Tepat pada pukul 7.00 pagi, whatsApp Suzan kuterima. Suzan ambil MC kerana menguruskan perkara yang penting. Mungkinkah Suzan mahu mengadakan majlis pertunangannya dengan Edward Lee kekasih hatinya. Hubungan yang sudah terjalin kira-kira lima tahun yang lalu. Pagi ini terpaksalah aku menebalkan muka menghadap Yen untuk menumpang keretanya ke tempat kerja.
“Hari ini pukul berapa awak ada kat rumah?” Aku menatap wajah Yen.
“Tak pasti. Kenapa?” soalku. Yen geleng kepala. Lantas kutolak daun pintu kereta lalu keluar.
“Gomawoyo (terima kasih). Hati-hati pandu kereta,” pesanku lalu serentak dengan Yen bergerak mengikut hala tuju sendiri.
Dari kejauhan, aku tidak nampak kelibat teman-teman walaupun seorang. Kelihatan premis Rozana Cupcake Conner sunyi sepi tidak seperti selalu. Ke mana menghilangnya mereka? Mustahil tiada sesiapa di situ sedangkan pagar besi itu sudah dibuka. Ada meeting tergempar? Kenapa aku tidak dimaklumkan kalau betul ada perjumpaan awal pagi ini? Semalam pun aku tidak nampak sebarang notis baharu yang ditampal di papan info pekerja.
Aku terus melangkah memasuki premis Rozana Cupcake Conner. Sunyi sepi. Kupandang ke kiri ke kanan. Tiada sesiapa di sini. Lantas kutolak daun pintu bilik rehat pekerja yang menempatkan loker para pekerja. Gelap. Aku semakin hairan. Lantas kucari letaknya suis lampu lalu memetik.
“Cha...Tahniah Iman!!!!!!” suara bersatu bergema yang mengejutkan membuatkan aku terjerit sama. Sungguh aku terperanjat dengan sergahan teman-teman. Hampir-hampir mahu pengsan aku dikejutkan sedemikian. Nafasku turun naik. Dadaku berombak kencang. Aku mengurut-urut dadaku cuba mententeramkan diri.
“Hey, kamu semua boleh buat saya mati terkejut tau!” rungutku geram. Mereka tersenyum sumbing. Puas hati mengenakanku.
“Awak tak boleh mati dulu, nanti menangis Encik Rizal,” balas Sham tersengih menatapku. Lantas kuhadiahkan jelingan tajam kepadanya. Tidak senang dengan usikan itu. Teman-teman yang lain tersenyum-senyum suka. Begitu juga dengan Encik Rizal seperti selalu akan senyum.
“Iman, habis kerja nanti ada jamuan untuk awak kat Restoran Nasi Ayam Murni. Encik Rizal belanja kita semua makan sempena meraikan kejayaan awak,” tutur Arlen buat aku tergamam. Tidak cukup dengan kejutan daripada rakan-rakan sekerja di RCC awal pagi ini, menyusul pula jamuan untukku. Aku jadi terharu dengan keprihatinan mereka dan Encik Rizal.
“Hari ini RCC beroperasi sehingga petang je,” tambah Arlen berbicara sebelum sempat aku mengutarakan persoalan tentang perkara ini. Suka hati betul mereka dengan waktu kerja yang dipendekkan ini. Aku pula terasa segan dengan kebaikan Encik Rizal. Bahkan terhutang budi. Manusia yang jarang mendapat layanan istimewa sepertiku pasti semua ini sesuatu yang sangat berharga.
Seperti yang telah dirancang, tepat pada pukul 5.00 petang, Rozana Cupcake Conner menamatkan operasi untuk hari ini. Kemudian semua pekerja bergerak ke Restoran Nasi Ayam Murni. Aku tiada pilihan terpaksa menumpang kereta Encik Rizal untuk sampai ke situ. Teman-teman yang lain sepakat tidak mahu menumpangkan aku. Dajal betul akal mereka. Semua bekerjasama dengan baik untuk memadankan aku dengan Encik Rizal.
“Encik Rizal, terima kasih untuk semua ni. Encik Rizal terlalu baik kepada saya,” luahku terharu. Encik Rizal hanya senyum.
“Saya mahu buat yang terbaik untuk awak, Iman,” balasnya.
“Janganlah macam tu Encik Rizal. Segan saya. Selama ni pun saya takde buat apa-apa kebaikan untuk Encik Rizal. Jadi Encik Rizal harus layan saya seperti orang lain juga,” pintaku jujur. Dia tersenyum lagi.
“Awak istimewa buat saya, tak seperti orang lain,” ujar Encik Rizal tenang. Terasa membahang wajahku. Aku bukan seorang yang lurus bendul untuk langsung tidak tahu tentang perasaan Encik Rizal kepadaku. Aku juga bukan buta mata untuk menilai semua kebaikan yang dicurah kepadaku. Aku tahu Encik Rizal berusaha menawan hatiku. Tetiba aku sedih. Aku tidak dapat membayangkan andai dia dapat tahu kenyataan kehidupanku sekarang. Masihkah dia melayanku dengan baik dan seistimewa ini andai dia mengetahui status diriku tika ini? Bagaimana untukku perjelaskan semua ini kepadanya nanti?
“Awak jangan tertekan. Saya akan tetap setia menanti jawapan awak walau sampai bila-bila,” tutur Encik Rizal lebih berdiplomasi.
“Maafkan saya. Saya memang tak layak untuk Encik Rizal,” ujarku.
“Jangan cakap apa-apa sekarang. Saya beri awak masa yang panjang untuk memikirkannya. Ambillah masa seberapa banyak yang awak perlukan sebelum membuat sebarang keputusan,” nasihat Encik Rizal begitu menusuk hatiku. Ya Allah akukah yang terlewat mengenalinya? Betapa mulia hati pemuda ini. Engkaukah yang mengutus dirinya untuk menyayangi anak yatim piatu malang sepertiku ini? Huluran kasih sayang Encik Rizal tidak mampu aku sambut. Aku tidak layak mendapat cinta itu. Cinta yang terlalu tulus untukku miliki. Insan sebaik Encik Rizal memang tidak layak dipertemukan gadis persisku yang serba kekurangan. Sekalipun Yen melafazkan talak kepadaku suatu hari nanti, aku masih merasakan cinta Encik Rizal adalah untuk gadis yang seribu kali lebih baik dariku. Encik Rizal patut mendapat gadis sedemikian.
Tatkala aku dan Encik Rizal bersama teman -teman sekerja yang lain menapak di Restoran Nasi Ayam Murni, alangkah terkejutnya aku apabila melihat Suzan bersama beberapa orang teman sekerja yang bertugas di shif petang-malam menyambut kedatangan kami dengan senyuman. Baru aku tahu rupanya Suzan juga bersekongkol dengan mereka. Paling mengejutkan Suzan dan beberapa orang teman sekerja yang datang lebih awal ke sini sudah membuat persiapan untuk majlis meraikan kejayaanku ini menambah sayu dan terharu di hatiku. Ada kek coklat kegemaranku sudah menanti kedatanganku.
“Congratulation my friend,” tutur Suzan sambil tersenyum mekar menatapku. Dia memeluk bahuku mesra. Ada lirikan nakal ditujukan kepadaku.
“Jahatnya awak. Tadi awak kata ambik mc,” tuturku buat-buat rajuk.
“Merajuklah nanti Encik Rizal pujuk,” usik Suzan buat anak mataku terbuka luas. Geramnya...! Senang-senang saja dia kenakan aku. Encik Rizal tersenyum.
“Saya ingat awak ambil cuti nak uruskan majlis pertunangan awak dengan Edward Lee,” tuturku buat Suzan ternganga.
“Oh..., My God, jauhnya imaginasi awak...!” Biji mata Suzan yang kecil membutang menatapku.
“Selagi awak tak kahwin selagi tulah juga saya takkan kahwin tau,” ujar Suzan sambil melirik nakal ke arah Encik Rizal. Sekali lagi Suzan cuba memadankan aku dengan Encik Rizal. Aku cukup mengerti dengan makna lirikan matanya itu. Aku terdiam.
“Kalau macam tu syarat awak, awak patut kahwin sekarang,” balasku serius. Tersengih Suzan menatapku. Barangkali dia ingat aku sedang bergurau dengannya.
“Awak dengan Encik Rizal dah plan nak naik pelamin ke?” bisiknya berkias-kias. Aku mencebik bibir.
“Dah naik pun,” balasku bersahaja.
“Bila?” soal Suzan teruja.
“Waktu majlis kahwin Arlen dulu,” jelasku dan pantas tangan Suzan menepuk bahuku. Baru dia sedar yang dirinya telah dipermainkan olehku.
“Buat masa sekarang dan saya tak pasti sampai bila, saya takkan kahwin dengan sesiapa,” luahku pada Suzan. Selagi aku bergelar isteri Yen, selagi itu aku tidak akan menjadi isteri sesiapa. Biarpun kehidupanku sekarang tidak menampakkan kehidupan seorang isteri. Namun statusku tetap seorang isteri yang menghalang aku untuk berkahwin lagi.
“Aik, bunyi macam orang tengah frust je awak ni,” Aku hanya tersenyum.
“Dari tadi saya tengok kamu berdua ni asyik berbisik-bisik je. Banyak ke rahsia nak sembunyikan dari saya,” suara Encik Rizal mencelah. Aku dan Suzan tersenyum menatap Encik Rizal. Serba salah ditegur sedemikian. Suara Arlen menjadi penyelamatku tatkala memanggil nama Encik Rizal. Aku menarik nafas lega. Terhenti setakat ini juga usikan Suzan kepadaku.
Majlis doa kesyukuran yang ditaja sepenuhnya oleh Encik Rizal sempena kejayaanku bakal bergelar mahasiswa diraikan penuh meriah. Tatkala aku dipinta untuk berucap, aku tidak melepaskan peluang menyampaikan terharuku serta penghargaanku yang tidak ternilai buat Encik Rizal dan teman- teman sekerja di Rozana Cupcake Conner. Aku juga turut meluahkan perasaan ikhlasku selama aku berada di RCC yang begitu menyenangkan. Kemudian giliran Encik Rizal pula berucap selaku majikan di RCC. Dalam bicaranya Encik Rizal menyatakan bahawa kedatanganku di RCC sentiasa dialu-alukan pada bila-bila masa sahaja menambah keterharuan hatiku. Sungguh aku betul-betul terasa dihargai. Tepat pada pukul pukul 07.15 minit petang kami bersurai dengan perut yang kenyang. Mujur juga Encik Rizal ada hal penting ingin diuruskan, maka aku boleh mengelak daripada menumpang keretanya lagi.
“Encik Rizal dah luahkan perasaannya kat awak ke?” soal Suzan menyiasat. Aku mengangguk. Bukan sekali tetapi sudah beberapa kali. Aku pun buntu memikirkan perkara ini. Risau jawapan yang bakal aku berikan mengecewakan dan menyakiti hati Encik Rizal. Tidak tega aku hendak melukakan insan sebaik Encik Rizal.
“Takkan sedikit pun awak takde perasaan kat dia,” ujar Suzan lagi.
“Saya tak boleh ada perasaan kat dia,” balasku perlahan. Suzan berpaling menatapku. Wajahku ditatap seketika.
“Why?” soalnya.
“Susah saya nak cakap perkara ni kat awak. Suatu hari nanti awak, Encik Rizal dan yang lain akan tahu juga,” balasku tetap berahsia.
“Sampai macam tu sekali susahnya. Apa yang rahsia sangat tu, Iman?” soal Suzan tidak puas hati.
“Sekarang saya tak boleh cakap apa-apa,” balasku serba salah.
“Semua ini ada kaitan dengan cousin awak ke?” Aku tersentak. Bicara Suzan memang tepat dengan situasi yang ada sekarang. Aku tahu Suzan sedang memperkatakan tentang Yen. Cerita yang aku sampaikan kononnya Yen ialah sepupuku. Sekarang aku tinggal bersama mak saudaraku.
“Makcik awak dah tunangkan awak dengan anak mudanya tu ke?” soal Suzan sekali lagi mengejutkan aku.
“Betul ke ni, Iman?” soalnya bila sahaja aku terus-terusan berdiam diri. Laju aku geleng kepala menafikan bicara itu.
“Saya bukan tunangan orang tapi isteri kepada Yen. Yen bukan sepupu saya, tapi ialah suami saya. Saya tinggal bersama suami saya bukan dengan mak saudara dan anak mudanya,” laung suara hatiku yang tidak mampu aku lontarkan keluar.
“Susah saya nak cakap perkara ni kat awak. Suatu hari nanti awak, Encik Rizal dan yang lain akan tahu juga,” kuulangi bicara tadi sekali gus membuatkan Suzan terdiam panjang. Nampak dia sudah berputus asa untuk terus menghujaniku dengan pelbagai persoalan. Suasana senyap ini berlanjutan sehinggalah aku memijak halaman rumah banglo Yen. Kelihatan kereta Mercedez Benz hitam metalik milik Yen tersadai di halaman. Serta merta aku teringat bahawa aku sudah terlewat untuk menyediakan hidangan makan malam. Pasti mengundang kemarahan Yen.
“Thanks. Sorry sebab ada perkara yang saya tak boleh cakap kat awak sekarang,” luahku rasa bersalah. Senyuman yang terukir di bibir gadis ini melegakanku. Syukur Suzan tidak ambil hati atas keputusanku untuk terus berahsia.
“ Takpe saya akan tetap tunggu,” balasnya dengan senyuman lagi membuatkan aku turut sama tersenyum. Tunggulah Suzan sehingga hari itu muncul dan aku berharap sangat tika itu kau tidak akan terkejut dan tidak menyalahkan aku. Sebaliknya aku memang mengharapkan pengertianmu. Hilang bayangan Suzan bersama kereta Kelisa putih, aku melangkah ke pintu utama lalu mengeluarkan kunci rumah. Tatkala kakiku melangkah masuk, wangian semerbak masakan dari dapur memenuhi ruang tamu. Laju kakiku melangkah ke dapur. Kelihatan Yen sedang leka mengawasi masakan di atas nyalaan api.
“Assalamualaikum..., anyonghaseyo...,” sapaku di ambang pintu. Yen berpaling. Senyuman di bibir dilemparkan kepadaku. Sempat juga suara hatiku memuji keindahan senyuman itu.
“Aaa...awak dah balik,” sapanya ramah.
“Masak apa?” soalku melangkah mendekati lalu menjenguk ke dalam periuk yang berada di atas api. Nampak sedap seharum wangian.
“Awak pergilah mandi dan solat. Lepas tu kita makan sama -sama. Lapar ni sejak petang tadi saya belum makan lagi,” cerita Yen mesra. Aku mengangguk dan tersenyum. Kutinggal Yen di dapur bagai seorang cef. Betapa berkobor-kobar semangatnya menyiapkan hidangan untuk makan malam ini.
Usai bersiap-siap dan solat maghrib, aku kembali ke dapur. Di ruangan makan Yen sedang menanti kedatanganku. Segera aku melangkah mendekati. Aku terpegun melihat makanan yang sudah terhidang di atas meja. Gabungan hidangan Korea dengan Malaysia. Di sebelah tepi meja ada dadih sebagai pembasuh mulut yang terdiri daripada tiga warna yang berbeza. Pasti juga tiga perisa yang berlainan. Aku tersenyum sendiri. Yen telah menunaikan janjinya. Nampaknya sepanjang hari ini Yen bekerja keras menyediakan semua ini.
“Duduklah,” suara Yen mengarahkan aku duduk. Aku patuh. Kutatap hidangan yang memenuhi meja ini. Tidak tahu hendak membuat pilihan yang mana dahulu harus dirasa. Semua menyelerakan.
“Kenapa awak lambat balik hari ni?” suara Yen yang sedang menyoalku mengalih pandanganku ke wajahnya.
“Tempat kerja tadi ada jamuan kesyukuran,” balasku pendek.
“Mwo (apa)...!” Besar anak mata Yen menatapku. Aku tersengih.
“Jadi awak dah kenyanglah ni. Sia-sia jelah saya masak sepanjang hari ni,” tutur Yen merajuk dengan wajah yang kelat.
“Hey..., siapa kata saya tak nak makan! Saya lapar lagi ni. Awak dah lupa ke yang saya ni boleh makan apa saja,” balasku cuba mengambil hatinya. Yen sudah tersenyum. Wajahnya kembali ceria.
“Betul awak nak makan?” soalnya. Aku mengangguk.
“Kalau awak masak pasti saya akan makan. Bukan selalu pun awak masak untuk saya,” ujarku mengusiknya. Yen menjelingku tajam buat aku tersenyum. Kemudian Yen pun turut sama tersenyum.
Aku terus menyenduk nasi ke dalam pinggan. Biarpun aku masih kenyang, namun aku tidak akan membiarkan usaha Yen ini sia-sia. Aku akan makan semampunya. Kuhirup kuah samgyetang yang masih panas perlahan-lahan. Oh, menyegarkan! Ramuan ginseng begitu terasa. Kusepit bulgogi. Bulgogi merupakan salah satu hidangan daging sapi panggang yang paling popular di Korea. Daging yang diperap campuran dari kicap, minyak bijan, jus pir, ‘balce merica’, bawang putih, bawang merah, daun bawang, anggur, garam dan gula diperap dua hingga empat jam untuk meningkatkan rasa dan keempukan. Kimchi juga ada dihidangkan. Bila masa pula Yen buat semua ini? Semalam aku tidak nampak pun menu ini ada di dalam peti sejuk.
“Sejak bila pula awak buat kimchi ni?” soalku.
“Nenek yang suruh Pak Mahat hantar ke sini tadi,” balas Yen masih fokus pada nasi di dalam pinggan.
“Puan Sodiah dan ayah awak suka makan kimchi?” soalku lagi.
“Wajib,” jawapan yang pendek tetapi cukup besar maknanya.
“Awak pun suka makan juga ke?” masih bertanya.
“Tak berapa suka. Hey..., awak ni banyak soal pula! Makanlah semua ni... saya masak untuk awak. Dadih honeydew, yam dan jagung pun ada untuk awak habiskan,” rungut Yen rimas dihujani banyak soalan. Aku tersengih.
“Gomawoyo… Gamsahamnida (terima kasih). Saya pasti tak akan lupa dengan apa yang awak buat untuk saya hari ni,” ujarku berbesar hati. Yen hanya menatapku.
“Bila saya dah tinggal kat hostel nanti, pasti saya rindukan masakan awak,” tuturku jujur. Aku tahu hanya di rumah ini aku dapat merasa masakan Korea. Sudah beberapa kali aku menikmati hidangan yang disediakan oleh Yen. Yen jugalah yang membuatkan aku menempuh suatu pengalaman baharu bila buat pertama kali aku merasa dan mengenal masakan Korea. Pengalaman yang begitu membanggakan untuk dikongsi dengan orang lain. Kalaulah aku cerita semua masakan Korea yang aku tahu pada Suzan pasti dia akan teruja mendenganya. Bahkan mengundang kehairanannya.
“Mesti ke awak jadi pelajar asrama?” soal Yen. Aku mengangguk. Tahun pertama merupakan tahun percubaan bagi yang bergelar mahasiswa kampus. Aku juga tidak mahu ketinggalan untuk mengutip pengalaman menjadi pelajar asrama di kampus. Perkara ini juga akan memudahkan aku menghadiri kelas-kelas yang akan diadakan memandangkan aku belum arif tentang cara pembelajaran di kampus. Kata Encik Rizal sebahagian jadual pelajar yang kena catur sendiri. Pelajar mesti bijak memilih waktunya.
“Suatu hari nanti, bila kita dah berpisah pasti saya juga rindukan masakan awak ni,” tambahku sambil membayangkan suasana tika itu. Yen menatapku lama.
“Betul ke suatu hari nanti kita akan berpisah?” suara Yen memecah kesepian beberapa minit yang lalu. Tanganku terhenti menyudu dadih perisa jagung ini. Kutatap wajah Yen yang tampak serius.
“Mestilah...! Takkan seumur hidup awak nak biarkan Velviana tunggu awak. Awak perlu hidup berkeluarga dengan dia seperti orang lain juga. Apatah lagi Puan Sodiah memang mengharapkan generasi penyambung keluarga awak,” balasku bersungguh-sungguh.
“Yelah... pasti awak juga nak hidup bersama Encik Rizal kan,” sahut Yen di luar dugaanku sekali gus membuatkan aku terdiam panjang. Yen sedang tersenyum-senyum sendiri bagai membayangkan sesuatu.
“Tak semestinya saya akan hidup bersama Encik Rizal suatu hari nanti,” balasku menafikan andaian itu. Aku mengharapkan jodoh terbaik buat Encik Rizal. Lelaki sebaik dia memang layak mendapat gadis yang baik juga. Yen menatapku.
“Namun yang pasti, pada masa depan saya memang mengimpikan sebuah keluarga yang bahagia dan memiliki anak-anak yang comel,” luahku.
“Impian awak itu akan tercapai,” balas Yen buat aku tersenyum.
“Gomawoyo (terima kasih). Awak mesti doakan ye,” pintaku bergurau. Yen mengangguk dan tersenyum.
“Harap-harap tika itu awak hidup bukan bersama Encik Rizal,” tambah Yen lagi tanpa berselindung.
“Mungkin ye mungkin tak. Siapa dapat menjangka soal jodoh. Semua telah ditetapkan oleh Allah. Tengok saja kita sekarang. Saya tak pernah menyangka akan bersuamikan pemuda Korea buat sementara waktu ini. Pasti juga awak tak pernah terfikir akan bernikah dengan orang lain tika awak sedang hangat bercinta dengan Velviana. Semua berlaku tanpa dapat kita jangka,” ulasku panjang lebar. Yen mengangguk setuju dengan bicaraku.
“Kenapa awak nampak tak suka je dengan Encik Rizal?” soalku menduga.
“Sebab dia terlalu baik dengan awak,” balas Yen lancar.
“Hoi..., jahatnya awak! Awak nak semua orang layan saya seperti mana awak layan saya? Awak ni kejamlah...!” bidasku. Yen diam. Kucapai dadih perisa honeydew pula lalu dengan penuh tekun menikmatinya.
“Awak terseksa ke hidup dengan saya selama ni?” soal Yen mengejutkan aku. Pandangan serius Yen menatapku. Dia sedang menanti jawapan untuk pertanyaan itu. Senyap. Seketika aku berfikir cuba merangka jawapan yang terbaik seikhlasnya.
“Kadangkala menyampah melihat kesombongan awak terutama kali pertama mengenali awak. Seminggu... sebulan... tinggal dengan awak, masih ada perasaan marah saya kepada awak. Bila hari ini saya fikirkan balik, sebenarnya terlalu banyak kebaikan yang awak telah curahkan kepada saya. Saya tahu awaklah pemuda sombong yang baik hati,” jelasku berbaur usikan.
“Mwo (apa)....!” Terjengil anak mata Yen menatapku. Mesti dia kurang senang dengan ayat terakhirku itu. Aku tersengih. Kemudian Yen juga turut tersenyum. Makan malamku dengan Yen berakhir dengan pelbagai cerita dan andaian. Terbukti Yen boleh berbicara panjang. Dahulu dia nampak begitu pelik dengan perangai dan penampilan dirinya. Malah aku tidak menyenangi dirinya gara-gara Velviana kekasih hatinya itu.
“Pemuda sombong yang baik hati,” tuturku perlahan lalu membaringkan tubuhku ke tilam dengan senyuman yang terukir di bibir. Letih menguasai diri. Perut penuh terisi. Bayangkan sahaja selang beberapa jam aku menikmati dua majlis makan besar hari ini. Betul-betul rezekiku.
Nun jauh di sudut hati, kupanjatkan kesyukuran kepada Yang Maha Esa, sesungguhnya masih ada juga insan-insan yang prihatin padaku. Terasa kesabaran yang aku perjuangkan selama ini berbaloi. Umat yang sentiasa bersabar dan tabah menempuh dugaan hidup pasti akan merasa nikmat yang Allah berikan. Ya Allah, ya Rabbi, terima kasih kerana Engkau telah menganugerahkan aku sahabat-sahabat yang berhati mulia dan mengasihiku. Engkau rahmatilah hidup sahabat-sahabatku ini dan berilah mereka kesejahteraan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Amin.
“Semoga Allah sentiasa mempermudahkan kehidupan Encik Rizal dan Yen selamanya,” doaku setulusnya lalu memejamkan mata mengundang lena.
No comments:
Post a Comment