“Nak goreng garing atau sederhana garing. Bonda nak yang mana satu?” tuturku meminta Nek Som membuat pilihan. Nek Som mendekatiku lantas menjenguk menatap potongan ikan tenggiri di dalam kuali yang sedang digoreng. Dia tersenyum.
“Kamu suka yang garing atau sederhana garing?” tanya Nek Som semula. Tidak menjawab pertanyaanku tadi.
“Garing...,” sahutku.
“Sama macam Rayyan...,” tutur Nek Som.
“Jadi sekarang nak yang mana?” tanyaku mengulangi pertanyaan tadi.
“Suka hati kamu. Memandangkan ini menu kamu, jadi kamulah yang memutuskan,” tutur Nek Som buat aku serba salah. Segalanya diletakkan atas kemahuanku.
“Jadi nak adil separuh garing ... separuh sederhana garing,” ujarku berbicara sendiri. Biar sama-sama seronok menikmatinya nanti. Tiada alasan ada pihak yang tidak berpuas hati.
“Macam mana nak tahu nanti yang mana garing dan yang mana sederhana garing kalau dalam kuali yang sama?” tanya Mak Ton mencelah menguji kecerdasanku. Pasti kata-kataku tadi didengarnya. Nek Som tergelak.
“Saya dah siap bagi tanda lahir,” balasku berjenaka. Mak Ton dan Nek Som serentak tergelak. Tercuit mendengar kata-kataku.
“Bijak...bijak,” puji Mak Ton mengusikku. Kali ini giliranku tergelak. Nada suara Mak Ton memberi pujian mencuit hatiku.
“Ada apa-apa lagi yang Mak Ton boleh tolong?” soal Mak Ton.
“Semua bahan dah disediakan. Tunggu nak campak-campak dalam kuali saja lagi,” balasku berselorah.
“Kalah cef handalan Malaysia ni,” tutur Mak Ton buat aku tergelak besar.
“Takkan Mak Ton tak tahu, cikgu kan serba boleh. Ilmu pasti penuh di dada,” tutur Nek Som berjenaka. Aku tergelak lagi. Rancak mereka ini menyakatku. Apapun aku seronok dan gembira bersama dua orang wanita ini.
Siap menggoreng ikan. Misi kedua menyiapkan masakan ikan tenggiri tiga rasa. Mak Ton sudah siap memanaskan minyak di dalam kuali kedua. Satu-persatu bahan masakan kumasukkan ke dalam kuali.
“Wah, wanginya. Laparlah...,” tiba-tiba kedengaran suara lelaki di dapur ini. Aku berpaling.
“Oh, cikgu yang masak rupanya!” Zekri mendekatiku lantas menjenguk bahan-bahan yang kutumis di dalam kuali.
“Sedapnya...,” pujinya.
“Awak belum rasa dah tau sedap,” tingkahku tidak mahu dia memberi perspektif yang terlalu tinggi. Risau kecewa.
“Yakin...sedap,” ujar Zekri memberi sokongan motivasi.
“Kamu pergilah mandi, nanti kita makan tengah hari sama-sama,” arah Nek Som meminta anak muda ini beredar meninggalkan dapur. Zekri berpaling menatap Nek Som.
“Kenapa nenek tak cakap cikgu nak datang hari ni? Menyesal pula balik lambat,” rengek Zekri manja mengadu pada Nek Som.
“Belum cukup umur lagi tak payah nak mengorat cikgu,” bidas Nek Som buat Zekri tergelak. Aku dan Mak Ton tersenyum.
“Masak sedap-sedap ye... Nanti datang balik. Bye...,” tutur Zekri lantas meninggalkan dapur. Patuh pada arahan Nek Som.
“Suka tak kalau dapat suami yang pandai masak dan rajin tolong di dapur?”
tanya Mak Ton. Terasa soalan ini macam perangkap sahaja. Sejujurnya teramat
suka. Berkongsi tanggungjawab di rumah akan mewujudkan keluarga harmoni. Hidup bantu-membantu dan saling melengkapi.
“Suka...,” balasku ringkas. Rezeki kalau dapat suami yang boleh buat kerja-kerja rumah. Sekali sekala masak untuk keluarga, pasti membahagiakan hati isteri. Merasa masakan air tangan suami bagai suatu rahmat dalam rumah tangga.
“Harris rajin masak,” Nek Som tiba-tiba sahaja menyebut nama pemuda itu.
“Sedap masakan Harris,” Kali ini Mak Ton turut memuji kemahiran Harris. Aku senyum.
“Lain kali nak rasa masakan doktor,” tuturku teruja.
“Tunggu dia cuti. Nanti bonda suruh dia masak untuk kita,” ujar Nek Som bangga. Aku mengangguk. Doktor pakar mesti hebat di bilik bedah. Ada kesempatan hendak tengok doktor beraksi di dapur pula. Pegang pisau memang tidak jadi masalah.
“Assalamualaikum..., sekejap...biar saya angkat,” suara Harris menghentikan gerakan tanganku. Tidak jadi mengangkat kuali ini. Laju langkah Harris mendekatiku. Kuali yang panas ini diangkat dengan berhati-hati.
“Hati-hati...panas tu,” ujar Harris memberi peringatan.
“Takpe...saya tolong,” Sekali lagi Harris menegahku. Lantas diambil senduk dan bekas kaca dari tanganku.
“Nak simpan semua ini di dalam bekas?” tanya Harris memandangku. Aku mengangguk.
“Kan betul Mak Ton cakap tadi Harris rajin menolong di dapur,” puji Mak Ton. Serentak aku dan Harris berpaling. Nek Som dan Mak Ton tersenyum lebar menatap kami. Senyuman yang sukar dimengertikan. Rupa-rupanya mereka dari tadi jadi pemerhati.
“Sekadar nak pastikan cikgu tak cedera di dapur kita,” balas Harris. Bijak Harris mematahkan renungan nakal Nek Som dan Mak Ton.
“Tak payah risau sebab ada doktor di rumah ini yang boleh rawat,” tingkah Nek Som masih mahu memanjangkan usikan.
“Betul...,” sokong Mak Ton bersekongkol dengan Nek Som. Aku hanya senyum. Bukan mudah hendak mematahkan setiap hujah mereka yang berbaur usikan ini. Nek Som dan Mak Ton masing-masing handal dalam drama berkasih sayang berkias-kias ini. Orang lama kiasan bahasa mereka dalam maksudnya. Tidak tertafsir akal modenku.
“Terus hidang...kejap lagi kita makan sama-sama,” ujar Nek Som sambil mengarah Harris meneruskan khidmat bantu. Tidak sampai sepuluh minit, semua menu yang dimasak tadi sudah terhidang di atas meja dengan bantuan tenaga Harris dan Zekri. Sekarang semua sudah bersedia menjamah hidangan tengah hari. Aku memandang kerusi kosong di depanku.
“Baru balik...,” sapa Nek Som. Langkah Rayyan terhenti. Aku melontar pandangan ke situ. Sekilas bertentang mata sebelum Rayyan mengalih pandangan ke arah Nek Som.
“Marilah makan sama. Cahaya ada masak sedap ni,” ajak Nek Som lembut. Mak Ton sudah bangkit berhajat mahu mengambil pinggan kosong.
“Maaf...dah makan di luar tadi. Nak berehat di bilik sekarang. Letih...,” ujarnya meminta diri lantas melangkah pergi. Nek Som melepaskan keluhan kecil.
“Takpe...saya makan bahagian Rayyan nanti,” tutur Zekri cuba menceriakan suasana yang tiba-tiba sahaja sunyi.
“Sayapun boleh makan lebih,” ujarku cuba mengubah keheningan ini. Nek Som tergelak. Dia sudah kembali senyum.
“Ini masakan special Cikgu Cahaya,” tutur Nek Som mempromosi ikan tenggiri masak tiga rasa.
“Nak...nak...,” Zekri nampak sudah tidak sabar hendak menikmati menu ini.
“Sebelum itu, nak beritahu...ikan yang ada tanda huruf v ialah sederhana garing, yang takde tanda... garing,” ujarku memberi info.
“Hebat cikgu...!” puji Zekri sambil membuat pilihan ikan tenggiri yang hendak diletakkan di dalam pinggan.
“Doa...doa...,” pinta Zekri sudah tidak sabar hendak menjamah hidangan tengah hari ini. Semua menadah tangan tatkala Zekri melafazkan doa. Langsung tidak mahu menangguhkan masa.
“Makan perlahan...nanti tercekik,” tegur Nek Som menasihati Zekri yang berkobar-kobar hendak menikmati hidangan di atas meja.
“Jarang dapat makan semeja beramai-ramai macam ni,” tutur Nek Som seronok.
“Selalu makan dengan Mak Ton saja,” tambah Nek Som.
“Nampaknya kenalah hari-hari Cahaya makan di sini. Kalau tak susah nak jumpa mereka ni,” sindir Nek Som buat Harris dan Zekri tergelak.
“Kalau macam tu...cikgu kenalah pindah ke sini,” cadang Zekri sesuka hati.
“Cadangan yang bagus,” Laju Nek Som menyokong.
“Mak Ton setuju,” sokong Mak Ton sambil mengangkat tangan.
“Setuju kamu?” tanya Nek Som. Semua mata memandangku. Aku tersengih-sengih. Cadangan yang tidak dapat diterima akal logikku.
“Saya perlu kuliah hari-hari. Tak boleh tinggal jauh dari kampus,” ujarku berkias-kias menolak cadangan itu.
“Saya boleh hantar dan ambil awak setiap hari,” laju sahaja Zekri menyuarakan kesanggupan menjadi supirku.
“Saya pun boleh hantar dan ambil awak di kampus,” Giliran Harris menawarkan khidmat. Nek Som dan Mak Ton tersenyum lebar.
“Masalah transport dah selesai. Pak Mail pun boleh hantar dan ambil ke mana saja kamu nak pergi,” tambah Nek Som memberikan tawaran yang terbaik.
“Saya tak boleh tinggalkan roomate sendirian di asrama,” ujarku memberi alasan yang kukuh. Mujur otakku bergeliga saat ini.
“Kalau macam tu tak dapatlah. Kasihan juga nak tinggalkan roomate bersendirian,” Kali ini Nek Som terpengaruh dengan hujah bernasku. Aku tersenyum sendiri. Lega.
“Kalau kita ajakpun tak mungkin dia nak tinggal di sini,” keluh Nek Som kematian akal. Menakutkan sungguh perancangan Nek Som dengan tentera-tenteranya. Boleh buat aku tidak lena sepanjang malam berfikir kalau Nek Som masih mahu menuntut kesudianku. Perkara ini nampak mudah tetapi bukan senang hendak dilalui. Tinggal sebumbung dengan Nek Som dan Mak Ton yakin tiada masalah yang akan timbul. Namun tinggal sebumbung bersama tiga orang teruna penghuni agam ini memang tidak dapat aku bayangkan. Pasti pada hari itu merupakan noktah kebebasan hidupku di dunia ini.
“Terima kasih ... masak sedap hari ni,” tutur Harris. Aku tergelak kecil.
“Masak ikan je pun. Yang lain-lain tu Nek Som dan Mak Ton yang masak,” ujarku berpijak di alam nyata. Hanya Nek Som dan Mak Ton yang layak menerima pujian. Semua menu yang mereka masak memang sedap. Kiranya ikan tenggiri tiga rasa itu turut terkena tempias pujian.
“Saya fokus makan ikan tiga rasa yang awak makan tu je tadi. Dua kali tambah nasi tadi,” ujar Harris masih menyanjungi ikan tenggiri tiga rasa. Pandai dia ambil hati.
“Mesti ambil ikan yang ada tanda lahir v kan,” tekaku. Harris mengangguk.
“Saya dengar info yang awak berikan,” jelas Harris.
“Betullah tu,” ujarku mengiyakan. Setahuku hanya aku dan Rayyan sahaja yang suka ikan goreng garing. Memandangkan Rayyan tidak makan tadi, ikut hati mahu sahaja aku habiskan ikan tiga rasa yang garing itu. Namun kantung perutku kecil hendak menampung kapasiti yang berlebihan. Nek Som pula yakin lewat sedikit Rayyan akan makan nanti. Hanya Nek Som yang memahami pemuda itu.
“Lebih keraplah datang ke rumah Nek Som. Nanti boleh makan masakan awak lagi,” pinta Harris.
“Amboi..., sedapnya cakap...!” ujarku membutangkan mata menatap Harris. Harris tergelak. Aku turut tergelak. Sengaja mengusik Harris sedemikian.
“Saya tak pandai masak,” ujarku jujur.
“Sedaplah awak masak,” tingkah Harris. Aku mencebik. Pujian sudah berlebihan.
“Serius...,” tegas Harris.
“Nek Som dan Mak Ton masak lagi sedap,” pujiku jujur.
“Betul...tapi nak ada kelainan juga,” tutur Harris.
“Jadi awak dah bosan makan masakan Nek Som dan Mak Ton? Jahatnya awak..,” kutukku. Harris tergelak lagi.
“Kalau awak nak cari kelainan... petunjuk dah sampai masa awak ada orang rumah. Nanti bolehlah dia masak hari-hari untuk awak,” saranku mengusik Harris.
“Tengah carilah ni,” ujar Harris tidak menafikan. Memang patut Harris ada teman hidup sekarang.
“Wow..., semoga bertemu isteri idaman awak,” doaku ikhlas. Lelaki sebaik Harris memang layak dipertemukan isteri yang baik. Bayangan Sarah menjelma di mataku.
“Saya doa ikhlas untuk awak tau,” ujarku membuatkan Harris tersenyum lebar. Sarah cantik sepadan dengan Harris.
“Kejap je dah sampai. Kalau borak dengan awak memang tak terasa,” tutur Harris.
Aku senyum. Gembira kalau Harris selesa bersamaku.
“Terima kasih kerana sudi hantar saya balik,” ujarku berbesar hati.
“Jangan lupa datang ke rumah lagi ye,” pinta Harris.
“InsyaAllah...,” Aku dan Harris bertukar senyuman. Kemudian kereta BMW yang Harris pandu bergerak meninggalkan perkarangan desasiswa. Harris tidak boleh lama-lama di sini. Banyak sungguh mata memerhati. Bukan cemburu tetapi tidak selesa.
“Seronok masak di rumah mak mentua tadi?” soal Mila nakal. Aku mencebik.
“Suka hati saja awak cakap,” keluhku geram. Mila tersenyum.
“Firasat saya memang tak silap lagi... Nek Som nak awak jadi menantu dalam keluarga dia,”
“Apa...!” Besar anak mataku menatap Mila. Lancang betul mulut anak gadis ini. Main cakap sahaja. Perkara yang terlintas di otak itulah yang dilafazkan di mulutnya.
“Maksud saya... dia nak jodohkan awak dengan salah seorang anak muda di rumah itu,” ujar Mila lebih jelas. Aku menulikan telinga. Malas mahu melayan imaginasi Mila. Selalu sangat berfikir di luar kotak. Suka membayangkan yang bukan-bukan.
“Okeylah tu....kebetulan Harris memang suka awakpun,” sokongnya.
“Takde masalahkan,” tambahnya.
“Mila...!” Teringin hendak mencekik anak dara ini. Tidak habis-habis menyakatku. Suka sungguh memadankan aku dengan Harris.
“Saya nak tidur...ngantuk. Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut balik bilik happy,” ujarku sambil menjeling Mila. Sengaja mahu mengusik dia.
“Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut terus tidur mimpi Harris,” balas Mila berpantun. Mila ketawa puas hati. Sejak Harris datang ke sini mencariku semakin giat dia memadankan aku dengan Harris.
“Malas saya nak layan anak dara yang kemaruk kat Harris ni,” kutukku lantas memejamkan mata. Mahu cepat lena. Mila ketawa lagi. Berbahagialah hatinya menggandingkan aku dengan doktor muda itu. Mujur aku tidak sempat bercerita tentang ajakan Nek Som tadi. Kalau tidak mahu tiga hari tiga malam Mila menyakatku.
Nenek Som mengalih pandangan dari televisyen ke wajah Rayyan. Sejak dari tadi anak muda itu menemani di ruang tamu ini. Teman duduk tetapi bukan teman berbicara. Nek Som memang biasa dengan sikap diam Rayyan. Pemuda itu lebih banyak mengunci mulut daripada bersuara.
“Mak Ton dah sediakan makanan di atas meja tu. Kamu makan nanti ye. Cahaya ada masak ikan tenggiri tiga rasa tadi. Sedap dia masak. Rugi kalau kamu tak makan,” ujar Nek Som.
“Cahaya macam kamu juga ... suka ikan garing,” tambah Nek Som bercerita tentang gadis itu. Rayyan senyap. Belum mahu bersuara. Hanya menganggukkan kepala.
“Jangan lupa makan nanti. Nenek nak tidur sekarang. Takde drama menarik malam ni. Dah tua macam ni memang tak bertenaga nak berjaga lama,” keluh Nek Som lalu bangkit dari sofa meninggalkan Rayyan bersendirian di ruang tamu.
Pandangannya fokus pada rancangan tv. Namun tidak menarik minatnya. Dicapai alat kawalan jauh. Beberapa kali ditukar rancangan tv. Punat merah ditekan. Tv dimatikan. Lantas dia bangun lalu bergerak meninggalkan ruang tamu. Langkahnya mati. Dia melontar pandangan ke dapur. Kemudian mengatur langkah ke situ. Diangkat tudung saji. Lauk-pauk sudah terhidang di situ. Dicapai pinggan kosong lalu diceduk nasi yang tersimpan di dalam periuk itu. Masih panas. Lantas duduk di kerusi bersedia hendak menikmati hidangan lewat malam itu.
Ikan tenggiri tiga rasa bersama segumpal nasi dikunyah perlahan-lahan. Selepas sekali cuba ditambah lagi suapan berkali-kali. Semakin berselera. Akhirnya dia menghabiskan nasi sepinggan dalam kepuasan. Pinggan ikan tenggiri tiga rasa sudah kosong. Dia bangkit dari kerusi lalu ke sangki mencuci pinggan.
“Boleh tahan masakannya,” ujarnya berbicara sendiri memuji gadis itu. Kemudian terbayang kejadian pada malam itu.
“Perlukah awak hina saya sampai ke tahap itu?” suara gadis itu menerpa pendengarannya. Rayyan masih berdiri di situ. Suara gadis itu masih kedengaran di telinganya.
No comments:
Post a Comment