“Alhamdulillah...,” Kumasukkan kembali surat tawaran dari UNIMAS yang baru sahaja aku terima ke dalam sampul. Aku tersenyum penuh kesyukuran. Aku ada masa seminggu lebih lagi untuk membuat persediaan sebelum tarikh pendaftaran mahasiswa baharu bermula. Banyak yang perlu aku siapkan sebelum muncul hari itu. Kutatap jam di dinding kemudian beralih pada iPhone yang terletak di atas meja di depanku. Sekarang tepat pukul 1.00 petang. Aku berfikir seketika. Cuba membuat pertimbangan wajar. Mesti Pak Long masih berada di rumah jam begini. Selalu dia akan ke kebun selepas solat asar. Laju tanganku menekan nombor telefon rumah Pak Long membuat satu panggilan.
“Assalamualaikum Pak Long. Pak Long apa khabar? Sihat?” sapaku ramah dan gembira dapat berbual dengan Pak Long.
“Alhamdulillah sihat. Semua orang kat rumah ni sihat. Kamu sihat juga ke?”soal Pak Long begitu prihatin denganku. Alhamdulillah Pak Long sendiri yang menjawab panggilanku ini. Memang perkara yang aku harapkan. Kedengaran suara ceria Pak Long di corong telefon.
“Ya... Pak Long, Iman sihat juga. Iman dah mula buat persediaan sekarang. Dalam seminggu lebih lagi pendaftaran pelajar baharu. Ni yang Iman nak beritahu Pak Long,” ceritaku. Aku ingin berkongsi kegembiraan ini bersama Pak Long yang kuanggap persis abahku sendiri. Kebetulan pula kami memang ada pertalian darah yang utuh. Pak Longlah waliku menggantikan abah yang telah tiada.
“Alhamdulillah akhirnya impian kamu termakbul juga. Pak Long tumpang gembira. Nanti pandai-pandailah kamu jaga diri. Kalau ada apa-apa masalah jangan sembunyikan dari Pak Long. Walaupun kamu dah jadi isteri Yen, kamu masih ada keluarga di kampung yang mengambil berat terhadap kamu. Pak Long sedar Pak Long tak mampu memberikan kehidupan yang terbaik buat kamu, tapi Pak Long tak pernah lupa doakan kesejahteraan hidup kamu,” sayu suara Pak Long. Aku menahan emosiku. Perlahan-lahan terasa hangat menuruni cerun pipiku. Betapa aku terharu mendengar bicara Pak Long. Terlalu bermakna buatku.
“Iman dah banyak terhutang budi pada Pak Long sekeluarga. Pak Long yang jaga Iman selama ni. Iman takkan lupa. Pak Long sekeluargalah keluarga yang Iman ada sampai akhir hayat Iman,” balasku bersedih. Senyap.
“Maafkan Iman, Pak Long. Iman tak dapat balik ke kampung buat sementara waktu ni. Biarlah kemarahan Mak Long surut dulu barulah Iman balik. Iman tak mahu menyakiti hati Mak Long,” luahku jujur. Kedengaran keluhan berat Pak Long. Perkara yang telah berlaku amat dikesali. Begitu juga aku.
“Pak Long faham. Pak Long juga tak mahu kamu bersedih lagi. Ini permulaan gembira dalam hidup kamu. Hiduplah dengan gembira. Pasal Mak Long kamu jangan fikirkan sangat,” nasihat Pak Long begitu bererti.
“Baiklah Pak Long,” janjiku.
“Jaga diri baik-baik dan jangan tinggal solat. Semoga hidup kamu terus berjaya,” doa Pak Long menambah hiba hatiku.
“InsyaAllah Pak Long. Assalamualaikum...,” sahutku lalu menamatkan perbualanku bersama Pak Long dengan perasaan sayu dan syahdu. Suara Pak Long sudah tidak kedengaran lagi. Air mataku mengalir. Kerinduan kepada Pak Long sekeluarga begitu terasa. Kalau ikutkan hati memang aku mahu menemui mereka sebelum aku melangkah ke kampus. Namun keadaan tidak mengizinkan. Aku tidak mahu memberi tekanan berpanjangan kepada Mak Long.
Langkahnya mati di anak tangga. Pandangannya dilontar kepada gadis yang sedang berduka tersandar di sofa di ruang tamu itu. Dia tahu apa yang telah melanda gadis itu tika ini. Pasti hati si gadis tersentuh selepas berbual dengan lelaki itu. Dia juga sempat mendengar perbualan yang berlangsung tadi. Bahkan situasi yang melanda kehidupan gadis itu juga sudah jelas kepadanya. Dia bersimpati dan turut bersedih atas nasib yang menimpa gadis itu.
Laju aku mengesat sisa-sisa air mata di pipiku tatkala mendengar suara Yen yang menyanyi-nyanyi kecil kian dekat. Seminit kemudian Yen sudah melontar tubuh ke sofa panjang lalu tersadai di situ. Pantas tangannya mencapai remote tv lalu menghidupkannya. Channel tv berulangkali ditukar-tukar. Tiada satu pun yang menarik perhatiannya.
“Bosannya...,” keluhnya bersendirian. Remote tv dilontar ke tepi.
“Awak ada apa-apa rancangan hari ni?” pertanyaan diajukan kepadaku. Aku geleng kepala.
“Saya belum beri apa-apa hadiah kat awak lagi kan. Awak nak hadiah apa?” soal Yen tiba-tiba sahaja. Aku menatap pemuda Korea ini. Bermurah hati pula dia hari ini. Aku berfikir sejenak.
“Betul awak nak beri hadiah pada saya?” soalku. Yen mengangguk.
“Saya boleh minta apa saja?” Yen mengangguk lagi.
“Awak pasti dapat berikan apa saja yang saya nak?” soalan lagi. Yen mengangguk untuk sekian kali.
“Awak tak menyesal kalau saya minta sesuatu yang susah untuk awak penuhi?” Yen mengangguk.
“Bila nak habis soalan awak ni? Cakap saja saya akan beli apa yang awak nak,” rungutnya setelah banyak soalan yang aku ajukan kepadanya. Soal harga bukan menjadi masalah buat Yen. Aku tahu Yen sangat berkemampuan.
“Beli tiket wayang. Jom temankan saya tengok tayangan movie Korea,” pintaku. Saat hati berduka durjana sebegini, inilah pilihan yang terbaik untuk merawat kesedihan hatiku. Perkara yang paling aku gemari boleh melupakan aku pada kesedihan yang menimpaku. Kiranya inilah rawatan yang paling mujarab untuk kesedihanku tika dan saat ini.
“Mwo (apa)...!” Besar biji matanya menatapku. Barangkali terkejut dengan permintaanku yang kurang bernilai itu. Mungkin dia sedang membayangkan aku akan meminta barang yang terlalu mahal nilainya.
“Kenapa? Awak nak mungkir janji ke?” soalku. Yen senyap.
“Saya tak pernah pergi ke tempat macam tu,” tutur Yen perlahan.
“Jomlah...saya bagi awak first impresion duduk kat pawagam. Rugi kalau awak lepaskan peluang ni,” tuturku memancing kesudiannya. Yen diam lagi.
“Bukan ke awak dah janji tadi takkan mungkir janji,” tagihku. Senyap. Aku tahu Yen berat hati mahu menunaikan permintaanku yang di luar jangkaannya ini. Apatah lagi dia memang tidak pernah menjejakkan kaki ke situ semata-mata hendak menonton movie Korea. Perkara yang tidak pernah terlintas difikirkannya.
“Apa kata kalau saya beli vcd cerita Korea? Awak sebut saja nak cerita apa biar saya beli untuk awak,” cadang Yen memberi tawaran baru bagi menukarkan permintaanku ini. Aku menatap Yen.
“Telajak perahu boleh ditarik, tapi telajak kata langsung takde kompromi. Janji tetap janji. So awak kena tunaikan janji awak tadi. Kalau tak samalah awak seperti orang munafik yang suka mungkir janji ataupun saya kena panggil awak dengan nama Pemuda Si Pembohong,” ancamku berbaur perlian.
“Yah...!” Yen melenting buat aku tersenyum sendiri.
“Bukan bestpun pergi tengok cerita kat pawagam. Kalau kat rumah ni lebih privasi. Nak tengok berulang kali sampai tv tu meletup pun boleh,” balasnya geram hampir-hampir buat aku tertawa. Namun kutahan diri dan cuba berlagak serius. Walaupun aku taksub dengan drama dan filem Korea tetapi tidaklah sampai nak buat tv meletup. Dahsyat betul nilai pengukurnya terhadap tahap kesukaanku itu.
“Tengok kat pawagam puas hati. Skrin besar sehingga dapat rasakan para pelakon tu betul-betul berdiri kat depan kita,” balasku. Yen mencebik bibir mengutukku.
“Esok-esoklah saya buat mini pawagam kat rumah ni. Nanti tak payahlah awak keluar dari rumah ni lagi. Duduk terperuk kat situ 24 jam sampai tumbuh janggut,” perli Yen buat aku tertawa besar. Kali ini aku sudah tidak boleh mengawal diri lagi. Kalau macam itu sampai kiamat pun perkara ini tidak akan berlaku. Mana ada orang perempuan tumbuh janggut. Hendak berlawak biarlah logik. Ini main hentam sahaja mulutnya berkata-kata.
“Buatlah, nanti seumur hidup saya tinggal kat sini. Lepas tu sampai tua awak dan Velviana tak dapat kahwin,” balasku cuba mengenakannya. Yen tersengih panjang. Bukankah Yen pernah menggariskan perjanjian selagi dia tidak bernikah dan selagi aku belum menemui teman hidup selagi itu ikatan ini akan diteruskan. Mana tahu aku akan mengubah fikiran rentetan wujudnya mini pawagam yang akan menyiarkan drama dan filem Korea 24 jam. Tidak mustahil aku hilang pertimbangan waras gara-gara ketaksuban yang mendalam terhadap drama dan filem Korea. Namun Yen sudah ada gadis yang dicintai untuk dijadikan teman hidupnya. Bilakah agaknya Yen akan menamatkan sendiwara kehidupan kami sekarang?
“Kalau saya dah buat mini pawagam tu nanti, awak tak boleh tarik balik kata-kata awak tu. Bahkan kalau saya takde pilihan awak mesti bersedia menerima Velviana sebagai madu awak ha...ha...ha...,” Yen tertawa suka. Tajam jelinganku kepada Yen. Ada niat pula hendak beristeri lebih. Dasar lelaki buaya. Nafsu tinggi.
“Awak nak pergi ke tak ni? Kalau tak biar saya ajak Encik Rizal temankan saya. Kebetulan semalam dia ada tanya saya sama ada lapang ke tak hari ni,” tuturku memaklumkan kepadanya. Pantas Yen menatapku. Serius. Berjaya juga aku menarik perhatian Yen.
“Tak payah pergi,” tegahnya melarang.
“Kenapa pula? Nak harapkan awak memang sah awak takkan tunaikan janji awak tadi,” balasku sinis.
“Nenek nak datang ke sini. Kalau awak masih berdegil nak keluar, pergilah saya tak kisah pun. Tapi kalau nenek tanya tentang awak, saya memang terus terang beritahu nenek yang awak keluar tengok wayang dengan bos awak. Kalau dia tanya banyak soalan kat awak, pandai-pandailah awak jawab nanti ye. Saya tak nak terlibat sama,” tegas Yen bersungguh-sungguh.
Puan Sodiah hendak berkunjung ke rumah ini? Biar betul pemuda Korea ini. Bicara Yen menggusarkan hatiku. Ada juga logiknya kalau Puan Sodiah menyoalku berjela-jela andai hajatku hendak ke pewagam bersama Encik Rizal kesampaian. Bukankah nanti situasi itu akan melontarkan diriku bersama Yen ke dalam delima bahaya. Apatah lagi Yen sudah memberi amaran awal tidak akan melibatkan diri jika musibah menimpa. Hey, tidak sporting langsung pemuda Korea ini!
“Awak fikirlah sedalamnya sebelum ambil keputusan nak keluar rumah hari ni,” nasihat Yen lalu bergerak mendaki anak tangga ke tingkat atas meninggalkan aku termangu-mangu kematian akal. Yen tersenyum lebar meninggalkan gadis itu yang sedang berfikir panjang. Nampaknya gadis itu sudah mula termakan dengan bicaranya. Tidak sangka pula strategi yang digunakan tanpa perancangan teliti ini telah membuahkan hasil.
“Iman ssi...Iman ssi...Awak pantang dengar nama nenek rupanya. Minta maaflah banyak- banyak nek. Harap-harap nenek tak tersedak mahu pun tergigit lidah tika ni,” tutur Yen berbicara sendiri lalu melemparkan tubuh ke tilam empuk itu dengan senyuman yang lebar. Dia tersenyum senang hati.
Aku menatap jam kayu antik yang berdiri di ruang tamu ini. Sekarang hampir-hampir mencecah jam 3.00 petang. Terlupa pula aku hendak bertanya kepada Yen tadi pukul berapa Puan Sodiah hendak datang ke rumah ini. Petang ini ke malam? Tidur di sini ke atau hanya singgah menjenguk sekejap sahaja? Terniat hati hendak menghubungi Puan Sodiah bertanyakan perkara ini, namun bila aku fikirkan semula kurang manis pula. Kalau Puan Sodiah hendak datang ke rumah ini suka hati dialah pukul berapa sahaja dia hendak muncul. Ah, malas aku hendak berfikir menyesakkan kepalaku lagi! Lantas aku ambil keputusan membuat cucur udang untuk minum petang ini. Kalau kebetulan Puan Sodiah datang petang nanti bolehlah menikmati cucur udang ini bersama-samanya.
Hampir-hampir ke pukul 5.00 petang, aku sudah siap menyediakan hidangan minum petang iaitu cucur udang bersama air teh kosong panas. Semua sudah terhidang di atas meja lalu aku bergegas ke bilik untuk membersihkan diri sebelum menunaikan solat asar. Sungguh segar setelah simbahan air yang dingin membasahi tubuhku. Memandangkan aku sudah kesuntukan masa, maka aku tidak boleh berlama-lama di bilik air ini. Lantas buru-buru aku keluar untuk menyiapkan diri seterusnya solat asar. Risau Puan Sodiah akan sampai sekejap lagi. Tidak mahu aku kalau tetamu yang berkunjung tidak sempat disambut bahkan terpaksa pula menanti kemunculanku. Sesuatu yang kurang sopan.
Usai solat asar, aku bergerak ke ruang tamu menanti kedatangan Puan Sodiah. Sempat juga aku menghabiskan sebuah majalah wanita keluaran terbaharu yang kubeli semalam. Sudah lama aku duduk di ruang tamu ini. Namun bayangan Puan Sodiah belum muncul-muncul lagi. Mungkinkah Yen berbohong kepadaku hanya untuk menghalangku keluar bersama Encik Rizal? Kalau betul pun apa pula motifnya? Yen cemburu melihat aku bersama Encik Rizal? Mustahil. Yen bukan kekasihku bahkan Yen sendiri sudah ada kekasih. Dalam aku terkial-kial berfikir, tetiba iPhone berdering. Terpampang nama Puan Sodiah di dada skrin. Agaknya Puan Sodiah membatalkan kunjungannya pada petang ini.
“Assalamualaikum Iman. Bersiap sekarang kejap lagi Pak Mahat datang jemput kamu. Temankan nenek pergi shopping. Kamu solat dan makan malam kat sini nanti,” laju mulut Puan Sodiah menyusun agenda hari ini sehingga tidak menyempat aku hendak bersuara. Nampaknya Puan Sodiah sudah menukar perancangan. Pasti kunjungannya ke rumah ini telah dibatalkan.
“Tak payah bawa Yen. Ni hal orang perempuan. Bising saja mulutnya kalau dia ikut sama nanti,” ujar Puan Sodiah mengingatkan aku. Gambaran yang diberikan oleh Puan Sodiah sudah dapat kubayangkan bahawa Puan Sodiah akan mengambil masa yang lama membeli belah. Aku akur sahaja dengan permintaan Puan Sodiah itu. Tidak berapa lama kemudian, kedengaran bunyi hon kereta. Pasti Pak Mahat sudah sampai. Kupandang ke anak tangga. Kalau-kalau Yen sudah muncul. Langsung tidak kelihatan bayangan Yen. Lantas aku berlari ke dapur. Kucapai pen dan kertas lalu menulis pesanan buat Yen. Mesej yang mengharapkan Yen makan di luar kutampal di tudung saji. Aku bergegas keluar mendapatkan Pak Mahat yang sudah lama menantiku di laman rumah.
Dua jam masa berlalu tidak begitu terasa. Puan Sodiah benar-benar memenuhi hajatnya membeli belah sakan. Tatkala waktu maghrib hampir-hampir muncul, Puan Sodiah mengajakku ke masjid yang berhampiran untuk solat maghrib. Usai solat, Puan Sodiah kembali menyambung aktiviti membeli belahnya. Namun kali ini di bahagian barangan dapur termasuklah di bahagian bahan-bahan mentah. Banyak juga persoalan yang diajukan oleh Puan Sodiah kepadaku sepanjang menemaninya membeli-belah ini. Persoalan yang berunsurkan pendapatku tentang perkara yang menjadi kesukaan dan kegemaranku.
Destinasi seterusnya, Puan Sodiah mengarahkan Pak Mahat menghantar kami ke DLH. Aku tertanya-tanya tujuan Puan Sodiah mengajakku ke sana. Ada sedikit kerisauan bermukim di hati. Bayangkanlah kalau Yen dan Velviana ada di sana sekarang sedang menikmati makan malam. Masih terngiang -ngiang suara Puan Sodiah memberi amaran keras kepada Yen tempoh hari membuatkan aku bertambah risau. Kedatangan Puan Sodiah disambut penuh hormat oleh para pekerja DLH. Aku juga turut merasa tempiasnya buat aku terasa janggal. Kalau Yen dia lebih suka bergerak bebas sendiri. Setiap kali kunjungannya ke sini pasti dia meminta agar dirinya tidak diendahkan. Layanan istimewa akan ditolak. Satu sikap Yen yang begitu kusenangi. Tidak pernah pula dia riak dengan kemewahan dan pangkat yang dimiliki keluarganya.
Tatkala kami melangkah ke ruangan santapan, anak mataku liar memandang sekitar ruangan ini. Cuba menjejaki kelibat Yen dan Velviana. Aku menarik nafas lega kerana mereka tidak berada di sini. Harap-harap selagi aku dan Puan Sodiah berada di sini, Yen dan Velviana tidak akan muncul di sini. Sempat juga aku melontar pandangan pada premis cawangan baharu RCC yang sudah kelihatan gelap-gelita kerana waktu operasi sudah tamat. Memandangkan masih dalam proses pencarian pekerja, maka buat sementara waktu cawangan RCC ini hanya beroperasi setakat pukul 5.00 petang.
Aku terpegun tatkala langkah Puan Sodiah mengajak langkahku berhenti tepat di depan sebuah meja VIP yang dipenuhi dengan pelbagai hidangan istimewa. Seekor ayam panggang, seekor ikan besar sweet sour, beberapa jenis sayur dan dessert. Daging, udang dan sotong juga terhidang dengan masakan yang berbeza. Semua nampak menyelerakan. Kupandang ke kiri ke kanan jikalau ada tetamu lain yang akan turut serta menikmati hidangan yang banyak ini. Namun hanya aku dan Puan Sodiah sahaja yang berada di sini tika ini.
“Duduklah Iman,” pelawa Puan Sodiah yang sudah mengambil tempat duduk. Aku memilih kerusi berhadapan dengan Puan Sodiah bagi memudahkan kami berbual nanti. Puan Sodiah mengeluarkan iPhone lalu menghubungi seseorang. Mungkinkah Yen?
“Aa... kamu kat mana sekarang Kamarul? Mak dan Iman tengah tunggu kamu ni. Bawa Pak Mahat sekali nanti. Ok...assalamualaikum...,” Ternyata dia menghubungi Datuk Kamarudin. Nama timangan. Sedikit musykil kenapa nama Kamarudin itu boleh bertukar menjadi Kamarul bukan Kamarud? He.... he... he... Namun hanya Puan Sodiah sahaja yang mengetahui sejarah nama anak tunggalnya ini merangkap ayah mertuaku. Kadangkala keluarga ini ada juga peliknya terutama pemuda Korea yang tinggal sebumbung denganku sekarang. Perangainya sukar hendak diramal. Ada masa menyinga garangnya. Ada tika menjadi insan yang begitu prihatin dan kaya dengan simpati. Ada waktu hidup dengan dunia sendiri tanpa menghiraukan kewujudan orang lain.
“Yen kata nenek mahu datang ke rumah tadi. Kenapa tetiba je tukar plan?” soalku memulakan bicara. Berkerut dahi Puan Sodiah menatapku.
“Bila masa pula nenek cakap kat dia nak datang ke sana. Sah telinga budak tu ada problem sekarang,” rungut Puan Sodiah mengelirukan aku. Yen salah dengar atau sengaja berbohong kepadaku? Belum sempat aku berfikir jauh, di depan sana kelihatan Datuk Kamarudin diekori oleh Pak Mahat sedang melangkah menghampiri kami. Aku melemparkan senyuman menyambut kedatangan mereka. Lantas aku bangun lalu menghulurkan tangan menyalami Datuk Kamarudin, ayah mertuaku.
“Kamu sihat, Iman?” sapa Datuk Kamarudin. Aku mengangguk dan tersenyum. Sempat juga aku bertukar senyuman dengan Pak Mahat. Datuk Kamarudin terus membaca doa sebelum menikmati rezeki yang sudah terhidang di depan mata. Tangan-tangan yang ditadah diraup ke wajah masing-masing tatkala suara Datuk Kamarudin usai melafazkan penghujung doa.
“Yen mana?” soalan Datuk Kamarudin sama ada ditujukan kepadaku atau kepada Puan Sodiah? Aku tidak pasti.
“Tadi mak call dia, dia kata ada hal penting hari ni. Jadi mak tak jadilah ajak dia sekali datang ke sini,” jelas Puan Sodiah mendahuluiku. Aku bertambah keliru. Setahu aku sepanjang hari ini sehinggalah aku keluar tadi Yen masih ada di rumah. Ohh, barangkali dia perlu menyiapkan lagu-lagunya dan hanya perlu bekerja di studio mini di rumah itu. Aku dan Pak Mahat saling berpandangan. Tidak berani mencelah. Aku yakin Pak Mahat juga melihat kereta Yen tersadai di laman rumah tika menjemputku tadi. Ya Allah, semoga Yen dan Velviana tidak muncul di sini pada saat ini. Tidak sudah-sudah aku mengulangi doa tadi.
“Bertuah betul budak tu,” rungut Datuk Kamarudin kurang senang.
“Betul ke dia ada hal penting, Iman?” Aku tersentak dengan pertanyaan Datuk Kamarudin. Sekarang Datuk Kamarudin sedang menatapku buat aku tidak keruan. Pandangannya menagih jawapan dariku.
“Aa...ye...ye...,” Sedikit gugup suaraku menjawab pertanyaan itu.
“Tak payahlah fikirkan sangat budak tu. Makanlah Kamarul. Yen tu mewarisi perangai kamu gila kerja,” celah Puan Sodiah buat aku tersenyum sendiri. Datuk Kamarudin hanya diam. Bicara Puan Sodiah memang tepat dituju untuk dirinya dan anak mudanya itu. Di mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Bapa borek, anak rintik. Bapa kencing berdiri, anak kencing berlari. Kesimpulannya memang Datuk Kamarudin dan Yen sama acuan. Perwatakan yang seiras.
ANAK MATANYA sedikit terbuka. Gelap. Pantas dia bangun dari perbaringan bila menyedari malam sudah menjelma. Ditekan suis. Cahaya lampu mula menerangi ruang bilik. Tidak disangka dia boleh terlena begitu lama. Dia kembali menghumban tubuh ke tilam empuk itu. Berbaring seketika di situ. Mata yang terpejam kembali terbuka. Anak matanya melirik pada skrin iPhone itu. Sudah menjangkau ke pukul 8.00 malam. Bergegas dia bangun lalu mencapai tuala dan melangkah ke bilik air.
Langkahnya mati di pertengahan anak tangga. Ruang tamu gelap-gelita. Lantas ditekan suis lampu. Dia menjengahkan kepala lalu melontar pandangan ke bilik itu. Gelap dan sunyi. Tika kakinya berada di anak tangga terakhir, anak matanya liar menatap setiap ruang rumah itu. Tiada kelihatan kelibat gadis itu. Dia pasti yang dirinya bersendirian di rumah itu sekarang tatkala melihat dapur juga gelap tanpa kilauan cahaya lampu. Ditekan beberapa suis lampu. Setiap ruangan dalam rumah itu sudah terang benderang. Dia melangkah ke dapur lalu menatap tulisan tangan pada kertas merah jambu yang tertampal di tudung saji itu.
~ Anyonghaseyo.... saya dah keluar dan balik lewat. Pasti Velviana sudi temankan awak makan kat luar malam nie ~
Beberapa minit diperhatikan tulisan tangan pada kertas memo itu. Diangkat tudung saji itu. Dia terus melabuhkan duduk di situ. Dicapai sebiji cucur udang itu lalu dihumban ke dalam mulut. Dikunyah perlahan-lahan.
“Awak nak pergi ke tak ni? Kalau tak biar saya ajak Encik Rizal temankan saya. Kebetulan semalam dia ada tanya saya sama ada lapang ke tak hari ni,” suara gadis itu terngiang di telinganya. Diambil sebiji cucur udang itu lalu dikunyah. Belum habis dikunyah dimasukkan lagi sebiji cucur udang. Lagi... lagi... sehinggalah mulut penuh sesak dengan cucur udang. Dikunyah cucur-cucur udang yang memenuhi ruang mulut tanpa perasaan. Wajahnya tegang. Tiba-tiba terasa cucur-cucur udang yang dikunyah tersekat di leher. Dia terbatuk-batuk. Genggaman penumbuk tangannya menepuk-nepuk dada perlahan-perlahan. Anak matanya merah menahan kesukaran tatkala cucur-cucur udang yang tercekik di leher. Laju tangannya menuang air teh kosong ke dalam gelas kaca itu lalu dengan rakus meneguk. Kali ini baru terasa selesa. Namun dia masih terbatuk- batuk kecil. Beberapa biji cucur udang yang tinggal di dalam pinggan dipandang kosong. Sudah tiada keinginan hendak menjamah lagi, apatah untuk menghabiskannya. Laju tangannya mencapai tudung saji itu lalu menutup baki cucur udang yang ada.
Dia melangkah ke ruang tamu lalu menghumbankan tubuh ke sofa panjang itu. Berbaring seketika di situ. Tiba-tiba dia berlari mendaki anak tangga untuk ke bilik. Dicapai iPhone. Tiada mesej yang masuk. Lama ditenung. Berfikir cuba membuat pertimbangan. Ditekan nama gadis itu. Namun laju jarinya mematikan panggilan itu. Dia merasakan tindakannya terlalu terburu-buru. Lantas dia cuba berlagak biasa. Masih terasa ada desakan dalam dirinya. Lantas dia melangkah ke studio mini itu cuba mengisi masa yang terluang. Melenyapkan segala imaginasi yang rancak bermain di fikirannya tika ini. Beberapa minit kemudian kedengaran jeritan petikan gitar yang membingitkan. Lama juga dia berkeadaan begitu.
AKU melontar pandanganku ke ruang tamu. Tiada Yen di situ. Mungkin sedang sibuk menyiapkan kerja di bilik studio seperti yang seringkali dilakukannya. Kelihatan cahaya lampu dari celah pintu bilik studio yang tidak ditutup rapat itu. Perlahan-lahan aku menolak daun pintu bilik. Barang-barang yang aku bimbit di tangan kulepaskan ke tilam. Lalu aku membaringkan tubuh di situ. Kenyang dan meletihkan setelah beberapa jam menghabiskan masa bersama Puan Sodiah tadi.
Kutenung kesemua barang yang Puan Sodiah beli untukku tadi. Patutlah setiap kali dia ingin membeli sesuatu, Puan Sodiah terlebih dahulu bertanyakan pendapatku. Rupa-rupanya kesemua ini untukku. Sungguh aku segan dengan kebaikan Puan Sodiah ini. Seakan Puan Sodiah bertindak sebagai seorang ibu yang sibuk membuat persediaan untuk anaknya yang akan tinggal di asrama. Kalau ibu dan nenek masih ada, mereka juga akan bertindak seperti Puan Sodiah. Hanya cara sahaja yang berbeza kerana kemampuan yang tidak sama. Kesemua barang yang Puan Sodiah beli tadi mahal harganya. Sesuatu yang tidak pernah aku harapkan bahkan ketika menerimanya tadi hatiku terasa berat sahaja. Hendak kutolak risau mengecewakan Puan Sodiah. Puan Sodiah terlalu baik kepadaku. Selayaknya aku wajib melayannya dengan baik juga. Aku tidak boleh melukakan perasaannya.
Aku sudah berdiri di depan bilik studio mini ini. Sunyi sepi. Tiada kedengaran sebarang bunyi. Mungkin Yen sedang tekun menyiapkan kerja-kerjanya. Kuketuk daun pintu. Tiada respons. Perlahan-lahan kutolak daun pintu lalu menjengahkan kepalaku ke dalam bilik. Kelihatan Yen sedang leka mendengar muzik dari earphone yang terpasang di telinga. Mungkin dia tidak menyedari akan kehadiranku ini.
“Saya masuk ni,” ujarku tanpa menunggu keizinannya terlebih dahulu. Aku melangkah masuk lalu duduk di sofa hitam ini bertentangan dengannya. Kulemparkan senyuman. Yen menjelingku tajam. Bagai aku ada melakukan kesalahan kepadanya.
“Awak dah makan?” soalku.
“Nak makan apa? Awak bukan masak pun,” balasnya bagai orang yang sedang merajuk. Aku menatap wajah kelat ini. Namun masih nampak tampan.
“Awak tak makan kat luar ke tadi?” Aku bertanya lagi. Senyap. Pertanyaanku tidak dijawab. Yen masih memetik-metik tali gitar itu. Bagai mencari melodi yang terindah untuk diilhamkan.
“Awak keluar dengan Encik Rizal? Puaslah hati awak dapat tengok tayangan cerita Korea tadi,” sinis suara Yen.
“Taklah. Saya keluar dengan Puan Sodiah,” sahutku. Yen berpaling menatapku. Nampak terkejut.
“Kenapa tak jadi keluar dengan Encik Rizal?” soalnya lagi.
“Saya masih mahu menagih janji awak,” balasku tidak akan melepaskan dia mungkir janji sewenangnya. Cepat reaksi wajah Yen bertukar. Dia tersenyum sendiri.
“Awak bohong dengan saya tadi kan,” dugaku. Yen menatapku lagi.
“Mana ada Puan Sodiah nak datang ke sini. Kenapa awak bohong?” Senyap. Yen membiarkan sahaja pertanyaanku tidak dijawab.
“Awak tak nak saya keluar dengan Encik Rizal kan? Mesti awak cemburu melihat saya bersama Encik Rizal,” sekali lagi aku menduganya.
“Mwo (Apa)...!” Besar anak mata Yen menatapku. Aku tersengih.
“Habis tu kenapa awak tak suka Encik Rizal melayan saya dengan baik?” ujarku lagi cuba memerangkapnya dengan pengakuan yang pernah keluar dari mulutnya sendiri.
“Yah! Saya lapar ni. Awak masak sekarang!” lantang suara Yen bertempik buat aku terkejut.
“Awak tak reti cakap perlahan ke? Saya ni belum tuli lagi tau,” radangku dijerit sedemikian rupa. Yen diam.
“Kalau lapar pun janganlah berlagak macam nak makan orang,” rungutku geram. Pantas aku bangkit dari sofa mula mengatur langkah meninggalkannya. Buat panas hati sahaja meluangkan masa bersama manusia yang tidak stabil emosi ini. Marah tidak bertempat. Mujur juga muka kacak tampan. Kalau tidak pasti buruk berganda-ganda ditambah dengan perangai angin satu badan.
“Awak nak ke mana tu?” soalnya melihat aku beredar dari di situ.
“Sebelum singa jantan yang sedang kelaparan kat rumah ni membaham baik saya masak sekarang,” balasku sinis memperli sambil terus melangkah ke muka pintu tanpa sempat memandang wajah pemuda Korea ini. Kalau tidak ingatkan dia ini laki aku, rasa ringan sahaja tanganku hendak luku kepalanya. Mulutku terkumat-kamit melempiaskan geram.
“Hoi, kalau nak masak tu biar ikhlas. Ingat tak tulah ke kalau kutuk-kutuk suami ni. Nanti tak pasal-pasal mulut yang asyik terkumat-kamit tu herot!” kedengaran laungan suara Yen mengancamku. Aku terdiam. Gerun dengan amaran yang dilaungkan itu. Walau bagaimana cara sekalipun kami menjadi suami isteri, hukum agama tetap mewajibkan isteri menghormati dan melayan suami dengan baik.
“Kata tak cemburu tapi marah-marah orang pula. Pelik. Tu tak cemburu ke namanya?” rungutku bersoal-jawab sendiri. Kalau Yen tidak cemburu mengapa dia perlu menggunakan nama Puan Sodiah untuk menghalangku keluar hari ini? Motif seterusnya? Yen menyimpan perasaan kepadaku? Aku geleng-geleng kepala. Tidak logik. Aku bukan jenis gadis yang diminati oleh Yen. Meskipun sekiranya Yen tidak pernah memaklumkan, aku sendiri pun sedar dengan hakikat ini. Apatah lagi secara terang-terangan Yen pernah melafazkan kenyataan ini. Impian pertamaku, menjejakkan kaki ke universiti lalu menggenggam segulung ijazah. Alhamdulillah aku sudah menghampiri impianku ini. Impian keduaku, menjadi isteri kepada pemuda Korea. Aku memang tidak menyangka impian ini termakbul juga biarpun hanya sementara. Aku sudah cukup berpuas hati. Sekurang-kurangnya aku tidaklah persis Mat Jenin yang hanya tahu berangan-angan kosong.
“Gomayowo (terima kasih) Yen kerana telah merealisasikan impianku,” tuturku tersenyum sendiri. Bahagia menerpa dalam diri.
Di studio mini itu, pemuda itu tersenyum sendiri. Hatinya sudah riang tidak seperti awal-awal tadi. Segala kegelisahan dan kegusaran yang menyelubungi diri terus lenyap.
“Saya masih mahu menagih janji awak,” suara gadis itu kedengaran kembali. Di fikirkannya berulang kali bicara itu. Tiba-tiba terbayang di matanya kemesraan gadis itu bersama lelaki itu. Keriangan hatinya telah dicemari. Dia kembali tidak tenang. Akhirnya dia membuat keputusan muktamad. Laju kakinya mengatur langkah menjejaki gadis itu.
“Pastikan petang esok awak free. Saya akan beli tiket wayang,” suara Yen kedengaran begitu hampir. Aku berpaling. Yen sudah terpacak beberapa langkah dariku. Kami saling berpandangan seketika. Kemudian Yen berpaling lalu berpatah balik ke bilik studio. Betapa aku terperanjat dengan kemunculan mengejut Yen itu. Namun aku sudah tersenyum sendiri tatkala mengingati bicara Yen sebentar tadi.
No comments:
Post a Comment