“Assalamualaikum Encik Rizal,” sapaku tatkala bertembung dengan Encik Rizal ketika berhajat ingin meninggalkan premis Rozana Cupcake Conner setelah shif kerjaku untuk hari ini tamat. Salamku disambut dengan senyuman. Kebetulan hari ini giliran Suzan cuti jadi terpaksalah aku balik bersendirian. Aku melangkah beriringan dengan Encik Rizal. Nampaknya hari ini Encik Rizal balik lebih awal daripada biasa. Mungkin ada urusan lain yang perlu dilangsaikan.
“Awak nak ke mana sekarang? Ada tujuan lain ke?” soal Encik Rizal membuatkan langkahku terhenti. Aku geleng kepala. Aku hendak balik ke rumah. Kemudian menyiapkan hidangan makan malam. Rutin yang sama setiap hari.
“Oh, saya perlu beli bahan mentah untuk makan malam ni,” jelasku tatkala teringat hendak memasak samgyetang malam ini. Sejak kebelakangan ini aku cepat sangat keletihan. Salah satu cara mengembalikan tenaga ialah makan makanan berkhasiat. Samgyetang pilihan terbaik untukku dan Yen memandangkan dia juga sering berjaga malam malah dia begitu menyukai samgyetang.
“Masih awal lagi. Jom temankan saya minum. Nanti saya temankan awak pula,” ujar Encik Rizal buat aku serba salah.
“Jom...,” ajak Encik Rizal sekali gus meminta aku mengikuti langkah. Aku dan Encik Rizal minum di Cofee House satu lokasi kegemaran golongan elit untuk bersantai. Harga secawan kopi mencecah berpuluh ringgit. Harga yang begitu mahal dan aku tidak terfikir hendak membazirkan wang sebanyak itu semata-mata hendak minum kopi. Tidak sesedap mana pun. Namun bila ingatkan harga mahal sangat, aku habiskan minum langsung tidak tinggal sisa. Tidak mahu membazirkan wang Encik Rizal... he..he...he...
“Tak silap saya minggu depan awak nak pergi temudugakan,” suara Encik Rizal memecah kesepian. Kupandang Encik Rizal. Laju aku mengangguk. Aku tidak terkejut mendengar bicara Encik Rizal. Permohonan cutiku sudah sampai ke pengetahuannya. Selaku majikan pasti awal sudah dia tahu pergerakan cuti pekerja-pekerjanya.
“Temuduga apa tu?” soal Encik Rizal sambil menatapku. Aku diam. Berfikir seketika. Perlukah aku jelaskan perkara ini kepada Encik Rizal? Namun malu juga hendak berkongsi perkara ini dengan Encik Rizal.
“Kalau awak tak keberatan boleh saya tahu,” ujar Encik Rizal mencuba nasib sekali lagi. Aku menarik nafas perlahan-lahan. Cuba membina keyakinan diri.
“Saya berminat mengikuti Program Pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di IPTA. Syarat-syarat yang perlu dipenuhi saya diwajibkan menduduki ujian MEdSI dan temuduga yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Saya dah pun menghadiri ujian MedSI bulan lepas,” jelasku panjang lebar.
“Kiranya awak ni terpilih lah ye. Oh, congratulations,” ucapan tahniah Encik Rizal kusambut dengan senyuman.
“Kenapa awak nak jadi cikgu?” soal Encik Rizal nampak berminat dengan kerjaya pilihanku.
“Cita-cita saya memang nak jadi cikgu,” balasku pendek.
“Apa yang mendorong awak nak jadi seorang guru?” soal Encik Rizal belum puas hati dengan jawapan yang aku berikan tadi.
“Pekerjaan yang mulia. Saya boleh mendidik anak bangsa. Paling penting saya nak tolong anak-anak keluarga miskin agar terus belajar dan tak mudah berputus asa walaupun pelbagai halangan dan cabaran yang terpaksa ditempuh,” tekadku. Terbayang kesukaran yang aku tempuhi ketika di alam persekolahan dahulu. Semangat yang berkobar-kobar yang mendorong aku untuk terus belajar biarpun terpaksa menempuhi pelbagai halangan yang dicipta oleh Mak Long. Aku hendak membela nasib pelajar-pelajar yang malang sepertiku.
“Syabas. Awak memang layak menjadi seorang guru. Semoga cita-cita awak tercapai. Good luck,” suara Encik Rizal menyedarkan aku dari kenangan lalu.
“Terima kasih,” ujarku berbesar hati serta menggantung harapan yang sama agar cita-citaku termakbul. Semoga segala berjalan lancar dan dipermudahkan oleh Allah.
Usai minum di Cofee House, aku terus bergerak untuk tujuan seterusnya dengan ditemani oleh Encik Rizal. Aku sedaya-upaya menghalang dia menemaniku namun Encik Rizal tetap berkeras mahu bersamaku seperti yang dijanjikan tadi. Aku kurang selesa dan terasa pergerakanku terbantut dengan adanya Encik Rizal di sisiku. Tiba di Pasaraya Grands Pasific, aku terus ke bahagian bahan mentah. Encik Rizal masih setia mengekori langkahku.
“Mari saya tolong awak bawa bakul tu,” pinta Encik Rizal terus mencapai bakul di tanganku. Tanpa menunggu persetujuanku Encik Rizal mengambil dari tanganku. Kuambil daging ayam, akar ginseng segar, kurma merah kering, lada hitam dan daun bawang lalu kuletak di dalam bakul yang berada di tangan Encik Rizal. Bahan-bahan lain sudah ada di rumah.
“Awak nak masak apa?” soal Encik Rizal setelah sekian lama hanya mendiamkan diri. Aku tersenyum.
“Samgyetang,”
“Samgyetang?” Wajah Encik Rizal berkerut. Terlalu asing perkataan itu di telinganya. Aku mengangguk.
“Apa benda tu?”
“Ginseng Chicken Soup. Sejenis masakan tradisional Korea. Sesuai dimakan dalam cuaca panas begini kerana menu ini mempunyai nutrisi yang sihat yang dapat meningkatkan tenaga setelah kehilangan tenaga melalui proses perpeluhan yang berlebihan,” jelasku mengulangi bicara Yen yang lalu yang menjelaskan kepadaku berkaitan samgyetang.
“Sejenis masakan Korea ke?” soal Encik Rizal lagi. Aku mengangguk.
“Asalnya samgyetang ini ialah sup dari Pulau Cheju. Paling istimewa menu ini menggunakan akar ginseng segar dan dimasak seperti sayur dengan ayam. Ginseng Korea ada sedikit rasa pahit. Ginseng ini makanan kesihatan boleh menguatkan badan dan untuk awet muda,” jelasku mengulangi setiap butiran bicara Yen. Encik Rizal terus-terusan mengangguk tanda faham.
“Kalau bahasa Korea ginseng ini dipanggil apa?” soal Encik Rizal. Aku tersenyum. Soalan itu pernah aku ajukan kepada Yen dahulu.
“ Insam,” jawabku penuh yakin.
“Awak bukan sekadar suka movie Korea, malah awak juga tahu tentang makanan tradisional Korea. Banyak perkara juga awak tahu tentang Korea. Awak nak kahwin dengan Korean guys juga ke?” soal Encik Rizal membuatkan aku terdiam panjang. Sungguh aku tidak sangka persoalan itu akan diajukan kepadaku. Persoalan Encik Rizal kubiarkan tergantung tanpa jawapan. Akhirnya aku hanya tersenyum.
AKU melangkah perlahan-lahan memasuki studio mini ini. Kelihatan Yen sedang leka menulis sesuatu pada kertas di depannya. Kemudian menyelitkan pencil di tangan di telinga. Nampak comel sangat he... he... he... Kalau orang tampan ini apa sahaja aksinya langsung tidak menjejaskan ketampanan yang dimiliki. Kujengahkan kepala meninjau apa yang ditulisnya tadi. Nampak kuaver, krocet, minim semibrif, res, sa, sa-a entah betulkah tidak bacaanku ini sebab aku main sesuka rasa sahaja menyebut not-not muzik itu. Perkara yang pasti Yen sedang menulis not-not muzik. Mungkin untuk nada melodi lagu baharu. Pantas aku duduk di situ tidak berapa jauh daripada Yen.
Beberapa minit berlalu aku masih terpaku di situ. Langsung tidak diendahkan kewujudanku. Kupandang Yen. Dia tetap leka seperti tadi. Dia bangun lalu bergerak ke satu sudut. Gitar akustik dicapai lalu dia kembali semula ke meja tadi. Dipandang not-not yang dicipta tadi lalu dipindahkan kepada alunan gitar akustik itu. Dipusing-pusing alat pemutar di headstock gitar akustik itu cuba menyelaras bunyi petikan agar lebih harmoni. Dipetik lagi tali gitar akustik itu. Nampak Yen begitu bersungguh-sungguh melakukannya. Muzik ialah kehidupan Yen. Muzik juga segala-galanya buat Yen.
“Ada perkara yang awak nak bincang dengan saya ke?” suaranya mencelah di sebalik bunyi petikan gitar akustik itu. Dipandang aku sekilas. Kemudian beralih pada not-not dan jemarinya masih giat memetik tali gitar itu. Aku menarik nafas panjang sebelum menyusun bicara.
“Awak busy esok?” soalku. Alunan gitar yang lembut langsung tidak menghalang untuk kami berbicara. Yen mengangguk.
“Setiap hari saya sibuk,” balasnya. Sememangnya aku mengetahui hakikat itu. Setahu aku dialah manusia yang paling sibuk yang pernah aku kenali. Siang malam bekerja. Kadangkala tidur pun dia tidak sempat. Nasib baik Yen masih ingat untuk makan.
“Kenapa?” soalnya tanpa sempat memandangku kerana anak matanya tetap terarah pada gitar akustik itu. Aku geleng kepala sendiri. Berat hati hendak meluahkan hajat hati ini. Kepulanganku ke kampung esok tanpa kehadiran Yen pasti mengundang kemusykilan Pak Long sekeluarga. Sekian lama selepas majlis akad nikah tidak pernah sekalipun aku mengajak Yen balik ke kampung. Yen tidak pernah bertandang ke rumah Pak Long. Aku risau Yen tidak selesa dengan keadaan kampung. Aku tidak mahu Yen menyedari dinginnya hubunganku dengan Mak Long.
“Esok saya balik ke kampung. Cadang Isnin baru balik ke sini. Awak makan kat luar ye,” jelasku sekali gus mengingatkannya. Yen menatapku.
“Dua hari awak kat kampung? Awak tak kerja ke?” soalnya.
“Saya cuti,”
“Jadi dua hari saya kena makan kat luar?” soalnya bernada kurang senang. Aku mengangguk. Kalau ikutkan hati mahu sahaja aku mengajaknya balik ke kampung. Sememangnya iniah hajatku pada awalnya, tetapi memandangkan dia sibuk, maka aku pendamkan hajatku itu.
“Esok saya basuh semua pakaian. Jangan lupa angkat dari jemuran. Sebelum balik saya akan kemas rumah. Pastikan sepanjang ketiadaan saya, dapur bersih, kat singki takde pinggan mangkuk, cawan, gelas, sudu yang tak dicuci,” ujarku berjela-jela memperingatkannya. Berlagak jadi puan besar. Sempat juga Yen melontarkan jelingan kepadaku. Aku tersengih.
%%%%%%%%%%%%%%
Dia menuruni anak tangga sambil menggeliat dua tiga kali. Dia masih menguap-nguap. Mengantuk masih terasa. Semalam selewat pukul 3.00 pagi baru dia mencari bantal melelapkan mata. Dia sudah terpacak di tengah-tengah ruang banglo itu. Dipandangnya sekeliling. Cuba mencari-cari kelibat gadis itu. Tidak kelihatan. Dipandang setiap ruang rumah kemas dan bersih. Ditatap jam di pergelangan tangan. Hairan. Awal pagi gadis itu sudah menghilangkan diri. Hari Ahad dia tidak bekerja. Yen melangkah ke dapur. Sudah tersedia hidangan sarapan di atas meja. Anak matanya menatap tulisan tangan pada memo pink yang melekat pada tudung saji itu.
~ Jangan Lupa Pesanan Saya Semalam. Wajib diingat. Masitge deusey (selamat menikmati )☻☻☻~.
“Esok saya basuh semua pakaian. Jangan lupa angkat dari jemuran. Sebelum balik saya akan kemaskan rumah. Pastikan juga sepanjang ketiadaan saya, dapur bersih, kat singki takde pinggan mangkuk, cawan, gelas, sudu yang tak dicuci” suara gadis itu menerpa dipendengarannya.
“Iman ssi dah balik ke kampung,” tuturnya sendirian. Barulah dia teringat. Semalam gadis itu sudah memaklumkan tentang perkara itu. Cuma dia agak pelupa. Usai sarapan, dia menyiapkan diri. Dipandang gitar yang tersandar di dinding. Gitar penemannya ke hulu ke hilir. Ditenung gitar itu seketika. Otaknya ligat berfikir membuat perkiraan. Akhirnya ditinggalkan gitar itu di situ. Laju tangan mencapai kertas yang sudah dipenuhi not-not yang masih terletak di atas meja itu lalu memasukkan ke dalam beg sandang.
Tatkala pemuda itu melangkahkan kaki ke premis My Dream Centre itu, kedatangannya disambut dengan pandangan hairan oleh Jack sahabat karibnya itu.
“Awal awak datang hari ni?” soalnya. Setahunya pemuda ini tidak pernah datang jam sebegini memandangkan berjaga lewat malam yang kadangkala tidak tidur hingga ke subuh. Dia perlukan tidur yang lebih keesokannya.
“Saya nak out station. Maybe lusa baru balik,” ceritanya.
“Nak pergi ke mana? Bercuti dengan Velviana ke?” soal Jack tersenyum mengusik. Setahunya agak lama juga dia tidak mendengar pasangan kekasih itu bercuti bersama-sama. Malah Velviana juga tidak muncul-muncul ke situ. Barangkali sibuk dengan jadual peragaan, bisik hati kecilnya. Perasaan ingin tahu melonjak-lonjak tatkala Yen geleng kepala menafikan andaian itu. Andaian Jack tidak tepat. Cepat otaknya mengagak mungkin gadis lain yang baru sahaja dikenali oleh pemuda Korea ini.
“Urusan keluarga,” balas Yen sekali gus mematikan sangkaan itu.
“Saya dah siapkan melodi untuk lagu tu. Ni not-not dan cd rakaman melodi tu. Awak dengar dengan diarong berdua nanti,” ujarnya mengarah.
“Bila awak nak pergi?” soal Jack.
“Kejap lagi,” balasnya sambil menyelak-nyelak helaian demi helaian not-not yang diilhamkan semalam.
“Kalau ada apa-apa masalah... call saya,” pesannya sebelum meninggalkan Jack yang masih tertanya-tanya.
“Hello, assalamualikum Pak Mahat, Yen ni. Pak Mahat kat mana sekarang?” soalnya sambil diperhatikan oleh sepasang mata sahabatnya itu. Jack tersenyum sendiri. Buat pertama kali dia mendengar pemuda itu memberi salam tatkala bercakap di talian. Sesuatu yang agak baharu.
“Pak Mahat dan ayah pernah pergi ke Kampung Damai jumpa keluarga Encik Musa. Ya...ya... abang kepada arwah Encik Mukhriz. Ya Pak Long Iman. Saya nak Pak Mahat hantar saya ke kampung itu. Pak Mahat tolong ambik saya di rumah saya sekarang juga. Okey...assalamulaikum...,” panggilan diputuskan. Sekali lagi Jack tersenyum.
“Yang awak senyum-senyum ni kenapa?” soalnya janggal melihat senyuman sahabatnya itu.
“First time dengar awak bagi salam,” komen Jack. Yen diam. Kedengaran suara gadis itu di telinganya.
“Sebagai seorang muslim, kita sepatutnya bagi salam sebelum memulakan perbualan,” tegur gadis itu.
“Salam tu doa dan penawar tau. Kita doakan kesejahteraan orang. Kita dapat pahala. Bukan susah pun nak lakukan. Awak tak mahu kumpul pahala banyak-banyak ke?” soal gadis itu menyambung bicara.
“Awak ni bisinglah,” rungutnya.
“Ingat baik-baik pesanan saya tu,” tutur gadis itu tidak menghiraukan rungutannya. Velviana dengan Iman memang berbeza. Sedikit pun perwatakan mereka tidak sama. Velviana seseorang yang manja dan terlalu bergantung sehingga semua kehendak gadis itu perlu dituruti. Kadangkala timbul juga perasaan rimas dengan sikap gadis itu. Sedangkan Iman boleh hidup tanpa mengharapkan bantuan orang lain dan dirinya sarat dengan pengalaman hidup meskipun usia masih muda berbanding dengan dirinya. Gadis itu dilontar di ceruk mana sekalipun pasti boleh hidup gembira. Yen tersenyum sendiri.
“Saya mahu kumpul pahala banyak-banyak,” ujar Yen tiba-tiba.
“Awak ingatkan ustazah itu ke?” soal Jack mentafsir di sebalik bicara dan senyuman yang terukir di bibir itu sekali gus menjawab perasaan ingin tahunya.
“Saya pergi dulu. Kalau ada apa-apa jangan lupa call saya,” ujarnya mengulangi pesanan tadi lalu melangkah meninggalkan sahabatnya itu sekali gus meninggalkan lot premis My Dream Centre. Kedatangannya ke situ sengaja dirahsiakan. Ingin membuat kejutan kepada gadis itu. Kira-kira 30 minit pemuda itu beredar meninggalkan premis itu, muncul Velviana di muka pintu My Dream Centre. Kedatangan gadis itu mengejutkan Jack. Mujur dia tidak cepat panik. Kalau tidak pasti jadi haru-biru.
“Yen mana?” soal gadis itu marah-marah. Jack garu-garu kepala. Serba salah. Dia tidak tahu sama ada perlu dimaklumkan perkara itu kepada Velviana atau sebaliknya. Namun bila dia mengingati tiada sebarang pesanan daripada Yen untuk menghalangnya berbicara jujur. Kebetulan memang dia tidak berapa jelas tujuan pemuda itu dan urusan keluarga yang dimaksudkan oleh Yen.
“Yen baru je pergi. Maybe lusa baru dia datang ke sini,” cerita Jack.
“What! Dia pergi ke mana?” soal gadis itu terperanjat. Pemuda itu tidak memaklumkan maklumat terperinci kepadanya. Jack angkat bahu. Perbualan Yen yang didengarnya tadi tidak berapa jelas.
“Dia nak buat apa?’ soal gadis itu lagi.
“Yen kata urusan keluarga. Awak tanya kat dia nanti,” cadangnya kerana tidak mahu terus di hujani dengan pelbagai persoalan oleh gadis kacukan Melayu-Serani itu. Cukup cantik dan seksi.
“Susah nak call dia sekarang,” keluh gadis itu geram. Jack sedikit tersentak mendengar kenyataan gadis itu. Pelik. Sepasang kekasih itu sudah jarang berhubung? Jadi siapa yang berbual dengan Yen sejak kebelakangan ini? MungkinkahYen sudah ada orang baharu? Ustazah itu ke? Jack keliru memikirkan sahabatnya itu. Velviana terdiam panjang. Otaknya diserbu pelbagai persoalan. Dia dapat rasakan sesuatu yang pelik berlaku kepada pemuda itu. Akhirnya dia juga jadi terkeliru dengan sikap kekasihnya itu. Velviana terkeliru. Jack terkeliru. Mereka sama-sama terkeliru angkara sikap Yen Aieqal Shuein yang sukar diramal itu.
AKU menyambut kepulangan Pak Long bersama Mak Long dari kebun dengan senyuman. Jelingan tajam Mak Long lebih awal singgah ke wajahku. Aku merapati mereka. Kukucup tangan Pak Long dan Mak Long.
“Kamu seorang saja yang balik. Mana suami kamu?” soal Pak Long membuatkan lidahku kelu hendak menjawab. Jangkaan awalku tepat. Memang pertanyaan ini akan keluar dari mulut Pak Long.
“Yen sibuk dengan kerja, Pak Long,” tuturku berhati-hati. Aku tidak berbohong. Memang Yen sibuk. Pemuda itu pun menyatakan bahawa setiap hari dia sibuk.
“Mana dia nak balik ke rumah buruk macam ni. Lainlah kalau kau buat rumah banglo untuk Pak Long kau ni, Iman,” pedas bicara Mak Long. Terdiam aku mendengar bicara Mak Long. Manalah aku ada duit sebanyak itu untuk mendirikan sebuah banglo untuk Pak Long sekeluarga. Kalau aku mampu, aku akan memakbulkan bicara Mak Long itu, malah lebih daripada itu aku akan berikan kepada mereka. Pak Long dan Mak Long ibarat ayah dan ibuku. Mereka telah banyak berjasa kepadaku. Bahkan air mata Lili juga banyak tumpah keranaku. Aku benar-benar terhutang budi kepada keluarga ini.
“Timah…,” tegur Pak Long tidak senang dengan bicara isterinya itu. Mak Long menatapku tajam lantas berlalu meninggalkan aku dan Pak Long berbual santai di serambi rumah ini.
“Kamu jangan ambik hati dengan kata-kata Mak Long kamu tu. Dia tu bukan kamu tak kenal,” tutur Pak Long cuba menyenangkan hatiku. Aku senyum.
“Lama dah kamu sampai?”soal Pak Long memanjangkan bicara.
“Dalam sejam,Pak Long,” sahutku.
“Kamu sihat?” Aku mengangguk. Senyum lagi. Bila aku berhadapan dengan Pak Long seakan aku sedang berhadapan dengan abah. Arwah nenek kata, kalau hendak tahu macam mana sikap abah, lihat sikap Pak Long. Kalau begitu perangai Pak Long, begitu juga perangai abah. Mereka seiras betul, saling tak tumpah. Kutatap lagi wajah Pak Long dengan pandangan penuh kasih sayang. Wajahku mewarisi wajah abah. Maka aku pun ada iras wajah Pak Long.
“Nana, Adie…cepat naik ke atas, ibu nak mandikan kamu!” panggil Lili kepada anak-anaknya di muka jendela. Aku dan Pak Long melontar pandangan ke arah sepasang si kecil yang saling berkejaran itu. Tampak riang.
“Hai atuk, hai Mak cik Iman…,” sapa Nana mesra mendahului langkah si abang sambil tersenyum manis.
“Cepat, ibu dah tunggu kat dalam tu,” arah Pak Long lembut pada cucu-cucu kesayangannya itu. Aku membalas senyuman yang dilemparkan Adie kepadaku. Seminit kemudian kedengaran suara Lili berbual manja dengan Nana dan Adie. Betapa sayang Lili kepada anak-anak permata hatinya itu.
“Sekurang-kurangnya ada Nana dan Adie membuatkan saya lebih tabah untuk mengharungi kehidupan ini. Jodoh dengan Ridzuan setakat ni saja. Saya tak pernah menyesali takdir hidup saya begini,” luah Lili begitu tabah dan tenang pada suatu petang. Ketika kami sama-sama duduk di bawah pokok rambutan di halaman rumah ini sambil memerhatikan anak-anaknya sedang riang bermain.
“Kamu hidup bahagia sekarang, Iman?” soal Pak Long menyentakkanku. Soalan yang tidak kujangka akan keluar dari mulut Pak Long. Perlahan-lahan aku berpaling menatap wajah Pak Long.
“Bahagia..., Pak Long,” balasku tidak pasti. Pak Long merenungku lama. Cuba menyelami reaksi wajahku seketika buat hatiku tidak keruan.
“Yen seorang yang bertimbang rasa. Dia jaga Iman dengan baik,” ujarku jujur cuba lebih meyakinkan Pak Long. Walaupun ada masa tingkahlaku pemuda Korea ini memeningkan aku, namun aku tidak boleh menafikan kebaikannya begitu sahaja. Jasanya begitu besar kepadaku tatkala dia mewujudkan keberanian untuk melawan ketakutan dalam diriku selama ini. Pengalaman menyeberangi jambatan gantung pada ketinggian 100 meter dan panjang 500 meter bukan sesuatu yang mudah untuk aku tempuhi. Namun adanya Yen di sisiku segala menjadi mudah. Aku nampak kesungguhan Yen untuk membebaskan jiwaku dari dibelenggu ketakutan itu. Biarpun tercelit sedikit kecewa angkara impianku telah dicemari oleh pemuda Korea itu, namun aku tetap terharu dan berterima kasih atas usahanya itu.
Aku juga tidak akan lupa bagaimana dia bersusah payah mencariku di merata-rata apabila aku tersesat dan tidak balik ke rumah gara-gara mencari movie Korea. Pada malam itu dia marah betul denganku. Sudah cukup membuktikan bahawa dia mengambil berat terhadapku. Kemudian aku sakit akibat terkena simbahan air hujan. Dua hari aku terbaring di katil. Tika itu Yen menjagaku dengan penuh keprihatinan. Dia berjaga sepanjang malam menjaga dan mengawasi suhu badanku. Esoknya dia memasak bubur yang sedap untukku. Terasa macam babak drama ‘Full House’ lakonan Bi Rain dan Song Hye-kyo. Tika itu Yen menjagaku seperti Yi Yeong-jae menjaga Han Ji -eun isteri kontraknya itu.
“Hey, itukan kereta Datuk Kamarudin! Apa hal dia datang lewat-lewat begini?” soal lelaki itu hairan. Bukan dia tidak suka akan kedatangan lelaki yang berpangkat dan berharta itu, cuma dia hairan dan tercelit sedikit segan dengan kedaifan kehidupan di kampung berbanding dengan kehidupan mewah lelaki itu. Aku tersentak mendengar bicara Pak Long. Laju aku mengalih pandangan pada kereta MBW hitam metalik yang baharu sahaja memasuki halaman rumah ini. Dadaku berdebar-debar. Matilah aku kali ini. Apa aku hendak beritahu Datuk Kamarudin kalau dia bertanyakan anak mudanya itu? Menjadi persoalan dengan kedatangan mengejut Datuk Kamarudin ini. Ada hal penting yang melibatkan aku dan Yen yang perlu dibincangkan bersama Pak Long? Mesti ada hal penting dan begitu mustahak kalau tidak masakan Datuk Kamarudin bertandang ke sini lewat petang ini. Fikiranku berserabut diserbu pelbagai persoalan. Terasa debaran jantungku semakin kencang.
“Iman, Datuk Kamarudin datang tu,” suara Pak Long menyentakkanku. Aku mengangguk. Lantas kupersiapkan diri untuk berhadapan dengan lelaki itu nanti. Daun pintu kereta terkuak ditolak oleh tuan pemilik kereta itu. Keluar susuk tubuh itu. Aku menarik nafas lega. Bagai terlepas dari dihempap batu yang besar sehingga aku sukar untuk bernafas. Kini betul-betul terlepas dari musibah.
“Hey, itukan suami kamu!” ujar Pak Long. Aku dan Pak Long berlaga pandangan pada wajah putih bersih itu. Seulas senyuman dari bibir nipis nan merah itu dilontar kepadaku dan Pak Long. Pak Long menyambut kedatangan Yen dengan begitu mesra. Kutatap wajah pemuda Korea ini penuh persoalan. Melangkah sahaja kaki ke serambi rumah, dia menghulurkan tangan kepada Pak Long dan saling bertanya khabar. Aku sekadar jadi pemerhati. Pandai pemuda Korea ini bersopan-santun.
“Iman kata kamu sibuk tak dapat balik ke kampung,” cerita Pak Long mengungkit kenyataanku sebentar tadi.
“Saya dah settle semua kerja pagi tadi, Pak Long,” balas Yen. Tersentuh hatiku tatkala mendengar suaranya menyebut panggilan Pak Long itu. Kedengaran mesra. Pak Long mengangguk-angguk faham.
“Iman bawa suami kamu ni naik ke rumah berehat. Pak Long nak bagi ayam-ayam kat reban tu makan dulu,” arah Pak Long sekali gus memaklumkan perkara yang ingin dibereskan. Aku memberi isyarat kepada Yen agar mengekori langkahku ke bilik. Masuk sahaja ke bilik, Yen terus menghumban tubuh ke tilam. Sedikit melantun tubuhnya. Mujur katil tuaku ini masih sihat walfiat. Mungkin dia fikir katil ini sama seperti katil di banglonya yang tegap dan kukuh itu. Geram. Pemuda ini langsung tidak prihatin. Kalau katil ini patah dan roboh tadi pasti aku akan menghukumnya. Aku tidak mahu ganti rugi tapi aku mahu dia membaikpulih katil ini kepada keadaan asal. Katil ini banyak menyaksikan kenanganku bersama arwah nenek. Harta paling berharga nenek tinggalkan untukku. Sungguh aku menyayangi dan menghargai katil kayu tua ini.
“ Letihnya...jauh juga kampung awak ni ye,” ujarnya tanpa mempedulikan aku yang sedang terpacak memerhatikan gelagatnya. Selamba sahaja dia berbaring di katil ini, suatu yang kuanggap privasi untukku. Senang-senang dia terdampar di situ tanpa membersihkan diri terlebih dahulu. Betul- betul tidak berdisiplin.
“Ni bilik awak ye,” duganya. Anak matanya liar menatap sekeliling. Bilik yang serba kekurangan. Mungkin dia sedang membuat perbandingan dengan kemewahan bilik-bilik yang ada di banglo mewahnya itu terutama bilik tidurnya sendiri yang serba lengkap itu.
“On suis kipas tu, panaslah,” arahnya sambil mendongak kipas di siling. Patutlah panas semacam rupanya kipas tidak berpusing. Suis kipas kutekan. Kadangkala bila tengok wajah tampan pemuda Korea ini boleh membuatkan aku lupa dengan keadaan sekeliling seketika he…he...he… Pengakuan ikhlas lahir dari hati nurani yang suci murni.
“Kenapa datang ke sini tak beritahu saya?” soalku.
“Macam mana saya nak cakap kalau awal pagi awak dah tinggalkan rumah,” balasnya dengan pandangan tembus ke siling. Mungkin dia baru pernah tengok siling rumah kampung sebab itu dari tadi dia asyik memerhatikan. Kasihan pemuda Korea ini hidupnya kurang pendedahan. Sedikit rugi menjadi anak orang kaya. Lahir-lahir sahaja ke dunia semua telah tersedia. Sempit pandangan miskin pengalaman. Bukan seperti aku luas pandangan kaya pengalaman he...he...he… Aku tersenyum melihat gelagat Yen seperti rusa masuk ke kampung.
“Awak tak cakap pun nak ikut saya balik ke kampung,”balasku tidak mahu dipersalahkan sewenangnya.
“Awak tak ajak saya pun,” balasnya tidak mahu turut dipersalahkan. Aku mendengus bosan. Kujeling wajah yang sedang tersenyum suka itu.
“Malam ni kita tidur di katil ni kan?” soalnya tersengih dengan kening yang terangkat-angkat lagak sedang menggodaku.
“Jangan harap saya nak kongsi katil ni dengan awak. Agaknya awak dah lupa dengan malam pertama awak,” ujarku memingatkannya. Tiba-tiba sahaja Yen tertawa besar.
“Tulang rusuk saya pata awak tendang. Kalau saya tak boleh buat anak, seumur hidup awak ni akan jadi isteri saya,” balasnya bersahaja. Hangat wajahku. Frasa ‘buat anak’ begitu janggal di pendengaranku. Maklumlah aku ini pemalu sedikit. Tambahan pula kalau bab sensitif begitu memang terlalu asing buatku. Biasalah gadis timur yang kaya dengan adat dan kesopanan. He... he... he...
“Tengok muka awak merah. Mesti awak malu sekarangkan,” usiknya tersenyum memandangku.
“Takdelah,” nafiku berkeras.
“Perempuan ni memang sensitif sangat,” balasnya. Dasar lelaki buaya. Tidak segan silu dia berbicara begitu. Memang dia ini lelaki pemusnah hidup anak gadis.
“Dah lewat ni, jom kita mandi sama,” lancang smulutnya mengusikku. Kucapai bantal lalu membaling tepat ke arahnya. Pantas tangannya menepis. Yen tergelak.
“Malas saya nak layan otak orang yang tak betul ni,” rungutku lalu melangkah meninggalkan Yen yang masih kedengaran gelaknya. Suka sangat dia menyakatku. Kini baru aku sedar pemuda yang suatu tika dahulu kukenali seorang yang pendiam dan begitu serius tatkala berhadapan dengan Datuk Kamarudin, anak muda yang gemar menyakat. Banyak sungguh ideanya hendak kenakan aku. Teringat pada Datuk Kamarudin, timbul simpatiku terhadap dua beranak itu. Hubungan mereka tidak seperti lazim hubungan anak dengan ayah dalam sebuah keluarga. Bagai ada tembok pemisah yang menghalang wujud kemesraan antara Datuk Kamarudin dengan Yen. Aku pasti penceraian dan penerimaan negatif Datuk Kamarudin terhadap bidang muzik yang sebati dalam dirinya jadi penyebab wujud situasi sedemikian. Yakin dan pasti. Namun beberapa hari yang lalu, hubungan ini menampakkan perkembangan yang positif. Andai terus menerus dipupuk pasti hubungan anak beranak ini akan kembali mesra. Amin.
No comments:
Post a Comment