Thursday, 12 January 2012

NamaKu Bukan Flora! 21



BAB 21

Aku mengangkat kelopak mataku perlahan – lahan. Dari celah kelopak mataku yang sedikit terangkat, samar – samar aku nampak bayangan seseorang yang sedang berada di bawah lunjuran kakiku. Mungkin Nana. Aku memejamkan mataku semula.

“Lia, kau masih mahu tidur lagi ke?” suara Nana menerjah telingaku. Kelopak mataku yang berat tadi terus saja terangkat. Nana yang masih berada di meja itu sedang duduk tersandar di kerusi empuk itu sambil memandangku. Aku dan Nana berpandangan seketika. Begitu pantas Nana berpindah tempat duduknya sedangkan aku melihatnya duduk di lunjuran kakiku tadi. Lantas aku mengalih pandangan mataku ke bawah lunjuran kakiku.

“Awak....!!” Aku bingkas bangkit dari perbaringanku tatkala melihat Aqel sedang duduk santai leka membaca majalah di tangannya. Rupanya dialah yang aku nampak di saat aku separuh sedar tadi.

“Buat apa awak kat sini?” soalku radang sambil menatap tajam wajah Aqel. Aqel memandangku sekilas dengan pandangan kosong mengembalikan rasa sakit hatiku. Aku berharap bangun tidur ini sudah tiada perasaan itu. Pertanyaanku tidak dijawabnya.

“Dah sejam dia tunggu awak bangun” jelas Nana. 

   “Awak dah bangun, jom saya hantar awak balik” ujarnya tanpa mempedulikan renungan tajamku.

“Saya boleh balik sendiri” ujarku meningkah bicaranya.

“Mak Usu suruh saya bawa awak balik” ujarnya lagi.

“Mak....” Aku binggung tatkala Aqel membabitkan mak pula. Mungkinkah dia menelefon mak lalu menceritakan segalanya kepada mak.

“Lia, tadi makcik call aku sebab banyak kali dia cuba call kau tapi tak dapat. Aku beritahu ler kau ada kat sini” jelas Nana. Kucapai telefon bimbitku di meja. Ada tujuh kali panggilan yang tidak dijawab. Kupaparkan panggilan itu. Semuanya panggilan daripada mak.

“Teringat juga aku yang kau silent kan telefon” tambah Nana bagai orang yang rasa bersalah. Maklumlah dia yang mencadangkan agar aku senyapkan saja telefon itu untuk mengelak sebarang gangguan.

“Yang awak tercengat kat sini apa hal! Balik ler sekarang!” arahku lantang kepada Aqel yang masih duduk tersandar di bawah lunjuran kakiku.

“Saya dah janji dengan Mak Usu akan hantar awak sampai rumah” tegas Aqel berdegil dengan wajah yang bersahaja.  

“Tak perlu. Saya ada motor sendiri” tingkahku. Aku tidak akan naik kereta lelaki ini. Berada di sisi Aqel samalah seperti aku membahayakan diriku. Kegilaan Rania kepada Aqel akan menyebabkan dia akan mengulangi juga tindakannya itu. Penyudahnya aku juga yang jadi mangsa penderaan.

“Saya takkan ikut awak balik” tegasku sekali lagi masih tidak mahu berganjak dengan keputusanku.

“Lia.....” suara Nana mencelah. Kualih pandangan pada Nana yang sedang menggaru – garu kepala. Nampak serba tidak kena.

“Tadi makcik suruh kau balik sama dia. Makcik tak benarkan kau bawa motor sendiri. Aku pun minta tolong dengan Ismael tadi suruh dia hantar motor kau ke rumah” jelas Nana berhati – hati.

“Nana.....!” Aku terjerit mendengar kenyataan Nana itu. Nana menemukan kedua belah telapak tangannya menjunjung ampun kepadaku. Aqel tetap bersahaja memandangku. Pasti dia merasa kemenangan berpihak kepadanya sekarang.

“Dah lewat nie kau balik ler dengan Aqel sekarang. Nanti risau pula mak kau kat rumah tu” pujuk Nana.

“Aku tumpang kereta kau” pintaku laju. Nana memandang Aqel. Tiada bicara yang keluar. Nana perlu membuat pertimbangan sewajarnya memandangkan Aqel telah menghabiskan masanya sejam di sini. Pasti juga Aqel mahukan penantiannya itu berbaloi.

“Tak payah. Awak balik dengan saya” tegas Aqel seraya berdiri sambil menatapku. Aku mengetap bibir menahan geram sambil memakukan diri di sofa. Aku tidak akan berganjak dari sofa ini.

“Awak tak nak bergerak dari sofa tu?” soal Aqel serius. Aku mendiamkan diri dengan penuh nekad tidak akan berganjak dari tempat dudukku.

“Awak nak saya pikul awak ke?” soal Aqel dengan pandangan tajam menatapku. Mungkin aku sudah mencabar kesabarannya. Nana hanya jadi pemerhati. Aku yakin Aqel tidak akan berani bertindak  sejauh itu.

“Baiklah kalau awak tak nak bergerak dari situ” putus Aqel. Dia mendekatiku lalu membongkok ke arahku. Muka Aqel begitu dekat dengan wajahku sehinggakan aku terasa deruan nafasnya. Wangian purfume Dunill yang dipakainya menyerang rongga hidungku.

“Awak nak buat apa nie!” jeritku lantang lalu menolok tubuhnya sekuat tenagaku. Tubuh Aqel tersungkur ke lantai. Aku sudah berdiri menjauh diri darinya.

“Kalau awak dekat dengan saya lagi, saya bunuh awak!” tuturku lantang dengan wajah yang garang.

“Awak nak ikut saya balik atau terus nak berdegil?” soal Aqel dengan pandangan mengancamku. Aku mendengus kasar.

“Awak nak buat apa kalau saya tak nak ikut awak balik?” lirih saja suaraku mencabarnya.

“Betul awak nak tahu” sahut Aqel tersenyum sinis lalu mendekatiku. Tiba – tiba saja aku nampak wajah Aqel bertukar menjadi Sang Buaya buas yang sedang kelaparan sangat. Lidahnya terjelir – jelir dengan mata yang terjenggil keluar begitu menakutkanku. Dari seekor buaya, aqel bertukar menjadi makhluk jahat. Di kepalanya tumbuh sepasang tanduk yang panjang. Matanya merah saga dan giginya bertaring. Aqel menjadi makhluk yang betul – betul menggerunkan aku.

“Stop!!!” jeritku lantang seraya mendepakan kedua tangan ke hadapan cuba menghalang Aqel dari mendekatiku.

“Saya ikut awak balik sekarang” putusku buat Aqel tersenyum sinis. Lantas kucapai beg galasku yang tertinggal di sofa.

“Nana, aku balik dulu” Nana tersenyum lebar kepadaku. Pasti hatinya tercuit menyaksikan gelagatku dan Aqel sebentar tadi.

“Kamu berdua nie memang sesuai sangat bersaudara, sama – sama degil” kutuk Nana membuatkan aku mengeluh panjang. Kutinggalkan Nana dengan langkah longlai mengekori Aqel yang beberapa langkah di depanku. Masuk saja dalam kereta, aku terus saja memalingkan mukaku ke tingkap sisi. Aqel menghidupkan enjin kereta lantas memandu penuh hemah. Sayang betul dia dengan kereta Peugeot RCZ Sports Coupe , Model 308 cc ini.

“Setengah hari awak ponteng kerja” tutur Aqel. Senyap. Aku tidak menyahut bicaranya itu. Bahkan aku langsung tidak mahu menoleh ke arah Aqel. Aku ingin melancarkan perang dingin dengannya. Aku rasa diam itu lebih baik daripada bersuara kalau bicara itu selalunya diakhiri dengan pertengkaran. Penyudahnya aku jugalah yang makan hati berulam jantung.

“Bukan main lenanya awak tidur” ujar Aqel lagi. Aku masih mendiamkan diri. Nana kata sudah sejam Aqel menantiku bangun dari tidur. Bermakna sudah sejam juga Aqel berada di bawah lunjuran kakiku. Pasti puas mata Aqel memerhatikan aksi – aksiku ketika tidur tadi. Harap – harap tidaklah sampai berdengkur. Paling mustahak tiada air liur yang terkeluar. Betapa memalukan kalau semua itu berlaku. Aqel akur juga akhirnya bila saja dia turut sama mendiamkan diri. Sepanjang perjalanan balik, aku dan Aqel melayan perasaan sendiri. Tatkala Peugeot RCZ Sports Coupe ini berhenti di halaman rumah, laju saja tanganku menolak daun pintu. Tidak sabar mahu menjauhkan diri daripada lelaki dambaan hati Rania ini.

“Flora...!” Sebelah kaki kiriku sudah memijak rumput karpet di halaman, manakala kaki kananku masih terbantut pergerakannya tatkala Aqel memanggilku dengan nama yang bukan milikku itu.

“Banyak kali dah saya cakap, jangan panggil saya dengan nama itu” tegasku geram. Aqel tidak mempedulikan bicaraku. Sebaliknya, dia leka mencari sesuatu di kerusi belakang. Bersusah payah dia mengarah tubuh tingginya berpaling ke situ. Tangannya mencapai plastik hitam lalu menghulurkan kepadaku. Namun tanganku masih tidak bergerak untuk menyambut huluran tersebut.

“Awak nie bising ler....” keluhnya membangkitkan sakit hatiku lalu meletakkan plastik hitam itu di telapak tanganku.

“Awak nak bagi saya makan nasi basi ke?” soalku naik angin bila saja mendapati nasi bungkus yang ada di dalam plastik hitam ini. Kalaupun dia mahu berjimat tidakkan sampai hati pula hendak beri aku makan nasi tengah hari tadi. Sekarang sudah hampir mencecah ke pukul 06.00 petang.         

“Saya beli nasi tu ketika awak tidur tadi. Belumpun sampai sejam. Masih panas lagi tu” balas Aqel memadamkan sangkaanku.

“Mesej awak tadi....”

“Nasi tu masih ada kat meja awak. Yang nie nasi yang lain” cepat saja Aqel memintas bicaraku. Aku menatap Aqel. Kali ini pandai pula dia membazirkan wangnya. Aku meletakkan plastik hitam ini di atas dashboard kereta di depanku. Aqel tercengang – cengang dengan tindakanku.

“Saya tak suka makan nasi bungkus yang dah sejuk nie. Memang saya pantang sangat dengan benda – benda yang dingin termasuk ler yang bernyawa. Jadi awak makanlah nasi nie nanti ye” tuturku jual mahal sambil menyindir dirinya lantas meninggalkannya terkebil – kebil seorang diri di dalam kereta mewah kesayangan dan kemegahannya itu.

Aku bertembung dengan mak di ruang tamu. Mak langsung tidak menyoalku apa – apa. Mungkin Aqel sudah menceritakan segalanya kepada mak. Kalau tidak masakan mak tidak membenarkan aku balik sendiri. Baru berkejaran mahu menunaikan solat Asar yang sudah terlewat sangat, namun terasa ada sesuatu. Aku berpatah balik ke bilik air. Sah bendera Jepun sudah berkibar. Patutlah aku emosional sangat. Aku tidak jadi solat. Terus saja aku berbaring di katil. Perutku berkeroncong minta diisi. Sejak tengah hari tadi aku tidak makan. Bingkas aku bangun lalu melangkah ke dapur. Masih terlalu awal untuk mak masak makanan malam. Kebetulan sepanjang hari ini mak ada kursus yang dikendalikan oleh pihak Tabung Haji. Maka tidaklah mak memasak.

Kubuka kabinet, liar anak mataku mencari apa – apa saja yang boleh dimakan segera. Biskut dan makan kering lain ini tidak menarik seleraku. Aku bergerak ke peti sejuk pula lalu menguaknya. Seketika aku meninjau – meninjau di situ. Buah epal hijau yang Aqel beli hari itu masih ada di situ. Lantas kucapai jus oren di dalam botol di rak tepi peti sejuk ini lalu membawanya ke meja makan. Kutuang ke gelas dan terus saja menikmatinya. Aku terpandang plastik hitam di atas meja ini. Laju saja tanganku menyelongkarnya. Nasi bungkus yang Aqel beli tadi. Bagaimana boleh berada di atas meja ini sedangkan aku tidak pernah membawanya masuk ke dalam rumah ini. Barangkali Aqel berada di rumah ini sekarang? Kutoleh kiri kanan. Langsung tiada kelihatan kelibat pemuda itu. Mungkin mak bertembung dengan Aqel di halaman tadi lalu mak membawa nasi bungkus ini masuk ke dalam rumah. Maklumlah nasi bungkus ini dibeli untukku.

Sekali lagi aku menoleh ke kiri ke kanan. Memang aku tidak nampak kelibat Aqel. Aku yakin Aqel tidak berada di rumah ini sekarang. Kuatur langkah ke sink. Kemudian berpatah balik ke meja makan. Laju saja tanganku menarik kerusi lantas melabuhkan punggung di situ. Tersenyum lebarku tatkala aku melihat nasi bungkus yang berlaukkan udang galah masak cili dan ayam masak merah ini. Ada juga sayur paku pakis. Sudah bersedia untuk menikmatinya. Dengan lafaz kalimah Allah aku terus saja menyuapnya dengan begitu selera. Bertambah – tambah seleraku bila merasa masakan lauknya yang lazat.

Terasa rugi besar juga kerana telah menolak rezeki ini tadi. Mujur juga aku dapat peluang kali kedua untuk merasai keuntungan ini semula. Jarang – jarang dapat peluang datang semula setelah berlaku penolakan pada awalnya. Kiranya aku ini adalah insan yang bertuah dan beruntung. Aku sempat tersenyum sendiri. Pujian juga buat Aqel kerana pilihan makanan terbaik yang telah dilakukannya.

“Akhirnya awak makan juga nasi yang saya beli tu ye. Tadi bukan main jual mahalnya awak” suara Aqel menyentakkanku sekaligus membuatkan aku tersedak. Laju saja tanganku mencapai jus oren di gelas lalu meneguknya. Sedikit lega namun aku masih batuk – batuk. Tanganku mengurut – urut dadaku. Aqel sudah terpacak di depanku sedang memandang dengan wajah yang sinis memerliku. Kupandang sekilas seekor udang galah yang belum terusik. Belum sempat aku menghabiskannya Aqel sudah muncul. Sayang betul aku hendak membiarkannya namun rasa egoku terlalu tinggi. Aku tidak mahu Aqel mengetahui bahawa menu pilihannya itu telah membangkit selera makanku. Kututup baki nasi dan lauk yang tinggal dalam bekas polystyrene ini. Kutatap wajah Aqel dengan pandangan tajam.

“Kenapa awak ada kat sini?” soalku tidak senang dengan kewujudannya di rumah ini.

“Saya tumpang solat Maghrib kat sini. Salah awak juga bila dah tidur macam tak pernah tidur setahun” kutuk Aqel menyakitkan hati.

“Bukan saya suruh awak tunggu saya bangun pun. Yang awak berdegil nak hantar saya balik rumah apa hal!” bentakku membidas bicaranya itu.  
“Awak tu dah jadi tanggungjawab saya” sahut Aqel serius.

“Tanggungjawab apa pula? Awak bukan tunang saya jauh sekali jadi suami saya” soalku binggung mendengar pengakuannya itu.

“Awak tu ibarat adik saya. Sudah jadi kewajipan saya untuk menjaga keselamatan awak” balas Aqel. Aku mendengus kasar.

“Tak payah. Saya tak sudi ada abang macam awak. Ada sepupu macam awak pun sudah cukup menyusahkan saya” luahku bersungguh – sungguh. Aqel diam. Mungkin tersinggung dengan bicaraku itu. Senyap.

“Saya balik dulu. Lama – lama bersama awak cukup memeningkan saya” tutur Aqel bersuara semula lantas mengatur langkah meninggalkan aku.

“Baguslah dan sangat dialu – alukan” balasku tanpa menoleh sedikit pun ke arah Aqel. Apa yang aku rasakan tika ini hatiku mendidih - didih. Beberapa minit kemudian kedengaran deruan enjin kereta Peugeot RCZ Sports Coupe meninggalkan halaman rumah. Aku merenung nasi yang hanya tinggal sedikit lagi ini. Aku sudah hilang selera untuk menghabiskannya lantas termenung sendirian di meja makan ini.

“Kenapa kamu tak boleh layan Aqel dengan lebih baik, Lia?” suara mak menerjah pendengaranku. Aku berpaling ke muka pintu ruangan dapur. Mak sedang bergerak memasuki zon dapur ini. Aku diam. Tiada jawapan terbaik yang mampu aku utarakan kepada mak. Mak memandangku.

“Lain kali mak tak nak dengar kamu berkasar dengan Aqel. Kamu dengar tak nie, Lia?” soal mak menuntut janji padaku.

“Insya – Allah Lia cuba mak” balasku tidak berani menjanjikan sesuatu yang pasti. Mak mengeluh dan geleng kepala. Cukup kenal dia dengan sikap degilku.

“Aqel tu satu – satunya saudara yang kamu dan Aziq ada. Esok – esok kalau mak dah takde, hanya dialah yang boleh jaga kamu berdua” tutur mak lebih beremosi. Merajukkah mak dengan layanan dinginku pada anak buah tunggalnya itu? Terguriskah hati mak dengan bicara tajam yang seringkali kulontar pada Aqel?

“Kalau kamu asyik bergaduh dengan Aqel, mak rasa baik mak kahwinkan saja kamu berdua” ancam mak persis sudah berputus asa untuk menasihatiku. Sungguh mak mengharapkan hubungan yang baik akan terjalin antara aku dengan Aqel.

“Mak....” Bicara mak di luar dugaanku. 

“Mak betul – betul serius nie” tambah mak terus mengancamku.

“Okey..... okey.... Lia akan cuba yang terbaik untuk menjadi kawan Aqel biarpun Lia tak berapa suka dengan dia” luahku berikrar buat mak tersenyum simpul. Kali ini baru mak berpuas hati denganku.
 
Ya Allah, langsung tidak pernah terlintas difikiranku lelaki yang menganggapku sebagai adik akan menjadi suamiku. Sekelumit pun aku tidak pernah memikirkannya. Hanya mak yang suka berangan – angan untuk bermenantukan orang Korea. 


1 comment: