Saturday, 3 July 2021

Awaklah SonataKu.... Bab 6

 

Hari ini aku dan teman-teman di RCC menerima kad jemputan majlis pernikahan Arlen yang berlangsung pada hujung minggu ini. Dalam diam rupa-rupanya dia sedang sibuk membuat persediaan majlis bersejarahnya itu. Pandai sungguh dia merahsiakan kisah cintanya. Sejak aku mengenali Arlen tidak pernah sekalipun aku terserempak dia bersama buah hatinya malah aku pun tidak pernah mendengar kisah percintaannya daripada teman-teman yang lain. Tahu-tahu hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi dia akan meninggalkan zaman solonya.

Bukan sesuatu yang menghairankan hati Arlen telah dimiliki oleh sang jejaka memandangkan dia memiliki raut wajah yang manis, tambahan pula sikapnya yang periang dan peramah. Sudah semestinya ramai jejaka yang mampu terpikat kepadanya. Kira beruntung dan bertuahlah bakal suaminya itu kerana telah dipilih oleh Arlen menjadi teman hidupnya. Tahniah sahabatku, semoga jodoh kalian dipanjangkan hingga ke akhir hayat dan sentiasa hidup bahagia sebagai sepasang suami isteri.

 

AKU meneguk perlahan teh kosong yang masih panas. Kuletak cawan di atas meja sambil pandanganku menatap pemuda di depanku ini. Dia nampak begitu tekun menikmati sup bihun di depannya ini.  

“Awak tak pernah tengok orang makan?” tanyanya tanpa memandangku. Aku tersentak. Aku mengangguk.

“Saya memang tak pernah tengok orang Korea makan terlalu khusyuk,” sahutku. Tajam pandangannya menatapku. Aku ketawa. Seronok juga sesekali menyakatnya. Pemuda ini sukar diramal. Adakalanya dia akan jadi manusia garang yang gemar memerintah, murka yang amat jika bicaranya tidak dituruti. Bahkan sombong dan bijak menggunakan kelebihan diri. Ada tikanya dia akan jadi manusia yang prihatin dan penuh pertimbangan. Selalu ada belas kasihan dan simpati. Bahkan cukup sensitif dengan beberapa perkara. Lebih suka berdiam dan banyak menyendiri dalam dunia sendiri. Namun boleh bercerita panjang kalau diajak berbicara. Betapa unik personaliti pemuda ini.   

“Hari ini apa rancangan awak?” tanyaku.

“Saya nak pergi studio. Nak settle homework semalam,” jelasnya.

“Awak balik lewat?” tanyaku lagi.

“Tak pasti,” balasnya. Ditatap mukaku.

“Kenapa?” gilirannya pula mengajukan pertanyaan kepadaku.

“Sekejap lagi saya nak pergi kenduri kahwin kawan sekerja. Mungkin saya balik lewat, jadi awak kenalah makan tengah hari di luar nanti ye,” jelasku. Yen mengangguk. Faham dengan maksud bicaraku.

“Takpe,” balasnya pendek lantas bangun meninggalkan tempat duduknya. Aku menghantar cawan dan mangkuk ke singki lalu membasuhnya. Kucapai tuala lantas mengelap meja yang kelihatan ada setitik air teh tercicir di situ.

“Jangan lupa bawa kunci rumah. Habis kerja nanti, saya nak keluar dengan Velviana. Saya mungkin balik lewat,” kedengaran suara Yen melaung dari ruang tamu memberi arahan sekali gus memperingatkan aku. Aku mencebik bibir mendengar nama itu. Masih terbayang di mataku gelagat gadis itu ketika pertemuan pertama kami. Penuh kesombongan dan suka menunjuk-nunjuk.

“Awak dengar tak?” suara Yen berkumandang lagi.

“Ya... saya dengar!” balasku sedikit melaung.

“Lain kali kalau orang cakap bagi respons. Jangan diam macam orang bisu pula,” leternya menyakitkan hati. Boleh tahan jahatnya mulut pemuda Korea ini! Mulut yang tidak berinsurans. Bangga sungguh dia hendak berjumpa dengan kekasih hatinya itu. Aku tahulah Velviana itu cantik jelita. Tidak payah dicanang-canang pertemuan itu. Harapkan muka sahaja cantik tetapi perangai sombong melangit. Semua itu tidak akan pergi ke mana pun. Aku mengomel seorang diri.    

“Kenapa awak senyun-senyum ni?” Opocot! Kur... semangat!  Langkahku yang melewati ruang tamu terhenti. Aku mengurut-urut dada. Terkejut dengan teguran suaranya itu. Mujur tiada penyakit jantung kronik.  

“Awak suka sangat kejutkan orang,” marahku. Terkebil-kebil matanya tatkala dimarahi sedemikian.

“Kalau saya mati terkejut tadi, saya akan jadi hantu dan sedut darah awak tu cukup-cukup. Biar awak mati sama,” ujarku geram. Yen terus ketawa mendengar kata-kataku. Aku mendengus. Geram sangat dengan perangai kebudak-budakannya itu.

“Nanti sama-samalah kita jadi hantu. Ha... ha...ha..!” balasnya. Ketawanya berlanjutan. Tampak bicaraku itu telah mencuit hatinya. Laju aku melangkah meninggalkan Yen bersama deraian tawanya yang berpanjangan itu. Riang sungguh hatinya tika ini. Barangkali teruja sangat hendak berjumpa dengan kekasih hatinya itu.

Deraian tawanya sudah terhenti. Namun senyuman masih terukir di bibirnya. Lalu dibaringkan tubuh ke atas sofa panjang itu. Nafasnya turun naik. Terasa sedikit letih tatkala ketawa yang berpanjangan. Tingkahlaku yang agak asing bagi dirinya. Selama ini dia tidak pernah ketawa sebegitu. Apatah lagi ketawa yang dicetuskan oleh seorang gadis.   

 “Dia ingat aku pelawak sampai ketawa macam itu sekali,” rungutku. Kucapai baju kurung merah hitam bercorak abstrak di dalam almari. Segera aku menyiapkan diri kerana aku tidak mahu Suzan menantiku terlalu lama. Wajahku sudah kualas dengan bedak. Tidak tebal. Sedikit pembayang pipi. Kupilih warna nutural lalu kucelit di atas kelopak mataku sebagai eyeshadow.  Kugaris birai kelopak mata dengan warna coklat.  Lipstik merah sedikit gelap kucelit di bibir. Cukuplah ala kadar aku menata rias wajahku.  Kemudian meneliti wajahku di dada cermin buat kali terakhir. Tiada yang perlu dikurangtambahkan lagi. Kurapikan ikatan rambut ala-ala pahlawan semurai ini. Kucapai handbag lalu bergegas keluar dari bilik. Aku sudah berjanji dengan Suzan akan datang ke RCC. Dia menantiku di situ memandangkan hari ini dia bekerja. Dari sana nanti kami akan sama-sama pergi ke majlis Arlen.

“Awak belum pergi lagi?” tanyaku melihat Yen masih terbaring santai di atas sofa sedang leka menonton tv. Dia berpaling. Liar pandangannya menatapku dari hujung kaki sampailah pada rambutku yang diikat tinggi. Lama dia menelitiku. Aku kurang selesa dengan pandangannya itu. Laju kedua-dua tanganku bersilang di tubuh cuba melindungi diri dari terus menjadi tatapan mata nakalnya. Aku bukan biasa diperhatikan sedemikian. Apatah lagi mata yang sedang merenungku tika ini mata milik seorang lelaki buaya. 

“Awak nampak cantik pakai baju kurung,” pujinya.

“Yelah tu,” balasku mengiyakan. Mata lelaki buaya memang pantang melihat perempuan. Langsung aku tidak teruja mendengar pujian itu. Pujian yang keluar dari mulutnya kurang bernilai.

“Penampilan awak sekarang menyerlahkan kecantikan awak,” tambahnya memuji.

“Itulah awak biasa sangat tengok perempuan seksi-seksi sebab tu tengok orang pakai baju kurung pun awak kata cantik,” balasku memperlinya.

Really,” ujarnya serius. Cuba meyakinkan aku.

Gomawoyo (terima kasih),” balasku acuh tidak acuh lalu bergerak ke pintu. Malas aku hendak melayan si buaya darat yang sedang memasang jeratnya ini. Mula-mula puji baju kurung yang membuatkan aku nampak cantik. Kemudian cuba menggayat lagi dengan lebih memperindahkan bicaranya. Penampilan akulah yang menyerlahkan kecantikanku. Kecantikanku? Betulkah aku cantik di matanya? Tidak patut pula dia kata aku cantik. Agaknya matanya sudah kabur menilai. Itulah gara-gara banyak sangat tengok perempuan cantik. Kalau Velviana kekasih hatinya itu memang patutlah dipuji cantik. Apapun inilah teknik yang digunakan oleh lelaki buaya sepertinya hendak memperdayakan perempuan yang mudah cair dengan pujian melangit mereka.

 

 

AKU dan Suzan tiba di rumah pengantin ketika Arlen dan suaminya sedang bersanding di atas pelamin. Sama cantik sama padan, bagai pinang dibelah dua. Kami tidak melepaskan peluang turut merakam gambar kenangan bersama pengantin di atas pelamin. Begitu juga teman-teman sekerja RCC yang lain termasuklah bos kami, Encik Rizal. Senyuman Arlen bersama suami tidak lekang dari bibir tatkala dihujani usikan teman-teman. Malah aku dan Encik Rizal juga turut menerima tempiasan usikan mereka gara-gara baju kurungku sedondon dengan baju melayu hitam Encik Rizal. Kebetulan pula Encik Rizal lengkap berkain samping songket merah. Memang sepadan dengan baju kurung merah hitam yang kupakai tika ini. Kebetulan. Bukan berjanji menjadi sedondon.

“Iman, Encik Rizal marilah bergambar sekali,” ajak Arlen di atas pelamin.

“Bolehlah jadi pengapit pengantin,” celah suami Arlen pula. Aku serba salah. Suzan di sebelahku menolak-nolak tubuhku mengarahkan aku naik ke atas pelamin. Kupandang Encik Rizal. Dia tersenyum tenang.

“Tak eloklah hampakan permintaan pengantin,” suara Sham pula mencelah disambut oleh suara teman-teman yang menyokong. Arlen dan suaminya hanya mengangguk-angguk mengiyakan bicara Sham. Tetamu-tetamu yang berada di sekitar pelamin hanya tersenyum memerhatikan gelagat kami. Encik Rizal menatapku lalu memberi isyarat meminta aku naik ke atas pelamin mahu menunaikan permintaan raja sehari. Aku jadi serba salah. Apatah lagi melihat Encik Rizal sudah melangkah ke atas pelamin lalu berdiri di sebelah pengantin lelaki ibarat seorang pengawal putera raja. Mahu tidak mahu, aku tiada pilihan lain dan demi menjaga air muka Encik Rizal serta memenuhi hajat pengantin, akhirnya aku terpacak juga di sebelah Arlen yang sedang tersenyum lebar. Serta merta kedengaran sorakan teman-teman dan tetamu yang lain membuatkan aku bertambah kekok. Sempat juga aku melihat Encik Rizal menghulurkan iPhone canggihnya kepada Sham untuk merakamkan kenangan ini. Alangkah baiknya jika awal-awal tadi sudah ada pengapit pengantin di sini. Tidaklah aku dan Encik Rizal menjadi mangsa seperti sekarang ini. Huh...huh... huh...huh...!  Malangnya nasibku hari ini.

“Tahniah Arlen. Semoga jodoh kalian dipanjangkan hingga ke akhir hayat dan cepat-cepatlah dapat baby,” bisikku mengusik Arlen. Arlen tertawa. Jelas terpancar kebahagiaan di wajahnya. Impiannya hendak hidup bersama kekasih hati telah tercapai.

“Awak bila lagi? Encik Rizal sedang tackle awak tu,” balas Arlen mengusikku sambil matanya melirik ke arah Encik Rizal yang sedang berbual-bual dengan suaminya tidak berapa jauh dari kami. Aku sedikit tersentak mendengar bicara Arlen itu. Mustahil aku boleh dipadankan dengan Encik Rizal. Mana ada perempuan boleh memadukan suami. Mungkarlah kalau aku ada dua orang suami serentak. Persis drama Korea pula. Sahlah Yen menjadi Jang Geun Suk! He..he... he..!

Anak mataku liar mencari kelibat Suzan yang tiba-tiba sahaja tidak kelihatan. Ke mana pula perginya amoi seorang ini? Aku duduk di kerusi di bawah kanopi ini menanti kemunculan Suzan. Kelihatan Arlen dan suaminya sedang sibuk melayan sanak-saudara dan para tetamu yang datang. Kedengaran bunyi mesej masuk. Laju tanganku mengeluarkan iPhone lantas memaparkan mesej yang baru kuterima. Mesej daripada Suzan. Aku mengeluh sebaik sahaja habis membaca mesej itu. Beberapa langkah dariku, Encik Rizal sedang bergerak mendekatiku. Aku sudah tidak sempat mengelak pesanan yang Suzan hantar sebentar tadi.

“Mari Iman... kita balik,” ajak Encik Rizal.

“Takpelah Encik Rizal, nanti saya balik tumpang kereta kawan yang lain,” balasku cuba menolak ajakannya secara halus. Wajahku ditenung buat aku serba salah.

“Awak tak sudi naik kereta saya? Atau awak nak berbual-bual lagi dengan Arlen? Kalau macam tu saya tunggu awak,” ujarnya lagi.

“Hey, takdelah... Encik Rizal,” Aku tidak bercadang lebih lama berada di sini. Cukuplah masa hampir dua jam yang sudah berlalu.

“Kalau macam tu saya hantar awak balik,” ujarnya masih mahu mencuba nasib mengajakku balik bersamanya. Aku terdiam. Kalau boleh aku tidak mahu menyemarakkan lagi usikan teman-teman jika mereka melihat aku bersama dengan Encik Rizal nanti.  

“Kebetulan saya memang nak ajak awak ke DLH. Ada beberapa bahagian kafe yang perlu saya tanya pendapat awak,” jelas Encik Rizal. Kalau atas urusan kerja, aku tidak boleh menolak pelawaan Encik Rizal. Akhirnya aku terpaksa bersetuju balik bersama Encik Rizal. Tersenyum lebar Encik Rizal tatkala dia berjaya memujukku menaiki keretanya. Geramku terhadap Suzan membuak-buak. Tidak sabar aku hendak bertemu dengannya esok. Biar aku cubit-cubit dan cekik dia cukup-cukup. Semua ini nampak telah dirancang. Aku yakin Suzan turut bersekongkol dengan mereka. Aku dan Encik Rizal juga yang jadi mangsa.


Aku dan Encik Rizal beriringan memasuki bangunan gah DLH. Seperti biasa kedatangan kami disambut mesra oleh dua orang gadis yang lengkap berpakaian hanbok. Dengan pakaian sedondon begini telah menarik perhatian orang sekeliling memandang kami. Encik Rizal kelihatan tenang sahaja. Malah pandangan yang dilontarkan kepada kami dibalas dengan senyuman. Sebaliknya aku kurang selesa menjadi perhatian sebegini.

You all baru lepas nikah ke?” sapa Alex Chia konsultan yang dilantik oleh Encik Rizal menguruskan pembinaan kafe cawangan RCC menyambut kedatangan kami. Aku dan Encik Rizal hanya tersenyum. Lalu aku mengekori langkah Encik Rizal membuat tinjauan sekitar kafe yang sudah 90% siap. Tinggal memperhalusi kerja-kerja yang ada. Seperti yang dimaklumkan oleh Encik Rizal tadi, kami berbincang tentang susun atur peralatan dan kelengkapan yang akan dibawa masuk nanti. Perbincangan juga berkisar tentang tema yang cuba ditonjolkan berdasarkan syarat yang telah dipersetujui antara Encik Rizal dengan pihak pengurusan DLH.

Pihak pengurusan DLH mensyaratkan agar tema premis ini tidak bercanggah dengan identiti yang ditonjolkan oleh DLH. Ringkasnya cawangan RCC ini mesti beridentitikan Korea. Corak hiasan dalaman sudah pasti melambangkan kebudayaan Korea. Sudah terbayang di mataku azalea pink, sakura, cherry blossoms sebagai bunga  hiasannya. Kekuningan daun Ginko dan Maple merah di Korea yang begitu mempesonakan. Justeru, aku mencadangkan kepada Encik Rizal agar mengupah perunding dalaman yang pakar dalam bidang ini. Sebelum keluar dari bangunan DLH ini, Encik Rizal mempelawaku minum bersamanya. Menjejakkan kaki ke ruangan ini mengingatkan aku pada pertemuanku dengan Yen beberapa bulan yang lalu. Kulontar pandangan pada meja yang telah menjadi medan perbincangan kami. Di sanalah juga aku dengan Yen bergaduh. Mana mungkin aku dapat melupakan bengisnya wajah Yen tatkala aku menuang segelas air pada pakaiannya gara-gara marah sungguh dengan cadangan tohlol itu. Aku tersenyum sendiri mengingati peristiwa itu.

“Pakaian seragam pekerja kena bercirikan hanbok juga ke, Encik Rizal?”

Hanbok?”  Dahi Encik Rizal berkerut menyebut perkataan itu. Sah dia tidak tahu.

“Maksud saya mesti bercirikan pakaian tradisional Korea? Tengok saja pakaian seragam pekerja di sini semua berasaskan fesyen hanbok tapi telah disesuaikan mengikut trend semasa dan bidang kerja mereka,” tuturku. Encik Rizal tersenyum. Agaknya baru dia faham berkenaan topik perbualan ini.

Hanbok itu pakaian tradisional yang dipakai oleh dua orang gadis penyambut tetamu tu ke?” tanyanya cuba lebih memahami. Aku mengangguk.

“Untuk pakaian terpulang kepada pihak kita yang menentukan. Kita boleh mengekalkan design pakaian pekerja yang sedia ada,” jelas Encik Rizal.

“Syukurlah kalau macam tu. Sungguh saya tak dapat bayangkan kalau pekerja RCC kena berpakaian sedemikian. Langsung tak sesuai dengan bidang tugas,” tuturku meluahkan pendapat.

“Awak ada idea nak reka fesyen pakaian baharu staf RCC. Nanti bolehlah awak masukkan unsur-unsur Korea pada rekaan itu,” cadang Encik Rizal. Aku tergelak mendengar bicara Encik Rizal. Sungguh jauh imaginasi Encik Rizal. Melukis pun aku tidak arif, inikan pula hendak mereka fesyen pakaian. Memang hancur habis!

“Saya takde kebolehan dalam mereka fesyen pakaian, Encik Rizal. Kalau sekadar jadi model memakainya bolehlah,” terus-terangku sambil bercanda. Encik Rizal tersenyum.

“Awakkan selalu ada idea-idea bernas,” pujinya. Aku senyum lagi. Aku bimbang silap-silap hari bulan nanti bukan fesyen baju yang aku lukis sebaliknya sarung guni orang-orang. He...he...he...! Langsung aku tidak memiliki bakat semula jadi melukis. Aku bukan orang seni.

“Berbanding dengan saya, awak lebih mengetahui hal-hal berkaitan Korea. Memang tepat kalau saya suruh awak yang jaga cawangan RCC ini nanti,” jelas Encik Rizal menyentakkanku. Betulkah aku akan ditugaskan di sini? Bagaimana penerimaan Yen nanti? Tidakkah perkara ini akan menyukarkan aku dan Yen? Secara tidak langsung aku dan Yen akan berada di bawah pengawasan Datuk Kamarudin. Risau rahsia kami akan terbongkar. Mungkin masih boleh disembunyikan kerana Yen tidak bekerja di sini. Walau apapun aku mesti berbincang perkara ini dengan Yen kalau betul Encik Rizal hendak aku bekerja di cawangan baharu Rozana Cupcake Cafe ini.

“Kenapa Encik Rizal?” tanyaku tiba-tiba tatkala menyedari gelagat Encik Rizal nampak sedikit pelik. Beberapa kali dia melontar pandangan ke sudut itu. Lagaknya macam penyiasat. Bagai ada sesuatu yang telah menarik perhatiannya terus memandang ke situ.

“Awak sedar tak pemuda yang duduk bersama gadis di meja hujung sana asyik perhatikan kita,” tuturnya tenang. Berhati-hati aku menoleh ke arah yang dimaksudkan oleh Encik Rizal. Sepasang kekasih sedang menikmati hidangan. Susuk tubuh itu tidak terlalu asing dari pandanganku. Lelaki itu mengangkat muka semula. Alamak! Serasa tercabut tangkai jantungku melihat wajah itu. Yen dan Velviana juga berada di sini.

“Awak kenal mereka?” tanya Encik Rizal. Laju aku geleng kepala. Perkenalanku dengan Yen menjadi rahsia. Pasti Encik Rizal tidak mengingati wajah Yen walaupun mereka pernah dipertemukan dan diperkenalkan oleh Datuk Kamarudin.

“Lelaki Korea itu asyik tengok ke sini saja,” jelas Encik Rizal. Curiga.

“Agaknya perasaan Encik Rizal saja tu,” tuturku cuba melindungi keadaan. Encik Rizal tersenyum. Terdetik kebimbangan perlakuan Yen mengundang kesangsian Encik Rizal.

“Agaknya...,” tuturnya bersetuju dengan bicaraku. Lega hatiku. Namun kagum juga pada firasat tepat Encik Rizal. Memang jelas-sejelasnya wajah Yen wajah orang Korea. Kebetulan berada di DLH yang sememangnya dimiliki oleh keluarga berada dari Korea. Jadi tidak menjadi kemusykilan kepada Encik Rizal melihat ramai orang Korea berada di sini kerana hotel ini menjadi tumpuan pelancong Korea yang datang ke Malaysia.

“Awak dah habis minum?” Aku mengangguk.

“Mari saya hantar awak balik,” pelawa Encik Rizal. Aku mula gelisah tatkala memikirkan pelawaan Encik Rizal ini. Patutkah aku beritahu Encik Rizal tempat tinggalku sekarang? Bagaimana kalau dia bertembung dengan Yen ketika menghantarku nanti? Bukankah aku sudah memaklumkan kepadanya tadi yang aku tidak mengenali pemuda Korea itu. Pening! Pening! Banyak sangat persoalan menyerbu kepalaku. Sebab itulah aku tidak suka berbohong. Selain takut dosa, risau juga kalau tertangkap. Namun aku tiada pilihan.

“Awak kenal dengan couple itu?” suara gadis itu menyentakkannya. Pantas pandangannya dialih dari terus mengekori langkah gadis dan lelaki yang sudah hilang dari pandangan mata. Ditatap wajah gadis ini.

“Dari tadi awak asyik tengok mereka. Kawan awak ke?” duga gadis itu. Dia diam. Tidak berminat hendak menjawab pertanyaan itu.

“Agaknya mereka pengantin baru yang sedang honeymoon, 

What!” sedikit tinggi suaranya. Velviana menatap Yen. Terasa pelik reaksi yang ditunjukkan oleh kekasihnya itu.

“ Yang awak nampak terkejut apa hal?” tanyanya sangsi.

“Jauh... sampai ke situ awak boleh fikir,” bidasnya sedikit kurang senang.

“Tengoklah pakaian mereka, kan nampak baru lepas nikah. Tak pun memang suami isteri yang menghadairi jemputan majlis perkahwinan,” tuturnya yakin. Silap. ‘Masakan mereka suami isteri, sedangkan suami gadis itu berada di sini’. Andaian Velviana salah 100%. Suara hati Yen memberikan penjelasan.

Whatever! Malas saya nak fikirkan hal orang lain,” putusnya. Velviana menatap Yen lagi. Dia merasa kurang senang melihat reaksi pemuda ini. Tiba-tiba dia diserbu curiga. Namun cuba dikawalnya.

 

Aku duduk di sebelah Encik Rizal yang nampak berhati-hati memandu kereta. Senyap. Aku masih memikirkan destinasi yang perlu aku beritahu kepada Encik Rizal demi menghalang dia menghantar aku ke halaman banglo Yen.

“Dengar-dengar awak dah tak tinggal tempat dulu,” suara Encik Rizal menyentakkanku. Terkejutku berganda apabila mendengar bicara Encik Rizal ini.

“Betul sekarang awak tinggal bersama mak saudara awak?” tanya Encik Rizal lagi.

“Mak saudara?” Aku mengulangi bicara Encik Rizal. Panik.

“Suzan kata awak dah tinggal di rumah mak saudara awak,” jelas Encik Rizal.

“Oh... rumah mak saudara. Ya memang sekarang saya tinggal bersama mak saudara saya,” laju sahaja aku mengiyakannya.  Alamak! Minta maaflah banyak-banyak Encik Rizal, aku terpaksa berbohong. Sungguh aku tiada pilihan. Senyap. Mungkinkah Encik Rizal mensyaki sesuatu? Awal tadi aku nampak menggelabah. Pasti telah mengundang kehairanan Encik Rizal.

“Bila dijangka cawangan baru ini mula beroperasi, Encik Rizal?” tanyaku mengubah topik perbualan. Cuba menyelamatkan keadaan.

“Tiga minggu dari sekarang. Saya harap tempoh itu sempat nak buat persediaan sebelum hari perasmian. Sedia untuk OT sebab banyak kerja kita kena buat nanti,” jelas Encik Rizal. Aku mengangguk. Sentiasa bersiap sedia memberikan khidmat tenaga.

“Saya memang perlukan pertolongan awak nanti,” ulang Encik Rizal.

“Saya takde masalah. Bila-bila masa saja boleh tolong Encik Rizal,” ujarku berjanji. Encik Rizal tersenyum senang.

“Terima kasih, Iman,”Aku juga turut tersenyum.

Akhirnya sampai juga hajat Encik Rizal menghantarku ke rumah ‘mak saudaraku’ seperti yang difikirkannya. Bergegas aku turun dari kereta Encik Rizal. Khuatir kalau tiba-tiba Yen muncul. Aku mahu mengelak pertembungan kedua-dua pemuda ini. Bimbang rahsia akan terbongkar. Pasti Yen tidak menyenanginya kerana sudah bercanggah dengan perjanjian.

“Cantik rumah ini, tapi nampak sunyi rumah mak saudara awak ni,” komen Encik Rizal sambil menjengukkan kepala keluar dari tingkap kereta. Masih mahu berbicara denganku. Sedangkan aku mahu Encik Rizal cepat-cepat beredar dari sini. Hatiku gundah-gelana.

“Oh... memang macam ini keadaannya. Anaknya seorang saja,” balasku terus berbohong sedangkan hatiku kian gelisah.  Mahu sahaja aku mengarahkan Encik Rizal segera meninggalkan halaman banglo ini. Dalam hati sempat juga aku berdoa agar Yen belum balik lagi. Biarlah dia lama-lama bersama Velviana tika ini.

“Terima kasih Encik Rizal kerana sudi menghantar saya,” tuturku tatkala dia sudah menghidupkan enjin kereta. Dia mengangguk dan tersenyum. Terasa lega tatkala kereta Encik Rizal sudah meninggalkan halaman rumah. Aku melangkah masuk dengan berlapang dada. Yen belum balik lagi. Kuatur langkah ke bilik mahu membersihkan diri dan berehat. Perut sudah kenyang, tidak perlu masak lagi. Pasti perut Yen juga sudah terisi. Tidak perlu aku menyediakan makanan untuknya. Aku tersenyum senang hati. Bolehlah berbaring lama-lama di atas tilam empuk sekarang.

“Awak dah lama balik?” sapaku sebaik sahaja berada di anak tangga terakhir. Yen sedang terbaring di atas sofa panjang dengan mata yang terpejam. Senyap. Hajat keluar bilik mahu mengambil air. Dahaga. Kucapai segelas air kosong dingin lalu melangkah ke ruang tamu. Aku duduk di atas sofa. Kemudian melontar pandangan pada tv yang sedang terpasang. Entah siaran apa yang sedang ditontonnya ini. Aku melirik ke arah Yen yang masih senyap. Dia kembali dalam dunianya sendiri. Melihat keadaan sedemikian, aku pun tidak berminat hendak berbual dengannya. Pasti Yen tidak mengendahkan kewujudanku di sini.

Kucapai remote lalu mengubah program tv kepada CH 391. Rancangan KBS World yang kuminati ‘Let’s Go! Dream Team’ di tv sekarang. Rancangan yang menguji ketangkasan dan stamina aktor-aktor Korea dengan percubaan mencipta rekod dengan catatan masa terbaik. Mereka bersaing dengan individu-individu yang mewakili badan-badan persatuan mahupun pelajar-pelajar universiti. Sekarang giliran Ricky Kim yang beraksi. Tampan betul jejaka kacukan Korea-Amerika ini. Ibunya Korean manakala ayahnya American. Ada lesung pipit. Kupandang ke arah Yen yang masih terbaring di atas sofa ini. Dia juga memiliki  lesung di pipi seperti Ricky Kim. Nama sebenar aktor kacak ini ialah Ricky Lee Neely. Betapa bertuahnya Ryu Seung Joo memiliki suami kacak sedemikian malah perkasa orangnya. Aku pun apa kurangnya beruntung juga ada suami kacak. Kupandang sekilas ke arah Yen yang masih terbaring di atas sofa ini. Statik di situ.

“Wah, bukan saja kacak malah tangkas dan berstamina!” tuturku sendirian tatkala menyaksikan Ricky Kim berjaya menamatkan halangan demi halangan dengan catatan masa yang terbaik sekali gus mencipta rekod baharu.

“Yah...!” Aku tersentak. Tiba-tiba sahaja Yen bangun dari perbaringannya. Dia menatapku. Aku memandangnya dengan jelingan tajam. Geram dengan tabiatnya yang suka sangat membuat orang terkejut. Agaknya kalau aku ini ada sakit jantung sudah banyak kali aku terlentang pengsan.

“Awak dah masak?” tanyanya.

“Apa!” Sekali lagi aku tersentak dengan pertanyanya.

“Saya tanya awak dah masak?” ujarnya mengulangi pertanyaannya.

“Mana ada saya masak. Kan saya baru balik dari kenduri kahwin kawan tadi,” terangku bingung. Aku sudah memaklumkan perkara ini kepada Yen pagi tadi. Mustahil cepat sangat dia lupa.

“Pergi masak sekarang. Saya lapar ni,” arahnya.

“Bukan ke awak dah makan dengan Velviana tadi,” balasku musykil. Tidak sampai sejam aku nampak dia bersama Velviana di DLH sedang menikmati hidangan dengan begitu berselera. Sekarang dia kata lapar pula. Memang tidak dapat diterima akal. Besar sangatkah kantung perutnya hendak diisi banyak makanan? Aku merungut-rungut sendirian.

“Saya belum kenyang lagi,” beritahunya. Aku menatap Yen. Pelik betul makhluk seorang ini. Makan tidak pernah kenyang. Potongan badan masih juga melidi. Agaknya kena sumpahan nasi.

“Cepat pergi masak,” arahnya lagi.

“Lain kali awak makanlah kenyang-kenyang. Nak masak apa sekarang,” keluhku buntu. 

“Tengok isteri sekarang suka in­­­­­­gkar perintah suami. Derhaka namanya tau. Awak tak takut dosa jadi isteri derhaka?” ujarnya berjela. Aku menatapnya hairan. Tetiba sahaja dia berkhutbah membincangkan peranan isteri terhadap suami. Lagak seperti seorang ustaz. Sudah pandai pula dia menggunakan dalil agama untuk mengarahku. Apa telah berlaku kepadanya hari ini? Agaknya terbaring senyap sebentar tadi dia mendapat hidayah Allah. 

“Awak nak jadi isteri derhaka?” tanyanya.

“Yah!” Bingkas aku bangun lalu melangkah ke dapur. Siapa yang mahu mengumpul dosa sedangkan dosa itu senang diperoleh. Apatah lagi ancamannya itu menakutkan aku. Nauzubillahminzalik! Jauhkan diriku daripada kemungkaran itu. Tidak tega aku menyandang gelaran isteri derhaka. Pasti menjadi penghuni neraka. Gerunnya! Selisih 44 malaikat.

Nasi sudah ditanak. Dua biji telur dicampur dengan sebiji kentang yang sudah dipotong dadu kecil-kecil bersama hirisan cili thai juga sudah siap didadar. Kuambil lagi dua biji kentang bersama sejemput ikan bilis sebagai bahan membuat sup kentang. Bawang, cili, kentang sudah siap dipotong, hanya menunggu masa hendak ditumis. Inilah menu pilihan terbaik pada saat-saat malas begini. Cukup ringkas dan mudah menyediakannya. Baru aku teringat ada daging yang telah diperap yang boleh digoreng. Kukeluarkan dari peti sejuk. Kira-kira 40 minit berlalu, semua menu sudah terhidang di atas meja sedia dinikmati. Yakin hidangan ini akan mengenyangkan Yen.

“Awak boleh makan sekarang,” panggilku dari dapur. Sekelip mata Yen sudah berada di meja makan bersedia menikmati hidangan di depannya. Bagai orang yang sedang kebuluran. Aku memerhatikan gelagatnya. Memang berselera. Badan kurus tetapi kantung perut besar. Masih ada ruang kosong yang boleh menampung makanan yang dikunyahnya. Hairan. Sebentar tadi dia sudah makan. Sekarang dia masih berselera mahu makan lagi. Hari ini berganda-ganda pula seleranya hendak makan.

“Awak tak makan?” tanyanya menatapku.

“Kan tadi saya dah makan,” jelasku.

“Itu tadi. Sekarang makanlah,” arahnya. Aku geleng kepala. Aku bukan sekuat dia makan. Tidak larat aku hendak menimbun makanan dalam kantung perutku. Nanti tidak pasal-pasal pula aku menjadi pengunjung setia tandas.

“Awak keluar dengan siapa tadi?” tanyanya sambil menatapku.

“Saya?” tanyaku semula. Dia mengangguk.

“Kawan-kawan saya,” balasku. Seingatku perkara ini juga telah aku maklumkan kepadanya pagi tadi. Cepat sangat dia lupa.

“Lelaki itu?” suaranya masih bertanya.  Lelaki? Aku berfikir seketika. Ramai kawan lelaki ada bersama tadi.

“Oh... Itu Encik Rizal, bos saya. Awak tak ingat dia? Awak pernah berjumpa dengannya dulu,” ujarku cuba mengingatkannya. Yen tidak memberikan sebarang respons pada bicaraku. Tiada suara yang keluar selain rancak mengunyah makanan di dalam mulutnya. Tiada juga tanda-tanda dia sedang berfikir mengingati perkenalannya dengan Encik Rizal. Aku mengeluh. Adakalanya perangai pemuda ini mencabar aku. Nampak berlagak.

“Buat apa awak dan dia di DLH tadi?” tanyanya lagi. Aku menatapnya. Ingatkan Yen sudah tidak berminat berbicara tentang Encik Rizal. Pasti dia risau kalau Datuk Kamarudin melihat aku bersama Encik Rizal tadi. Nampak sungguh dia mahu melindungi rahsia kami. Namun aku sedikit musykil. Kalau betullah Yen cuba melindungi rahsia kami, mengapa dia ajak Velviana makan di sana? Lagilah syak orang memandangnya. Hubunganku dengan Encik Rizal memang sudah diketahui oleh Datuk Kamarudin. Hubungan antara pekerja dengan majikan. Bukan sesuatu yang mencurigakan kalau sesekali kami dilihat bersama.

“Awak betul-betul dah lupa atau awak memang tak tahu atau saja tak mahu ambil tahu?” tanyaku berjela. Bulat matanya menatapku. Agaknya pening kepalanya memikirkan pertanyaanku itu. Tidak mustahil kalau dia tidak mahu ambil tahu memandangkan hubungannya dengan Datuk Kamarudin nampak dingin. Dia pun bukan berminat dengan hal-hal bisnes. Dunianya hanya muzik. Sahabat akrabnya pula ialah gitar-gitar yang dijaga ibarat nyawa sendiri. 

“Nasi...,” Pinggan kosong sudah disuakan kepadaku minta diisi. Aku bangun  menyenduk beberapa sudu nasi lalu meletakkan ke dalam pinggan.

“Habiskan makan,” arahku tatkala meletakkan pinggan berisi nasi di depannya. Besar  matanya menatap selonggok nasi di pinggan lalu beralih kepadaku. Aku tersengih membalas pandangannya. Biar dia berhempas-pulas menghabiskan nasi ini nanti.

“Lain kali jangan terang-terangan bersama lelaki lain di khalayak umum,” tegurnya.

Mwo (apa) !” Membutang mataku menatapnya.

“Saya tak mahu orang lain syak apa-apa tentang hubungan kita. Lagi satu, bukan elok pun seorang perempuan berstatus isteri bersama lelaki lain,” luahnya. Terlopong mulutku mendengar kata-katanya. Aku menelan liur. Terasa  pahit. Kuurut-urut dada cuba menyabarkan diri agar tidak mengamuk sekarang. Bicaranya terang-terangan menyalahkan aku. Mengata aku sebelum mencermin perbuatan sendiri. Tidak adil.

“Jadi elok sangatlah seorang suami bersama perempuan lain?” tanyaku cuba mengenakannya pula. Yen menatapku tajam. Panas hati tatkala tindakannya dipertikaikan. Kalau dia boleh menghinaku kerana bersama Encik Rizal, aku juga boleh mempersoalkan pertemuannya dengan Velviana. Mereka terang-terangan merupakan sepasang kekasih. Muncul pula di khalayak umum.

“Awak tak boleh menyamakan situasi awak dengan saya. Orang lain akan pelik tengok awak bersama lelaki lain. Mungkin orang ingat awak dan dia ialah pasangan kekasih,” ujarnya berkeras. Masih terdengar bicara Velviana siang tadi di telinganya. Kiranya berbekas juga andaian gadis itu di hatinya.

“Saya tak peduli pandangan orang lain. Paling penting Datuk Kamarudin memang tahu hubungan saya dengan Encik Rizal setakat mana. Mungkin awak dah lupa, selain keluarga awak, keluarga saya, Kak Leha dan Linda, tiada siapa lagi yang tahu yang awak dan saya ialah suami isteri,” tegasku geram.  Yen diam. Dia kematian akal. Laju sahaja tangannya menyudu sup kentang di mangkuk. Tidak henti-henti. Aku tergamam memerhatikan gelagatnya yang tiba-tiba jadi rakus dan gelojoh sangat. Macam orang kebuluran yang baru jumpa makanan.

“Kenapa hari ini perangai awak pelik? Awak jealous  tengok saya bersama Encik Rizal?” tanyaku bersahaja. Tiba-tiba Yen tersedak. Tangannya menepuk-nepuk dada. Laju aku menghulurkan segelas air kosong kepadanya. Dia masih terbatuk-batuk.

Mwo (apa)!” Tajam pandangannya menatapku. Aku tersengih lagi.

Jealous? Jangan nak mimpilah. Awak bukan jenis perempuan yang saya suka,” bidasnya. Aku mencebik bibir kepadanya. Sebetulnya aku juga tidak pernah bermimpi mempunyai kekasih sepertinya. Sungguh aku tidak rela lelaki buaya sepertinya menjadi dambaan hatiku. Jauh-jauhkan! Tidak mudah akan terpikat pada kesempurnaannya.

I  know...,” balasku tenang tanpa sekelumit pun tersinggung. Tidak pernah bercita-cita hendak menjadi kekasihnya.

“Baguslah kalau awak tahu,” sokongnya. Aku amat jelas dengan ciri-ciri gadis impiannya. Gadis itu mestilah cantik jelita, berpenampilan seksi dan menggoda. Malah manja dan terkedik-kedik. Semua ciri ini ada pada Velviana. Aduhai..., menyampah dan meluatnya aku! Rasa termuntah pun ada. Oh, malangnya! Aku mengeluh meratapi nasib tatkala menyedari satu kenyataan bahawa pemuda Korea di depanku ini telah menjadi suamiku.

“Bila awak nak nikah dengan Velviana?” tanyaku mengubah topik perbualan. Yen tersentak. Aku menatap Yen menanti jawapan yang bakal keluar dari mulutnya. Berdasarkan perjanjian yang dibuat, jika aku telah menemui teman istimewa dan Yen bernikah dengan perempuan lain, maka hubungan ini harus ditamatkan. Hubungan ini juga akan berakhir jika aku ada perasaan pada Yen. Begitu juga sebaliknya. Aku dan Yen tidak boleh jadi pasangan kekasih bagi melindungi hubungan percintaan pemuda ini bersama kekasihnya.

“Awak tak perlu tahu. Itu urusan saya,” tegasnya beremosi lantas bangun meninggalkan aku yang terkebil-kebil memerhatikan gelagatnya itu.

No comments:

Post a Comment