“Bagaimana dengan tawaran saya hari tu, Iman?” soal Encik Rizal.
“Dah hampir sebulan cawangan RCC beroperasi di DHL, tapi awak belum buat keputusan lagi,” tambah Encik Rizal lagi. Aku terdiam dan berfikir lagi. Aku belum membuat sebarang keputusan. Malah belum berkesempatan hendak berbincang dan meminta pendapat Yen tentang hal ini. Kalau aku buat keputusan sendiri tanpa berbincang dengan Yen, risau kemudian hari mengundang masalah kepada Yen. Sesungguhnya, DLH ada kaitan dengan diri Yen. Maka, keputusanku juga akan mempengaruhi keadaan kami berdua. Tidak mustahil suatu hari nanti Yen akan menerajui DLH kerana dialah pewaris tunggal dalam keluarga Datuk Kamarudin. Bahkan wasiat datuknya juga meminta Yen mengambilalih pengurusan DLH setelah sampai masanya. Sepatutnya sekarang Yen sudah menguruskan DLH itu. Namun kedegilan Yen tidak mampu ditangani oleh Datuk Kamarudin mahupun Puan Sodiah. Aku melepaskan keluhan. Sukar aku hendak membuat keputusan. Aku memang mahukan buah fikiran Yen. Perkara ini melibatkan dirinya.
“Beri saya masa sehingga hujung bulan ni, Encik Rizal” pintaku. Encik Rizal mengangguk dan tersenyum.
“Saya harap keputusan awak tak mengecewakan saya,” ujarnya berharap buat aku terdiam panjang.
Habis shif kerjaku hari ini, aku terus balik ke rumah. Usai mengangkat dan melipat pakaian, aku menyusun dan menggantung t-shirt dan jeans Yen di dalam almari. Kemudian mengemas bilik tidurnya. Seketika aku berdiri di depan potret perempuan ini. Merenung dan mengkagumi kejelitaannya kesekian kali. Betapa sayang dia tidak melahirkan zuriat yang ramai yang boleh mewarisi kejelitaan dan ketampanan Datuk Kamarudin. Namun tatkala aku fikir semula ada rahmatnya dia memiliki seorang teruna sahaja. Risau kalau anak-anak yang dilahirkannya juga versi Yen. Suka marah, suka mengarah.
Kemudian aku bergerak ke dapur menyediakan hidangan makan malam. Usai memasak, aku melangkah ke bilik untuk mandi dan bersiap sedia untuk solat maghrib. Aku menghabiskan masa terlentang di katil sambil berfikir tentang perkara siang tadi. Encik Rizal mahu keputusanku segera. Kutatap poster Jang Geun Suk, aktor tampan Korea yang sedang tersenyum indah ini. Sungguh memikat senyuman itu. Lantas aku menjelmakan dirinya sebagai Yen lalu berbicara padanya tentang perkara siang tadi.
“Apa kena-mengena dengan saya pula?” soalan ini keluar dari mulutku. Bagaimana aku hendak menjawabnya andai Yen mengemukakan soalan sebegini kepadaku. Risau kalau Yen tersalahertikan tindakanku ini.
“Saya bekerja dengan premis yang ada kontrak usahasama dengan DLH. Awakkan pewaris tunggal DLH. Suatu hari nanti sama ada awak suka atau tak, awak terpaksa juga menguruskan DLH. Awak takde pilihan pada masa tu seperti mana awak terpaksa berkahwin dengan saya.... (senyap...aku berfikir seketika )....dan seperti mana saya terpaksa jadi isteri awak. Kalau saya dan awak bekerja di bawah satu bumbung, kebarangkalian terbongkar hubungan kita yang menjadi rahsia selama ni adalah tinggi,” ujarku berbicara sendiri. Aku tersenyum. Jawapan yang paling sempurna aku berikan jika Yen mengemukakan soalan tadi.
Usai solat isyak, aku melangkah keluar dari bilik. Sunyi sepi. Kutoleh ke bilik Yen. Gelap. Kalau dia ada di dalam bilik itu, pasti kelihatan cahaya lampu dari celahcelah bawah pintu itu. Aku bergerak ke ruang tamu. Kusandarkan tubuh di sofa, lantas menekan romote tv. Seketika mencari-cari siaran yang menarik. Sekitar jam begini tiada rancangan yang menarik di CH 391 selain berita berkisar tentang isu semasa yang berlaku di Korea Selatan. Laju tanganku menekan tv3 untuk mengetahui perkembangan semasa dalam negara menerusi Buletin Utama. Kulirik jam antik yang berdiri di tepi sudut ruang tamu ini. Hampir-hampir mencecah ke angka 9.00 malam. Mungkin Yen balik lewat malam ini. Barangkali aku patut menikmati hidangan makan malam sekarang tanpa menunggu kepulangan Yen. Mungkin dia sudah makan di luar bersama Velviana. Selalunya kalau Yen berhajat makan malam di rumah, detik sebelum pukul 8.00 malam dia sudah berada di rumah.
Dalam aku berkira-kira membuat keputusan, kedengaran deruan kereta memasuki halaman. Yen sudah balik. Daun pintu utama ditolak perlahan. Aku menatap wajah serius Yen yang terpancul di muka pintu. Sukar ditafsirkan. Langkahnya longlai melewatiku. Langsung tiada suara yang keluar dari mulut Yen. Tampak dia sedang memikul bebanan yang berat sehingga dia tidak mampu tersenyum atau bersuara bising mengajak aku berhujah seperti biasanya.
“Jang Geun Suk, kamu nak makan sekarang?” soalku menyapanya dengan harapan suasana sepi ini akan berlalu. Aku hanya nampak gelengan kepala Yen sambil meneruskan langkahnya. Aku menyoroti langkah lesu itu. Langkah Yen mati lalu berpaling semula. Dia menatapku seketika.
“Kenapa? Apa yang telah berlaku?” soalku meminta kepastian melihat perlakuan ganjil yang ditunjukkannya tika ini. Dia tidak menjawab. Yen melangkah mendekatiku semula membuatkan aku bertambah hairan.
“Boleh saya peluk awak seketika?” pertanyaannya membuatkan aku tersentak. Aku terdiam. Tahu-tahu dia telah memeluk tubuhku tanpa sebarang suara. Aku terpaku dan tergamam. Terasa hangat tubuhnya mendakap tubuhku. Tatkala aku sedar perlakuan sedemikian tidak wajar, aku cuba menjauhkan tubuhku daripada dakapannya. Namun tangannya begitu erat memaut tubuhku.
“Sekejap je..., please...,” suaranya berbisik merayuku. Aku tidak berdaya. Akhirnya aku membiarkan sahaja diriku berada dalam pelukannya untuk seketika.
“Gomawoyo...(terima kasih),” tuturnya tatkala melepaskan tubuhku dari pelukannya lalu melangkah meninggalkan aku yang masih terpaku dan terkesima setelah diperlakukannya sedemikian. Yen hilang di sebalik pintu biliknya.
%%%%%%%%%%%%
AKU sudah menyiapkan hidangan sarapan untuk pemuda Korea itu. Lama juga aku duduk termenung di situ memikirkan tingkahlaku pelik Yen malam tadi. Aku tidak pernah melihat dia berlakuan sedemikian selama aku mengenalinya. Kalau dia ada masalah pun, dia akan lebih suka mendiamkan diri sepanjang hari dan akan berkumandanglah alunan gitar yang membingitkan. Jelas semalam dia lemah tidak bermaya. Paling aneh dia memelukku seakan dia sangat-sangat memerlukan seseorang untuk menenangkan dan mendamaikan dirinya.
AKU mencapai beg galas. Hari ini aku bercadang hendak ke BSN membeli nombor UNIK ID untuk mengisi borang permohonan kemasukan ke universiti melalui online. Awal pagi aku sudah bangun. Dengan harapan aku boleh menyiapkan segala urusan lebih cepat agar boleh segera kembali ke rumah. Biarlah aku menjadi orang pertama yang bertandang di BSN nanti. Melihat sikap Yen yang agak aneh semalam merisaukan aku. Aku harus berada di rumah hari ini. Mungkin dia perlukan kawan untuk berbicara. Aku sedia dan setia mendengar luahan masalahnya.
Perlahan-lahan aku memijak menuruni anak tangga satu-persatu. Risau kalau aku bakal mengejutkan pemuda Korea itu. Mungkin semalam perkara teruk telah menimpa dirinya. Jadi dia perlu rehat yang lebih agar bangun dari tidur hari ini keadaan dia akan jadi lebih baik. Kucapai sekeping kertas kecil menulis memo untuk pemuda Korea itu seperti yang sering aku lakukan.
~ Anyonghaseyo... Selamat menikmati sarapan! Semoga anda akan lebih ceria hari ni. Aza, aza fighting! ☻☻☻~. Kutampalkan memo di tudung saji lalu melangkah keluar meninggalkan banglo ini untuk melangsaikan segala urusan yang perlu aku lakukan pada hari ini.
Aku menatap jam tangan. Tidak terasa masa begitu pantas berlalu. Sekarang sudah hampir- hampir mencecah ke pukul 1.00 petang. Cuti hari ini aku gunakan sebaik -baiknya untuk menguruskan perkara yang perlu diselesaikan. Terasa letih menguasai diri. Sekarang aku boleh menarik nafas lega kerana semua urusan sudah aku bereskan. Aku sudah membeli Nombor Unik di BSN untuk mengisi borang permohonan kemasukan universiti secara online. Sekarang segala urusan sedemikian dilakukan secara online. Contoh borang permohonan yang aku ambil ketika Hari Terbuka IPTA juga telah aku fotokopi sebagai rujukan dan memudahkan aku mengisi borang serta memilih kursus secara online nanti.
“Assalamualaikum. Anyonghaseyo, saya dah sampai rumah,” tuturku sebaik sahaja kakiku melangkah ke dalam banglo mewah ini. Aku mengesat peluh di dahi. Aku berpaling ke ruang tamu, Yen tiada di situ. Sunyi sepi. Segera aku melangkah ke dapur. Memo yang aku tulis masih tertampal di situ tanpa sebarang lukisan dua butir bintang seperti selalu. Kuangkat tudung saji. Sarapan yang aku sediakan pagi tadi masih tidak kurang bermakna belum disentuh lagi. Kubuka peti sejuk lalu mencapai sebotol air kosong dingin. Kuteguk segelas menghilangkan dahaga. Berfikir sejenak. Apa yang telah berlaku kepada pemuda itu? Jangan-jangan dia belum bangun lagi. Mungkin dia sakit? Laju aku berlari memanjat anak tangga. Kuketuk bertalu -talu daun pintu bilik. Tiada kedengaran suaranya. Perlahan-lahan kutolak daun pintu.
“Housekeeping...,” Anak mataku terus mengarah ke katil. Dia tiada berbaring di situ. Anak mataku liar menjelajah setiap sudut bilik. Dia juga tidak berada di mana-mana.
“Jang Geun Suk, awak di mana?” panggilku sambil terus mencari. Kudekati bilik air di kamar ini. Langsung tiada kedengaran sebarang bunyi. Dia juga tidak berada di bilik air. Aku sudah menjelajah setiap sudut bilik ini. Aku terpandang gitar yang sering dibawa ke hulu hilir tersandar di dinding. Jarang benar dia keluar tanpa membawa gitar itu. Mungkin dia berada di bilik studio mini. Aku bergegas ke bilik itu.
“Jang Geun Suk, are you okay?” panggilku biarpun dirinya belum kelihatan di depan mataku. Kutolak daun pintu. Aku mencari -carinya di segenap ruang bilik studio mini ini. Dia juga tidak berada di sini. Malah tiada kesan yang menunjukkan hari ini dia pernah berada di sini. Aku berlari ke halaman rumah. Tiada kereta di situ. Sedikit melegakan perasaanku. Agaknya dia sudah keluar pagi tadi. Mungkin lebih awal dari aku sebab itu sarapan yang kusediakan tidak terusik. Aku kembali masuk. Kubaling tubuh ke sofa. Berbaring seketika di situ. Otakku ligat berfikir. Ternyata aku belum dapat mententeramkan hatiku.
Kucapai iPhone di dalam poket seluar. Kutekan nombor itu. Hampa. Hanya kedengaran suara perempuan meminta aku meninggalkan pesanan kerana pemiliknya berada di luar kawasan. Barangkali dia sengaja mematikan iPhone kerana tidak mahu diganggu dan ingin bersendirian. Aku harus memberi ruang untuk Yen bersendirian. Dia akan kembali jika masalah sudah selesai. Kuyakinkan diri untuk menunggu sahaja. Aku terjaga ketika jam di ruang tamu berdenting ke pukul 7.00 petang. Aku tertidur. Bingkas aku bangun lalu menekan suis lampu. Aku duduk kembali di ruang tamu. Agak lama juga tersandar di sofa. Yen! Aku baru teringat pada pemuda Korea itu. Aku bangun lagi lalu menjenguk ke laman. Tiada kereta di situ. Dia belum balik lagi. Aku melangkah ke biliknya. Gelap. Kutekan suis lampu. Dia juga tidak berada di situ. Memang dia belum ballik lagi.
Usai solat maghrib, aku terus ke dapur menyediakan hidangan makan malam. Mungkin Yen akan pulang sebentar lagi. Jadi aku harus segera menyiapkannya. Aku memasak semua makanan kesukaan Yen memandangkan emosi dia dalam keadaan tidak baik. Harap-harap semua ini sedikit menggembirakan hatinya kerana dia seorang yang menitik beratkan soal makan. Semua sudah tersedia menanti di meja makan untuk dinikmati. Aku duduk di ruang tamu menanti kemunculan Yen. Kucapai remote tv cuba mengisi masa dan menghilangkan rasa bosan. CH 393 yang menjadi kegemaranku kutatap. Hari ini aku tidak dapat fokus pada rancangan yang sedang berlangsung kerana otakku ligat berfikir. Berbagai-bagai andaian negatif menerpa benakku. Berkali-kali aku menggeleng-gelengkan kepala menafikan tiada perkara buruk yang menimpa dirinya.
Aku bangun dan mendekati dinding cermin memandang keluar kesekian kali. Kalau Yen sudah balik. Namun tiada sesiapa di luar sana. Aku kembali duduk ke sofa. Ya, Allah lindungi dia agar tiada perkara buruk yang menimpanya. Terdengar bunyi deruan kereta. Bingkas aku bangun lalu membuka pintu. Hampa. Hanya sekadar sebuah kereta yang sedang melewati banglo ini. Aku berulang-alik dari ruang tamu ke muka pintu berkali-kali memastikan kehadirannya. Akhirnya sepanjang malam aku menanti kepulangan pemuda Korea itu. Namun Yen tidak muncul-muncul.
%%%%%%%%%%%
AKU melangkah longlai memasuki lot premis Rozana Cupcakes Conner. Semalaman aku tidak dapat tidur lena. Aku asyik terjaga dan sepanjang malam beberapa kali aku keluar menjenguk ke bilik sebelah memastikan kepulangan Yen. Dia tidak pulang. Ke mana agaknya dia pergi? Balik ke rumah Datuk Kamarudin? Mustahil dia pulang ke rumah itu tanpa kehadiranku. Kalau dia berbuat demikian sama seperti dia menempah masalah. Sejak kami nikah, dia tidak pernah ke rumah itu tanpa kehadiranku. Sebarang syak wasangka tidak akan dibenarkannya wujud. Maka, jika dia bertandang ke situ, dia akan membawaku bersamanya. Ahh, Jang Geun Suk, awak benar-benar memaksa aku untuk terus berfikir!
“Jauh mengalamun. Awak tengah fikirkan apa?” Aku menoleh. Suzan sedang menatapku. Aku hanya geleng kepala.
“Habis kerja nanti, awak nak jalan-jalan?” soal Suzan bagai orang berhajat. Aku berfikir sejenak. Hari ini mungkin Yen akan balik. Jadi aku harus masak untuk dia. Kalau dia balik nanti aku belum masak pasti mengundang kemarahannya. Dia sensitif sangat kalau lapar.
“Maaflah,saya kena balik awal hari ni,” jelasku.
“It’s okay,” Suzan tersenyum mengangguk. Habis kerja aku singgah sebentar ke Pasaraya Gaint membeli beberapa jenis bahan mentah untuk dimasak hari ini. Usai semua aku bergegas balik.
“Anyonghesayo, saya dah sampai rumah,” suaraku mendatar sahaja. Sepi. Aku mengatur langkah ke dapur, meletakkan bahan-bahan yang dibeli ke singki. Lantas melangkah ke bilik menukar pakaian. Aku membaringkan tubuh seketika di tilam empuk ini menghilangkan letih. Terasa kepalaku berdenyut-denyut gara-gara tidak dapat tidur lena semalaman. Selepas 10 minit berbaring, kugagahi diri bangun lalu melangkah ke dapur. Hari ini aku masak lagi makan kegemaran Yen, sup tulang dan sambal kerang. Sejam berlalu aku masih berada di dapur menanti sup tulang masak. Rasa letih belum habis lagi. Terus sahaja aku meletakkan kepala di atas meja beralaskan telapak tangan. Terasa selesa berkeadaan demikian. Kupejam mata seketika. Cuba berehat. Bagaimana kalau dia diculik oleh musuh-musuhnya? Mestikah aku hanya menunggu sahaja seperti sekarang? Kalau sesuatu yang buruk menimpanya, bukankah salah aku sebab tidak bertindak cepat. Bagaimana aku berhadapan dengan keluarganya nanti? Mesti semua orang akan menyalahkan aku kerana tidak berbuat apa-apa. Pak Long sekeluarga juga akan menerima tempias. Pasti Pak Long berasa bersalah atas tindakanku. Aku melepaskan keluhan berat. Buntu.
Aku mengangkat kepala. Tegak 90 darjah. Bingkas aku bangun tatkala aku nampak kuah sup tulang melimpah-limpah keluar dari periuk. Aku berlari mendekati sup yang sedang menggelegak cuba mematikan api. Entah macam mana kuah sup itu melimpah terkena tangan kananku. Aku menjerit kesakitan. Aku berlari membuka pili singki lalu membiarkan air paip mencurah pada tangan kananku. Aku memejamkan mata buat seketika menahan perit. Ternyata tanganku melecur. Aku segera ke bilik Yen first aid. Tiada sebarang ubat yang aku jumpa yang boleh digunakan untuk merawat tanganku ini. Akhirnya kucapai ubat gigi lalu meletakkan di permukaan melecur tadi.
Lama aku termangu-mangu di ruang tamu. Lagak manusia yang kematian akal. Anak mataku menerjah setiap inci ruang tamu ini. Di depanku terpampang dinding berwarna merah. Warna pembangkit semangat. Kutoleh tepi sebelah kiri, dinding berwarna hijau, warna kedamaian dan ketenangan. Kutoleh ke kanan dinding berwarna kuning, warna keceriaan. Fikiranku bercelaru. Hatiku dipaut kebimbangan dan kegelisahan. Ternyata warna-warna itu tidak mampu membangkitkan nilai positif dalam diriku. Kutatap tangan kananku yang tercedera tadi. Agaknya ini suatu petanda buruk. Aku harus menghubungi Yen untuk mengetahui keadaan dirinya. Jemariku sudah menekan nombor iPhone. Pesanan suara masih kedengaran di telingaku. Berapa lama lagi masa yang dia perlukan untuk menghilangkan diri sebegini. Bagaimana kalau sesuatu buruk menimpa dirinya? Bukankah sepatutnya aku memaklumkan kehilangannya ini kepada Datuk Kamarudin dan Puan Sodiah? Tetapi betulkah dia hilang atau dia sengaja menghilangkan diri? Aku menggenggam kepala. Sakit kepalaku dihujani pelbagai persoalan. Apa yang harus aku lalukan? Buntu!!!!!!!! Kucapai iPhone. Kutekan ikon mesej.
~Jang Geun Suk, awak kat mana sekarang? Awak okey? ☻☻☻~Aku harap sedikit masa lagi dia akan membaca mesej yang aku hantar ini. Ini sahajalah yang mampu aku lakukan buat masa ini.
AKU menatap hidangan di atas meja. Hari ini genap seminggu pemuda Korea itu menghilangkan diri. Sudah dua kali aku berdiri di hadapan balai polis mahu membuat laporan. Namun aku berpatah balik dan mematikan niatku itu. Logiknya, kalau betul Yen hilang, mengapa tidak ada seorang pun yang datang ke rumah mencarinya? Pasti dia ada ramai kawan dan sudah tentu keluarganya juga akan menghubungiku. Agaknya dia sekarang bersama kekasihnya itu. Kesimpulannya, memang mereka tahu di mana pemuda Korea itu berada sekarang sebab itu tiada sesiapa yang datang mencarinya. Hanya aku seorang sahaja yang tidak tahu. Aku menarik nafas dalam-dalam. Sedikit lega.
Kedengaran bunyi loceng pintu ditekan. Segera aku berlari ke muka pintu utama. Mungkin Yen yang datang. Tatkala aku menolak daun pintu, senyumanku terus lenyap. Aku menatap tetamu yang sedang terpacak di depanku ini. Kami saling berpandangan.
“Saya Jack, kawan Yen,” ujarnya memperkenalkan diri setelah diam seketika. Aku mengangguk dan cuba senyum.
“Yen suruh saya datang tengok awak,” ceritanya.
“Tengok saya? Saya baik-baik saja,” balasku sedikit berbohong. Jack tersenyum. Dia ada berhubung dengan pemuda Korea itu. Agaknya mesti dia sedang bersama kekasihnya sebab itu dia tidak berani menghubungiku. Bukankah Yen cukup sedar bahawa aku kurang menyenangi kekasihnya itu.
“Sebenarnya Yen berada di luar kawasan sekarang. Ada urusan penting yang perlu dia settle,” jelas Jack seolah-olah dapat membaca fikiranku. Aku angguk kepala tanda mengerti.
“Awak tinggal sini?” Aku tersentak mendengar pertanyaannya.
“Tak. Saya pembantu rumah dia. Memandangkan dia berada di luar kawasan saya tolong jaga rumah ni,” tuturku penuh hati-hati. Nasib baik otakku bijak mereka alasan. Sedikit berkerut dahi anak muda itu. Mungkin ada sesuatu yang mengelirukan dia atau bicaraku bercanggah dengan maklumat yang dia dengar daripada Yen.
“Nama awak?” soalnya
“Iman,” jawabku pendek.
“Cantik nama,” Aku hanya senyum. Senyap. Aku berharap dia akan segera meminta diri.
“Kalau takde apa-apa, saya masuk dulu. Saya ada kerja nak buat kat dalam tu. Maaf ya, saya tak boleh jemput awak masuk,” tuturku meminta diri. Dia tersenyum. Mungkin agak lucu baginya bicaraku itu.
“Saya ni agak konservatif sikit,” jelasku sambil garu-garu kepala. Dia tertawa lagi. Sikapnya sangat berbeza dengan pemuda Korea itu. Dia murah senyuman, peramah biarpun pertemuaan pertama kami. Kalau Yen dia lebih suka dengan dunianya sendiri.
“Saya suka dengan sikap awak pandai jaga diri. Saya balik dulu,” tuturnya lalu berpaling dan melangkah pergi. Aku tersenyum sendiri mendengar pujiannya. Namun tatkala teringatkan hidangan makan malam sudah siap, aku membuka daun pintu kembali. Kelihatan pemuda itu sedang melangkah mendekati keretanya.
“Encik...! Encik!” panggilku sambil melambaikan tangan kepadanya. Dia berpaling dan menatapku.
“Tunggu sekejap ya,” pintaku lalu berlari ke dapur. Kusimpan makanan yang kumasak tadi ke dalam beberapa bekas. Satu persatu bekas kumasukkan ke dalam beg plastik lalu berlari anak ke halaman rumah. Dia tercengang-cengang melihat tingkahlakuku.
“Tadi saya ada masak lebih. Memandangkan Yen ...errr....Encik Yen belum balik lagi, saya sedekahlah makanan ni kat encik,” tuturku.
“Oh, thanks. Kebetulan saya baru nak makan kat luar. Nampaknya saya makan free malam ni,” Dia tersenyum lagi.
“Bau sedap je,”
“Tak...biasa-biasa saja. Saya masuk dulu. Hati-hati bawa kereta,” Aku terus sahaja meninggalkannya. Jack menatap langkah gadis itu. Dia tersenyum sendiri. Ditatapnya bekas yang berisi makanan di tangannya. Tidak sabar untuk dia merasa semua itu. Terus dia masuk ke dalam kereta. Dia ingin segera sampai ke rumah untuk menikmati hidangan makan malamnya.
“ASSALAMUALAIKUM. Anyonghaseyo, saya dah balik,” tuturku sendirian setelah melangkah masuk ke dalam banglo ini. Sudah menjadi kebiasaan mulutku menuturkannya. Aku melangkah lemah. Terasa seperti hendak demam sahaja.
“Iman ssi, awak dah balik,” sapa satu suara. Aku berpaling. Pandangan kami bersatu. Dia kini berdiri terpacak di tengah-tengah anak tangga. Tidak berkelip mataku menatapnya dengan wajah yang cukup serius.
“Are you okay?” soalnya.
“Yah, Jang Geun Suk, awak pergi mana!!!” soalku lantang. Yen tersentak. Tajam matanya melawan padanganku.
“Yah, Iman ssi, awak buat saya terkejut!” balasnya radang. Aku mengetap bibir menahan perasaan marah dan geram terhadapnya. Tidak kupedulikan radangnya. Aku merenung tajam wajah putih bersih itu.
“Kenapa dengan tangan awak tu?” Anak matanya terarah pada tangan kananku lalu pandangannya beralih ke wajahku. Aku diam. Yen melangkah mendekatiku.
“Mari saya tengok,” Laju tangan kiriku menepis tangannya sebelum sempat menyentuhku.
“Yah...!” Dia terkejut dengan tindakanku.
“Awak ni apa hal?” rungutnya.
“Jangan pedulikan saya dan saya tak mahu bercakap dengan awak sekarang,” tegasku lalu ke tepi mencari ruang untuk meneruskan langkah ke bilik.
“Iman ssi,” Baru sahaja langkah kakiku menapak di anak tangga, pantas jemarinya mencapai tanganku. Langkahku terhenti. Sungguh tperit tatkala tangannya mendarat tepat-tepat pada permukaan yang melecur itu. Aku terjerit kecil.
“Sorry.... sorry saya tak sengaja,” Yen menggelabah. Aku cuba menahan kesakitan ini.
“Iman ssi,”Dia memalingkan tubuhku. Pantas tanganku mengesat air mata yang menitis ke pipi.
“Awak menangis?”Dia menundukkan kepalanya untuk menatap wajahku agar lebih jelas.
“Awak memang lelaki jahat! Awak biarkan saya tercari-cari awak. Sakit kepala saya memikirkan ke mana awak pergi dan apa yang harus saya lakukan. Saya tak boleh tidur lena, saya sentiasa bimbang dan takut. Seminggu awak buatkan hidup saya kucar-kacir!” luahku dengan lantang. Terpaku dia menatapku. Kusapu air mata yang menitis di pipi.
“Saya tahu saya hanya isteri awak pada kertas saja tapi sebagai kawan sekurang-kurangnya awak beritahu saya ke mana awak pergi supaya saya tak payah tercari-cari awak! Tak payah risau! Tak payah masak setiap hari! Saya boleh tidur lena dan boleh hidup aman damai!” tegasku. Senyap. Aku memalingkan tubuhku lalu melangkah meninggalkannya. Namun pantas tangan Yen mencapai tanganku. Langkahku terhenti lagi.
“Iman ssi...,” panggilnya lembut. Aku tidak pedulikan panggilan itu. Aku juga tidak mahu menatap wajah itu.
“Saya letih sangat. Sekarang saaya tak mahu bercakap dengan awak. Saya nak bersendirian. Lepaskan tangan saya,” tegasku serius. Perlahan-lahan dilepaskannya tangan gadis itu. Dia hanya mampu memerhatikan langkah gadis itu berlalu meninggalkannya.
Sudah tiga jam dia terbaring di katil itu dengan fikiran buntu. Sekejap sekejap dia pusing ke kiri. Berapa minit kemudian dia pusing ke kanan pula. Dia duduk dan berbaring silih berganti. Dicubanya pula meniarap. Pelbagai aksi sudah dilakukan tetapi semua serba tidak kena. Dipejamkan mata untuk lena. Tidak berhasil juga. Yen menggaru-garu kepala yang tidak gatal.
“Betul ke dia marahkan aku?” soalnya berbicara sendiri. Dia mengeluh. Digaru-garu kepalanya sehingga rambut itu kelihatan berserabut. Akhirnya dia mengambil keputusan muktamad untuk keluar dari bilik ini. Perlahan-lahan dia melangkah keluar. Liar anak matanya memandang sekeliling. Sunyi sepi. Dia meninjau-ninjau ke ruang tamu. Tiada siapa di situ. Dia melangkah ke dapur. Sepi. Ditatapnya di meja itu lantas tudung saji itu diangkat. Sudah terhidang masakan kegemarannya untuk makan malam ini. Ditatapnya tudung saji itu . Tiada sebarang kertas kecil yang ditampal di situ. Dilihat di bawah tudung saji. Tiada apa-apa yang terlekat di situ. Dia kembali menutup makanan itu. Pantas dia melangkah mendaki anak tangga naik ke tingkat atas semula. Diketuk daun pintu bilik itu beberapa kali. Tiada suara yang menyahut atau sebarang bunyi yang boleh didengarnya.
“Iman ssi saya nak masuk ni,” ujarnya lalu perlahan-lahan menolak daun pintu itu. Dijengukkan sedikit kepala di muka pintu. Tidak kelihatan gadis itu. Terus dia masuk ke bilik itu. Kosong. Memang gadis itu tidak berada di bilik ini. Dia berpatah balik ke pintu. Namun langkahnya terhenti. Dia berpaling menatap wajah-wajah kacak yang terpampang di situ.
“Awak taksub sangat dengan hero-hero Korea ni,” Dia tersenyum sendiri dan geleng kepala.
“Jang Geun Suk...,” perlahan-lahan nama itu meniti di bibirnya. Pandangannya terpaku pada wajah itu. Terkesima dia seketika melihat wajah dalam poster itu. Kemudian ditatap wajahnya di cermin.
“Awak tahu Jang Geun Suk?” Suara gadis itu singgah di kotak memorinya. Yen tersenyum sendiri. Dia melangkah pula ke bilik studio mini. Mungkin gadis itu sedang mengemas bilik itu. Bilik itu rapi kerana sudah dibersihkan. Semua bilik sudah dijejaki. Ternyata gadis itu tidak berada di situ sekarang. Pencarian tidak berhasil. Laju jarinya menekan sebaris nombor iPhone itu. Panggilan yang dibuat tidak diangkat. Dicuba lagi. Tatkala dia menanti panggilan itu diangkat dia terdengar bunyi deringan. Dia terus masuk ke bilik itu. Keluhannya tercetus tatkala ternampak iPhone gadis itu berada di atas meja solek itu. iPhone itu terpisah lagi dengan tuannya.
Aku menekan loceng pintu. Harap-harap Linda berada di rumah dan belum tidur lagi memandangkan sekarang sudah menjangkau ke pukul 10.00 malam. Seandainya pintu ini tidak dibuka ke mana harus aku pergi lagi? Aku menarik nafas lega dan bersyukur tatkala mendengar bunyi derap langkah mendekati pintu.
“Hey, Iman masuklah,” Tampak Linda agak terkejut dengan kedatanganku. Aku tersenyum menatap Linda. Kami berpelukan seketika melepaskan kerinduan setelah sekian lama tidak bertemu.
“Lama dah tak jumpa. Awak apa khabar?” soalnya mendahuluiku.
“Baik. Kak Leha mana?” soalku pula.
“Company hantar dia pergi kursus kat Penang,” ceritanya.
“Wow, jauhnya...!” Kalau bukan kerana faktor kewangan sudah pasti aku juga akan menjejakkan kaki ke Pulau Mutiara itu. Aku menatap Linda. Kami saling berpandangan. Sukar aku hendak meluahkan bicara ini.
“Are you okay?” tiba-tiba soalan itu terpancul dari mulut Linda. Dia seakan dapat mengagak apa yang telah berlaku.
“Boleh tak kalau saya tumpang tidur kat sini malam ni?” tuturku perlahan-lahan.
“Oh, dialu-alukan. Saya senang hati awak ada di sini,” tuturnya tersenyum.
“Jom masuk ke bilik. Sambil baring-baring kita boleh berbual panjang lagi,” tuturnya lalu menarik tanganku ke bilik. Aku akur.
“Awak dah makan?” Aku mengangguk.
“Nah, pakai baju tidur ni,” Aku menyambut gaun tidur yang dihulurkannya. Segera aku menukar baju. Linda sudah berbaring di katil.
“Maaf sebab ganggu awak malam-malam begini,” tuturku rasa bersalah sangat.
“Sedih saya dengar awak cakap macam tu. Kitakan kawan baik, susah senang kena kongsi bersama,” lembut suaranya berbicara.
“Terima kasih Lin...,” Betapa aku terharu mendengar bicaranya itu. Aku terus berbaring di sebelahnya.
“Kenapa dengan tangan awak tu?” Pandangan Linda terarah pada kecederaan itu.
“Oh...melecur kena kuah sup semalam,” jelasku. Senyap. Aku mengatur letakan kepalaku. Cuba mencari keselesaan diri.
“Setahu saya awak tak pernah tercedera di dapur. Mesti awak tengah berkhayal tu,” duganya. Aku diam. Mana mungkin aku dapat membohongi Linda sewenangnya. Keakraban kami menyebabkan dia cukup mengenaliku.
“Awak ada masalah? Pemuda Korea tu buli awak ke?” soalnya serius sambil menatapku.
“Hey, takdelah! Saya rindu sangat dengan awak,” balasku cuba bergurau sekali gus menyembunyikan perkara sebenar. Linda tersenyum. Aku tahu dia tidak akan semudah itu mempercayai kata-kataku.
“Saya rasa macam tak sihat saja. Boleh saya tidur sekarang?” pintaku.
“Awak perlu ubat?” Aku geleng kepala.
“Saya nak tidur puas-puas malam ni. Beberapa hari lepas saya tak dapat tidur lena,” ceritaku pasti membuat Linda tertanya-tanya sebab musababnya.
“Okey tidurlah wahai permaisuri he...he...he...,” Gelakku dan Linda bersatu lalu bergema di bilik ini. Aku menarik selimut menutupi tubuh lalu memejamkan mata. Linda menatap sahabatnya yang sudah terlena di sebelahnya dengan begitu mudah tanpa mengambil masa yang panjang. Ditenungnya lama-lama wajah putih bersih itu. Simpati dan sedih bercampur baur.
“Kenapa awak tak boleh lena, Iman?” bisik hati kecilnya.
“Pemuda Korea itu menyusahkan awak ke?” bicaranya sendirian.
“Kasihan awak, Iman,” Dia memejamkan mata. Baru sahaja dia berniat mahu tidur, iPhoneyang disenyapkan bercahaya-cahaya. Sebaris nama terpampang di skrin. Dia berfikir sejenak membuat pertimbangan. Akhirnya, dia mengambil keputusan menjawab panggilan itu. Linda melangkah ke ruang tamu.
“Assalamualaikum, Iman ada kat sana ke?” suara lelaki itu kedengaran agak cemas.
“Ya, dia tidur sekarang,”
“Kejap lagi saya datang jemput dia,”
“Biarlah Iman tidur kat sini malam ni. Dia nampak letih sangat,”
“Saya nak bawa dia pergi ke klinik sekarang”
“Tapi dia dah tidur. Esok je awak datang,” tegasnya. Senyap. Linda menarik nafas dalam- dalam. Bukan niat hatinya untuk mencampuri urusan peribadi mereka. Namun dia tidak tega kalau sahabatnya itu disakiti. Dia sama sekali tidak akan membiarkannya.
“Yen, saya tak tahu apa yang berlaku sebenarnya, tapi tolonglah jangan sakiti perasaannya. Sudah banyak penderitaan yang dialaminya selama ni,” tegas Linda berterus terang. Panggilan diputuskan. Yen terdiam panjang. Bicara terakhir gadis itu berlegar-legar di kepalanya.
“Sudah banyak penderitaan yang dialaminya selama ni,” bicara itu perlahan-lahan meniti di bibirnya. Dia menyandarkan tubuh di kepala katil. Lalu mendongakkan kepala memandang siling. Dia terbayang tangisan gadis itu. Tangisan yang sungguh-sungguh. Bagai meluahkan segala kesakitan yang terpendam selama ini. Dia terbayang sepasang mata yang sentiasa kelihatan berkaca itu seakan mencerminkan kedukaan yang panjang. Mata yang sungguh indah. Lama dia termenung di situ. Lalu pandangan matanya singgah pada potret yang tergantung di dinding. Wajah perempuan itu direnung dalam-dalam.
“Ma, Yen rindu mama,” bisiknya pilu. Perlahan-lahan air mata menitis ke pipinya. Dia dibuai perasaan. Malam yang sepi menyaksikan kepiluannya.
No comments:
Post a Comment