Wednesday, 28 July 2021

Awaklah SonataKu....Bab 17


Masuk sahaja waktu isyak, Pak Long meminta Yen mengalun azan isyak. Hatiku dipagut kebimbangan. Risau kalau Yen tidak mampu melakukan dengan baik. Tanpa sebarang paksaan dan tekanan, Yen penuh kerelaan melakukannya. Suara merdu Yen memenuhi ruang rumah pusaka peninggalan datuk dan nenek ini buat aku terpegun seketika. Bukan aku seorang sahaja yang terpegun malah Pak Long, Lili dan Mak Long juga turut terusik mendengar suara merdu itu.  Tampak begitu bersahaja Yen mengalun suara melaungkan kalimah-kalimah pujian ke atas Allah Yang Maha Berkuasa. Anugerah Allah yang beri digunakan di jalan yang betul.

Usai solat isyak berjemaah yang diimankan oleh Pak Long, kami menghadap hidangan malam bersama-sama. Sekali lagi aku kerisauan. Aku khuatir kalau hidangan malam ini tidak memenuhi selera Yen. Aku terlalu memandang rendah pada kebolehan Yen. Dalam masa yang sama terlalu melabel tinggi dirinya hingga aku merasakan dia tidak mampu menyesuaikan diri dengan situasi kampung. Namun semua berjalan lancar. Yen membuatkan segala tanggapanku terhadap dirinya meleset jauh.

Malam ini Yen telah membuktikan kehebatan dirinya bukan setakat boleh mengalun lagu bersama petikan gitar dan suara merdu malah dia boleh melaungkan azan dengan penuh kesyahduan. Dia boleh makan semua makanan yang terhidang biarpun terlalu asing buat dirinya. Yen begitu berselera makan nasi berkuahkan ikan sepat gulai lemak cili api, sambal kangkung serta ikan masin goreng. Ucapan terima kasihku kepada Yen kerana berusaha memahami situasi di kampung bahkan membangkitkan kemesraan bersama keluargaku. Aku tahu Pak Long nampak begitu menyenangi kehadiran Yen di sini.

Uncle Yen ke yang berlakon dalam tv tu? Uncle Yen seorang pelakon?” suara petah Nana singgah di telingaku yang sedang menolong Lili melipat pakaian tidak jauh dari mereka. Pak Long, Yen dengan budak-budak itu duduk di depan tv. Aku berpaling lalu melontar pandangan pada kaca tv. Siaran tv8 yang sedang menayangkan drama Korea ‘Marry Me, Mary, lakonan Jang Geun Suk dan Mun Geun Young. Aku tersenyum sendiri.

“Bukan,” nafi Yen tersenyum. Pak Long dan Adie turut tersenyum.

“Sama muka dia macam muka Uncle Yen,” tambah Nana sambil menunding jari kepada Kang Moo-gyel watak yang dimainkan oleh Jang Geun Suk dalam drama itu.

“Betul Iman... seiras dia,” bisik Lili menyokong bicara gadis kecilnya itu. 

“Uncle hanya boleh nyanyi dan main gitar macam dia. Uncle tak pandai berlakon,” kedengaran suara Yen cuba meyakinkan Nana. Nana tersenyum lebar menerima penjelasan Yen itu.

“Dia kembar uncle ke?” soal Nana masih mahu mempersoalkan keseirasan wajah Yen dengan Jang Geun Suk. Yen geleng kepala.

Uncle seorang je, takde abang, takde kakak, takde adik,” ujar Yen menerangkan lebih terperinci kepada Nana si celik yang pintar dan petah berbicara. Ketika mengandungkan Nana, Lili sering kali minum air beras yang menggelegak sebab itulah Nana bijak berkata-kata.

“Kamu memang seiras macam pelakon Cina dalam tv tu,” giliran Pak Long pula yang meluahkan pendapat.

“Bukan pelakon Cinalah atuk, pelakon Korea,” balas Nana membetulkan. Kedengaran gelak Pak Long dan Yen bersatu. Aku dan Lili tersenyum. Nana tersenyum meleret. Dipandang wajah Yen. Lama. Gadis kecil ini benar-benar sudah jatuh cinta pada Yen.

“Kenapa pandang uncle macam tu, Nana?” soal Yen buat Nana tersipu-sipu malu. Hatiku digeletek oleh ragam puteri kecil Lili ini.  

Uncle Yen ni cantiklah...,” puji Nana buat semua ketawa.

“Bukan cantik tapi handsome,” sampuk Adie membetulkan kesalahan perbendaharaan kata adiknya buat suasana bertambah gamat.

“Sama jelah tu,” balas Nana tidak mahu mengakui kesalahan itu.

“Mana sama, cantik untuk perempuan, handsome untuk lelaki,” balas Adie tidak mahu mengalah. Pertikaman lidah antara adik-beradik ini bermula lagi. Biasalah adat budak-budak pantang mengaku kalah.

Uncle Yen kan macam perempuan. Tengok rambut dia panjang macam rambut Nana. Nana tengok Uncle Yen pakai banyak cincin, gelang dan rantai,” ujar Nana menegakkan pendapatnya lagi. Deraian tawa semakin besar. Sungguh tidak disangka Nana akan berbicara sedemikian. Adie tersenyum. Kupandang Yen. Senyuman panjang menghiasi bibirnya. Tampan.

“Tak bermakna Uncle Yen perempuan. Itu rock,” ujarku mencelah buat Nana terkebil-kebil memikirkannya. Bicaraku aras tinggi. Mesti Nana tidak memahami.

Rock macam Amy?” soal Adie pula. Aku mengangguk.

“Adie pun nak jadi rock macam Uncle Yenlah,” ujar Adie lagi. Yen tersenyum lebar mendengar bicara Adie. Mesti dia berbangga dijadikan idola.

“Boleh jadi rock tapi kena belajar bersungguh-sungguh sampai belajar ke universiti macam Uncle Yen juga,” tambahku menyuntik nasihat. Adie mengangguk.

“Mak cik Iman nak belajar di universiti?” soal Adie. Perlahan-lahan aku mengangguk. Yen memandangku. Ada reaksi terkejut terpamer di wajahnya. Aku tidak pernah membincangkan perkara ini bersamanya.

“Nana nak kahwin dengan Uncle Yen!” tiba-tiba sahaja suara kuat Nana bergema buat aku dan Lili terbeliak. MasyaAllah! Di mana si kecil ini belajar menyusun frasa sedemikian. Bicaranya di luar jangkauan fikiranku. Dahsyat anak-anak sekarang... he...he...he... Kedengaran tawa panjang Pak Long dan Yen.

“Subhanallah, Nana tak boleh kahwin dengan Uncle Yen sebab Uncle Yen, Mak cik Iman yang punya,” ujar Lili menjelaskan. Aku masih tertawa.

“Kalau macam tu Nana kongsi jelah dengan Mak cik Iman,” balas Nana selamba sambil tersengih. Kali ini deraian tawa lebih kuat. Lili hanya mampu geleng-geleng kepala sambil turut tertawa.

“Tanyalah Mak cik Iman, boleh ke tak? Kalau boleh uncle pun nak kahwin dengan Nana,” ujar Yen mengusik buat Nana tersenyum lebar.

“Boleh ke Mak cik Iman?” soal Nana memandangku. Aku mengangguk.

“Yahoo...!!!” Nana melonjak gembira. Dia meluru ke arahku. Tubuhku dipeluk. Seronok  dibenarkan kahwin dengan Yen.

“Hey, budak-budak sekarang bahaya betul,” rungut Pak Long tersenyum sambil geleng-geleng kepala.

“Nana tahu kahwin tu apa?” bisik Lili bertanya kepada gadis kecilnya.

“Pakai baju cantiklah,” balas Nana tersenyum. Jawapan Nana begitu mudah. Begitu pemahaman si kecil terhadap sebuah perkahwinan. Nana berlari mendekati Yen. Ada sesuatu yang mereka bicarakan. Sesekali tangan Yen mengusap-usap rambut Nana. Hubungan yang mesra sudah terjalin antara mereka. Aku gembira. Aku cukup senang hati dengan sikap Yen yang menerima baik ahli keluargaku. Biarpun Yen anak tunggal sepertiku namun dia mampu melayan kerenah Nana dan Adie dengan riang. Syukur Yen menyukai mereka.

“Saya suka betul dengan anak-anak Lili. Bukan saja comel-comel malah bijak dan petah berbicara. Beruntung Lili ada anak seperti mereka,” luah Yen sambil terbaring di katil. Aku mengangguk setuju dengan pendapat Yen.

“Bapa mereka mana?” soal Yen cuba menyelidik. Kutatap Yen. Aku angkat bahu. Tidak tahu ke mana Redhuan sekarang. Selepas penceraian itu dia terus sahaja menghilangkan diri. Langsung tidak pernah menampakkan diri lagi. Setahuku dia tidak pernah menjenguk anak-anaknya di kampung. Kejam dan tidak bertanggungjawab. Timbul geramku kepada lelaki itu. Lelaki kaya yang tidak boleh dipercayai. Kasihan Lili dan anak-anaknya.

“Kasihan Lili dan budak-budak tu,” luah Yen sedih sepertiku.

“Selalu orang kaya memang macm tu. Suka sangat hancurkan masa depan orang lain,” ujarku beremosi. Yen menatapku.

“Awak tak payah susah hati, saya takkan buat awak macam tu,” ujar Yen tersengih. Aku menjeling tajam. Buang tabiat pemuda Korea ini. Mana boleh dia samakan kejadian yang menimpa Lili dengan situasi kami sekarang. Aku pun tidak perlukan Yen melaksanakan tanggungjawabnya kepadaku.

“Saya nasihatkan awak, bila awak dah kahwin dengan Velviana nanti pastikan awak jadi suami yang bertanggungjawab, jangan hanya tahu buat anak saja!” tegasku serius buat Yen tergelak. Kubaringkan tubuh di hamparan tilam di lantai rumah kayu ini. Kutarik selimut menutupi tubuh. Yen menegakkan kepala lalu menjengukku.

“Awak tak nak tidur kat sini?” soalnya.

“Awak tidurlah sorang-sorang kat atas tu,” balasku malas mahu melayan kerenahnya. Aku terus mengiringkan tubuhku ke sebelah kanan membelakangi Yen. Kupejamkan mata.

“Awak rasa kita akan dapat anak-anak comel macam anak-anak Lili?” soal Yen buat aku terdiam seketika. Muncul wajah Velviana. Velviana cantik jelita kahwin dengan Yen kacak tampan sudah semestinya akan lahir anak-anak yang lebih comel.

“Awak tak payah susah hati, bila awak kahwin dengan Velviana nanti pasti anak-anak awak lebih comel lagi,” luahku ikhlas dengan mata yang sudah terpejam. Senyap. Yen tidak berbicara lagi.

“Tidurlah esok awak kena bangun awal solat,” arahku. Aku selepas makan malam tadi baru sedar bendera Jepun berkibar sekarang. Aku menguap beberapa kali. Beberapa minit kemudian aku sudah tidak ingat apa-apa lagi.

“Maksud saya anak-anak saya dengan awak,” ujarnya melafazkan bicara itu perlahan-lahan. Senyap. Bicaranya tidak disambut. Dia tahu gadis itu sudah terlena dibuai mimpi. Yen tersenyum sendiri.

Sebaik sahaja aku membuka mata, Yen sudah tidak berada di katil. Aku menggeliat beberapa kali sebelum bangun mengemas tempat tidur. Tatkala aku melangkah keluar bilik, kelihatan Pak Long dan Yen sedang berbual-bual di anjung rumah menikmati hembusan angin pagi yang menyegarkan. Awal pula dia bangun. Ingatkan habis solat subuh tadi dia akan sambung tidur kembali. Aku melangkah ke dapur. Kelihatan Lili sedang leka menyediakan sarapan. Wangian mi goreng yang disediakan Lili menyerbu rongga hidungku.

Sorry, saya terlewat bangun. Ada yang boleh saya bantu?” soalku sambil memeluk bahu Lili. Lili tersenyum. Hubunganku dengan Lili sangat akrab.

“Semua dah tersedia... tunggu mi masak je lagi. Awak tolong letak pinggan dan cawan kat meja tu,” arah Lili.

Okay madam,” sahutku lalu bergerak ke rak pinggan mangkuk. Kucapai beberapa biji pinggan dan beberapa biji cawan lalu bergerak ke meja makan dan meletakkan di situ. Kuih karipap dan cucur pisang yang masih panas sudah tersedia menanti untuk dijamah.

“Banyak juga yang awak masak. Pukul berapa nak sediakan semua ni?” soalku kagum. Begitu pantas Lili menyiapkan semua ini. Lili hanya tersenyum untuk pertanyaanku itu.

“Hoi, tuan puteri baru bangun tidur! Basuh pinggan mangkuk kat singki tu!” suara lantang Mak Long singgah di telingaku. Aku berpaling. Mak Long sedang bercekak pinggang di muka pintu dapur sambil tajam menatapku.

“Lepas tu sapu lantai dapur ni. Sehari baru awak ada kat sini dah kotor rumah ni awak buat!” lantang lagi suara Mak Long. Aku menelan liur pahit mendengar bicara Mak Long. Cukup mengguris hati. Sedih aku dengan penerimaan dingin Mak Long terhadapku yang tidak pernah berubah-ubah sejak dahulu lagi. Masa dan jarak yang memisahkan kami tidak membawa perkembangan positif terhadap hubunganku dengan Mak Long.

“Semua tu Lili yang guna tadi, biar Lili yang basuh nanti mak,” celah Lili tidak rela aku melakukannya.

“Takpe...saya boleh buat,” bisikku pada Lili ketika melewatinya untuk ke singki. Aku memulakan kerjaku. Sedikit pun tidak terasa bebanan kerja yang aku lakukan. Hanya terkilan cara Mak Long mengarahkan aku.

“Jangan biarkan air kat singki tu menitis keluar! Habis basah kat bawah tu nanti,” suara Mak Long bergema di ruangan dapur ini. Laju tanganku mencapai kain pengelap lalu menyapu titisan air yang mengalir sebelum jatuh ke lantai.

“Hey, kenapa guna kain tu. Bengap betullah awak ni!” Pupp! Tangan Mak Long singgah di kepalaku. Kepalaku terdorong ke hadapan.

“Mak...,” tegur Lili kurang senang.

“Geramnya aku dengan budak ni! Kain tu baru je aku basuh. Senang-senang je kau kotorkan! Cuci kain tu cepat!” jerit Mak Long lantang. Kecut perutku mendengar suara Mak Long persis halilintar. Wajah Mak Long menyinga.

“Mak janganlah bising-bising. Nanti dengar pula Yen,” tegur Lili mengingatkan Mak Long. Mak Long mendengus kasar.

“Aku peduli apa kalau dia dengar. Jangan ingat dah jadi menantu orang kaya aku tak boleh apa-apakan kau. Siapa saja kau aku tak kisah, sekalipun kau dah jadi anak raja!” tengking Mak Long histeria.  

“Apa hal bising-bising ni,” suara Pak Long kedengaran. Mak Long menggigit bibir menahan geram. Perlahan-lahan aku berpaling. Pak Long tercengat di muka pintu bersama Yen. Kupandang wajah Yen. Sukar aku menilai reaksinya tika ini. Senyap.

“Dah boleh sarapan ke?” soal Pak Long sambil menjeling tajam ke arah Mak Long. Kemudian beralih ke wajahku. Pak Long mengukir senyuman padaku. Aku cuba membalas senyuman itu, namun terasa hambar.

“Mari Iman kita sarapan,” ajak Pak Long.

“Takpe Pak Long, biar Iman habiskan basuh pinggan-pinggan ni dulu,” jelasku tidak mahu menangguhkan kerja yang sedang aku lakukan. Kerja sekerat jalan pantang buat Mak Long.  Dia langsung tidak boleh bertolok ansur dalam perkara ini. Apatah lagi kalau aku yang melakukannya.

“Takpe biar saya yang buat. Pergilah layan suami awak sarapan,” ujar Lili lalu menarik tanganku meninggalkan singki.

“Iman, cepat tuangkan air untuk suami kamu,” arah Pak Long. Aku mengangguk lantas melangkah mendekati Yen dan Pak Long yang sudah menantiku di meja makan. Kutuang air teh kosong ke dalam cawan untuk Pak Long dan Yen. Tatkala aku meletakkan cawan untuk Yen, sekali lagi pandangan berlaga. Namun cepat sahaja aku melarikan muka. Tidak sanggup aku bertatapan lama dengan Yen. Segan dan malu menyelubungi diri. Kalau ikutkan hati mahu sahaja air mata ini mengalir namun kucekalkan hati. Aku tidak boleh menangis di depan Yen dan Pak Long. Aku tidak mahu Yen dan Pak Long menyaksikan deraian air mataku.  

“Timah... kamu tak sarapan sama?” soal Pak Long mengajak Mak Long bersarapan bersama kami. Hanya kedengaran dengusan kasar Mak Long. Mak Long menjelingku tajam.

“Takde selera aku nak sarapan,” suara sinis Mak Long kedengaran. Dia terus melangkah keluar rumah meninggalkan kami di situ. Keluhan Pak Long tercetus. Pak Long tersenyum tawar menatapku dan Yen. Sudah pasti  segan kepada Yen dengan perlakuan isterinya itu.

“Maaf lah...Yen, Iman. Mak Long kamu memang berangin macam tu tapi hatinya baik,” ujar Pak Long cuba melindungi sikap sebenar Mak Long. Yen mengangguk dan tersenyum. Yen nampak tidak kisah dengan tingkahlaku yang Mak Long pamer buat aku lega. Sekurang-kurangnya Yen masih mahu menjaga air muka Pak Long.

“Hari ni apa aktiviti kita? Jom kita pergi ke sungai tempat awak suka memancing dulu,” suara Yen memecah kesepian. Aku menatap Yen. Dia mengangguk dan tersenyum. Bagai tiada apa-apa yang berlaku sebentar tadi.

“Bagus juga cadangan Yen tu. Kamu bawalah dia pergi ke sana. Tapi sungai tu dah takde ikan,” jelas Pak Long menyokong bicara Yen.

 Aku dan Yen keluar rumah usai sahaja sarapan dan mandi. Atas permintaan Yen, aku membawa dia ke sungai di hujung kampung. Kuperhatikan sekitar sungai. Memang tidak sesuai untuk aktiviti memancing lagi. Air sudah cetek. Kupandang longgokan batu-batu besar itu. Pokok buluh yang merimbun di situ sudah tiada lagi. Tujuh tahun lalu di situlah aku dan Lili duduk melabuh pancing. Kami akan berbual-bual sementara menunggu umpan dimakan ikan.

“Awak tahu tak kenapa Mak Long tak suka saya?” soalku pada Lili. Lili terdiam. Lama dia hendak menjawab pertanyaanku itu. Kedengaran keluhan berat Lili.

“Nenek kata mak tu bekas tunang ayah awak. Mereka putus tunang bila ayah awak jumpa mak awak. Itulah yang buat mak berdendam dan awak yang jadi mangsanya,” cerita Lili buat aku tergamam.

“Ayah saya buat macam tu kat Mak Long? Kesian Mak Long,” keluhku bersimpati dengan nasib Mak Long. Memang patut Mak Long melayanku sedemikian. Hati Mak Long mesti hancur lebur. Bahkan aku pun turut bersimpati dengan Pak Long. Tidak dapat aku bayangkan perasaan Pak Long dalam situasi ini.

“Jangan salahkan Pak Usu. Pak Usu dengan mak awak memang pasangan kekasih dari awal lagi. Silap atuk kita je yang paksa Pak Usu bertunang dengan mak,” cerita Lili. Baru aku faham kenapa ayah dan ibu meninggalkan keluarga setelah mereka berkahwin. Aku kembali ke kampung setelah abah dan ibu terkorban dalam kemalangan. Lalu aku dijaga oleh nenek, kemudian dijaga oleh Pak Long sekeluarga.

“Iman ssi...,” Aku berpaling. Yen sedang menatapku. Laju tanganku mengesat air mata yang sudah mengalir di pipi.

Are you okay?” soalnya sambil merenungku. Kupalingkan wajah dari pandangan Yen.

“Kenapa ni?” soal Yen lagi masih berusaha mengajakku berbicara meluahkan segalanya. Aku diam. Susah aku hendak menyusun bicara sekarang.

“Takkan sebab tak dapat memancing kat sini lagi buat awak menangis,” ujar Yen cuba berjenaka. Aku tahu niatnya hanya untuk menceriakan aku. Aku tersenyum.

“Betul ke ni awak menangis sebab tak boleh memancing kat sungai ni lagi?” soal Yen mengusikku. Aku geleng kepala dan tersenyum. Kutatap wajah Yen seketika.

“Kenapa?” soal Yen lagi sebaik sahaja menyedari dirinya dipandang sedemikian.

“Terima kasih sebab awak telah berjaya menceriakan saya,” luah hati kecilku namun tidak mampu kuzahirkan. Laju aku geleng kepala dan tersenyum lagi buat Yen menjelingku.

 

YEN telah mengikut Pak Long ke kebun. Konon hendak menimba pengalaman berbakti pada tanah. Mak Long entah ke mana dia menghilangkan diri. Sejak kedatanganku bersama Yen di kampung ini, dia selalu sahaja tidak berada di rumah. Mungkin mengelak kami dari bersemuka. Aku dan Lili terhibur memerhatikan gelagat Nana dan Adie yang bermain begitu riang. Ketawa mereka tidak putus-putus. Adakala mereka saling berkejaran. Sesekali kedengaran suara Lili mengingatkan mereka agar berhati-hati. 

“Kenapa awak biarkan Yen ikut ayah ke kebun. Teruk dia digigit nyamuk nanti,” ujar Lili risau. Aku tersenyum. Keprihatinan Lili tidak pernah berkurangan.

“Biarlah dia rasa macam mana susah hidup orang kampung. Sekurang-kurangnya mengajar dia agar bersyukur dengan kehidupannya selama ni,” balasku. Sedikit pengalaman tentang kesukaran bekerja di kebun yang diperoleh petang ini aku harap akan menyedarkan diri Yen betapa bertuah dan beruntung dia dilahirkan dalam kalangan orang berada. Maka dia akan menggunakan harta kekayaannya di jalan yang betul. Biar wujud rasa terima kasihnya kepada Datuk Kamarudin kerana sejak dilahirkan dia sudah mengecapi kemewahan. Kemudian dia mula menghargai akan kewujudan Datuk Kamarudin dalam hidupnya. Maka terjalinlah kasih antara si ayah dengan si anak. Inilah yang aku dan Puan Sodiah harapkan berlaku pada Yen dan Datuk Kamarudin.  

“Awak bahagia bersama Yen?” soal Lili menyentakkanku. Kupandang Lili yang sedang menatapku menanti jawapan yang bakal aku berikan. Diam seketika. Haruskah aku jawab persoalan Lili ini? Perlukah aku beritahu Lili bahawa kehidupanku dengan Yen hanyalah sebagai sahabat akrab yang saling tolong menolong bukan seperti suami isteri sebenar. Bahagiakah aku hidup sebegini? Namun tinggal bersama Yen aku dapat menjauhi kemarahan dan kebencian Mak Long kepadaku. Malah aku mengenali Datuk Kamarudin dan Puan Sodiah yang begitu mengambil berat terhadapku. Layanan Puan Sodiah mengingatkan aku pada nenek. Sekurang-kurangnya terubat sedikit kerinduanku kepada arwah nenek.

“Ya... saya bahagia Lili,” balasku perlahan. Lili tersenyum. Tentu sahaja itu yang diharapkannya. Tumpahan air mata Lili pada hari pernikahanku dengan Yen tidak pernah aku lupakan. Lili tidak mahu perkara yang dialaminya akan menimpaku pula.

“Yen mesti menjaga awak dengan baikkan,” sekali lagi aku mengangguk. Yen menyediakan keperluan asas yang lengkap. Setiap hari aku boleh makan makanan yang sedap-sedap. Yen memberikan aku tempat tinggal mewah dan selesa. Aku boleh bergerak bebas di situ tanpa sebarang kerisauan.  

“Syukurlah awak bahagia. Sekarang bolehlah saya menarik nafas lega,” luah Lili. Dia tersenyum senang. Kutatap wajah Lili yang sedang melontor pandangan ke arah anak-anaknya. Sedih hatiku tidak mampu berterus terang segalanya kepada Lili. Buat pertama kali aku tidak boleh berkongsi kebenaran kisah baharu hidupku pada Lili. Hal perkahwinanku dengan Yen menjadi rahsiaku dan Yen. Tiada sesiapapun yang mengetahui kebenarannya. 

“Ayah dan Yen dah pulang tu. Saya nak sediakan air untuk mereka,” ujar Lili. Aku berpaling. Kelihatan dari kejauhan Pak Long dan Yen.

“Takpe biar saya buat. Awak tengoklah anak-anak awak,” tegahku sebelum sempat Lili bergerak meninggalkan aku. Lili tersenyum. Aku bangkit lalu melangkah meninggalkan halaman bergerak ke anak tangga rumah. Yen melangkah mendekati Lili. Kedatangannya disambut dengan senyuman Lili. Lalu dilabuhkan duduk di situ. Duduk di sisi Lili turut sama memerhatikan gelagat Nana dan Adie yang kelihatan riang bermain.

“Macam mana kerja kat kebun? Mudah ke susah?” soal Lili memulakan bicara. Yen tersenyum. Tangannya giat mengelap peluh yang keluar. Mujur juga Iman membekalkan tuala kecil. Mula-mula dia tidak pasti kegunaan tuala itu. Kalau sekadar alas penutup kepala dia tidak memerlukannya kerana lelaki itu telah meminjamkan topi mengkuang itu kepadanya. Hampir-hampir sahaja dia menolak namun tangan gadis itu cepat memasukkan tuala kecil ini di dalam kocek baju yang dipakainya. Sekarang baru dia tahu fungsi tuala kecil itu. Dia memang perlukan tuala kecil itu.

“Iman mana?” soalnya. Sebentar tadi dia melihat gadis itu ada di situ.

“Dia buat air kejap,” ujar Lili tersenyum. Senang hati Lili melihat pemuda ini mencari isterinya. Pasti rindu untuk menatap wajah isteri yang ditinggalkan seketika. Senyap. Tiada perbualan lagi. Yen tersenyum sendiri memerhatikan gelagat anak-anak Lili. Begitu juga dengan Lili. Terhibur  dengan aksi-aksi lucu permata hatinya itu.

“Mengapa Iman takut sangat dengan ulat?” soalan itu terpancul dari mulut Yen. Lili tersentak. Dia berpaling menatap pemuda itu. Pandangan Yen masih terarah kepada anak-anaknya. Senyap. Yen berpaling memandang wajah Lili.

“Saya pernah tanya perkara ni pada Iman,” keluhan yang tercetus sudah jelas menunjukkan pertanyaan pemuda itu tidak pernah dijawab. Lili tahu tidak mudah Iman akan meluahkan segalanya apatah lagi hal-hal yang berkaitan keluarganya. Iman begitu melindungi keluarganya.

“Hubungan Iman dan Mak Long memang ada masalah kan?” soal Yen  buat Lili tergamam lagi. Lili jadi serba salah. Bercerita hal itu sama seperti membuka pekung di dada. Namun kalau dia ingin membisu sahaja tidak adil buat Iman dan Yen. Yen berhak mengetahui segalanya. Kalaulah dia menceritakan kesemuanya pasti Yen tidak akan membiarkan Iman melalui semua itu. Itulah yang dia mahukan. Nasib Iman harus dibela.       

“Awak boleh memberikan jawapan yang ikhlaskan,” pinta Yen sambil menatap Lili. Lili menarik nafas panjang. Hatinya resah gelisah. Lili buat keputusan muktamad. Inilah langkah wajar yang patut diambil setelah membuat pertimbangan. Dia menceritakan peristiwa yang berlaku. Dia terbayang wajah ketakutan Iman tika itu. Tanpa disedari air matanya menitis. Betapa pilu hatinya mengenangkan semua itu. Dia tidak mampu menyelamatkan gadis itu daripada kemarahan ibunya sehingga ke hari ini. Yen yang mendengar cerita itu terdiam panjang. Seminit kemudian kedengaran keluhan panjangnya. Di mata terbayang Iman menjerit-jerit dalam tangisan. Dia melihat gadis itu merayu-rayu meminta dikasihani. Dia menyaksikan segala ketakutan dalam diri gadis itu. Kejam. Perasaan perikemanusiaan menimbulkan sakit hatinya. Sukar diterima akal masih ada kisah duka Cinderella zaman moden ini. Laju tangan Lili mengesat sisa air mata di pipi tatkala melihat gadis itu sedang menuruni anak tangga rumah.

“Mana Pak Long?” soalku seraya meletakkan dulang di atas para itu. Kutuang air sirap sejuk ke dalam gelas.

“Dia ke belakang rumah bagi ayam-ayam makan,” sahut Yen.

“Mm... Minumlah,” pelawaku.  Yen  mencapai gelas yang sudah berisi air sirap. Yen menatap wajah gadis itu dengan pandangan sayu. Betapa dia simpati pada gadis ini. Gadis yang terlalu bijak menyembunyikan penderitaan di sebalik keceriaan hidupnya. Dia tertipu. Selama ini dia merasakan hidup gadis ini begitu riang tanpa sebarang masalah yang wujud. Dia cemburu melihat keceriaan hidup gadis ini. Suasana diselubungi sepi. Kupandang Lili.

“Senyap je...,” komenku. Lili senyum. Aku berpaling ke arah Yen pula. Pandangan matanya agak pelik. Tampak muram dan sugul. Sedikit menghairankan aku. Barangkali sudah kehabisan tenaga. Aku tersenyum sendiri. Hari ini Yen menimba pengalaman baharu dalam hidupnya.

“Iman, awak duduklah kat sini dengan Yen. Saya naik atas dulu nak mandikan budak-budak tu,” suara Lili memecah kesepian. Aku mengangguk dan mengekori langkah Lili mendapatkan anak-anaknya. Kubalas lambaian tangan Nana tatkala meninggalkan kami yang masih bersantai di bawah pokok rambutan di halaman rumah ini.

“Saya dengar awak nak belajar ke universiti,” suara Yen singgah di telingaku. Aku berpaling menatap Yen.

“Baru je hantar permohonan. Harap-harap permohonan saya diterima,” balasku mengharap masih ada kesempatan untukku menjejakkan kaki ke menara gading. Aku berkeinginan sangat merasa kehidupan kampus yang dilalui oleh mahasiswi.

“Sebelum ni tak pernah pun awak cakap kat saya,” suara Yen mendatar sahaja. Barangkali merasakan dirinya telah dipinggirkan. Aku tersenyum sendiri.

“Saya pernah nak cakap hal ni kat awak, tapi masa tu awak lama menghilangkan diri,” ujarku mengungkit hal lalu. Yen terdiam. Berfikir seketika.

“Bila status permohonan tu keluar?” soal Yen nampak berminat.

“Mungkin esok. Yang pasti dalam minggu kedua bulan ni,” jelasku.  Esok merupakan hari pertama minggu kedua bulan Julai. Terasa debaran menantikan kemunculan esok. Semoga esok ada berita yang menggembirakan buatku.  

“InsyaAllah, awak akan berpeluang belajar di universiti nanti,” ujar Yen menyenangkan hatiku.

“Terima kasih. Kali ini biar apapun terjadi saya takkan lepaskan peluang untuk bergelar siswazah,” nekadku.

“Awak pernah menolak tawaran ke universiti?” soal Yen. Aku tersentak. Bagaimana Yen mengetahui semua ini? Terlepas bicarakah aku sebentar tadi? Aku dan Yen saling berpandangan. Lidahku kelu untuk terus berbicara.

 

 

No comments:

Post a Comment