AKU menghulurkan bungkusan kek cawan yang telah dipesan oleh gadis yang masih lengkap berpakaian seragam sekolah. Kami saling bertukar senyuman.
“Terima kasih adik. Sila datang lagi,” tuturku mesra. Dia mengangguk dan masih dengan senyuman yang terukir di bibir. Melihat gadis ini mengingatkan alam persekolahanku dahulu. Tentu sangat berbeza kehidupanku dengannya. Setiap hari balik dari sekolah, usai solat zohor dan kadangkala tidak sempat makan tengah hari, aku akan bergegas ke warung Mak cik Zainab. Di sana aku bekerja membantunya menjual kuih-muih dengan gaji RM10.00 yang kukira agak lumayan ketika itu. Banyak kali aku bekerja tanpa makan tengah hari kerana mood Mak Long yang menentukan sama ada aku boleh makan sebelum ke warung Mak cik Zainab atau sekadar membawa perut kosongku.
Kekerapan tidak makan lebih banyak berbanding makan. Kemudian dengan belas ihsan Mak cik Zainab, aku akan makan kuih-muih percuma di situ sebagai alas perut yang sedang rancak berkeroncong saat itu. Duit upah RM10.00 itu akan aku belanjakan membeli barang dapur yang harganya serendah nilai gajiku itu. Selalunya gula, tepung dan ikan masin yang mampu aku beli. Bekerja di warung Mak cik Zainab menyebabkan aku tidak pernah menghadiri kelas tambahan. Mujur Lili yang bersusah payah menyalin nota untukku. Malamnya dengan sembunyi-sembunyi dia akan meminjamkan nota itu kepadaku. Kalau Mak Long tidur awal atau tidak berada di rumah tika itu, Lili akan berkongsi ilmu denganku. Bukan aku tidak mengendahkan kemarahan guru-guru kerana aku ponteng kelas tambahan, tetapi aku lebih takut dengan kemarahan Mak Long. Sekurang-kurangnya dengan gajiku itu akan menyenangkan sedikit hati Mak Long. Lama-kelamaan semua guru sudah tidak peduli dengan kehadiranku di kelas tambahan itu. Sememangnya mereka sudah letih menegur dan menasihatiku. Sedih mengenang kisah lalu. Kasihannya aku.
Jauh di sudut hati, aku mahu seperti teman-teman yang lain hidup riang dan bebas tanpa diselubungi perasaan takut dan khuatir. Aku mahu bermain dan belajar bersama-sama rakan sekolah. Aku ingin menikmati zaman kanak-kanakku agar aku mampu melakar keseronokan zaman itu sebagai kenangan dan memori terindah yang boleh kuingati sepanjang hayat. Malangnya aku tidak berkesempatan merasainya. Hidup bergantung dan mengharap belas kasihan daripada Pak Long dan Mak Long sudah menjadi suratan hidupku.
Namun aku tidak pernah berdendam dengan Mak Long. Macam mana sekalipun dia bertegas denganku, aku tetap berterima kasih kepadanya kerana masih sudi menumpangkan aku hidup dalam keluarganya. Aku tahu bukan sesuatu yang mudah tanpa kerelaan menjaga dan membesarkan anak yang bukan lahir dari rahim sendiri. Begitu menyeksakan memaksa diri menerima kehadiran orang yang tidak disukai. Betapa membebankan diri. Itulah situasi yang terpaksa Mak Long tempuhi. Aku tidak kisah dengan sikap Mak Long. Baik buruknya dia tetap Mak Longku. Orang yang menjaga dan membesarkan aku setelah aku kehilangan ibu dan nenek.
“Termenung panjang nampak?” Tersentak aku dengan sapaan Sham. Pemuda itu sedang tersenyum lebar menatapku. Dia sudah siap sedia menggantikan tempatku. Kutatap jam. Sudah mencecah jam pertukaran shif kerja. Aku berundur ke belakang memberi laluan kepada Sham memulakan tugas pada petang ini.
“Sebelum awak balik, sila ke office Encik Rizal dulu. Bos nak jumpa awak,”ujar Sham menyampaikan pesanan. Aku menatap wajah pemuda ini. Cuba mencari kebenaran daripada bicaranya. Risau kalau dia sekadar bergurau dan mempermainkan aku memandangkan sejak kenduri Arlen hari itu mereka asyik mengenakan aku dengan Encik Rizal. Teman-teman sudah berani mengusik kami secara terang-terangan.
“Betul?” tanyaku kurang yakin akan kesahihan bicaranya ini. Dia mengangguk lagi lantas mengangkat tangan tanda bersumpah. Sama sekali dia tidak akan berbohong. Risau kalau berbohong dimakan sumpah. Lima minit kemudian, aku sudah terpacak di depan pintu bilik Encik Rizal. Sempat juga aku memikirkan hajat Encik Rizal yang mahu berjumpa denganku. Mungkin dia ingin meneruskan perbincangan tentang konsep kafe cawangan baru RCC itu.
“Masuk...,” Kedengaran suara Encik Rizal mengarahkan masuk tatkala daun pintu kuketuk. Aku muncul di sebalik pintu. Nampak senyuman Encik Rizal sedang menyambut kedatanganku.
“Duduk Iman,” pintanya.
“Thanks,” Aku terus melabuhkan duduk menghadap Encik Rizal. Dia tersenyum. Pemuda ini memang tidak lokek dengan senyuman. Sentiasa tenang walau apa keadaan sekalipun. Aku yakin sikap ini yang memudahkannya menempa kejayaan dalam usia muda. Bukan seperti Yen yang sukar diramal sikapnya. Gemar ikut kata hati. Suka sangat memeningkan kepala orang lain. Ada masa dia akan bersikap kebudak-budakan.
“Dah habis shif kerja?” tanyanya mula bersuara. Aku mengangguk.
“Lepas nie awak ada nak pergi mana-mana?” tanyanya lagi.
“Takde. Ingat nak terus balik rumah,” balasku.
“Kita lunch. Saya belanja awak makan,” pelawanya. Aku diam seketika. Cuba mempertimbangkan pelawaan ini. Sebenarnya aku segan juga kalau banyak kali dapat makan percuma daripada Encik Rizal. Bukan sikapku yang suka meminta-minta dan mengambil kesempatan atas kebaikan orang lain. Paling menakutkan aku gosip liar teman-teman.
“Awak tak sudi temankan saya makan?” tanya Encik Rizal apabila aku belum memberikan jawapan atas ajakannya tadi. Laju aku menggeleng.
“Sebenarnya saya segan kalau Encik Rizal banyak kali belanja saya makan,” luahku tanpa berselindung. Dia tersenyum lagi. Ditatapnya gadis itu. Betapa hatinya sudah terpaut pada gadis ini. Sikap Iman begitu menyenangkan. Terhibur hati lelakinya tatkala gadis ini berada di sampingnya.
“Kalau macam tu awak belanjalah saya minum sekarang,” pintanya. Laju aku mengangguk. Setuju. Aku tersenyum. Cadangannya itu memang tepat. Sekurang-kurangnya tidak perlu aku terus-terusan menggunakan wangnya untuk mengisi makanan di dalam kantung perutku.
“Encik Rizal tak kisah kalau saya ajak minum di tempat biasa-biasa saja?” tanyaku. Hendak belanja lelaki ini di tempat mewah-mewah tidak mampu aku membayarnya nanti. Lebih baik berterus-terang sahaja. Dia tergelak.
“Apa kata kalau awak bawa saya pergi ke warung tempoh hari. ABC di sana sedap,” cadang Encik Rizal. Aku senyum.
“Boleh. Nanti saya belanja Encik Rizal makan laksa Sarawak,” janjiku.
“Thanks. Let’s go,” ajaknya penuh bersemangat. Bingkas Encik Rizal bangun lalu melangkah ke muka pintu. Aku tersenyum mengekori langkahnya. Tiba di Warung Setia Menanti, aku terus memesan menu yang sudah dirancang tadi. Tatkala aku bertanya kepada Encik Rizal jika dia ingin memilih menu sendiri, dia hanya geleng kepala. Dia hendak makan menu pilihanku. Perkara yang memudahkanku. Dia bukan seorang yang cerewat. Serupa seperti Yen yang tidak pernah menolak apa sahaja yang dihidang di depannya.
“Interesting nama warung ni, Setia Menanti,” tutur Encik Rizal sambil menatap papan tanda warung ini. Aku mengangguk.
“Setia menanti kunjungan pelanggan-pelanggan ke sini walau dalam keadaan apa sekalipun,” tuturku tersenyum. Itulah yang pernah dinyatakan oleh Abang Wahab, pemilik warung ini. Encik Rizal tersenyum mendengar penjelasanku. Sememangnya dia mengetahui warung ini merupakan lokasi kegemaranku dan Linda hendak menjamu selera. Jadi kenyataanku itu tidak menjadi persoalannya memandangkan aku dengan pemilik warung ini sudah saling mengenali.
ABC dan laksa Sarawak yang kupesan sudah sampai. Aku menjemput Encik Rizal menikmati. Tanpa berlengah, kami terus menjamu selera. Sempat juga aku memerhatikan gelagat Encik Rizal. Memang dia tekun menikmatinya. Barangkali mengena dengan seleranya. Kedengaran deringan iPhone Encik Rizal. Laju tangannya mengeluarkan iPhone itu dari poket. Panggilan itu diterima. Dia berbual-bual dengan si pemanggil. Butir bicara mereka jelas berkisar tentang bisnes. Orang bisnes sibuk memanjang walaupun berada di mana-mana sahaja. Encik Rizal tersenyum kepadaku. Diletakkan iPhone itu di atas meja lalu menyambung kembali suapan yang tergendala sebentar tadi. Lontaran pandanganku jatuh pada skrin iPhone Encik Rizal yang masih menyala. Cukup jelas gambar yang menghiasi skrin itu. Encik Rizal menatapku lalu turut sama menyoroti pandangan mataku. Aku dan Encik Rizal saling berpandangan. iPhone itu dicapai lalu dihulurkan kepadaku. Memberi kesempatan aku melihat lebih jelas lagi.
“Awak nak tengok gambar? Saya paling suka gambar ini,” ujarnya berterus-terang dengan tenang. Aku menatap lama gambar yang menjadi wallpaper pada skrin iPhone Encik Rizal. Suaraku masih tersimpan di kerongkong. Aku tergamam. Sungguh di luar jangkaanku Encik Rizal akan menjadikan gambar yang diambil ketika hari persandingan Arlen sebagai wallpaper iPhonenya. Saat itu aku dan Encik Rizal terpaksa menjadi pengapit pengantin atas desakan teman-teman. Aku keliru. Apa sebenarnya maksud Encik Rizal di sebalik tindakannya ini?
“Awak cantik sangat pada hari itu. Baru sekarang saya ada kesempatan nak cakap pada awak,” tuturnya tenang. Aku terkedu mendengar pujian ini. Terasa lain sahaja nada pujian Encik Rizal ini. Aku dan Encik Rizal saling berpandangan.
“Awak pasti dah mengetahui perasaan saya terhadap awak selama ini. Dah sampai masa saya nak berterus-terang pada awak. Saya nak lebih mengenali awak bukan setakat sebagai bos dengan pekerja atau sebagai sahabat. Bolehkah awak menerima saya, Iman?” tanya Encik Rizal dengan tenang. Aku terkedu. Buntu. Tidak tahu apa yang harus aku katakan kepadanya saat ini.
“Encik Rizal, saya... saya...,” bicaraku tersekat-sekat.
“Tak payah awak berikan jawapan sekarang. Seperti warung ini, saya juga akan setia menanti awak,” ujarnya menambahkan kekalutan hatiku. Tiba-tiba sahaja aku kekok berada di sebelah Encik Rizal. Sepanjang perjalanan balik, aku hanya mendiamkan diri. Begitu juga dengan Encik Rizal. Masing-masing lebih suka melayan perasaan sendiri. Ketika aku sampai di halaman banglo ini, aku nampak kereta Yen sudah ada di parkir. Kulirik jam tangan. Masih belum sampai waktu hendak menyediakan hidangan makan malam.
“Terima kasih Encik Rizal kerana sudi hantar saya balik. Pandu kereta hati-hati ye,” ujarku berpesan. Encik Rizal tersenyum dan mengangguk.
“Minta maaf kalau saya telah mengejutkan awak tadi. Saya benar-benar ikhlas dengan awak,” tutur Encik Rizal buat aku terdiam panjang. Kereta BMW hitam metalik milik Encik Rizal sudah beredar meninggalkan halaman banglo ini. Aku masih terpacak di sini memikirkan bicara Encik Rizal tadi. Sungguh aku keliru sekarang.
“Buat apa awak terpacak macam tiang elektrik di situ? Awak tak nak masuk?” Dua pertanyaan dilontarkan kepadaku. Laju aku berpaling. Yen sedang berdiri di ambang pintu sambil menatapku. Aku tersenyum lalu melangkah ke arahnya.
“Bos awak yang hantar awak balik?” tanyanya sambil membuka laluan untukku melangkah masuk. Aku melewatinya sambil mengangguk. Langkahku bergerak mendekati anak tangga ke tingkat atas. Niat hati mahu berbaring di bilik seketika. Paling tepat mahu menenangkan diri kerana aku bingung sekarang.
“Iman ssi, are you okay?” Aku berpaling. Yen sedang terpacak di sana sambil menatapku.
“Aaa...,” hanya itu yang mampu keluar dari mulutku. Aku mematungkan diri di atas anak tangga ini tanpa sepatah kata. Begitu juga dengan Yen. Akhirnya aku dan Yen hanya saling berpandangan.
AKU menghirup perlahan-lahan sup daging di dalam mangkuk. Kemudian menyuap nasi di dalam pinggan. Kailan goreng bersama udang kering tumbuk langsung tidak kusentuh. Hari ini tiada selera hendak makan sayur. Senyap. Aku tidak mengendahkan lirikan mata Yen ke arahku. Bukan sekali tetapi banyak kali. Kedengaran keluhannya. Nampak dia terganggu dengan kesenyapanku ini. Tidak biasa melihat aku mengunci mulut.
“Iman ssi, awak tak sihat hari ini?” suara Yen memecah kesepian. Aku berhenti mengunyah. Baru sedar cara dia memanggil namaku itu begitu menarik. ‘Iman ssi’. Kalau ikut kefahamanku maksudnya ‘Cik Iman’. Kutatap wajah pemuda Korea di depanku ini. Laju aku geleng kepala.
“Awak ada masalah?” tanyanya lagi. Aku geleng kepala lagi.
“Kenapa awak nampak pelik hari ini?” keluar lagi pertanyaan dari mulutnya. Pelik? Aku meramas-ramas wajahku. Dagu, mulut, hidung dan mataku terletak pada tempat asalnya. Tiada yang berubah. Masih sama seperti biasa. Kuteliti diriku. Juga masih sama seperti semalam.
“Maksud saya sikap awak yang pelik. Awak tiba-tiba saja macam orang yang tak larat nak cakap. Awak dah jadi bisu ke?” tanyanya menyentakkanku.
“Mwo (apa)!” Aku melenting tatkala mendengar bicara mulut celuparnya itu. Yen tersenyum membalas jelingan tajamku.
“Awak keluar dengan bos awak tadi?” tanyanya.
“Keluar makan,” ceritaku pendek.
“Dia belanja awak makan?” pertanyaan diajukan kepadaku lagi.
“Tak. Saya yang belanja dia minum,” balasku. Yen menatapku. Pandangannya penuh tersirat. Mungkin dia ada idea baharu hendak mengutukku.
“Awak tak pernah pun belanja saya makan,” tuturnya di luar jangkaanku. Aku tidak jadi menghirup kuah sup yang sudah berada di sudu. Kembali kuletakkan ke dalam mangkuk. Kutatap Yen.
“Macam mana saya nak belanja awak makan sedangkan kita tak pernah keluar bersama. Lagipun saya takut terserempak dengan Velviana, nanti tak pasal-pasal dia serang saya,” luahku memberi alasan yang logik.
“Saya tak suka buat orang salah faham dan curiga,” tambahku.
“Maksud awak?” tanyanya meminta penjelasan lanjut.
“Ketika kita keluar bersama, ditakdirkan kita bertembung dengan kekasih awak, pasti dia akan salah faham dan curiga kepada awak,” jelasku.
“Awak isteri saya. Tak salahpun saya keluar dengan awak,” tingkahnya santai dan cukup bersahaja. Mudah sahaja cara dia berfikir. Langsung tiada pertimbangan yang mendalam. Dia ingat kalau dia berbicara begitu, tidak mengamuk Velviana. Aku tidak bersedia menjadi mangsa serangannya. Perempuan ini kalau cemburu boleh lakukan apa sahaja. Kadangkala boleh melampaui kewarasan diri. Eee... ngeri aku!
“Awak akan cakap macam itu pada buah hati awak?” tanyaku mengujinya. Yen mengangguk. Sungguh yakin. Sahlah dia ini sang buaya yang kebal.
“Awak nampak begitu yakin yang Velviana takkan tinggalkan awak,”
“Apa yang nak dirisaukan, lelaki boleh kahwin empat. Rasanya dia sedia jadi madu awak,” balasnya bersahaja disusuli dengan gelak. Cish, berangan betul pemuda ini! Dia ingat aku akan jadi mangsa kebuasannya itu. Kalau betul dia ada hajat sedemikian baik padamkan sahaja. Jika Yen berhajat hendak nikah dengan Velviana aku akan kembali pada kehidupan asalku. Kehidupan yang tidak mengenali pemuda ini. Mungkin saat itu aku akan menjadi teman wanita Encik Rizal. Berangan pula. Aku tersenyum sendiri.
“Apa hal awak senyum-senyum sendiri ni?” Sedikit tersentak aku dengan tegurannya itu. Bulat anak mata Yen menatapku.
“Awak nampak awak jadi pengapit pada hari persandingan saya dengan Velviana?” tanyanya tersengih.
“Jangan haraplah. Cukup sekali dalam hidup ini saya jadi pengapit pengantin,” balasku. Serta-merta terbayang pada hari aku menjadi pengapit dengan Encik Rizal di majlis persandingan Arlen. Sungguh merimaskan diperhatikan oleh tetamu-tetamu yang bertandang. Lawak pun ada. Apa tidaknya berdiri macam tunggul kayu tidak tahu hendak berbuat apa. Sungguh aku bukan jenis manusia yang suka sangat jadi tontonan orang lain.
“Apa! Awak pernah jadi pengapit pengantin? Bila? Siapa yang kahwin?” bertubi-tubi pertanyaannya dilontar kepadaku.
“Saya dan Encik Rizal yang jadi pengapit Arlen,” jelasku.
“Betul?” tinggi sahaja nada suara Yen. Aku hanya mengangguk.
“Mana boleh awak jadi pengapit pengantin,” bantahnya.
“Kenapa pula?” tanyaku bingung.
“Awakkan isteri orang. Pengapit pengantin mesti orang bujang,” jelas Yen serius. Aku mendengus bosan. Dia sudah mula memeningkan kepalaku. Pemuda semoden dia ini sukar hendak percaya kalau ada pantang larang yang harus dipatuhinya.
“Lain kali lebih baik awak berhati-hati dengan tindakan awak,” tegas suara Yen berpesan lalu bangun meninggalkan aku yang kian kebingungan.
AKU memasukkan beg ke dalam loker besi ini. Seulas senyuman Kim Hyeon-Jung sempat singgah di pandanganku sebelum pintu loker kututup. Dia salah seorang aktor Korea yang kuminati. Aku terus melangkah bersedia hendak memulakan tugas pagi ini.
“Iman, tunggu kejap!” Aku berpaling. Pengantin baru yang melaung namaku. Senyuman ceria Arlen lebih awal dilemparkan kepadaku. Wajahnya berseri-seri. Maklumlah pengantin baharu. Arlen berlari-lari anak mendapatkanku.
“Dah habis cuti?” Dia mengangguk.
“Honeymoon di mana?” tanyaku mengusiknya.
“Di Kuchinglah. Kebetulan balik sana jumpa family suami, teruslah honeymoon di sana,” balasnya ceria. Aku mengangguk. Yalah susah-susah sahaja hendak pergi jauh sedangkan di Malaysia sendiri banyak tempat menarik. Sarawak Bumi Kenyalang merupakan negeri terbesar di Malaysia yang terkenal sebagai rumah kepada beribu-ribu Burung Kenyalang. Sarawak bukan sahaja negeri yang terbesar di Malaysia malah merupakan negeri yang terbahagi kepada paling banyak kawasan dan mengandungi sungai terpanjang di Malaysia serta rama-rama yang terbesar di dunia. Gua yang terluas di dunia, hutan hujan tropika yang tertua malah orang yang pertama muncul di Asia Tenggara ialah di Sarawak. Terbukti Sarawak yang unik.
Bagi seorang kaki skuba dan snorkeling bolehlah mengunjungi Pulau Tioman, yang tersenarai dalam 10 pulau tercantik di dunia. Memang cantik pun. Aku pernah snorkeling di pulau tersebut dengan Roslinda Si Ayamor. Dasar lautn bersih dan kaya dengan hidupan laut. Kalau tidak pun boleh pergi juga ke Pulau Sipadan dan Pulau Redang. Pulau Sipadan yang terletak berhampiran bandar Samporna, Sabah ini adalah antara pulau terindah di dunia dan popular dengan aktiviti selaman skuba. Mengikut keputusan undian umum yang dikeluarkan oleh New 7 Wonders of Nature votes commitee, Pulau Sipadan telah tersenarai antara 77 bentuk muka bumi yang ajaib dan terbaik dunia pada tahun 2009. Pulau ini begitu terkenal dalam kalangan pencinta aktiviti skuba kerana struktur dasar pulau ini menyerupai bentuk cendawan. Bagi yang ingin menyaksikan penyu bertelur bolehlah bercuti di Pulau Perhentian yang terletak di Terengganu. Pulau ini sering menjadi tumpuan penyu hijau dan Hawksbill untuk bertelur.
Bagi yang inginkan suhu sederhana sejuk boleh bertandang ke Tanah Tinggi Genting iaitu 2000m di atas paras laut 3°24′6.51″U, 101°46′2.62″T merupakan puncak gunung yang terletak di Banjaran Titiwangsa, Semenanjung Malaysia dan merupakan tempat peranginan yang terkenal di Malaysia. Merentasi sempadan negeri Pahang dan Selangor, perjalanan ke Genting Highlands mengambil masa kira-kira sejam dengan kereta dari Kuala Lumpur ataupun melalui kereta kabel bergerak yang pantas. Pusat Peranginan Tanah Tinggi Genting ini juga menempatkan hutan berusia 100 juta tahun.
Terasa persis pemandu pelancong pula aku ini. Boleh tahan juga pengetahuanku. Aku tersenyum bangga sendiri. Inilah kelebihannya kalau banyak membaca, maka ilmu pengetahuanpun akan bertambah luas. Aku gemar menerokai destinasi-destinasi pelancongan sama ada di Malaysia mahupun di luar negara. Kalau aku berkemampuan pasti aku akan menggelilingi dunia ini. Alangkah seronok kalau aku berkesempatan melakukan semua itu. Apatah lagi menggelilingi dunia bersama orang yang tercinta. Pasti lebih bermakna.
“Mari ikut saya ke office,” ajak Arlen. Aku menatap Arlen. Hairan dengan ajakannya itu sedangkan sedikit masa lagi tugasku akan bermula.
“Nak buat apa?” tanyaku keliru.
“Nanti saya beritahu awak. Mari...,” Arlen menarik tanganku memasuki biliknya. Memandangkan Arlen ialah pembantu Encik Rizal, maka tiada kerisauan hendak memenuhi permintaannya itu. Aku menurut sahaja tatkala Arlen mengarahkan aku duduk di kerusi di depannya ini. Sebuah fail diletak di depanku. Aku membuka fail tersebut tanpa menunggu arahan seterusnya daripada Arlen. Aku yakin memang fail itu mahu tunjukkan kepadaku. Aku menatap ada beberapa jenis borong laporan harian berserta contoh ada di situ. Kuselak lagi. Semua helaian berkaitan dengan bidang tugas Arlen. Aku mengalih pandangan kepada Arlen, meminta penjelasan perkara sebenar yang dikehendaki gadis ini.
“Sebulan dari sekarang awak akan pratikal bersama saya,” ujarnya.
“Apa?” Bingung aku mendengar bicaranya itu.
“Saya perlukan pertolongan awak, Iman. Saya berharap sangat kita boleh bekerjasama dengan baik,” tutur Arlen menambah kekeliruanku.
“Awak cakap apa ni, Arlen?” tanyaku geram. Selama ini aku rasa aku sudah memberikan kerjasama yang baik kepadanya. Langsung aku tidak pernah membantah segala arahannya kerana Arlen sentiasa berada atas landasan yang betul. Sama sekali aku tidak pernah mengadu tentang dirinya kepada Encik Rizal. Arlen telah menjalankan tugas dengan baik. Tiba-tiba Arlen tertawa. Aku semakin hairan menyaksikan perangainya. Pelik ... pelik. Agaknya inilah gejala penyakit selepas kahwin. Merunsingkan otakku mahu berfikir. Aku tertanya-tanya dengan gelagat ini.
“Muka awak nampak tegang,” komennya.
“Macam mana tak tegang, kalau awak asyik meracau-racau macam ni. Pening kepala ini tau,” keluhku. Arlen ketawa lagi. Laju tangannya menepuk-nepuk lembut belakangku cuba menenangkan aku.
“Saya nak letak jawatan sebulan dari sekarang. Saya nak ikut suami saya pindah ke Kuching. Dia dapat pindah mengajar di sana,” cerita Arlen. Aku mendengar bicara Arlen dengan teliti. Sememangnya aku mengetahui suaminya ialah orang Kuching dan seorang guru, tetapi tidak sangka pula secepat ini mereka akan berhijrah ke situ memandangkan mereka baru sahaja menjadi suami isteri. Inilah namanya rezeki selepas kahwin. Pasti seronok dapat balik dan berkhidmat di kampung halaman sendiri.
“Awak yang akan menggantikan tempat saya,” ujar Arlen betul-betul mengejutkanku.
“Biar betul,” balasku tidak yakin. Kutatap Arlen. Dia mengangguk.
“Ini kenaikan pangkat untuk awak. Awak terimalah ye. Plaese...,” rayunya. Aku diam. Masih membuat pertimbangan sewajarnya. Tidakkah ini suatu yang mengejutkanku?
“Jangan lupa bawa fail tu. Malam ini boleh jadi homework awak. Jangan lupa, esok dah mula pratikal awak,” arah Arlen sambil mengingatkan aku.
“Saya kena bincang dengan seseorang sebelum terima tawaran ini,” ujarku.
“Encik Rizal di Perancis sekarang. Minggu depan baru dia balik. Dia yang amanahkan saya maklumkan perkara ini kepada awak,” tingkah Arlen. Barangkali dia menyangka seseorang yang kumaksudkan itu ialah Encik Rizal. Aku diam lagi.
“Awak terimalah lantikan ini. Awak memang layak mengisi jawatan itu. Tak payah fikirkan lagi.” putus Arlen cuba memancing kesudianku.
No comments:
Post a Comment