Thursday, 8 July 2021

Awaklah SonataKu .... Bab 13

 

Aku menggeliat dua tiga kali. Sungguh terasa segar dapat tidur dengan nyenyak sekali. Aku berpaling. Linda sudah tidak berada di sebelahku. Bingkas aku bangun.

Anyonghaseyo...,” sapaku. Linda berpaling.

“Hey, ingatkan suara gadis Korea mana pagi-pagi datang ke rumah ni,” perli Linda. Aku tersenyum . Sudah menjadi kebiasaan perkataan itu keluar dari mulutku. Aku mendekati Linda. Di meja sudah terhidang cucur udang dan bihun goreng. Nampak sangat menyelerakan.

“Awalnya awak buat sarapan,” tuturku terpegun. Linda tersenyum.

“Jom kita sarapan,” ajaknya lalu menarik kerusi untuk duduk. Baru sahaja aku hendak mencecahkan punggung di kerusi, tiba-tiba kedengaran loceng pintu ditekan. Aku dan Linda berpandangan.

“Siapa pula yang datang awal pagi ni. Jangan-jangan Kak Leha tak,” tekaku mungkin Kak Leha baru sampai dari Penang.

“Mungkin dia yang datang,” balas Linda.

Who?” Kupandang wajah Linda.

“Semalam pemuda Korea tu cari awak. Dia nak datang semalam ambil awak tapi saya tak bagi. Saya suruh dia datang hari ni tapi tak sangka pula awal pagi begini,” tutur Linda bercerita.

Mwo / apa...!” Aku sedikit terkejut mendengar kenyataan Linda.

“Agaknya semalam dia tak dapat tidur lena. Mungkin rindu sangat katawak he... he... he... Duduklah... saya buka pintu untuk dia. Boleh ajak dia sarapan sekali dengan kita,” tutur Linda berlalu meninggalkan aku termangu-mangu.

“Awak dah okey?” ada suara yang menyapaku. Aku menoleh. Yen sudah terpacak berdiri di depanku. Ditatapnya wajahku. Namun pantas aku mengalih muka. Malas aku hendak beradu pandangan dengan wajah itu. Buat sakit hati sahaja.

“Duduklah Yen,” ajak Linda. Dia terus duduk di sebelahku. Dia menatapku lagi. Aku sekadar menjelingnya. Selebihnya aku tidak mengendahkan kehadirannya di sini.

“Awak masih marah?” bisiknya bertanya. Tidak kuhiraukan pertanyaannya itu. Aku menikmati bihun goreng di dalam pinggan. Sesekali Linda menjeling ke arahku.

“Makan Yen,” suara Linda memecah kesepian. Dia mengangguk. Dia mula menikmati hidangan yang disediakan. Sesekali dia melirik kepadaku. Linda juga mencuri pandang ke arah kami.

“Lepas ni saya bawa awak pergi ke klinik.” suaranya memecah kesepian.

“Tak payah. Luka sikit je ni,” balasku. Kedengaran keluhannya.

“Yah, awak ni degil sangat!” suaranya sudah mula tinggi.

“Suka hati saya kalau saya tak nak pergi. Ini tangan saya. Saya yang rasa sakit bukan awak. Jadi awak buat hal awak sendiri. Faham!” balasku lantang tidak mahu mengalah. Kulihat Linda terpaku menatap kami. Seakan kami tidak menyedari kewujudannya di sini. Kasihan Linda terpaksa pula menyaksikan pertengkaran ini.

“Iman ssi!” Aku nampak Linda terlopong-lopong menyaksikan pertikaman lidah antara aku dengan lelaki ini.

“Terima kasih atas sarapan ni. Sekarang kami nak balik dulu,” ujarnya. Pantas Yen menarik tanganku membawa pergi. Aku tersentak dengan tindakannya dan cuba berkeras melepaskan diri. Namun genggaman tangannya begitu kuat sehingga aku terpaksa mengekori langkahnya.

“Yah, Jang Geun Suk lepaskan tangan saya!” jeritku.

“Awak harus pergi jumpa doktor Iman,” suara Linda mencelah sambil mengekori langkah kami. Cuba memujukku dan meredakan ketegangan saat ini.

“Dia ni memang degil,” marah Yen.

“Ahhhhh...!!!!” Aku menjerit sekuat-kuat hatiku. Linda dan Yen tergamam menatapku. Pantas aku menarik tanganku. Aku berpatah balik masuk meninggalkan ruang tamu berhajat mahu ke bilik tidur Linda.

“Iman ssi, awak nak pergi mana?” Langkahku mati.

“Takkan saya nak keluar pakai baju tidur macam ni. Saya nak mandi dulu,” balasku lantas menyambung langkah masuk ke bilik Linda. Yen geleng kepala. Linda tersenyum panjang. Aku bersiap-siap di bilik Linda tanpa menghiraukan Yen telah lama menungguku  di luar sana. Sengaja aku melengah-lengahkan masa. Biar dia tahu bagaimana rasanya penantian itu.

“Jom kita pergi,” ajaknya tidak sabar-sabar, Yen mendekatiku lalu mencapai tanganku lantas digenggamnya erat. Aku kurang senang dengan perlakuannya itu. Apatah lagi di depan Linda.

“Lepaskan tangan saya,” tegasku cuba menarik tanganku dari pautan tangannya. Begitu kukuh dan tidak dapat dileraikan lagi.  

“Saya tak boleh lepaskan tangan awak sebab awak selalu buat helah,” tuturnya sewenangnya.

Mwo / apa...!” Linda hanya tersenyum. Senang-senang dia tuduh aku penipu.

“Cepat... kita pergi sekarang,” tutur lagi. Aku cuba menarik tanganku dari genggamannya untuk kesekian kali. Masih tidak berhasil. Linda masih tersenyum-senyum.

“Saya balik dulu. Ada masa saya akan datang lagi,” tuturku. Linda hanya mengangguk.

Let’s go...,” Yen terus menarik tanganku membawa pergi. Aku terpaksa menurut langkahnya. Tatkala aku masuk ke dalam kereta barulah dia melepaskan tanganku.

“Duduk diam-diam di situ,” arahnya. Aku menarik muka masam. Mulutku tidak habis-habis mengutuknya. Kereta bergerak. Aku melontar pandangan keluar. Sesekali dia mencuri pandang ke arahku.

“Awak masih marah saya?”

“Saya tak nak cakap dengan awak,” balasku mengingatkannya. Senyap. Kali ini dia patuh.  Aku masih melontar pandangan keluar.

Sorry ...,” Aku berpaling menatapnya. Macam tidak percaya telingaku mendengar perkataan itu. Yen bukan seorang yang mudah mengakui kesalahan dan kesilapan diri sendiri terutama kepadaku. Dia masih memfokuskan pandangan ke hadapan.

Sorry sebab buat awak tercari-cari saya, sorry sebab buat awak risau, sorry sebab tangan awak cedera. Mianhae / maaf...,” tuturnya. Aku terkedu. Banyak sangat kemaafan yang dipohonnya.

“Saya akan pastikan perkara ini takkan berulang lagi pada masa akan datang,” janjinya membuai perasaanku seketika. Bungkam. Dia sudah tidak bersuara lagi. Sebenarnya aku ingin sekali mendengar penjelasan tentang kejadian seminggu yang lalu. Jelasnya Yen tidak mahu berkongsi perkara itu denganku. Keluhan kecilku tercetus. Siapalah aku untuk berkongsi cerita bersamanya. Aku bukan sahabat akrabnya, jauh sekali kekasih hatinya yang boleh berkongsi kisah suka dukanya. Yang pasti aku hanya gadis yang singgah sebentar lalu menjadi kisah yang tidak menarik dalam hidupnya.

“Jom, kita dah sampai,” Aku cepat-cepat keluar dari kereta. Risau kalau dia masih mahu mengunci langkahku seperti tadi. Aku menatap sekeliling. Di mana ini? Agaknya kami akan bertemu dengan doktor peribadi keluarganya. Dia mendekatiku. Ditatap aku. Baru sahaja dia hendak mencapai tanganku, pantas aku mengelak.

“Saya boleh ikut awak dari belakang,” ujarku. Kami beradu pandangan seketika. Dia mengeluh lalu melangkah dan seperti yang dijanjikan aku mengekori langkahnya. Tepat. Kami berjumpa dengan Dr. Charil doktor peribadi keluarga Datuk Kamarudin.

Are you okay?” Aku mengangguk. Kulihat tangan yang sudah dibalut. Sedikit lega setelah dirawat oleh Dr. Charil tadi.

“Jom...,” ajaknya lagi.

“Kita nak pergi mana?” Yen sudah melangkah di depanku. Aku mengejar langkah itu. Sepanjang perjalanan aku hanya mendiamkan diri. Bicaranya tadi kembali menerjah fikiranku. Luahan maafnya yang tampak ikhlas sedikit menghilangkan  marahku kepadanya. Kereta membelok memasuki kawasan letak kereta. Yen keluar dari kereta sedangkan aku masih duduk di kerusi lengkap memakai seat - belt langsung tidak mahu bergerak. Yen yang baru sahaja melangkah beberapa tapak, berpatah balik lalu terpacak di luar kereta tepat-tepat di sebelahku. Dia membongkokkan sedikit tubuhnya. Cermin tingkap kereta diketuk beberapa kali.

“Keluar sekarang,” arahnya. Aku menegakkan kepala dan tubuh. Cuba tidak mengendahkan kewujudannya termasuk arahannya. Aku memaut kuat-kuat seat-belt yang terpasang di tempat duduk tatkala Yen membuka pintu kereta.

“Awak tak nak keluar?”

“Saya nak balik ke rumah,” tegasku berkeras dan tidak mahu berkompromi. Kedengaran keluhannya. Tanpa kuduga dia terus membongkok seakan mahu memelukku. Aku jadi takut. Tangannya pantas membuka seat-belt membuatkan wajahku terlalu dekat dengan wajahnya. Tubuhku dengan dirinya saling bersentuhan. Dadaku berdegup kencang. Serasa deruan nafasku terhenti. Haruman wangian Dunhill yang dipakainya menusuk rongga hidungku.

“Awak nak buat apa ni!” Aku menolak tubuhnya tatkala tangannya memaut tubuh dan kakiku lalu mengangkatku keluar. Perlakuannya seakan menggendong orang yang tidak mampu berdiri dan berjalan sendiri. Di luar jangkauan akalku, Yen telah mencempung tubuhku lantas melangkah. Lagak seorang gentleman.

“Lepaskan saya...!” Aku cuba berkuat melepaskan diri. Namun pautan tangannya semakin kemas lebih menyukarkan aku hendak melepaskan diri. Terasa kehangatan tubuhnya. Aku dapat merasakan deruan nafasnya. Betapa dekatnya dia denganku saat ini. Aku meronta lagi. Sungguh aku rimas diperlakukan sedemikian. Bahkan aku  malu tatkala berpasang-pasang mata yang sedang memerhatikan kami.

“Duduk diam-diam di sini,” Pup! Dilepaskannya tubuhku ke sofa.

“Yah...!” aku menjerit geram. Cuba menyepak kakinya. Namun dia cekap mengelak. Aku melepaskan hembusan nafasku bersama kemarahanku. Dia melangkah masuk ke bilik meninggalkan aku di situ. Kupandang sekeliling.

My Dream Centre,” aku membaca barisan ayat yang terpampang pada pintu kaca utama. Tempat kerjanya. Di sinilah dia mengkomersilkan bakat muziknya malah ada kelas muzik turut diadakan di sini. Pasti dia mengusahakan tempat ini bersama-sama beberapa orang kawan baiknya yang ada dalam gambar yang tergantung di dinding itu.

“Jack,” Aku menyebut nama salah seorang kawan Yen yang ada dalam gambar tersebut. Aku bangkit dari sofa meninjau-ninjau sekitar ruangan ini. Boleh tahan juga pejabat dia ini.

“Iman...,” Aku berpaling. Lelaki itu tersenyum menatapku. Aku membalas senyuman itu.

“Buat apa kat sini?” soalnya hairan. Aku hanya menunding jari ke arah bilik kaca itu. Kelihatan Yen sedang sibuk di sana. Jack seakan faham dengan isyarat yang aku tunjukkan.

“Awak datang dengan Yen?” soalnya. Aku mengangguk.

“Nanti kita berbual,” bicaranya. Aku mengangguk lagi. Jack berlalu menemui sahabatnya itu. Aku kembali duduk di sofa menanti dan memerhatikan gelagat dua orang sahabat yang berada di dalam bilik kaca itu.

“Kat mana awak jumpa pembantu rumah secantik dia tu?” Yen mengangkat muka memandang sahabatnya yang baru sahaja masuk ke bilik itu. Dahinya berkerut. Hairan dengan pertanyaan sedemikian.

What?”

“Tu kat luar tu,”

“Oh...,” Dia sudah dapat menangkap maksud bicara sahabatnya itu. Aku memandang ke arah mereka. Tampak sedang sibuk membincangkan sesuatu. Terasa membosankan duduk tanpa berbuat apa-apa. Aku menggosok-gosok mata beberapa kali. Terasa mengantuk. Lantas aku ambil keputusan untuk melelapkan mata sekarang.

“Iman ssi...,” Dia tersenyum sendiri tatkala melihat gadis itu sedang terlena bersandar pada sofa itu. Perlahan-lahan dibaringkan tubuh gadis itu di sofa lalu mengalas kepala gadis itu dengan kusyen. Dia duduk di bawah lunjuran kaki gadis itu. Seketika ditenung wajah putih bersih itu. Lembut  jemarinya mengalih rambut yang terjuntai ke pipi putih mulus itu. Tatkala jemarinya menyentuh pipi itu terasa licin dan lembut. Untuk beberapa ketika pandangannya terarah pada wajah itu tanpa sekelumit pun jemu. Wajah yang tenang dan mendamaikan hatinya.

Perlahan-lahan aku membuka mata. Bingkas aku bangun tatkala sepasang mata itu sedang menatapku. Kugaru-garu kepala yang tidak gatal. Sungguh memalukan aku tertidur dan tatkala aku terjaga, Yen sudah berada di sebelahku sedang memerhatikan aku yang sedang tidur lena ini.

“Pukul berapa sekarang?” soalku memecah kesepian.

“Awak dah tidur hampir dua jam,” balasnya tanpa menjawab soalanku. Alamak, lamanya aku tertidur! Harap-harap tiada aksi yang memalukan sepanjang aku terlena itu. Risau kalau ada air liur yang keluar atau dengkuran yang menyakitkan telinga.

“Awak ni senang je tidur ya. Kat mana-mana pun awak boleh tidur,” komennya memerliku.

“Kenapa awak tak kejutkan saya tadi?” rungutku. Yen tidak menjawab lagi bicaraku. Bingkas dia bangun dari sofa.

“Jom... kita makan dulu sebelum balik ke rumah,” tuturnya. Aku menatap jam di pergelangan tangan. Sudah petang. Bermakna aku tidak perlu memasak untuk makan malam nanti. Aku tersenyum sendiri sambil mengekori langkah Yen. Malam ini bolehlah aku rehat lagi.

AKU berdiri seketika di depan cermin menatap baju kurung yang aku pakai. Taburan bunga ros merah kecil-kecil  berlatar belakangkan warna putih cukup kugemari. Pandai juga dia memilih warna dan corak sebegini. Balik kerja tadi baju kurung ini sudah tergantung di bilik ini menanti aku memakainya. Yen meminta aku memakai baju kurung ini bersama tudungnya sekali. Menurutnya sebentar lagi kami akan keluar menghadiri majlis. Pelik perangai dia malam ini tiba-tiba bermurah hati mengajakku keluar. 

“Iman ssi awak dah siap?” kedengaran suaranya memanggil namaku dari ruang tamu. Aku mencapai iPhone lalu melangkah keluar. Tatkala kakiku di anak tangga terakhir, langkahku mati. Aku terpaku menatap pemuda Korea yang sedang leka melontar pandangan pada kaca tv itu. Tampak begitu tampan dengan baju Melayu merah bersamping hitam. Warna-warna itu menyerlahkan keputihan kulitnya. Dia menoleh.

Why you’re looking me like that?” Persoalannya menyedarkanku. Aku terus melangkah ke pintu. Pertanyaannya itu kuabaikan.

“Jom... kita pergi,” ajakku mendahului langkahnya ke halaman rumah. Aku memasang self - belt. Enjin kereta sudah dihidupkan.

“Kita nak pergi mana ni?” soalku sambil menatapnya.

“Balik rumah family saya,” tuturnya tenang.

Mwo / apa...!”Aku tersentak. Sedikit gerun. Aku bukan selalu pergi ke sana. Agaknya mesti ada majlis kesyukuran sebab itu mesti berpakaian sebegini bersopan-santun.

Wae / kenapa ?”

“Ada majlis apa kat sana?”soalku. Dia menatapku seketika. Senyap. Dialih pandangan ke hadapan. Dia memandu kereta meninggalkan halaman banglo. Ketika kereta memasuki perkarangan banglo mewah tersergam indah di Villa Sentosa ini, sudah ramai tetamu yang datang. Semua berpakaian sopan. Rasanya ini bukan parti atau majlis untuk meraikan kejayaan. Menatap surah yasin di tangan Yen membuatkan dadaku berdebar-debar. Aku terbayang wajah Puan Sodiah. Mustahil aku akan ketinggalan kalau berlaku sesuatu dalam keluarga ini. Kalau pun Yen tidak mahu membuka mulut, pasti Datuk Kamarudin atau Pak Long akan memaklumkan kepadaku awal-awal lagi.

“Kamu baru sampai,” Terasa lapang tatkala melihat Puan Sodiah menyambut kedatangan kami. Aku mengangguk dan tersenyum lalu bersalaman dengannya. Dia memeluk tubuhku. Kemudian beralih kepada Yen.

“Wah, handsome cucu nenek! Bagai pinang dibelah dua ni,” puji Puan Sodiah. Yen tersenyum mempesonakan. Kemudian dia melangkah ke ruang tamu bersama-sama tetamu yang lain. Datuk Kamarudin juga ada di sana. Kami sempat bertukar senyuman sebelum aku mengekori langkah Puan Sodiah ke dapur. Di dapur kelihatan beberapa orang sedang sibuk menyiapkan hidangan. Timbul rasa bersalahku. Sepatutnya awal-awal aku sudah bertandang ke sini membantu mereka membuat persiapan.

“Maaf Iman. Nenek dan ayah dia betul-betul tak tau. Yen tu suka sangat berahsia apatah lagi kalau berkaitan dengan arwah. Mungkin Iman rasa pelikkan,” luahnya kesal dan muram. Jantungku berdegup kencang mendengar bicara Puan Sodiah itu. Sungguh aku tidak mengerti perkara yang dibicarakannya. 

“Sejak ayah dia bercerai dengan arwah, kami dah terputus hubungan,” tambahnya lagi. Arwah? Siapa yang dimaksudkan oleh perempuan ini. Datin Sodiah menarik nafas panjang lalu tersenyum menatapku.

“Ajal dan maut di tangan Allah, tiada siapa yang mampu menghalangnya. Bagaimana seminggu kat Korea? Mesti cuaca kat sana sejuk sebab sekarang musim salji,” Aku sekali lagi terkejut. Datin Sodiah mencapai tanganku lalu menggenggamnya erat.

“Kasihan Yen. Dia sungguh sayangkan ibunya walaupun dia dibesarkan oleh nenek dan ayahnya. Mesti dia rasa kehilangan sangat sekarang. Nenek harap Iman boleh jaga Yen dengan baik. Iman janji akan sentiasa gembirakan Yen ye...,” pintanya. Seakan jantungku berhenti berdegup. Inilah sebabnya dia menghilangkan diri. Ya Allah aku betul-betul bersalah dan membebankan dirinya. Aku sedikit pun tidak tahu yang dia sedang kehilangan orang yang paling disayanginya. Aku pernah melaluinya dan aku dapat merasakan keperitan itu.

“Iman boleh janji dengan nenek?” Aku tersentak lagi. Aku mengangguk.

“Jom...kejap lagi nak solat, lepas tu baca yasin. Mari kita masuk ke dalam,” ajak Puan Sodiah. Aku mengekori langkah Puan Sodiah ke ruang tamu untuk menyertai ahli keluarga serta tetamu bersolat jemaah dan membaca yasin. Siap solat berjemaah, bacaan yasin berkumandang. Tika menadah tangan memohon doa aku sempat melontar pandangan ke arah Yen. Tampak wajah itu tenang. Namun kesugulan masih terpamer di wajah itu.

SEPANJANG perjalanan balik hanya ditemani kesepian. Sesekali aku melirik ke arah Yen yang tampak fokus dengan pemanduannya. Sukar diramal perkara yang ada dalam fikirannya sekarang. Namun aku yakin hatinya berkabung sekarang. Pasti pemergiaan ibunya sesuatu yang paling menyedihkannya. Aku buntu. Semuan serba tidak kena. Tidak tahu perkara yang terbaik yang harus aku lakukan. Betapa janggal berada dalam keadaan begini. Aku menatap wajah Yen lagi.

Wae / kenapa?” Aku tersentak. Tidak sangka Yen akan menyedari pandanganku ini. Pantas aku mengalih wajahku lalu melontar pandangan keluar sana.

“Awak ada apa-apa nak cakap kat saya?” soalnya.

“Aa...,”. Aku tersentak lagi. Kali ini aku tidak berani menatap wajahnya. Kupandang ke hadapan. Tampak deretan kereta yang bergerak perlahan-lahan. Kota metropolitan ini tidak pernah sunyi biarpun larut malam sudah menjengah.

“Maaf...,” perlahan-lahan perkataan itu keluar dari mulutku. Aku minta maaf kerana terlewat mengetahui berita sedih ini. Aku minta maaf kerana membiarkannya bersedih seorang diri. Aku juga minta maaf kerana tingkahlakuku yang  telah menyusahkannya. Aku prasangka yang bukan-bukan. Sepi. Yen langsung tidak bersuara. Aku tahu dia mengerti akan maksud ungkapan maafku itu. Kereta memasuki halaman banglo ini. Aku mengekori langkah longlai Yen. Sikap Yen malam ini seperti mula-mula aku mengenalinya dahulu. Seorang yang gemar berada dalam dunia ciptaannya sendiri.

“Yen...,” Langkahnya terhenti. Dia berpaling menatapku.

“Awak okey?” soalku. Dia menatapku tanpa bersuara. Perlahan-lahan dia mengangguk. Tampak tidak bersemangat. Lesu.

“Saya mahu tidur sekarang,” tuturnya.

“Ya...,” Aku mengangguk. Dia perlu berehat dan menenangkan dirinya. Itulah yang paling tepat yang harus dilakukannya sekarang.

TEPAT pukul 06.10 minit pagi. Bingkas aku bangun. Usai solat subuh aku terus menyiapkan bahan-bahan samgyetang atau nama Melayun sup ayam ginseng. Hari ini aku ingin memasak menu ini untuk Yen agar dia lebih bertenaga dan bersemangat. Mujur juga tidak terlalu susah untuk menyediakan bahan-bahan masakannya. Kebetulan pula Yen sudah mengajar aku cara membuatnya. Jadi tidaklah susah menyediakan menu ini. Sejam sudah aku berada di dapur ini. Sup ayam ginseng ini sedang menggelegak. Aku mengacau-ngacau potongan daging ayam yang sedang berenang-renang di dalam periuk ini. Tampak empuk. Isyarat menunjukkan ayam ini sudah masak dan boleh dimakan. Perlahan -lahan aku menghirup kuah sup yang berada di hujung sudu. Cuba merasa dan menilai tahap kepakaranku menghasilkan menu ini. Emm... boleh tahan. Tidaklah lari rasanya dengan samgyetang yang pernah pemuda Korea itu masak untukku. Siap menyediakan sarapan untuk Yen, aku terus menyiapkan diri untuk ke tempat kerja. Sebelum keluar meninggalkan rumah sempat aku singgah di dapur. Ada sesuatu yang hampir aku terlup. Pantas kucapai kertas memo merah jambu dan pen yang sudah tersedia di situ. Kucoret sesuatu lalu kutampalkan pada tudung saji itu. Aku tersenyum puas.

Dia melangkah ke ruang tamu. Sunyi sepi. Jelas tika ini dia berseorangan di banglo ini. Perutnya terasa lapar. Laju kakinya bergerak ke ruangan makan. Pandangannya singgah pada memo pink yang tertampal di tudung saji seperti biasa.

~ Anyonghaseyo.. Masitge deusey (selamat menikmati ) samygetang! Semoga awak akan lebih bertenaga dan bersemangat hari ni. Aza, aza fighting! ☻☻☻~. Tersenyum sendiri dia membaca tulisan tangan pada memo merah jambu itu. Baru sahaja dia hendak mengangkat tudung saji, berhajat hendak menikmati sarapan yang sudah terhidang, kedengaran loceng pintu berdenting. Ada tetamu yang berkunjung. Terdetik kehairanan di hatinya.

“Iman ssi?” meniti sebaris nama itu di bibirnya. Pada sangkaannya gadis itu yang datang. Dimatikan niat untuk menikmati hidangan itu seketika itu. Laju langkah diatur mendekati pintu utama. Tatkala daun pintu terkuak, seraut wajah dengan senyuman sedang menatapnya. Sangkaannya tadi meleset.

“Nenek...!” Tampak tersentak dia dengan kedatangan perempuan tua itu. Puan Sodiah tersenyum simpul menatap cucu kesayangannya itu.

“Bawa masuk beg pakaian saya tu,” arah Puan Sodiah kepada pemandu keluarganya itu. Yen  ke tepi untuk memberi ruang kepada Puan Sodiah dan pemandu itu melangkah masuk.

“Yang kamu terpacak kat situ, apa hal? Kamu tak suka nenek datang ke rumah kamu ni ke?” soalnya.

“Hey..., tak delah nek,” Dia tersengih-sengih sambil garu-garu kepala. Didekatinya perempuan itu lalu memeluk tubuh Puan Sodiah dengan mesra.

“Nenek nak tinggal kat sini beberapa hari. Nak luangkan masa bersama kamu dan Iman. Mana Iman?” soalnya seolah baru sedar akan ketidakwujudan gadis itu di situ. Senyap. Dia masih terpana mendengar kenyataan itu. Soalan yang diajukan oleh Puan Sodiah tidak didengarnya. Bagai kedatangan perempuan itu ingin menyiasat kehidupan mereka.

“Nenek rehatlah dulu. Mari saya hantar nenek ke bilik,” ujarnya sambil tangannya menarik lembut tangan Puan Sodiah dan tangan sebelah lagi membimbit beg pakaian milik perempuan itu.

“Nenek nak baring-baring kejap,” pinta Puan Sodiah. Yen mengangguk lalu melangkah meninggalkan Puan Sodiah sendirian di bilik itu. Daun pintu bilik ditutup rapat. Satu keluhan berat dilepaskan. Dalam fikirannya, perkara ini perlu dimaklumkan kepada gadis itu. Laju dia membuat panggilan.  

“Awak di mana sekarang?” kedengaran suara Yen sedikit cemas.

“Tempat kerja. Apa hal?” soalku hairan.

“Nenek ada di rumah kita sekarang. Malam ni dia tidur kat sini,”

Mwo / apa!!!” Aku tersentak mendengar kenyataan Yen itu.

“Habis kerja terus balik ke rumah. Jangan pergi merayau-rayau lagi,” arahnya lalu mematikan perbualan ini sebelum sempat aku mengemukakan beberapa pertanyaan kepadanya. Aku terpaku seketika. Kusut memikirkan tentang kedatangan Puan Sodiah itu. Bukan aku tidak gembira dengan kedatangannya ini, cuma aku risau memikirkan tentang situasiku dengan Yen sekarang. Ada perkara yang tidak harus sampai ke pengetahuan Puan Sodiah. Memikirkan semua itu ingin aku melarikan diri. Kalau diberi pilihan, pasti aku tidak mahu balik ke rumah itu hari ini. Malangnya aku tiada pilihan. Aku harus berhadapan dengan Puan Sodiah. Tatkala aku sampai di muka pintu, Yen sedang tercengat di ruang tamu menanti kedatanganku. Terus mendekatiku lalu menarik tanganku melangkah ke dapur. Aku terpinga-pinga menuruti langkahnya.

“Mana Puan Sodiah?” soalku kerana tidak melihat kelibatnya.

“Biasakan diri awak panggil dia nenek,” tegur Yen berbisik. Aku mengangguk akur. Aku akan cuba sedaya upaya membiasakan panggilan itu dengan diriku biarpun terasa begitu janggal.

“Bagaimana ni?Apa kita nak buat?” soalku panik.

“Kita berlakon jadi pasangan suami isteri yang bahagia. Pastikan nenek tak sangsi dan curiga tentang hubungan kita selagi nenek berada di rumah ni. Ingat hidup seperti suami isteri sebenar,” tegas Yen dengan lontaran suara yang dikawal. Aku mengangguk lagi. Dalam keadaan sekarang aku dan Yen wajib bekerjasama. Bertindak tanpa mewujudkan kesangsian Puan Sodiah terhadap kami.

“Kamu dah sampai rumah, Iman,” ada suara yang menyapaku. Aku dan Yen saling berpandangan. Puan Sodiah sudah berada di ruang tamu. Barangkali dia mendengar suaraku yang sedang berbicara dengan Yen di dapur ini. Harap-harap semua butir bicara kami tadi tidak sampai ke telinganya.

“Dah Pu...nenek,” laju saja aku membetulkan panggilan itu tatkala terlihat gerakan mulut Yen. Aku bergerak ke muka pintu. Tiba-tiba sahaja tangan Yen mendarat di bahuku. Tampak begitu mesra. Besar biji mataku menatap Yen. Dia menyampaikan isyarat dengan lirikan matanya. Ohh, lakonan sudah bermula! Terasa janggal dengan tindakan Yen. Namun bila memikirkan kewujudan Puan Sodiah di depan kami tika ini, maka terpaksalah aku reda diperlakukan sedemikian oleh Yen. Rela dalam paksa.

“Nenek apa khabar?” soalku ramah lantas bergerak ke ruang tamu mendekati Puan Sodiah. Kusiku tubuh Yen, memberikan isyarat agar melarikan tangannya dari bahuku. Berkerut mukanya menahan sakit akibat terkena siku tajamku itu. Padan muka dia! Siapa suruh dia tunjukkan kemesraan yang berlebih-lebihan. Jangan-jangan dia hendak mengambil kesempatan padaku. Biasalah buaya darat tidak menolak bangkai. Sambil menyelam sambil minum air. Sambil berlakon sambil menggatal. Itulah perangai Yen. Suka mengambil kesempatan atas kesempitan orang lain.  Lantas aku menjarakkan diriku dari Yen. Risau dia akan bertindak terlebih-lebih mesra lagi. Aku tahu sekadar bersentuhan dan memeluk pinggang perempuan ialah perkara biasa yang dilakukannya.

“Sihat. Iman macam mana pula? Sihat?”  Aku mengangguk lantas duduk di sofa  menghadap Puan Sodiah. Kutenung wajah perempuan tua ini. Tampak kejelitaan di sebalik raut wajah tua itu. Patutlah dia mampu memikat si jejaka Korea suatu masa lalu untuk menjadi teman hidupnya. Puan Sodiah pun bukan calang-calang orang.

“Kurus je nenek tengok kamu ni. Tak cukup makan ke kat rumah ni?” komen Puan Sodiah sambil menilik-nilikku. Terjenggil biji mata Yen mendengar bicara Puan Sodiah itu. Mungkin dia terasa dirinya disindir.

“Yen dah halang dia supaya tak payah kerja tapi Iman tetap berdegil nak kerja nek,” sampuk Yen lalu mendaratkan punggungnya di bahu sofa dekat denganku. Laju tangannya melingkari bahuku. Besar biji mataku mendongak wajahnya yang tersenyum lebar membalas pandanganku. Lagaknya cukup manja. Kujengkilkan biji mata memberi amaran sekali gus menahan geram. Sungguh aku tidak selesa diperlakukan sebegini.

“Betulkan Sayang...,” suara Yen yang singgah di telingaku meloyakanku.  Puan Sodiah tersenyum sendiri. Perlahan-lahan aku mengangguk sambil memaksa diri tersenyum. Kusentuh tangannya yang mendarat di bahuku ini. Perlahan-lahan kutolak. Sebaik sahaja Puan Sodiah memandang ke arah lain, laju aku mencubit tangan Yen. Berkerut-kerut dahinya menahan sakit. Kulitnya yang putih bersih nampak merah merona.

“Minta maaf nek, saya minta diri dulu nak mandi dan solat asar,” ujarku kali ini lebih lancar menuturkan panggilan itu.Puan Sodiah tersenyum dan mengangguk. Laju aku meninggalkan mereka. Tidak tahan dengan perangai miang Yen. Takut penamparku hinggap di wajah kacaknya itu. Nanti tidak pasal-pasal pula Puan Sodiah mendapat serangan jantung kerana terkejut dengan tindakan drastikku itu.

“Yang kamu sengih-sengih ni dah solat asar ke?” kedengaran suara Puan Sodiah bertanya kepada Yen. Aku tersenyum sendiri. Pandai-pandailah dia menjawab pertanyaan perempuan itu.


No comments:

Post a Comment