Monday, 12 July 2021

Awaklah SonataKu....Bab 15

Aku menatap sekeliling bilik tidur milik Yen ini. Sudah sekian lama ditinggalkan oleh tuannya. Namun segala nampak elok dan terjaga. Langsung tiada habuk dan tersusun kemas. Mesti Puan Sodiah mahupun Datuk Kamarudin menjaga bilik ini dengan baik. Aku bergerak mendekati almari rak kayu yang dipenuhi buku-buku tersusun rapi. Kuteliti satu persatu. Tiada satupun yang berkisar tentang muzik. Berbeza dengan buku-buku yang terdapat di banglo Yen kebanyakan ialah buku berkaitan muzik. Terbukti kebenaran bicara Puan Sodiah. Datuk Kamarudin tidak merestui minat Yen yang cenderung ke arah bidang muzik. Justeru, sudah pasti dilarang keras apa-apa sahaja buku berkaitan muzik berada di sini. Aku yakin pasti Yen terasa terkurung di sini sebab itulah dia lebih selesa tinggal bersendirian.

Kucapai majalah prasekolah yang sudah kelihatan begitu lama tetapi masih rapi. Agaknya sudah sekian lama bertapa di situ. Paling memeranjatkan malam ini tiba-tiba sahaja tuannya muncul dan sekarang berada di bilik ini. Sudah pasti banyak kenangan yang boleh Yen imbau di sini. Aku bergerak ke sudut kanan bilik ini lalu melabuhkan duduk di situ. Mula menyelak helaian demi helaian. Aku tersenyum sendiri tatkala melihat gambar Yen di ruangan murid-murid prasekolah sesi 1995. Comel sangat dan tampak asing jika dibandingkan dengan wajah-wajah teman sekelas yang lain. Kiranya bolehlah dia dikategorikan sebagai makhluk asing yang terhandsome. He...he...he... Senyumanku semakin lebar tatkala menatap pelbagai ragam yang dapat disaksikan di ruangan aktiviti prasekolah. Hatiku terpaut pada sekeping gambar kadet yang diambil ketika sambutan Hari Keluarga Prasekolah. Kutatap lama aksi tiga beranak itu. Nampak sebuah keluarga yang sempurna dan bahagia. Kutatap wajah perempuan itu kemudian beralih ke wajah Datuk Kamarudin. Mereka memang pasangan yang sempurna sama cantik sama padan bagai cincin dengan permata. Namun tidak dijangka masa depan yang menanti.

 

Sungguh aku menyesali penceraian yang berlaku antara mereka. Melihat gambar ini jelas mereka ialah pasangan yang bahagia. Tidak disangka akhirnya mereka berpisah juga. Soal jodoh memang sudah menjadi ketentuan dan ketetapan Yang Maha Kuasa. Qada dan qadar Allah. Sebagai hambaNya kita harus menerima semua ini dengan reda.

“Awak tengok apa tu?” soal Yen. Aku berpaling.Yen yang leka membaca buku sedang menatapku. Aku tersenyum.

“Comel juga awak masa kecil ye,” pujiku ikhlas.

“Tengok oranglah,” balasnya bangga sambil tersenyum. Aku mencebik. Pantang dipuji sedikit sudah melambung bangganya. Yen tergelak. Aku bergerak ke rak buku itu semula memulangkan majalah prasekolah ini. Kucari kesinambungan majalah sekolah seterusnya. Tiada.

“Mana majalah sekolah yang lain-lain? Saya nak tengok awak ketika berada di tingkatan,” tanyaku sambil meneruskan pencarian pada rak buku itu.

“Itu majalah sekolah pertama dan terakhir yang saya beli. Lepas tu saya tak beli lagi,” terang Yen dengan nada suara yang berbeza dari tadi. Tanganku terus terhenti. Aku terdiam. Menurut Puan Sodiah Datuk Kamarul bercerai dengan isterinya ketika Yen di prasekolah lagi. Barangkali inilah gambar terakhir Yen bersama ibu bapanya. Pasti selepas itu hidup Yen telah berubah. Penceraian ibu bapanya menjadikan kehidupan Yen penuh kesedihan. Kasihan Yen. Aku kembali duduk di kerusi tadi. Tidak sampai hati aku hendak menatap wajah Yen tika ini. Pasti dia sedang berduka sekarang. Senyap beberapa minit.

“Awak nak tahu kenapa saya tak beli majalah sekolah selepas tu?” suara Yen memecah kesepian. Aku menatap Yen. Dia tersenyum tawar.

“Ye...,” di luar dugaanku Yen masih mahu membicarakan hal ini.

“Itu gambar terakhir saya bersama ibu bapa saya,” luah Yen perlahan. Tepat sangkaanku. Aku terdiam. Sedih dan simpati menerjah hati. Aku tahu pasti dia terseksa tatkala terpaksa berpisah dan berjauhan dengan ibunya yang kembali ke Korea selepas penceraian itu. Lantas aku menghadiah surah al-fatihah buat arwah ibu Yen. Mak mertua yang tidak sempat aku temui malah aku tidak berpeluang berbicara dan mendengar suaranya. Aku hanya menatap wajahnya pada potret yang tergantung di dinding bilik tidur Yen.

“Awak menyalahkan Datuk Kamarudin atas penceraian yang berlaku?” soalku yang tiba-tiba disuntik keberanian untuk mengutarakan pertanyaan ini. Yen menatapku seketika. Kemudian mengalih pandangan pada buku di tangannya. Kembali meneruskan pembacaan. Dia tidak menjawab pertanyaanku. Mungkin juga dia menyalahkan Datuk Kamarudin kerana menceraikan ibunya. Bukankah penceraian yang berlaku atas persetujuan dan kerelaan hati masing-masing. Ini yang Puan Sodiah ceritakan kepadaku. Mustahil Puan Sodiah sengaja mereka cerita semata-mata tidak mahu mengaibkan anaknya. Aku 100% percaya pada bicara Puan Sodiah. Sepanjang perbualanku dengan Puan Sodiah, sama sekali aku tidak pernah mendengar Puan Sodiah memburuk-burukkan bekas menantunya itu malah pujian kepada arwah ibu Yen tidak putus-putus sehingga aku dapat merasakan betapa sayang dan bangga Puan Sodiah terhadap menantunya itu. Puan Sodiah begitu menyayangi Puan Juelianie Yen, ibu pemuda Korea ini.

 “Awak tak sedar betapa keluarga awak sayangkan awak. Tengok saja bilik ni, walaupun awak tak tinggal di sini tapi tetap dijaga dengan baik. Ini menunjukkan betapa mereka sentiasa berharap awak akan kembali ke sini lagi,” ujarku perlahan cuba memujuk rajuk Yen yang sudah bertapa sekian lama dalam dirinya.

“Awak tak nampak betapa terujanya Puan Sodiah dan Datuk Kamarudin bila awak kata nak tidur kat sini malam ni,” tambahku lagi. Masih terbayang di mataku keterujaan yang terpamer di wajah Puan Sodiah dan Datuk Kamarudin. Kesudian Yen bermalam di sini adalah sesuatu yang begitu bermakna buat mereka setelah bertahun-tahun Yen meninggalkan Villa Sentosa ini. Kupandang Yen. Dia tetap diam membisu. Aku berharap dia akan mempertimbangkan bicaraku itu.

“Jang Geun Suk, susah sangat ke awak nak berbicara dengan Datuk Kamarudin? Kenapa awak hanya mendiamkan diri bila dia ada bersama kita tadi?” soalku berharap Yen akan memberikan penjelasan. Segala masih segar di ingatanku. Yen yang rancak berbicara denganku dan Puan Sodiah diam membisu tatkala Datuk Kamarudin muncul di ruang tamu. Begitu juga dengan Datuk Kamarudin bagai kehilangan suara di depan Yen. Betapa serius masalah yang mereka hadapi. Berasas juga bicara Puan Sodiah kedua-dua sama degil. Masing-masing tidak beralah. Yalah di mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Ayah borek anak rentik. Bagaimana acuan begitulah kuihnya. Perangai ibu bapa selalu diwarisi oleh si anak. Mungkin Datuk Kamarudin dan Yen tidak menyedari persamaan mereka ini. Yen masih senyap. Pertanyaanku langsung tidak dijawab. Aku menyandarkan tubuh di kerusi lalu mendongak menatap siling. Berfikir seketika. Program Hari Keluarga melintas di fikiranku. Aku tersenyum sendiri. Ada rencana yang perlu aku lakukan. Pasti Puan Sodiah bersetuju. Tidak salah kalau aku dan Puan Sodiah mencuba nasib.

“Tetiba je nak pergi memancing. Esok awak free? Jomlah memancing. Awakkan suka memancing,” ajakku cuba mempengaruhi Yen. Yen menatapku. Ekspresi wajahnya sukar untuk dibaca. Mungkin sedikit terasa dengan ajakanku ini. Mungkin juga aku telah mengembalikan kenangan lalu. Itulah niat sebenarku. Yen dan Datuk Kamarudin berkongsi hobi itu. Ketika zaman kanak-kanaknya, Datuk Kamarudin akan menghabiskan masa hujung minggu memancing bersama Yen. Cerita indah yang aku dengar dari mulut Puan Sodiah.

“Dah lupa teknik memancing sebab dah lama tak pergi memancing,” ujar Yen membalas ajakanku.

“Saya ajar awak,” cepat aku menyahut menawarkan khidmat. Yen tersenyum sinis kepadaku.

“Betul ke awak ni reti memancing,” perlinya. Aku mengangguk serius. Sebenarnya aku bukanlah mahir dalam memancing. Sekadar memasang umpan dan membaling pancing ke sungai bukan susah pun. Tidak payah berprosedur sangat.

“Kalau awak tak yakin dengan kebolehan saya, awak boleh minta Datuk Kamarudin ajar awak,” cadangku cuba melihat reaksinya tatkala mendengar nama itu. Yen senyap.

“Saya dengar dia terror bab memancing ni. Mesti awak kalah dengan dia,” ujarku sengaja mencabarnya. Paling penting aku berjaya membuatkan Yen bersetuju untuk menyertai kami nanti. Aku yakin Puan Sodiah dan Datuk Kamarudin tiada masalah untuk pergi.

“Awak tak tahu lagi kepakaran saya. Saya takkan mudah ditewaskan,” bantah Yen tidak bersetuju dengan bicaraku. Aku tersenyum sendiri.

“Awak tunjukkan pada saya. Cakap saja tak guna,” balasku. Serasa peluangku untuk mengajak Yen menyertai Hari Keluarga yang aku rancang ini semakin cerah. Dasar lelaki yang tidak mahu kalah. He...he... he... Ada juga baiknya perangai dia macam ini. Sekurang-kurangnya mudah juga aku hendak melaksanakan rancanganku.

“Bagaimana? Boleh tak awak lupakan seketika kerja awak? Saya nak cabar awak memancing ni,” tuturku lagi seraya menadah doa semoga Yen bersetuju untuk menyertainya. Tanpa kehadiran Yen rancanganku ini tidak akan bermakna. Yen senyap lagi. Mungkin sedang berfikir.

“Kenapa? Awak takut saya dan Datuk Kamarudin akan tewaskan awak?” soalku membangkitkan perasaan tercabarnya sekali gus mahukan Yen segera menyahut cabaran ini.

“Siapa kata saya takut. Saya takkan kalah,” bidas Yen dengan egois.

“Ego awak tinggi sangat,” perliku.

“Okey, kita tengok esok siapa yang akan menang,” balas Yen.

So awak akan pergilah ni?” soalku teruja.  Namun cepat aku sedar. Aku cuba mengawal diri. Aku tidak boleh memperlihatkan kepada Yen yang aku berharap sangat dengan penyertaannya. Nanti tidak pasal-pasal rosak rancanganku. Yen nampak berfikir seketika. Dia tersenyum simpul. Pandangan nakalnya menatapku.

“Saya boleh pergi tapi dengan syarat malam ni benarkan saya tidur di sebelah awak. Saya tak nak tidur kat bawah atau atas kerusi tu,” pintanya.

“Okey takde masalah,” balasku tanpa berfikir panjang. Dasar buaya darat. Dia ingat sewenang akan mengambil kesempatan kepadaku. Jangan harap aku akan berdiam diri kalau Yen cuba berkelakuan tidak senonoh kepadaku.

“Betul awak tak kisah?” Yen nampak terkejut dengan persetujuanku itu. Memang dia tidak menyangka begitu mudah aku membenarkan. Aku mengangguk. Aku tidak kisah pun kalau dia hendak tidur di atas katil itu. Itukan katil dia. Lagi pun sudah bertahun-tahun dia tidak berbaring di situ. Jadi biar malam ini dia tidur di situ. Mana tahu malam ini dia bermimpikan Datuk Kamarudin lalu bangun dari tidur terus berbaik dengan ayahnya.

Detik pukul 12.00 tengah malam kulihat Yen sudah tidur nyenyak. Aku menguap beberapa kali. Mengantuk. Kuletakkan buku di tangan di atas meja. Aku menjengkit perlahan-lahan mendekati katil agar tidak mengejutkan tidur Yen. Kucapai bantal dan selimut lalu menebarkan ke lantai di sebelah Yen bagi memenuhi syarat yang dipersetujui tadi. Aku meletakkan kepala di bantal dan membaringkan diri di situ. Aku harus tidur sekarang kerana aku perlu bangun awal esok memaklumkan perkara ini kepada Puan Sodiah serta membuat persediaan Hari Keluarga. Mudah-mudahan segala yang dirancang berjalan lancar. Semoga Allah memperkenankan. Amin.

 

%%%%%%%%%%%%%%%%%

 

Usai solat subuh berjemaah yang diimankan oleh Datuk Kamarudin, aku membisikkan Program Hari Keluarga yang aku rancang malam tadi kepada Puan Sodiah. Begitu teruja Puan Sodiah mendengarnya. Lantas 100% kerjasama diberikan kepadaku.

“Nenek nak buat apa?” soalku tatkala melihat Puan Sodiah sedang sibuk menyiapkan bahan- bahan masakan yang turut dibantu oleh Santie, pembantu rumah yang sudah lama berkhidmat kepada keluarga ini.

“Nenek nak buat kimbap,” ujar Puan Sodiah penuh bersemangat. Yen gemar sangat kimbap. Aku pun suka. Malang perutku tidak berdaya tahan.

“Biar saya bantu nenek,” ujarku menawarkan khidmat. Aku pernah belajar membuat kimbap daripada Puan Sodiah. Puan Sodiah tersenyum senang.

“Nenek ada buat special sandwich untuk Iman,” ujar Puan Sodiah begitu prihatin. Aku tersenyum suka.

Gomawoyo / terima kasih,” ujarku berbesar hati atas keprihatinan itu. Aku mengambilalih tugas Santie yang membantu Puan Sodiah menyiapkan kimbap. Kali ini tidak perlu merujuk resipi lagi. Kiranya tidak sia-sia Puan Sodiah menurunkan ilmu kepadaku. Aku bergerak meninggalkan Puan Sodiah ke halaman tatkala kedengaran bunyi deruan kereta. Aku tersenyum menyambut kedatangan Pak Mahat.

“Semua beres Pak Mahat?” soalku. Dia mengangguk tersenyum lalu menunjukkan barang-barang yang kusenaraikan minta dibeli tadi.

“Baki wang ada kat dalam plastik tu,” beritahu Pak Mahat.

“Terima kasih Pak Mahat,” tuturku. Kusambut dua bauh beg plastik yang Pak Mahat hulurkan kepadaku. Kuteliti barang-barang keperluan memancing yang ada di dalam setiap beg plastik. Segala kelengkapan memancing ada. Aku tersenyum puas. Persiapan yang begitu sempurna.

“Apa tu Iman?” Aku berpaling. Datuk Kamarudin sedang melangkah mendekatiku. Ditatap dua beg plastik yang tergantung di tanganku.

“Pancing dan kelengkapan memancing, ayah,” jelasku lebih lancar.

“Mari sini ayah tolong kamu pasang mata kail,” arahnya.

“Boleh juga,” tuturku berbesar hati lalu bergerak mendekati Datuk Kamarudin. Kami memulakan aktiviti memasang pancing di anjung santai di halaman ini.

“Ayah memang suka memancing ye?” tanyaku mula mengajaknya berbicara.

“Suka. Ada masa free hujung minggu mesti pergi memancing dengan kawan-kawan,” cerita Datuk Kamarudin ceria.

“Kiranya ayah nie kaki pancing ler kan. Kaki pancing nie selalunya penuh ilmu di dada” bicaraku membuatkan Datuk Kamarudin tersenyum.

“Saya ni suka memancing tapi tak mahir. Zaman kanak-kanak dulu selalu juga memancing kat sungai hujung kampung,” tambahku bercerita. Kenanganku memancing bersama Lili masih segar dalam ingatan. Setiap kali selepas memancing balik sahaja ke rumah, Mak Long akan marahkan aku.

“Kau ni bukan pergi memancing pun, tapi merayau-rayau nak menggatal cari jantan,” bicara pedas Mak Long yang tidak mungkin aku lupakan. Walaupun Lili serangkali berusaha membuktikan bahawa dia ada bersamaku tika itu, Mak Long tetap enggan menerima niat baik kami untuk mendapatkan ikan agar boleh dibuat lauk untuk hidangan malam. Mak Long masih berkeras menafikan setiap kebaikan yang cuba aku lakukan. Aku mengeluh kecil menyesali sikap Mak Long yang tidak pernah berbaik denganku.

“Paling penting elakkan aktiviti tepat jam 12 tengah hari atau 12 malam. Amalkan doa atau membaca ayat suci al-Quran sebelum melakukan perjalanan sama ada di darat atau di laut untuk keselamatan dalam setiap perjalanan,” Aku tersentak mendengar suara Datuk Kamarudin. Mujur dia tidak menyedari cetusan keluhanku tadi. Kalau tidak bisa mengundang persoalan dalam dirinya.

“Kenapa pula tak boleh, ayah?” soalku ingin tahu.

“Tidak digalakkan sebab waktu itu syaitan sedang bermaharajalela. Bergerak pada waktu begini sering dikaitkan dengan masa yang bahaya,” jelasnya.

“Namun dalam apa juga kepercayaan yang dikaitkan demi menjaga keselamatan dalam perjalanan, doa kepada Allah sebaik-baik amalan yang mesti dilakukan cuma sebagai ikhtiar, petua juga memainkan peranan dengan izin Allah,” tokok bicara Datuk Kamarudin.

“Pernah ke kejadian misteri menimpa ayah atau kawan-kawan ayah ketika nak memancing?” soalku teruja ingin tahu. Datuk Kamarudin tersenyum dan mengangguk.

“Siapa? Ayah ke?” soalku kian teruja untuk mengikuti kisah selanjutnya.

“Pengalaman seorang kawan yang kebetulan terlupa lalu tergesa-gesa ke lokasi untuk bertemu dengan kami yang sudah menunggu. Kawan ni meninggalkan rumah tepat jam 12 tengah malam. Dia tak menemui lokasi tempat kami  menunggu. Bila dia berpusing jalan untuk masuk ke lorong lokasi tapi bertemu semula tempat mula dia bergerak tadi,” cerita Datuk Kamarudin buat aku tergamam. Sempat juga aku imaginasi. Kalau aku yang berada dalam situasi tersebut pasti kalut jadinya. Bahkan aku akan meraung-raung ketakutan.

“Apa yang berlaku lepas tu ayah?” soalku tidak sabar-sabar hendak mengetahui cerita seterusnya. Datuk Kamarudin tersenyum lagi.

“Dia teringat petua orang tua dengan melaungkan azan sekuat-kuat suara. Kemudian kami pun menemui dia yang berada tidak jauh dari tempat kawan itu disesatkan jalan oleh syaitan,” penyudah cerita Datuk Kamarudin membuatkan aku menarik nafas lega. Mujur juga perkara buruk tidak menimpa dirinya. Paling penting tidak terjumpa makhluk-makhluk aneh yang menakutkan.

“Jaga peralatan memancing seperti isteri. Peralatan pancing perlu dijaga dengan rapi terutama peralatan seperti mata kail, pisau, tali perambut, kekili dan joran. Menjaga alat memancing sangat perlu dilakukan sebelum atau selepas melakukan aktiviti memancing kerana peralatan ini dapat menjamin keselesaan memancing walaupun berdepan spesies ikan besar,” tambah Datuk Kamarudin berkongsi pengalaman dan pengetahuan.

“Kita kena sayang dan menjaga baik joran pancing dan peralatannya seperti menjaga isteri barulah dapat mesranya,” ujar Datuk Kamarudin penuh makna. Aku tergelak sendiri. Terasa seronok dapat berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan Datuk Kamarudin seorang kaki pancing. Dia tidak lokek ilmu persis Puan Sodiah. Bicara Datuk Kamarudin memberi erti yang mendalam sambil mengharapkan pemancing harus menyayangi peralatan memancing seperti sayangkan isteri supaya berjaya meraih rezeki lumayan. InsyaAllah. Langkah pemuda itu terhenti di ambang pintu. Deraian tawa gadis itu masih kedengaran. Perbualan mereka begitu rancak. Kemesraan mereka sedikit dicemburui.

“Jang Geun Suk, buat apa awak tercengat kat situ? Marilah sini tolong pasang pancing ni!” panggilku pada Yen yang berdiri di ambang pintu. Dia dikejutkan dengan suara gadis itu.

“Iman panggil Yen siapa?” soal Datuk Kamarudin kehairanan menatapku. Aku tersenyum.

“Anak teruna ayah tu mirip aktor Korea, Jang Geun Suk. Ayah tahu pelakon tu?” bisikku kepada Datuk Kamarudin agar tidak didengari oleh Yen. Aku masih mahu merahsiakan dari pengetahuan Yen.

“Kalau dah kahwin, mana boleh dipanggil teruna lagi!” bidas Datuk Kamarudin dengan wajah berkerut seribu. Oppss! Aku tersilap langkah. Bukan silap langkah tetapi silap penggunaan gelaran. Hakikatnya dari mata kasar memang tepat Yen teruna. Tidak tahu pula kalau dia tidak teruna lagi. He... He... He… Sesungguhnya, hanya Yen sahaja yang tahu tentang status dirinya sama ada masih teruna atau tidak. Huh… Huh.Huh. Allah Wa Alam! Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui. God be with you, and Only God knows!

 

AKU bergegas melangkah ke kereta mendahului langkah Datuk Kamarudin. Segera aku masuk ke ruangan penumpang belakang di sebelah Puan Sodiah. Biarlah Datuk Kamarudin duduk di sebelah Yen di depan ini. Memang ini tempat yang selayaknya untuk Datuk Kamarudin. Berpadananlah dengan misi yang aku lancarkan bersama Puan Sodiah. Tatkala Datuk Kamarudin duduk di sebelah Yen, aku nampak Yen menarik nafas panjang. Aku dan Puan Sodiah berpandangan saling bertukar senyuman. Sepuluh minit sudah perjalanan dimulakan. Sunyi tanpa sebarang bicara. Yen dan Datuk Kamarudin langsung tiada tanda-tanda yang menunjukkan ingin berbicara. Yen fokus  pada pemanduan. Datuk Kamarudin leka memandang ke sisi tingkap. Masing-masing membawa haluan sendiri. Aku dan Puan Sodiah berpandangan lagi. Aku jengkit bahu. Bosan kalau keadaan begini berterusan.

“Ayah, apa waktu terbaik untuk memancing?” suaraku memecah kesepian. Datuk Kamarudin berpaling menatapku sekilas. Dia tersenyum. Yen langsung tidak menunjukkan reaksi. Dia mematungkan diri sahaja.

“Masa paling sesuai untuk memancing adalah pada waktu senja sebelum matahari terbenam di kaki langit, tengah malam dan waktu awal pagi sebelum terbit fajar,” jelas Datuk Kamarudin.

“Kenapa pula waktu-waktu tersebut?” soalku lebih lanjut.

“Waktu senja pilihan pertama, kerana pada waktu ini ikan akan keluar mencari makan dan akan berada dalam kawasan karang, lubuk atau tukun. Pilihan kedua pada waktu tengah malam. Ini kemungkinan ada spesies ikan besar keluar mencari makanan seperti anak ikan sama ada di dasar laut mahu pun di permukaan air yang dihuni oleh banyak spesies ikan kecil bermain. Tetapi ada risiko tentang arus air yang deras yang bakal kita hadapi,” jelas Datuk Kamarudin lengkap. Aku mengangguk-angguk mula memahami.Puan Sodiah sekadar senyum kepadaku.

“Terbaik ialah pada waktu awal pagi yang bermula pukul 4.00 hingga 6.00 pagi. Kamu tahu kenapa jam begini dikatakan waktu terbaik untuk memancing?” soal Datuk Kamarudin pula cuba mengujiku. Senyap. Aku berfikir seketika. Buntu. Kutatap Puan Sodiah berharap dia akan berbisik kepadaku memberikan jawapan untuk persoalan Datuk Kamarudin itu.

“Pada waktu itu ikan akan keluar semula mencari makan dalam keadaan lebih ganas kerana sedang kelaparan. Itu pun awak tak boleh fikir,” kutuk Yen yang tiba-tiba menyampuk sekali gus menjawab pertanyaan Datuk Kamarudin yang ditujukan kepadaku.

“Memang macam tu jawapan saya,” balasku tidak mahu mengaku kalah membuatkan Datuk Kamarudin dan Puan Sodiah tersenyum sendiri. Yen sempat menatapku melalui cermin pandang belakang. Aku menjeling. Yen tersengih sinis.

“Okey, kalau awak bijak, kenapa orang yang nak memancing disarankan agar tidak terlalu kenyang atau terlalu lapar?” soal Yen cuba memperkecilkan kebolehanku.

“Mudah je... sebab kalau terlalu kenyang  kita pasti  mengantuk, letih malah sukar bergerak pantas. Jika lapar pula kita pasti tidak selesa malah akan sentiasa mencari makanan. Jadi takde fokus pada pancing. Betul tak ayah?” jawabku begitu yakin sambil mula melibatkan Datuk Kamarudin.

“Betullah tu,” balas Datuk Kamarudin.

“Aa... tengok. Saya pun terrorlah,” ujarku melontar bicara pada Yen. Dia tersenyum. Alahai... menggoda senyuman dia! Rasa nak tampal saja lesung pipit kat pipi dia itu. Jealouslah... He... he... he...!

“Sebab tu bagi nelayan atau pengail veteran macam ayah ni, sarapan yang diambil awal pagi sebelum turun ke laut cukup dengan sekadar mengambil secawan kopi-o panas dengan sekeping roti ditambah dengan dua biji telur ayam kampung rebus atau separuh masak,” tambah Datuk Kamarudin.

“Namun perlu berhati-hati supaya sarapan tak terlalu lewat kerana boleh mengakibatkan perut masuk angin dan keselesaan untuk memancing akhirnya hilang,” sampuk Puan Sodiah yang hanya jadi pendengar sejak dari tadi.

“Eh, nenek pun tahu perihal memancing!” ujarku tersenyum mengusiknya.

“Mestilah. Suami nenekkan kaki pancing juga. Nenek selalu memancing dengan dia. Ni hobi warisan keluarga yang turun dari satu generasi ke satu generasi dalam keluarga Yen,” balas Puan Sodiah tersenyum. Aku terus tergelak. Lucu pula bila Puan Sodiah menyatakan hobi turun-temurun dalam keluarga Yen. Betulkah ada macam tu.

“Kalau kamu ada anak nanti pastikan dia juga suka memancing,” tambah Puan Sodiah lagi membuatkan tawaku serta merta terhenti. Kupandang Yen pada cermin. Dia tersengih.

“Dan pandai main gitar macam ayah dia,” tambahku tanpa disedari. Segala berlaku begitu pantas. Sungguh aku tidak merancang mengeluarkan bicara itu. Sedikit pun aku tidak berniat. Senyap. Aku menampar-nampar mulut atas kelancangan dan keterlanjuran bicaraku itu. Hal ini begitu sensitif untuk diperdengarkan kepada Datuk Kamarudin. Disebabkan muzik juga hubungan Yen dengan Datuk Kamarudin dingin.

“Kamu suka muzik?” soalan itu tiba-tiba keluar dari mulut Datuk Kamarudin. Yen dan Puan Sodiah melontar pandangan kepadaku. Senyap seketika. Aku segera membuat pertimbangan sama ada menjawab persoalan ini atau membiarkan sahaja berlalu.

“Maaf, saya memang suka muzik. Kalau diberi peluang dan kesempatan saya ingin memiliki kemahiran bermain gitar macam Yen,” balasku jujur tanpa dipengaruhi. Bicara ini lahir dari hatiku.

“Kenapa?” soal Datuk Kamarudin ingin tahu.

“Muzik menghiburkan hati yang lara, menghilangkan sunyi. Bahkan kalau kena caranya, muzik boleh dijadikan punca rezeki. Tengok saja artis-artis Barat, mereka jadi jutawan apabila berjaya dalam bidang muzik ini. Begitu juga dengan diva Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza. Contoh terdekat Yen. Dia boleh hidup mewah dengan kemahiran yang merupakan anugerah yang Allah berikan kepadanya. Kita tak boleh kata muzik ini melemahkan. Sayang kalau anugerah yang Allah berikan ini tak digunakan sebaik-baiknya. Disiplin diri juga penting. Malah saya terbaca orang yang paling berdisiplin ialah pemuzik yang berjaya,” ujarku bersungguh-sungguh. Kali ini aku lihat Puan Sodiah tersenyum lebar. Kupandang pada cermin itu. Senyuman yang nampak begitu ikhlas juga terukir di bibir Yen.

“Kenapa?” soal Datuk Kamarudin merujuk kenyataanku tadi.

“Seorang artis walaupun berbakat, dia takkan bertahan lama dalam industri hiburan jika tidak berdisiplin. Akan timbul banyak gosip liar yang boleh menjatuhkan dirinya. Justeru, selain bakat yang dimiliki, artis mesti menepati masa dan pandai menjaga diri. Datuk Siti Nurhaliza, selain berbakat, dia juga artis yang berdisiplin. Sebelum menamatkan zaman bujang, mana ada gosip-gosip liar tentang dirinya. Sebab itulah dia berjaya dalam keriernya. Tambahan pula perjuangan seninya juga mendapat restu keluarga, terutama restu kedua ibu bapanya,” terangku panjang lebar dan bersungguh-sungguh. Puan Sodiah tersenyum lagi. Begitu juga Yen. Barangkali dia berasa aku sedang membela dirinya sekali gus berpihak kepadanya.

So ayah mesti merestui perjuangan Yen agar bidang yang Yen ceburi sekarang lebih berjaya,” pintaku perlahan cuba memujuk Datuk Kamarudin. Peluang membicarakan hal ini kepada Datuk Kamarudin sudah terbuka di depan mata. Aku tidak akan melepaskan begitu sahaja. Puan Sodiah menunjukkan ibu jari kepadaku. Pasti dia bersetuju sangat dengan bicaraku ini.

“Kamu kata tadi anugerah Allah. Cuba jelaskan,” pinta Datuk Kamarudin lagi tidak mahu memberikan tindak balas pada permintaanku sebentar tadi.

“Tak semua orang boleh menyanyi dengan baik, mahir bermain alat muzik, boleh memetik gitar untuk mencipta irama dan melodi indah dan boleh mencipta lagu. Kemahiran ini ialah anugerah Allah kerana hanya orang tertentu saja yang memilikinya,” jelasku dengan yakin. 

“Itu bagi yang ada pendirian dan disiplin yang tinggi. Namun kebanyakan  anak muda sekarang tiada pegangan dan sering hanyut dalam kemasyhuran yang dikecapi malah melalaikan orang lain yang fanatik pada muzik. Itu yang ayah tak suka,” tegas Datuk Kamarudin memberi komen sambil melirik ke arah Yen.  Bicara itu memang ditujukan khas kepada pemuda Korea itu. Aku tersenyum sendiri. Puan Sodiah sudah berwajah kelat. Dari reaksi yang ditunjukkan jelas dia kurang bersetuju dengan kenyataan Datuk Kamarudin itu. Perang dingin keluarga sedang dilancarkan. Dua lawan satu. Aku sekadar berada di tengah-tengah. Tidak mahu berpihak di mana-mana.

“Takpe ayah, saya akan pastikan Yen tak hanyut mahu pun menghayutkan orang lain,” balasku bersahaja disambut senyuman lebar Puan Sodiah. Datuk Kamarudin juga turut tersenyum. Dari cermin pandang belakang ini Yen sedang memandangku. Pandangannya kubalas dengan sengihan.

Kami sudah sampai ke dentinasi yang dituju. Aku mendahului yang lain keluar dari Mercedez Benz milik Yen ini. Dua tiga kali aku menggeliat cuba menghilangkan lenguh akibat terlalu lama di dalam kereta. Masing-masing mula sibuk mengangkat barang-barang keperluan. Aku membantu Puan Sodiah membawa bekal-bekal yang telah disiapkan awal pagi tadi.

Gomawoyo / terima kasih,” suara Yen singgah di telingaku. Aku berpaling ke arah Yen di sebelahku. Dia tersenyum. Mesti dia terhutang budi setelah aku bersusah payah berhujah dengan Datuk Kamarudin tadi.

“Jangan lupa belanja saya makan nanti,” balasku bergurau buat Yen tersenyum lagi. Aku mendapatkan Puan Sodiah yang sudah membentang tikar. Kutatap permukaan sungai yang tampak tenang di depanku. Sebelum matahari terbenam ialah masa yang sesuai untuk memancing. Kulihat Datuk Kamarudin sudah mencari lokasi untuk melabuhkan mata pancingnya. Beberapa minit kemudian, mata pancing sudah dilontar ke pemukaan sungai. Aku segera mengatur langkah ke arah Datuk Kamarudin tidak mahu ketinggalan lalu duduk di sebelahnya. Datuk Kamarudin tersenyum kepadaku.

“Bawa sini pancing kamu tu biar ayah tolong pasang umpan,” ujar Datuk Kamarudin melayanku dengan baik. Aku tersenyum suka. Berpeluang juga aku bermanja-manja dengan ayah mertuaku ini. Mata pancing yang sudah terpasang umpan terus aku labuhkan. Fokus pandanganku terarah pada pancing.

“Betulkah kamu akan pastikan diri Yen tak hanyut oleh muzik?” soal Datuk Kamarudin. Pantas aku berpaling menatap wajahnya.

Sorry...,” kurang jelas bicaranya itu.

“Bukankah kamu kata tadi akan pastikan diri Yen tak hanyut mahupun menghayutkan orang lain,” ujar Datuk Kamarudin mengungkit kembali bicaraku tadi. Aku mengangguk. Memang itu yang aku lakukan andai berlaku kepada Yen.

“Sebenarnya, Yen tu sayang dan hormatkan ayah. Buktinya, walaupun dia kurang berminat dengan pengurusan perhotelan, tapi dia tetap berjaya memperoleh ijazah dalam bidang tersebut demi memenuhi impian ayah. Bukan mudah untuk kita melakukan sesuatu yang kita tak suka, ayah,” ujarku perlahan. Datuk Kamarudin menatapku. Diam. Langsung tiada bicara yang keluar dari mulut.

“Saya yakin suatu hari nanti pasti Yen akan bekerja di DLH. Ayah mesti bersabar menanti kemunculan hari itu,” ujarku menenangkan dirinya.

“Ayah mesti sayang sangat kat Yen kan,” dugaku.

“Bapa mana yang tak sayangkan anak, Iman. Orang muda ni selalu tak sekepala dengan orang tua. Apa yang kita fikirkan baik untuk mereka selalu disalahertikan,” balas Datuk Kamarudin kesal.

“Ayah cuba fahami kehendak hati Yen. Nanti saya nasihat Yen agar berusaha memahami kehendak ayah juga,” balasku memujuknya. Datuk Kamarudin tersenyum dan mengangguk. Lega hatiku melihat reaksi yang ditunjukkan oleh Datuk Kamarudin itu. Kutoleh ke kiri ke kanan mencari kelibat Yen. Dia berada di hujung sana bersendirian mengasingkan diri. Kulambaikan tangan kepadanya. Namun dibalas dengan gelengan.

“Dia mana mahu dekat dengan ayah tu,” rajuk Datuk Kamarudin tanpa memandang wajahku. Aku terdiam. Dalam hati berbakul-bakul kutukan kuhadiahkan buat Yen. Rasa hendak piat-piat sahaja cuping telinganya itu. 

“Ayah tolong tengok-tengokkan pancing ni, saya nak pergi ke sana kejap,” pintaku lalu bangun dari duduk lantas mengatur langkah ke arah Yen.

“Jomlah pancing kat situ,” ajakku sambil menunding jari ke arah Datuk Kamarudin yang nampak leka bersama pancingnya.

“Tak nak, awak buat bising,” rungutnya memberi alasan.

“Awak tak nak pergi ke sana sebab ayah awak kan? Sure awak takut dikalahkan oleh ayah awak,” tuduhku sebaik sahaja teringatkan pertandingan yang kami persetujui semalam. Anak mata Yen yang sedikit sepet besar menatapku. Kurang senang dia mendengar bicaraku itu.

“Jomlah... pergi ke sana,” ajakku sekali lagi mencuba nasib. Yen diam. Dia fokus pada pancing sekali gus tidak mempedulikan kewujudanku.

“Awak tak tahu betapa Datuk Kamarudin sayangkan awak. Saya nasihatkan awak supaya lebih menghargainya selagi berkesempatan. Selalu kita tak menyedari betapa penting seseorang itu dalam hidup kita sehingga suatu hari dia sudah tiada barulah kita menyedarinya. Namun semua itu dah tak guna lagi. Saya tak nak awak menyesal seumur hidup awak,” nasihatku serius. Yen diam. Dia tidak memberikan sebarang reaksi. Tetap memandang pada pancingnya.

“Tengok saya ni. Nasib hidup kita hampir sama tapi awak lebih beruntung sebab ada ayah dan nenek. Jika diberi peluang, saya akan pastikan ibu, ayah dan nenek saya dapat perhatian dan kasih sayang saya. Saya akan tunjukkan kasih sayang tu bukan menyembunyikannya,” nasihatku lalu melangkah meninggal Yen bersendirian di situ.  Aku tahu Yen sayangkan keluarganya, namun tidak mahu dizahirkan. Egois diri yang menghalang dia meluahkan kasih sayang itu. Aku mendapatkan Puan Sodiah lalu menemaninya berteduh di bawah pokok yang tidak jauh daripada Datuk Kamarudin. Suara gadis itu bermain-main di telinga. Naluri lelakinya terusik. Dia melontar pandangan ke arah lelaki itu.

“Wahai penjaga ikan-ikan di sungai, tolong berikan saya beberapa ekor ikan yang besar-besar dengan izin Allah. Yen jangan lupa baca petua ni bila nak labuh mata pancing,” suara yang mengingatkannya 17 tahun lalu.

“Okey, Yen akan ingat, ayah,” balas anak kecil itu. Yen melirik di sebelah. Datuk Kamarudin tidak berada di sebelahnya. Dia melontar pandangan ke situ. Lelaki itu sedang leka dengan pancingnya. Yen tersenyum sendiri. Lalu dilafazkan mentera yang pernah diajarkan kepadanya itu.

“Jang Geun Suk cepat datang sini tolong ayah tarik pancing ni! Cepat! Cepat!” laungan gadis itu mengejutkannya. Dia melontar pandangan ke arah lelaki itu. Nampak lelaki itu sedang terkial-kial mengendalikan pancingnya. Bebanan berat menyukarkan pancing itu ditarik.

“Cepat...!” laung gadis itu lagi. Yen berlari laju ke arah lelaki itu. Tangannya terus mendarat pada joran pancing itu. Sekarang mereka bergabung tenaga untuk mendaratkan ikan yang mengena pada mata pancing.

“Lepas Yen kira satu dua tiga, ayah tarik sama ye,” ujarnya memberi arahan. Datuk Kamarudin mengangguk faham. Dua beranak itu bekerja keras mengakhiri adegan tarik menarik itu. Setelah bertungkus lumus dan berhempas pulas seekor ikan baung bersaiz besar melayang ke udara lalu terhempas di permukaan tanah. Yen dan Datuk Kamarudin tergelak setelah melepasi saat-saat cemas itu. Aku dan Puan Sodiah yang hanya jadi pemerhati tersenyum lebar. Inilah yang kami harapkan berlaku antara Datuk Kamarudin dengan Yen. Gelak mereka itu tidak berpanjangan. Namun sudah cukup menggembirakan aku dan Puan Sodiah. Ikan baung yang mengena di mata pancing segera dipisahkan oleh Datuk Kamarudin. Yen pula menggawal pancing yang aku tinggalkan tadi. Aku membantu Puan Sodiah menyiapkan hidangan minum petang dengan bekal yang dibawa tadi.  Masing-masing ada tugas tersendiri.

“Aduuuhhhh...!” terdengar jeritan Datuk Kamarudin. Aku berpaling dan melihat wajah Datuk Kamarudin berkerut menahan sakit. Yen sudah berada di sebelahnya cuba melakukan sesuatu.

“Bawa first aid datang ke sini!” laung Yen cemas.  Kucapai kotak first aid yang sudah berada di tangan Puan Sodiah lalu berlari ke arah Yen. Sengat ikan baung sudah terbenam di ibu jari Datuk Kamarudin. Ngeri aku melihatnya.

“Kenapa ayah ni cuai sangat,” rungut Yen.

“Jang Geun Suk...,” tegurku. Tidak senang dengan bicaranya pada Datuk Kamarudin. Dalam situasi sekarang seharusnya dia tidak mengeluarkan bicara sedemikian. Kupandang Datuk Kamarudin. Dia cuba bertahan dari kesakitan itu.

“Bagi player tirus,” arah Yen. Laju tanganku mengambil player tirus daripada kotak peralatan memancing lalu menyerahkan kepada Yen. Penuh berhati-hati Yen mencabutnya. Kedengaran suara Datuk Kamarudin mengerang-ngerang kesakitan. Wajahnya kemerah-merahan. Darah bercucuran. Yen menggunakan kepakaran dan pengetahuan yang dia ada untuk merawat sengatan ikan baung di jari Datuk Kamarudin. Tidak cukup itu, dia menggeluarkan biji asam yang sentiasa berada di kotak itu, lalu menggosokkannya pada permukaan kasar kotak first aid sehingga nampak isi dalam berwarna putih. Laju tangannya menekapkan biji asam yang berwarna putih itu pada ibu jari Datuk Kamarudin yang terkena sengatan itu.   

 “Okey tak? Kalau tak biar Yen bawa ayah jumpa doktor,” ujarnya risau sambil memandang wajah Datuk Kamarudin. Datuk Kamarudin mengangguk. Kali ini dia sudah boleh tersenyum. Aku menarik nafas lega. Kupandang Yen. Terbit kekagumku pada dirinya. Dia bukan setakat mahir memetik tali gitar malah ada pengetahuan luas untuk merawat sengatan ikan.

“Ayah dah okey dah. Rasa macam kena sedut je bisa tu,” ujar Datuk Kamarudin tersenyum lagi.

“Tulah dari tadi mak dah panggil banyak kali. Kamu Kamarul asyik kata tunggu... tunggu... Tengok sekarang dan kempunan,” leter Puan Sodiah geram. Datuk Kamarudin hanya tersengih. Begitu juga aku dan Yen. Kami bertiga terus merapati Puan Sodiah. Aku duduk bersimpuh di sebelah Puan Sodiah lalu menuang air sirap berais. Ada beberapa jenis kuih sudah terhidang. Kucapai kimbap yang berada di depanku.

“Awak tak boleh makan banyak sangat kimbap,” suara Yen mengingatkan aku. Aku menjeling Yen. Kurang senang mendengar larangan itu di saat lapar dan berselera begini. Puan Sodiah dan Datuk Kamarudin saling tersenyum.

“Tengok nek, dia ni kedekut sangat. Dia nak makan sorang-sorang je,” aduku kepada Puan Sodiah.

“Saya tak suruh awak makan banyak sebab kimbap ni boleh buat awak sakit perut,” rungut Yen tidak puas hati dengan bicaraku tadi.

“Sebenarnya Yen ambil berat kat Iman. Diakan sayang Iman,” celah Puan Sodiah membuat aku terdiam. Begitu juga Yen. Kami sama-sama berdiam diri sedangkan Puan Sodiah dan Datuk Kamarudin tersenyum mengusik.

“Siapa yang tak sayangkan isteri, nek,” balas Yen mula bersuara seraya mengangkat-angkat kening kepadaku. Aku memaksa diri turut tersenyum.

“Namun ada juga yang tak sayang kan isteri,” tambah Yen lagi. Sepi. Semua terdiam mendengar bicara Yen. Kupandang wajah Datuk Kamarudin. Muram. Pasti dia terasa dengan bicara Yen tadi. Bicara Yen memberikan tamparan buatnya. Kupandang Yen dengan wajah yang serius sekali gus menyedarkan tentang bicaranya yang keterlaluan itu. Menyampah betul aku dengan pemuda Korea ini mudah sahaja dia hendak matikan mood orang lain.

“Ayah memang sayang sangat dengan ibu Yen. Namun jodoh kami hanya setakat itu saja. Bohonglah kalau dikatakan ayah tak pernah terasa kehilangannya,” luah suara Datuk Kamarudin perlahan. Aku tertunduk mendengar luahan hati Datuk Kamarudin. Belum ada kesanggupan aku hendak menatap ekspresi wajah Datuk Kamarudin tika ini. Pasti dia kecewa menerima tuduhan Yen sebentar tadi.

“Jomlah... kita balik. Hari dah lewat ni. Maghrib pun dah nak dekat,” suara Puan Sodiah memecahkan suasana sepi. Aku segera membantu Puan Sodiah mengemas barang-barang. Datuk Kamarudin sudah melangkah mendekati Mercedez Benz. Yen masih duduk bersila di situ.

“Puas hati awak sekarang,” marahku pada Yen lantas mengatur langkah mendapatkan Puan Sodiah dan Datuk Kamarudin yang sudah berada di dalam kereta.

Terasa Program Hari Keluarga yang aku rancang tidak mencapai objektif sepenuhnya. Beberapa minit kemudian, barulah Yen muncul dengan wajah yang serius. Aku sekadar menghadiahkan jelingan tajam tatkala dia menatapku. Belum cukup aku marahkan dirinya. Ada masa lagi akan aku sambung kemarahan ini. Aku akan sirnakan dendam yang mencengkam sukmanya itu. Yen telah memulakan pemanduan. Letih. Kusandarkan tubuh di kerusi lalu kupejamkan mata. Begitu juga dengan Puan Sodiah di sebelahku sudah melelapkan mata. Puan Sodiah juga sudah tidak bersemangat lagi.

“Maafkan Yen, ayah,” sayup-sayup kedengaran suara Yen. Aku membuka mata. Terkejut juga mendengar bicara itu keluar dari mulut Yen. Kutoleh ke sisiku, Puan Sodiah masih memejamkan mata, namun bibir mengukir senyuman indah. Lantas jari diletakkan pada bibir cuba menyampaikan sesuatu. Aku memejamkan mata kembali. Pura-pura tidur dan tidak menyedari. Aku dan Puan Sodiah memberi peluang kepada dua beranak itu untuk saling berbicara.    

“Okey tak kaki ayah tu?” tanya Yen mesra.

“Okey dah. Mujarab juga petua tu. Di mana kamu belajar?” soal Datuk Kamarudin ceria. Kedengaran suara tawa Yen. Aku mendengar Puan Sodiah menarik nafas lega. Bahkan aku pun turut sama merasakan perasaan sedemikian. Syukurlah akhirnya hubungan Yen dan Datuk Kamarudin menunjukkan perkembangan positif.

Aku melelapkan mata dengan perasaan senang dengan hati yang lapang. Tersedar dari tidur bila kereta sudah memasuki halaman Villa Sentosa. Dua tiga kali aku menggeliat lantas melakukan senaman tangan. Puan Sodiah pun sudah terjaga. Separuh dari tubuhnya sudah keluar dari kereta. Kedengaran nyanyian iPhone Yen. Dia menatap sebaris nama yang muncul pada skrin lalu melangkah keluar menjauhkan diri untuk menjawab panggilan itu. Barangkali panggilan daripada Velviana.

Sorry, I really forget,” ujarnya rasa bersalah bila sahaja suara radang Velviana hinggap di telinganya. Baru dia teringat tentang janjinya pada gadis itu.  

“Kenapa dengan awak ni?” rungut Velviana geram. Sukar menerima alasan pemuda itu. Yen hanya diam.

“Dulu awak  tak macam ni,” keluh gadis itu. Yen diam lagi. Dia kematian akal. Tidak tahu apa yang harus dikeluarkan dari mulutnya tika ini. Memang dia tahu salahnya. Dia terlupa lagi janjinya kepada gadis itu untuk kesekian kali. Segalanya tidak disengajakan.

“Apa yang berlaku dengan awak, Yen? Awak ada perempuan lain ke?” dua soalan dilontar dengan kemarahan. Kedengaran keluhan menyambut bicara gadis itu.

“Awak ni Vel, tak sudah-sudah dengan curiga awak. Kan saya dah minta maaf tadi. Saya   tak sengaja. Saya betul-betul terlupa. Lagipun hari ni saya habiskan masa dengan family saya. Bukan selalu pun saya ada masa dengan mereka,” tegas Yen bengang. Kedengaran dengusan gadis itu. Marahnya tidak boleh padam hanya dengan penjelasan itu.

“Kamu masih berhubung dengan gadis itu?” suara serius Puan Sodiah mencelah di belakang. Yen berpaling. Puan Sodiah sudah berada tepat-tepat di belakan sambil menatap tajam wajahnya. Sedikit gerun hatinya melihat reaksi yang dipamerkan perempuan itu. Yen terdiam.

“Nanti saya call awak,” ujarnya mahu segera mematikan perbualan di talian itu. Panggilan dimatikan. Pandangan Puan Sodiah masih tajam menatapnya. Satu penjelasan sedang dinantikan keluar dari mulut pemuda ini.

“Kamu masih ada hubungan dengan Velviana? Nenek mahukan penjelasannya sekarang!” tegas Puan Sodiah tidak mahu bertolak-ansur.  Senyap. Dia tidak tahu bicara yang terbaik untuk dipendengarkan di telinga Puan Sodiah. Situasi itu berlaku sekelip mata membuatkan dia tidak sempat berfikir untuk memberi penjelasan. Bahkan dia tidak menduga perbualan itu didengar oleh Puan Sodiah memandangkan sebelum menjawab panggilan gadis itu, dia sudah menjarakkan diri serta memastikan tiada sesiapa berada di sisinya. Suatu yang di luar dugaan tiba-tiba sahaja Puan Sodiah berada dekat dengannya. Yen benar-benar tidak menyedari kehadiran perempuan itu. Barangkali ‘tulah’ sedang menimpanya. Hati Yen resah. Kali ini Puan Sodiah nampak begitu serius.

“Yen dan Velviana hanya kawanlah nek. Bukan ada apa-apapun. Saya pun tahu hubungan mereka. Saya tak kisah pun malah berbesar hati sebab kalau ada masalah Yen boleh berbincang dengan Velviana sebab Velviana lebih memahami dirinya daripada saya,” tiba-tiba ada suara yang mencelah menamatkan suasana sepi itu. Pandangan Puan Sodiah dan Yen sudah terarah kepadaku. Aku tersenyum.

“Betul kamu dah tahu hubungan Yen dan Velviana? Mereka bekas pasangan kekasih,” soal Puan Sodiah meminta kepastian. Aku mengangguk. Maaf, Puan Sodiah, bukan bekas kekasih tetapi masih sepasang kekasih.

“Betul Iman tak kisah?” sekali lagi Puan Sodiah menyoalku. Aku tetap mengangguk mengiyakan.

“Hari ni nenek boleh maafkan kamu sebab Iman. Lain kali nenek tak mahu dengar perkara ni berulang lagi. Sekalipun kamu ada masalah, tempat kamu mengadu ialah isteri kamu, bukan cari orang lain apatah Velviana. Nenek tak suka,” tegas Puan Sodiah serius. Yen mengangguk. Kali ini dia sudah boleh menarik  nafas lega kerana terlepas dari kemarahan Puan Sodiah.

“Kamu pun Iman, soal perempuan jangan sesekali berlembut dengan suami. Jangan biarkan Yen dekat dengan Velviana. Nenek tak suka gadis itu. Kalau nenek suka dari awal sudah nenek kahwinkan Yen dengan dia. Hanya kamu satu-satunya menantu keluarga ni. Faham Iman?” tegas Puan Sodiah sedikit mengejutkan aku. Perlahan-lahan aku mengangguk. Percuma sahaja aku kena teguran Puan Sodiah. Puan Sodiah berlalu meninggalkan aku dan Yen yang terpacak di situ. Mengimbas kembali bicara Puan Sodiah sebentar tadi buat aku tersenyum sendiri. Aku menjadi menantu dalam keluarga ini kerana wasiat datuk Yen. Fakta yang mungkin Puan Sodiah sudah lupa. Dalam masa yang sama kasihan juga kepada Yen kerana tidak berpeluang dia hendak beristeri empat.

Gomawoyo / terima kasih,” Aku berpaling menatap Yen.

“Lain kali hati-hati kalau nak dating dengan kekasih tu,” tegurku lalu melangkah meninggalkan Yen yang tersengih-sengih macam kerang busuk. Gara-gara dirinya aku turut sama menerima teguran neneknya tadi.

“Cepat kemas barang awak, kejap lagi kita balik ke rumah kita,” ujar Yen sambil mengikuti langkahku. Rumah kita? Aku tersenyum sendiri. Sudi juga pemuda Korea ini berkongsi hartanya denganku. Sesuatu yang mengharukan hatiku. Namun terharuku tidak lama. Pasti bicaranya tadi cuba mengembalikan kepercayaan Puan Sodiah kepada dirinya sekali gus pada hubungan kami. Yen bermanis-manis mulut juga bagi mempermudahkan pertemuannya dengan Velviana yang sudah dirancang sebentar tadi hingga dia tertangkap oleh Puan Sodiah. Kalau tidak masakan boleh membangkitkan kemarahan perempuan itu. Puan Sodiah pun nampak begitu beremosi tadi.

“Bergegas juga nak balik,” ujar Puan Sodiah kurang senang tatkala aku dan Yen menemuinya di ruang tamu menyampaikan hajat hati.

“Esok saya dah mula kerja nek,” jelasku. Yen mengangguk menyokong. Datuk Kamarudin berada di bilik sedang berehat. Dia memang perlu rehat yang lebih selepas kejadian malang yang menimpa hari ini. Kebetulan juga selepas suntikan anti vaksin dan ubat penenang yang diberikan oleh Dr. Charil  mesti dia sudah terlena sekarang.

“Kamu boleh tinggal sehari dua lagi kat sini, Iman. Tempat kerja kamu bukan jauh pun. Nanti Pak Mahat hantar ambil kamu kerja di tempat kerja,” cadang Puan Sodiah enggan membenarkan aku balik bersama Yen. Berkerut dahi Yen.

“Siapa yang nak kemas rumah, masak dan basuh pakaian Yen nek. Lagi pun sunyi Yen kalau sorang-sorang kat rumah tu,” bantah Yen tidak setuju dengan bicara Puan Sodiah. Aku diam. Bijak pula dia bermain kata-kata cuba mempengaruhi Puan Sodiah. Aku diperlukan di rumah itu hanya untuk melangsaikan keperluan asas dia. Pemalas betul pemuda Korea ini. Puan Sodiah nampak sedang berfikir.

“Nenek tak boleh biarkan kamu sendirian kat rumah tu. Nanti Iman takde kat rumah tu merayau-rayau pula kamu. Ah, Iman kamu balik sama dengan suami kamu ni. Perhatikan perangai dia. Kalau dia call atau berjumpa perempuan lain beritahu nenek. Biar nenek ajar dia cukup-cukup,” amaran keras Puan Sodiah buat aku hampir-hampir tergelak. Namun melihat keseriusan wajah Puan Sodiah, aku hanya mampu tergelak dalam hati. Ganas juga perempuan ini. Kulihat Yen menelan liur. Ngeri dia melihat ketegasan Puan Sodiah. Kasihan juga Yen.

“Kami pergi dulu nek. Kirim salam kat ayah nanti dan suruh dia jaga diri baik – baik,” ujarku lalu mencium tangan Puan Sodiah. Satu kucupan singgah di pipiku. Begitu hangat  buat hatiku terusik seketika.Terasa kucupan itu seperti kucupan nenek padaku suatu waktu dahulu.

“Selalu-selalu datang ke sini,” pesan Puan Sodiah. Aku mengangguk. Memang aku senang hati berada di Villa Sentosa ini. Puan Sodiah dan Datuk Kamarudin melayanku dengan baik. Malah Pak Mahat dan Santie juga mesra dan ramah denganku. Mereka menerima baik kehadiranku di sini buat aku  tidak janggal. Aku gembira bersama mereka. Kalau aku jadi Yen sudah pasti aku mahu tinggal bersama mereka.

“Jaga baik-baik Iman,” pesan Puan Sodiah kepada Yen tatkala pemuda Korea ini mencium tangannya. Yen mengangguk.

“Nenek tak payah risau, dia memang menjaga saya dengan baik selama ni,” ujarku membuatkan Puan Sodiah dan Yen serentak tersenyum. Sukalah hati Yen bila aku berbicara sedemikian. Memang Yen melayanku dengan baik. Aku tidak akan menafikan kenyataan ini.

“Sayang betul nenek kat awak kan,” komen Yen ketika sudah berada di dalam kereta. Aku tersenyum.

“Mestilah. Kenapa? Awak jealous ke?” soalku mengusiknya. Yen tersenyum. Tanpa menjawab pertanyaanku dia terus menghidupkan enjin kereta lalu meninggalkan halaman Villa Sentosa. Sempat juga aku bertukar lambaian dengan Puan Sodiah dan Santie.

“Lepas ni bolehlah kita lebih kerap datang ke sini,” ujar Yen sedikit mengejutkanku. Aku berpaling menatap wajah itu. Ceria dia menuturkan bicara itu. Alhamdullillah hubungannya dengan Datuk Kamarudin menunjukkan perkembangan positif. Aku merestui dan mensyukurinya. Aku akan menyokong sepenuhnya apa sahaja yang boleh menjalin kemesraan antara Yen dengan Datuk Kamarudin.   

“Ini janji awak. Awak wajib tunaikannya,” tegasku mengingatkannya. Yen mengangguk. Dia nampak penuh yakin mampu melakukannya. Dalam diam aku begitu menyenangi perubahan sikapnya ini.

“Oh…, letihnya! Boleh saya tidur sekarang?” soalku meminta kebenaran.

“Tidurlah,” arah Yen tanpa perlian sepertimana selalu. Aku tersenyum. Lalu kupejamkan mata. Beberapa minit kemudian aku sudah tidak nampak sekeliling. Yen berpaling ke arah gadis itu. Dia tersenyum sendiri tatkala melihat gadis itu sudah terlena.

“Iman ssi, hidup awak bagai tiada masalah. Alangkah baik kalau saya boleh hidup seperti awak,” bisik hatinya sambil pandangan masih terarah pada wajah bersih gadis itu.

“Namun masih ada sesuatu yang awak sembunyikan,” tambah bicara hatinya. Dia dipandang lagi wajah itu sebelum dia fokus pada pemanduan. 

 

No comments:

Post a Comment