Saturday, 3 July 2021

Awaklah SonataKu.... Bab 10

 

Lama Yen menatap sebakul oren yang masih berada di dalam bakul rotan bertangkai yang dihias cantik terletak di hujung meja makan ini. Kemudian pandangannya beralih kepadaku. Ada persoalan yang pasti ingin diajukan kepadaku.

“Dari mana datang sebakul oren tu?” tanyanya seperti yang aku jangkakan. Aku menatapnya. Berfikir jawapan terbaik yang bakal aku perdengarkan.

“Buah tangan dari kawan,” balasku pendek.  

“Kawan? Bos awak ke? Awak benarkan lelaki lain masuk ke rumah ketika saya takde? Tak sangka awak perempuan jenis macam tu,” suaranya tinggi dan mata yang sedikit kecil itu sudah membutang menatapku. Aku terkebil-kebil mendengar tuduhan melulu ini. Sungguh dahsyat celupar mulut pemuda  ini. Bercakap ikut sedap mulut dia sahaja. Dia ingat aku persis kekasih-kekasihnya  mudah sangat mengajak lelaki masuk ke rumah.

“Ooiii..... cik abang, kalau nak cakap tu gunalah otak sikit, jangan main hentam je. Ingat saya ni macam awak,” balasku radang melawan pandangan matanya.

“Habis tu bagaimana buah oren tu ada di sini? Bakul tu ada kaki ke nak bawa buah oren tu masuk ke dalam rumah ni?” tanyanya memerli hampir-hampir membuatkan aku tergelak. Sempat juga aku berimaginasi bakul yang penuh buah oren itu terkedek-kedek melangkah masuk ke dalam rumah ini. Bukan setakat lawak malah menakutkan. Gerenti aku terjatuh terjelempok kerana serangan terkejut yang maha dahsyat. Tidak pun terus sahaja tumbang pengsan.

“Mengapa awak senyum-senyum? Betullah tu!” Aku tersentak mendengar suara garang Yen. Kuurut-urut dada.

“Apa yang betulnya?” tanyaku tatkala terlupa pada bicara terakhirnya sebentar tadi. Tajam jelingannya singgah di wajahku.

“Awak bawa masuk bos awak ke dalam rumah ni kan?” duganya masih tidak percaya.

“Mana ada! Dia gantung buah oren tu di pagar. Dia tu gentleman bukan macam awak buaya darat yang suka memusnahkan hidup perempuan lain,” balasku membandingkan dirinya dengan Encik Rizal.

“Yah!” lantang suara Yen. Aku tersenyum sendiri. Puas hati membangkitkan kemarahannya. Tuduhan melulunya sudah kubalas. Baru adil. Dia ingat dia sahaja yang boleh sakitkan hatiku. Sekarang tahulah dia buku bertemu ruas.

“Jadi betullah bos awak ada datang ke sini tadi?” tanyanya lagi dengan suara yang sudah perlahan.

“Di luar pagar rumah,” balasku membetulkan kenyataan itu.

“Samalah tu. Awak ni lurus bendul betul,” rungutnya. Aku tersengih. Senyap. Yen meneguk air kosong di dalam gelas lalu meletakkan kembali di atas meja.

“Kenapa awak suka sangat menerima kebaikan lelaki itu?” tanyanya.

“Kebaikan?” Aku tidak faham dengan pertanyaan Yen.

“Yelah. Dia selalu belanja awak makan, hantar awak balik ke rumah, ajak awak jumpa klien, sekarang hantar sebakul buah oren untuk awak pula,” jelas Yen. Aku mengeluh kecil. Yen pun menyedari banyak kebaikan yang Encik Rizal curahkan kepadaku.

“Yelah, ini yang buat saya tak sedap hati. Saya dah banyak kali menolak,” keluhku jujur langsung tidak mahu menyangkal kenyataan Yen.

“Jangan-jangan dia ada hati pada awak,” serkap jarangnya. Aku tertawa. Cepat sangat dia membuat kesimpulan. Barangkali ini teknik-teknik yang sering digunakan olehnya untuk memerangkap gadis-gadis yang berhati cair. Silap besarlah dirinya kalau dia menyamakan aku persis para kekasihnya itu. Kebetulan pula Encik Rizal memang tulus dalam menjalin perhubungan sesama insan. Dia bukan seperti pemuda Korea di depanku sekarang ini lelaki berdahi licin! Aku simpan kata-kata ini di dalam hati. Kali ini tidak mahu meluahkan kerana malas hendak melayan radang Yen lagi.

“Aaa... baru saya ingat, sebenarnya dia telah melantik saya jadi penyelia menggantikan Arlen,  kawan yang baru saja kahwin hari tu. Saya belum buat keputusan sama ada nak terima atau nak tolak,” jelasku yang masih dalam proses pertimbangan.

What!” sekali lagi anak mata Yen lebih besar dari kebiasaan menatapku. Aku tersenyum lebar melihat reaksi Yen. Memang sudah aku jangka dia akan terkejut  memandangkan dia tidak pernah percaya akan kebolehanku malah Yen lebih banyak memperkecil-kecilkan aku selama ini.

“Baik sungguh dia dengan awak,” ujarnya Yen memuji Encik Rizal. Aku mengangguk menyokong bicaranya. Memang Encik Rizal baik hati. Bukan setakat baik dengan aku malah baik dengan pekerja-pekerjanya, bahkan baik dengan semua orang. Suaranya tidak pernah meninggi tatkala menegur pekerja-pekerja yang melakukan kesilapan. Tiada jurang yang memisahkan dirinya dengan para pekerja. Itulah cara Encik Rizal bekerja. Sebab itulah kami menyenangi Encik Rizal sebagai majikan, malah sentiasa bermotivasi hendak menambah keuntungan buat RRC.

“Awak pun baik hati... tapi tak sepanjang masa,” luahku berterus terang. Yen menjelingku. Aku senyum. Kemudian dia pun turut tersenyum.

“Awak benarkan saya tinggal di banglo mewah ni, masak Samgyetang dan bubur yang sedap untuk saya. Awak tolong saya menyeberangi jambatan gantung untuk kembalikan keberanian saya. Awak cari saya tika saya tersesat dan awak jaga saya sepanjang malam tika saya sakit. Gomawoyo. Saya benar-benar menghargai semua ni. Walaupun adakalanya hati saya sakit kerana awak, namun saya tak boleh nafikan awak memang sahabat yang baik,” luahku ikhlas dan serius. Yen tersenyum sendiri. Senyap seketika.

“Kenapa awak tak call saya semalam?” Yen mengungkit kejadian semalam walaupun sebenarnya dia mengetahui iPhone gadis itu tertinggal di rumah. Dia sekadar mahu penjelasan.

iPhone saya tertinggal di bilik,” balasku perlahan kerana menyedari akan kecuaian diri.

“Awak boleh guna telefon awamkan,” suaranya tegang. Aku tersengih dan garu-garu kepala yang tidak gatal.

“Maaf, sebenarnya saya fobia dengan nombor. Saya tak boleh ingat nombor telefon orang,” balasku berterus-terang walaupun nampak mengaibkan. Tidak berkelip matanya menatapku. Pasti dia sedang memperliku saat ini. Aku seakan dapat membaca daripada pandangan itu bahawa dia sedang mengutukku.

Wae (kenapa)?” tanyaku kurang senang dengan tatapannya itu.

“Matematik awak di sekolah dulu dapat berapa?” tiba-tiba pertanyaan itu terpancul dari mulutnya. Tepat. Memang tidak salah lagi lelaki ini sudah ada modal mengkritik kelemahanku. Baru beberapa minit tadi aku puji dia, sekarang bermula lagi episod hendak dia membangkitkan radangku.

“Gagalkan?” tekanya. Aku senyap. Malas mahu melayan pertanyaan Yen. Malas juga hendak mendengar kehebatannya jika dia mula membuat perbandingan antara aku dengan dirinya. Aku akui dia bukan sahaja ada rupa malah punya otak yang bergeliga. Buktinya dalam usia muda dia sudah memiliki dua ijazah iaitu Ijazah Pengurusan Perhotelan dan Ijazah ‘Post Modern Music Department’ dari Kyung Hee University. Aku mengetahuinya ketika mengemaskan fail-fail di studio mini di banglo ini yang menjadi tempat Yen menjana ilhamnya. Fakta juga ada menyatakan bahawa kahwin campur akan menghasilkan anak-anak hebat. Barangkali sebab itu daripada penilaian luaran dia nampak begitu sempurna. Tiba-tiba sahaja Yen bingkas bangun meninggalkan aku tercengang-cengang.

“Awak nak pergi mana Jang Geun Suk?”

“Saya tak suka awak panggil saya dengan nama tu!” marahnya sambil menoleh dan menatapku tajam. Aku tersenyum lebar. Sudah beberapa kali dia menegurku agar tidak memanggilnya dengan nama aktor kacak Korea itu. Namun aku tetap berdegil. Memang sesuai untuk dirinya. Dia salah seorang lelaki yang seiras dengan wajah aktor itu daripada enam orang yang ada di dunia ini. Aku pernah dengar di dunia ini ada tujuh orang manusia yang seiras.

“Hulurkan tangan awak,” pintanya yang kini sudah tercengat di depanku.

“Buat apa?” soalku sangsi. Yen tidak boleh dipercayai sangat. Kadangkala ada juga akal jahatnya.

“Cepat hulurkan tangan awak,” pintanya lagi.

“Awak nak buat apa?” Dia tidak menjawab. Sebaliknya pantas tangannya mencapai tanganku lalu digenggam kuat sukar untuk aku melepaskan walaupun aku telah mencuba. Yen mengeluarkan pen marker hitam lalu menulis sebaris nombor sepenuh lenganku.

“JGS!” jeritku. Dia tertawa puas.

“Ingat betul-betul nombor tu. Hafal sekarang,” arahnya tersenyum puas hati.

“Yah!” Aku melenting. Tergamam dia menatapku.

“Hari ni awak ulangi lagi kesalahan yang sama...JGS!” tegasku lantang. Bebola mataku besar menatapnya. Pandanganku melekat pada setompok rambut depan yang diikat sehingga menampakkan dahinya. Tanpa ragu-ragu tanganku terus menarik jambul rambut itu. Dia terjerit kesakitan.

“Iman ssi..!!!”

“Saya dah ingatkan awak dari awal jangan sentuh saya sewenangnya. Faham!” tegasku lalu melangkah meninggalkannya di ruang tamu. Pintu bilik kukunci. Aku membaringkan diri di katil. Lelaki buaya itu memang suka mengambil kesempatan. Dia sudah biasa menyentuh dan memeluk tubuh perempuan di sekelilingnya sehingga dia jadi liar dan tidak tahu menghormati hak orang lain. Sakit hatiku tidak dapat dibendung. Pintu bilik diketuk beberapa kali.

“Iman ssi awak marah ke?” sayup-sayup kedengaran suara di sebalik pintu. Aku senyap. Suara romantik itu langsung tidak dapat meredakan kemarahanku.

“Tak jadi kesalahan jika seorang suami menyentuh isterinya,” suara Yen bersahaja menambah sakit hatiku. Aku hanya isterinya dalam kertas dan bukan dalam dunia realiti. Dia tidak boleh menggunakan gelaran itu untuk mengambil kesempatan kepadaku.

Sorry, kejap lagi saya nak keluar. Tak payah tunggu saya makan tau,” arahnya. Aku tidak menyahut bicara itu. Beberapa minit kemudian kedengaran deruan kereta meninggalkan halaman rumah. Pasti Yen mahu menemui buah hatinya. Terbayang senyuman menawan gadis itu menyambut kemunculan kekasihnya.

 

KEDENGARAN jam loceng berdeting-deting menyucuk halwa telingaku. Terkial-kial tanganku mematikan. Pukul 6.00 pagi. Aku berbaring seketika. Hari ini aku tidak dapat solat. Tidak sedar pukul berapa aku tertidur semalam. Aku bingkas bangun. Ada tugas rutin yang perlu aku lunaskan.

Perlahan-lahan aku memijak anak tangga. Langkahku mati. Aku melontar pandangan ke bilik itu. Begitu senyap. Agaknya Yen masih tidur. Aku meneruskan langkah ke dapur. Semalam aku sudah memikirkan menu yang akan aku siapkan pagi ini. Lama aku berada di dapur menyediakan bahan-bahan dan seterusnya menyiapkan menu sarapan. Aku meletakkan teko air teh kosong kegemaran Yen bersama sebiji cawan seramik di atas meja. Maka lengkap sudah hidangan pagi ini. Aku tersenyum puas. Sejak tinggal di rumah ini, menyediakan sarapan dan hidangan makan malam adalah satu kemestian dan merupakan tugas utamaku selain mengemas dan membersih rumah. Memandangkan aku bekerja pada siang hari, maka aku tidak perlu memasak tengah hari kecuali pada hari cuti. Semua ini telah dipersetujui antara aku dengan Yen. Perkara yang nyata, Yen seorang yang mementingkan waktu makan yang teratur dan hidangan yang sempurna.

Sebenarnya dia boleh membuat sarapan untuk dirinya sendiri memandangkan sudah lama dia tinggal sendirian. Kini tugas itu aku yang ambilalih kerana aku tinggal di banglo ini. Aku dengan rela hati melakukannya kerana perkara ini bukan sesuatu yang membebankan. Paling penting aku tidak mahu tinggal percuma di banglo ini. Jadi melakukan kerja-kerja rumah dan menyediakan makan minum Yen cara aku membayar kos itu. Aku menjenguk ke ruang tamu. Jam sudah menunjukkan ke angka 7.30 pagi. Bergegas aku ke bilik untuk mandi dan menyiapkan diri kerana tepat pada pukul  8.00 pagi aku harus keluar agar tidak lewat sampai ke tempat kerja.

 

Dia melangkah menuruni anak tangga. Langkahnya terhenti. Dia berpaling ke bilik itu. Senyap. Dia kembali meneruskan langkah. Dilontar pandangan ke ruang tamu. Kemudian melirik jam di tangan.

“Awak dah keluar Iman ssi,” tuturnya sendirian.

“Awak buat sarapan apa hari ni, Iman ssi?” bicaranya sendirian sambil melangkah ke ruang makan. Diangkat tudung saji. Senyumannya lebar. Nasi lemak sedang menanti untuk dijamah. Ada sambal kerang dan sotong. Semua itu membangkit seleranya untuk segera makan. Ada empat keping roti bakar siap dengan jem dan mentega hanya menunggu masa untuk dimakan.

Ome…(enak),” tuturnya sebaik sahaja nasi lemak, sambal sotong dan kerang itu masuk ke dalam mulutnya. Dia begitu berselera menikmatinya biarpun bersarapan sendirian.

Aku membuka whatsApps yang baru kuterima. Terpamer nama Jang Geun Suk.

~Iman ssi, awak memang baik hati. Walau  macam mana awak marah kat saya, awak tetap sediakan sarapan sedap untuk saya. Gomawoyo / terima kasih ….. ~ Aku tersenyum sendiri. Pandai dia ambil hati orang lain.

“Aik... senyum sorang nampak,” Aku menoleh. Suzan sudah berada di sebelahku mengemas mesin wang di depannya.

“Nombor apa kat pergelangan tangan awak tu?” Aku tersentak mendengar pertanyaan Suzan. Aku mengalih pandangan ke arah pergelangan tangan. Alamak! Nombor yang Yen tulis semalam masih belum terpadam. Bertuah! Gara-gara aku bergegas tadi aku tidak sempat memadamkannya.

“Oh… ni nombor iPhone kawan,” balasku bersahaja.

“Dahsyat juga kawan awak tu. Mesti dia tak suruh awak lupakan dia,” komen Suzan buat aku terdiam seketika. Pantas jemariku menggosok cuba menghilangkan sebaris nombor itu.

“Jom... kita tengok wayang habis kerja ni,” ajak Suzan.

“Cerita apa?”

“Korea,” balasnya memancing kesudianku.

“Boleh,” putusku tanpa berfikir panjang. Aku tidak akan melepaskan peluang jika menerima pelawaan sedemikian. Foktor utama ialah cerita Korea itu! Habis waktu kerja aku dan Suzan terus bergerak merealisasikan tujuan kami hari ini. Kami mendapatkan tiket tempat duduk di barisan pertama. Ketika tayangan baru sahaja hendak bermula, baru aku teringat bahawa aku belum menghantar whatsApps kepada Yen untuk memaklumkan bahawa aku akan balik lewat. Aku berharap dia akan makan di luar kerana aku tidak akan menyediakan hidangan makan malam nanti. Aku mengeluarkan iPhone lalu menulis mesej itu.

~Jang Geun Suk! Hari ini saya balik lewat. Saya tak sempat bersihkan rumah pagi tadi. Balik nanti saya buat. Sila makan kat luar malam nie. Bye….bye...~    

Mesej sudah kuhantar kepada lelaki itu. Kusenyapkan volume iPhone. Takut nanti mengganggu konsentrasi penonton yang berada di pawagam ini. Sekarang bolehlah aku menonton tayangan cerita dengan tenteram dan senang hati. Aku tersenyum sendiri. Tepat pukul 7.00 petang tayangan tamat. Aku bergegas mencari tandas. Dua jam lebih duduk di pawagam betul-betul rasa beku.

“Kita nak pergi mana? Kita makan sebelum balik,” ajak Suzan. Aku bersetuju dengan ajakan itu. Kebetulan aku pun lapar.

“Eh.., iPhone masih silent lagi,” Laju tanganku mengeluarkan iPhone dari beg galas.

“Alamak! Ada sepuluh missed calls. Siapa pula yang call ni,” keluhku risau. Bimbang kalau ada hal kecemasan yang perlu dimaklumkan segera kepadaku. Laju jemariku menekan paparan panggilan yang tidak dijawab.

“Jang Geun Suk,” Nama itu meniti di bibirku. Semua panggilan daripada Yen.

Who?” soal Suzan terkejut. Aku tertawa melihat gelagat Suzan.

“Lelaki itu ke?” soalnya lagi. Aku mengangguk. Sedikit informasi tentang Yen telah aku cerita kepada Suzan. Namun hubungan sebenar antara aku dengan Yen tidak diketahui oleh Suzan. Aku terpaksa merahsiakan bagi mematuhi perjanjianku dengan Yen.

“Awak ni buat saya terkejut. Kenapa awak letak nama tu?” Aku senyum lagi.

“Inilah namanya penyakit kegilaan aktor Korea,” perlinya. Aku tertawa besar mendengar bicara Suzan. Tidak mahu aku hendak memaklumkan kepadanya sebab musabab aku menggunakan nama sedemikian. iPhoneku berdering.

“Hello...,”

“Awak kat mana?” lantang suaranya. Aku menutup telinga. Bergetar gegendang telingaku mendengar suara Yen yang tajam menyucuk itu. Pemuda Korea ini tidak reti hendak bagi salam.

“Saya baru lepas tengok filem Korea. Kejap lagi nak pergi makan dengan kawan. Awak dah makan?” soalku baik hati.

“Belum. Lapar ni,” Patutlah menyinga rupanya belum makan lagi.

“Kan tadi saya suruh awak makan kat luar. Awak nak makan apa? Nanti saya tapau untuk awak,” ujarku cuba prihatin terhadap dirinya.

“Balik rumah sekarang!” Tut... tuttt...

“Hello... Hey, geramnya...!” iPhone di sana sudah dimatikan.

Bad guy,” kutukku radang.

“Kenapa Iman?” soal Suzan yang masih tercengat di sisiku.

“Sorry Suzan, saya kena baliklah. Lelaki itu sedang mengamuk sekarang,” keluhku.

“Why?”

“Saya belum bersihkan rumah dan belum masak lagi. Dia kelaparan sekarang,” jelasku.

“Suruh dia makan kat luar,” cadang Suzan.

“Hari ni penyakit kus-kusnya datang balik. Saya balik sekarang ye,” pintaku rasa bersalah. Suzan mengangguk faham.

“Sian awak, Iman,” keluhnya. Aku senyum. Sebenarnya dia yang lebih kasihan sebab terpaksa bersendirian. Kutinggalkan Suzan tercengat seorang diri di situ. Aku berlari keluar mendapatkan teksi. Jang Geun Suk ini betul-betul menyusahkan aku hari ini!

 

“Assalamualaikum... Anyonghaseyo. Saya dah sampai rumah,” sapaku melangkah masuk ke dalam rumah.  Aku menjengukkan kepala ke ruang tamu. Yen sedang terbaring di sofa. Wajahnya masam menyambut kedatanganku.

“Yah, Iman ssi!” Betul-betul macam orang Korea tatkala dia marah dan menjerit namaku sebegitu. Mujur pemuda ini ada wajah kacak, kalau tidak pasti sebiji macam raksasa bila dikombinasikan dengan tingkahlakunya itu.

What?” balasku bersahaja.

“Awak tahu sekarang dah pukul berapa?” Aku menatap jam di tanganku.

“7.30 petang, waktu makan,” balasku selamba.

“Cepat masak sekarang saya dah lapar ni,” arahnya.

“Orang lain lapar juga tapi taklah garang macam nak makan orang,” perliku sambil melangkah meninggalkannya.

“Awak nak ke mana tu?” laungnya tatkala meihat aku tidak terus ke dapur sebaliknya mendaki anak tangga naik ke tingkat atas.

Mr. Jang Geun Suk, saya perlu tukar pakaian dulu sebelum masak. Okey...,” balasku geram dengan mata yang terbuka luas.

“Cepat sikit,” arahnya persis diktaktor. Dia mendengar derap langkah gadis itu berlari. Dia tersenyum sendiri. Ada sesuatu yang mencuit hati kecilnya.

Tepat pukul 8.50 malam, aku sudah menyiapkan hidangan malam. Nasi, sup tulang, telur mata lembu dan sayur campur. Bukan susah pun hendak sediakan hidangan makan malam. Ringkas dan sedap he...he....he...!

“Silalah makan Mr. Jang Geun Suk,” pelawaku formal sambil meletakkan sepinggan nasi untuknya. Perlahan-lahan aku menghirup sup tulang yang masih panas. Emm... secukup rasa. Begitu juga dengan lelaki yang kelaparan ini sedang menikmati sup tulang ini dengan asyiknya.

Ome.... (enak)” tuturnya sebaik sahaja menghirup sup itu.

“Awak cakap apa?” soalku ingin tahu.

“Awakkan suka sangat dengan cerita Korea, takkan awak tak tahu pula,” balasnya memperli cuba mengenakanku. Aku menjeling tajam. Dia tersenyum menampakkan kedua-dua lesung pipitnya sekali gus menambahkan ketampanan wajahnya buat aku terpukau seketika.

Why you looking me like that?” soalnya. Aku tersentak. Cish, perasan pula lelaki ini! Dia tersenyum lagi.

“Iman ssi, awak dah suka dengan saya ke?” soalnya lebih mengejutkanku.

Aigoo.... Awak dah mula bermimpi. Saya takkan suka lelaki macam awak tau,” balasku melindungi diri. Yen tertawa memukauku sekali lagi.

“Berhenti ketawa dan jangan senyum di depan rezeki,” arahku.

Why? Awak takut terpikat dengan saya,” usiknya giat lagi. Pantas tanganku mencapai senduk di tepi lantas menggetuk kepalanya.

“Yah...!” Senyumannya sebentar tadi bertukar menjadi jeritan singa jantan. Aku tertawa. Tajam jelingannya menatapku. Senyap. Masing-masing kembali fokus pada hidangan makan malam.

“Awak suka tengok cerita Korea ye,”

“Ya suka sangat,” balasku tersenyum.

“Awak pernah tengok cerita Korea di pawagam?” soalku semula.

“Saya tak pernah menjejakkan kaki ke tempat seperti itu. Saya tidak berminat,” balasnya angkuh disambut dengan cebikanku.

Really?” Dia mengangguk serius. Manusia rock macam dia tidak memiliki perasaan sentimental langsung. Mesti dia bukan kekasih yang romantik. Harapkan muka sahaja handsome. Ha.... ha... ha...

“Bukan ke girlfriend awak juga suka tengok cerita Korea,” tuturku mengingatkannya. Aku masih ingat pertemuan pertama kami di sebuah kedai cd. Aku dan kekasihnya itu hampir-hampir bergaduh gara-gara cd drama yang dibintangi Seo Kang Joon aktor kacak Korea itu. Lelaki ini muncul untuk tidak menghampakan hati kekasihnya. Cd yang sepatutnya jadi milikku telah dirampas. Sedih dan sakit hati mengingati semua itu.

“Aa... yang itu...,” Dia baru teringat  kejadian di kedai cd itu. Itu pertemuan pertamanya dengan gadis ini. Dia pun sebenarnya rasa bersalah dengan tindakannya itu. Namun dia tiada pilihan.

“Kenapa awak rampas cd tu?” soalku ingin tahu selain tujuannya untuk menggembirakan hati kekasihnya kerana berjaya memiliki cd itu.

“Velviana seorang yang degil. Saya tiada pilihan masa itu. Saya mengejar masa,” balasnya. Aku mengeluh. Sikap mereka sukar diterima akal.

“Sampai sanggup merampas hak orang lain,” Yen menatapku.

“Muka awak serius. Awak marah? Sorry...,” pintanya.

“Memanglah saya marah,” luahku tidak menafikan. Sebetulnya kemarahanku itu belum reda lagi.

“Nanti saya dapatkan cd Korea lebih banyak sebagai gantinya. Awak nak hero yang mana?” soalnya sambil menatapku. Barangkali cuba memujukku sekali gus menebus kesalahannya itu.

“Tak perlu. Encik Rizal dah hadiahkan saya cd tu,” jelasku.

“Encik Rizal...,” ulangnya nama pemuda itu. Aku mengangguk. Dua hari selepas kejadian di kedai cd itu, Encik Rizal datang menemuiku dengan sebuah kotak yang dibalut indah. Katanya sebagai penghargaan atas pertolonganku kepadanya selama ini. Apabila aku mengetahui bahawa hadiah itu berupa cd drama yang aku cari sekian lama, aku tidak henti-henti mengucapkan terima kasih kepadanya. Betapa aku gembira saat itu. Terubat marah dan kecewaku. Aku terlupa seketika dengan kejadian di kedai cd itu hinggalah lelaki di depanku ini muncul lagi.

“Mujur Encik Rizal menghadiahkan cd itu,” luahku berbesar hati. Suzan juga memainkan peranan. Ketika Encik Rizal bertanya kepadanya tentang perkara yang aku suka, dia terus  menceritakannya.

“Pasti awak sayang dengan hadiah itukan?” Aku mengangguk. Aku sayang cd drama itu bukan kerana hadiah daripada Encik Rizal tetapi sebab ceritanya dibintangi oleh aktor Korea kesayanganku.

Happy sangat dapat cd tu. Sebagai tanda terima kasih saya kepada Encik Rizal, saya telah belanja dia makan mi Sarawak kat sebuah warung tepi jalan. Dia kata itu pengalaman pertama dia,” ceritaku mengimbau perkara lalu. Yen turut tersenyum mendengarnya.

“Awak pernah makan kat warung tepi jalan?” Dia geleng kepala. Aku tertawa kecil.

“Kenapa?”

“Orang kaya memang tak tahu menghargai nikmat dunia,” balasku.

What!”

“He... he ... he...,” Aku tertawa lagi.

“Awak nak tak kalau saya ajak awak makan kat warung?” soalku. Kutatap Yen. Dia belum membuka mulut untuk menjawab pertanyaanku ini.

“Orang seperti awak ni tak sesuai makan kat situ,” jawabku sendiri untuk persoalanku tadi sebelum sempat mendengar jawapan daripadanya. Kedengaran iPhone berdering. Pantas kubasuh tangan.

“Saya nak jawab iPhone kejap,”

“Iman ssi...,” Langkahku mati. Aku berpaling menatap Yen.

“Awak suka Encik Rizal?” soalnya.

“Suka sebab dia seorang bos yang baik,” balasku jujur.

“Kenapa awak tak kahwin saja dengan dia?”

What?”soalnya di luar dugaanku. Aku diam seketika. iPhone terus  berdering memanggil-manggilku meminta diangkat.

“Sebab saya kena jadi isteri awak,” balasku sebelum berlalu meninggalkannya di situ. Entah kenapa dia rasa senang hati dengan jawapan gadis itu. Yen tersenyum sendiri.

Aku membaringkan tubuh ke tilam. Letih sungguh. Aku bingkas lalu membersihkan muka. Kemudian menghadap cermin solek. Pandanganku jatuh pada kotak baldu merah yang terletak di hujung meja solek ini. Tatkala aku membuka kotak ini, seutas rantai silver bersama loket dua butir bintang yang saling bertaut. Kuamati betul-betul. Ada sebaris nombor diukir pada dada loket bintang ini. Kubuka lipatan kertas kecil yang terselit di celah-celah kotak baldu ini.

 

~Hubungi saya jika awak tersesat...~ Aku tersenyum. Kukeluarkan rantai silver ini dari kotak. Kubiarkan terbuai-buai seketika ditanganku. Cukup cantik.

 

AKU melihat jam sekian kali. Sudah mencecah ke pukul 8.30 pagi. Agak lewat untuk pergi ke tempat kerja. Aku mencari-cari kelibat Yen. Namun kelibatnya belum kelihatan lagi. Ketika sarapan tadi aku sudah memaklumkan kepadanya yang aku akan menumpang keretanya pagi ini kerana aku terlewat bangun dan tidak sempat untuk pergi sendiri ke tempat kerja.

“Jang Geun Suk, awak belum siap lagi ke!” panggilku gusar. Tiada suara yang menyahut. Kalaulah aku ada pilihan lain, pasti aku tidak akan menunggu dia lagi.

“Pukul berapa awak masuk kerja?” Aku berpaling. Dia sudah berada di anak tangga terakhir.

“Pukul 9.00,” balasku lantas bangun mendahului bergerak ke muka pintu. Dia melirik ke arah jam tangannya.

“Masih awal lagi,” balasnya selamba. Sudah lewat bagi seorang pekerja seperti aku. Lainlah aku seorang bos. Encik Rizal juga telah mengingatkan semua pekerja agar datang lebih awal. Sepatutnya sekarang aku sudah berada di tempat kerja.

“Iman ssi tengok sini kejap,” panggilnya. Aku berpaling ke arahnya. Dia menatapku buat aku janggal.

“Mana rantai tu? Kenapa tak pakai?” soalnya bertalu-talu. Aku menyentuh leherku. Kosong. Sememangnya aku tidak berniat mahu memakainya.

“Pergi ambil. Saya tunggu kat sini. Selagi awak tak ambil dan tak pakai rantai tu, kita takkan pergi,” ancamnya berdegil. Aku mengeluh. Entah kenapa dia begitu serius dengan kewujudan rantai itu. Agaknya hari ini angin kus-kusnya datang lagi. Degil betul pemuda ini. Aku tiada pilihan lain selain memenuhi arahannya.

“Entah, apa penyakit dia hari ni, tiba-tiba je meragam tak tentu pasal,” rungutku melangkah ke bilik.  Kukeluarkan rantai silver itu lalu menggantungnya ke leherku. Aku berlari menuruni anak tangga. Yen terpacak di ruang tamu sedang menantiku.

“Macam tuler bukan susah sangat pun nak pakai,” tuturnya tatkala menatap rantai di leherku. Aku mencebik bosan.

Let’s go,” ajaknya. Aku mengekori langkahnya ke halaman dan terus masuk ke dalam kereta. Duduk di sebelah pemuda tampan dalam kereta mewah sebegini tampak bergaya. Sebetulnya aku tidak pernah bermimpi akan berada dalam situasi sekarang. Bertuah juga aku ini. Aku tersenyum sendiri.

“Pastikan rantai itu akan kekal berada di situ kecuali awak telah menemui cinta pertama awak,” tuturnya sambil menatapku serius.

“Okey...,” janjiku. Cinta pertamaku, bila agaknya akan muncul? Siapakah lelaki itu? Adakah dia sehebat seperti pemuda Korea di sebelahku ini? Banyak sangat persoalan bermain di benakku.

“Adakah gadis cantik itu cinta pertama awak?” soalku tiba-tiba. Yen berpaling menatapku seketika.

“Velviana?” Dia menyebut nama gadis itu. Aku mengangguk. Musykil juga aku melihat tingkahnya. Mungkin banyak sangat perempuan yang menjadi kekasihnya.

“Saya tak pasti,” balasnya bersahaja dan mengejutkanku. Anak mataku besar menatapnya.

“Awak banyak kali jatuh cinta ke?” Yen tersenyum. Persoalanku tidak dijawab. Dia fokus pada pemanduannya. Lelaki ini benar-benar menakutkan aku. Dia punya personaliti kurang baik berbanding ketampanan wajah yang dimilikinya. Ternyata anugerah yang Allah berikan ini tidak seiring dengan tingkah lakunya.

“Berapa kali seseorang itu jatuh cinta itu tak penting,” tuturnya bersahaja.

“Yang penting keserasian dan kebahagiaan dari cinta tak kira cinta ke berapa,” tambahnya membuatkan aku berfikir seketika. Dia ada prinsip sendiri dalam menilai hubungan cinta.

“Jangan terpengaruh dengan cerita-cerita yang awak tengok selama ini. Semua itu drama semata-mata,” tegasnya.

“Awak tak percaya cinta macam tu wujud?” soalku lagi. Dia tertawa. Wow, tampannya lelaki ini! Aku terpukau seketika melihat anak muda di sebelahku ini.

“Itu lakonan semata-mata. No realistic,” balasnya yakin.

“Awak pernah jadi pelakon part time?” di luar dugaanku soalan itu terkeluar dari mulutku.

What?” Dia nampak terkejut. Yen menoleh ke arahku. Aku tersengih-sengih menatapnya. Sudah terlanjur aku mengeluarkan pertanyaan itu. Soalanku tidak dijawab. Tiba-tiba sahaja dia tersenyum lebar.

“Sekarang baru awak sedar ke betapa handsomenya saya,” Yen tersenyum bangga.

What?” Kali ini aku pula yang terkejut mendengar bicaranya.

“Bukankah 90% pelakon ada rupa. Awak pun tahu saya layak jadi pelakon,” tuturnya selamba. Aku hanya diam. Bicaranya ada benarnya.

“Jang Geun Suk, apa impian awak?” Senyap. Tiada bicara keluar dari mulutnya. Kelihatan dia seakan berfikir. Dia menoleh dan menatapku seketika. Namun dia masih tidak bersuara.

“Awak takde impian?” tekaku memandangkan dia tidak menjawab pertanyaanku tadi. Barangkali hidupnya terlalu sempurna sebab itu dia tidak pernah mencipta impiannya. Dia sudah memiliki segala-galanya. Namun aku dapat merasakan ada sesuatu yang seringkali melontar dirinya ke dunia ciptaannya sendiri.

“Kalau awak nak berjaya dalam hidup awak mesti ada impian. Baru hidup ini benar-benar bermakna,” tambahku. Dia masih mendiamkan diri seolah-olah dia belum habis berfikir. Ternyata soalan mudahku itu terlalu sukar untuk dijawabnya.

“Oh, dah sampai! Gamsahamnida (terima kasih),” Aku terus keluar  dari kerete Mercedez Benz hitam metalik milik pemuda Korea ini.

“Bye.... bye. See you later,”Aku melambaikan tangan lalu terus berlari meninggalkan Yen yang masih tidak bergerak dari situ. Dia masih memerhatikan gelagat gadis itu. Aku betul-betul terlewat hari ini. Dia tetap melontar pandangan ke situ biarpun susuk tubuh itu sudah hilang di sebalik bangunan itu. Dia tersenyum sendiri.

“Kalau awak nak berjaya dalam hidup awak mesti ada impian. Baru hidup ini benar-benar bermakna,” suara gadis itu bermain di telinganya. Dia berfikir lagi. Kemudian dia tersenyum panjang memandu keretanya ke destinasi yang dituju.

“Awak nampak sedang berfikir. Fikirkan apa tu?” soal pemuda yang baru sahaja muncul di ambang pintu lalu duduk di depan sahabatnya itu. Yen tersenyum menyambut kedatangan Jack.

“Hari ni ada orang tanya tentang impian saya,” tuturnya. Jack menatapnya.

Who?”

Someone yang saya kenali beberapa bulan lalu,” Jack tertawa kecil. Tidak hairan dia bahawa pemuda ini banyak sangat kenalan baharu pada setiap masa.

“Pertanyaan dia buat saya berfikir,” ceritanya tersenyum sendiri.

“Kenapa? Sebelum ni takde orang tanya awak ke?” Yen mengangguk. Dia kurang berkomunikasi dengan orang lain. Sahabat-sahabatnya serta Velviana orang yang banyak menghabiskan masa bersamanya pun tidak pernah mengemukakan persoalan demikian. Malah diri sendiri tidak pernah bertanya dalam dirinya tentang impiannya.

“Pertanyaan dia tu buat saya teruja,” luahnya tanpa berselindung. Tatkala gadis itu bertanyakan tentang impiannya, dia terdiam panjang. Jauh di sudut hatinya dia cukup senang dengan pertanyaan itu.

You fall in love?”

What?” Jack tertawa besar. Sudah lama dia mengenali pemuda ini, namun dia tidak pernah mendengar Yen berbicara sedemikian. Setahu dia, Yen ada hubungan dengan Velviana.

“Yelah awak dah ada Velviana. Apa hal nak jatuh cinta lagi. Kali ini awak kenalah belajar jadi setia,” nasihat Jack berbaur usikan.

Arasoo  (baiklah) ...” balasnya tanpa sedar.

“Sejak bila pula awak cakap Korea ni. Seingat saya tak pernah dengar pun,” bidas Jack. Yen terdiam seketika. Dia sudah terbawa-bawa cara dia berbicara  dengan gadis itu.

“Saya jumpa...,” bicaranya tergantung. Hampir-hampir sahaja dia bercerita bahawa dia berjumpa dengan seorang gadis yang sungguh fanatik dengan cerita-cerita Korea. Memandangkan mereka sudah tinggal bersama dalam beberapa bulan, sedikit sebanyak dia terpengaruh dengan tingkahlaku gadis itu. Yen tidak berniat mahu meneruskan bicara khuatir bakal mengundang pelbagai persoalan yang bisa membongkar rahsianya dengan gadis itu.

“Awak jumpa siapa? Jangan-jangan awak dah ada makwe Korean,” duga Jack. Yen tertawa. Jauh sungguh imaginasi sahabatnya itu.

“Awak pun nak kahwin dengan orang Korea ke?” soalnya pula.  Yen tertawa lagi. Hari ini terasa begitu ceria.

“Jangan cari pasal Yen. Saya takut Velviana akan lancarkan perang dunia ketiga,” tutur Jack berlawak. Tidak dihiraukan amaran sahabatnya itu. Anak matanya mula menatap not-not yang tertera dalam kertas di depannya sambil jari jemari mula memetik gitar.

“Bila dateline lagu ni?” soalnya mengubah topik perbualan mereka.

“Minggu depan. Agaknya bila boleh siap?”

“Lirik dah okey cuma saya nak cari melodi yang betul-betul ngam. Lagu untuk tema drama kena strong agar dapat pikat hati penonton,” jelasnya serius.

Soundtrack ni guna suara penyanyi pempuan ke lelaki?”

“Saya tak pasti lagi,” Petikan gitarnya terhenti tatkala iPhone berdering.

“Ya... Vel, awak kat mana sekarang?”

“Kat office  Mr. Wiliam lagi, nak check baju untuk showcase malam Ahad ni. Awak dah lunch?” tanyanya.

“Belum lagi,”

“Kita lunch nanti. Awak ambil saya ye,” rengeknya manja.

“Okey, see you later,” Dia kembali mengalun melodinya. Begitu tekun. Melodi dan jiwanya bersatu. Dia tenggelam dalam alunan muziknya.

“Awak tak nak lunch ke?” soal Jack separuh menjerit melawan alunan garang gitarnya.

“Kejap lagi saya keluar dengan Velviana,” Jack mengangguk lantas meninggalkannya di situ. Dia perlu bertemu dengan dua orang sahabat mereka yang sedang menanti di kafeteria di blok bangunan ini. Ternyata Yen tidak dapat menyertai mereka untuk tengah hari ini.

No comments:

Post a Comment