“Lepas lunch ini, awak temankan saya ke butik. Esok company ada dinner,” tutur Velviana manja. Yen mengangguk menuruti permintaan gadis itu.
“Malam esok awak lapang tak?” Dia berfikir sejenak. Berkira-kira kalau malam ini dia boleh menyiapkan susun atur melodi lagu itu.
“Awak temankan saya pergi dinner. Tak bestlah kalau awak tak datang sama,” renggek gadis itu dengan manja sambil memaut lengannya bagai si kecil yang mahu kehendak sentiasa dipenuhi.
“Esok saya beritahu awak. Malam ini nak cuba habiskan homework,” jelas Yen memberi harapan girang buat gadis ini. Velviana tersenyum lebar. Senang hati kerana selama ini setiap permintaannya tidak pernah ditolak oleh pemuda ini.
Aku menatap deretan gaun majlis makan malam. Semua tampak ekskulsif dan mewah. Hargapun boleh tahan mahal dari tiga angka hingga mencecah keempat angka hanya untuk sepasang gaun. Sekadar mahu mencuci mata kerana sedar aku tidak mampu memilikinya. Suatu pembaziran berbelanja besar hanya untuk sepasang gaun.
“Yang mana awak berkenan?” Kedengaran suara lelaki berbicara. Kuamati suara yang tidak asing itu. Sepasang kekasih sedang leka memilih gaun-gaun yang tergantung di situ.
“Saya berkenan dengan gaun yang ini. Okey tak?” suara manja gadis itu cukup kuingat. Gadis yang kujumpa di premis tempoh hari. Ya, dia itulah kekasih hati Yen. Jadi lelaki itu ialah Yen. Aku mengintai-intai di celah gaun-gaun yang tergantung itu. Memang tepat. Aku nampak wajah pemuda itu. Jelas sekali mereka sekarang berada di butik ini. Senyap-senyap aku berundur menjauhi mereka. Aku memusing tubuhku 360◦ lalu tegak bergerak ke pintu. Persis perajurit sedang berkawad.Yen berpaling menatap gadis yang tegak 90◦ melangkah laju meninggalkan butik ini. Dia cukup kenal rambut panjang lurus dan susuk tubuh gadis itu.
“Iman ssi...,” Nama itu meniti di bibirnya. Velviana berpaling menatapnya. Seseorang yang dikenali pemuda ini turut berada di butik ini.
“Who?” Dia melontor pandangan menyoroti pandangan pemuda itu. Tiada sesiapa di situ.
“Awak sebut nama siapa tadi?” Pemuda itu hanya senyum. Memandangkan dia masih sibuk membuat pilihan, dilupakan perkara itu. Sebaliknya pemuda itu masih memikirkan tentang gadis tadi.
“Awak dah balik,” sapaku melihat Yen muncul di muka pintu.
“Ya...,” Aku sudah siap membersihkan ruang tamu. Semua pakaian pemuda ini sudah dilipat dan tergantung rapi di dalam almari. Malah hidangan malam sudah tersedia hendak dijamah.
“Awak dah masak?” Aku mengangguk tersenyum. Bangga sebab berjaya menyiapkan semua tugasan dengan pantas.
“Saya dah bersihkan rumah, bersihkan bilik awak, basuh pakaian dan siap digantung di dalam almari,” tambahku mempamer ketangkasanku.
“Saya mandi dulu, kejap lagi kita makan sama,”tuturnya.
“Awak tak makan di luar tadi?” tanyaku apabila teringatkan peristiwa siang tadi. Susah payah aku menyelinap keluar dari butik itu gara-gara tidak mahu bertembung dengan mereka. Langkah Yen mati. Dia berpaling ke arahku.
“What?” Aku tersilap langkah. Niat mahu merahsiakan kehadiranku di butik itu. Sekarang aku sendiri hampir-hampir membocorkannya. Aku tersengih kematian akal sambil garu-garu kepala yang tidak gatal.
Aku sudah siap menghidang makanan di atas meja. Yen yang sejak tadi setia menanti mula menikmati hidangan. Seperti biasa dia akan makan dengan penuh fokus. Sekurang-kurangnya berbaloi penat-lelahku menyediakan semua ini memandangkan dia tidak pernah membazirkan semua yang kumasak. Selagi mampu dia akan memuatkan makanan yang terhidang seberapa banyak ke dalam kantung perutnya. Dia sentiasa berselera.
“Tengah hari tadi awak pergi mana?” Aku mengangkat muka lalu menatap Yen. Kami berpandangan.
“Pegi kerjalah,” sahutku bersahaja. Cuba berlagak biasa.
“Masa rehat?” Aku diam seketika. Berfikir jawapan yang terbaik sebelum membuka mulut. Tidak mahu rahsiaku terbongkar. Aku bimbang Yen akan memerliku kalau aku mengaku yang aku telah terserempak dia di butik siang tadi. Pasti mengundang kemusykilannya aku harus berada di situ. Segan juga.
“Awak ini macam penyiasat pula banyak tanya. Makanlah,” arahku cuba melarikan diri daripada terperangkap. Yen masih menatapku buat aku jadi serba salah.
“Awak ada pergi ke butik siang tadi?” Aku tersentak. Betulkah dia nampak aku tadi atau sekadar menduga mahu memerangkapku.
“Kenapa? Saya tak boleh pergi ke tempat macam tu? Takde pun notis yang beritahu tempat itu hanya untuk orang kaya saja,” bidasku serius. Tiba-tiba sahaja aku naik angin. Yen menatapku dengan pandangan kosong. Betul-betul menyakitkan hati menatapnya.
“Saya tahu saya tak layak pergi ke butik, takde duit nak beli gaun beratus-ratus ringgit harganya tapi salah ke saya melihat pakaian yang dijual di situ?” tegasku. Terasa anak mataku berkaca. Hatiku hiba dan terguris dengan sikapnya yang bongkak.
“Saya tahu gaun cantik hanya sesuai untuk gadis cantik macam girlfriend awak tapi tak payahlah berlagak dan nak perli orang. Lelaki kejam!” bentakku. Kutepuk meja dengan kedua-dua belah tanganku melempiaskan sakit hatiku. Lantas aku bangun lalu meninggalkan Yen terkebil-kebil. Sepi. Dia menatap hidangan di depan matanya. Satu-persatu diletak di dalam pinggan. Dikunyah beberapa kali nasi di dalam mulutnya. Dimasukkan sesuap nasi ke dalam mulut lagi. Perlahan-lahan dikunyah. Ternyata selera sudah mati bersama kemarahan gadis itu. Akhirnya dia termenung panjang di situ.
Aku terbaring kaku di atas katil ini. Anak mataku menatap siling yang terbentang. Kuperhatikan sekeliling bilik ini. Sunyi sepi. Kutatap wajah-wajah yang terpampang di depanku. Bi Rain, Jang Hyun, Gwon Sang-Wu, Park Seo Jun, Hyun Bin, Song Seung Heon dan Jang Geun Suk sedang tersenyum. Menatap wajah dan senyuman Jang Geun Suk seolah-olah aku berdepan dengan pemuda di luar itu. Mereka nampak seiras seperti adik-beradik kembar. Rambut, mata, hidung, bentuk tubuh badan, warna kulit memang menyerupai aktor kacak Korea itu. Kecuali ulas bibirnya sahaja sedikit berbeza. Bibir pemuda itu lebih nipis. Agaknya dia meniru penampilan aktor kacak ini memandangkan mereka serupa. Tengok sahaja potongan dan warna rambut mereka memang 100% sama. Rambutnya yang beralun mencecah setakat bahu itu diwarna keperang-perangan. Memang begitu sesuai dengan warna kulit dan bentuk wajahnya.
“Si Plagiarizer!” kutukku bercakap sendiri. Malas aku mahu memikirkan pemuda kejam itu! Aku memejamkan mata cuba hendak tidur. Namun perut mula berkeroncong. Kalaulah aku tidak terlalu sensitif tadi tidaklah aku kebuluran sekarang. Kupejamkan mata lagi. Masih tidak mahu tidur. Perutku semakin terasa pedih. Aku betul-betul lapar. Mahu tidak mahu aku terpaksa menebalkan muka melangkah ke dapur. Mengambil risiko bertemu dengan Yen. Harap-harap dia sudah berada di bilik tidur. Penuh hati-hati aku mengatur langkah menuruni anak tangga. Kupandang ke kiri ke kanan, kalau-kalau Yen sedang memerhatikan gelagatku. Lapang dada kerana Yen tidak berada di tingkat bawah ini.
Aku tersenyum lebar tatkala melihat hidangan masih berada di atas meja. Tanpa membuang masa, laju aku menikmati hidangan malam yang tergendala sebentar tadi. Lebih menyelerakan tanpa kewujudan Yen di sini. Aku boleh makan sebebas-bebas tanpa kekok. Usai makan, aku terus mengemas dapur dan mencuci pinggan. Sayup-sayup kedengaran suara orang menyanyi. Kuamati suara itu. Suara nyanyian itu berada di dalam rumah ini. Aku menjejaki suara itu. Akhirnya langkahku mati tepat di depan pintu bilik ini.
Kupusing tembol pintu dengan berhati-hati dan perlahan-lahan. Di celah-celah daun pintu ini aku cuba mengintai. Aku nampak Yen sedang leka dan tenggelam dalam alunan lagu dan petikan gitar. Sungguh merdu suaranya mengalun melodi indah itu. Aku terpukau. Begitu menyusuk kalbu. Bukan setakat wajah yang sempurna malah suaranya juga begitu merdu. Pasti kekasihnya begitu bangga dengan dirinya. Aku terbayang senyuman lebar gadis itu. Mereka memang pasangan kekasih yang sepadan.
“Iman ssi, apa awak buat di situ?” Aku tersentak. Sepasang mata ini sedang menghala ke arahku. Baru tersedar petikan gitar dan alunan suaranya sudah tidak berkumandang lagi. Aku tidak sempat hendak melarikan diri.
“Come here,” pelawanya. Aku sudah lupa tentang kemarahanku tadi. Aku terus melangkah masuk mendekatinya. Jari-jemarinya santai memetik tali gitar itu.
“Awak datang bulan ke?”
“Mwo (apa)?”Aku tersentak mendengar pertanyaan itu.
“Tadi tetiba marah sangat tapi sekarang dah nampak coll,” jelasnya cuba mengungkit tingkahlakuku. Aku tersengih. Memang aku agak keterlaluan tadi terus melenting tanpa memberi peluang hendak memperhalusi bicaranya.
“Sorry sebab marahkan awak tadi,” tuturku kesal. Yen senyum.
“Kenapa awak marah?” tanyanya menuntut penjelasanku.
“Cara awak bertanya menekan saya,” terus-terangku.
“Tekanan?” Dia menatapku lagi. Sebenarnya aku kurang senang kalau dihujani dengan pelbagai pertanyaan.
“Sejujurnya awak nak kutuk saya kan,” dugaku. Yen mengeluh dan menjelingku dengan lirikan matanya. Tajam.
“Awak prasangka yang bukan-bukan,” Aku terdiam mendengar tuduhan ini.
“Kenapa awak nak tahu sangat sama ada saya ada di butik itu?” tanyaku.
“Saja nak tahu,” balasnya bersahaja sambil terus fokus pada petikan gitarnya. Aku diam dan terus memerhatikan gelagatnya. Teruja melihat bakatnya bermain gitar. Sebenarnya aku pun berminat hendak belajar kemahiran ini namun tiada kesempatan.
“Kenapa awak melarikan diri?” tanyanya lagi tanpa menatapku.
“Melarikan diri?” ulangku semula.
“Awak bergegas meninggalkan butik itu. Awak nampak saya dan Velviana ada di situ. Betulkan?” duganya. Aku diam. Berfikir sejenak tentang jawapan terbaik yang bakal aku berikan. Tidak mahu berlaku salah faham nanti.
“Saya tak nak bertembung dengan kekasih awak itu. Sejujurnya saya tak tahan melihat kesombongannya dan untuk pengetahuan awak, saya masih marah padanya kerana merampas cd Korea daripada saya,” luah isi hatiku selengkapnya.
“Awak betul-betul fanatik dengan aktor-aktor Korea tu,” komennya. Aku mengangguk menyokong bicaranya. Tiba-tiba ada pertanyaan melintas di benak yang harus aku utarakan kepadanya.
“Awak tahu Jang Keun Suk?” soalku. Berkerut dahinya menatapku.
“Siapa tu? Boyfriend Korea awak?” tanyanya semula. Syukur teramat syukur kalau betul dia itu kekasih hatiku. Akulah manusia paling bahagia di dunia ini dapat kekasih setampan dia dan dalam masa yang sama kekasih yang malang kerana dia dipuja oleh ribuan wanita di dunia ini.
“Betul awak tak tahu?” tanyaku meminta kepastian. Dia mengangguk serius.
“Dia kembar awak. Salah seorang daripada enam orang yang ada di muka bumi ini. Dia pun terror main gitar dan bersuara merdu macam awak. Memandangkan awak dengan dia ada 90% persamaan, so mulai sekarang saya panggil awak dengan nama Jang Geun Suk,” tuturku selamba. Dia menatapku serius.
“Saya rasa otak awak ada yang tak betul,” tuturnya. Aku tertawa menyambut bicaranya. Aku tidak akan menjelaskan lebih lanjut kepadanya bahawa nama itu ialah milik seorang aktor kacak Korea. Kalau aku beritahu pasti dia perasan dirinya hebat sangat dan tidak pasal-pasal dia akan ingat aku syok kat dia. Jauh-jauhkan.
“Nama itu mesti milik someone yang awak minat giler. Awak minat kat saya ke?” soalnya. Dia menatapku dengan keningnya yang terangkat-angkat sambil tersenyum. Sengaja pula dia menunjukkan aksi menggodanya.
“Saya tak minat buaya darat seperti awak!” tegasku disambut dengan deraian tawanya.
“Sebab itu awak harus berhati-hati. Buaya darat ni senang nak cari mangsa. Kebanyakan mangsa sendiri yang datang menyerah diri,” balasnya bongkak dan riak. Mendengar bicaranya itu cukup menyeramkanku. Kupeluk tubuh melindungi diri dari pandangan nakalnya. Tiba-tiba Yen mengangkat tangan seakan berhajat mahu menyentuhku. Belum sempat tangan itu mendarat di kepalaku aku terlebih awal menepisnya.
“Awak nak buat apa!” bentakku. Aku sudah berdiri menjarakkan diri darinya.
“Saya nak buang ulat kat rambut awak tu,” beritahunya.
“Ulat? Mana ulat!” Aku sudah jadi kelam kabut. Sana-sini tanganku mengibas-ngibas rambutku. Sememangnya aku cukup geli dengan makhluk itu.
“Awak tolong buangkan!” rayuku memohon simpati sambil tercengat di depannya.
“Cepat!” laungku seraya menghentak-hentakkan kaki. Aku mula menangis. Tubuhku sudah menggigil. Ada peluh dingin memercik keluar.
“Maafkan saya Mak Long,” rayuku dalam sendu sedan.
“Makan nasi tu sekarang! Makan!” jerkah Mak Long dengan wajah menyinga memandangku. Rambutku sudah berada dalam genggaman Mak Long.
“Nasi tu ada ulat. Saya tak boleh makan,” suaraku terketar-ketar.
“Habis tu kau nak beri makan kat akulah!” tengking Mak Long.
“Maafkan saya, Mak Long. Saya tak sengaja. Saya tak tahu nasi tu ada ulat,” rayuku lagi betul-betul mengharapkan simpati Mak Long.
“Aku tak peduli, kau mesti makan juga nasi ni. Memang niat kau nak bagi aku makan ulat ni!” Mak Long memaut kasar tubuhku. Digenggam sekuat-kuat rambutku sehingga membuatkan aku terdongak.
“Tolong...Mak Long. Ampun Mak Long,” rintihku merayu. Mak Long sudah dirasuk amarahnya. Nasi sepinggan yang ada ulat itu disumbat dengan kasar ke dalam mulutku.
“Apa yang mak buat ni,” Lili muncul di muka pintu dapur lalu menarik tubuhku dari pautan Mak Long. Mak Long melepaskan tubuhku penuh kepuasan setelah berjaya memaksa aku makan nasi itu. Aku terbatuk-batuk. Tangan Lili mengurut-urut belakangku. Lembut tangannya membersihkan sisa-sisa nasi yang berselerakan di sekitar mulut dan wajahku. Aku terbayang beberapa ekor ulat yang sedang melalui tekakku lalu masuk ke dalam perutku ini. Aku tidak dapat menahan diri. Akhirnya aku termuntah. Sepantas kilat tangan Mak Long hinggap di tubuhku. Bukan sekali tetapi banyak kali. Seketika tubuhku menjadi sasaran bertalu-talu pukulan tangan Mak Long.
“Mak..cukup.....!!” Lili menjerit tidak tega melihat aku diperlakukan sedemikian. Air matanya berlinangan di pipi.
“Bersihkan sekarang muntah awak tu! Kalau aku tengok masih ada lagi bertambah sakit kau aku kerjakan!” jerkah Mak Long lalu beredar meninggalkan aku dan Lili di situ.
“Iman... awak tak apa-apa?” Aku geleng kepala.
“Biar saya tolong,” pintanya lantas mencapai kain buruk.
“Lili...,” Aku terus memeluk tubuh Lili. Tangisan kami bersatu.
“Iman ssi....,” sayup-sayup kedengaran suara lelaki. Aku mendongak. Pemuda itu terkedu menatapku.
“Awak okey?” Kuusap pipi. Air mata sudah membasahi pipiku.
“Saya tipu awak tadi. Takkan rambut secantik ni ada ulat. Lainlah kalau seumur hidup awak tak pernah mandi,” bicaranya cuba mengusikku. Kata-katanya langsung tidak memberi kesan kepadaku. Aku masih terdengar bunyi esakanku dan Lili yang bersatu. Aku masih terasa tekakku yang perit kerana terpaksa menelan nasi itu. Aku masih terasa hangat pukulan tangan Mak Long ditubuhku. Semua ini gara-gara ulat. Aku benar-benar bencikan ulat! Benci sepenuh jiwa ragaku!
“Arrrggghhhh.... Arrrggghhhhh...!” tangisanku kian menjadi-jadi. Aku sudah tidak mampu mengawalnya.
“Iman ssi are you okay?” soalnya gusar. Betapa dia terkejut melihat tangisan gadis itu. Sungguh tidak disangka akan terjadi sedemikian. Dia mula risau melihat tangisan gadis itu.
“Iman ssi..!!” Digoncangnya tubuh gadis itu cuba menyedarkannya. Aku terasa seakan bumi ini bergoyang bagai gempa bumi sedang melanda. Kutatap sekeliling. Tiada Mak Long di sini mahu pun Lili. Samar-samar aku nampak seraut wajah putih bersih sedang menatapku. Tampak bimbang dan panik.
“Jang Geun Suk...,” perlahan-lahan nama itu meniti di bibirku.
“Are you okay?” Kusapu sisa-sisa air mata di pipiku. Dia masih menatapku. Wajahnya keliru. Aku masih diam. Yen pasti terkejut melihat tingkahlakuku tadi. Segelas air kosong dihulurkan kepadaku.
“Minum air ni,” arahnya. Kuteguk perlahan. Anak matanya masih tidak lari-lari dari menatapku.
“Awak betul-betul telah menakutkan saya,” luahnya. Aku diam. Pasti tingkahlakuku tadi mengundang persoalannya.
“Awak betul-betul takut dengan ulat?” Aku mengangguk. Ada senyuman terukir di bibirnya. Barangkali pengakuanku itu mencuit hatinya.
“Kenapa?” Senyap. Aku tidak akan menjawab pertanyaannya itu.
“Dah dua kali saya tengok keadaan awak macam ni. Awak ada memori buruk dengan ulat ke?” tekanya. Sedikit tersentak aku mendengar pertanyaannya itu. Kejadian tempoh hari masih segar dalam ingatannya. Yen terlalu bijak membaca tingkahlaku orang. Aku masih membiarkannya berbicara sendirian.
“Awak okey?” soalnya lagi.
“Saya nak tidur sekarang,” putusku lalu bangun meninggalkannya terpinga-pinga di situ.
AKU meletakkan mangkuk besar yang berisi bihun yang sudah siap dicelur ke atas meja. Satu mangkuk sup daging yang panas kuletak penuh berhati-hati. Bahan-bahan bihun sup yang lain sudah berada di atas meja. Dua biji mangkuk sederhana besar kuletakkan di tepi hidangan yang lain. Aku terus sahaja menuang air teh kosong ke dalam dua biji cawan lalu meletakkan sebiji cawan di depannya. Kemudian aku memasukkan bihun, sup serta bahan-bahan campuran yang lain ke dalam mangkuk sederhana tadi lalu kuletakkan di depan anak muda ini.
“Silalah makan,” jemputku. Senyap. Aku mula menikmati menu sarapan ini. Sedikit agak ganjil kerana awal pagi sebelum aku siap menghidang sarapan, pemuda ini sudah muncul di dapur menungguku di meja makan. Selalunya hujung minggu begini jarang benar dia bangun awal. Agaknya dia ada rancangan hari ini.
“Iman ssi, are you okay?” Aku berhenti menghirup sup. Kulawan pandangan Yen.
“Ya okey...,” balasku bagai tiada apa-apa yang berlaku semalam. Aku kembali menikmati bihun sup di depanku ini. Sesekali aku menghirup air teh kosong yang masih panas. Aku sedar sepasang mata itu tidak menjauh dari terus memerhatikan setiap gerak-geriku.
“Awak tak pernah tengok orang makan?” soalku sedikit menyentakkannya. Dia menjelingku buat aku tersenyum sendiri. Sekarang baru dia mula fokus menikmati bihun sup di depannya. Aku tertunggu-tunggu juga kalau Yen mengungkit perkara semalam. Syukur dia sudah melupakannya.
“Hari ni awak buat apa?” soalnya tiba-tiba.
“Saya?” Aku menunding jari pada diri sendiri. Dia mengangguk. Hairan dengan pertanyaan itu. Selama ini tidak pernah dia hendak ambil tahu tentang aktivitiku.
“Buat kerja rumahlah,” balasku. Dia diam dan berfikir seketika.
“Hari ni tak payah buat kerja rumah. Awak ikut saya nanti,” Aku menatap wajahnya mencari kepastian.
“Nak pergi ke mana?” soalku. Hari ini perangainya sungguh pelik. Yen hanya tersenyum.
“Pukul 10.00 nanti kita keluar. Awak bersiap-siaplah,” arahnya lalu bangun meninggalkan aku terkebil-kebil di situ. Tepat pukul 10.00 pagi, kami keluar meninggalkan rumah ke destinasi yang tidak kuketahui. Aku hanya menurut ke mana lelaki ini membawaku. Kereta yang dipandu berhenti di perkarangan Taman Tasik Mas, suatu lokasi riadah yang cukup popular di daerah kecil ini. Aku menatap Yen mengharapkan penjelasan. Namun dia terus keluar dari kereta turut memaksa aku berbuat demikian.
“Kita nak buat apa kat sini?” soalku hairan sambil mengekori langkahnya.
“Awak ikut saja,” arahnya sesekali membetulkan ikatan rambutnya. Sekumpulan anak gadis yang kami lewati memandang Yen sambil berbisik-bisik. Ternyata dia berjaya menarik perhatian gadis- gadis itu. Aku melirik ke wajah anak muda ini, dia nampak tenang dan bersahaja. Tiada terganggu dengan pandangan orang di sekeliling. Pasti dia sudah terbiasa dengan situasi demikian. Mungkin juga mereka sedang mengutuk Yen kerana penampilannya yang berbeza dengan orang lain. Namun pada pendapatku keberangkalian orang memuji lebih tinggi berbanding yang mengutuknya. Yen memang layak mendapat pujian itu. Kalau tidak percaya tengok sahaja wajah pelakon dan penyanyi Korea yang popular itu, Jang Geun Suk. Dia memang sebiji macam aktor kacak itu.
“Kita nak pergi mana ni?” tanyaku sambil cuba mengejar langkahnya. Aku ketinggalan sedikit di belakangnya. Yen masih tidak mahu menjawab pertanyaanku.
“Jang Geun Suk!” panggilku. Sakit hati tatkala dia langsung tidak menghiraukan panggilanku. Aku berhenti melangkah. Malas mahu terus mengekorinya. Tidak tahu apa yang ingin dilakukannya. Hari ini lelaki ini bersikap agak aneh. Aku harus berhati-hati. Yen sudah berada di depan meninggalkan aku.
“Hai, seorang je ke?” sapa satu suara lelaki. Aku menoleh. Ada tiga orang lelaki asing sedang tersenyum simpul menatapku. Lagak macam Mat Rempit yang ketandusan perempuan. Gerun hatiku tatkala langkah mereka kian mendekatiku.
“Sayang, kenapa lambat sangat ni,” Satu tangan sudah melingkari bahuku. Mesra. Aku mendongak. Yen sudah berada di sisiku. Aku terpaku diperlakukan sebegitu. Namun terasa selamat dengan kehadirannya yang tidak kuduga. Pandangannya tajam menatap tiga orang lelaki itu membuatkan mereka berundur lalu meninggalkan kami.
“Mari...,” Dia terus sahaja menarik tanganku membawa aku pergi. Kali ini aku akur kerana khuatir perkara tadi berulang lagi.
“Jang Geun Suk nak buat apa kat sini?”
“Awak ikut saja ke mana saya pergi,” arahnya. Terasa hangat tangannya memaut tanganku. Langkah kami terhenti. Aku terkedu dengan pandanganku tika ini.
“Jang Geun Suk...,” Dia menoleh dan tersenyum menatapku.
“Kita nak buat apa?” soalku keliru.
“Menyeberangi jambatan gantung ni. Kenapa? Awak takut?” Aku geleng kepala menafikan tuduhannya itu.
“Tak... tapi saya tak nak menyeberang sekarang,” tingkahku.
“Bukan ke awak kata awak suka aktiviti mencabar. Jom...,” ajaknya lalu menarik tanganku memasuki barisan panjang ini, bersedia hendak menyeberangi tasik menggunakan jambatan gantung sepanjang 500 meter pada ketinggian sepohon pokok. Suatu perjalanan yang panjang, agak tinggi dan menggayatkan aku.
“Saya tak nak,” bantahku. Cuba kutarik tanganku. Namun pautan tangan Yen begitu kemas.
“Awak tak perlu takut. Saya akan pegang awak,” janjinya.
“Saya bukan takut tapi saya tak nak pergi sekarang,” terangku berkeras.
“Kita mesti teruskan juga. Cuba tengok kat belakang tu ramai dah orang berbaris. Kita tak boleh berpatah balik,” jelasnya cuba menyedarkanku sekali gus memaksaku untuk akur. Aku menoleh ke belakang. Berpuluh-puluh pasangan sudah beratur menunggu giliran untuk menyeberangi jambatan gantung ini. Agak sukar untuk aku dan Yen berpatah balik kerana laluan sempit yang hanya boleh dilalui oleh dua orang secara beriringan. Kalau aku berpatah balik pasti akan memberi kesukaran kepada orang lain sekali gus tidak mustahil bakal menimbulkan kemarahan mereka. Silap tingkah boleh mencetuskan pergaduhan. Aku tidak jamin Yen akan berdiam diri andai ada yang melemparkan kata-kata kurang menyenangkan kepada kami, tetapi mestikah aku menyeberangi jambatan gantung ini bersama dia? Bukankah aku mahu melakukan semua ini bersama .... Ah, aku binggung memikirkannya!
“Sedia, Iman ssi,” Aku tersentak. Semua yang ada dalam fikiranku bertaburan hilang. Langkah pertama memijak jambatan gantung ini sudah bermula.
“Hati-hati,” ujarnya mengingatkan aku. Aku terhoyong-hayang seketika di awangan. Kedengaran jeritan-jeritan kecil di sekeliling. Aku melemparkan pandangan ke bawah. Huhh, terasa bergegar lututku! Jantung berdegup kencang.
“Jangan tengok kat bawah. Teruskan jalan,” arahnya. Keadaanku masih terhoyong-hayang. Belum dapat mengimbangi diri.
“Let’s go,” Tangan Yen mencapai tanganku. Terasa erat genggaman itu. Kali ini baru aku boleh melangkah dengan seimbang. Masih kedengaran suara jeritan-jeritan kecil pengunjung-pengunjung lain. Mereka sepertiku. Aku menatap sekeliling. Awan membiru menghiasi pandangan. Begitu indah dan menyegarkan seperti aku sedang memijak awan. Aku mula tidak pedulikan sekelilingku lagi. Aku juga tidak hiraukan Yen di sisiku. Aku lupa seketika dengan duka-dukaku selama ini. Berada di tempat tinggi terasa begitu lapang.
Yen menatap gadis di sisinya dengan senyuman. Senang hati melihat gadis ini sudah boleh tersenyum panjang. Rancangannya telah berhasil. Berbaloi dia menghabiskan masa sepanjang malam untuk membaca buku yang dihasilkan oleh pakar motivasi itu. Dia bahagia melihat senyuman itu.
“Awak okey sekarang?” Aku mengangguk seraya menyambut air mineral yang dihulurkan. Yen melabuhkan punggung di sebelahku. Dia tersenyum sendiri.
“Gomawoyo. Setelah melalui cabaran yang sukar tadi, saya rasa tenang sekarang,” luahku jujur. Yen senyum lagi. Sekarang dia sudah menjadi pemuda yang murah dengan senyuman. Tidak seperti dulu. Suatu perubahan positif pada dirinya.
“Bukankah awak tak nak menyeberang tadi. Tengok bukan sesuatu yang menakutkan, kan?”
“Saya tak takut,” bidasku. Yen tertawa. Dia tidak mempercayai bicaraku.
“Habis tu kalau tak takut, apa?” Aku menatapnya.
“Kalau saya cakap perkara yang sebenar, boleh tak awak jangan ketawakan saya,” pintaku. Yen menatapku. Lantas dia mengangguk.
“Apa dia?”
“Awak janji jangan ketawa,” Dia mengangguk lagi.
“Saya pernah janji dengan diri sendiri, saya akan menyeberangi jambatan gantung tadi dengan lelaki cinta pertama saya,” ceritaku serius.
“Ha...ha....ha..!!!” Yen ketawa.
“Awak dah janji takkan ketawakan saya,” marahku.
“Okey.... okey...,” Masih ada sisa-sisa tawanya. Lantas sedaya upaya cuba dikawal diri daripada terus ketawa. Kenyataanku ini benar-benar telah mencuit hatinya.
“Awak ni kelakarlah. Macam budak-budak,” kutuknya. Ditepuknya bahuku. Laju tanganku menepisnya. Suka sangat dia memperli aku.
“Tapi awak telah musnahkan semua tu,” tegasku dengan wajah yang serius menatapnya. Yen tertawa lagi. Gembira sungguh dia menjadi pemusnah kepada impian orang lain. Kempunanlah aku merealisasikan hajatku itu. Semua ini gara-gara pemuda Korea ini.
“Awak marah?” Aku menjelingnya tajam. Dia tersenyum lagi.
“Tak pelah. Walaupun awak tak dapat menyeberang jambatan gantung itu bersama lelaki cinta pertama awak, tapi sekurang-kurangnya awak melakukannya bersama suami pertama awak,” tuturnya santai dan bersahaja. Aku terdiam. Aku menoleh ke arahnya, menatap wajah itu. Aku dan Yen berpandangan seketika. Senyap.
“Awak tak gembira melakukannya bersama saya?” Aku terkedu mendengar pertanyaan ini. Yen masih menatapku menanti jawapan daripadaku.
“Sejujurnya, memang saya gembira tapi dalam masa yang sama saya takut kalau girlfriend awak yang cantik itu menyerang saya,” luahku jujur. Yen tersenyum. Mungkin bangga dengan pujian yang aku berikan kepada kekasihnya itu.
“Bila awak nak kahwin?” Bulat matanya menatapku.
“Bukankah saya dah kahwin. Awak dah lupa ke?”
“Maksud saya kahwin dengan Velviana?” jelasku.
“Saya tak percaya dengan ikatan perkahwinan,” balasnya selamba. Patutlah pada pertemuan pertama kami, dia mahu kami tinggal bersama tanpa ikatan yang sah. Aku menatap wajah itu lagi. Sungguh menggerunkan prinsipnya itu. Namun tercelit sedih dan simpatiku pada pemuda ini. Sayang wajah kacak, tetapi ketandusan pegangan.
“Saya pernah terbaca satu mutiara kata daripada hamba Allah yang sangat menarik yang berbunyi begini. Awak dengar dengan teliti ye. Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar-benar mengamati segala tuntutannya. Berkahwin itu menjanjikan pahala yang tidak putus-putus bagi yang menjadikannya gelanggang untuk menjadikan syurga sebagai matlamatnya. Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan bagi yang mengetahui rahsia-rahsia. Berkahwinlah demi Allah dan nabi-nabiNya, bukan kerana perasaan dan mengikut kebiasaan. Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masanya akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka lorong-lorongnya agar jemputan itu mudah sampai. Memang jodoh itu disembunyikan dari pengetahuan untuk menguji ketaqwaan hamba-hambaNya,” lancar mulutku menuturkan madah pujangga indah ini.
“Bagaimana perasaan awak? Adakah perkahwinan kita berdua ni indah?” soalnya sambil menatapku. Aku tergamam mendengar pertanyaannya itu.
“Mungkinkah saya memang jodoh awak?” soalnya lagi. Tersentak. Tiada bicara yang terbit dari mulutku. Yen masih menatap wajahku, menanti persoalannya dijawab. Namun lidahku kelu. Akhirnya aku hanya mampu membiarkan persoalannya berlalu tanpa sebarang jawapan.
No comments:
Post a Comment