Saturday, 3 July 2021

Awaklah SonataKu.......Bab 5

 

Krinnnggg...! Krinnng!...Krinnnngg! Bertalu-talu jam loceng berdering. Tepat pukul 5.00 pagi. Aku terus mematikannya. Mataku terpejam celik. Belum puas tidur. Aku menguap dan menggeliat dua tiga kali. Hari ini bermula hari baru dalam hidupku. Walaupun terasa malas, aku gagahi juga melangkah ke bilik air. Bergetar bibirku tatkala air dingin itu singgah di wajahku. Sengaja aku tidak membuka air panas agar mengantuk ini cepat hilang. Memang mujarab.

Pertama, aku perlu ke dapur menyiapkan sarapan. Hari ini aku hanya perlu menyediakan nasi goreng tom yam kerana nasi semalam masih banyak. Dua biji telur goreng mata lembu. Memandangkan pemuda ini berbangsa Korea maka aku patut sediakan sedikit sup. Kuambil beberapa potong ayam untuk dibuat sup. Air milo sudah aku bancuh dalam teko. Bermakna sudah selesai tugasku di dapur. Kemudian aku bergerak ke ruang tamu. Kucapai penyapu bulu ayam lalu memulakan tugas membuang habuk pada setiap perabot dan peralatan yang ada di sini. Mujur rumah orang bujang, jadi tidak banyak sangat perhiasan yang ada. Selepas mengelap sofa dan meja, aku terus mencapai hampagas lantas memulakan tugas membersihkan ruang tamu dan sekitar ruang rumah ini.

Bunyi deruan hampagas dari tingkat bawah sayup-sayup menyucuk-nyucuk halwa telinganya. Dia mengalih posisi tubuhnya beberapa kali. Sekejap kiri sekejap ke kanan. Ternyata tidurnya terganggu. Dia menjeling jam di tepi katil. Baru pukul 6.30 pagi. Cuba dipejamkan matanya kembali.

Housekeepping!” tuturku sambil mengetuk beberapa kali pintu bilik ini. Tiada suara yang menyahut. Memandangkan aku mengejar masa, maka aku tiada pilihan lain. Perlahan-lahan aku menjengukkan kepalaku di celah-celah pintu yang sedikit terkuak. Sebelah mata sahaja yang membuat tinjauan. Risau kalau terserempak perkara yang sepatutnya tidak boleh dilihat. Aku nampak sekujur tubuh itu sedang terbaring di atas katil separuh dilitupi selimut. Penuh berhati-hati aku melangkah masuk. Aku memulakan tugas dengan menyusun buku-buku dan beberapa keping kertas di atas meja di satu sudut. Not-not muzik yang tidak aku fahami. Ada banyak gitar yang tersusun kemas  di situ.

Aku menjengkit kaki mendekati birai katil mengutip beberapa helai  t-shirt dan seluar jeans. Ada dua tiga pasang jaket kulit yang tersadai di sana-sini. Semuanya kelihatan perlu dibasuh. Aku menatap seketika potret di sebalik bingkai indah yang tergantung di dinding bilik ini. Aku terpegun melihat wajah perempuan itu. Betapa jelita wajah itu dan senyuman di bibirnya begitu menawan. Ternyata pemuda ini mewarisi kesempurnaan anugerah Allah itu. Agaknya perempuan ini seorang artis Korea daripada kalangan orang berada.

Bau minyak wangi Dunhill menikam deria bauku. Rupa-rupanya pemuda ini pengemarnya. Kini ada sebakul baju yang perlu dibasuh. Aku melangkah perlahan-lahan meninggalkan bilik ini bersama sebakul baju yang kotor. Aku menatap sekeliling ruang bilik air ini. Tiada mesin basuh. Hanya yang ada besen, berus dan serbuk pencuci serta cecair pewangi. Kesimpulannya, semua pakaiannya mesti dicuci tangan. Cerewet juga pemuda ini. Barangkali pakaian ini terlalu mahal harganya sebab itu dia hanya mahu cucian tangan kerana lebih selamat. Usai membasuh pakaian, aku terus menjemur. Semua kerja harus selesai sebelum pukul 7.30 pagi kerana aku perlu bersiap dan bergerak ke tempat kerja. Ada satu kerja lagi yang belum aku bereskan. Perlahan-lahan aku mengheret hampagas membawa naik ke tingkat atas.

“Housekeepping” Selepas mengetuk pintu, aku melangkah masuk ke bilik pemuda ini lagi. Aku memejamkan mata tatkala menghidupkan mesin penyedut ini. Tidak dapat dijangka perkara akan berlaku selepas ini. Dia mendengar bunyi deruan  berada di tingkat bawah tadi semakin dekat. Dia bergerak-gerak. Ditariknya selimut cuba menutupi seluruh tubuhnya. Namun bunyi deruan itu sangat hampir dengannya. Dia membuka matanya. Pandangannya menangkap sesusuk tubuh yang sedang terbongkok-bongkok membersihkan lantai bilik ini.

“Yah...!” bentaknya melawan bunyi deruan yang kuat itu. Aku tersentak. Kumatikan hampagas ini. Aku berpaling. Yen sedang menatapku tajam. Aku buat muka seposen sambil garu-garu kepala dengan sengihan panjang. Sememangnya aku jangka dia akan terbangun lalu menerjah aku dengan kemarahannya.               

Sorry, saya perlu siapkan semua kerja rumah sebelum saya keluar,” tuturku perlahan. Aku sedang mengejar masa.

“Saya mengantuk sekarang. Saya perlu tidur. Keluar sekarang!” lantang  suaranya menghalau aku meninggalkan bilik ini.

“Tapi saya belum siap bersihkan lantai ini,” sahutku. Semua ini sudah termaktub dalam perjanjian, maka aku harus melaksanakannya. Aku tidak mahu dikata nanti orang yang tidak tahu menepati janji.

“Awak yang suruh saya bersihkan bilik ini,” tingkahku lagi.

“Tapi bukan sekarang. Saya nak tidur ni,” tuturnya geram. Aku garu-garu kepala. Mata Yen terkelip-kelip. Nampak dia mengantuk sangat.         

“Okey saya keluar sekarang. Saya bersihkan bilik awak lepas balik kerja nanti ye,” beritahuku. Dia hanya mengangguk-angguk sambil jari telunjuknya menunding ke arah pintu. Isyarat mengarahkan aku segera keluar dari bilik ini. Laju langkahku ke pintu dengan susah payah aku mengheret mesin penyedut ini ke bilik sebelah. Aku membaringkan tubuh di atas tilam seketika cuba menghilangkan letih setelah bekerja keras beberapa jam yang lalu. Tidak sampai 10 minit berbaring, aku bingkas bangun menyiapkan diri.

Dia menguap dan menggeliat dua tiga kali. Terasa lenguh-lenguh badannya. Pagi ini tidurnya terganggu. Dia melemparkan selimut itu ke tepi. Dia memerhatikan sekeliling biliknya. Tampak kemas dan tersusun. Baru dia teringat pagi tadi gadis itu berada di biliknya. Dicapai tuala lalu ke bilik air. Usai menyiapkan diri, Yen melangkah menuruni anak tangga. Sunyi sepi. Pandangannya meninjau setiap ruang. Bersih dan kemas. Kemudian tersedar hanya dia bersendirian di banglo itu sekarang. Dia melangkah ke dapur mahu bersarapan. Dia menatap sekeping kertas merah jambu terlekat di atas tudung saji.

Anyonghaseyo..... semoga awak berselera menikmatinya. Saya dah pergi kerja. Jangan lupa cuci cawan & pinggan selepas sarapan okey.Bersama-sama menjaga kebersihan...                 

Dia tersenyum sendiri. Teruja melihat hidangan yang telah disediakan tatkala tudung saji diangkat. Tanpa membuang masa dia terus menikmati. Perut sudah diisi kenyang kerana beberapa kali menambah. Ditutup kembali tudung saji. Bingkas bangun. Baru sahaja dia hendak melangkah meninggalkan ruang makan, anak matanya menatap kembali tulisan pada kertas merah jambu itu. Dia berdiri tercengat di situ. Berfikir seketika. Dicapai pinggan dan cawan yang sudah digunakan lalu membawanya ke singki. Dia terus mencucinya. Sebelum dia melangkah meninggalkan dapur, dia menatap kertas merah jambu itu lagi. Dicapai pen yang ada di situ lalu mencatat sesuatu. Dia tersenyum sendiri.

 

ASSALAMUALAIKUM... saya dah balik,” Aku melangkah longlai masuk ke dalam banglo ini. Sunyi sepi. Pasti Yen belum balik lagi. Aku melangkah ke dapur. Kucapai sebiji gelas kaca lalu membuka peti sejuk. Terasa nikmat tatkala air dingin itu melewati kerongkongku. Aku tersenyum melihat tiada cawan mahupun pinggan kotor yang tertinggal di atas meja. Aku memandang singki. Sekali lagi aku tersenyum. Singki kosong. Aku terpandang mesej yang aku tinggalkan pada tudung saji itu. Ada pertambahan. Segera aku mendekati lalu menatapnya.

“Dua butir bintang yang saling bertaut. Dia nilai masakanku hanya layak dapat dua bintang. Hey... lelaki ini benar-benar manusia cerewet!” keluhku tidak puas hati. ‘Letih-letih aku siapkan menu sarapan untuk dia hanya dua bintang sahaja dia beri. Memang kedekut. Takpelah sekurang-kurangnya ada juga bintang yang dia beri. Lebih baik daripada tidak ada langsung’. Getus suara hatiku berbicara sendiri.

 

“Letihnya...,”Aku membaringkan tubuh ke atas tilam seketika. Teringat aku belum solat asar, perlu memasak, membersihkan bilik sebelah, mengangkat pakaian di jemuran dan melipatnya, segera aku meninggalkan katil. Sebahagian pakaian perlu digantung di dalam almari. Aku memastikan bilik pemuda ini betul-betul kemas sebelum meninggalkannya.

Langkahnya terhenti beberapa tapak dari muka pintu. Dia tercengat menatap sekeliling bilik ini. Lantai licin dan bersih. Cadar kelihatan rapi. Selimut sudah dilipat kemas. Bantal tersusun. Tuala yang tidak sempat disidai pagi tadi sudah tergantung di rak penyidaian dengan kemas. Dia tersenyum puas. Dia melangkah mendekati almari. Ditolak pintu almari. Selonggok pakaian yang belum dibasuh kini sudah tergantung rapi.  Tiada habuk di mana-mana. Dia membaringkan tubuh ke atas tilam dengan senang hati.

 %%%%%%%%%%%%%%%%%%

 

HARI ini genap sebulan sudah aku tinggal bersama pemuda Korea ini. Alhamdulillah setakat ini semua berjalan lancar. Atas prinsip kehidupan milik sendiri sungguh memudahkan perjalanan hidup kami. Tidak banyak sangat beza dengan gaya hidup sekarang dengan kehidupan dahulu. Cuma beza sekarang aku ada rutin harian yang harus dilaksanakan iaitu memasak, mengemas rumah dan mencuci pakaian pemuda Korea itu. Bukanlah sesuatu yang membebankan aku hendak melakukan semua itu. Bahkan sedikit khidmatku yang diperlukan ini bolehlah dianggap sebagai bayaran kos aku menumpang tinggal di banglo mewah milik pemuda ini. Maka tidaklah aku boleh dianggap tinggal percuma di sini. Sebetulnya aku tidak mahu terhutang budi kepada sesiapapun di muka bumi ini. Namun hidup yang serba kekurangan menyebabkan aku bergantung hidup dengan keluarga Pak Long satu-satunya saudara yang aku ada di dunia ini.

 

“Letak bunga ni di situ,” arahku. Tajam pandangannya menatapku. Dengan gerakan malas dan penuh protes dia mengangkat pasu bunga itu lalu dengan kasar meletakkan di satu sudut seperti yang aku kehendaki.

“Hey, pecah pasu bunga kalau macam tu cara awak letak!” marahku. Hanya jelingannya sahaja yang membalas pandanganku. Mulutnya terkumat-kamit. Ternyata dia sedang berbicara sendirian. Agaknya sedang mengutuk aku.

“Sekarang tolong saya angkat pasu ini pula,” pintaku kerana pasu sebesar pelukan ini terlalu berat hendak diangkat seorang diri. Apatah lagi kudrat perempuan yang sangat terbatas. Yen mencebik bosan. Diaturnya juga langkah mendekatiku.

“Buat apalah awak tanam bunga di dalam pasu besar macam ni. Tengok sekarang kan susah nak angkat,” giliranku pula merungut.

“Bukan sayalah yang tanam.” balasnya.

“Habis tu siapa yang tanam? Girlfriend awak ke?” tanyaku lagi. Lelaki buaya sepertinya, tidak mustahil sering dikunjungi oleh para kekasihnya di sini.

“Entahlah, saya pun dah lupa siapa yang tanam,” balasnya tidak mahu menafikannya. Tentu ramai sangat buah hatinya pernah bertandang ke sini. Tengok sahajalah sampai dia lupa gerangan insan yang menanam bunga ini. Dasar lelaki yang suka ambil kesempatan atas kelebihan yang dimiliknya.

“Angkatlah tinggi sikit,” arahnya.

“Berat tau,” balasku geram. Aku dan Yen terbongkok-bongkok mengangkat pasu gergasi yang berat ini. Setapak langkah bergerak, kemudian berhenti lagi. Cuba mengumpul tenaga. Melangkah dan berhenti silih berganti. Memang tidak larat aku hendak mengangkat kalau tiada jedanya.

“Kalau asyik nak berhenti, bila masa nak selesai,” rungutnya.

“Awak seorang sajalah angkat,” arahku geram. Dia menatapku tajam.

“Cepat angkat pasu ni,” arahnya pula.  Aku menatap wajahnya yang serius. Keningnya terangkat-angkat manakala tangannya masih memegang tepi pasu itu bersedia untuk mengangkat lagi.

“Bukan ke awak cukup bertenaga. Awak angkatlah sorang-sorang,” ujarku geram. Sepasang mata itu masih tajam menatapku. Tatkala aku fikirkan bahawa aku yang berhajat hendak mengubah kedudukan pasu besar ini, maka aku terpaksa juga  mengalah. Risau juga kalau Yen tiba-tiba mogok tidak mahu mengangkatnya. Kerjaku tidak akan beres.

“Perlahan-lahan ye,” pintaku lalu mula mengambil posisiku. Pasu mula digerakkan dengan susah payahnya. Pasu besar ini sungguh menyusahkan. Agaknya selepas ini pasu besar ini akan tetap berada pada posisi sekarang. Cukuplah ini kali pertama dan terakhir aku mengubah kedudukannya. Tidak sanggup lagi bersusah-payah seperti sekarang.

“Susun bata-bata itu sebelum pasu ini letak di situ,” arahnya lagi. Kali ini aku menurut sahaja perintahnya. Laju kucapai empat biji bata lalu kususun sebagai alas tapak pasu ini nanti. Sekurang-kurangnya ketika menyiram nanti pengaliran air akan lebih lancar. Sudah separuh bahagian pasu berada di atas bata.

“Susun betul-betul bata-bata itu,” Yen terus mengarah dan aku masih patuh pada arahannya. Tatkala aku sedang mengatur kedudukan bata-bata ini, tanganku tersentuh dengan permukaan tapak pasu. Bagai terkena renjatan elektrik aku menarik tanganku. Aku terus tegak berdiri. Terasa sejuk semacam. Bulu romaku meremang.

“Kenapa?” tanya Yen hairan menatapku. Aku hanya geleng kepala dan tersenyum hambar.

“Belum kemas lagi susunan bata itu,” tegur Yen seraya mengarahkan aku meneruskan kerja tersebut dengan lirikan matanya. Aku geleng kepala.

“Ooh... awak takutkan ulat. Tengok tu ada ulat di kaki awak,” laung Yen mengejutkan aku.

“Mana? Tidaaakkkkkk!” Aku menjerit sekuat hati. Bagai terkena histeria. Tendangan kakiku tidak tentu arah. Mahu cepat membuang ulat yang melekat di situ.

“Iman... Iman... bertenang...!” Yen cuba memegang tanganku. Namun pantas kutolak tubuhnya. Imaginasi aku nampak ulat itu sedang bergantung di atas kakiku dengan senang-lenang.  Aku masih terjerit-jerit sambil beraksi pelbagai gaya. Tidak cukup terlari-lari, kakiku berada di awangan sekejap-sekejap. Kemudian kugosok-gosok di atas rerumput. Air mata sudah mengalir di pipi. Dalam keadaan kelam kabut itu aku sudah tidak hiraukan laungan Yen. Sudah tidak jelas butiran bicaranya di telingaku. Tiba-tiba ... Pupp!! Tubuhku menghempap bumi.

“Iman!” Kepalaku terhantuk pada sebiji pasu yang ada di situ. Terasa panas mengalir di pipi. Dahiku berdarah. Aku masih tertiarap di situ sambil mengerang kesakitan. Yen memaut tubuhku lalu memapahku lantas melabuhkan punggungku di bangku kayu di halaman ini. Wajahku direnung dengan pandangan simpati.

Are you okay?” suaranya lembut bertanya. Aku hanya diam. Wajahku berkerut menahan pedih luka di dahiku. Tangannya laju mendarat di dahiku. Ditenung dahiku yang luka.

“Tunggu di sini saya ambil kotak first aid,” ujarnya lalu berlari meninggalkan aku di sini. Beberapa minit kemudian dia kembali bersama kotak first aid di tangannya. Kubiarkan sahaja dia membersihkan luka ini lalu meletakkan sejenis cecair di situ. Aku menggigit bibir menahan pedih. Ditampal plaster pada luka itu. Kotak first aid ditutup. Dia menatapku seketika. Laju tanganku mengesat sisa-sisa air mata di pipi. Dialih pandanga ke hadapan lalu dia menyandarkan tubuhnya di bangku di sebelahku. Aku masih diam. Sesungguhnya aku masih terkejut dengan kejadian sebentar tadi.

“Terima kasih,” ujarku mula bersuara setelah beberapa minit masing-masing mendiamkan diri.

“Maaf,” tiba-tiba perkataan itu keluar dari mulutnya. Aku menatap wajah itu. Hairan. Kenapa dia harus meminta maaf kepadaku? Mungkin dia berasa bersalah atas kejadian yang menimpaku.

“Awak takut ulat?” tanyanya. Aku diam. Tidak mahu menjawab pertanyaan itu.

“Tak sangka awak betul-betul takut ulat. Kenapa awak takut sangat pada ulat?” tanyanya membuat tafsiran sendiri. Aku diam membisu.

“Awak ada kisah pahit bersama ulat?” Pertanyaannya kedengaran agak lucu. Aku membuang pandangan jauh-jauh. Kalau boleh tidak mahu aku mengingati kisah lalu itu. Biarlah berkubur bersama peredaran waktu.

“Kepala saya tiba-tiba terasa berdenyut-denyut. Saya mahu berehat sekarang,” tuturku lantas bangun meninggalkannya termangu-mangu di situ sambil memerhatikan langkahku.

 

 %%%%%%%%%%%%%%%%%%

 

PERLAHAN-lahan aku membuka mataku. Tidak tahu sudah berapa lama aku tertidur. Kupandang jam loceng di atas almari solek. Hampir-hampir mencecah ke pukul 06.00 petang. Bingkas aku bangun tatkala teringat aku belum solat asar lagi. Bergegas aku melangkah ke bilik air mengambil wuduk. Lantas mengerjakan solat asar. Usai solat aku terus melangkah keluar bilik. Mahu menyediakan hidangan malam ini. Sayup-sayup kedengaran bunyi barang-barang berlaga di dapur. Apakah yang sedang dilakukannya? Dia lapar? Mungkin dia sedang masak maggie. Langkahku mati di ambang pintu dapur. Yen sedang sibuk mengacau-ngacau masakan di dalam periuk di atas nyalaan api dapur. Haruman wangian masakan itu menyerbu deria bauku sekali gus membangkitkan selera. Tiba-tiba terasa lapar pula perutku. Dia tampak leka sehingga tidak menyedari akan kehadiranku di situ. Aku berdehem-dehem kecil. Pantas dia berpaling.

“Awak dah bangun,” tuturnya menyapaku. Aku mengangguk lalu melangkah mendekatinya. Kujenguk ke dalam periuk itu. Tampak beberapa ketul potongan ayam bersama akar ginseng.

“Awak masak apa?” tanyaku ingin tahu.

Samgyetang,” balasnya ringkas.

Samgyetang?” tanyaku semula. Agak pelik nama masakan ini dan aku sama sekali tidak pernah mendengar mahupun merasanya. Mungkin sejenis masakan Korea. Nampak sedap sahaja.

Ginseng Chicken Soup. Sejenis masakan tradisional Korea. Sesuai dimakan dalam cuaca panas sekarang kerana menu ini mempunyai nutrisi yang sihat yang dapat meningkatkan tenaga setelah kehilangan tenaga melalui proses perpeluhan yang berlebihan,” jelasnya lengkap persis pakar pemakanan. Aku hanya mengangguk-angguk. Ada beras, bawang putih, lada kering, lada hitam, kurma kering merah dan daun bawang sebagai bahan-bahan campurannya.

“Dah masak. Awak nak rasa?” tanyanya. Aku mengangguk lagi.

“Okey, awak duduk di sana, kejap lagi saya hidang untuk awak,” tuturnya sambil mengarahkan aku duduk di meja makan. Aku patuh. Beberapa minit kemudian semangkuk samgyetang terhidang di depanku yang masih berasap-asap. Semangkuk untuknya sendiri.

“Terima kasih,” tuturku sambil mula menyudu-nyudu kuah cuba menyejukkan sup ini.

“Asalnya samgyetang ini ialah sup dari Pulau Cheju. Paling istimewa menu ini menggunakan akar ginseng segar dan dimasak seperti sayur dengan ayam.  Samgyetang boleh dimasak dalam claypot  dan disajikan saat masih panas. Di Korea, menu ini popular ketika musim panas sama ada di restoran ataupun di rumah. Kurma kering merah memberikan rasa manis yang kontras dengan ayam, nasi dan ginseng,” ceritanya lagi. Aku tekun mendengar bicaranya. Dalam hati kagum kepadanya. Tidak sangka ada juga pengetahuannya tentang makanan tradisional datuk moyangnya. Datuk orang Korea tulen. Nikah dengan wanita Melayu iaitu Datin Sodiah. Lahirlah Datuk Kamarudin Yen iaitu ayahnya. Kemudian ayahnya nikah pula dengan wanita Korea tulen, maka lahirlah pemuda Korea di depanku ini. Rentetan salasilah keluarga ini menyebabkan langsung tidak menampakkan ciri fizikal Melayu dalam dirinya sedangkan ada sedikit darah Melayu yang mengalir dalam tubuhnya. Aku perlahan-lahan menghirup sup ini. Berkerut dahiku. Terasa sedikit pahit. Yen menatapku.

“Ini ginseng Korea, ada sedikit rasa pahit. Ginseng ini makanan kesihatan boleh menguatkan badan dan awet muda,” jelasnya. Aku tersenyum.  Aku sedia maklum ginseng memang makanan tradisional yang penuh berkhasiat. Orang Cina pun suka mengamalkan pemakanan berasaskan ginseng. Sebetulnya ginseng juga mahal nilainya.

“Kalau bahasa Korea ginseng ini dipanggil apa?” tanyaku setelah beberapa ketika hanya menjadi pendengar setia.

Insam,” Aku mengulangi perkataan itu dalam hati. Sepatah perkataan baru kupelajari. Aku menghirup lagi kuah sup di mangkuk. Terasa menyegarkan. Bicara Yen ada benarnya.

“Selain samgyetang, awak boleh masak masakan Korea yang lain?” tanyaku ingin tahu.

Kimchee, Bulgogi, Beebimbap, Naengmyeon,” tuturnya membuatkan aku teruja mahu merasa semua masakan itu.

 “Hari lain awak masaklah semua tu, nanti saya rasa,” pintaku.

“Boleh,” ujarkan memberikan kesanggupan menunaikan janjinya. Aku tersenyum suka mendengar janjinya itu.

“Datin Sodiah pandai masak semua ini?” tanyaku lagi.

“Mestilah. Perempuan yang kahwin dengan lelaki Korea wajib tahu semua masakan ini,” jelasnya. Aku diam. Begitu juga Yen. Dia memandangku seketika. Kemudian mengalih pandangan pada sup di dalam mangkuk. Lantas dia terus menikmatinya.

“Awak boleh ajar saya masakan Korea?” tanyaku memecahkan kesepian. Dia menatapku. Yen mengangguk dan tersenyum. Aku senyum.  

“Datin Sodiah yang ajar awak masak menu ini?” tanyaku ingin mengetahui lebih lanjut. Dia geleng kepala.

“Ibu saya,” balasnya pendek. Senyap. Wajahnya tampak sugul. Timbul kekesalan dalam hati kerana telah mengutarakan pertanyaan ini kepadanya. Mungkin pertanyaan ini begitu sensitif buatnya.

“Saya belajar dengan ibu saya ketika saya study di Korea. Saya patut belajar masakan ini. Kalau saya merinduinya, saya akan buat masakan ini. Sekurang-kurangnya saya dapat merasakan kehadirannya ketika saya menikmati sup ini,” luahnya tanpa dipinta. Aku terdiam. Aku dapat merasakan perasaannya tika ini. Yen kesunyian dan kesepian. Pasti dia rindukan ibunya sekarang. Namun perasaan itu dipendam. Yen menatapku dengan senyuman. Barangkali dia cuba menyembunyikan gelodak emosinya dariku.

“Makanlah banyak-banyak. Saya masak khas untuk awak supaya awak nampak lebih kuat dan bertenaga melawan seekor ulat,” ujarnya. Aku terdiam. Kutatap wajahnya. Yen sudah tersenyum. Akhirnya aku juga turut senyum.

“Terima kasih kerana buat masakan berkhasiat untuk saya,” tuturku sebelum menghirup sup terakhir di sudu.

Gomawoyo (terima kasih),” ulangku dalam bahasa Korea pula. Yen tersenyum.

“Kalau awak rindukan ibu awak, calllah dia. Mendengar suaranya pasti rindu awak itu akan berkurangan,” tuturku perlahan dan cukup berhati-hati agar tidak mengguris perasaannya.Yen menatapku. Tiada sebarang bicara keluar dari mulutnya. Bingkas aku bangun lalu membawa mangkuk ke singki. Yen masih duduk termenung di situ. Kedengaran gesaran kerusi ditolak. Aku menoleh dan melihat langkah Yen beredar pergi. Tersinggungkah dia dengan bicaraku sebentar tadi? Usai mengemas meja makan dan dapur, laju aku memijak anak tangga hendak ke bilik di tingkat atas. Tidak sabar mahu membaringkan diri di atas tilam empuk. Tatkala aku melewati bilik Yen, langkahku terhenti.

“Hello... mama...,” sayup-sayup kedengaran suara Yen berbicara. Aku tersenyum sendiri. Senang hati dengan tindakan Yen. Lantas aku menyambung langkahku semula.

No comments:

Post a Comment