satu suntikan cara menghiburkan diri. Mungkin sebab ini orang nampak hidupku sentiasa ceria.
“Untuk Nek Som apa saja boleh,” tambahku buat Kak Tinah tersenyum lebar.
“Nanti saya pilih lagu best untuk Nek Som,” janjiku teruja. Bukan sebab teruja hendak mendendangkan suara tetapi pertama kali menyanyi untuk Nek Som. Ini lebih bermakna.
“Mujur Vila Tautan Kasih ada penyanyi sendiri tak perlu nak panggil artis datang buat persembahan,” ujar Kak Tinah yang arif tentang bakat nyanyianku. Aku senyum.
“Kalau ada bajet panggil Dato Awie lagi best,” tambahku memberi cadangan.
“Ni betul-betul nak buat konsert rock kapak ni,” ujar Kak Tinah. Kami ketawa.
“Kan saya peminat nombor satu Dato Awie the legend,” tambahku.
“Tahu...,” ujar Kak Tinah tersenyum. Walaupun aku bukan hidup zaman kemunculan Wings, namun aku boleh menelusur perjalanan karier mereka terutama Dato Awie vokal utama kumpulan Wings daripada media massa terdahulu. Aku jatuh hati mendengar suara padu Dato Awie.
“Nanti akak maklumkan tarikhnya,” ujar Kak Tinah. Aku mengangguk. Tidak sabar-sabar hendak membuat kejutan istimewa buat Nek Som.
“Kalau nak bantuan cakap je kat saya. InsyaAllah saya akan tolong semampunya,” janjiku buatku Kak Tinah tersenyum senang hati.
Alhamdulillah majlis ulang tahun Nek Som berjalan lancar disertai dengan solat berjemaah dan bacaan tahlil untuk arwah Datuk Karel Alias serta ahli keluarga yang telah tiada. Usai menikmati hidangan, Kak Tinah meminta diri. Mahu sahaja Kak Tinah menghantarku balik, namun Nek Som awal-awal mengingatkan aku agar berada di sini sehingga majlis berakhir. Sudah dijanjikan juga ada orang yang akan menghantarku balik nanti setelah pelawaannya mahu aku bermalam di sini kutolak dengan baik. Nek Som pun sungguh gembira malam ini. Lebih bermakna berkongsi hari istimewa ini bersama insan-insan kesayangannya.
“Cahaya..., duduk sini,” panggilan Nek Som singgah di telingaku.
“Maaf... Mak Ton, saya pergi dulu ye,” ujarku terpaksa meninggalkannya menyelesaikan kerja di dapur.
“Tak banyak yang perlu nak dikemas ni. Kamu masuklah ke dalam, Nek Som panggil tu,” tutur Mak Ton meminta aku bergerak meninggalkan dapur.
“Nanti saya tolong Mak Ton,” ujarku serba salah meninggalkannya sendirian menyelesaikan kerja di situ.
“Tak payah. Mak Ton boleh buat sendiri,” sahutnya menolak penawaran pertolonganku. Aku senyum.
“Pasti Nek Som nak kenalkan kamu dengan teruna-teruna di rumah ini. Pergilah...,” arahnya seraya menolak lembut tubuhku agar beredar dari situ. Aku senyum. Penghuni rumah agam ketiga yang kukenali. Mak Ton sudah lama bekerja di sini. Dia pembantu setia Nek Som. Orangnya penuh sifat keibuan. Lemah-lembut dan penuh kasih sayang. Mesti cucu Nek Som manja dengannya. Aku bertandang ke ruang tamu. Tiga orang pemuda bersama Nek Som sedang menanti kedatanganku. Rayyan dan yang selebihnya tidak kukenali. Kekok tatkala jadi perhatian mata yang memandang.
“Duduk sini Cahaya,” pinta Nek Som sambil menunjukkan ruang kosong di sebelahnya. Aku akur lantas melabuhkan duduk di sisi Nek Som menghadap wajah-wajah teruna ini. Pemuda-pemuda yang tidak kukenali ini melemparkan senyuman kepadaku. Tidak sombong. Kecuali Rayyan masih setia dengan wajah statik.
“Nek Som perkenalkan kepada kamu berdua, ini Cahaya... gadis kesayangan Nek Som,” ujar Nek Som memperkenalkan aku kepada cucu-cucunya. Terharu mendengar bicara Nek Som. Insan yang tiada langsung pertalian darah denganku tetapi menganggapku seperti ahli keluarga.
“Rayyan dah kenal Cahaya,” jelas Nek Som. Rayyan memandangku dengan pandangan kosong. Mahal sungguh senyumannya. Suaranya pun berharga. Tidak mudah diperdengarkan kepada sesiapa. Ada juga manusia spesis begini dicipta di muka bumi ini. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui. Setiap ciptaanNya adalah yang terbaik. Kita sebagai hambaNya tidak layak mempersoalkan.
“Saya Zekri. Selamat berkenalan,” sapa anak muda itu memperkenalkan diri dengan senyuman. Aku senyum. Seorang pemuda yang mesra.
“Awak seperti perempuan Melayu terakhir,” tambah Zekri buat aku tergelak kecil. Lucu. Berpenampilan begini menjadikan aku perempuan Melayu terakhir. Barangkali jarang sekali dia bertemu dengan gadis yang berbaju kurung dalam majlis.
“I like...,” tambahnya tanpa berselindung.
“Zekri..., hormat dengan cikgu,” tegur Nek Som bernada gurauan. Pemuda ini senyum.
“Cikgu ye...,” tanya Zekri meminta kepastian.
“Ye... bakal cikgu,” sahutku.
“Assalamualaikum cikgu...,” ujar Zekri. Aku senyum. Sapaannya kubalas.
“Cikgu...impian setiap mak mertua nak dapat menantu cikgu, pandai mendidik anak-anak,” tambah Zekri kali ini mengulas pekerjaanku.
“Nek Som pun nak kalian kahwin dengan cikgu,” ujar Nek Som mencelah meluah hajat hati sekali gus mengundang tawa kami.
“Serius...,” tambah Nek Som. Aku hanya senyum. Ramai guru di muka bumi Malaysia ini. Mudah-mudahan impian Nek Som termakbul.
“Tak payah cari cikgu jauh-jauh. Depan mata ni pun dah cukup sempurna,” ujar Nek Som sambil memandangku. Aku senyum. Pandai Nek Som mengusikku.
“Orang cantik selalunya dah berpunya,” celah pemuda yang belum memperkenalkan diri lagi. Aku tidak tahu nama pemuda ini. Kulitnya secerah kulit Rayyan. Seulas bibir yang merah sering menguntum senyuman. Mudah senyum. Itu beza dirinya dengan Rayyan. Nampak bibir suci. Sama tampan seperti Rayyan. Mesti teman wanitanya juga cantik sepadan dirinya.
“Hati cikgu dah ada orang punya?” tiba-tiba sahaja Zekri melontar pertanyaan itu kepadaku. Semua mata memandang ke arahku. Persis sedang menanti jawapan. Kelu lidah hendak memberi jawapan. Kalau aku berterus terang nanti simpati pula mereka terhadapku sebab tiada jejaka yang sudi melamar hatiku. Kasihannya aku. Kalau aku mengaku sudah berpunya, siapa pula yang akan jadi mangsanya? Adib? Tidak. Aku tidak boleh menggunakan Adib. Dia hanyalah sahabat yang sungguh setia mencurah perasaan kepadaku.
“Jangan nak korek rahsia Cahayalah,” tegah Nek Som menyelamatkan aku.
“Dia dah berpunya,” tiba-tiba sahaja Rayyan bersuara setelah lama berdiam diri. Wajah Adib terus menerpa ruang mataku. Rayyan sudah salah faham tentang hubunganku dengan Adib.
“Betul Cahaya? Selalunya kalau cikgu lebih suka memilih pasangan hidup cikgu juga,” Nek Som meminta kepastian terhadap kenyataan Rayyan. Aku senyum.
“InsyaAllah,” hanya ini yang mampu aku utarakan saat ini. Jawapan yang paling selamat. Aku tidak berbohong kepada mereka dan aku tidak dituduh mempromasikan diri di depan teruna-teruna ini. Bimbang jika ada yang beranggapan sedemikian.
“Alah..., melepaslah kalau macam ni,” keluh Nek Som kecewa. Tidak dapat dijangka perkara yang difikirkan oleh Nek Som.
“Takpe nek. Masih ada peluang sebab Cikgu Cahaya belum jadi isteri orang lagi. Nanti kita pecahkan tradisi cikgu kahwin dengan cikgu,” seloroh Zekri buat Nek Som tersenyum ceria.
“Betul...betul..., “ sokong Nek Som lalu tertawa. Aku dan pemuda itu hanya tersenyum. Rayyan masih tidak berminat dengan topik perbualan.
“Next...jejaka kat tepi sekali tu sila perkenalkan diri,” pinta Nek Som mengusik.
“Assalamualaikum...Harris,” sahutnya memperkenalkan diri. Aduh, sopannya dia! Pemuda ini tersenyum.
“Nama memang Cahaya ye...?” tanyanya meminta kepastian. Mungkin agak unik nama ini di pendengarannya. Terima kasih buat ibu bapaku kerana memberikan aku sebaris nama yang luar biasa. Sebenaranya biasa-biasa sahaja nama ini. Zaman ini banyak sungguh nama yang unik.
“Cahaya Kayyisa...,” ujarku melengkapkan namaku.
“Nice name... secantik orangnya,” puji Harris tanpa berselindung.
“Betul,” sokong Zekri tanpa ragu-ragu. Nek Som tersenyum ceria mendengar pujian itu. Aku pula terasa segan dipuji sedemikian. Ahli keluarga Nek Som memang suka berterus terang. Sempat melirik ke arah Rayyan. Dia membawa diri ke dunia lain. Tidak berminat dengan perbualan ini.
“Sorry, saya minta diri dulu. Nak jumpa kawan,” tiba-tiba sahaja Rayyan bersuara untuk kali kedua lantas bangkit dari sofa.
“Kamu perlu hantar Cahaya balik,” ujar Nek Som menahan kepergiannya.
“Takpe nek, saya hantar Cahaya nanti,” ujar Harris menawarkan diri. Rayyan memandang Harris. Pandangan yang tidak mesra. Kemudian mengalih pandangan ke arah Nek Som semula.
“Saya pergi dulu,” ujarnya lantas beredar pergi. Nek Som mengeluh kecil. Ada perkara yang membebankan dirinya.
“Tak payah risaulah nek. Dia memang macam tu,” ujar Zekri memujuk Nek Som.
“Cahaya jangan hairan. Rayyan memang tak banyak cakap,” jelas Zekri tidak mahu mengundang sangsiku. Aku mengangguk. Cuba memahami kedinginan Rayyan.
“Harris hantar Cahaya balik. Bolehkan...,” Nek Som memandangku.
“Saya okey saja bonda,” sahutku jujur. Sejujurnya aku lebih selesa berada di sebelah Harris yang nampak mesra walau baru mengenali beberapa minit berbanding Rayyan yang diam memanjang. Tidak lama kemudian, aku meminta diri hendak pulang. Tidak mahu Mila menungguku lama. Mahu memberi ruang kepada sesi penghuni rumah agam ini berehat terutama Nek Som. Pasti mereka sudah keletihan. Namun terpaksa membebankan Harris menghantarku balik ke desasiswa. Kini aku sudah berada di sebelah Harris di dalam kereta BMW ini meluncur ke destinasi yang dituju.
“Minta maaflah terpaksa menyusahkan awak hantar saya balik,” tuturku serba salah.
“Taklah. Saya sukarela nak hantar awak balik,” sahut Harris tersenyum.
“Thanks,” ujarku berbesar hati.
“Saya harap awak akan selesa bersama saya,” tambah Harris. Aku senyum. Berbudi bahasa betul cucu Nek Som seorang ini. Zekri ialah pemuda yang telus. Dia luah apa sahaja yang terlintas di fikirannya. Tiada halangan dia hendak berkata-kata. Rayyan ialah pemuda yang pendiam dan suka menyendiri. Sentiasa berwajah statik. Tidak mesra. Serius sungguh. Memanjang diam daripada bersuara. Berbeza-beza perwatakan cucu-cucu Nek Som. Persamaan yang pasti ketiga-tiganya tampan dan memiliki kereta mewah. Aku tersenyum sendiri. Diam-diam rancak buat penilaian awal tentang mereka.
“Awak nak terus balik ke? Kalau tak boleh kita singgah mana-mana... minum kejap,” ujar Harris mempelawaku sambil menatap sekilas jam.
“Takpe. Masih kenyang lagi,” jelasku.
“Kalau kita jumpa lagi, saya belanja awak makan,” tutur Harris berjanji.
“InsyaAllah, musuh jangan dicari, rezeki jangan ditolak,” sahutku berselorah. Harris tertawa.
“Nanti saya check jadual kerja saya. Kalau saya kerja shif malam, saya cari awak,”
“Cari saya?” tanyaku janggal. Harris ketawa.
“Maksud saya muncul di depan awak dan belanja awak makan,” jelasnya lebih terperinci.
“Oh...,” Aku tersenyum.
“Itupun kalau awak free dan sudi,” tambah Harris menjeling sekilas ke arahku.
“InsyaAllah...,” balasku.
“Awak kerja di mana?” tanyaku lebih lanjut.
“Hospital Bukit Kota,” jelasnya.
“Wow..., awak doktor pakar bedah ye!” Aku kagum. Harris hanya senyum. Tepat tekaanku. Hospital khusus menempatkan pakar-pakar bedah bertauliah. Kes-kes berat akan dirujuk di situ. Bertuah dapat berkenalan dengan doktar muda pakar bedah yang berkhidmat di situ. Nek Som pun tidak pernan bercerita tentang perkara ini. Sentiasa merendah diri.
“Kagumlah saya. Muda-muda dah jadi pakar bedah. Awak mesti golongan genius,” pujiku ikhlas. Harris masih senyum.
“Rezeki saya,” sahutnya merendah diri persis Nek Som.
“Pasti kerja awak mencabar. Bertemu ramai pesakit yang bermacam-macam kerenah menuntut kesabaran yang tinggi. Patutlah awak sentiasa kelihatan tenang saja,” ujarku mengaitkan sifat dengan bidang yang diceburinya. Harris sudah terdidik menjadi manusia yang berperwatakan tenang dan menyenangkan orang yang berada di sisinya.
“Masa dan pengalaman akan membentuk diri kita menjadi lebih matang. Matang dan tenang menghadapi kerenah pesakit-pesakit. Paling mencabar berhadapan dengan keluarga pesakit terutama golongan VIP. Tertekan juga bila fikirkan pesakit dan keluarga menggantung harapan tinggi kepada kita,” luahnya.
“Betul. Nyawa terlalu bernilai. Awak telah berusaha sedaya upaya merawat dan menyelamatkan pesakit awak tapi Allah lebih berkuasa menentukan segalanya,” ujarku memahami situasi yang dihadapi oleh doktor. Ajal dan maut agenda Allah. Harris tersenyum. Senang hati mendengar bicara itu.
“Awak tak bercadang nak buka klinik sendiri?” tanyaku.
“InsyaAllah suatu hari nanti. Sekarang saya seronok bekerja dengan orang yang hebat-hebat. Nak timba ilmu secukupnya sebelum mengorak langkah lebih jauh kelak,” jelas Harris pemuda yang berwawasan.
“Mantap,” pujiku seraya menunjukkan ibu jari kepadanya. Harris tertawa.
“Semoga impian awak tercapai suatu hari nanti,” doaku tulus.
“Terima kasih,” balasnya. Kereta BMW yang Harris pandu melewati pondok kawalan keselamatan. Masih tidak melewati jam yang ditetapkan untuk kenderaan luar berada di kawasan kampus. Jadi Harris diberi keizinan untuk menghantarku sehingga ke perkarangan desasiswa.
“Tak perlu... saya keluar sendiri,” tegahku tatkala Harris ingin bangkit dari kerusi pemandu berhajat mahu menguak pintu kereta untukku.
“Awak sudah cukup gentleman di mata saya,” selorohku buat Harris tergelak.
“Really...,” Aku mengangguk menambah lebar senyum pemuda ini.
“Terima kasih banyak-banyak kerana sudi hantar saya balik,” ujarku menghargai jasanya malam ini. Aku selamat kembali ke desasiswa.
“Saya seronok berbual dengan awak dan saya berharap akan jumpa awak lagi,” tutur Harris tanpa berselindung. Aku senyum.
“InsyaAllah. Sayapun senang berbual dengan Doktor Harris,” ujarku terselit gurauan. Harris tertawa.
“Pandu hati-hati. Assalamualaikum...,” ujarku mengakhiri pertemuan itu.
“Waalaikumussalam,” sahut Harris. Perlahan-lahan tanganku menutup daun pintu kereta. Sempat membalas lambaian tangan Harris sebelum kereta BMW biru metalik beredar meninggalkan perkarangan desasiswa. Baru selangkah mendaki anak tangga asrama, kedengaran bunyi mesej diterima. Langkahku mati. Kukeluarkan iPhone dari tas tangan. Mesti Mila tidak sabar-sabar menanti kepulanganku. Kutekan punat iPhone. Silap. Nama Adib yang tertera di dada skrin. Bukan Mila.
~Saya nampak kereta BMW biru hantar awak balik tadi. Cemburunya saya~ Kumasukkan kembali iPhone ke dalam tas tangan. Aku menyambung langkah. Mesej yang Adib hantar langsung tidak menggangguku. Sejujurnya aku mengharapkan Adib masih setia menjadi sahabatku. Tidak lebih dari itu.
Setibanya di bilik, Mila sudah tidur lena. Perlahan-lahan aku melangkah masuk ke bilik. Tidak mahu mengganggu lena Mila. Usai menukar pakaian, aku melangkah ke bilik air. Sepuluh minit kemudian aku sudah siap sedia membaringkan diri di atas tilam. Mahu beradu lena dengan Mila. Skrin iPhone yang berada dalam mod senyap menyala menandakan ada mesej baru diterima. Kucapai iPhone. Mungkin mesej dari Adib lagi. Laju tanganku menekan butang ikon whatsApp. Silap lagi.
~Semoga awak mendapat mimpi yang indah malam ini, - Harris~ Tersentak. Cepat Harris dapat nombor iPhoneku. Wajah Nek Som terus menerpaku. Aku tidak pernah memberikan nombor iPhone ini kepada pemuda itu. Tidak sangka secepat ini Harris akan menghantar mesej kepadaku.
“Diakah lelaki yang Allah utuskan menjadi imamku?” bisikku berbicara sendirian. Aku tergelak. Laju tanganku menepuk kepala. Jauh sungguh aku berimaginasi. Buat malu sahaja.
“Dr. Harris dah ada teman wanita yang elegan dan berjaya seperti dirinya. Lelaki sehebatnya sudah pasti menjadi rebutan ramai gadis,” tuturku berandaian sendiri.
“Awak cakap dengan siapa tu?” sayup-sayup suara Mila mencelah. Laju tanganku menutup mulut sambil melontar pandangan ke arah Mila. Matanya masih tertutup rapat. Mujur dia masih tidur. Lantas kubalas mesej Harris dengan emoji senyum. Kuletak iPhone di atas meja di tepi katil. Aku memejamkan mata rapat-rapat. Semoga malam ini dapat bermimpi wajah kacak Park Seo Jun. Mata terpejam dengan senyuman menguntum. Lawak. Kalau betul dapat mimpi bersama Park Seo Jun aku tidak mahu bangun tidur esok.
No comments:
Post a Comment