Wednesday, 28 July 2021

Awaklah SonataKu....Bab 18

 

Terasa kekok pergerakanku di dapur ini. Segalanya serba tidak kena. Terasa bagai anak mata Mak Long asyik mengawasi setiap gerak-geriku. Aku seakan menunggu masa sahaja untuk dijatuhkan hukuman. Hukuman daripada Mak Long. Sesekali aku dan Lili saling berpandangan. Aku tahu Lili mengerti perasaanku tika ini.

“Lili bawa periuk yang berisi beras tu ke sini,” arah Mak Long. Baru sahaja Lili hendak meletakkan pisau di tangan pantas aku menegahnya.

“Biar saya yang buat,” ujarku mencuba nasib. Lili menatapku. Ada kerisauan di wajahnya. Aku tidak akan berputus asa untuk membaiki hubunganku dengan Mak Long. Aku yakin niat yang baik akan direstui Allah. Suatu hari nanti Mak Long akan berubah juga. Dia akan menerima kehadiranku lebih baik daripada sekarang.

“Cepat...!” suara Mak Long mula kedengaran agak tinggi. Lili mengangguk membenarkan aku melaksanakan arahan Mak Long bagi menggantikan dirinya. Kucapai periuk yang berisi beras lalu dengan berhati-hati kuhulurkan kepada Mak Long yang masih membelakangiku di depan singki ini.

“Kenapa lembab sangat kamu nak bergerak...,” rungut Mak Long yang masih belum menyedari akan kehadiranku di situ. Mungkin Mak Long ingat Lili yang berada dekat dengannya sekarang. Tatkala Mak Long berpaling, pandanganku dan Mak Long bersatu. Wajah Mak Long terus sahaja menyinga.

“Kau rupanya...!” suara Mak Long bergema kuat. Serentak itu tangan Mak Long menolak kuat tubuhku. Aku terhumban ke lantai.

“Mak apa ni,” Lili berlari mendapatkanku. Dipegang lenganku membantuku bangun semula.

“Awak okey Iman?” Aku hanya mengangguk. Krraaannngggg! Berdentum periuk berpalu dengan lantai. Beras bertaburan di lantai. Aku dan Lili tergamam menyaksikan perbuatan Mak Long.

“Kenapa ni mak...,” keluh Lili memandang Mak Long.

“Kau jangan nak berlagak baik dengan aku,” radang Mak Long menunding jari ke arahku. Aku terdiam dan tertunduk. Kukutip beras yang bertaburan di lantai dengan hati yang pilu.

“Boleh tak kalau mak berlembut sikit dengan Iman,” pinta Lili. Mencerlang pandangan Mak Long memandang Lili kemudian beralih ke wajahku.

“Jangan harap aku akan buat macam tu kat anak tak guna ni. Aku memang tak puas hati tengok kau hidup senang-lenang sekarang. Kau tak berhak dapat semua ni!” tengking Mak Long tanpa belas kasihan.

“Apa yang Iman ada sekarang semuanya atas kehendak mak. Mak yang paksa Iman kahwin dengan orang kaya. Jadi semua ni bukan salah Iman,” tegas Lili membelaku.

“Kamu diam!” jerkah Mak Long.

“Selagi kau hidup kat dunia ni, hatiku takkan tenang!” jerit Mak Long lantas meluru ke arahku lalu memukul-mukul tubuhku. Mak Long bagai kerasukan.

“Jangan mak!” Lili cuba menghalang tangan Mak Long menjamah tubuhku. Sebaliknya aku hanya berteleku di situ membiarkan Mak Long terus-terusan memukulku. Kalau semua ini bisa menebus kesalahan ibu dan ayah terhadap Mak Long, aku reda diperlakukan sebegini. Biarlah aku yang membayar semua keperitan yang Mak Long tanggung selama ini.

“Cukup... Mak Long!” suara lantang dari pintu memberhentikan pukulan tangan Mak Long di tubuhku. Yen melangkah laju lantas menarik tanganku meninggalkan Lili dan Mak Long yang masih terpana dengan kehadiran Yen. Aku mengekori langkah Yen tanpa sebarang bicara.

“Kejap lagi Pak Mahat sampai. Cepat kemas barang kita balik malam ni,” arah Yen dengan wajah yang serius. Aku patuh sahaja. Kumasukkan barangku dan barang Yen ke dalam beg.

“Dah siap?” Yen muncul di muka pintu. Aku hanya mengangguk. Lantas dicapainya kedua-dua beg pakaian itu lalu menarik tanganku keluar dari bilik. Pak Long dan Lili sedang menanti di ruang tamu. Langkah Yen terhenti di situ.

“Maaf  Pak Long, saya takkan biarkan isteri saya diperlakukan sesuka hati,” tegas Yen dengan wajah serius. Kutatap Yen. Bicaranya menyentuh perasaanku. Pak Long tersenyum. Begitu juga dengan Lili. Tangan Pak Long menepuk-nepuk bahu Yen. Langsung dia tidak ambil hati akan kata-kata Yen itu.

“Terima kasih. Pak Long memang perlukan orang seperti Yen untuk menjaga dan melindungi Iman,” luah Pak Long lembut dengan wajah yang bercahaya-cahaya.

“Jaga diri Iman baik-baik. Selama ini Pak Long terlalu lemah sehingga tak mampu melindungi Iman,” luah Pak Long kecewa.

“Pak Long...,” panggilku sayu. Air mataku menitis ke pipi. Pak Long juga turut mengalirkan air mata. Lili di sebelahnya sudah teresak-esak menangis.

“Maafkan Pak Long, Iman...,” luah Pak Long dalam sendu buat aku bertambah sayu. Kupeluk tubuh Pak Long. Berbanding dengan aku, perasaan Pak Long lebih tercalar. Pak Long berkahwin dengan perempuan yang tidak pernah mencintai dirinya selama ini. Kebencian Mak Long kepadaku membuktikan begitu mendalam cinta Mak Long kepada ayah. Mak Long bencikan aku sebab kebenciannya kepada ibu, insan yang telah merampas tunangnya.

“Kita pergi sekarang,” suara Yen mengejutkanku. Lembut tangan Pak Long menyapu deraian air mata di pipiku.

“Pak Long, Lili saya pergi dulu,” ujarku dalam sendu yang ditahan-tahan. Lili terus memeluk tubuhku. Aku dan Lili saling berpelukan buat seketika.

“Jaga Pak Long dan Mak Long baik-baik. Jaga Nana dan Adie. Jaga diri awak juga. Pastikan semuanya sentiasa dalam keadaan baik,” bisikku berpesan. Lili menatap wajahku seketika. Mungkin di luar jangkauan fikirannya aku masih mengharapkan kebaikan buat Mak Long. Seikhlas dan sejujurnya aku bersimpati dengan Mak Long. Dia mangsa hubungan cinta tiga segi. Mak Long jadi begini kerana cintanya yang mendalam. Ayah meninggalkannya kerana ayah lebih mencintai ibu. Sedalamnya sudah kufikirkan. Mak Long bukan kejam tetapi dendam kasumat yang membuatkan Mak Long jadi sebegitu tega.

Aku melangkah ke halaman rumah dengan perasaan sugul. Kusapu bersih sisa-sisa air mata di pipi. Tidak mahu mengundang kehairanan Pak Mahat. Kalau sekali pun Pak Mahat tertanya-tanya dengan kepulangan mengejut kami ini, biarlah Yen yang akan menjelaskan nanti. Sepanjang perjalanan langsung tiada bicara yang keluar. Begitu juga dengan Pak Mahat. Masing-masing hanya mendiamkan diri. Tatkala kereta berhenti di halaman banglo aku mendahului Yen melangkah masuk meninggalkan Yen dan Pak Mahat yang sedang berbicara. Mungkin Yen mahu mementerai perjanjian dengan Pak Mahat menghalang situasi malam ini sampai ke pengetahuan Datuk Kamarudin dan Puan Sodiah.

“Jangan bazirkan air mata awak kerana perempuan tu,” suara tegas Yen singgah di telingaku. Aku berpaling menatap Yen. Wajahnya nampak begitu serius.

“Awak tak sepatutnya buat macam ni kat Pak Long dan Mak Long. Tindakan kita ni akan mengguris perasaan mereka,” ujarku sayu. Tajam pandangan Yen menatapku. Kemudian dia tersenyum sinis.

“Jangan terlalu naif Iman ssi. Beribu kali awak berbuat baik kepada dia, Mak Long awak akan tetap layan awak begitu. Sampai bila awak harus hambakan diri kepada dia!” lantang suara Yen meluahkan rasa tidak puas hatinya.

“Biarlah itu urusan keluarga saya. Awak tak berhak mencampurinya!” lantang juga suaraku membalasnya. Yen tersentak.

“Jadi awak nak terus diri awak diperlakukan sedemikian? Awak terlalu lemah Iman ssi,” bidas Yen meluahkan marahnya.

“Mak Long memang berhak melayan saya begitu,” putusku.

Why?” suara Yen kian tinggi.

“Sebab ibu telah merampas tunang dia!” jeritku histeria bersama deraian air mata. Yen tergamam. Aku terus berlari mendaki anak tangga meninggal Yen di situ. Di bilik ini aku menangis meratapi kisah duka lara keluargaku.

“Awak dah puas hati sekarang, Timah!” suara lantang Encik Musa bergema di rumah itu. Buat pertama kali suaranya meninggi. Kali ini dia tidak boleh bersabar lagi. Perempuan itu menarik muka masam. Langsung tiada keinsafan dalam dirinya.

“Selama ini saya cukup bersabar dengan perangai awak. Awak langsung tak hormatkan saya sebagai suami awak. Berapa banyak kebencian awak pada Iman sebegitu banyak juga kekecewaan saya. Selama ini awak tak pernah menerima kehadiran saya sebagai teman hidup awak. Awak benar- benar telah mengguris perasaan saya,” luah Encik Musa hampa. Berderai air mata Lili mendengar bicara itu. Dia dapat merasakan kekecewaan lelaki itu.

“Kalau awak dah tak mampu hidup bersama saya lagi...Timah, saya rela lepaskan awak. Selama ni walaupun kita hidup bersama tapi saya langsung tak bermakna buat awak,” luah Encik Musa benar-benar terkilan.

“Ayah...,” Lili tersentak.  Perempuan itu pun tersentak sama. Dia tidak menyangka suaminya akan nekad sebegitu. Encik Musa melangkah bersama setitis air mata yang jatuh ke pipi. Tika ini hatinya hancur lebur. Kekecewaan yang mendalam kerana merasakan dirinya telah gagal menjadi ketua keluarga.

“Lili dan anak-anak Lili akan ikut ayah...,” laung Lili mengejar langkah lelaki itu meninggalkan perempuan itu. Dia menyoroti langkah-langkah yang meninggalkannya bersendirian di situ. Dia di awangan. Lama. Akhirnya dia terduduk lemah di situ.

 

AKU menatap wajah di cermin. Birai mataku bengkak gara-gara semalam lama menangis. Kuraup muka dengan kedua-dua belah telapak tanganku. Cuba mengumpul semangat yang bertaburan sejak semalam. Hari ini aku mesti lebih tabah setelah melalui kesukaran yang panjang dalam hidupku. Teringat kepada Yen. Sedih menyelubungi diri. Tidak sepatutnya aku berkasar dengannya. Niat hatinya suci hanya mahu melepaskan aku dari belenggu kekuasaan Mak Long. Menyesal aku memperlakukannya sedemikian.

Berfikir dua tiga kali aku sebelum melangkah keluar dari bilik ini. Segan hendak bersemuka dengan Yen memandangkan semalam aku menengkingnya. Bahkah puas juga dia menyaksikan deraian air mataku. Namun bila ingatkan aku harus menyiapkan sarapan, penuh hati-hati aku mengatur langkah sambil anak mataku liar meninjau-ninjau di sekitar rumah ini. Mahu melarikan diri sebelum sempat pandangan mata Yen menangkap bayangan tubuhku. Aku perlu mengambil sedikit masa mengembalikan situasi biasa sebelum bersemuka dengan pemuda Korea itu. Inilah akibatnya kalau bertindak ketika hilang pertimbangan.

Kupandang setiap ruangan banglo ini. Sunyi sepi. Hanya aku seorang sahaja yang berada di sini sekarang. Kulangkahkan kaki ke dapur. Tudung saji sudah berada di meja. Kutatap tulisan tangan Yen pada kertas merah jambu yang melekat pada tudung saji itu. Yen sudah menyediakan buchimgae atau jeon untukku sebagai hidangan sarapan. Teruja dan terharu akan kebaikan Yen. Sesungguhnya, pemuda Korea ini langsung tidak ambil hati atas tingkahlakuku semalam.

Kuangkat teko lalu menuang air teh kosong panas ke dalam cawan. Kucapai sepotong buchimgae. Buchimgae atau jeon ialah jenis kudapan yang dibuat dari kimchi atau makanan laut yang dicampur dengan adunan tepung dan digoreng menjadi seperti pancake. Jeon yang Yen buat ini ialah variasi pajeon iaitu pancake yang dibuat daripada campuran telur, tepung, bawang bombai, dan kerang. Variasi bindaetteok ialah pancake yang dibuat daripada campuran kacang hijau, bawang bombai dan kimchi. Ini infomarsi yang aku dapat daripada Puan Sodiah. Kumasukkan potongan jeon ke dalam mulut lalu mengunyah dengan perlahan-lahan.  Aku menikmati jeon ini dengan penuh perasaan. Kemahiran memasak yang dimiliki oleh pemuda Korea ini boleh digunakan untuk membuka restoran makanan Korea.

Usai sarapan sebelum meninggalkan dapur, kucapai kertas pink tadi lalu menulis penghargaanku di situ. Tidak lupa juga pujianku terhadap hidangan jeon yang telah disediakannya. Kucapai beg galas lantas bergerak ke pintu. Mahu mengambil angin segar melawan degupan kencang jantungku. Dengan memulakan langkah kanan bersama kalimah pujian ke atas Allah S.W.T. Semoga hari ini akan membawa perkhabaran gembira dan menjadi hari yang lebih menceriakan buatku. Amin.

Aku menarik nafas dalam-dalam. Hari yang sungguh mendebarkan. Jariku sudah menekan laman web semakan status permohonan ke IPTA. Kian berdebar sementara menanti proses loading berakhir. Perkataan pertama yang aku nampak ‘TAHNIAH’ memberikan kegembiraan yang paling besar dalam hidupku. Aku meraup muka memanjat kesyukuran. Aku terlalu gembira membuatkan air mata menitis ke pipi. Segera aku menyatakan persetujuanku menerima tawaran belajar di UNIMAS. Alhamdulillah terlaksana juga hajatku hendak menjadi seorang guru. iPhone berdering-dering. Terkial-kial aku menyelongkar beg galas. Terpapar nama Encik Rizal di dada skrin iPhone.

“Assalamualikum Encik Rizal,” sapaku riang. Salamku disambut dengan suara ceria Encik Rizal.

“Alhamdulillah, permohonan saya telah diterima. Saya bakal jadi mahasiswa UNIMAS, Encik Rizal,” ceritaku teruja penuh keriangan. Kegembiraanku turut dikongsi bersama Encik Rizal.

“Tahniah! Awak kat mana sekarang?” soal Encik Rizal.

“Saya di luar ni. Kejap lagi nak pergi ke Pasar Raya Grand Pasific,” jelasku.

“Okey, saya tunggu awak kat situ setengah jam dari sekarang,” ujar Encik Rizal sebelum sempat aku meminta penjelasan maksud bicaranya itu.  Barangkali Encik Rizal ingin meraikan kejayaanku ini bersama-samanya. Aku tersenyum sendiri. Segera aku melangkah ke destinasi seterusnya. Dari kejauhan kelihatan Encik Rizal begitu segak sedang menanti kedatanganku. Senyuman lebar menyambutku.

“Tahniah sekali lagi, Iman,” ujarnya. Senyuman kami bertaut. Seronok sangat hari ini.

“Terima kasih,” sahutku gembira.

“Jom, ikut saya,” ajaknya tiba-tiba.

“Nak pergi ke mana?” soalku hairan.

“Saya belanja awak makan... meraikan kejayaan awak ni,” jelasnya.

“Perlu ke Encik Rizal?” soalku berbelah bahagi. Encik Rizal mengangguk.  Aku melangkah beriringan dengan Encik Rizal. Langkah kami berhenti di depan Restoran Nasi Ayam Murni. Restoran mewah ini menghidangkan nasi yang dilengkapi pelbagai jenis masakan ayam yang sedap-sedap. Buatlah pilihan berdasarkan kemahuan selera. Aku pernah bertandang ke sini bersama Encik Rizal dahulu. Kupinta Encik Rizal membuat pesanan untukku. Encik Rizal menatapku. Aku menatap Encik Rizal. Kami saling bertukar senyuman.

“Orang lain dah tahu berita gembira ni?” soal Encik Rizal memulakan bicara. Aku geleng kepala. Selain aku, Encik Rizal orang pertama yang mengetahuinya. Kira bertuahlah dirinya.

“Saya orang pertama yang tahulah ni?” Sekali lagi aku mengangguk. Encik Rizal tersenyum lebar. Suka sangat dengan kenyataan itu.

I really happy jadi orang pertama,” ujar Encik Rizal masih dalam senyuman. Syukurlah kegembiraanku turut dirasai oleh Encik Rizal. Bukan selalu aku berkongsi perasaan ini bersama orang lain. Sekurang-kurangnya masih ada juga insan yang sudi bersamaku melayari perasaan ini. Perasaan indah yang sangat bererti dalam hidupku. Dua orang gadis muncul membawa hidangan yang dipesan. Nasi ayam bakar madu terhidang di meja. Kemudian muncul seorang pelayan lelaki bersama kek coklat. Aku terpegun melihat kek coklat yang dihiasi strawberi. Tampak begitu menyelerakan. Kupandang Encik Rizal.

Just for you,” ujar Encik Rizal sebelum sempat aku mengutara pertanyaan.

Thanks ... Encik Rizal,” ujarku berbesar hati.

“Silalah makan,” pelawa Encik Rizal. Kek coklat ini dipotong lalu diletakkan di depanku. Aku tersenyum lebar. Pembasuh mulut yang membangkitkan selera.

“Terima kasih... Encik Rizal,” ujarku sekian kali. Aku dan Encik Rizal mula menikmati hidangan istimewa dengan hati riang yang berpanjangan. Usai menjamu selera aku dan Encik Rizal bersantai-santai di Popular meninjau-ninjau kalau ada novel terbaharu yang berkenan di hati. Ingin sahaja aku mengajak Encik Rizal mengunjungi Speedy menilik-nilik cerita terbaharu Korea, namun timbul seganku. Kemudian Encik Rizal menemaniku ke Pasar Raya Grand Pasific membeli bahan mentah. Seawal pukul 2.00 petang, Encik Rizal menghantarku balik. Setiba di rumah, aku terus  melangkah ke dapur menyimpan baki separuh kek coklat ke dalam peti sejuk dan meletakkan bahan- bahan mentah di singki. Selepas solat asar nanti barulah aku menyediakan hidangan makan malam.

“Awak baru balik?” Aku berpaling. Yen sudah terpacak di muka pintu ruangan dapur sambil memerhatikan gerak geriku. Aku mengangguk.

“Awak dah makan?” soalku tanpa memandang wajahnya.

“Dah... kat luar tadi,” jelasnya.

“Nak minum petang?” sekali lagi aku menyoalnya.

“Boleh juga,” balasnya lalu melangkah ke meja makan. Dia terus duduk di situ. Kukeluarkan jus oren dari peti sejuk. Kek coklat yang baru saja kusimpan di dalam peti sejuk, kukeluarkan kembali. Kucapai dua biji gelas kaca lalu  diletakkan di dalam dulang. Aku mendekati Yen bersama dulang yang berisi di tangan.

“Lama awak keluar tadi. Pergi ke mana?” soal Yen lagak penyiasat.

“Saya keluar dengan kawan,” jelasku.

“Kawan? Siapa?” soal Yen ingin penjelasan lanjut. Aku hanya senyum. Pertanyaan Yen kubiarkan tanpa jawapan. Biarlah Yen tidak mengetahui gerangan siapa yang bersamaku sepanjang tiga jam yang lalu. Kukeluarkan kek coklat dari kotak lalu memotongnya lantas menghidangkan kepada Yen. Dia menatap kek coklat ini lalu pandangannya beralih ke wajahku.

“Mana awak dapat ni?” soalnya sangsi.

“Kawan belanja,” balasku masih mahu berahsia.

“Hari jadi awak?” Aku geleng kepala dan tersenyum. Sesekali seronok juga membuatkan Yen tertanya-tanya dan menyaksikan wajah berkerut Yen.

“Makanlah, sedap kek ni,” arahku sambil memuji kelazatan kek coklat yang ditempah oleh Encik Rizal. Ikhlas, memang sedap pun.

“Saya tak suka coklat,” luahnya berterus terang. Aku menatap Yen. Banyak sangat perbezaan antara dia dengan Encik Rizal.

“Saya suka sangat kek coklat,” balasku pula.

“Awak... semua benda awak suka makan,” perli Yen sambil menjelingku. Aku mengangguk dan tersenyum. Dalam hidupku langsung tiada ruang pilihan. Selama ini aku akan menerima apa saja yang ditetapkan untukku.

“Siapa yang beri awak kek ni,” soal Yen.

“Encik Rizal,” balasku.

What? Bos awak ke?” suara Yen sedikit tegang. Aku mengangguk lagi. Reaksi yang ditunjukkan oleh Yen terus bertukar. Dia menatapku tajam.

“Kenapa pula dia bagi awak kek ni? Awak kata tadi hari ni bukan hari jadi awakkan,” ujar Yen sangsi.

“Memang pun bukan hari jadi saya. Tadi Encik Rizal belanja saya makan untuk meraikan kejayaan saya bakal bergelar mahasiswa,” ceritaku girang.

“Apa? Awak dapat tawaran belajar di universiti?” soal Yen tersentak. Aku mengangguk. Yen terus menghulurkan tangannya kepadaku.

“Tahniah! Kenapa awak tak cakap awal-awal tadi,” rungut Yen.

“Saya dah cakap kat awaklah ni,” balasku tersenyum lagi.

“Ohh..., awak meraikan berita gembira ni bersama lelaki lain ye. Tak patut awak buat macam ni,” leter Yen tidak puas hati.

“Kebetulan Encik Rizal call saya pagi tadi bertanya tentang hal ni. Saya cakaplah perkara ni kepada dia,” jelasku.

“Makanlah,” pelawaku sekali lagi apabila melihat Yen belum menjamah potongan kek coklat yang terhidang ini.

“Saya tak suka makan makanan berasaskan coklat. Apatah lagi kalau hadiah orang,” balas Yen angkuh. Aku mencebik bosan mendengar bicara yang keluar dari mulutnya ini. Laju tanganku mencapai potongan kek coklat itu lalu melontar ke dalam mulutku. Aku menikmati kelazatannya dengan penuh perasaan. Pelik...coklat yang lazat ini tidak digemarinya.

“Tak payah makan lagi nanti awak sakit perut,” tegah Yen menakutkan aku. Aku tersenyum sinis.

“Mana ada orang makan coklat sakit perut,” bidasku tidak setuju dengan bicaranya itu. Jelingan tajam Yen singgah di wajahku.

“Kalau awak sakit perut nanti jangan mengadu kat saya,” rungut Yen. Aku tersengih-sengih sendiri. Tidak kupedulikan larangan Yen mahupun pandangannya yang masih memerhatikan gelagatku. Nampak dia kurang senang.

“Hadiah orang mesti dihargai. Kalau awak tak nak, biar saya yang habiskan. Kebetulan pula memang saya suka sangat coklat” ujarku tanpa hiraukan pandangannya. Yen mencebik. Sakit hati tengok telatahku. Siapa yang suruh dia anti sangat dengan coklat. Sekarang tengok sajalah aku yang sedang menikmati kelazatan coklat ini. Rugi... rugi...

“Awak kata awak suka makan dadih,”

“Itu pun saya suka,” balasku tersenyum.

“Awak buat untuk saya,” pintaku selamba. Bukankah dia pernah cakap mudah sahaja hendak membuatnya. Senyap. Aku terus menikmati potongan terakhir kek coklat di dalam pinggan sambil terus terusan diperhatikan oleh Yen. Sedikit pun aku tidak terganggu dengan pandangan matanya itu. Kalau dia hendak mengutuk aku biarlah. Paling penting aku puas menikmati salah satu makanan kegemaranku. Tiba-tiba ada sesuatu yang terlintas di fikiranku. Kuletakkan kek coklat yang tinggal separuh di dalam pinggan. Kupandang Yen.

“Kenapa?” soalnya hairan.

“Minta maaf pasal semalam. Saya tak terniat nak tengking awak sebegitu. Apapun terima kasih atas keprihatinan awak tu,” ujarku perlahan. Rasa bersalahku masih ada. Yen hanya diam. Berlawan pandanganku.

“Awak dah khabarkan berita gembira ni kepada mereka?” soal Yen. Aku geleng kepala. Sedikit masa kuperlukan. Pasti aku akan memaklumkan berita gembira ini kepada Pak Long dan Lili. Aku tidak akan sama sekali meminggirkan mereka untuk berkongsi kegembiraan ini. Lantas aku bangun.

“Awak nak ke mana tu?” suara Yen yang bertanya mematikan langkahku yang baru sahaja hendak bermula. Aku berpaling. Nampak Yen sedang terkebil-terkebil menatapku. Hairan dirinya ditinggalkan sedemikian rupa.

“Saya nak call Pak Long dan Lili nak beritahu mereka tentang perkara ni,” jelasku. Yen mengangguk menyokong tindakanku ini. Aku berpaling semula lalu melangkah mahu berlalu dari situ.

“Iman ssi...,” Baru sahaja beberapa langkah aku meninggalkan Yen, dia memanggilku lagi. Langkahku mati. Namun tidak menatap wajah Yen.

“Iman ssi, awak hidup bukan untuk menderita tapi hidup untuk menikmati kebahagiaan. Jangan jadikan diri awak galang ganti untuk perkara yang telah terjadi. Bukan salah awak. Awak berhak merasai kebahagiaan itu,” tegas Yen. Aku berpaling menatap Yen. Terharu sungguh aku mendengar bicara Yen. Laju sahaja tanganku mengesat air mataku yang hampir-hampir menitis keluar.

Gomawoyo / terima kasih,” tuturku berbesar hati.

“Awak mesti hidup dengan baik,” nasihat Yen lagi.

“Saya akan cuba,” janjiku. Senyumanku dan senyuman Yen bersatu. Tenang menyelubungi diri. Ya Allah, masih ada insan yang bersimpati dengan nasibku. Mulia juga hati Yen.

“Assalamualikum Lili, saya dah terima tawaran belajar di UNIMAS. Tolong sampaikan berita ini pada Pak Long ye,” pintaku. Kedengaran jeritan suara girang Lili mendahului bicaranya. Aku tersenyum sendiri. Ucapan syukur dan tahniah daripada Lili silih berganti. Lili turut gembira dengan tawaran belajar yang sudah aku sahkan hari ini untuk menerimanya. Betapa bahagia dapat berkongsi kegembiraan ini bersama Lili. Di mataku sudah terbayang senyuman mekar yang menghiasi bibir Pak Long. Pasti dia juga akan berperasaan sepertiku dan Lili.


No comments:

Post a Comment