Aku tersenyum selebar-lebarnya. Terasa akulah manusia yang paling bahagia di alam semester ini. Apa tidaknya hero pujaanku sedang berdiri di sisiku penuh mesra. Tanganku dipaut erat. Sukar hendak dipisahkan. Pasti mengundang berjuta-juta perasaan cemburu dalam kalangan peminatnya di serata dunia ini.
Aku tersenyum bangga. Hatiku berbunga riang. Bahagia sebahagianya. Apa tidaknya, dalam berjuta-juta gadis yang memujanya, akulah pilihan untuk menjadi teman hidupnya. Teman suka dan lara. Siapa yang tidak bangga dan bahagia, malah sepatutnya setiap warganegara yang bermustautin di negara ini juga patut turut berbangga kerana gadis yang lahir di bumi Malaysia ini telah berjaya mencuri hatinya.
Inilah ‘Weeding of The Year!’. Persandingan yang paling hebat pada abad ini. Persandingan yang melibatkan dua negara di benua asia, dua bangsa, dua latar belakang yang berbeza, bersatu dalam perkongsian hidup. Namun asal-usul pertemuan ini tidak pula aku ketahui. Unik dan pelik, tetapi inilah hakikat! Kenyataan yang mengundang cemburu gadis-gadis di alam semester ini.
Senyumanku sekalipun tidak pernah padam. Aku dan jejaka pujaan hatiku melangkah ke taman yang dihias indah. Bunga-bunga tulip pelbagai warna menghiasi sepanjang aturan langkah kami. Persandingan dalam taman persis impianku, kini telah termakbul. Sepasang kekasih melangkah beralas permaidani merah laksana puteri dan putera. Lense kamera para wartawan seperti pancaran kilat. Kilauan cahaya tidak putus-putus. Baik wartawan mahupun para jemputan yang ada di sini tidak mahu ketinggalan merakam hari bersejarah kami. Sungguh hebat! Hero pujaan hatiku memaut kemas tubuhku mendampingi tubuh tinggi lampainya. Mesra dan penuh kasih-sayang. Sebuah kucupan hampir-hampir singgah di pipiku. Namun tiba-tiba...
“Iman...!”Aku menoleh. Roslinda Ayamor muncul di depanku dengan wajah yang menyinga seperti singa betina yang sedang kelaparan, menunggu mangsa hendak diterkam. Barangkali dia tidak merestui persandingan hebat ini. Mungkin juga dia cemburu melihat betapa kacak heroku ini. Roslinda Ayamor menapak mendekatiku. Sekarang sudah berada di depanku. Tiba-tiba sahaja dia menarik tanganku seakan mahu membawa aku pergi meninggalkan majlis gilang-gemilang ini. Sungguh aku tidak tega meninggalkan Si Jejakaku. Maka berlakulah adegan tarik-menarik antara Roslinda Ayamor dengan heroku.
Tubuhku sekejap ke kiri sekejap ke kanan. Ibarat pertandingan tarik tali. Semakin Roslinda Ayamor berkeras, kian bertenaga pula jejakaku mempertahankanku daripada dibawa pergi meninggalkannya. Dalam adegan tarik-menarik ini sempat juga aku terharu. Terharu kerana jejakaku tidak tega berpisah denganku. Mungkin kerana sudah patah hati dan tidak terlawan lagi, Roslinda Ayamor melepaskan tanganku. Maka, akibat tarikan sekuat hati jejakaku, tubuh melidiku melayang lalu bercumbu dengan dinding pasu bunga sebesar pemelukku.
“Hoi..., bangun hoi...!” Ada suara kuat menembusi corong telingaku. Perlahan-lahan aku mengangkat kelopak mata. Roslinda Ayamor sudah tercengat sedang terpaku menatapku. Aku menatap sekeliling. Aku bukan lagi berada di dalam taman tetapi sebaliknya di Kamar Sonata. Cuba mencari Si Jejaka tampan, namun heroku cuma tersenyum indah tertampal di muka pintu almariku. Mataku menyoroti tubuhku yang masih terlentang di atas tilam tebal lima inci ini. Tiada gaun putih yang menyarunginya. Yang ada hanyalah sepasang baju kurang berbunga-bunga kecil berwarna merah.
“Agaknya mengigau lagilah tu...,” kutuk Roslinda Ayamor. Aduhhh...bBaru aku terasa sakit! Rupa-rupanya dahiku berlaga dengan pagar penghadang tepi katil. Bukan pasu seperti awal-awal cerita tadi.
“Yang awak lenggang-lenggok dalam tidur tu... tengah buat persembahan boria ke?” suara perlian Roslinda Ayamor singgah di telingaku lagi. Aku mengesat-ngesat mata. Baru berada dalam dunia realiti.
“Hish..., kacau betul Si Ayamor ni!” desis hati kecilku. Geram. Cerita bahagia itu belum tamat lagi. Aku menggeliat dua tiga kali. Indah sungguh mimpiku tadi. Kalau tidak dapat bersanding dengan aktor kacak pujaan hatiku di dunia nyata ini, dapat bersanding dalam mimpi syukurlah. Aku tersenyum sendiri. Mimpi yang indah.
“Hey, yang awak sengih-sengih tu apa hal!” Sebiji bantal dibaling tepat ke arahku. Sempat kutepis. Si Ayamor ini memang suka buat kacau. Garang semacam pula.
“Hey...dahlah dalam mimpi tadi awak kacau majlis saya, sekarang pun awak nak kacau saya juga! Memang sesuailah awak ni pegang watak jahat,” omelku sendirian mengutuk Linda.
“Apa awak kata?” Terbiak mata Linda menatapku. Aku mempamer sengihan panjang. Langsung tidak terniat hendak membuka cerita kepadanya. Nanti tidak pasal-pasal memanjang pula ceramahnya. Penghujungnya telinga ini juga yang bingit mendengar kutukan dan perliannya.
“Awal awak habis kerja hari ni,” Linda tersenyum lirih kepadaku.
“Saya sakit kepala tadi. Bos suruh saya balik berehat. Kebetulan tadi tak busy,” jelasku.
“Baik betul lelaki itu pada awak,” suara Linda berbaur usikan. Aku bingkas bangun lalu mencapai tuala yang tergantung. Terasa mahu mandi sekarang agar badan segar-bugar. Aku berpaling. Linda masih menatapku dengan sengihan.
“Kenapa? Jangan fikir yang bukan-bukanlah Ayamor,” Tanganku singgah di bahu Linda membuatkan dia terjerit kuat. Tepukan padu itu sudah cukup menyedarkannya. Lantas bagai lipas kudung aku berlari ke bilik air menyelamatkan diri. Kukunci pintu kamar. Aku tertawa sendirian. Padan muka Linda. Dia suka sangat menyakat aku.
“Iman...!” bentak Linda geram. Aku menulikan telinga. Pura-pura tidak mendengar laungan geram Linda sambil tersenyum-senyum sendiri.
“Apa hal ni?” Kedengaran suara Kak Leha bertanya kepada Linda. Agaknya dia baru sahaja sampai di rumah. Kutulikan telinga mendengar Si Ayamor membuat adunan. Yang pasti aku sudah tenggelam di bawah simbahan air yang sungguh menyegarkan.
%%%%%%%%%%%%%%%%
“Arlen, pastikan stok bahan yang sampai hari ini dicatat dengan betul. Hantar juga rekod dua hari lepas kepada saya. Saya nak semak,” suara Encik Rizal kedengaran memberi arahan kepada Arlen, penyelia Rozana Cupcake Conner atau RCC akronimnya.
“Yes bos,” balas Arlen tersenyum-senyum memandangku.
“Nasib baik semalam saya dah buat final check dan siapkan semua data. Syukur ... syukur ...,” Arlen mengurut dada. Lega.
“Awak dah sihat Iman?”Aku tersentak lantas berpaling. Encik Rizal sudah berada di sini. Arlen juga nampak terkejut. Kemunculan Encik Rizal yang tidak kami sedari. Aku senyum.
“Sudah Encik Rizal,” balasku pendek.
“Baguslah. Buat kerja baik-baik semua. Hari ini target mesti tercapai,” suara Encik Rizal berkumandang di setiap ruang premis RCC ini.
“Baik bos!” suara pekerja-pekerja menyahut memberi tindak balas positif. Itulah kalimah karamat yang akan Encik Rizal laungkan setiap pagi pada pertemuan pertama kami dengannya. Arlen masih tersenyum-senyum memandangku.
“Bukan main lagi lembut dia bertanya pada awak. Dengan saya bergegar jantung ini dengar suaranya,” usik Arlen. Aku tertawa. Kata-kata Arlen mencuit hati.
“Awak jangan buat tak tahu pula Arlen, bos kan ada hati pada kawan kita ni,” sampuk Sham di sebelahku. Aku meneruskan tawaku. Malas aku hendak melayan berlebih-lebih usikan mereka. Tidak menyokong mahupun menidakkan. Itu sahaja yang respons yang aku berikan. Petua mujarab hendak meredakan usikan mereka itu. Kedengaran bunyi bising Ravi melepaskan pagar aluminium seterusnya membuka pintu lot premis ini. Bermakan rutin kerja sudah bermula. Belum sampai 10 minit beroperasi, beberapa orang pelanggan melangkah masuk ke premis ini. Pasti tidak sempat bersarapan.
“Selamat pagi dan selamat datang ke Rozana Cupcake Conner. Puan nak makan di sini atau take away?” sapaku ramah. Perempuan bersama seorang budak lelaki itu tersenyum. Cukup menyenangkan melihat senyumannya. Memulakan hari ceria buatku.
“Akak nak breakfast di sini,” balasnya lembut.
“Pesanan puan dan adik?” tanyaku tersenyum sambil menatap budak lelaki itu. Dia tersenyum membalas tatapanku.
“Nak set Magnolia Bakery Vanilla, Cupcake Butter dan untuk Aiman, Cupcake Coco Glaze dan Fruity Orange Butter Cupcakes. Air milo dan kopi panas,” pesan perempuan itu lancar sambil menatap senarai menu di depannya.
“Puan order set Magnolia Bakery Vanilla, Cupcake Butter, Cupcake Coco Glaze dan Fruity Orange Butter Cupcakes. Air milo dan kopi panas. Semua RM20.00,” ulangku seraya mengambil wang yang dihulurkan oleh perempuan ini.
“Terima kasih. Puan sila ambil tempat duduk, sekejap lagi kami akan hantar pesanan puan,” tuturku ramah setelah menekan punat pesanan dihantar ke bahagian penyediaan untuk tindakan selanjutnya.
“Terima kasih,” Aku mengangguk dan tersenyum lagi. Dua beranak itu melangkah ke ruang santapan lalu memilih tempat duduk.
“Selamat pagi dan selamat datang ke Rozana Cupcake Conner. Encik nak makan di sini atau take away?” tanyaku sopan melayan pelanggan seterusnya.
“Saya nak makan di sini. Saya nak order set Gebulicious Butter Cupcakes dan Choc Strawberry Cupcakes serta milo panas,” pinta lelaki bermisai ini. Aku mengangguk.
“Okey, order encik ialah set Gebulicious Butter Cupcakes dan Choc Strawberry Cupcakes dan milo panas. Semua RM12.00. Terima kasih. Sebentar lagi kami akan hantar order encik dan sila ambil tempat duduk,” tuturku mesra. Lelaki ini mengangguk dan beredar pergi.
“Selamat pagi. Saya mahu take away,” ujar pelanggan seterusnya.
“Selamat pagi. Boleh. Pesanan encik?” Aku tersenyum kepada seorang pemuda yang lebih awal menyapaku.
“Set Gebulicious Butter Cupcakes dan Choc Strawberry Cupcakes,” pintanya.
“Set Gebulicious Butter Cupcakes dan Choc Strawberry Cupcakes. Semua RM8.00. Terima kasih,” Huluran wangnya kusambut. Aku segera memasukkan cupcake yang dipesan ke dalam bekas. Lantas menghulurkan kepada lelaki ini.
“Terima kasih. Sila datang lagi,” Dia mengangguk tersenyum. Beginilah tugasku di Rozana Cupcake Conner melayan pelanggan dengan penuh tatatertib dan mesra. Tepat pukul 1.00 petang shif bertukar. Baru aku berpeluang berehat. Walaupun sudah biasa dengan rutin begini namun keletihan tetap terasa setelah berdiri begitu lama. Semakin masa berganjak semakin ramai pelanggan yang berkunjung. Kek cawan Rozana Cupcake Conner mempunyai ramai peminat kerana keistimewaannya. Makan sekali pasti hendak makan banyak kali lagi. Sedap hingga boleh buat ketagih. Aku bukan hendak buat iklan bombastik ye...
“Awak dah siap?” Aku menoleh. Suzan sudah terpacak di depanku. Aku mengangguk lantas bangun. Kami beriringan melangkah meninggalkan Rozana Cupcake Conner atau lebih dikenali sebagai RCC lalu bergerak ke laman parkir kereta.
“Kita singgah sekejap di Plaza Wangi. Saya ada barang nak beli,” beritahu Suzan sebaik sahaja kereta membelok memasuki kawasan parkir bangunan tersebut. Aku menurut sahaja. Sementara menanti Suzan muncul, aku merayau-rayau di ruang legar bangunan ini.
“Selamat pagi cik,” Aku berpaling. Seorang gadis menyapaku lantas menghulurkan satu brosur. Aku menyambut brosur itu.
“Terima kasih,” ujarku. Gadis ini mengangguk sambil tersenyum manis.
“Hujung minggu ini akan diadakan hari bertemu pelanggan bersama Institusi Pengajian Tinggi Awan Malaysia. Beberapa buah universiti luar negara juga terlibat sama. Jika berminat, cik silalah datang,” terangnya sebelum sempat aku membaca brosur yang berada di tanganku. Aku mengangguk. Kemudian beredar dari situ. Kutatap brosur yang diberi oleh gadis tadi.
“Kamu tak payah terima tawaran belajar di USM tu. Dah takde duit nak hantar kamu sambung belajar. Gara-gara nak biayai kamu belajar, tengok Lili yang terpaksa berkorban berhenti sekolah tak sempat nak ambik SPM,” suara Mak Long kedengaran di telingaku. Aku melepaskan keluhan kecil. Kalau aku terima tawaran itu, pasti aku sudah berada di kampus sekarang. Ternyata faktor kewangan menjadi penghalang. Aku menarik nafas dalam-dalam. ‘Wahai Iman, peluang itu masih terbuka luas andai kau gigih berusaha dan tidak pernah patah semangat. Chaiyok, chaiyok, Iman!’. Bisik hati kecilku. Aku tersenyum sendiri.
“Sorry, lama tunggu?” Suzan sudah berdiri di sisiku bersama barang di tangannya. Aku menggeleng dan tersenyum.
“Apa tu?” tanya Suzan sambil menatap brosur di tanganku.
“Brosur iklan...,” jawabku acuh tidak acuh. Tidak mahu membicarakan perkara ini dengan Suzan. Segan. Risau dikata angan-angan Mat Jenin. Lantas kami terus bergerak meninggalkan bangunan Plaza Wangi ke destinasi seterusnya. Terima kasih Suzan kerana masih sudi dan bermurah hati menumpangkan aku balik ke rumah
%%%%%%%%%%%%%%%
HUJUNG minggu begini ramai pelanggan yang berkunjung menjamu selera di RCC sehingga aku tidak sempat duduk berehat seketika. Mujur juga masing-masing cekap menjalankan tugas. Tiada pekerja yang curi tulang. Semua cuba memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggan. Kepuasan pelanggan menjadi keutamaan warga RCC dan kebajikan pekerja tidak diabaikan. Prinsip inilah tonggak kejayaan empayar perniagaan Encik Rizal.
“Ahh... letihnya!” Aku menepuk-nepuk lembut pipiku.
“Lenguh mulut senyum,” sahut Suzan di sebelahku. Aku ketawa. Rupa-rupanya dia juga turut merasakan seperti yang aku alami.
“Agaknya kita boleh jadi pramugari tak?” Suzan mengaju pertanyaan.
“Kenapa pula?” tanyaku sambil menatap wajah Suzan. Hairan.
“Selamat datang, sila datang lagi. Kan itu word yang selalu pramugari kata sambil tersenyum lebar seperti kita,” Suzan tergelak sendiri. Aku tersenyum. Ada kebenarannya. Persamaan yang nyata kedua-dua sentiasa berhubung dengan orang ramai yang tidak dikenali.
“Awak memang layak jadi pramugari, Iman,”
“Apa?” Terkejut aku mendengar kenyataan Suzan ini.
“Awak cantik, ada personaliti menarik dan sentiasa ceria. Result exam awakpun cemerlang,” puji Suzan melangit. Aku mencebik. Jauh panggang dari api.
“Takde dalam senarai impian saya. Awak sajalah yang jadi pramugari. Nanti boleh saya tumpang pergi melancong ke Korea,” balasku. Destinasi impianku. Alangkah seronok jikalau dapat menjejaki bumi Seoul. Aku mula berangan-angan. Bilakah angan-angan ini termakbul? Bolehlah aku mula menabung untuk ekspedisi ke Korea. Ajak Linda dan Suzan sekali. Kak Leha pasti kurang berminat.
“Apa impian awak?”Aku senyum. Kutatap Suzan yang sedang menunggu aku bersuara. Berminat dia hendak mengetahui impianku, gadis yang kurang bernasib baik ini.
“Saya ada dua impian, tapi saya tak boleh beritahu awak sebab saya hanya boleh cakap pada seseorang,” jelasku bersyarat. Suzan mencebik tidak puas hati. Namun dia tidak memaksa.
“Mr. Right?” Aku mengangguk.
“Wow... you so romantic!” Suzan teruja. Aku senyum. Bilakah agaknya MR. Right itu akan muncul dalam hidupku. Siapakah gerangannya? Aku yakin akan tiba detik itu nanti. Aku dan Suzan beriringan meninggalkan bangunan ini.
“Betul awak tak nak balik?” tanya Suzan meminta kepastian. Aku mengangguk. Ada perancangan.
“Nak pergi ke mana? Biar saya hantar awak,” pelawanya.
“Takpe saya boleh jalan kaki...dekat saja,” balasku tidak mahu menyusahkannya.
“Awak ada janji temu dengan Mr. Right?” Aku tergelak besar mendengar pertanyaan Suzan. Sungguh jauh dia berimaginasi. Kutinggalkan Suzan di laman parkir. Sempat juga kami saling berbalas lambaian tangan. Santai aku menyusuri lorong pejalan kaki ini. Tidak mahu bergegas-gegas ke destinasi yang dituju. Tidak kuhiraukan manusia di sekeliling. Sesekali tanganku membetulkan kedudukan cap yang kupakai. Walaupun aku sudah mengikat kemas rambutku, namun masih terasa kehangatan bahang mentari. Langkahku terhenti di kedai buku ini. Kucapai majalah hiburan luar negara yang memaparkan aktor-aktor kacak Korea.
Kutatap wajah kacak Jang Geun Suk yang menjadi penghias depan majalah ini malah diselitkan sekali poster aktor kacak ini. Jang Geun Suk popular dengan lakonannya dalam drama ‘Mary Stayed Out All Night’. Aku sangat menggemari cerita-cerita arahan tulisan Won Son Yeon persis aku tidak pernah bosan menonton banyak kali drama ‘Full House’ yang juga merupakan ilham pengarah tersebut. Aku terus menyambung langkah dengan tujuan asalku. Seketika berdiri di depan papan pameran yang dipenuhi dengan gambar aktiviti kampus dan ragam kehidupan warga universiti. Kelihatan seronok.
“Maafkan Pak Long, Iman. Pak Long telah mengecewakan kamu,” Kutatap wajah Pak Long. Bebola matanya berkaca. Sungguh dia menyalahkan diri.
“Takpe Pak Long. Suatu hari nanti saya akan belajar di universiti. Saya akan hadiahkan pada Pak Long segulung ijazah atas susah payah Pak Long sekeluarga menjaga saya selama ini,” balasku lembut tidak mahu melukai perasaannya. Aku cuba menjadi tabah dan kuat.
“Semua ini salah Pak Long. Pak Long gagal menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepada Pak Long. Kalau nenek kamu masih hidup, pasti dia turut kecewa,” rintih Pak Long lagi. Dia tetap juga menyalahkan diri. Aku melepaskan keluhan berat. Kalau bukan faktor kewangan penghalang, pasti aku akan turut mengalami suasana kehidupan sedemikian. Suatu hari nanti aku akan tunaikan janjiku kepada Pak Long. Itu ikrarku.
%%%%%%%%%%%%%%%%
AKU memasukkan beberapa keping contoh borang maklumat yang perlu diisi untuk permohonan belajar di universiti yang kuambil di pameran siang tadi. Ketika kuselak helaian fail, tanganku terhenti. Kutatap surat tawaran belajar di USM setahun lalu masih rapi tersimpan di situ. Ada sedikit kekecewaan tersemat dalam diri! Aku masih ingat, di depan Pak Long aku cuba bertahan menjadi kuat. Reda dengan nasib yang kuterima. Namun pada malam itu tanpa diketahui oleh Pak Long sekeluarga air mataku menitis jua. Kecewa menolak peluang keemasan itu. Aku menangguhkan impianku.
“Iman... awak tak boleh patah semangat. Teruskan usaha. Chaiyok! Chaiyok!” Aku bercakap sendiri cuba memotivasikan diri. Kucapai majalah yang kubeli siang tadi. Setelah menyelak berulang-ulang kali, kucapai buku yang berlabel ‘My Treasure’. Di sinilah aku menyimpan gambar-gambar hero Korea yang kuminati. Koleksi kesayanganku ini memang cukup terjaga dan tiada sesiapa pernah menyentuhnya selain aku. Si Ayamor pun hanya berkesempatan melihat tanpa sentuhan. Tiba-tiba daun pintu diketuk. Muncul Si Ayamor di sebalik pintu laju melangkah masuk mendekatiku.
“Tak habis-habis dengan aktor-aktor kacak ini,” perli Si Ayamor melihat aku sedang menampal poster di sudut bilik ini.
“Sedikit masa lagi wajah-wajah bermata sepet ini jadi wallpaper bilik ini. Silap-silap hari bulan boleh jadi galeri pula,” tambahnya memperliku. Aku hanya menulikan telinga. Linda Si Ayamor memang tidak pernah letih memberikan komentar. Aku menoleh ke arahnya. Dia sudah terbaring di atas katil sambil memerhatikan gelagatku.
“Bosanlah takde kerja nak buat,” rungutnya.
“Jom kita pergi tengok wayang,” cadangku.
“Cerita menarik?” tanyanya.
“On Your Wedding Day...” ujarku menyebut filem yang sedang ditayangkan.
“Aik... kan minggu lepas awak dah tengok movie tu!” Besar anak mata Linda menatapku. Janggal.
“Saya nak tengok lagilah. Tak puas tengok lakonan ...,” balasku tersengih mendekatinya. Pupp! Laju tangannya menepuk kepalaku. Aku mengaduh kesakitan.
“Otak awak ini longgar sikit.” marahnya. Senyap seketika. Linda masih setia memerhatikan setiap pergerakanku.
“Orang kata kalau perempuan mengandung tengok gambar yang sama tiap-tiap hari, anak yang lahir akan seiras dengan orang yang dalam gambar tu,” cerita Linda.
“Saya tak perlu buat semua tu sebab suatu hari nanti saya akan kahwin juga dengan lelaki Korea. Jadi anakpun cute macam orang Korea,” balasku melawak mengusik Linda.
“Amin. Harap-harap termakbul,” balas Linda buat-buat muka serius. Kemudian kami sama-sama tertawa.
“Duduk di bumi Malaysia, tiba-tiba awak dapat laki orang Korea. Betul-betul rezeki awak, Iman,” Linda memperliku lagi.
“Awak ingat orang Korea takde kaki nak jalan-jalan. Mana tahu jumpa masa melancong, jumpa di pasar malam, atau pun di jalan raya ...,” balasku tersengih. Linda menjelingku tajam. Sakit hati Linda Si Ayamor mendengarnya.
“Saya seumur hidup, tak pernah jumpa anak kacukan Korean-Malaysian. Awak pernah jumpa?” tanya Linda serius.
“Tak pernah, tapi takpe saya akan cipta sejarah berharga untuk awak. Nanti saya kahwin dengan lelaki Korea, bakal anak-anak saya akan merealisasikan semua itu,” ujarku tersengih memandang Linda Si Ayamor. Linda mencebik. Begang mendengar kata-kataku.
“Jangan nak mimpilah cik adik hoi... Daripada saya layan angan-angan awak yang sia-sia itu, lebih baik saya buat tahi mata,” rungut Linda lantas bangun dari perbaringan lalu bergerak ke muka pintu. Aku tergelak besar.
“Tak jadi pergi tengok movie?” tanyaku mengusiknya.
“Kalau tayangan yang sama tak naklah. Buat bazir duit je,” sahutnya.
“Saya kalau movie Korea sepuluh kali tengok pun takpe,” balasku.
“Tak heranpun...,” balas Linda Si Ayamor disusuli dengan tawaku. Sengaja menyakatnya. Seronok melihat dia geram. Linda ialah sahabat baikku. Perkenalan kami sudah sekian lama. Seingatku, aku mengenali Linda ketika berada di tingkatan satu. Linda terlebih dahulu merantau ke sini sebaik sahaja tamat SPM sedangkan aku meneruskan pelajaran ke tingkatan 6.
Aku meninggalkan kampung selepas menolak tawaran melanjutkan pelajaran ke USM. Dengan pelawaan Linda dunia baharuku bermula di sini. Syukur juga kedatanganku ke sini mengubat kekecewaan itu. Paling penting membuatkan Mak Long mendiamkan diri seketika. Kasihan juga aku melihat Mak Long sentiasa bercakap panjang tanpa jeda. Bukan mudah hendak menjana idea panjang berjela-jela ini. Yang pasti Mak Long tidak pernah ketandusan idea. Mak Long... Mak Long... Aku tersenyum sendiri. Tiada siapa yang mampu menyaingi kepetahan Mak Long.
Assalamualaikum...morning
ReplyDeleteIMBAS KEMBALI. Awaklah Sonataku...karya saya yang...suatu masa... paling dinanti-nantikan oleh para pengunjung blog ini bersama novel Namaku Bukan Flora. Hari ini saya kembalikan novel ini untuk tatapan para pembaca. Selamat Membaca...