Wednesday, 8 June 2011

GuruKu CintaKu.... Cikgu Itu Kekasihku....1






~ GuruKu CintaKu.....
Cikgu Itu KekasihKu.. ~


                                                                                                                                                                                                I.             

“Hoi, tak pernah tengok orang ke?”
Aku tersentak dengan tamparan yang singgah di bahuku. Terasa begitu perit. Segera aku berpaling. Seraut wajah milik insan yang bernama Dennis Lee tersenyum lebar menatapku. Mamat Tionghoa kacukan Minaci ini sudah melabuhkan  punggung di sisiku sambil melontar pandangan menyoroti terjahan mataku.
“Suka betul aku tengok muka cikgu tu. Kacak dan tampan” luahku berbicara sinonim.
“Teruk ler awak ni. Tengok cikgu tu macam terkeluar je biji mata awak tu. Nampak hodoh sangat. Ha... ha.... ha....” kutuknya tanpa berselindung.
Pandanganku tidak berganjak dari seraut wajah itu tanpa disedarinya biarpun dari kejauhan. Langsung tidak terganggu dengan kutukan yang singgah di telingaku sebentar tadi. Sungguh perlian sedemikian tidak berbekas di hatiku. Hatiku telah terpaut pada ketampanan Cikgu Elvart Hee, guru muda yang baru 10 bulan ditugaskan di sekolah ini. Kebetulan pula dia guru Sejarah yang mengajar kelasku. Seingat aku dialah guru Tionghoa pertama yang mengajar aku subjek penyuntik patriotisme ini. Selama empat tahun lepas hanya guru sebangsaku yang berminat dan berkebolehan mengajar subjek ini. Maka inilah yang menjadi kebanggaan buatku.
“Apakah faktor – faktor yang telah mendorong penentangan masyarakat tempatan terhadap Sistem Residen di Tanah Melayu?” lantang suara Cikgu Elvart Hee berkumandang memenuhi ruang – ruang legar kelas ini.
Cukup fasih dia berbahasa Melayu. Laju aku angkat tangan mendahului teman – teman yang lain.
“Ya Nia sila jawab”
Rasa bahagia hatiku tatkala mendengar dia menyebut sebaris namaku itu.
“Faktor – faktor penentangan Sistem Residen di Tanah Melayu adalah berpunca daripada hak mengutip cukai yang selama ini di bawah kuasa pembesar – pembesar Melayu tempatan telah diambilalih oleh pihak British. Di samping itu, penghapusan sistem hamba dan kegagalan Residen – Residen British memahami adat istiadat orang Melayu. Contohnya, mereka memasuki rumah orang Melayu tanpa menanggalkan kasut atau sebarang alas kaki sehingga menimbulkan kemarahan dalam kalangan orang Melayu. Situasi ini menampakkan seolah – olah pegawai – pegawai British yang dilantik tidak menghormati adat istiadat orang Melayu” jawabku panjang lebar dengan penuh yakin.
“Wow, bagus..... bagus! Jawapan yang tepat dan cukup lengkap”
Kembang mekar hatiku mendengar pujian melangit Cikgu Elvart Hee. Betapa bernilai dan bermaknanya pujian itu buatku.
“Kembang kucup hidung awak dapat pujian tu” bisik Dennis Lee memerliku sambil mencebik bibir kepadaku.
Aku masih tersenyum. Senyuman memikat Cikgu Elvart Hee masih bermain di mataku. Pujian cikgu kacak ini masih terngiang – ngiang di telingaku. Alahai....., dalam diam aku benar – benar terpikat kepada dia!
“Apa kesan kemuncak daripada pelaksanaan Sistem Residen?”
Soalan Cikgu Elvart Hee berlegar – legar di awangan kelas. Aku menahan diri daripada menjawab soalan itu. Cuba memberi peluang kepada rakan – rakan. Kalau ikutkan hati, mahu saja aku angkat tangan menjawabnya. Mujur juga aku masih mampu membuat pertimbangan sekaligus menyembunyikan rasa terujaku mengikuti kelas cikgu pujaan hatiku ini.
Senyap. Tiada tanda – tanda seorang pun berhajat untuk menjawab persoalan itu. Dennis Lee menatapku lalu memberikan isyarat menyuruh aku menjawabnya. Sesaat kemudian semua pandangan rakan – rakan dilontar kepadaku.
“Nia boleh jawab?” suara Cikgu Elvart Hee kembali mengundang keterujaanku. Maka hatiku berikrar tidak akan membiarkan soalan itu berlalu tanpa jawapan. Pasti aku tidak akan menghampakan permintaan pujaan dambaan hatiku ini. Aku melawan tatapan Cikgu Elvart Hee. Aku terpukau seketika.
“Deliya, cepat jawab”
Dennis Lee menguis tanganku sekaligus menghancur leburkan khayalan indahku yang baru saja hendak berputik. Kacau betullah mamat Tionghoa ini!
“Saya cuba ye, cikgu” tuturku lemah lembut mengawal suaraku seraya bangun. Dennis Lee memeluk tubuhnya yang dibuat – buat bergetar – getar menahan loya. Biasalah tu,  sebenarnya dia jealous. Cikgu Elvart Hee senyum lagi menambat keterpautan hatiku kepadanya.
“Kemuncaknya adalah pembunuhan Residen J.W.W. Birch yang merupakan Residen pertama British di Perak. Dato’ Maharaja Lela bersama – sama dengan pembesar tempatan telah merancang membunuh Birch. Akhirnya, Birch mati dibunuh di Pasar Salak oleh Seputum, orang suruhan Dato’ Maharaja Lela pada tahun 1875, ketika Residen British itu sedang mandi di sebatang sungai di Pasir Salak. Akibatnya pada tahun 1877, Dato’ Maharaja Lela ditangkap dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Matang” jawabku penuh yakin.
“Ohh, bagus ..... bagus...!” puji Cikgu Elvart Hee seraya bertepuk tangan.
Bertambah – tambah berbunga riang hatiku melihat reaksi Cikgu Elvart Hee menerima jawapanku sedemikian rupa. Tahu kenapa aku boleh menjawab soalan itu dengan penuh yakin? Jom aku ceritakan seringkasnya. Sebelum kewujudan cikgu pujaan hatiku di sekolah ini, tahap kesukaanku pada subjek Sejarah ini tidak boleh dikatakan pada tahap sederhana. Paling tepat tidak konsisten kerana adakalanya lulus, ada tikanya gagal memanjang. Aku mula bermotivasi untuk belajar mencintai subjek ini setelah hatiku terpaut pada cikgu Sejarahku yang kacak ini. Dengan niat azali, penonjolan diri melalui kebijaksanaan dan kepintaran menguasai subjek ini, bisa menarik perhatian cikgu muda ini terhadap kewujudanku dalam kelas Sejarahnya.
Aku mahu mencatat markah Sejarah tertinggi antara tingkatan. Biar Cikgu Elvart Hee berbangga dengan kecemerlanganku sekaligus membuktikan dirinya bijak mengajarku. Walaupun hakikatnya 90% kejayaan adalah hasil usahaku dan hanya 10% atas bimbingannya. Ternyata strategi yang aku gunakan berhasil. Namun kecintaanku terhadap subjek Sejarah adalah disebabkan oleh Cikgu Elvart Hee. Dialah sumber inspirasiku. Pastinya, aku sentiasa tekun membuat persediaan sebelum berlangsungnya kelas Sejarah.


                                                                                                                                                                                             II.             

Pandangan mama dari rekod kemajuan pelajaran beralih ke wajahku. Tiada sekelumit pun senyuman. Biarpun ada A tunggal yang aku peroleh untuk exam kali ini. Betapa aku telah berusaha berganda – ganda untuk mendapatkan A yang cemerlang itu. Betul ke aku bersungguh – sungguh untuk semua subjek? Rasanya tidak ler he....he....he....he.....
“Tiada kemajuan langsung” tegas saja suara mama meluah rasa tidak puas hatinya terhadap pencapaianku itu.
Ditatapnya lagi paparan rekod kemajuan pelajar yang masih terbentang luas di tangannya. Mama geleng – geleng kepala. Jelas mama tidak dapat menerima hakikat bahawa sedemikianlah keputusan anak gadis kacukan peguam dan pensyarah. Agaknya mama sudah merencanakan bahawa aku akan lebih berIQ tinggi memandangkan latar belakang mereka yang merupakan golongan ilmuwan yang memiliki keintelektualan yang tinggi.
“Tapi result tu ada A juga mama” pujukku.
“Satu je A. Yang lain mana A nya? Asyik – asyik History je yang A”
“Syukur ler tu mama” balasku cuba menyenangkan hati mama.
Aku tersenyum sendiri. Syukur, aku masih mampu mempertahankan Sejarahku A. Bukan sedikit aku berusaha untuk mendapatkan A tunggal itu. Sungguh Cikgu Elvart Hee penyuntik semangatku.
“Okey ler tu. Sekurang – kurangnya Nia boleh jadi peguam. Usaha sikit lagi, pencapaian bahasa Inggeris ini boleh ditingkatkan lagi” tutur mama cuba lebih berdiplomasi.
“Nia tak nak jadi peguam” laju aku memintas bicara mama.
Aku tidak terfikir untuk mengikut jejak mama. Cukuplah mama ada firma guaman sendiri. Cita – citaku ini tidaklah setinggi impian mama.
“Habis tu Nia nak jadi apa?” soal mama ingin tahu.
Aku tersenyum lebar. Perlukah aku beritahu mama? Rasanya tidak perlulah untuk sementara waktu ini.
“Nak ikut jejak langkah arwah abah ke?” soal mama lagi.
Aku geleng kepala. Karier ini memang sama sifat seperti pensyarah, tetapi pensyarah lebih tinggi levalnya.
“Kemudian ler Nia fikirkan” putusku menamatkan persoalan yang bermain di minda mama.
“Mulai dari sekarang, Nia mesti fikirkan cita – cita sendiri supaya Nia ada hala tuju, ada matlamat yang hendak dicapai. Justeru, Nia ada motivasi untuk majukan diri demi merealisasikan cita – cita itu” hujah mama petah seperti dia berhujah ketika mengendalikan kes di mahkamah.
Aku menatap wajah mama. Ada kesungguhan terpamer di situ. Pastinya mama juga seperti ibu – ibu yang lain ingin melihat kejayaan anak – anaknya dalam hidup ini. Apatah lagi hanya aku satu – satunya anak mama, lambang cintanya dengan abah. Aku tahu jauh di sudut hati mama, dia ingin benar aku mewarisi kejayaannya sekaligus menguruskan empayar firma guamannya pada masa depan. Maafkan aku mama. Rasanya aku tidak boleh jadi peguam seperti mama.
“Nia, Cikgu Elvart Hee nak jumpa kau” suara Siti mengutus pesanannya.
Sepantas kilat aku berpaling.
“Dia suruh kau jumpa dia kat bilik guru” tambah Siti.
Aku terus saja mengatur langkah berhajat untuk pergi ke bilik guru. Sesaat pun tidak akan kutangguhkan.
“Hoi, Deliya, awak nak pergi mana tu!”
Oppss! Langkahku mati. Aku berpaling ke belakang. Dennis Lee sedang tercengang – cengang menatapku sambil menayangkan dua bungkus nasi lemak kepadaku. Alahai....., aku lupa yang sebenarnya sebentar tadi aku bersama mamat ini.
“Kau makan dulu ye. Aku nak jumpa Cikgu Elvart Hee sekarang” beritahuku lalu berpaling semula untuk menyambung langkahku.
Perutku yang kelaparan tadi, tiba – tiba jadi kenyang. Nama Cikgu Elvart Hee betul – betul ada magik. Boleh jadi penawar buat diriku.
“Come here, my dear my best student” panggil Cikgu Elvart Hee ceria dan mesra sebaik saja aku menapak di bilik guru dalam beberapa langkah jaraknya dari tempat duduknya.
Aduhai......, macam tidak berpijak di bumi nyata aku dipanggil sedemikian. Suaranya cukup lunak dan romantis. Aku dibuai perasaan.
“Cikgu Aminah, ini dia pelajar kesayangan saya, Nia Deliya. Saya mahu dia jadi wakil sekolah untuk kuiz Sejarah tu nanti” tuturnya buat jiwaku melayang – layang di awangan dengan bahagiannya.
Perkataan ‘kesayangan saya’ itu saja yang melekat di halwa pendengaranku lalu terngiang – ngiang ditelingaku. Aku diperkenalkan kepada Cikgu Aminah, seorang guru baru yang mengajar subjek Sejarah di kelas sebelah kelas kami. Tentu dia belum cukup mengenali aku yang merupakan pelajar pintar Sejarah di sekolah ini. Aku dan Cikgu Aminah bertukar senyuman. Cantik juga cikgu ini. Sedikit sebanyak aku rasa tergugat dengan kewujudannya. Apatah lagi Cikgu Elvart Hee tampak mesra dengannya. Aduh..... sabarlah hati! Aku memujuk diri.
Mereka merupakan rakan sekerja, sudah semestinya hubungan mereka mesra. Cikgu Elvart Hee pun memang terkenal dengan sikapnya yang peramah. Aku cuba memujuk hati dari terus bergolak. Aduhai, cikgu pujaan hati, pengarang jatung, janganlah kau deraku aku sebegini!
“Saya yakin awak takkan mengecewakan saya” ujar Cikgu Elvart Hee serius.
Aku melawan pandangan Cikgu Elvart Hee yang menusuk ke hatiku. Aku menyambut sesuatu yang dihulurkannya kepadaku. Sebentuk cincin berlian tersemat dalam kotak baldu merah hati tanda cinta yang tersemi berapi – api.
“Nia..... Nia Deliya!”
Aku tersentak. Cikgu Elvart Hee dan Cikgu Aminah sedang memandangku.
“Are you okey?” suara Cikgu Elvart Hee mengusir aku dari dunia khayalan yang panjang sekaligus mengembalikan aku ke dunia nyata.
Aku menatap sesuatu di tangan Cikgu Elvart Hee yang masih berada di awangan menunggu sambutan tanganku. Ohh, bukan cincin berlian tetapi hanyalah beberapa helaian kertas A4! Aku garu – garu kepala sambil tersengih panjang. Kalaulah aku ceritakan khayalanku ini kepada Dennis Lee, pasti berbakul – bakul kutukan pedas dihadiahkan kepadaku. Parah! Parah!
“Balik rumah isi borang ni dan minta tandatangan kebenaran daripada ibu awak. Esok awak hantar semula borang ini kepada saya” terang Cikgu Elvart Hee.
Aku hanya mengangguk. Esok borang ini mesti dihantar kepada Cikgu Elvart Hee. Bermakna esok aku berpeluang bertemu dengannya lagi. Bestnya.....tidak sabar aku hendak menanti kemunculan esok. Kemaruknya aku dengan cikgu kacak ini!

                                                                                                                          III.         

“Mama jangan risau, kalau kerana cikgu seorang ni, pasti Nia akan buat betul – betul. Nia yakin group Nia akan johan dalam kuiz tu nanti” tuturku serius dengan semangat berkobar – kobar.
“What?”
Mama sedang menatapku. Alamak, aku terlepas bicara pula! Deria telinga mama cukup teliti. Pasti bicaraku sebentar tadi sudah diproses sepantas kilat oleh minda mama. Otak bergeliga mama memang sentiasa bekerja.
“Cikgu Sejarah Nia ni memang pandai mengajar. Mudah je nak faham. Dia ada bagi tip – tip cara nak jawab soalan kuiz tu” tuturku memberi penjelasan lebih detail agar tidak timbul sebarang prasangka mama.
“Kalau macam tu suruh ler cikgu tu ajar Nia semua subjek agar semua dapat A” tingkah mama seakan menyindirku.
Aku tersenyum sendiri. Alangkah bahagianya andai bicara mama suatu kenyataan. Tidak perlulah aku memendam rindu untuk menatap seraut wajah kacak itu. Ketika itu juga aku pasti bertungkus – lumus untuk menguasai semua subjek kerana aku tidak mahu mengecewakan cikgu pujaan hati pengarang jantungku itu. Sesungguhnya kejayaan dan kecemerlangan pelajar merupakan kebanggaan seorang guru. 
“Jom balik” suara Dennis Lee memecah kesepian.
Aku melirik jam ditanganku. Masih awal lagi. Kemudian pandanganku beralih semula pada dada buku Sejarah yang sarat dengan maklumat – maklumat penting yang perlu aku simpan dalam memori ingatanku.
“Aku nak habiskan baca bab ni. Kau balik ler dulu” arahku.
Tinggal aku dan Dennis Lee saja yang berada di dalam kelas ini. Teman – teman yang lain sejam yang lalu sudah balik. Dennis Lee masih tidak berganjak dari tempat duduknya di depanku ini. Begitu setia menemaniku tanpa dipinta.
“Nampak bersungguh – sungguh awak demi Cikgu Elvart Hee tu” tuturnya  tersengih menatapku.
“Sudah semestinya. Sebab pertama memang disebabkan Cikgu Elvart Hee. Kedua, sebagai wakil sekolah aku membawa amanah yang besar untuk mengangkat maruah sekolah di khalayak umum” tuturku bersungguh – sungguh.
“Wah, caya ler dengan awak!” tuturnya seolah – olah kagum dengan semangat membaraku.
“Awak minat sangat dengan Cikgu Elvart Hee ye” komennya.
Aku mengangguk. Semua rakan sekelas tahu yang aku minat dengan cikgu muda itu. Namun setakat mana kesukaanku kepada cikgu itu, semuanya di luar pengetahuan mereka. Hanya aku saja yang tahu.
“Awak menyukai dia melebihi sepatutnya kan?” duga Dennis Lee lagi.
“Melebihi sepatutnya?” kuulang semula perkataan itu.
Terasa janggal aku mendengarkannya. Dari bicara ini nampak sangat perbuatku itu merupakan satu kesalahan dan sepatutnya tidak boleh dilakukan. Salahkah berkasih sayang sesama insan di alam fana ini? Statusku inikah yang jadi penghalang untuk aku menyemai perasaan kasihku kepada seorang guru melebihi kasih pelajar – pelajar lain. Sungguh aku tidak mampu mengawal perasaanku ini.
“Awak sukakan Cikgu Elvart Hee bukan seperti seorang pelajar sukakan gurunya, tapi awak menyukai dia ibarat seorang kekasih memuja kekasihnya” luah Dennis Lee tanpa berselindung lagi.
Bicaranya sudah tidak berkias – kias lagi. Semuanya terang dan jelas. Aku menatap wajahnya. Aku tidak menduga yang dia sebegitu jauh mampu menyelami gelodok perasaanku.
“Kenapa awak suka sangat dengan cikgu tu? Agaknya awak ni suka tengok cite Hong Kong dan Korea. Cikgu tu kan  meniru gaya aktor sana” ujarnya bersoal – jawab sendiri lengkap dengan andaiannya sekali.
Terbayang di mataku rambut keperangan Cikgu Elvart Hee yang lurus mencecah bahu, panjang sedikit di depannya lalu disikat penuh gaya. Cukup sepadan dengan cara berpakaiannya. Agaknya dia ikut trend fesyen dari Korea seperti yang Dennis Lee katakan.
“Bila tengok muka dia aku dapat rasakan ada satu perasaan luar biasa yang indah. Bila jumpa cikgu tu, aku rasa happy sangat” luahku tanpa segan silu.
“Ni dah kes berat ni. Awak  sedang dilamun cinta. Wahai, sahabatku segera engkau sedar dari mimpi – mimpi yang indah ni! Sesungguhnya, engkau sedang dibuai perasaan yang boleh membawa kemudaratan diri” ujar Dennis Lee seakan – akan orang yang sedang berfirman dalam hadis.
Bicara Dennis Lee sememangnya tepat. Dalam diam aku telah jatuh cinta kepada cikgu itu. Aduh, dahsyatnya! Kalau semua ini sampai ke pengetahuan mama, pasti dia akan mengamuk besar. Aku tidak dapat menjangka reaksi yang bakal mama tunjukkan. Silap – silap pertimbangan mahu dibunuhnya aku.
“Aku rasa aku memang telah jatuh cinta dengan Cikgu Elvart Hee. Ini ler cinta pertamaku” tuturku bersahaja tetapi cukup bermakna dalam diriku.
“First Love?” soalnya Dennis Lee semula.
Aku mengangguk. Aku fikir sekejap lagi perlian pedas Dennis Lee akan dilemparkan kepadaku seperti kelazimannya. Sesaat, seminit, sekejap lagi, tatkala aku melihat mulutnya sudah terkuak untuk bersuara.
“Kenapa kau tak boleh jatuh cinta kat aku sedangkan aku tidak jauh bezanya dengan Cikgu Elvart Hee, nama pun hampir  sama. Cuma kulitku tidak seputih kulitnya. Kalau diamati betul – betul aku lebih handsome daripada dia. Tengok je sepasang mataku yang tajam  dan bulu mata yang melentik ni. Ramai gadis yang kirim salam kat mataku ni tau” ujarnya berjela – jela mempromosi diri sekaligus memesongkan sangkaanku.
Aku tertawa besar mendengar bicaranya itu. Pandai pula dia berlawak. Sememangnya bicaranya berasas. Dia bolehlah dikategorikan lelaki tampan hasil perkahwinan kacukan Cina – India. Namun hatiku tiada untuknya. Keakraban kami adalah atas dasar persahabatan.  
“Awak boleh ke kahwin dengan gadis Melayu?” soalku mengusik.
Setahuku keluarganya berpegang teguh  pada agama nenek moyangnya. Dennis Lee pun boleh dikira sebagai penganut yang setia. Kebetulan pula dia anak tunggal sepertiku. Soalanku tidak dijawab. Dia hanya tersenyum.
“Cikgu Elvart Hee tu nak ke juga kahwin dengan gadis Melayu?” soal Dennis  Lee buat aku terdiam seketika.
Tidak pernah pula soalan itu terlintas difikiranku. Walaupun aku begitu kemaruk cinta dengan Cikgu Elvart Hee, tidak pernah pula aku terfikir untuk berkahwin dengan dia. Perkara itu masih jauh untuk difikirkan. Apa yang aku tahu Cikgu Elvart Hee adalah cinta pertamaku. Cinta yang berputik dalam diam. Cinta yang tidak mengharapkan sambutan, tapi sudah cukup membahagiakan hatiku.
“Kalau sudah jodoh mesti dapat hidup bersama. Kan kita ni 1 Malaysia” balasku tidak pasti berbaur gurauan.
Aku dan Dennis Lee ketawa. Perasaanku terhadap Cikgu Elvart Hee sudah jelas dan pasti. Malah Dennis Lee juga telah mengetahuinya. Harap – harap semua ini biarlah menjadi rahsia antara kami berdua. Cukuplah sekadar menjadi kisah indah dalam hidupku ketika usia remaja kian berganjak. Cinta monyet yang indah untuk aku kenang suatu hari nanti. Ataupun bakal menjadi cinta azali, andai ditakdirkan Cikgu Elvart Hee sudi menyambut huluran cinta suciku ini. Amin. Aku tersenyum sendiri.
“Kalau kita berdua yang kahwin, baru mencerminkan 1 Malaysia, ada  darah Melayu, darah Cina dan darah India” tambah Dennis Lee lagi.
Sekali lagi kami tertawa sama – sama. Dennis Lee dan Nia Deliya, satu gabungan nama yang tampak senada. Namun nama ini tidak akan bersatu dalam melayari bahtera cinta.

No comments:

Post a Comment