Ini kali kelima aku ke tandas. Sudah lenguh aku mencangkung di tandas. Sakit perut semakin memulas-mulas. Kutoleh ke arah jam. Sudah pukul 1.30 pagi. Waktu ini Yen sudah lena dibuai mimpi. Kebetulan pula Puan Sodiah siang tadi sudah balik ke kediamannya setelah genap tiga hari tiga malam berada di sini. Aku membaringkan tubuh ke tilam. Terasa lemah sangat akibat tubuhku kehilangan banyak air. Tidak sampai lima minit berbaring di katil ini, aku bingkas bangun lalu berlari ke tandas lagi. Detik yang kulalui begitu menyeksakan. Aku sudah tidak mampu bertahan lagi. Aku tiada pilihan lain. Akhirnya aku melangkahkan kaki ke bilik Yen.
Kuketuk daun pintu bilik Yen beberapa kali. Sunyi. Betapa nyenyak dia tidur. Dia langsung tidak terjaga dengan ketukan di muka pintu bilik. Sekali lagi aku tiada pilihan. Kutolak daun pintu. Mujur pintu tidak berkunci. Lantas kulangkahkan kaki masuk ke dalam bilik lalu berdiri di tepi katil memandang Yen yang sedang nyenyak tidur.
“Jang Geun Suk...,” panggilku perlahan. Langsung tidak bergerak. Yen langsung tidak terganggu dengan panggilanku. Sakit perutku mendatang lagi. Aku cuba bertahan. Telapak tangan mendakap perutku. Aku berteleku di tepi katil. Tidak larat berdiri kerana sakit perut terasa begitu mencengkam.
“Jang Geun Suk...!” panggilku lagi. Yen tidur mati. Lontaran suaraku tidak berkesan membangunkannya. Aku mendekati. Kupanjangkan tangan lalu mendarat di tubuh Yen.
“Jang Geun Suk...!” panggilku sambil mula menggegar tubuhnya. Kali ini Yen mula bergerak. Dia menggeliat beberapa kali. Perlahan-lahan kelopak mata diangkat. Dia terkebil-kebil menatapku. Bingkas Yen bangun sambil menggoso-gosok mata.
“Kenapa ni? Muka awak pucat,” tuturnya sambil menguap. Dia memandang jam.
“Saya sakit perut sangat ni. Dari tadi tak boleh tidur. Dah enam kali saya pergi ke tandas,” ujarku perlahan menahan sakit perut. Yen menatapku.
“Awak banyak sangat makan kimbap. Perut awak tak dapat menerimanya. Saya bawa awak pergi ke klinik,” ujar Yen lantas bangkit meninggalkan katil dan terus sahaja mencapai jaket yang tergantung di tepi pintu. Dia melangkah ke bilik air membasuh muka. Yen muncul dari bilik air lalu melangkah ke muka pintu. Perlahan-lahan aku mengekori langkah Yen.
“Okey tak?” soal Yen berpaling kepadaku. Aku hanya mengangguk. Terbongkok-bongkok aku mengekori langkah Yen ke halaman. Yen memecut kereta dengan laju menggerunkanku. Mujur jalan lengang. Maklumlah penghuni bumi Malaysia kebanyakan sedang lena dibuai mimpi jam-jam begini. Memandangkan aku sedang kesakitan sekarang, maka kupendamkan kerisauan dalam hati. Tidak larat aku hendak melancarkan petikaman lidah dengannya. Doktor yang merawatku membekal oral rehydration salts perisa oren dan avtivated charcoal 200 mg. Harap-harap mujarab untuk sakit perut dan cirit birit ini. Mujur ada klinik yang beroperasi 24 jam dan ada doktor yang sanggup bersekang mata sepanjang malam. Tiba di rumah, Yen mengarahkan aku berbaring di sofa sementara dia mengambil air, gelas dan sudu untukku.
“Lepas awak telan ubat-ubat ni, cuba bawa tidur. Badan awak lemah sekarang sebab banyak kehilangan air,” nasihat Yen. Aku mengangguk.
“Esok tak payah kerja. Awak ambik MC,” arah Yen. Aku mengangguk lagi. Dalam keadaan sekarang, memang aku tidak bertenaga hendak pergi kerja. Harap-harap Encik Rizal memahami masalah yang menimpaku sekarang. Memandangkan belum lama aku ambil MC gara-gara demam selsema, risau pula kalau ada yang tidak percaya aku sakit lagi bulan ini. Paling merisaukan kalau ada yang beranggapan aku ambil kesempatan atas kebaikan Encik Rizal.
“Esok saya jumpa bos awak beritahu dia awak MC,” ujar Yen mengejutkanku. Laju aku berpaling menatapnya. Ada kesungguhan terpamer di situ. Yen memang serius dengan bicaranya.
“Tak payah. Saya suruh Suzan je cakap kat Encik Rizal nanti,” ujarku menolak pertolongan Yen itu. Yen menatapku. Ada persoalan daripada reaksi wajah yang dipamerkan itu.
“Awak dah sedia ke kalau hubungan yang kita rahsiakan selama ini diketahui orang lain?” soalku menjawab reaksi wajah yang ditunjukkan itu. Diam. Yen belum mahu berbicara. Barangkali sedang berfikir. Tidakkah dia terfikir bahawa kedatangannya ke situ bakal menggemparkan dan mengejutkan warga Rozana Cupcake Conner. Bahkan menimbulkan banyak persoalan. Dia ingat gadis-gadis di Rozana Cupcake Conner tidak akan teruja melihat wajah dia itu. Aku tidak percaya kalau mereka tidak menghiraukan kehadiran Yen ke situ.
“Jangan-jangan awak yang tak nak lelaki itu tahu yang awak ni ialah isteri saya,” serkap jarang Yen.
“What?” Langsung aku tidak terfikir Yen akan berfikir sejauh itu. Aku dan Yen saling berpandangan seketika.
“Daripada awak fikir yang bukan-bukan, baik awak tidur sekarang,” arahku lalu berpaling menatap jam di situ. Pukul 3.00 pagi. Yen membaringkan tubuh ke sofa sambil berbantalkan lengan. Terkebil-kebil aku melihat gelagatnya itu.
“Awak baring kat situ. Biar saya temankan awak,” ujarnya tanpa memandangku.
“Tidurlah kat bilik awak,” arahku lagi.
“Kenapa? Awak takut dengan saya ke?” soalnya tersenyum simpul menatapku. Aku mengeluh.
“Bukan takut tapi tak selesa,” balasku jujur.
“Awak tak selesa kalau saya dekat dengan awak?” soalnya. Aku mengangguk. Memang aku tidak selesa kalau hendak tidur di depan pemuda Korea ini. Sebenarnya inilah maksud bicaraku yang hendak aku sampaikan kepadanya.
“Kalau awak tak selesa bersama saya, maksudnya awak ada hati kat saya,” tutur Yen selamba sambil tersenyum-senyum.
“Aigooo.... Awak memang seorang yang mudah perasan,” perliku.
“Yah...!” Yen melenting mendengar tuduhanku itu. Aku tersenyum.
“Kalau awak nak tidur kat sini, silakan. Saya nak masuk bilik sekarang,” ujarku lantas bangun meninggalkannya terbaring di situ.
“Kalau awak masih tak selesa dan perlu pertolongan... kejutkan saya!” laungnya seakan tidak mahu berganjak dari situ.
“Terima kasih,” balasku berbesar hati. Cukup senang dengan kemuliaan hati Yen. Aku tahu dia memang seorang yang prihatin dan bertimbang rasa biarpun adakala terlebih memuji diri. Sesungguhnya sebagai insan biasa yang dianugerahkan banyak kelebihan dan keistimewaan, ada masa tidak lari dari bangga diri. Sebab itu dia merasakan dirinya sentiasa dipuja oleh ramai gadis. Maka jadilah dirinya YEN AIEQAL SHUEIN .... SI PEMUDA PERASAN...!!!!! Ha...ha...ha...
%%%%%%%%%%%%%%%%
Baru sahaja aku hendak memejamkan mata di atas sofa ruang tamu ini, tiba-tiba kedengaran bunyi loceng pintu dan suara lelaki memberi salam. Ada tetamu yang berkunjung sekarang. Dengan malas aku bangkit dari perbaringan lalu mengatur langkah ke muka pintu utama. Mustahil pula Yen yang muncul sedangkan dia baru sahaja pergi. Barangkali dia tertinggal barang menyebabkan dia berpatah balik ke sini. Bukankah Yen sendiri memiliki kunci banglo ini. Namun tidak mustahil kalau Yen malas hendak menggunakan kunci banglo ini memandangkan dia menyatukan kunci banglo dengan kunci keretanya pada rantai kunci yang sama.
Jangan-jangan Encik Rizal yang berada di luar sekarang. Namun seberani itukah dia bertandang ke sini? Sempat aku tersenyum sendiri. Cepat aku menyedarkan diri agar tidak mencontohi perangai Yen. Tidak tegaku menjadi manusia yang cepat perasan. Aku dan Encik Rizal bukan ada hubungan istimewa yang mendorongnya segera bertandang ke sini. Aku bukan kekasih Encik Rizal yang menyebabkan dia berlebih-lebihan prihatin terhadap diriku. Bahkan aku pernah memaklumkan kepadanya yang aku tidak akan menerima tetamu lelaki pada saat bersendirian di sini. Encik Rizal pun jenis manusia yang bertatasusila. Tatkala aku menarik daun pintu, Pak Mahat terpacak di depanku dengan senyuman mesra. Aku sedikit kaget dengan kunjungannya pada awal pagi ini.
“Puan Muda, saya datang ni nak jemput puan. Puan Sodiah suruh saya bawa puan ke Villa Sentosa,” tutur Pak Mahat lalu menundukkan kepala tanda memberi hormat kepadaku. Aku tersenyum sendiri mendengar Pak Mahat memanggilku sedemikian. Mujur juga dia tidak membahasakan diri Puan Sodiah sebagai Puan Tua. Kalau tidak pasti aku akan tergelak besar tadi.
“Pak Mahat, janganlah panggil saya begitu. Pak Mahat boleh panggil saya Iman,” pintaku kurang senang dengan panggilan Puan Muda itu.
“Tapi...,”
“Panggil Iman. Saya lebih senang kalau Pak Mahat panggil saya Iman,” pintaku penuh pengharapan. Cepat aku memintas bicara Pak Mahat. Aku dan Pak Mahat setaraf. Lagipun Pak Mahat hanya bekerja dengan keluarga Datuk Kamarudin dan bukan dengan aku. Jadi tidak pantas dia memanggilku sedemikian.
“Boleh tak Pak Mahat panggil saya Iman?” soalku. Nampak Pak Mahat serba salah. Wajahnya kerisauan. Mungkin aku telah memberi tekanan kepadanya. Kasihan juga dengan Pak Mahat. Aku memang menghormati Pak Mahat yang nampak seusia Pak Long ini. Tentu Pak Mahat gentar kepada Puan Sodiah dan Datuk Kamarudin.
“Macam ni jelah. Pak Mahat boleh panggil saya Puan Muda di depan Puan Sodiah tapi di depan orang lain termasuk diri saya sendiri, Pak Mahat mesti panggil saya Iman. Boleh tak?” ujarku mula memberi pilihan kepada Pak Mahat sekali gus mementerai perjanjian antara kami. Perlahan-lahan Pak Mahat mengangguk tanda setuju dengan permintaanku. Kali ini barulah dia boleh tersenyum kembali.
“Apa yang Pak Mahat kata tadi?” soalku kembali pada bicara awal tadi. Ambil masa juga memujuk Pak Mahat agar memanggilku dengan nama, bukan dengan gelaran atau pangkat. Tidak pasal-pasal pula aku boleh lupa dengan tujuan kedatangan Pak Mahat ke sini.
“Puan Sodiah suruh Iman datang ke Villa Sentosa sekarang ,” tutur Pak Mahat lebih yakin buat aku tersenyum. Panggilan itu baru sesuai denganku.
“Puan Sodiah suruh saya pergi ke sana? Buat apa Pak Mahat?” soalku bertalu-talu. Pak Mahat geleng kepala sambil tersenyum. Terlupa aku bahawasanya Pak Mahat hanya pemandu peribadi keluarga Yen. Bukan urusannya untuk mencampuri hal-hal keluarga Datuk Kamarudin. Dia hanya tahu menurut perintah dan menerima arahan tanpa sebarang pertanyaan. Akhirnya demi kasihankan Pak Mahat, aku bersetuju mengikut Pak Mahat bertandang ke Villa Sentosa untuk memenuhi hajat Puan Sodiah.
“Sepanjang hari ini Iman berehat je kat sini,” bicara pertama yang keluar dari mulut Puan Sodiah menyambut kedatanganku. Aku terkedu dan tidak terkata. Mungkin Yen telah memaklumkan kepada Puan Sodiah tentang keadaan kesihatanku sekarang.
“Malam ini pun Iman tidur di sini,” Aku tersentak lagi. Awal-awal lagi Puan Sodiah sudah merancang segalanya. Begitu rapi. Senyap.
“Iman tak sudi ke tidur kat sini?” soal Puan Sodiah bernada rajuk lantaran diamku yang panjang. Laju aku geleng kepala menafikan andaian Puan Sodiah itu. Hati tua mudah tersinggung.
“Nenek nak jaga Iman. Nenek bersalah menyebabkan Iman sakit perut,” tutur Puan Sodiah perlahan.
“Hey, bukan salah nenek. Saya dah sihat pun. Nenek tak payah susah hati,” pujukku menenangkan dirinya. Barangkali Puan Sodiah menyalahkan diri kerana aku cirit-birit gara-gara makan kimbap yang dibuatnya. Hakikatnya perutku yang tidak berdaya tahan. Yen juga makan kimbap dengan banyak tetapi dia sihat walfiat sahaja.
“Iman kata dah sihat? Cuba tengok muka Iman tu, pucat lesu,” rungut Puan Sodiah tidak bersetuju dengan kenyataanku sebentar tadi. Aku terdiam. Sebetulnya aku perlu tidur sebab sepanjang malam aku berjaga. Melihat keseriusan Puan Sodiah, aku mengalah dan memutuskan untuk patuh sahaja kepada kehendak hati Puan Sodiah. Kulihat Puan Sodiah tersenyum lebar kerana telah berjaya memujukku.
TATKALA kakinya melangkah masuk ke dalam banglo itu terasa begitu sunyi. Dilontar pandangan pada sofa di ruang tamu. Selalu dia melihat gadis itu akan berada di situ menegur sapa dan seakan menyambut kepulangannya. Sebetulnya sedang khusyuk menonton program tv KGBS. Yen melabuhkan duduk di sofa itu lalu menyandarkan tubuh ke situ. Betapa keletihan menguasai diri. Dia memejamkan mata cuba menghilangkan kepenatan. Namun mata terbuka semula. Dia melirik ke arah jam yang sudah mencecah ke angka 6.00 petang. Sudah lewat namun gadis itu belum pulang lagi. Laju tangannya mengeluarkan iPhone dari saku seluar jeans. Baru sahaja hendak menekan nombor itu dia segera mematikan niat. Dia berfikir seketika. Lantas diletak ke tepi iPhone itu. Ada sesuatu yang menghalangnya bertindak meneruskan hajat tadi. Turut dirasakan tidak patut dia menghubungi gadis itu. Apatah lagi dia yang mengkhabarkan kepada Puan Sodiah tentang keadaan gadis itu.
Dia melangkah longlai ke bilik. Dibaling tubuh ke tilam empuk itu. Dia berbaring seketika di situ. Terlentang kaku namun sepasang anak matanya liar memerhatikan sekeliling. Pandangan jatuh pada potret wanita jelita itu.
“Mama, kenapa tiba-tiba Yen rasa gelisah dan sunyi sangat saat ini,” luah hatinya berbicara pada potret itu. Betapa keliru dirinya dirasakan saat ini.
“Jang Geun Suk...!” suara gadis itu kedengaran di telinganya. Bingkas dia bangkit dari perbaringan lalu melangkah laju keluar dari bilik. Pandangannya bertebaran di setiap sudut banglo itu. Tiada sesiapa di situ selain dirinya yang bersendirian. Beberapa minit kemudian baru dia sedar bahawa hanya dia seorang sahaja yang berada di situ. Yen geleng-geleng kepala dan tersenyum sendiri. Lalu dia melangkah longlai kembali ke bilik.
Kesunyian makin terasa. Dicapai gitar yang tersandar di dinding. Cuba menghibur diri, menghalau sepi yang mendatangi dirinya. Betapa dia diserang bosan yang amat tika ini. iPhone berdering. Laju kakinya melebarkan langkah sehingga hampir-hampir membuatkan dirinya terjatuh kerana kurang berhati-hati. Dia alpa seketika tentang keselamatan dirinya gara-gara tidak mahu terlepas panggilan itu. Tatkala terpandang sebaris nama pada skrin itu, lantas terukir sebuah senyuman di bibirnya. Hatinya menyanyi riang.
“Yah, awak kat mana sekarang!!! Kenapa belum balik lagi!!!” suara Yen bertempik menggegarkan gegendang telingaku. Kujarakkan iPhone dari telingaku. Telingaku terasa sakit. Bedebah betul pemuda Korea ini. Suara persis halilintar membelah bumi. Silap hari bulan boleh buat aku jadi pekak.
“Sebagai seorang muslim, kita patut bagi salam sebelum memulakan perbualan,” tegurku kurang senang dengan perangai Yen. Sepi. Pandai pula dia senyap.
“Salam itu doa dan penawar tau. Kita doakan kesejahteraan orang itu. Kita dapat pahala. Bukan susah pun nak buat. Awak tak mahu kumpul pahala banyak-banyak ke?” soalku menyambung bicara.
“Awak ni bisinglah,” rungutnya.
“Ingat baik-baik pesanan saya tadi,” tuturku tidak menghiraukan rungutannya itu.
“Kenapa awak tak balik-balik lagi? Saya lapar ni,” rungutnya persis anak kecil yang sedang kelaparan mengadu pada si ibu. Makan! Makan! Itu sahaja yang dia tahu. Gemar sangat memerintah.
“Awak makanlah kat luar dengan Velviana. Malam ini saya tidur kat Villa Sentosa temankan nenek. Tak payah tunggu saya. Bye...,” ujarku memaklumkan.
“Yah...!” Kedengaran suara lantang Yen. Klik. Laju jariku mematikan panggilan itu. Kutekan perlahan-lahan telingaku. Terasa berdesing-desing. Suara Yen betul-betul telah menyucuk-nyucuk gegendang telingaku. iPhoneku berbunyi. Nama Jang Geun Suk tertera pada skrin. Laju jariku mematikan panggilan itu lalu menekan off. Padan muka dia. Malas aku hendak melayan kerenah Yen yang mengganas saat ini. Cukuplah telingaku sakit mendengar suaranya tadi.
Beberapa kali nombor ditekan, namun yang didengar hanya suara perempuan yang berulang-ulang mengarahkannya meninggalkan pesanan kerana nombor didail tidak aktif lantas tidak dapat dihubungi. Yen mendengus marah. Geram dia diperlakukan sedemikian oleh gadis itu. Dia tahu iPhone telah dimatikan agar dia tidak dapat menghubunginya. Yen kembali berbaring di katil.
“Malam ini saya tidur kat Villa Sentosa temankan nenek. Tak payah tunggu saya. Bye...,” suara gadis itu bermain-main di telinganya.
“Tak boleh jadi ni...,” Bingkas dia bangun. Dicapai tuala lalu melangkah ke bilik air. Malam ini dia tidak mahu bersendirian di banglo itu. Sedang dia menyiapkan diri di depan cermin, kedengaran iPhone berdering. Dia berpaling menatap skrin iPhone. Keluhan tercetus. Panggilan itu dijawab dengan perasaan malas.
“Sorry Vel, malam ini saya ada hal. Esok je saya temankan awak,” janjinya.
“Hal apa?” soal gadis itu sangsi.
“Saya nak pergi ke rumah parent saya,” jelasnya.
“Lewat begini? Apa halnya?” sedikit risau nada suara itu.
“Saya nak ambik barang saya. Penting sangat,” balasnya lancar.
“Oh..., okey. See you tomorrow,” suara gadis itu tidak kedengaran lagi. Yen menatap iPhone yang masih berada di tangannya. Direnung seketika.
“Nak ambik barang ... penting sangat,” diulangnya sebaris ayat yang keluar dari mulutnya tadi. Dia tersenyum sendiri. Sudah kedengaran suara yang menuturkan perkataan ‘aigooo...’ di telinganya.
“Awak memang seorang yang mudah perasan,” suara gadis itu masih setia menemani langkahnya meninggalkan banglo mewah itu. Untuk sekian kali dia tersenyum sendiri lagi.
“Iman dah call Yen?” kedengaran suara Puan Sodiah bertanya. Aku berpaling lalu mengangguk. Puan Sodiah duduk di ruang tamu bersamaku.
“Biar malam ni Yen tidur sorang-sorang di sana,” ujar Puan Sodiah tersenyum sendiri.
“Nek, dah lama ke Yen tak tidur kat sini?” soalku ingin tahu. Sejak aku tinggal bersama Yen, tidak pernah pun dia tidur di Villa Sentosa ini mahu pun mengajakku untuk bermalam di sini. Puan Sodiah menatapku.
“Dia mana mahu tidur kat sini Iman. Nak berkunjung kat sini pun susah. Kalau tak dipaksa- paksa, mana dia mahu datang. Itu pun selalunya ada hal nak dibincangkan. Kalau sekadar nak datang saja-saja jangan haraplah,” rungut Puan Sodiah geram. Teruk betul perangai Yen. Langsung tidak tahu menghargai ikatan kekeluargaan. Patutlah dia tidak pernah percaya pada ikatan perkahwinan. Rupa-rupanya ikatan kekeluargaan itu tidak bernilai padanya. Dahsyat betul pegangan hidupnya. Nasib baik aku hanya jadi isterinya pada kertas sahaja. Nun jauh di sudut hati aku tetap bersimpati kepada Yen dan Datuk Kamarudin. Tidakkan selamanya hubungan mereka dingin. Yen perlukan Datuk Kamarudin untuk merasai kasih sayang seorang ayah. Begitu juga Datuk Kamarudin perlukan kasih sayang Yen malah sebagai penyambung warisan generasi keluarga Yen. Tanggungjawab Yen besar terhadap keluarga ini. Mampukah pemuda Korea itu memikul tanggungjawab itu pada masa hadapan? Adanya Velviana di sampingnya pasti Yen mampu menghadapi segalanya. Di sebalik kejayaan seorang lelaki, di belakangnya berdiri seorang wanita yang sentiasa menyokongnya. Wanita diperlukan oleh lelaki. Sama seperti Yen perlukan Velviana.
“Oh, Iman ada kat sini!” ada suara berbicara mesra. Aku berpaling. Datuk Kamarudin yang baru sahaja melangkah masuk tersenyum kepadaku. Aku membalas senyuman itu. Lewat dia habis kerja. Inilah rutin kehidupan ahli perniagaan yang berjaya.
“Lama dah sampai?” soal Datuk Kamarudin sambil anak matanya liar memandang sekeliling. Agaknya cuba menjejaki bayangan Yen. Kasihan Datuk Kamarudin. Aku mengangguk menjawab pertanyaan itu.
“Dari pagi tadi dia ada kat rumah ni. Iman tak berapa sihat, Kamarul,” celah Puan Sodiah memaklumkan kepada anaknya sekali gus ayah mertuaku. Datuk Kamarudin menatapku lagi. Aku senyum.
“Bagaimana sekarang? Dah okey ke?” soalnya risau.
“Dah okey,” balasku tersenyum.
“Yen mana? Dia tinggalkan kamu sorang-sorang kat rumah ke?” soal Datuk Kamarudin menyiasat. Aku diam. Kedengaran keluhannya.
“Budak itu memang tak boleh diharap,” rungutnya geram.
“Sakit saya tak serius Datuk...eeerr...ayah,” ujarku tersasul. Janggal benar memanggil Datuk Kamarudin sedemikian.
“Saya yang suruh dia pergi kerja tak payah temankan saya. Lagi pun hari ini nenek yang jaga saya dengan limpahan kasih sayang,” tambahku tersenyum sambil melirik kepada Puan Sodiah. Puan Sodiah tersenyum. Begitu juga dengan Datuk Kamarudin. Puan Sodiah memang menjagaku dengan baik sekali. Bagai menatang minyak penuh. Layanan kelas pertama telah diberikan kepadaku. Seketika terasa diri bagai tuan puteri. Beginilah kasih sayang Puan Sodiah kepada menantu keluarga ini. Beruntunglah Velviana kerana dia ialah wanita pilihan Yen yang akan merasai kasih sayang itu.
“Iman borak-boraklah dulu dengan nenek. Ayah nak berehat kejap,” tutur Datuk Kamarudin sebelum melangkah meninggalkan aku. Aku mengangguk dan tersenyum. Alangkah baik kalau Yen juga ada di sini. Pasti akan menggembirakan hati Datuk Kamarudin biarpun dia tidak meluahkan secara terang-terangan. Namun hati seorang ayah tidak mampu menafikan betapa menggunung kasih sayang terhadap anaknya. Sesungguhnya, air yang dicincang tidak akan putus.
“Dah berapa lama Yen tak tinggal di sini nek?” soalku.
“Habis sekolah menengah sebaik saja dia belajar di universiti,” ujar Puan Sodiah disusuli dengan keluhan. Tergamam aku mendengar kenyataan Puan Sodiah. Satu jangka masa yang panjang. Bererti sudah sekian lama juga Yen dingin dengan Datuk Kamarudin.
“Nenek memang sentiasa berharap dan berdoa agar hubungan mereka dapat dipulihkan. Kalau boleh nenek nak tengok mereka hidup berbaik-baik seperti orang lain sebelum nenek menutup mata. Nenek ni bukan sihat lagi,Iman,”keluh Puan Sodiah sayu.
“Nenek janganlah cakap macam tu. InsyaAllah segalanya akan dipermudahkan oleh Allah. Perkara yang baik selalu diperkenankan Allah. Kita sama-sama berusaha dan banyak-banyak berdoa” pujukku seraya menepuk-nepuk lembut tangan Puan Sodiah cuba mendamaikan hatinya. Laju tangan Puan Sodiah mengesat air mata dengan hujung tangan baju. Dia kembali senyum. Senang hati mendengar pujukan gadis itu. Aku berbual banyak perkara dengan Puan Sodiah. Banyak juga informasi tentang Yen yang aku peroleh daripada Puan Sodiah. Kelekaan kami berbual terganggu dengan bunyi deruan kereta yang memasuki halaman.
“Siapa pula yang datang lewat-lewat begini,” keluh Puan Sodiah lantas bergerak ke muka pintu. Cuba menjenguk tetamu yang bertandang. Aku masih di tempat dudukku di sofa ini menghadap tv. Langsung tidak terganggu dengan deruan kereta yang baru memasuki halaman Villa Sentosa ini. Tiada yang merisaukan kalau pun ada yang berniat jahat kerana seluruh kawasan di sini dijaga oleh beberapa orang pengawal yang tampak gagah perkasa dengan tubuh yang sasa. Lagak persis atlet bina badan. Barangkali bodyguard yang Datuk Kamarudin import dari Korea. Namun tidak setampan dan sekacak Yen yang persis kembar Jang Geun Suk. Aku tersenyum sendiri.
“Hey, hero tampan nenek yang datang ni,” suara Puan Sodiah kedengaran begitu ceria. Aku berpaling ke situ. Terkejut aku melihat Yen sedang tersenyum di sebelah Puan Sodiah sedang melangkah ke ruang tamu ini.
“Awak terkejut tengok saya ke?” suara itu singgah di telingaku. Memanglah aku terkejut sangat. Tidak sangka selewat begini Yen akan muncul di Villa Sentosa ini. Apa mimpi dia bertandang ke sini?
“Kenapa awak tengok saya begitu?” soal Yen. Puan Sodiah tersenyum mendengar pertanyaan pemuda itu. Barangkali kedatangan Yen ini sekadar untuk menjemputku balik. Balik ke banglonya semata-mata memasak untuknya. Bukankah dia sedang kelaparan tadi. Mustahil pula dia ingin bermalam di sini.
“Awak datang ke sini nak bawa saya balik ke? Saya nak tidur sini,” ujarku tiba-tiba. Yen yang sudah duduk di depanku mempamer muka bersahaja. Pantas romete di tanganku dirampas lalu menukar channel tv. Dia langsung tidak mempedulikan bicaraku tadi.
“Siapa kata nak balik. Saya pun nak tidur di sini. Malam ini kita sama-sama tidur di sini,” ujar Yen serius.
“Mwo / apa!” Aku tersentak. Begitu juga dengan Puan Sodiah. Jawapan yang tidak pernah terfikir akan keluar dari mulut Yen. Kulihat Puan Sodiah sudah tersenyum lebar tika ini. Pasti hatinya teruja mendengar bicara Yen itu.
“Kamu dah sampai,” sapa suara yang datang dari anak tangga tingkat atas. Serentak aku, Yen dan Puan Sodiah berpaling. Datuk Kamarudin sedang bergerak ke ruang tamu. Kutatap Yen. Ekspresi wajahnya sudah berubah. Dia bangun dan menunduk. Tiada sebarang bicara yang keluar dari mulut Yen mahupun mulut Datuk Kamarudin. Masing-masing membisu. Akhirnya aku dan Puan Sodiah pun turut sama mendiamkan diri.
No comments:
Post a Comment