Saturday, 3 July 2021

Awaklah SonataKu..... Bab 9

 

Aku melangkah mendekati bilik mini studio yang pintunya sedikit terkuak. Nampak Yen sedang asyik mengalun melodi yang berpadu dengan suara merdunya. Ditelinga terpasang earphone. Salah satu barang kesayangannya selepas gitar-gitar tersebut.

“Saya nak masuk ni...,” ujarku walaupun aku tahu dia tidak akan mendengar kerana telinganya sedang tersumbat. Aku melangkah masuk. Sempat Yen melirik ke arahku. Kehadiranku langsung tidak memberi kesan kepadanya. Aku menjadi pendengar dan penonton persembahan Yen. Suara dan melodinya sungguh merdu. Jari-jemarinya lincah memetik tali gitar itu. Dalam aku asyik menjadi penonton, aku terfikir. Barangkali ini punca hubungannya dengan Datuk Kamarudin tampak dingin. Sudah pasti Datuk Kamarudin mahukan pemuda ini menguruskan DLH. Yen nampak tidak berminat dengan semua itu, tetapi bukankah dia memiliki ijazah dalam bidang pengurusan perhotelan dan perniagaan? Kalau dia tidak suka, mengapa dia harus bersusah payah dan memaksa diri belajar sehingga ke peringkat tinggi dalam bidang itu?

Ahh..., situasi ini memang sinonim dengan keluarga yang berharta. Lagipun tidak hairan dia akan melakukan demi memenuhi impian keluarga walaupun dia tidak menyukai. Tengok sahaja situasiku dengan dia sekarang menjadi suami isteri dalam kertas sedangkan dia sudah memiliki kekasih hati yang cantik jelita. Sebetulnya aku kagum juga dengan sikapnya itu. Biarpun dalam terpaksa berjaya juga dia menggenggam segulung ijazah dalam bidang bukan kesukaannya malah boleh menguruskan hal kami dengan baik.

Aku bertepuk tangan tatkala aluan suara dan petikan gitarnya sudah berakhir. Dia menatapku dengan wajah yang bersahaja. Tidakkah dia bangga dengan anugerah yang dimilikinya ini? Memang tidak menghairankan aku Yen bertingkahlaku demikian. Ada masa dia akan menjelma menjadi orang yang tiada perasaan. Dirinya sukar untuk diramal.

“Okey tak lirik dan melodi lagu ni?” soalnya. Aku mengangguk sambil mengangkat ibu jari kepadanya. Ikhlas aku memuji. Dia memang layak mendapat pujian itu.

“Awak cipta lagu ni untuk siapa?” soalku ingin tahu.

“Ada company nak buat soundtrack drama,” balasnya. Ohh, Yen seorang komposer muzik! Patutlah dia nampak suka sungguh dengan bidang ini. Yen boleh menyanyi dengan baik walau apa rentak sekali pun. Pakar bermain gitar dan mengendali segala peralatan yang ada di sini. Peralatan yang terlalu asing bagiku dan aku tidak tahu nama-nama peralatan ini mahupun fungsinya. Yang dapat aku agak peralatan untuk merakamkan lagu dan menyusun atur melodinya. Tidak arif tentang ketepatan istilah yang aku gunakan ini.    

“Awak akan nyanyikan lagu ni?” soalku lagi. Dia geleng kepala. Dia sedang mencipta lagu untuk dinyanyikan oleh orang lain.

“Kenapa bukan awak saja yang menyanyikannya. Suara awak menakjubkan. Saya suka mendengarnya,” luahku jujur.

Really?”Aku mengangguk. Yen tersenyum.

“Awak suka muzik?” soalan cepu emas kukemukakan kepadanya.

“Suka sangat,” balasnya.

“Kenapa awak tak jadi penyanyi? Pakej awak lengkap. Mesti mudah untuk awak berjaya dalam bidang ni,” pujiku lagi. Yen tertawa kecil.

“Kalau awak jadi penyanyi saya orang pertama yang akan beli album awak,” ujarku jujur.           

“Kenapa?” soalnya.

“Pertama saya suka suara awak yang luar biasa. Kedua...,” bicaraku terhenti. Aku berfikir membuat pertimbangan sama ada akan meneruskan bicara ini atau sebaliknya. Kalau aku utarakan risau jika dia salah ertikan nanti.

Mwo (apa)?” Yen menatapku, menanti bicara seterusnya yang keluar dari mulutku. Aku tersengih-sengih sambil garu-garu kepala.

“Awak suka tengok sayakan?” duganya. Dia tersenyum menggoda menatapku. Keningnya diangkat-angkat.

“Saya suka tengok awak bukan kerana awak handsome tapi kerana awak berwajah Korean,” balasku membetulkan tanggapannya.

“Cish..!!” Tajam jelingannya singgah padaku. Aku senyum.

“Awak dah masak?”

“Dah siap. Silalah makan Mr. Jang Geun Suk,” tuturku mendepakan tangan  mempersilakannya menikmati hidangan malam yang telah kusiapkan. Aku bangun dan bercadang mahu ke bilik merehatkan diri. Hari ini terasa letih sangat setelah sepanjang hari berada di luar.

“Makanan dah terhidang di meja. Saya mahu berehat di bilik sekarang,” ujarku seraya meninggalkannya.

“Iman ssi..!” Langkahku terhenti. Aku berpaling ke arahnya.

Mwo?” soalku.

“Pergi ke dapur sekarang,” arahnya.

“Saya tak nak makan. Saya masih kenyang lagi,” ujarku. Tajam matanya menatapku.

“Awak mesti temankan saya makan,” arahnya dengan mata yang besar menatapku. Aku melepaskan keluhan. Bosan dipaksa begini. Dengan malas dan longlai aku mengatur langkah ke dapur.

“Cepat jalan,” arahnya sambil tubuhku ditolak-tolak oleh tangan Yen.

“Yah!” Aku melenting geram. Dia tersenyum. Terhibur hatinya melihat gelagat gadis itu. Kebosanan bersendirian di banglo mewah ini sudah lama lenyap. Rentetan dia sudah ada teman berbicara dan bersengketa. Teman berkongsi cerita dan berkongsi ketawa. 

DIA membalingkan tas tangannya ke tilam lalu menghempaskan tubuh ke situ. Marah menguasai diri. Sudah beberapa kali dia menghubungi lelaki itu tetapi tidak diangkat. Dicapai tas tangan di hujung kaki lalu mengeluarkan iPhone. Tiada sebarang mesej mahupun rekod panggilan diterima.

Shit...!” Laju tangannya membaling iPhone itu lalu berpadu dengan dinding. Badan iPhone itu terbelah dua. Padam. Gadis itu menggigit bibir tanda geram. Rasa sakit hati sudah tidak dapat ditahan-tahan lagi. Bingkas dia bangun dari perbaringan. Dicapai kunci kereta dan tas tangan tadi. Dia melangkah meninggalkan kondominium mewah itu. Ada hal yang perlu dipastikannya.

 

%%%%%%%%%%%%%%%%% 


GARA-gara kegilaan terhadap hero-hero Korea, ditambah ketaksuban untuk memiliki cd lakonan Kim Hyeon Jung untuk tahun 2011 ini, aku dan Suzan tersasar jauh. Mana-mana kedai cd yang kami nampak terus kami jejaki. Eksplorasi kami kian terasa seronok. Betapa banyak lagi  drama dan movie Korea yang belum kami tengok, khas yang terdahulu. Berdasarkan sinopsis cerita yang kami baca, memang semua best belaka.

Sambil  menilik-nilik cd-cd Korea ini sempat juga aku menganalisis belanjawanku untuk bulan ini. Setelah ditolak-tolak dengan perbelanjaan tetap bulanan adalah baki sedikit yang boleh aku peruntukkan menanggung kos perbelanjaan ke atas pembelian movie Korea ini. Dua buah cd drama Korea sudah kusasarkan untuk dimiliki. Kalau ikutkan hati mahu semua sahaja aku borong. Semua aku berkenan. Malang faktor kewangan tidak pernah mengizinkan. Keperluan keluarga Pak Long harus kuutamakan. Sudah menjadi kewajipanku menyara keluarga Pak Long semampuku. Sungguh aku cukup bahagia dapat menanggung sara hidup anak-anak Lili.

 

Aku terus teringat Velviana, kekasih hati Yen. Kalau aku dan gadis itu menjalin hubungan yang baik, bolehlah aku dengan dia bertukar-tukar cd Korea ini. Kebetulan juga dia pun amat meminati cerita-cerita Korea ini. Bahkan pilihan hatinya juga pemuda Korea. Namun dia amat beruntung berbanding aku. Mudah sahaja dia memenuhi setiap kemahuannya kerana dia berkemampuan. Yang malang aku jugalah. Dapat suami kacak tetapi kekasih orang. Bila-bila masa akan kembali kepada pujaan hatinya. Hendak lama-lama bersama pun hanya memeningkan kepala. Perlahan-lahan keluhanku tercetus.

Lupa seketika akan pemuda Korea yang tinggal sebumbung denganku tika ini. Sungguh terhibur hatiku menatap barisan wajah hero-hero dan heroin-heroin Korea yang berada di depan mataku sekarang. Terkikis sedikit lara hatiku. Dalam dunia ini pelbagai cara seseorang untuk menghiburkan diri. Memiliki cd Korea sudah cukup memberi kepuasan pada diriku. Tidaklah terlalu tinggi standard kehendak hatiku. Mudah sahaja untuk memenuhinya... he...he...he....

“Apa hal Suzan?” soalku melihat Suzan nampak bergegas mendekatiku. Sedikit cemas di wajahnya.

“Saya kena balik sekarang Iman. Mummy saya baru je call minta saya ambil my niece. My brother dan my sister-in-law ada hal tak dapat jemput anak mereka. Awak nak balik sekarang ke?” soalnya.

“Takpelah Suzan. Awak baliklah dulu. Nanti saya balik sendiri,” tuturku.

“Betul ke ni? Sorry Iman,” tuturnya berat hati mahu meninggalkan aku bersendirian di sini.

“Takpe. Pergilah cepat nanti tertunggu-tunggu pula budak tu,” arahku.

  “Saya pergi dulu. Jangan balik lewat tau, awak tak biasa tempat ni. Kalau ada apa-apa call tau,” ujarnya memperingatkan aku. Aku mengangguk dan tersenyum. Bahagia dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Suzan terhadapku. Aku menyoroti langkah Suzan yang meninggalkan premis ini. Betapa seronoknya aku berhadapan dengan deretan cd movie Korea ini. Dua jam sudah berlalu tanpa kusedari. Begitu mengasyikkan menilik sinopsis-sinopsis cerita Korea yang terlalu banyak di premis ini. Tidak sangka biarpun letaknya premis ini sedikit di pinggir bandar, namun cd-cd cerita yang dijual di sini terkini, banyak pilihan malah premis ini tidak putus-putus dikunjungi oleh para pelanggan. Kebanyakan pelanggan tetap. Aku nampak pelanggan-pelanggan yang datang dikenali oleh pemuda yang sedang duduk di kaunter depan itu. Mereka berbual mesra. Bahkan sesekali bergurau senda. Nama-nama pelanggan yang meniti di bibir pemuda itu tatkala menyambut kunjungan mereka ke sini sudah cukup membuktikan mereka saling mengenali.

   Kujeling jam di tangan. Tepat jam 4.30 petang. Begitu pantas masa berlalu tanpa kusedari. Laju tanganku mencapai cd My Princess’ yang dibintangi Song Seung Hun sebagai Park Hae Young dan Kim Tae Hee yang memegang watak Lee Seol. Drama arahan Kwon Suk Jang, hasil karya Kim Eun Sook dan Jang Young Shil mengisahkan tentang seorang mahasiswa biasa, Lee Seol, tiba-tiba menjadi seorang puteri. Park Hae Young, ditugaskan untuk mengajarkan etika dan sopan santun kepada Lee Seol.

Begitulah sinopsis drama romantik yang berlangsung 16 episod ini. Kira-kira sehari setengah boleh kuhabiskan menonton dengan syarat siaran langsung selama 960 minit tanpa henti-henti. Ketika itu juga tiada yang jadi penghalang untuk aku terus duduk di depan kaca tv tatkala aku sedang memutarkan cd drama ini. Masa yang paling sesuai aku menonton adalah pada hujung minggu. Mujur bilik tidurku telah dilengkapi dengan tv serta alat pemain cakera padat. Terima kasih Jang Geun Suk. Banglonya memang menyediakan kelengkapan yang terbaik.

Pukul 5.00 petang, aku bergerak ke perhentian bas yang tidak berada jauh dari kedai cd tadi. Aku duduk di bangku menanti kedatangan bas. Sebetulnya aku tidak tahu jadual perjalanan bas di sini. Apatah lagi bas yang mana patut aku naiki untuk sampai ke Bandar Sentosa. Kemudian dari sana barulah aku boleh menaiki teksi lalu menghantar aku ke Taman Pujangga Hill lokasi golongan elit. Sebab itulah juga tiada perkhidmatan bas di sana memandangkan orang kaya ini semua ada kereta sendiri. Sedikit membantutkan pergerakanku.

15 minit berlalu belum nampak kelibat bas yang lalu. Aku mula gelisah. Sepatutnya sekarang aku sudah berada di rumah bersedia untuk menyiapkan hidangan makan malam. Cuba kusabarkan hati untuk terus setia menanti akan kedatangan bas yang memang kuharapkan muncul sedikit masa lagi. Tatkala jam sudah menjangkau ke angka 6.00 petang, aku sudah tidak boleh mengawal kegelisahanku. Aku mula duduk dan berdiri meninjau dari semua arah cuba menjejaki kelibat bas.  Hendakkan bertanya kepada seseorang, hanya aku yang berada di sini. Akhirnya aku berpatah semula ke kedai cd tadi untuk mendapat info perjalanan.

“Sepatutnya pukul 5.30 petang tadi ada sebuah bas yang boleh bawa cik ke Bandar Sentosa,” ujar lelaki itu.

“Maksudnya itu bas terakhir ke Bandar Sentosa?” soalku meminta kepastian. Lelaki itu mengangguk.

“Ada perkhidmatan teksi kat sini?” soalku lagi. Lelaki itu geleng kepala. Aku mengeluh perlahan. Kiranya orang di sini  ialah golongan yang berkemampuan kerana memiliki kenderaan sendiri. Kalau tidak bagaimana mereka hendak bergerak pada masa-masa tertentu kalau hanya bergantung pada perkhidmatan bas yang terhad ini. Aku kembali ke perhentian bas tadi sambil terus berharap bas akan muncul. Hatiku kian gelisah tatkala melihat awan hitam pekat. Suasana sekeliling sudah gelap gelita. Hanya menunggu masa hujan lebat akan turun. Baru aku hendak membuka langkah mahu bergerak ke blok bangunan di seberang sana, hujan turun mencurah-curah. Kumatikan hasratku. Andainya aku meredah simbahan hujan ini, pasti aku akan basah kuyup. Kebetulan aku alah dengan titisan hujan. Silap tingkah boleh buat aku tidak bangun dari katil sehari dua.

Aku bergerak ke tengah sedikit mengelak tempias air hujan. Kecut perut tatkala pancaran kilat mendatang-datang. Petir dan kilat silih berganti. Kupeluk tubuh yang sudah diselubungi kedinginan. Tidak putus-putus aku berdoa semoga Allah melindungiku daripada sebarang musibah. Aku teringat pada Suzan, laju tanganku menyelongkar beg galas cuba mencari-cari iPhone. Malangnya iPhone yang kucari tiada di situ. Pasti tertinggal di rumah. Kupandang sekeliling cuba mencari telefon awan yang berdekatan. Semua tidak berapa jelas akibat ditutupi simbahan air hujan yang lebat. Namun tatkala aku teringat bahawa aku langsung tidak mengingati nombor telefon orang lain, terus sahaja aku lupakan niatku untuk menggunakan telefon awam.

Aku sudah kematian akal. Tidak tahu apa yang harus aku lakukan. Hujan semakin mengganas. Pakaian ditubuh sudah separuh basah akibat tempias air hujan. Ada air yang menitis dari rambutku. Kusapu-sapu muka yang turut sama basah. Tiada ruangan yang terkecuali daripada disimbahi air hujan di tempat berteduh ini. Kepalaku mula menyucuk-nyucuk sakit. Tubuhku terketar-ketar. Gigiku berlaga-laga menahan kedinginan. Pandanganku berpinar-pinar. Aku duduk di bangku panjang ini. Dentuman guruh dan pancaran kilat lebih kerap mendatang. Tiupan angin begitu kuat. Untuk mengelak terkena tempias air hujan, aku mengalih duduk. Lantas aku berteleku di sisi bangku cuba berselindung daripada tempias hujan. Kupejamkan mata. Akhirnya air mataku berjuraian ke pipi. Aku benar-benar ketakutan sekarang.

 “Iman ssi...!” sayup-sayup kedengaran suara lelaki melawan kebisingan hujan yang mencurah menimpa bumi. Aku berpaling. Sesusuk tubuh bersama payung di tangan berlari meredah hujan. Kuamati susuk tubuh lelaki yang berlari pantas ke arahku. Aku mendongak wajah itu. Aku dengan sepasang mata ini saling bertatapan.

“JGS...,” panggilku perlahan.

Are you okay?” soalnya merapatiku lalu menghulurkan tangan kepadaku meminta aku berdiri. Terketar-terketar tanganku menyambut tangannya. Aku berpaut pada kekuatan tangan ini untuk berdiri di sebelahnya. Jaket tebal di tangannya lantas diselubungkan ke tubuhku. Hilang sedikit dinginku. Yen sudah memaut kemas bahuku lalu melangkah sepayung membawaku ke keretanya. Daun pintu kereta ditolak. Aku sudah berada di dalam kereta. Begitu juga Yen. Kedua-dua belah telapak tanganku bertaut. Cuba melawan kedinginan yang membalut seluruh tubuhku. Yen menatapku seketika. Tanpa kuduga kedua-dua belah tangannya mendarat pada tautan tanganku yang bergetar tadi. Digosok-gosok tanganku cuba memindahkan haba kepadaku. Lama.

“Dah rasa okey?” soalnya sambil merenungku. Aku hanya mampu mengangguk.

“Kita balik sekarang. Sampai rumah nanti awak terus mandi air suam. Bimbang awak demam dan jangan lupa minum air panas banyak-banyak,” ujarnya memperingatkanku. Sekali lagi aku mengangguk. Kereta bergerak membelah simbahan hujan yang masih lebat. Aku mula bersin disusuli dengan batuk-batuk. Yen menoleh ke arahku.

“Awak buat apa kat situ?” soalnya. Senyap. Kalau boleh aku tidak mahu menjawab persoalan itu. Namun renungan Yen membuatkan aku tidak keruan.

“Tadi saya dan Suzan pergi cari drama Korea. Suzan terpaksa balik sebab ada hal tiba-tiba. So saya tinggal seorang kat situ. Tak sangka pula akan jadi macam ni,” ceritaku ringkas. Kedengaran keluhan berat Yen.

“Boleh tak awak buang hobi yang tak berfaedah itu. Awak tahu berapa kali saya call awak?” suara Yen tegang . Aku diam. Aku tahu Yen sedang marah sekarang.

“Maaf, iPhone saya tertinggal di bilik,” balasku perlahan.

“Itulah awak  cuai! Buat perkara yang merugikan. Berhentilah tergila-gilakan drama Korea tu. Takde faedahnya!” lantang suara Yen. Aku diam tertunduk. Tidak berani menatap wajah menyinga Yen. Tampak garang sangat. Buat pertama kali aku melihat dia marah sangat.

Foolery...,” keluhnya. Tersentak aku mendengar bicara itu. Sampai hati dia berkata sedemikian kepadaku.

Stupid thinking...,” sekali lagi dia mengeluarkan kata-kata kesat yang menyakitkan hati.

“Cukup...,” pintaku terguris. Aku memalingkan wajah keluar memandang simbahan hujan yang membasahi bumi. Terasa panas mengalir ke pipiku. Laju tanganku mengesat.  Aku tidak mahu pemuda Korea ini melihat aku menangis. Kalau ikutkan hati mahu aku memintanya memberhentikan kereta ini. Aku tidak ingin berada di sebelahnya saat ini.

Sesekali anak matanya melirik kepada gadis itu. Difikirkan kembali bicara yang telah keluar dari mulutnya itu. Terasa bersalah kerana telah berlaku kasar kepada gadis itu. Ingin juga dia meminta maaf, namun tidak terluah rentetan marahnya. Marah sebab gadis itu telah membangkitkan kerisauan dirinya. Begitu lama dia menanti akan kepulangan gadis itu. Panggilannya langsung tidak dijawab. Dia sungguh risau jikalau sesuatu musibah telah menimpa gadis itu.

Mujur dia ada nombor iPhone Linda. Linda yang menjejaki Suzan lalu mengkhabarkan di mana gadis itu berada. Maklumat yang dia dapat daripada rantaian komunikasi itu dia jadikan panduan untuk mencari gadis itu. Dia tahu gadis itu sedang ditimpa masalah. Betapa lega hatinya tatkala matanya terpandang tubuh yang sedang berteleku kedinginan itu. Ada simpati di hatinya. Dia nampak ada ketakutan menyelubungi gadis itu. Wajahnya pucat. Ingin sahaja dia memeluk tubuh yang kedinginan itu, namun akal waras menegahnya berbuat demikian. Dia tidak mahu gadis itu menuduhnya mengambil kesempatan. Lalu diluahkan sahaja geramnya kepada gadis itu.

Tatkala enjin kereta dimatikan, aku terus melangkah keluar, mengeluarkan kunci rumah lalu melangkah masuk. Kudaki anak-anak tangga untuk terus ke bilik. Yen memerhatikan langkah gadis itu.

 

“Saya belum makan lagi. Lapar ni, ” ujarnya. Aku meneruskan langkahku tanpa pedulikan bicara Yen. Suatu protes yang cuba aku tunjukkan. Sebetulnya aku masih terkilan dengan kata-katanya  sebentar tadi. Selebihnya aku rasa tidak sihat dan ingin berbaring. Namun tidak aku maklumkan perkara ini kepadanya. Aku berlalu ke bilik. Tiba di bilik terus membaringkan tubuhku ke tilam. Memang tidak larat hendak mandi. Kugagahi diri bangun menukar pakaian. Kemudian aku kembali berbaring. Berbaring untuk tidur. Harap-harap sebaik sahaja aku membuka mata nanti keadaanku akan lebih baik.

Dia menatap jam di tangannya, kemudian beralih ke anak tangga. Kelibat gadis itu belum kelihatan. Gelagatnya itu berulang beberapa kali. Ada perasaan gundah dalam dirinya. Dia tidak rela terus-terusan duduk di situ menanti kemunculan gadis itu. Lantaran itu, bingkas dia bangun dari sofa lalu mengatur langkah mendaki anak tangga satu persatu seterusnya menghalakan langkahnya ke bilik gadis itu. Beberapa kali diketuknya daun pintu bilik itu, namun tiada suara yang menyahut memberikan respons. Sunyi sepi.

“Iman ssi, saya nak masuk ni,” tuturnya. Ditolaknya perlahan daun pintu. Tatkala daun pintu terkuak dia melihat gadis itu masih lena terbaring di atas katil. Tubuh gadis itu diselubungi selimut. Dipanjangkan langkah mendekati gadis itu. Ditenung wajah itu. Dahi gadis itu dibasahi peluh. Cepat  telapak tangannya mendarat di situ.

“Panas. Awak demam, Iman ssi,” keluhnya. Laju langkahnya diatur keluar dari bilik itu. Beberapa minit kemudian dia muncul kembali bersama segelas air, ubat dan sebesen kecil air suam berserta tuala kecil. Ditarik selimut yang menyelubungi tubuh gadis itu.

“Iman ssi, bangun kejap makan ubat ni,” pintanya. Perlahan-lahan aku mengangkat kelopak mataku. Samar-samar aku nampak wajah Yen.

“Awak mesti makan ubat ni, awak demam,” tutur suara itu lembut. Kalau ikutkan hati berat aku hendak bangun. Namun memikirkan aku perlu pergi kerja dan menyiapkan kerja-kerja rumah, kupaksa juga diri bangkit dari perbaringan ini. Yen memaut bahuku lalu menyandarkan tubuhku di kepala katil. Kepalaku menyucuk-nyucuk. Pandanganku berpinar-pinar. Berkerut dahiku menahan sakit.

“Awak sakit kepala?”Aku mengangguk lemah. Kedengaran keluhan Yen.

“Tulah awak degil sangat. Awak tak sepatutnya buat perkara yang tak berfaedah tu. Tengok sekarang awak dah sakit. Langsung tak berbaloi apa yang awak buat ni,” leternya panjang. Aku menatapnya dengan hati yang sebak. Mahu sahaja aku menutup mulut murainya ini. Namun aku tidak cukup tenaga hendak melancarkan peperangan dengannya. Kejam. Dalam keadaan aku begini masih lagi dia mahu menyiat-nyiat hatiku. Melihat aku memandangnya dengan pandangan tajam yang tidak bermaya, dia terus diam. Segelas air kosong bersama dua biji pil disuakan kepadaku. Aku menelan ubat ini dan minum beberapa teguk air. Aku berbaring kembali. Laju tanganku menarik selimut cuba menyelimuti tubuhku yang dingin, namun pantas tangan Yen menghalangnya. Selimut diambil lalu diletak jauh dariku.

“Dalam keadaan sekarang, awak tak boleh berselimut. Badan awak panas.” tuturnya.

“Tapi saya dingin sangat sekarang,” balasku.

“Itu luaran je tapi hakikatnya dalam badan awak tu panas. Mari saya lap awak. Awak boleh berehat dan tidur sekarang,” arahnya lagi laksana seorang doktor. Aku kembali berbaring.

“Saya tak mahu!” protesku cuba menghalang tindakannya.

“Awak sakit sekarang! Jangan degil!” radangnya. Tuala kecil itu sudah diletak di dahiku. Kutepis. Yen menatapku tajam. Dicapainya tuala itu. Sekali lagi diletakkan di dahiku. Tanganku cuba hendak mencapai tuala kecil itu, pantas tangan Yen menghalangnya. Pergelengan tanganku dipegang.

“Kali ni boleh tak kalau awak dengar cakap saya?” omelnya sambil merenungku tajam. Aku mendengus bosan. Kutarik tanganku. Perasaan marahku padanya masih belum padam. Kupalingkan muka dari tatapan matanya. Tidak rela diperhatikan olehnya.

Mianhae (maaf)...,” sayup-sayup aku mendengar ungkapan maafnya itu. Aku berpaling menatapnya. Tidak sangka Yen akan menuturkannya.

“Saya tahu awak terasa dengan kata-kata saya tadi. Saya hanya nasihatkan awak dan perkara yang saya katakan itu memang betul,” ujarnya lagi. Kuletakkan kedua-dua belah telapak tanganku ke telinga. Satu isyarat menyatakan aku tidak mahu mendengar leterannya berpanjangan. Mujur juga dia faham dan terus mendiamkan diri. Mataku mula terasa mengantuk yang tidak dapat ditahan-tahan  lagi. Kesan pil-pil yang kutelan tadi sudah mula terasa. Akhirnya, kubiarkan sahaja tangan putih bersih itu sekejap meletak tuala kecil itu ke dahiku, sekejap melabuhkan tuala tersebut ke dalam besen kecil itu, kemudian dibilas lalu diletakkan kembali di dahiku. Berulang-ulang sehinggalah aku tertidur.

Ditenungnya lama wajah gadis itu. Kejadian di DLH kembali berputar di ingatannya. Kemarahan gadis itu masih jelas di matanya. Perkara yang mengejutkan dia tatkala dia disimbah dengan segelas air kosong. Pertama kali dalam hidupnya diperlakukan sedemikian. Selepas kejadian itu dia sedar bahawa gadis itu juga tertekan berada dalam situasi yang sama. Mereka terpaksa menerima ketetapan keluarga. Melihat gadis itu menangis hatinya begitu tersentuh lantas dia menyalahkan dirinya sendiri.

“Saya akan melindungi awak... Nur Zahra Nur Iman,” bisik hati kecilnya.  Beberapa jam berlalu dia masih setia berada di sisi gadis yang sedang lena itu. Beberapa kali dia menguap. Diletaknya telapak tangan di dahi gadis itu. Dia menarik nafas lega apabila suhu tubuh gadis itu kembali normal. Dipandang jam di tangan. Sudah mencecah ke pukul 2.30 pagi. Dia mengantuk sangat. Perlahan-lahan diletakkan kepala di birai tilam itu. Sekejap sahaja dia sudah terlena di situ.

Aku membuka mata. Sekarang mesti pukul 5.00 pagi. Kutatap jam. Tepat jangkaanku. Walaupun aku tidak mengunci jam untuk mengejutkan aku pada detik ini, aku tetap juga terjaga. Sudah jadi kelaziman aku akan terbangun pada jam begini untuk bersedia solat subuh. Kemudian menyiapkan sarapan dan melangsaikan kerja-kerja rumah. Aku berpaling dan tersentak melihat Yen sedang terlentok di birai katil. Dia tertidur di sebelahku dalam keadaan kepala terletak di atas tilam. Tidak sangka sepanjang malam dia menemani aku di dalam bilik ini. Dia bersekang mata sepanjang malam menjagaku. Aku menatap Yen seketika. Dia tidur nyenyak. Perasaan marahku semalam terus padam. Betapa aku terharu dengan kebaikan yang dicurahkan kepadaku dan aku terhutang budi kepada Yen.

“Apa impian awak?”  Aku senyum. Kutatap Suzan yang sedang menunggu bicaraku.

“Saya ada dua impian tapi saya tak boleh beritahu awak sebab saya hanya akan cakap pada seseorang,” jelasku.

Mr. Right?”Aku mengangguk.

“Wow... you so romantic!” Bilakah MR. Right itu akan muncul dalam hidupku? Siapakah dia?Aku tersenyum sendiri mengingati perbualanku dengan Suzan disusuli dengan keluhanku. Kutatap wajah Yen lagi. Betapa kehidupan ini penuh dengan kejutan. Aku tidak menyangka akan punya suami sehebat dia. Dia suamiku tetapi bukan milikku. Hatinya sudah terisi dengan seorang gadis jelita yang memang setaraf dengannya.

“Suzan, salah satu impian saya telah tercapai,” bisikku sendirian. Pandanganku masih terikat pada Yen yang terdampar lena di birai katil. Melihat dia mula bergerak, aku memejamkan mata semula berpura-pura tidur. Kedengaran dia sedang menggeliat. Sudah tentu tidur dalam keadaan sedemikian tidak mendatangkan keselesaan kepadanya. Tangannya mendarat di dahiku cuba menyukat suhu badanku. Dia menghela nafas lega. Dicapainya besen yang berisi air serta tuala kecil itu lalu melangkah keluar dari bilik ini.

Apabila yakin Yen tiada di bilik ini, kubuka mata kembali. Tangan kuletak di dahi. Aku tersenyum sendiri. Suka tatkala demam tidak menjadi. Tanpa pertolongan pemuda Korea itu sudah pasti aku masih terbaring lesu tika ini. Kutatap jam pada iPhone. Aku bangun lalu melangkah ke bilik air mengambil wuduk solat subuh. Kalau boleh sebarang bunyi tidak akan kedengaran agar Yen tidak menyedari bahawa aku sudah terjaga. Malas pula pagi ini hendak menyediakan sarapan. Dalam fikiranku sekarang aku hendak ambil MC untuk berehat memandangkan selsemaku sudah melarat.

Usai solat aubuh aku berbaring semula ke tilam. Tepat jam 8.30 pagi, kuhantar mesej kepada Suzan menyatakan yang aku MC hari ini serta pesananku agar dia menyampaikan salam maafku kepada Encik Rizal. Tidak sampai lima minit, Suzan membalas mesejku. Kemudian satu mesej lagi yang bertanyakan keadaan diriku. Menyusul pula beberapa mesej lain yang mengutus pelbagai persoalan. Mesej terakhirnya meminta aku berehat serta mendoakan semoga aku cepat sembuh.

Sekali lagi aku melangkah ke bilik air untuk mandi. Sedang aku bersiap-siap, aku terpandang ubat yang Yen suruh aku makan semalam. Pagi ini aku perlu telan ubat tersebut agar aku sihat sepenuhnya. Aku perlu mengisi perut sebelum menelan ubat itu seperti arahan yang tercatat pada sarung plastik ini. Laju langkahku ke muka pintu. Sunyi sepi. Mungkinkah Yen masih tidur di biliknya. Tatkala langkahku tiba di dapur, aku menatap tudung saji di atas meja. Ada memo yang ditinggalkan di situ.

 

~Anyonghaseyo. Jangan lupa makan bubur dalam periuk tu. Saya masak untuk awak. Semoga awak kembali ceria. Masitge deusey / selamat menikmati! Mianhae / maaf….~

 

Aku tersenyum membaca memo yang ditulisnya itu. Laju kakiku membuka periuk. Bubur yang dimasak masih panas dan nampak begitu menyelerakan. Cepat tanganku mencapai mangkuk dan senduk. Kebetulan aku tidak makan semalaman, maka terasa lapar sungguh. Boleh tahan juga pemuda Korea ini masak bubur. Lain kali bolehlah aku  menuntut ilmu dengannya. Asalkan tahan mendengar kutukannya, pasti dia akan menurunkan ilmunya itu kepadaku. Dua kali aku menambah bubur ini. Risau pula ubat yang belum aku telan ini sudah tiada ruang di perutku memandangkan perutku telah penuh diisi dengan bubur tadi. Segera aku menelan dua biji pil yang sudah berada di tanganku. Kupejamkan mata tatkala menelan pil-pil ini. Terasa begitu sengsara.

Aku kembali ke bilik lantas berbaring semula di tilam. Kupejamkan mata cuba untuk lena. Sedetik, seminit hingga lima minit beredar, aku masih belum mampu melelapkan mata. Huhhh! Begitu membosankan tatkala aku kematian akal persis sekarang. Fikiranku buntu. Bosan. Kesihatanku sudah pulih. Selsema sahaja yang masih membelenggu diri. Dalam aku diserang bosan yang amat, fikiranku melayang kepada cd yang aku beli semalam. Kupandang sekitar bilik mencari bayangan beg galasku. Langsung tidak kelihatan. Aku mengingat kembali kejadian semalam. Angkara marah berbaur terkilan terhadap pemuda Korea itu, aku terburu-buru meninggalkannya. Memang sahih beg galasku tertinggal di dalam kereta pemuda itu. Punah harapanku untuk menonton drama Korea ‘My Princess’.  

Dalam aku terkontang-kanting diselubungi kebosanan, tiba-tiba iPhone menjerit-jerit. Aku berpaling menatap skrin. Perkataan‘My Bos’ tertera di situ. Sempat aku berandaian sendiri yang Suzan belum memaklumkan kepada Encik Rizal tentang ketidakhadiranku di tempat kerja hari ini. Sedikit bergetar naluriku. Risau telah menimbulkan kemarahan Encik Rizal. Kucapai iPhone  lalu kutekan punat panggilan dijawab.

“Assalamualaikum...,” sapaku penuh berwaspada. Kedengaran suara tenang Encik Rizal menjawab salamku. Aku menarik nafas lega. Syarat awal Encik Rizal dalam mood baik sekarang.

“Awak dah sihat? Suara awak lain macam saja saya dengar,” lembut suara Encik Rizal singgah di cuping telingaku.

“Selsema Encik Rizal,” balasku pendek.

“Dah makan ubat? Ada ubat tak? Saya hantar ubat untuk awak,” ujarnya prihatin.

“Eeehh…. takpe Encik Rizal. Saya dah makan ubat. Yen ada beli ubat untuk saya,” balasku.

“Yen?” suaranya keliru. Alamak! Aku tersasul menyebut nama  pemuda Korea itu.

“Siapa tu? Anak mak cik awak ke?” soalnya lagi.

“Ya…ya…,” cepat aku mengiyakan. Risau kalau Encik Rizal akan lebih banyak mengemukakan pertanyaan kepadaku.

“Boleh saya datang jenguk awak sekarang?” Aku terkedu.

“Maaflah Encik Rizal. Saya seorang je kat rumah sekarang. Tak sedap hati pula nak benarkan Encik Rizal datang ke sini. Nanti apa kata mak cik saya pula. Saya ni orang kampung, kolot sikit,” ujarku berlapik bagi tidak menyinggung perasaan dek hajatnya ditolak.

“Betul juga kata awak tu. Saya ni risau sangat dengan awak. Tadi Suzan ada maklumkan kepada saya yang awak MC sebab tu terus call awak,” ceritanya.

“Terima kasih Encik Rizal,” ujarku terharu dengan keprihatinan yang ditunjukkannya. Dialah bos yang bertimbang rasa dan berhati mulia.

“Kalau macam tu saya gantung je buah oren kat pagar rumah mak cik awak tu ye. Nanti dah  okey, awak keluarlah  ambil. Buah oren kaya dengan vitamin C dan sangat baik untuk merawat selsema,” jelasnya persis seorang doktor.

“Eeehh... takpe Encik Rizal, menyusahkan saja,” pintasku.

“Takpe. Bila dah sampai nanti saya whatsapp awak,” Klik. Panggilan diputuskan. Aku terkedu sejenak. Moga-moga Encik Rizal membatalkan niatnya. Aku tidak boleh tenang jika Encik Rizal terlalu baik denganku. Paling menakutkan aku tidak mahu terhutang budi kepada sesiapa sahaja khasnya Encik Rizal. Sungguh aku takut kalau aku dikatakan bijak mengambil kesempatan atas kebaikan Encik Rizal. Kira-kira 30 minit kemudian kedengaran bunyi mesej masuk. Tepat. Mesej daripada Encik Rizal.

~ Salam. Saya dah sangkut buah oren kat pagar rumah mak cik Iman. Jangan lupa makan ye. Semoga cepat sembuh kembali. Sesungguhnya, senyuman Iman adalah kebahagiaan dan kegembiraan saya~

Terkedu aku membaca whatsapp daripada Encik Rizal ini terutama pada ayat yang terakhir. Begitu dalam maknanya. Di luar sana kedengaran bunyi deruan kereta. Segera aku bergerak ke jendela. Kuselak sedikit langsir cuba meninjau-ninjau keadaan di luar sana. Aku sempat melihat bontot kereta BMW hitam metalik milik Encik Rizal bergerak meninggalkan perkarangan banglo ini. Kemudian aku mengatur langkah ke halaman rumah. Kucapai beg kertas yang berisi buah oren itu. Aku menatap buah oren yang siap dibungkus cantik di dalam sbakul rotan bertangkai lengkap dihiasi dengan bunga riben berwarna  merah jambu warna kegemaranku. Persis barang hantaran pengantin pula. Kucapai iPhone lantas kuhantar penghargaanku kepada Encik Rizal.  

~TQ atas pemberian sebakul oren yang cantik menawan ni.....~

~ So cute ......like you ~ Aku terdiam lagi. Bicara Encik Rizal sekarang penuh makna tersirat. Mungkin dia sedang dilamun cinta? Aku?????

No comments:

Post a Comment