Kemunculanku di tempat kerja hari ini disambut senyuman mesra Encik Rizal. Tidak sangka pula akan bertembung dengan dia awal pagi begini. Betulkah masih awal lagi? Atau akukah yang terlewat? Aku begitu lama menanti kemunculan Yen tadi dan terpaksa pula melayan kerenah Yen yang tiba-tiba sahaja meragam dan diserang angin kus-kus pada awal pagi ini. Kalau perempuan tidak juga aku hairan sekali sebulan memang ada masanya naik angin.
“Awak dah sihat Iman?” sapa Encik Rizal mendahuluiku.
“Alhamdulillah Encik Rizal cuma selsema je lagi,” balasku.
“Kenapa tak rehat saja kat rumah? Kalau dah betul-betul sihat baru datang kerja,” ujarnya lagi.
“Selsema saya taklah seteruk semalam, Encik Rizal. Saya mampu melaksanakan tugas saya hari ni,” balasku cuba meyakinkannya. Encik Rizal tersenyum. Pasti hatinya mengatakan betapa degilnya aku. Aku dan Encik Rizal beriringan melangkah ke premis Rozana Cupcake Conner. Kedatangan kami disambut dengan senyuman dan usikan nakal teman-teman.
“Encik Rizal jemput awak dari rumah tadi ke?” bisik Arlen mengusikku.
“Hey..... takdelah,” balasku kurang senang. Arlen tersenyum lebar. Barangkali dia tidak percaya dengan kenyataanku. Teman-teman yang lain masih mengukir senyuman sarat dengan usikan. Ada yang berani terang-terangan melirik nakal ke arah Encik Rizal lalu menunjukkan ibu jari kepadaku. Satu syarat yang cukup aku fahami. Sham siap menyatukan kedua-dua jari telunjuk di depanku. Aku diam dan berpura-pura tidak nampak sedangkan wajahku terasa panas membahang.
“Iman...!” Aku berpaling. Suzan sedang melambaikan tangan ke arahku. Laju kakiku melangkah meninggalkan teman-teman, begitu juga dengan Encik Rizal yang sedang berbincang dengan Arlen.
“Iman...!” suara Encik Rizal memanggilku. Kakiku yang baru sahaja mengorak langkah terus terhenti. Lambat-lambat aku berpaling. Berpasang-pasang mata sedang melontar pandangan ke arah Encik Rizal dan aku. Masing-masing menanti bicara yang bakal keluar dari mulut pemuda itu.
“Pergi pejabat saya,” arahnya.
“Sekarang?” soalku terkebil-kebil. Encik Rizal mengangguk. Aku terdiam. Hairan awal pagi begini sudah mengadap Encik Rizal sedangkan tinggal 10 minit sahaja lagi untuk aku bersiap-siap membuka kaunter. Tepukan tangan teman-teman menyentakkanku. Aku nampak Encik Rizal sudah melangkah bersama senyumannya.
“Macam budak-budak,” keluhku mengutuk teman-teman. Aku sampaikan juga hajatku mendekati Suzan yang masih tersenyum.
“Awak dah sihat?” Aku mengangguk.
“Bersungguh-sungguh awak cousin cari awak,” ceritanya.
“Cousin?” soalku hairan.
“Anak mak cik awak,” Suzan memperincikan kata-katanya.
“Oohh...,” Wajah Yen terbayang di mataku.
“Linda cakap dia tengah cari awak sebab awak belum balik-balik lagi Saya try call tapi awak tak angkat. Saya betul-betul risau kat awak tau,” cerita Suzan bersungguh-sungguh.
“Thanks. iPhone saya tertinggal kat bilik,” jelasku. Suzan geleng kepala. Bukan sesuatu yang ganjil dia mendengar kenyataanku itu. Dalam sebulan dua pasti ada sekali iPhone aku akan tertinggal di rumah.
“Bukankah Encik Rizal suruh Awak jumpa dia sekarang? Mesti dia dah lama tunggu awak, Iman” ujar Suzan mengingatkan aku. Aku hanya senyum. Kalau ikutkan hati berat sahaja aku hendak melangkah ke pejabatnya. Tidak tahan aku dengan gosip liar teman-teman yang sudah salah faham. Namun memikirkan arahan daripada seorang ketua aku langkahkan juga kakiku ke pejabat Encik Rizal.
“Ikut saya,” arah Encik Rizal tatkala aku sudah berada di depannya. Persoalan yang bermain di benakku kupendam. Aku mengekori langkah Encik Rizal. Kak Sarimah dan Fiona yang sedang sibuk melangsaikan kerja-kerja di bahagian pengurusan sempat tersenyum kepadaku. Langkah Encik Rizal terarah ke bilik rehat di anjung pejabat ini. Daun pintu ditolak. Encik Rizal sudah melangkah masuk. Langkahku mati di ambang pintu. Encik Rizal berpaling.
“Masuklah. Awak takut kat saya ke?” soal Encik Rizal. Aku tersengih-sengih sambil garu-garu kepala.
“Tak payah tutup daun pintu tu kalau awak takut kat saya,” ujar Encik Rizal lagi. Aku tersenyum. Kubiarkan pintu bilik terkuak begitu sahaja. Aku tidak takut kepada Encik Rizal, cuma aku harus berhati-hati. Lelaki dan perempuan yang berdua-duaan pasti ditemani oleh ‘orang ketiga’. Paling menakutkan wujud fitnah dan prasangka orang lain.
“Duduklah,” arahnya sambil menunding pada sofa merah menawan ini. Aku menurut sahaja arahan Encik Rizal. Lima minit berlalu aku hanya duduk terpaku sambil memikirkan tujuan aku berada di sini sementara anak mataku terus mengekori setiap gerak geri ligat Encik Rizal.
“Awak dah telan ubat selsema?” soal Encik Rizal mengejutkanku.
“Pagi ni belum, Encik Rizal. Risau saya mengantuk tak boleh buat kerja,” luahku berterus terang. Encik Rizal geleng kepala sambil tersenyum sendiri. Dia hilang di sebalik bilik pantri. Seminit kemudian muncul bersama segelas air kosong. Air kosong diletak di meja di depanku, lalu Encik Rizal melabuhkan duduk tepat-tepat di depanku. Benda di tangannya dihulurkan kepadaku.
“Telan sekarang pil selsema ni,” arahnya seakan dia sedang melayan seorang anak kecil. Aku terpaku menatapnya.
“Kalau saya telan pil ni, saya akan mengantuk, Encik Rizal. Macam mana saya nak buat kerja nanti,” ujarku kebinggungan.
“Takpe. Kalau mengantuk awak boleh tidur,” balasnya bersahaja.
“Apa!” terkejut aku mendengar bicara yang keluar dari mulutnya.
“Saya kata awak boleh tidur kat bilik ni,” ujarnya mengulangi bicara tadi.
“Tak naklah, Encik Rizal,” bantahku.
“Awak mesti telan pil tu supaya awak benar-benar sembuh. Kalau awak masih sakit macam mana awak nak kerja. Lagipun saya tak nak awak sebarkan virus selsema awak tu pada kawan-kawan awak kat luar tu,” jelasnya tersenyum. Aku terdiam. Logik juga bicara Encik Rizal. Virus selsema begitu mudah disebarkan melalui udara. Mudah merebak kepada orang sekeliling. Bukan setakat kepada teman-teman sekerja malah akan merebak kepada para pelanggan. Secara tidak langsung aku boleh menyebabkan pelanggan-pelanggan khuatir khasnya ibu bapa yang membawa anak-anak mereka mahu mampir ke premis ini. Bagi yang benar-benar mementingkan kesihatan diri sudah pasti akan menjauhi diri. Aku tetap ingat pencegahan selsema jauhi diri daripada orang yang menghidap demam selsema terutama apabila mereka batuk atau bersin dan jauhi tempat yang sesak dengan orang ramai. Ahh... aku tidak mahu disalahkan kalau mereka terkena jangkitan virus selsemaku ini! Akhirnya aku ambil keputusan untuk mematuhi sahaja arahan Encik Rizal untuk kesekian kali.
“Petua untuk melawan demam selsema nie berehat di katil. Awak memerlukan tidur selama 12 jam atau lebih setiap malam ketika melawan penyakit ini. Duduk dalam persekitaran yang lembab dan panas tetapi bukan di dalam bilik yang terlampau panas bagi melancarkan rembesan saluran pernafasan. Maka dapat membantu penyingkiran dan pembersihan lendir dan kahak oleh silia. Suhu bilik begini memang sesuai,” jelas Encik Rizal sarat dengan ilmu pengetahuan.
“Silia?” Aku memberikan respons pada bicara Encik Rizal.
“Awak tahu maksud silia?” soalnya. Laju aku geleng kepala.
“Silia merupakan rerambut dalam rongga pernafasan yang menolak bahan buangan. Awak juga perlu mengehadkan aktiviti, terutama semasa penyakit ini sedang teruk bagi mengurangkan penyebaran virus kepada orang lain. Maka sebab itulah saya nak awak berehat di bilik ni,” jelas Encik Rizal panjang lebar.
“Encik Rizal dekat dengan saya tak takut ke terkena jangkitan?” dugaku.
“Kalau saya sakit disebabkan awak, saya tak kisah pun,” balasnya bersahaja membuatkan lidahku kelu untuk terus berbicara. Encik Rizal tersenyum. Dia bangun lalu melangkah ke bilik pantri semula. Dia muncul kembali bersama sebotol besar air mineral lalu dihulurkan kepadaku. Aku menyambut dengan kemusykilan.
“Awak mesti minum banyak air iaitu lebih lapan gelas sehari untuk mengelakkan dehidrasi. Lendir akan mengalir dengan bebas dalam badan yang cukup cecair yang akan memulihkan kesihatan awak serta mengelakkan jangkitan. Virus sukar menjangkiti tisu yang sihat dan lembab berbanding tisu yang kering. Selain itu, berkumur-kumur dengan air garam yang suam untuk meredakan kegatalan dan sakit tekak. Awak ada bawa ubat ke?” soal Encik Rizal sebaik sahaja habis memberikan infomasi penting berkaitan demam selsema. Aku geleng kepala dan tersenyum.
“Kalau macam ni lebih baik saya balik saja Encik Rizal, berehat di rumah,” cadangku.
“Awakkan kerja sekarang, mana boleh berada di rumah,” bantah Encik Rizal. Aku menatap wajah Encik Rizal. Keliru.
“Saya anggap awak datang bekerja hari ni tapi awak duduk diam-diam kat sini. Kalau mengantuk awak baring di sofa ni. Ada kusyen kat situ nak buat bantal. Tak payah risau tempat ni okey je kalau nak tidur. Saya biasa tidur kat sini,” jelasnya. Aku kematian akal mendengar bicara Encik Rizal.
“Saya nak buat kerja saya sekarang. Nah, simpan kunci bilik ni! Selagi awak tak buka pintu bilik ni selagi tu saya tak boleh masuk ke bilik ni. Ini bilik personal takde sesiapa pernah masuk ke sini selain saya dan awak. Awaklah orang pertama yang saya benarkan berada di bilik ini. Jadi keselamatan awak terjamin di sini,” jelas Encik Rizal membuatkan aku terdiam panjang. Aku tetamu pertama yang bertandang di bilik ini? Haruskah aku teruja dengan kenyataan yang keluar dari mulut Encik Rizal?
“Selamat berehat. Tidurlah sepuas-puasnya,” Encik Rizal sudah berada di ambang pintu. Ditekan tembol pintu lalu menutup daun pintu. Sekarang bilik ini sudah berkunci. Aku menatap tiga bilah kunci yang sudah berada di tanganku. Kesemua kunci bilik ini telah diserahkan kepadaku. Ternyata Encik Rizal tidak mahu aku mencurigainya. Aku menyandarkan tubuh ke sofa bersama keluhan. Patutkah aku berada di sini sedangkan di luar sana teman-teman sekerja sedang bertungkus lumus melaksanakan tugas masing-masing. Tidak adil aku mendapat layanan sebaik ini daripada Encik Rizal. Namun bila memikirkan bicara Encik Rizal tadi, kewujudanku di bilik ini tidak boleh dipertikaikan. Aku sedang dikurentin di bilik ini bukan sengaja hendak bersenang-lenang. Walau macam mana sekalipun aku tetap rasa bersalah dengan situasi sekarang. Huhhhh...!!!!
“Kak Sar, Fiona, saya tak nak sesiapa pergi ke ke bahagian belakang sana. Iman tak sihat. Saya nak dia berehat tanpa sebarang gangguan,” ujarnya mengeluarkan satu arahan.
“Baiklah Encik Rizal,” balas kedua-dua orang perempuan itu hampir serentak sambil tersenyum penuh makna. Mereka cukup faham. Permintaan pemuda itu bukan sesuatu yang terlalu asing memandangkan mereka juga turut menerima tempias cerita menarik antara Encik Rizal dengan gadis itu. Cerita yang begitu menyenangkan semua orang di Rozana Cupcake Conner.
Aku menggeliat beberapa kali. Kulirik jam ditangan. Hampir tujuh jam aku terlena. Dahsyat sungguh panahan pil selsema yang Encik Rizal berikan tadi. Betul-betul merehatkan aku. Segera ke bilik pantri mencari pili paip untuk membasuh muka sebelum keluar menemui Encik Rizal dan teman-teman lain. Biar nampak lebih segar. Tidaklah ketara sangat aku baru bangun tidur. Tatkala aku melintas di depan meja Kak Sarimah, dia tersenyum kepadaku. Fiona tidak kelihatan.
“Boleh tidur lena tadi?” sapa Kak Sarimah ramah. Aku mengangguk. Memang aku tidur lena sangat. Tidak pernah aku tidur lama begini. Sebab itu juga aku rasa segar dan rasa lebih baik dari sebelum ini.
“Encik Rizal ada kat pejabat dia Kak Sar?” soalku meminta kepastian. Aku ingin menyampaikan ucapan berbanyak terima kasihku kepada Encik Rizal atas kemuliaan hatinya sebelum aku balik. Kak Sarimah mengangguk sambil tersenyum.
“Masuklah Iman, pasti dia sedang menanti kedatangan kamu,” ujar Kak Sarimah berbaur usikan. Aku tersenyum sekilas.
“Dia tengah kelaparan tu. Dari pagi tadi dia belum keluar makan lagi. Sehingga jam 4.00 petang ni, dah lebih sepuluh kali dia minta akak buat air kopi untuk dia. Kasihan dia Iman. Mungkin dia nak tunggu kamu bangun baru nak pergi makan,” cerita Kak Sar membuatkan aku terdiam panjang. Lebih sepuluh kali Encik Rizal minum air kopi hari ini! Dahsyat juga! Pasti kembung perut kalau asyik minum. Barangkali Encik Rizal lapar sangat sekarang. Tujuh jam berlalu bukan tempoh yang pendek. Kalau dia ada gastrik pasti sudah memudaratkan dirinya. Aku diterpa rasa bersalah. Bicara Kak Sarimah mungkin ada benarnya. Terus aku melangkah mendekati bilik pejabat Encik Rizal. Daun pintu kuketuk. Kedengaran suara Encik Rizal mengarahkan masuk. Kutolak daun pintu perlahan.
“Awak dah bangun,” sapa Encik Rizal tatkala aku muncul di sebalik daun pintu. Aku mengangguk lantas tersenyum.
“Terima kasih banyak-banyak Encik Rizal sebab beri saya rehat hari ni. Esok saya akan kerja lebih masa menggantikan hutang saya hari ni,” janjiku. Encik Rizal tersenyum. Mungkin bicaraku itu lucu didengarnya.
“Lepas ni awak nak pergi mana?” soalnya.
“Balik rumah,” jawabku pendek. Bingkas Encik Rizal bangun dari kerusi itu lalu melangkah mendekatiku.
“Temankan saya makan, saya lapar sangat ni. Awak pun belum makan lagi. Lepas tu baru saya hantar awak balik,” ujar Encik Rizal sudah siap dengan perancangannya. Serta merta aku teringatkan bicara Kak Sarimah. Betullah Encik Rizal sedang kelaparan sekarang. Dia tidak makan gara-gara menanti kemunculanku. Betulkah? Kutatap wajah Encik Rizal. Kasihan dan tidak sampai hati aku hendak menolak ajakannya itu.
“Kenapa? Awak tak sudi?” dua soalan keluar dari mulut Encik Rizal. Aku geleng kepala buat Encik Rizal tersenyum. Senang hati tatkala aku menerima pelawaannya itu.
“Sebenarnya saya dah makan tadi Encik Rizal” ujarku serius.
“Bila masa pula awak makan?” soalnya binggung.
“Dalam mimpi,” balasku berlawak disambut gelak tawa Encik Rizal.
“Pandai juga awak kenakan saya ye,” ujarnya masih tersenyum. Aku senyum. Sekali sekala seronok juga dapat kenakan Encik Rizal. Dia bukan reti marah. Kalau Yen diperlakukan sedemikian tentu dia sudah melenting. Tidak pun ketukan tangannya sudah mendarat di dahi atau di kepalaku. Pemuda Korea itu tipis sangat kesabarannya. Sikapnya tidak seiring dengan ketampanannya. Terbuktilah tiada makhluk yang begitu sempurna di dunia ini.
Aku dan Encik Rizal makan di sebuah restoran mewah. Saat ini aku tekadkan hati akan memberi kuasa sepenuhnya kepada Encik Rizal untuk menentukan di mana harus kami menjamu selera dan menu apa yang harus dipesan. Aku menurut sahaja pilihan Encik Rizal. Kali ini Encik Rizal buat sedikit kelainan. Hidangan buffet jadi pilihannya. Sesuailah dengan keadaan dirinya yang sedang kelaparan sekarang. Selain menu pilihan yang banyak, dia juga boleh makan seberapa banyak kantung perutnya mampu menampung.
“Awak pergilah pilih menu yang awak nak makan. Biar saya tunggu kat sini,” ujar Encik Rizal masih bersikap gentleman biarpun sedang diserang kelaparan. Atas didorong perasaan simpati dan kasihan kepada Encik Rizal, aku tidak membantah. Kalau aku minta Encik Rizal yang pergi dahulu pasti dia akan menolaknya. Ada masa yang terbazir. Perempuan mesti didahulukan. Itulah prinsip yang dipegang olehnya. Terus aku membuat pilihan daripada pelbagai hidangan yang sudah tersedia. Terdetik untuk mengambil hidangan buat Encik Rizal. Kasihan membiarkan dia menunggu lama begini memandangkan ramai manusia yang sama tujuan berada di sini sekarang. Tidak akan aku membiarkan Encik Rizal hanya memandang makanan di pingganku. Kemudian berbaris lagi memilih makanan untuk dirinya. Memakan masa sedangkan saat ini dia lapar sangat. Kalau aku sendiri yang ambilkan untuk dia, adakah pilihanku itu memenuhi selera Encik Rizal? Binggung! Dalam aku bersoal jawab sendiri, sedar-sedar aku sudah menyeduk nasi untuk pinggan kedua. Satu pinggan untukku, satu pinggan lagi untuk Encik Rizal. Aku bermonolog sendiri membuat pilihan untuk Encik Rizal. Kalau Yen memang tiada masalah untukku membuat pilihan memandangkan aku sudah biasa menyediakan sajian untuknya.
“Iman ssi....!” pantas aku berpaling mendengar suara yang memanggil namaku itu. Suara yang cukup aku kenali malah hanya seorang sahaja di dunia ini yang memanggil aku sedemikian. Yen sudah berada di sebelahku.
“Awak buat apa kat sini?” soalnya hairan.
“Makanlah. Tak nampak ke nasi kat tangan saya ni,” balasku janggal mendengar pertanyaannya itu. Ohh.... baru aku terfikir! Tentu dia musykil melihat aku berada di sini. Selayaknya aku tidak mampu makan di restoran mewah begini. Bedebah betul pemuda Korea ini! Pasti itu yang terlintas di fikirannya saat ini.
“Awak makan sampai dua pinggan sekali? Lapar betul awak,” perlinya. Tajam anak mataku menatapnya. Yen sudah tersenyum lirih.
“Ni bukan saya punyalah. Saya tolong ambilkan tuan dia yang duduk kat sana tu,” Alamak! Terlajak aku berbicara. Yen sudah melontar pandangan ke arah Encik Rizal yang nampak tenang duduk di situ menanti kedatanganku.
“Bos awak...,” Yen menatapku. Kelat. Aku tersenyum tawar. Di luar dugaanku, tiba-tiba sahaja pinggan di tanganku yang sudah berisi nasi, sayur, ikan dan udang dirampas oleh Yen. Laju langkahnya meninggalkan aku yang terkebil-kebil diperlakukan sedemikian. Pinggan yang sarat muatan itu sepatutnya untuk Encik Rizal tetapi sewenangnya dirampas oleh pemuda Korea yang tidak berperikemanusiaan itu. Sakit hatiku dibuatnya. Kalau tidak kerana perasaan malu menebal dalam diri ini, sudah pasti aku berlari mengejar Yen lalu merampas kembali pinggan yang sudah penuh muatan itu. Tidak akan aku membiarkan sewenangnya Yen membuliku. Aku melangkah lemah mendekati Encik Rizal.
“Maaf buat Encik Rizal menunggu lama,” ujarku rasa bersalah. Lazimnya Encik Rizal hanya tersenyum lantas bangun menarik kerusi mempersilakan aku duduk. Aku meletakkan pinggan di meja. Aku belum terniat mahu menjamahnya walaupun Encik Rizal sudah mengarahkan aku supaya terus makan tanpa perlu menunggunya. Biarlah aku makan bersama Encik Rizal nanti. Sekurang-kurangnya aku masih tahu berbudi bahasa bukan seperti pemuda Korea itu. Dalam aku menanti kedatangan Encik Rizal, kedengaran ada mesej yang kuterima. Laju aku mengeluarkan iPhone. Mesej daripada Yen, pemuda yang berlaku khianat padaku sebentar tadi. Tentu dia sengaja menambah sakit hatiku saat ini.
~Gomawoyo….. gamsahamnida…. Fuhh! Kenyangnya… Pandai juga awak pilih menu sedap-sedap ye… !!!! Lain kali pastikan awak tak ulangi perkara yang awak cuba lakukan hari ni…. !!!!!!!!!!!!! ~ Berkerut dahiku memikirkan mesej pelik daripada pemuda Korea ini.
“Lain kali pastikan awak tak ulangi perkara yang awak cuba lakukan hari ni...,” Kuulangi menyebut sebaris ayat terakhir pada mesej Yen itu lantas cuba kufahami. Aku nak buat apa? Orang yang paling layak menulis ayat begini ialah aku dan sepatutnya ayat itu ditujukan kepada dirinya, bukannya aku! Memang terbalik dunia ini! Encik Rizal muncul bersama makanan di dalam pinggan dengan senyuman yang tidak lekang di bibir. Dirinya cukup pemurah dengan senyuman.
“Kenapa belum makan lagi?” tanyanya tatkala melihat makanan di dalam pingganku belum terusik.
“Saya nak makan bersama-sama dengan Encik Rizal,” balasku jujur tanpa sebarang niat tersembunyi. Kali ini senyuman Encik Rizal semakin lebar. Agaknya teruja dengan bicaraku.
“Bicara awak itu cukup membahagiakan saya. Hilang penat lelah saya. Tiba-tiba saja saya rasa kenyang pula,” ujar Encik Rizal berlawak disambut dengan gelakku. Marahku kepada Yen sebentar tadi terus lenyap.
“Kalau macam tu tak payahlah Encik Rizal makan. Jom kita balik,” gurauku.
“Jangan... nanti saya pengsan susah awak nak angkat saya,” selorohnya.
“Encik Rizal yakin ke yang saya akan angkat kalau Encik Rizal pengsan?” soalku. Encik Rizal mengangguk. Nampak dia begitu yakin.
“Kenapa? Kalau saya pengsan awak nak tinggalkan saya sendirian ke?”Tiada sebarang jawapan yang keluar dari mulutku melainkan senyuman. Encik Rizal juga turut tersenyum. Insan sebaik Encik Rizal tidak tega aku meninggalkan dan membiarkannya begitu sahaja. Malah, jika kejadian ini menimpa Yen, aku juga akan melakukan perkara yang sama. Sukar sebuah dendam itu untuk bertapak lama di hatiku. Aku tidak mahu hidup diselubungi perasaan dendam.
“Sebanyak ni je makanan yang awak ambik, awak pilih bukan main lamanya,” komen Encik Rizal dengan mata yang terarah pada pinggan di depanku.
“Sebenarnya tadi saya ambik masa lama sebab berfikir. Saya bercadang nak tolong ambikkan sekali makanan untuk Encik Rizal, namun risau juga kalau Encik Rizal tak berkenan dengan menu pilihan saya,” ceritaku mengubah sedikit fakta yang sepatutnya.
“Ohh.... sekali lagi awak buatkan saya bahagia,” balasnya.
“Kalau pilihan awak, batu dan kayu pun saya sanggup telan,” tambahnya berkias tetapi cukup bombastik. Aku tertawa. Sudah berlebih-lebih pula kalau macam itu. Dalam aku seronok berbual bersama Encik Rizal sambil menikmati hidangan makan tengah hari yang terlewat, kedengaran lagi mesej di iPhone. Kutekan punat paparan mesej. Sekali lagi nama Yen yang muncul.
~ Balik sekarang...!!! ~ Aku menelan liur. Seakan kedengaran suara lantang Yen memekik kepadaku melaungkan arahan itu. Laju kulontar pandangan ke muka pintu. Kelibat Yen bersama seorang gadis sempat kulihat sebelum hilang di sebalik pintu itu. Pasti Velviana yang bersama Yen tadi.
“Kenapa?” Tersentak aku mendengar suara Encik Rizal. Aku geleng kepala. Aku kembali menyambung seleraku. Begitu juga dengan Encik Rizal. Tiba-tiba perbualan rancak antara aku dengan Encik Rizal terus sahaja berakhir.
Dia melirik pada iPhone yang diletak di depannya. Sunyi. Mesej yang dihantar tidak dibalas. Dipandang lagi untuk kesekian kali. Skrin langsung tidak menyala.
“Awak menanti panggilan seseorang?” soal gadis itu yang sejak dari tadi menyedari tingkahlakunya itu. Yen tersentak.
“What!”
“You looks restless just now,” komen gadis itu kurang senang.
“Saya nampak awak asyik pandang iPhone tu dari tadi,” tambah gadis itu lagi. Yen senyap. Dikawal diri agar tidak terus menatap iPhone itu. Namun dia tidak mampu menghalang pandangannya dari terus terarah di situ. Lantas dicapai iPhone itu lalu disimpan ke dalam poket seluar.
“Ada sesuatu yang awak sembunyikan dari saya?” duga gadis itu. Ada kecurigaan dalam diri gadis itu. Senyap. Tiada sebarang jawapan yang keluar dari mulut pemuda itu.
“Saya takkan berdiam diri kalau awak cuba lakukan sesuatu yang boleh melukakan perasaan saya. I swear...,” tegasnya memberi amaran.
“Awak jangan fikir yang bukan-bukan,” tegah Yen kurang senang dengan reaksi yang ditunjukkan oleh gadis itu.
“Awak tak sedar ke yang awak tu dah banyak berubah!” lantang suara gadis itu singgah di telinganya. Senyap.
“Honey, awak dah banyak berubah. Sekarang kita jarang-jarang dapat bersama. Kalau kita keluar pun seolah-olah tubuh awak je yang terpacak depan saya, tapi jiwa awak entah melayang kat mana,” keluh Velviana kecewa.
“Awak ada orang lain ke?” duganya lagi. Yen mengeluh.
“Awak terlalu banyak berfikir, Vel,” tingkahnya. Kali ini Velviana pula yang mengeluh. Dilontar pandangan jauh-jauh. Sejak kebelakangan ini hatinya tidak pernah tenang.
“Sampai bila kita harus begini Yen?” soalnya lebih serius. Yen memandang sekilas gadis itu. Sunyi sepi.
“Kita sama-sama tak pernah percaya pada sebuah perkahwinan. Hubungan kita selama ni berjalan dengan baik kerana kita banyak persamaan. Awak yang sebenarnya dah banyak berubah, Vel,” jelasnya. Velviana mengeluh lagi.
“Siapa gadis yang berbual dengan awak tadi? Nampak mesra je awak dengan dia,” ujarnya memutar ingatan kembali kepada kejadian di restoran tadi. Hairan dia melihat perubahan sikap pemuda itu. Setahunya Yen bukan jenis yang banyak cakap dan senang bergaul dengan orang lain khasnya perempuan. Selama ini gadis-gadis yang tergilakan pemuda itu. Namun bersama gadis tadi dia melihat sikap pemuda ini sedikit berbeza. Dia nampak senyuman indah Yen yang ikhlas. Bahkah wajahnya ceria setelah pertemuan itu. Biarpun pertemuan singkat tetapi telah mengubah mood pemuda ini. Terdetik cemburunya kepada gadis itu. Maka hatinya melonjak-lonjak ingin tahu gerangan si gadis.
“My cousin,” balasnya pendek. Ada persoalan bermain dalam dirinya. Betulkah Velviana tidak mengenali Iman? Atau dia terlupa kepada gadis itu. Yen tahu telah wujud pertemuan antara Velviana dengan Iman. Bahkan Velviana lebih dahulu bersemuka dengan Iman berbanding dirinya.
“Awak suka gadis tu?” soalnya menduga. Pantas Yen berpaling menatapnya. Tidak sangka dia akan mendengar persoalan itu akan diajukan kepadanya.
“My cousin, mestilah saya suka,” balasnya bersahaja.
“Maksud saya... awak ada perasaan kat dia ke?” soalnya lagi. Yen mengeluh. Bosan dirinya dihujani dengan pelbagai persoalan. Rimas.
“Awak suka sangat prasangka yang bukan-bukan. Saya dah letih jawab pelbagai persoalan awak. Kita nak pergi ke mana sekarang?” soalnya ingin menamatkan sahaja ketegangan itu.
“Hantar saya balik ke rumah,” pintanya. Yen terus mengubah haluan destinasi mereka. Senyap. Masing-masing lebih suka melayan perasaan sendiri sehingga kereta berhenti di halaman rumah banglo dua tingkat itu. Mereka tetap membisu.
“Saya call awak malam ni,” ujarnya cuba memujuk hati gadis itu. Velviana tersenyum. Entah kenapa hatinya sedikit pun tidak teruja mendengar bicara pemuda itu. Dipandangnya kereta Mercedez Benz hitam metalik itu berlalu bersama pemuda itu.
“Awak benar-benar dah berubah dan saya....( mengeluh )... takkan kehilangan awak. Awak adalah milik saya ... selamanya,” nekadnya berbicara sendiri lalu mengatur langkah longlai meninggalkan halaman.
“Awak baru balik,” tegurku sekadar menyapa. Yen memandangku sekilas. Sapaanku tidak berjawab. Agak lesu lagaknya. Dia menyandarkan tubuh ke sofa dengan kepala yang terdongak menatap hamparan siling. Diam yang panjang. Bagai orang kematian isteri tingkahnya. Mungkin lepas berperang dengan kekasihnya sebab itu nampak tidak bersemangat. Tidak kupedulikan Yen yang turut berada di ruang tamu ini. Fokusku hanya pada drama ‘The Princess’Man’ di kaca tv saluran Astro CH 392 yang sedang bersiar langsung sekarang. Sebak hatiku melihat tingkah Kim Seung Yoo memperlakukan Lee Se Ryung gadis yang dicintainya sedemikian. Sungguh kedua-dia nampak terseksa. Rentetan dendam keluarga, cinta mereka menjadi mangsa. Kisah cinta persis Romeo dan Juliet. Tersentuh hatiku tatkala Lee Se Ryung yang jatuh tergolek ketika mendaki kaki bukit mengekori langkah Kim Seung Yoo yang telah menculiknya pada saat majlis perkahwinannya berlangsung. Dengan tangan yang terikat dia terkial-kial bangun. Kim Seung Yoo hanya memerhatikan buat seketika. Aku menyeka air mataku yang hampir-hampir menitis ke pipi. Betapa menggunung simpatiku kepada Lee Se Ryung.
“Tengok cerita tu pun awak menangis. Murah betul air mata awak,” pedas bicara yang keluar dari mulut Yen. Aku berpaling ke arah Yen lalu menghadiahkan jelingan tajam kepadanya.
“Awak mana tahu jalan cerita ni, sedih tau,” balasku tidak menyenangi akan komennya sebentar tadi.
“Gara-gara nak balas dendam atas kehancuran keluarganya, Seung Yoo terpaksa berlaku kejam kepada Se Ryung gadis yang sangat dicintainya,” ceritaku tanpa diminta. Aku ingin memperlihatkan kepada Yen betapa tragisnya percintaan pasangan kekasih ini. Kupandang sekilas wajah Yen. Langsung tiada sebarang ekspresi di wajahnya. Dialah manusia yang ketandusan nilai sentimental dalam dirinya. Kasihan betul manusia yang bernama Yen Aieqal Shuein ini. Aduhai..., betambah-tambah menyayat hati tatkala Seung Yoo menghunus pedangnya ke leher Se Ryung. Ekspresi wajah hero ini berubah tatkala terpandang garis calar di situ. Se Ryung membenamkan mata pedang yang tajam ke lehernya. Dia berani mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan kekasih hatinya itu. Hati Seung Yoo jadi berbelah bahagi. Gadis yang dicintainya ialah puteri kepada manusia yang bertanggungjawab atas kemusnahan keluarganya. Kesedihan dipendam. Hatinya terluka. Perkara yang dilakukannya sekarang bertentangan dengan kehendak hatinya. Namun dia terpaksa. Menyakiti perasaan gadis itu ialah pilihan yang terpaksa dilakukannya. Sadis dan mengguris hatiku. Terasa hangat menuruni pipiku.
“Tak payahlah tengok cerita tu lagi. Nanti tak pasal-pasal banjir pula rumah ni,” suara Yen singgah di telingaku lagi. Laju jemariku mengesat air mataku. Pandangan Yen masih melekat di wajahku buat aku janggal. Kurang senang aku diperhatikan lama-lama begitu.
“Apa tengok-tengok orang,” marahku tatkala dipandang sedemikian. Yen tampak serius dan masih tidak mengalih pandangannya dariku. Tidak pasti sama ada dia memang sedang memandang ke arahku atau pun hanya matanya sahaja yang terarah kepadaku, namun sebenarnya dia tidak nampak aku. Terasa pandangannya itu sudah menembusi tubuhku.
“Are you okay?” soalku hairan melihat gelagatnya yang pelik itu. Yen masih terpaku dalam keadaan tadi. Sah dia bukan sedang memandangku walaupun matanya tidak berganjak dariku. Yen sedang berkhayal dan berfikir jauh. Barangkali dia sudah kembali ke dunia ciptaanya sendiri. Aku mengeluh sendiri. Kupandang bantal kusyen yang berada dalam pelukanku ini. Laju tanganku melayangkan bantal kusyen itu ke arah Yen, lalu mendarat tepat-tepat mengena muka Yen.
“Yah!” Nampak Yen terkejut besar. Aku ketawa melihat gelagat Yen yang melucukan itu. Tajam pandangannya menatapku.
“Awak fikirkan apa tadi?” soalku menyiasat. Senyap. Langsung dia tidak berminat hendak menjawab pertanyaanku itu.
“Buat apa awak makan bersama bos awak tadi?” Dia menyoalku. Musytahil perkara ini yang di fikirkannya tadi. Aku menatap Yen. Perlukah aku jawab soalan cepu emasnya itu?
“Mestilah sebab lapar, takkan ada alasan lain pula,” balasku binggung. Soalan mudah yang sudah diketahui jawapannya. Budak pra pun boleh jawab. Makan sebab lapar.
“Mesti ke dengan bos awak?” lirih saja suaranya. Aku menatap Yen. Kurang senang dengan nada suaranya itu.
“Dah dia yang belanja saya makan, mestilah saya makan dengan dia takkan nak makan dengan awak pula. Lagipun awak bukan pernah pun nak ajak saya keluar makan. Kedekut,” perliku mengenakan dirinya.
“Yah!” Melenting lagi Yen mendengar bicaraku itu. Aku hanya tersenyum. Tidak rela dia dituduh Si Tangkai Jering. Dia tidak kedekut kalau tidak masakan dia membenarkan aku tinggal selesa di banglo mewah ini dan makan sedap-sedap secara percuma. Aku sekadar mahu menyakatnya. Senyuman yang aku lemparkan kepada Yen dibalas dengan jelingan.
“Malam nanti saya belanja awak makan,” ujarnya mengejutkan aku. Biar betul pemuda Korea ini. Jangan-jangan dia sekadar mempermainkan aku. Aku menatapnya lagi cuba mencari kebenaran bicaranya itu.
“Jangan lupa lepas solat isyak kita keluar. Siap awal-awal,” tuturnya lagi.
“Betul ke ni?” soalku sukar hendak percaya. Yen mengangguk lalu bangun meninggalkan aku bergerak mendaki anak tangga ke tingkat atas. Jadi tidak perlu aku menyediakan hidangan makan malam nanti. Aku tersenyum lebar. Gembira sebab tidak perlu masak sebaliknya dapat makan percuma. Kalau hari-hari beginikan best tidak perlulah aku membazir masa dan tenaga di dapur. He..he....he...
Usai solat isyak, aku keluar bilik dan bergegas melangkah ke ruang tamu. Yen sedang menanti kemunculanku dengan wajah kelat gara-gara aku terlewat beberapa minit. Aku tersengih menatap wajah tampan pemuda ini. Walau berapa banyak dia marah, wajah ini tetap menawan.
“Lama sangat awak bersolek,” rungutnya. Besar mataku mendengar tuduhannya itu. Senang-senang sahaja dia menuduh aku bersolek sakan. Satu perkara yang tidak padan dengan diriku.
“Buat apa tercengat kat situ lagi. Cepatlah...!!”Aku tersentak mendengar sergahan suara Yen. Dia sudah berada di ambang pintu. Buru-buru aku melangkah mendekatinya. Aku telah berada di sebelah Yen di dalam kereta mewah ini. Enjin kereta dihidupkan. Sekejap sahaja meninggalkan halaman rumah lantas meluncur laju menuju ke destinasi yang dituju. Muzik rancak memenuhi halwa pendengaran. Apatah lagi dimainkan di ruang sempit begini langsung tidak memberikan ketenangan. Sakit telingaku mendengarnya. Laju jariku menekan punat volume ke tahap yang paling rendah. Yen menatapku serius. Kurang senang dengan tindakanku itu.
“Kita nak pergi mana ni?” soalku ingin tahu destinasi yang dituju. Lazimnya pertanyaanku memang jarang sekali terus dijawab oleh Yen. Sudah perangainya suka sangat buat aku tertanya-tanya. Akhirnya aku ambil keputusan untuk mendiamkan diri sekali gus berada dalam situasi tunggu dan lihat. Kereta yang gah meluncur laju tetiba bergerak perlahan lalu membelok memasuki satu lorong. Di depan kini merupakan dataran luas yang dipenuhi oleh pondok-pondok kecil yang diperbuat daripada kayu dan buluh beratapkan nipah. Sungguh unik dan klasik. Beratus-ratus pelita tanah memagari lapangan tersebut. Terasa berada dalam suasana beraya di kampung pula.
“Jom...,” Aku tersentak mendengar suara Yen. Kereta sudah berhenti di parkir yang disediakan. Aku segera melangkah keluar lalu berada di sebelah Yen sambil memandang sekeliling kawasan ini. Betapa aku terpegun dengan suasana yang terpamer di depan mataku sekarang. Tidak tahu ada tempat menjamu selera sebegitu indah di sini.
Aku mengekori langkah Yen. Anak mataku tetap liar memerhatikan sekeliling. Tika ini aku bagai rusa masuk kampung. Tercengang-cengang dengan suasana yang dicipta oleh si pemilik yang sungguh kreatif. Langkah Yen berhenti di salah sebuah pondok beratap nipah tidak berdinding ini. Lantas melabuhkan duduk di bangku kayu itu. Kupandang bangku kayu yang diperbuat daripada potongan batang pokok yang besar ini. Begitu juga dengan meja ini. Diolah begitu cantik dan penuh kesenian memikat pandangan para pengunjung yang bertandang ke sini. Lilin di dalam gelas yang sedang menyala diletak di tengah-tengah meja ini menimbulkan suasana yang cukup romantik.
“Duduklah...,” arah suara Yen mematikan penilaianku. Aku melabuhkan duduk berhadapan dengan Yen. ‘Teratak Jalinan Kasih’ perkataan yang tertera pada papan gantung itu. Oh, nama pondok ini ‘Teratak Jalinan Kasih’! Sempat juga aku memikirkan makna di sebalik nama ini. ‘Teratak Ikatan Cinta’, ‘Teratak Indah Sayang’, ‘Teratak Tautan Hati’ dan ‘Teratak Sejiwa’. Sebahagian nama pondok yang jelas di pandanganku. Pondok-pondok di sini masing-masing ada nama tersendiri. Nama yang berkisar tentang hubungan kemanusiaan. Patutlah suasana romantik diwujudkan di sini. Tambahan pula diiringi dengan alunan irama sentimental. Aku menatap Yen. Mesti dia selalu membawa para kekasihnya bertandang ke sini. Lokasi ini memang sesuai untuk pasangan yang sedang hangat bercinta.
“Mwo (apa)?” soalnya tatkala pandanganku jatuh pada wajahnya.
“Awak selalu datang ke sini?” soalku ingin tahu. Macam tidak percaya aku melihat gelengan kepalanya menjawab pertanyaanku itu.
“Pertama kali,” ujarnya lebih jelas.
“Betul ke?” soalku sangsi. Yen mengangguk lagi.
“Habis tu macam mana awak boleh tahu tempat ni?” soalku masih sangsi dengan pengakuannya itu. Yen mengeluh kurang senang. Barangkali bosan dirinya disoal siasat sedemikian.
“Tengok dalam web,” balasnya bersahaja disambut oleh tawaku. Lucu mendengar jawapannya itu. Seorang gadis lengkap berpakaian kebaya, bersanggul ala-ala perempuan Melayu sebelum era merdeka datang bertanyakan menu yang dipesan. Aku serahkan sepenuhnya kepada Yen untuk membuat pilihan. Memandangkan aku tidak cerewet dalam soal makan, jadi tidak ada masalah untuk Yen memesan makanan.
“Pencuci mulut kat anjung sana, cik dan encik boleh buat pilihan sendiri. Self-servis dan percuma saja,” ujar gadis itu sambil tersenyum manis. Aku mengangguk dengan perasaan teruja. Di mata dan fikiranku sudah terbayang deretan pembasuh mulut yang pasti melengkapkan kelazatan hidangan malam ini. Aku memang cukup menggemarinya.
“Saya nak pergi ambik pembasuh mulut dulu,” putusku. Yen mengangguk. Kutinggalkan dia sendirian di pondok ini. Aku melangkah ke anjung tersebut. ‘Anjung Satu Rasa Satu Jiwa’nama yang tertera pada papan itu. Unik betul nama anjung ini. Aku terpegun dan bertambah teruja melihat pelbagai jenis pembasuh mulut yang tersedia. Pelbagai jenis buah-buahan, pelbagai rasa dan rupa agar-agar, jeli, dadih dan coklat termasuklah kuih-muih tradisional Melayu. Beberapa minit berdiri di situ, akhirnya aku hanya ambil beberapa gelas dadih yang terdiri daripada berperisa yam, blueberry, jagung, epal dan mangga. Pembasuh mulut yang paling aku gemari. Kuletakkan dulang yang berisi beberapa gelas dadih di depan Yen. Pandangan Yen singgah di situ. Kemudian beralih kepadaku.
“Mana buah-buahan?” soalnya.
“Saya ambik ni je. Tak tahu pula awak nak makan buah-buahan,” balasku selamba. Yen mencebik.
“Kalau bos awak tu, tahu pula awak dia nak makan apa,” balas Yen samar-samar.
“What?” Aku menatap wajah kelat Yen. Bagai anak kecil merajuk tatkala kehendak hatinya tidak dapat dipenuhi.
“Kalau awak nak makan buah-buahan awak pergilah amik sendiri,” saranku. Yen menjelingku lantas bangun meninggalkan aku di situ. Buang tabiat betul pemuda Korea ini. Aku menikmati dadih perisa mangga yang kuambil tadi. Betul-betul membangkitkan selera bukan lagi sebagai pembasuh mulut. Yen muncul bersama hirisan buah-buahan. Gelas pertama yang kosong kuletak ke tepi. Laju tanganku mencapai gelas kedua. Dadih perisa jagung pula. Emm... sedapnya...! Pandangan Yen yang melekat di wajahku langsung tidak kuendahkan.
“Dah berapa banyak yang awak makan?” lirih suara Yen bertanya. Kutulikan telinga. Langsung tidak mempedulikan bicaranya itu, sebaliknya leka menikmati dadih jagung yang tinggal separuh lagi. Betul-betul merasai kepuasannya.
“Suka betul awak makan dadih tu,” komen Yen sambil masih setia memerhatikan gelagatku sedangkan potongan buah honeydew dan hirisan mangga yang diambilnya tadi belum disentuh. Itulah leka sangat melihat gelagatku.
“Ya suka sangat,” balasku mengiyakan.
“Kalau macam tu buatlah kat rumah nanti,” balasnya sekadar mengajakku berbual sekali gus mengganggu aku menikmati dadih ini dengan aman.
“Saya tak reti buat reti makan je,” balasku jujur sambil tersengih.
“Benda mudah macam tu pun awak tak reti buat,” kutuknya.
“Kalau mudah je, awak buatlah untuk saya,” arahku selamba.
“Buat apa saya nak buat untuk awak,” balasnya.
“Kalau awak boleh belanja girlfriend awak makan sedap-sedap, kenapa pula awak tak boleh buat dadih untuk isteri awak. Kan awak kata tadi mudah je nak buat,” balasku mengenakannya. Senyap. Mulutnya terus terkunci. Aku masih menikmati dadih jagung yang tinggal sisa-sisa sahaja lagi. Kupandang tiga gelas dadih yang tinggal. Kucapai dadih perisa blueberry itu. Belum sempat aku menyudunya, laju tangan Yen merampas lalu disimpan kembali di tempat asal. Terkebil-kebil aku diperlakukan sedemikian.
“Kalau awak terus makan benda tu, bila masa pula awak nak makan nasi dan yang lain. Perut awak tu besar sangat ke nak tampung semua tu nanti. Saya tak nak bazirkan duit saya sebab tu saya nak awak habiskan makanan yang saya pesan tadi,” tegas Yen. Aku menatap Yen. Terang lagi bersuluh. Kedekut dengan duitnya yang bertimbun itu.
“Awak jangan risau saya pasti boleh habiskan nanti. Jangan-jangan lepas ni awak menyesal ajak saya keluar makan sebab kuat makan,” perliku. Aku sudah menggambarkan kepada Yen betapa aku boleh makan banyak. Yen mencebik. Kujeling sekilas tiga gelas dadih yang terletak di hujung meja ini. Nampak sangat Yen sedang mengawasi gerak geriku. Laju tangannya mengangkat dulang itu lalu meletakkan di sebelahnya jauh dariku. Macam tahu-tahu sahaja dia yang aku berniat mahu mengambil gelas-gelas itu lalu terus menikmati dadih tersebut dengan rakusnya. Gadis yang beridentitikan perempuan Melayu era sebelum merdeka itu muncul bersama hidangan yang dipesan oleh Yen tadi.
“Selamat menikmati,” ujar gadis itu lemah lembut.
“Terima kasih,” suara Yen mendahuluiku. Aku menatap hidangan yang sudah memenuhi meja ini. Ada ikan bakar, udang goreng buttercup, daging sizzling, sup cendawan dan baby kailan goreng ikan masin. Ada dua gelas besar jus oren. Dua pinggan nasi serta nasi tambah sudah tersedia. Alamak, banyak makanan yang Yen pesan! Hidangan di atas meja ini sesuai dinikmati untuk empat orang.
“Buat apa tenung lagi, makanlah,” suara Yen mengarahkanku. Semua hidangan WAJIB dihabiskan agar tidak membazirkan duit pemuda Korea ini. Mampukah aku? Menyesal pula bercakap besar tadi. Yen sudah menikmati hidangan di atas meja. Begitu berselera. Dengan lafaz bismillahirahmanirahim, aku pun ikut serta menikmatinya. Senyap.
“Awak dan Velviana pun akan makan sebanyak ni ke?” suaraku memecah kesepian sekali gus mengajaknya berbicara.
“Tak. Dia kena jaga pemakanannya, tak boleh makan sesuka hati macam awak,” ujar Yen siap sekali membandingkan aku dengan kekasihnya.
“Mestilah dia kena jaga badan. Diakan perlu memperagakan pakaian-pakaian yang tak cukup kain,” balasku selamba. Yen tersengih mendengar bicaraku.
“Awak jealous dengan dia ke?”
“Aigooo... takde masa saya nak jealous dengan orang lain,” balasku jujur. Pakaian-pakaian cantik yang direka semua untuk perempuan bersaiz kecil yang tidak cukup makan. Aku tidak puas hati betul dengan fakta ini. Nampak sangat diskriminasi. Kasihanlah perempuan yang bertubuh besar yang juga berkeinginan berpakaian cantik dan glamour.
“Patut juga setiap kali awak keluar makan dengan dia tak pernah kenyang-kenyang,” ujarku tatkala teringat Yen pernah mengarahkan aku memasak sedangkan dia baru sahaja lepas makan bersama kekasihnya itu.
“Awak dengan dia terlalu berbeza,” ujar Yen membandingkan aku dengan kekasihnya itu lagi.
“Memang berbeza sungguh. Saya tak secantik dan semoden dia. Dia banyak duit boleh beli pakaian cantik-cantik dan boleh beli apa saja yang dia suka,” balasku ikhlas. Bahkan Velviana boleh beli cd-cd Korea yang dia berkenan. Inilah satu-satunya yang buat aku cemburu dengan dirinya. Hu...hu..hu...huh!
“Bukan itu yang saya maksudkan...,” tutur Yen lalu menyambung kembali menikmati hidangan di meja. Aku menatap Yen sekilas. Menanti penjelasan pada bicaranya sebentar tadi. Namun langsung tiada tanda-tanda yang menunjukkan Yen ingin berbicara lagi. Akhirnya, aku pun turut serta menikmati hidangan yang pasti mengambil masa untuk dihabiskan pada malam ini.
PANDANGANNYA tidak beralih daripada iPhone itu. Sudah dua jam dia menanti panggilan pemuda itu. Namun panggilan yang dijanjikan tidak kunjung tiba. Hatinya jadi panas. Marahnya membuak-buak. Mahu sahaja dia menjerit-jerit meluahkan marah kerana merasakan dirinya telah dipermainkan oleh pemuda itu.
“Shit!”Bingkas dia bangun lalu melemparkan pakaian di tubuh lantas mengenakan pakaian yang baru dicapai dari almari itu. Dia sudah tidak betah duduk di bilik itu menunggu panggilan tersebut. Kunci kereta dan tas tangan dicapai lalu melangkah laju ke pintu. Langsung tidak dihiraukan jam yang sudah hampir-hampir mencecah ke pukul 11.00 malam itu. Langkah pemuda itu harus dijejaki. Di pertengahan jalan menuju ke destinasi, pandangannya terarah pada Mercedez Benz hitam yang sedang bergerak melewatinya. Dia nampak gadis di sebelah pemuda itu. Hatinya semakin terbakar. Ditekan pedal minyak menambah kelajuan kereta cuba mengejar kereta Mercedez Benz tadi. Lupa seketika tentang keselamatan dirinya. Beberapa buah kereta lain dipotong. Bunyi hon kereta pengguna jalan raya yang lain tidak dihiraukan. Amarah sudah menguasai diri. Dia cuba memotong kereta yang lain lagi, tetapi kali ini dia gagal. Brek mengejut terpaksa dilakukan. Kereta Honda Civiz yang dipandu keluar ke bahu jalan lalu berpusing-pusing seketika. Kemudian berhenti. Dia tersandar lemah. Wajahnya pucat. Peluh dingin sudah membasahi wajah. Mujur tiada kenderaan lain yang berlaga dengan keretanya. Kalau tidak pasti dirinya dalam bahaya. Dikeluarkan iPhoen dari tas tangan itu.
“Hello, awak kat mana sekarang?” soalnya cuba mengawal nada suaranya. Mujur bicara pemuda itu tidak jauh menyimpang. Yen baru sahaja balik selepas keluar bersama kawan. Ingin diajukan beberapa persoalan tentang kawan seperti bicara pemuda itu namun dia cepat berfikir. Kali ini dia tidak mahu bertindak terburu-buru.
“Awak kena belajar bersabar, Vel. Sikap melulu awak ni boleh buat Yen fade-up kat awak tau,” suara Erin sahabatnya itu berbisik di telinganya. Persoalan siapakah gadis bersama pemuda itu dipendam. Biarpun hatinya memberontak ingin tahu. Dia tidak mahu pemuda itu mengetahui bahawa dia telah mengekori mereka. Lantas hatinya berikrar akan mencari siapakah gadis itu? Betulkah sekadar kawan atau pesaing baharu kepada dirinya? Dalam soal hati dan perasaan dia tidak pernah berdiam diri. Pemuda itu tidak semudahnya akan dilepaskan.
No comments:
Post a Comment