“Awak boleh terus kerja partime kat sini. Datanglah bila-bila masa saja. Hujung minggu pun boleh,” ujar Encik Rustam. Aku tersenyum.
“Thanks,” ujarku menghargai.
“Kalau ada masa lapang Cik Iman datanglah jenguk kami di sini,” pinta Ruran. Aku tersenyum lagi.
“InsyaAllah pasti saya akan datang ke sini. Part time hujung minggu tawaran yang boleh saya pertimbangkan. Saya berminat juga tapi kena tengok dulu kesesuaian jadual kuliah dan kelas toturial saya,” ujarku. Encik Rustam mengangguk mengerti. Kemudian aku berpelukan dengan rakan sekerja perempuan TSM. Mereka ialah kawan-kawan baikku yang begitu menyenangkan. Begitu juga rakan sekerja lelaki yang sentiasa memberikan kerjasama.
“Terima kasih atas tunjuk ajar, bimbingan dan kerjasama awak selama ni. Saya seronok bekerja bersama awak,” tuturku ikhlas kepada Encik Rustam. Dia tersenyum lagi.
“Saya pun seronok juga ada pembantu yang rajin, bertanggungjawab dan berkebolehan seperti awak. Semua orang kat sini sayang dengan awak tau,” ujar Encik Rustam buat aku terharu.
“Betul Cik Iman,” sokong Izati, Ruran dan Amenda hampir serentak. Yang lain mengangguk-angguk mengiyakan.
“Saya pun sayang kamu semua. Berat hati je nak berpisah,” luahku.
“Ada masa datanglah ke sini ye,” pinta Encik Rustam. Aku mengangguk.
“Saya minta diri dulu. Risau orang dalam kereta tu lama tunggu,” ujarku memperkatakan tentang Yen yang bersungguh-sungguh hendak menghantarku balik ke asrama pagi ini.
“Pelakon Korea tu ke Cik Iman?” soal Amenda teruja. Aku hanya senyum. Begitu juga dengan Encik Rustam.
“Abang sepupu Cik Imanlah,” tutur Izati membetulkan kenyataan itu. Mungkin Encik Rustam sudah memperjelaskan tentang status hubunganku dengan Yen kepada mereka. Hubungan persaudaraan yang direka semata-mata. Andai mereka mengetahui bahawa Yen ialah suamiku pasti ramai yang akan terkejut. Aku meninggalkan warga TSM dengan iringan lambaian tangan perpisahan. Sedih setelah bersama mereka dalam tempoh dua bulan lebih. Sudah terjalin kemesraan antara kami.
“Bukan main sedih awak berpisah dengan mereka,” komen Yen sambil melirik ke arahku.
“Mestilah ... mereka melayan saya dengan baik,” sahutku tidak mahu menafikan.
“Buat apa nak sedih. Bila-bila masa saja awak boleh jumpa mereka. Jangan-jangan awak sedih sebab lepas ni tak boleh jumpa dia setiap hari,” serkap jarang Yen. Aku menjeling tajam ke arah Yen. Cukup faham siapa yang dimaksudkan itu. Siapa lagi kalau bukan Encik Rizal.
“Betulkan awak sedih sebab tak dapat jumpa Encik Rizal selepas ni,” duga Yen memaksa aku mengakui. Aku mendengus tidak suka dengan perangai Yen yang sering beranggapan negatif terhadap orang lain terutama kepada Encik Rizal.
“Kenapa awak asyik berpandangan negatif kepada Encik Rizal?” keluhku menyesali sikapnya. Yen menjeling sekilas.
“Yang awak pula kenapa suka sangat bela dia?” soal Yen mengabaikan pertanyaanku tadi. Sekali lagi Yen menghadiahkan jelingan kepadaku.
“Awak jealous dengan dia ke?” dugaku.
“Mwo (apa)!” suara Yen melenting kuat.
“Yelah...! Kalau awak asyik berperangai begini saya akan kata awak jealous dengan Encik Rizal,” tambahku berbicara.
“Aigooo...!” Yen tersenyum memerliku. Lantaklah kalau dia kata aku yang perasan.
“Seorang lelaki tak suka lelaki lain kalau dia tercabar dengan lelaki itu. Betul ke awak tercabar dengan Encik Rizal, Jang Geun Sik?” soalku tersenyum sinis menatap Yen.
“Kenapa pula saya harus tercabar dengan dia?” sahut Yen cuba menafikan. Aku menjungkit bahu. Persoalan ini hanya dia sendiri yang boleh jawab.
“Hanya awak yang tahu sebabnya,” balasku menyuruhnya berfikir sendiri kerana aku tidak berminat memikirkan sebab musabab tindakannya itu. Yen diam. Mungkin sudah mula berfikir.
“Kalau awak dah tahu jawapan jangan lupa beritahu saya,” pintaku memerli. Yen menjelingku lagi. Aku tersenyum sendiri. Puas hati kerana telah berjaya membuatkan Yen diam. Diam yang panjang. Tatkala kereta Mercedez Benz ini melewati pintu utama kampus, kelihatan sekumpulan mahasiswi melontar pandangan ke arah Yen. Kehadiran kereta mewah ini bersama pemandu yang tampan memang selalu menarik perhatian orang lain. Ke mana Yen melangkah ada sahaja mata yang memandang. Dia sudah cukup terbiasa dengan keadaan sedemikian.
“Hujung minggu ni awak balik tak?” soal Yen tatkala kereta sudah sampai di laman letak kereta.
“Belum pasti lagi. Mungkin tak balik,” sahutku.
“Balik je nanti saya datang ambil awak,” ujar Yen.
“Semester baru ni pasti busy. Rasanya tak boleh baliklah,” tingkahku. Yen mendengus.
“Saya akan tetap datang ambil awak,” tegas Yen berdegil. Giliranku pula yang mendengus.
“Awak tak faham ke? Saya busy. Tolong jangan paksa saya. Saya tak suka,” keluhku rimas.
“Saya tak peduli. Saya akan datang ke sini juga hujung minggu ni,” tegas Yen berdegil.
“Suka hati awaklah,” balasku geram lalu keluar dari kereta meninggalkan Yen. Kukuak pintu kereta belakang lalu mencapai beg pakaian. Tanpa sebarang bicara mahupun ucapan terima kasih kepada Yen kerana telah menghantarku, aku terus melangkah dan tidak mahu memandang ke arah Yen lagi. Seminit kemudian kedengaran deruan kereta Yen beredar meninggalkan laman asrama. Aku mengetap bibir menahan perasaan marahku.
“Hai, Iman...! Miss you!” Wendy meluru ke arahku lalu memelukku seketika.
“Hey... masamnya muka! Kenapa ni? Tak happy balik ke asrama ye?” soal Wedy sambil menatapku. Sekilas senyuman terukir di bibirku. Bukan tidak gembira kembali ke asrama cuma marah kepada Yen. Kemarahan yang belum padam lagi sehingga terbawa-bawa ke saat ini.
“Lama dah awak sampai?” soalku. Wendy mengangguk. Tangannya sudah mendarat melingkari bahuku lalu melangkah seiringan denganku.
“Siapa hantar awak tadi? Pemuda handsome tu ke?” soal Wendy tersengih. Aku mencebik. Di saat hati disaluti kemarahan ini tidak suka Yen dipuji. Kemarahan yang diterbitkan oleh Yen. Tangan Wendy jatuh dari bahuku memberi peluang kepadaku menguak daun pintu. Aku mengeluarkan kunci lalu memusing pada lubang tembol pintu. Daun pintu terkuak.
“Assalamulaikum...,” sapaku. Aku terus melangkah masuk diikuti oleh Wendy yang masih setia mengekoriku.
“Kenapa awak beri salam takde pun orang kat dalam ni,” tegur Wendy kehairanan. Aku senyum.
“Mana awak tahu kat bilik ni takde orang. Selain kita ada lagi sekalian makhluk yang tak boleh dilihat dengan mata kasar di sekeliling kita,” jelasku.
“Eee... awak ni menakutkan saya je,” balas Wendy sambil menunjukkan seram. Aku tersenyum. Kuletak beg pakaian di atas katil. Wendy sudah melabuhkan duduk di birai katil Azni bertentangan denganku.
“Azni balik lewat ke?” soal Wendy lagi.
“Semalam dia whatsApp nak singgah rumah pak cik dia dulu sebelum balik ke asrama,” jelasku. Aku dan Wendy terus berbual-bual. Hampir setengah jam Wendy menemaniku di bilik ini. Ketika kedengaran laungan azan maghrib dari masjid kampus, Wendy memohon diri untuk bersiap sedia sebelum membeli nasi campur di kafe asrama. Sempat dia mengajakku pergi dengannya namun aku menolak kerana aku membawa bekal dari rumah. Yen juga yang memaksa aku menyimpan makanan-makanan ini ke dalam bekas. Konon hendak prihatin terhadapku. Jangan-jangan dia sengaja menderaku menghabiskan baki hidangan tengah hari tadi. Apapun aku bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan ini. Sesungguhnya ramai lagi manusia di dunia ini sedang kebuluran.
Seperti yang dijangka, jadual kuliah dan kelas toturialku lebih padat semester ini. Jam kredit yang aku ambil bertambah satu jam daripada semester yang lalu. Aku masih meneruskan kelas gitar sebagai pilihan gerkoku. Kali ini aku tidak perlu risau sangat dengan kelas muzik ini. Atas pengajaran dan pembelajaran bersama Yen selama dua bulan aku telah menguasai asas-asas bermain gitar. Jasa dan budi yang ditaburkan oleh Yen kepadaku akan tetap aku ingati sampai bila-bila. Masuk kelas Profesor Remish Rajan sudah ada tugasan untuk kursus HSC224 Sejarah Asia Timur yang meninjau Sejarah China dan Jepun dari tempoh terawal sehingga pertengahan abad ke-19. Sedikit menggerunkan aku. Penilaianku setelah mengikuti kelas pertama, Profesor Remish Rajan memang seorang yang skema, serius dan sangat tegas. Aku mesti bekerja keras untuk memenuhi standard yang telah ditetapkan demi meneruskan kecemerlanganku pada semester lalu. Sungguh aku berharap pencapaianku terus konsisten.
“Tahniah, Iman! Saya nampak nama awak tersenarai sebagai penerima anugerah dekan yang ditampal di papan kenyataan office pusat pengajian kita,” cerita Wendy begitu teruja.
“Alhamdulillah...,” Aku tersenyum.
“Bijaklah awak,” puji Wendy. Aku senyum. Kejayaan itu berkat usaha gigihku selama ini.
“Lepas ni bolehlah awak belanja saya makan,” pinta Wendy sambil tersengih. Aku mengangguk.
“Insya-Allah tak jadi masalah,” sahutku membuatkan semakin lebar senyuman Wendy. Jawapan yang begitu menyenangkan hatinya.
“Apa awak buat sepanjang cuti?” soal Wendy.
“Saya kerja part time kat kedai cupcake. Seronok bekerja di situ,” jelasku.
“Wah, seronoklah awak...!” ujar Wendy teruja.
“Awak buat apa?” giliranku pula mengemukakan pertanyaan kepada Wendy. Wendy mengeluh.
“Huhh... boring! My parent tak suruh saya kerja. Tidur, makan, tengok tv jelah kerja yang saya buat,” jelas Wendy mencebik bosan. Aku tersenyum. Beruntung Wendy. Keluarga orang berada. Memiliki syarikat kontruktor pembinaan. Tidak perlu dia bersusah payah mengerah keringat untuk mencari wang saku seperti aku. Wendy boleh menggunakan sepenuh masa cuti untuk bersama-sama keluarganya. Saat yang lebih bernilai daripada wang ringgit.
“Bertuahlah awak dapat goyong kaki di rumah,” ujarku cuba menyenangkan hatinya.
“Seronok apa benda! Bosanlah..! Saya nak kumpul pengalaman hidup banyak-banyak,” rungut Wendy. Aku tersenyum sendiri. Adat manusia kaya dengan pelbagai ragam dan kehendak. Kesimpulannya, manusia tidak pernah mengecapi kepuasan yang sebenar-benarnya. Kesibukan kuliah dan kelas toturial menyebabkan masa bergerak tanpa kusedari. Hari ini sudah hari Jumaat. Lima minit lagi kelas tutorial terakhirku tamat.
“Minggu depan bersiap sedia untuk perbincangan Dinasti Shang yang terletak di Lembah Sungai Huang He. Saya nak kamu kaji tentang kemajuan dan sumbangan dinasti ini terhadap kemajuan Tamadun Awal China,” ujar Profesor Remish Rajan memberikan peringatan sebelum mengakhiri kelas toturial hari ini. Sudah ada tugasan yang perlu diselesaikan pada hujung minggu ini. Aku melangkah meninggalkan bilik kuliah. Kemudian ke stesen bas untuk kembali ke asrama. Kelihatan ramai siswa dan siswi berdiri di sekitar stesen bas menanti bas datang.
“Iman, cepat sikit bas dah datang ni!” sedikit melaung suara Azni sambil melambaikan tangan ke arahku. Aku membesarkan langkah mendapatkan Azni. Bas sudah berhenti. Para siswa dan siswi beratur menaiki bas. Aku berhati-hati memijak satu-persatu anak tangga bas takut tersilap langkah. Beberapa orang pelajar sedang berdiri kerana tempat duduk sudah penuh. Pandanganku terarah pada lambaian tangan Azni. Lantas dia menunjukkan kerusi kosong di sebelahnya. Kerusi yang didapatkan untukku. Aku tersenyum. Sebenarnya aku tidak kisahpun hendak berdiri sebab perjalanan tidak jauh. Memandangkan Azni sudah berusaha mendapatkan kerusi itu untukku, maka aku pun bergerak ke situ lalu melabuhkan duduuk di sebelahnya.
“Terima kasih,” ujarku tersenyum kepada Azni. Azni turut tersenyum. Manis sungguh senyuman gadis bertudung yang sudah jadi tunangan orang ini.
“Pukul berapa balik rumah bakal mak mertua?” soalku mengusiknya. Azni tersenyum senang dengan usikanku. Menurut bicara Azni, hujung minggu ini ada kenduri di rumah keluarga Zekri. Kehadirannya di situ amat diperlukan. Teringat pada kata pepatah orang lama iaitu kalau hendak kahwin dengan seseorang itu, kahwinilah juga keluarganya. Maksudnya bukan setakat kita mesra dan mengenali pasangan kita, malah kita patut baik dan mesra dengan seluruh keluarganya agar kebahagiaan yang sebenar-benar dapat dikecapi. Ya Allah, alangkah bahagia andai aku dipertemukan dengan pasangan yang seluruh ahli keluarganya boleh menerima aku seadanya. Aku teringat pada keluarga Encik Rizal. Mereka baik-baik belaka. Aku juga teringat pada Puan Sodiah dan Datuk Kamarudin. Dua beranak ini juga tidak kurang baiknya. Alhamdulillah. Aku bersyukur kerana sering dipertemukan dengan kalangan manusia yang baik-baik belaka dan berhati mulia.
“Jom...,” Aku tersentak mendengar suara Azni. Bas sudah berhenti di stesen hentian asrama. Aku segera bangkit lalu mengekori langkah Azni.
“Awak tak balik ke minggu ni?” soal Azni.
“Tak. Ada tugasan Profesor Remish Rajan perlu saya selesaikan,” jelasku.
“Rajin awak ni,” puji Azni.
“Bukan rajin tapi saya tak nak buat kerja last minute,” ujarku membetulkan tanggapan Azni.
“Sama jelah tu,” sahut Azni tersengih. Aku menjeling. Kemudian kami ketawa. Tidak sampai 30 minit aku dan Azni menghabiskan masa di bilik ini. Azni terus sahaja memohon diri tatkala mendapat panggilan daripada Zekri tunangnya yang sudah sampai di laman letak kereta asrama puteri. Tnggallah aku bersendirian di bilik ini. Usai solat zohur, aku merehatkan diri seketika. Tidak disengajakan aku tertidur. Sayup-sayup kedengaran laungan azan asar. Segera aku bangkit dari katil lalu bergerak ke bilik air mengambil wuduk lantas mengerjakan solat. Kemudian aku berbaring di katil semula. Perutku mula terasa lapar. Aku terus menyiapkan diri. Kemudian melangkah ke kafe membeli makanan untuk malam ini. Cukup nasi kosong, daging cili dan sayur campur. Tiba di bilik aku terus makan. Mahu menggunakan masa yang ada dengan sebijak memandangkan malam ini aku hendak menjawab tugasan yang diberi. Selepas makan aku berehat seketika. Kira-kira jarum jam menunjukkan ke pukul 6.00 petang barulah aku melangkah ke bilik air untuk mandi.
AKU menatap jam loceng di atas meja belajar ini. Sudah menjangkau 8.45 minit malam. Hatiku menyatakan bahawa Yen tidak akan datang. Barangkali dia sudah mempertimbangkan bicaraku pada hari itu. Syukurlah kalau dia sudah faham. Kedengaran bunyi whatsApp diterima. Kupanjangkan tangan lalu mencapai iPhone. Mungkin juga Yen sudah berada di laman letak kereta sedang menantiku di bawah sana. Tidak mustahil Yen datang menjemputku tanpa memikirkan waktu yang semakin berganjak. Bagi dirinya siang mahupun malam sama sahaja. Bahkan aku cukup kenal dengan kedegilan Yen yang tiada tandingan itu. Segera kupaparkan whatsApp tersebut. Nama ‘My Bos’ tertera pada skrin. Silap jangkaanku.
~ Assalamualaikum.... apa khabar sekarang? ~WhatsApp Encik Rizal.
~ Waalaikumussalam....alhamdulillah sihat ~ balasku.
~ Lama dah tak jumpa. Kat mana sekarang? ~
~ Ye lama juga. Saya kat asrama ni ~
~ Tak balik minggu ni? ~
~ Tak ~ balasku ringkas.
~ Kenapa? Ada aktiviti kampus hujung minggu ni ke? ~
|
~ Rajinnya awak ...he...he...he... ~
~ He...he...he...he... ~
~ So cute...~
~ Siapa? Si Budak Hitam ni ke? He...he...he...~ Aku tersenyum sendiri.
~ Si Budak Hitam + Tuannya sekali = sama-sama cute ~
~ Gomawoyo (terima kasih )... he...he...he...~
~ Bila dateline tugasan tu ~
~ Lama lagi...~
~ Baguslah tu awak prepared awal. Awak ni memang rajinkan ~
~ He... he... he...~ ~
~ Ha…! Ha…! Ha…! Dah pening ni…~ Aku tersenyum lagi.
~ Pening lalat ~
~ Meh datang sini saya urutkan kepala yang pening tu ~
~ Tak boleh! Haram! Bukan muhrim tak boleh bersentuhan bla…bla…bla…~
~ Ohh… kena ler ‘HALAL’kan hubungan saya dengan awak. Sudi ke? ~ Opocot!!! Semput nafasku diajukan persoalan sebegini. Betul-betul mencabar hendak menjawabnya. Kuletakkan iPhone di atas meja. Tidak tahu jawapan yang terbaik yang patut aku berikan kepada Encik Rizal. Harap-harap Encik Rizal tidak ternanti-nanti akan jawapan untuk persoalan ini. Aku memandang skrin iPhone ini. 10 minit sudah berlalu. Tiada whatsApp daripada Encik Rizal lagi. Lega hatiku kerana tidak perlu menjawab persoalan Encik Rizal itu. Sekurang-kurangnya terlepas juga aku daripada berbohong mahupun memberi pelbagai alasan kepada Encik Rizal. Paling penting aku tidak diserang serba salah untuk memberikan jawapan yang terbaik. Akhirnya memang pasti nama Encik Rizal mahupun Yen tidak muncul lagi. Sekitar jam 12.00 tengah malam aku menamatkan telaahku. Esok aku akan meneruskan pencarian maklumat tugasan ini di perpustakaan kampus.
USAI solat subuh, aku terus mandi. Kemudian bersiap-siap hendak ke kafe asrama. Mahu bersarapan dahulu sebelum pergi ke perpustakaan. Seawal begini kafe sudah dipenuhi oleh penghuni asrama. Pasti masing-masing ada perancangan tersendiri. Ramai juga yang sepertiku membawa beg galas dan fail serta buku di tangan. Mungkin mereka juga ingin ke perpustakaan untuk membuat rujukan ataupun hendak mengadakan perbincangan dengan rakan kumpulan. Aku mencapai pinggan yang sudah terisi dengan nasi lemak dan segelas milo ais lalu bergerak ke kaunter untuk membuat pembayaran. Sedikit berat sarapan yang kuambil dengan harapan perutku mampu bertahan sehingga jam 2.00 petang nanti. Anak mataku mula liar mencari tempat duduk kosong.
“Iman...!” suara Wendy sedikit melaung. Aku melontar pandangan ke situ. Wendy sedang melambai-lambaikan tangan kepadaku. Dia juga berseorangan di situ. Lantas aku mengatur langkah ke arah Wendy. Kedatanganku disambut senyuman mekar gadis Tionghoa ini.
“Duduk...,” pelawanya.
“Thanks...,” Lega. Mujur juga Wendy lebih awal berada di sini. Boleh juga aku menumpang duduk dengannya.
“Awal pagi ni awak nak ke mana?” soal Wendy sambil mengunyah pisang goreng yang baru sahaja dimasukkan ke dalam mulut.
“Nak ke library cari bahan untuk assignment sejarah,” jelasku. Wendy mengangguk-angguk faham.
“Saya ada discussion pukul 9.00 pagi nanti tapi sengaja keluar awal cause saya nak ke library dulu nak pinjam buku ekonomi serantau,” ujar Wendy memberikan penjelasan sebelum sempat aku mengemukakan sebarang pertanyaan.
“Kalau macam tu bolehlah kita pergi sama nanti,” pelawaku. Wendy mengangguk. Senyap. Aku mula menikmati nasi lemak di dalam pinggan. Begitu juga Wendy mengunyah pisang goreng yang tinggal beberapa keping lagi.
“Morning, boleh saya tumpang duduk di sini?” satu suara lelaki menyapa aku dan Wendy. Serentak kami mengangkat muka lalu mendongak ke arah empunya suara itu. Aku tersentak melihat Encik Terance, tutor kelas muzik kami sedang terpacak di sisi meja sambil menatang hidangan sarapan.
“Eh.... boleh, silalah duduk Mr. Teran,” pelawa Wendy mendahuluiku. Encik Terance duduk di satu sudut meja mengetuai sesi sarapan ketika ini. Aku dan Wendy dipandang silih berganti.
“Awal sarapan hari ni, ada kelas gantian ke?” soalnya sambil menyorot pandangan kepadaku.
“Kami nak ke library, Encik Teran,” sahutku menjawab persoalan itu.
“Bagus...bagus...,” puji tutor muda ini. Usiaku dengan Encik Terance ini hanya sedikit beza. Mungkin dia seusia dengan Yen. Kebetulan memang dia pakar bermain gitar persis diri Yen.
“Saya cadang nak buat satu perkhemahan di luar kampus untuk student kelas muzik saya. Kamu berdua berminat ke nak join?” soal Encik Terance.
“Berminat...!” hampir serentak aku dan Wendy menyahut. Encik Terance tersenyum. Kalau bab perkhemahan ini memang aku teruja. Aku memang suka aktiviti luar yang mencabar. Sudah sekian lama aku tidak melakukan aktiviti sedemikian. Seingatku kali terakhir aku mengikuti perkhemahan selepas SPM. Itupun setelah Pak Long dan Lili berjaya memujuk Mak Long agar membenarkan aku pergi. Akhirnya Lili terpaksa bertegas dengan Mak Long yang dia tidak akan menyertai perkhemahan tersebut selagi aku tidak pergi bersamanya. Pak Long juga berhujah konon aku boleh jaga Lili di sana nanti. Akhirnya Mak Long terpaksa mengalah. Aku tersenyum sendiri tatkala teringat betapa mencuka wajah Mak Long ketika itu. Mengingati Mak Long, aku menarik nafas lega. Syukur sekarang hubunganku dengan Mak Long sudah menunjukkan perkembangan positif.
“Selain berkhemah dan membuat persembahan di dalam hutan, saya nak selitkan juga aktiviti pendakian gunung,” jelas Encik Terance menambah keterujaanku. Wah, berkhemah di kaki gunung! Pasti memberikan suasana yang segar dan mendamaikan. Tidak sabar mahu pergi.
“Boleh Mr. Teran. Bila perkhemahan tu nak dijalankan?” soal Wendy tidak sabar-sabar.
“Dalam bulan depan. Sesuai tak masa tu?” sahut Encik Terance.
“Sesuai...,” laju Wendy menyahut.
“Pastikan kamu berdua boleh pergi. Nanti boleh saya lantik kamu jadi orang kuat saya untuk program ni,” ujar Encik Terance buat aku terdiam. Kalau boleh aku mahu jadi ahli biasa sahaja andai kata ada pembentukan AJK untuk perkhemahan ini.
“Boleh tak jadi masalah,” sahut Wendy menyanggupi tanpa berfikir panjang. Kupandang Wendy. Cuba menyampaikan bicara hatiku yang kurang bersetuju melalui lirikan mata. Wendy tersengih.
“Bagus...,” balas Encik Terance senang hati.
“Wah, mesti best perkhemahan tu nanti!” ujar Wendy teruja. Encik Terance mengangguk. Aku turut tersenyum. Memang seronok dapat berkhemah bersama rakan-rakan. Lantas nama Yen terlintas di fikiranku. Aku perlu memaklumkan perkara ini kepada Yen agar dia tahu. Sekurang-kurangnya tidaklah dia mewajibkan aku balik pada hujung minggu itu nanti.
“Perkhemahan ni hujang minggu kan, Encik Teran?” soalku.
“Ye hujung minggu. Petang Jumaat mula gerak dan petang Ahad balik. Cukuplah tempoh dua hari setengah tu. Awak tak boleh pergi ke?” soal Encik Terance. Aku geleng kepala.
“Dia ni anak emas. Mana-mana pergi kena minta keizinan dulu,” perli Wendy mengusikku. Aku menjeling Wendy. Encik Terance tersenyum. Begitu juga dengan Wendy.
“Mestilah buah hati awak nak jaga awak baik-baik. Orang cantik macam awak ni wajib kena pantau selalu,” kini giliran Encik Terance pula mengusikku. Hangat wajahku. Segan dipuji oleh Encik Terance. Wendy tertawa riang.
“Saya setuju dengan kata-kata Mr. Teran ni,” sokong Wendy.
“Okey saya pergi dulu nanti kawan saya tunggu saya pula,” jelas Encik Terance seraya bangkit dari duduk. Aku dan Wendy hanya mengangguk. Lantas Encik Terance melangkah meninggalkan kami. Wendy tersenyum-senyum kambing menatapku.
“Jangan-jangan Mr. Teran cakap macam tu sebab nak siasat sama ada awak berpunya ke belum. Malangnya awak tak bagi respons,” serkap jarang Wendy. Dia tertawa lagi.
“Apa tujuan dia nak buat macam tu?” soalku kurang senang.
“Mungkin dia ada hati kat awak,” tambah Wendy sesedap mulut.
“Jangan nak merepek. Jom kita pergi sekarang,” ajakku lalu bangkit dari kerusi mendahului Wendy. Aku dan Wendy mula melangkah.
“Betul Iman, kalau tak buat apa dia nak puji awak,” ujar Wendy masih mahu membicarakan perkara tadi.
“Saya memang layak pun menerima pujian tu,” balasku geram buat Wendy mencebik bibir. Bukan keriakan. Tujuanku hanya satu iaitu cuba menamatkan sahaja topik perbualan itu.
“Betul... memang dia suka awak,” ujar Wendy begitu yakin. Aku mendengus bosan. Kalau hendak bergosip serahlah kepadanya. Memang berbakat sangat hendak jadi Mak Nujum.
“Awak ingat saya ni heroin dalam drama yang sentiasa jadi rebutan lelaki,” tuturku geram. Wendy tersengih panjang.
“Jadi sekarang ni dah ada lelaki yang bersaing nak dapatkan awaklah? Oh, awak memang pandai berahsia! Jangan-jangan lelaki handsome tempoh hari yang saya nampak tu salah seorang. Wah, hebatlah awak, Iman!” lancang Wendy berbicara. Tidak pasal-pasal bicaraku dijadikan modal mengusikku. Aku menjeling tajam Wendy. Tidak suka dia terus memperkatakan tentang aku.
“Jangan merepeklah,” marahku lantas meninggalkan Wendy. Di pintu masuk utama perpustakaan ini aku berpisah dengan Wendy. Tidak tahan telingaku mendengar pelbagai hipotesis yang keluar dari mulutnya itu.
“Kita jumpa waktu makan tengah hari nanti,” suara Wendy berpesan. Aku hanya melambaikan tangan tanpa sempat menatap wajahnya lagi. Sekarang kami sudah berada di zon senyap. Masing -masing membawa haluan sendiri. Aku sengaja mencari tempat duduk yang paling hujung dan di tepi sekali agak tersorok daripada pandangan orang lain. Lalu meletakkan beg pensel dan buku catatan di atas meja sebelum bergerak ke komputer untuk menggunakan sistem krisalis bagi pencarian bahan-bahan rujukan yang aku perlukan.
Mujur saat ini tidak perlu berbaris menunggu giliran untuk penggunaan sistem ini. Aku terus melabuhkan duduk di kerusi menghadap komputer lantas mula menaip tajuk buku di papan kekunci. Mudah dan cepat maklumat itu dipaparkan. Laju tanganku mencatat di buku nota kecil ini. Ada beberapa buah buku yang kukehendaki tidak berada di dalam rak sekarang. Aku menaip judul buku lalu mengklik pada butang ‘Place Reservation’. Harap-harap sehari dua lagi buku yang aku perlukan ini akan dipulangkan oleh si peminjam. Kemudian aku terus menyemak buku yang telah kutempah pada hari Rabu lalu. Memasukkan nombor matrik, mengklik ‘Reservation status’ di bawah ‘E – Quip’. Status bahan yang kutempah ialah ‘Item On Hold’, maka aku harus mendapatkan slip tempahan yang dilekatkan pada notis tempahan buku sebelum menyerahkan kepada petugas kaunter sirkulasi. Aku menarik nafas lega. Hujung minggu ini boleh aku meluangkan masa membaca buku itu nanti. Masa bergerak begitu pantas. Kepuasan dalam diri tatkala aku berjaya memanfaatkan sepenuh masa dengan mengumpul maklumat untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh Profesor Remish Rajan ini.
Aku mula terasa kedinginan mencengkam tulang-temulangku. Sudah dua kali juga aku ke tandas. Perutku mula berkeroncong meminta diisi. Aku melirik jam di tangan. Sudah menjangkau ke pukul 1.10 petang. Patutlah aku terasa lapar sangat, rupanya sudah lewat. Lantas kukemas buku-buku di atas meja dan segala peralatan tulisan. Buku yang tidak kuperlukan kuletak kembali dalam rak. Hanya sebuah buku iaitu Tamadun Awal China yang kupinjam dan sebuah lagi buku Sejarah Jepun yang kutempah beberapa hari lalu. Aku terus menguruskan prosuder buku tempahan yang sudah sedia untuk dipinjam lalu ke kaunter peminjaman. Usai urusan peminjaman, aku segera keluar dari perpustakaan ini. Tidak tahan aku berada lebih lama di sini. Seakan-akan diriku sudah membeku. Aku terus menyusun langkahku ke kafeteria yang berdekatan. Keluhanku tercetus tatkala mendapati kafeteria ini dipenuhi oleh pengunjung yang ingin menjamu selera. Lantas kumatikan hajatku untuk makan di sini.
Aku meneruskan langkah ke perhentian bas. Syukur tiada perlu menunggu lama kerana bas sedang bergerak menghala ke sini. Bas berhenti. Aku bersama dua orang pelajar Tionghoa berbaris menaiki bas. Tidak perlu bersaing untuk mendapatkan tempat duduk kerana banyak kerusi kosong. Aku terus duduk di kerusi berdekatan dengan pintu. Mudah keluar nanti. Tidak sampai lima minit, bas ini sudah sampai ke destinasi lalu berhenti mengambil pelajar yang sedang menanti di perhentian ini. Aku terus bangkit lalu bergerak ke muka pintu yang sudah terkuak.
“Terima kasih,” ujarku tersenyum kepada pemandu yang bertugas hari ini. Senyumanku dibalas dengan senyuman. Aku melangkah ke kafeteria asrama. Sudah tiada pilihan lagi. Makanan yang tinggal tidak memenuhi selera. Di kaunter pesanan kulihat ramai yang sedang berbaris membuat pesanan menu pilihan sendiri. Kutinggalkan kafeteria tanpa membeli sebarang makanan. Muktamad maggie kari ialah pilihanku untuk hidangan tengah hari ini.
“Iman...! Iman...!” Kakiku yang baru sahaja memijak anak tangga pertama terus terhenti. Aku berpaling. Wendy sedang berlari anak mendapatkanku.
“Tunggulah kejap!” laung Wendy . Nafasnya tercungap-cungap tatkala berada di depanku.
“Ada hantu kejar awak ke?” perliku mengusiknya. Wendy mencebik bibir.
“Apa hal?” soalku lemah memandangkan perutku kosong saat ini.
“Lelaki handsome datang nak jumpa awak,” ujarnya menyampaikan perkara tersebut.
“Siapa?” soalku. Wendy geleng kepala.
“Yen ke?” soalku lagi.
“Manalah saya tahu nama dia. Dia datang bersama seorang perempuan tua tapi cukup bergaya... macam datin,” jelas Wendy. Serta-merta terbayang di mataku wajah Puan Sodiah. Senekad inikah dia mahu mengajak aku balik sehingga sanggup membawa Puan Sodiah datang ke sini? Biar betul pemuda Korea ini. Aku tidak jadi meneruskan langkah ke bilik sebaliknya berpatah balik ke laman letak kereta yang kulewati tadi. Tatkala berada di situ, aku terkejut menatap kereta BMW hitam itu. Kemudian keluar pemandu. Jangkaanku meleset jauh. Bukan Yen dan Puan Sodiah yang datang, sebaliknya Encik Rizal bersama Datin Faridah yang berada di depanku sekarang.
“Assalamualaikum...,” sapa Encik Rizal. Aku menjawab salam itu di dalam hati. Lantas aku mendapatkan Datin Faridah yang keluar dari perut kereta lalu menghulurkan tangan kepadanya. Tanpa kuduga Datin Faridah terus memeluk tubuhku. Aku terkesima malah terasa janggal. Perlakuan Datin Faridah ini seolah-olah hubunganku dengannya terlalu akrab. Encik Rizal hanya tersenyum memandang kami.
“Dah makan?”soal Encik Rizal. Aku geleng kepala. Laparku saat ini tidak mampu aku bendung lagi.
“Mari kita makan sama. Kami pun belum makan lagi,” ajak Datin Faridah.
“Sekarang?” soalku. Encik Rizal mengangguk.
“Bawa sekali barang-barang awak tu. Nanti tinggal je dalam kereta,” ujar Encik Rizal seakan mengerti dengan persoalan yang bermain di mindaku. Memandangkan aku lapar saat ini, maka dengan tidak malu tanpa banyak bicara aku terus menerima pelawaan itu. Sekali lagi aku segan tatkala Datin Faridah mengarahkan aku duduk di kerusi penumpang hadapan di sebelah Encik Rizal. Aku patuh sahaja dengan arahan ini. Encik Rizal memandu BMW ini bergerak meninggalkan perkarangan asrama puteri.
“Orang kat belakang tu rindu sangat nak jumpa awak,” ujar Encik Rizal menyindir Datin Faridah sambil melirik ke belakang.
“Eleh, yang cakap tu pun rindu kat Iman juga,” sahut Datin Faridah buat mukaku membahang. Encik Rizal tersenyum melirik kepadaku. Tiba ke destinasi yang dituju, Encik Rizal dan Datin Faridah mengajak aku makan di sebuah restoran mewah. Makanan yang terhidang mahal-mahal. Mujur sedap. Berbaloilah bayar mahal-mahal.
“Makan banyak-banyak Iman,” arah Datin Faridah lantas meletakkan ketam masak cili ini ke dalam pingganku.
“Takpe auntie, nanti saya ambil,” ujarku kurang senang diberi layanan yang lebih-lebih. Datin Faridah hanya tersenyum. Begitu juga dengan Encik Rizal.
“Auntie tengok kamu tu kurus,” komen Datin Faridah sambil matanya menilik-nilik susuk tubuhku. Aku menelan liur. Segan diperhatikan begitu. Nanti tidak pasal-pasal dia fikir badan kurus tidak mampu melahirkan zuriat yang ramai. Mesti Datin Faridah ini sudah salah faham terhadap hubunganku dengan anak terunanya ini. Tidak mustahil kalau dia berfikir akulah perempuan yang bakal melahirkan cucu-cucunya nanti.
“Makan Iman,” tegur Encik Rizal. Aku hanya mengangguk dan tersenyum. Barangkali Encik Rizal menyedari betapa kekok aku tika ini. Alhamdulillah kenyang sangat.
Usai makan, kami bersiar-siar di sekitar pusat membeli-belah ini mengisi masa yang ada. Kemudian singgah di Butik Reztu menemani Datin Faridah memilih-milih baju kurung di situ. Kedatangan kami dilayan mesra oleh pemilik butik ini. Jelasnya, Datin Faridah merupakan pelanggan tetap butik ini. Malah aku dan Encik Rizal juga pernah berkunjung ke sini untuk membeli hadiah ulang tahun perkahwinan ibu bapa Encik Rustam yang merangkap ibu dan bapa saudara Encik Rizal. Ketika itu Encik Rizal turut menghadiahkan aku selendang merah. Sehingga sekarang aku belum pernah memakainya memandangkan selendang bermanik itu terlalu mewah yang hanya sesuai dipakai pada masa tertentu sahaja.
“Iman, cantik tak?” soal Datin Faridah sambil menunjukkan kepadaku baju kurung moden hitam berjalur putih merah serta bersulam manik. Aku mengangguk. Memang cantik sesuai dengan harga yang mahal.
“Cantik...,” pujiku. Sulam dan manik menyerlahkan baju kurung itu. Di dada baju dihias dengan sulam bunga ros yang bermanik dan dilabuci.
“Iman suka tak?” soal Datin Faridah sedikit menimbulkan kemusykilanku. Tidak perlu dia bertanya pendapatku kalau dia memang berkenan dengan baju kurung itu. Aku mengangguk buat Datin Faridah tersenyum. Lalu dia mengarahkan gadis itu meletakkan baju kurung itu di kaunter pembayaran lantas melangsaikan harganya. Aku ingatkan Datin Faridah sudah mahu meninggalkan butik ini setelah menemui baju kurung yang berkenan di hati. Namun langkah Datin Faridah belum mengarah ke muka pintu. Sebaliknya dia masih menilik-nilik barisan jubah yang ada di butik ini. Maka aku pun melihat-lihat tudung-tudung yang dijual di sini mengisi masa yang ada ini.
“Pilihlah mana yang awak berkenan. Nanti saya bayar,” arah Encik Rizal. Laju aku geleng kepala. Buat apa aku hendak membazirkan duit Encik Rizal membeli tudung harga ratusan ringgit ini sedangkan aku tidak berhijab. Nanti sia-sia sahaja usaha murni Encik Rizal kalau tudung ini hanya tergantung di dalam almari.
“Mana tahu suatu hari nanti hati awak terbuka hati nak pakai tudung,” ujar Encik Rizal menokok bicara. Aku tersenyum.
“InsyaAllah, Encik Rizal. Memang saya pernah memikirkan perkara itu. Cuma belum dapat hidayah,” balasku berkias-kias. Encik Rizal tersenyum.
“Pilihlah mana yang awak suka. Nanti bila dah terbuka hati awak nak bertudung, awak boleh terus pakai,” balas Encik Rizal.
“Kan hari tu Encik Rizal dah beli selendang untuk saya. Itu pun belum pakai lagi. Tak payahlah, Encik Rizal,” ujarku menolak secara lembut.
“Alah, kebetulan dah datang ke sini, pilihlah mana yang awak suka,” arah Encik Rizal menggesaku. Aku geleng kepala.
“Awak tak sudi saya hadiahkan tudung ni kat awak,” ujar Encik Rizal seakan merajuk. Aku geleng kepala.
“Bukan macam tu Encik Rizal, saya tak...,”
“Iman...!” Bicaraku tergantung tatkala ada suara perempuan memanggil namaku. Serentak aku dan Encik Rizal berpaling ke arah suara itu. Aku tergamam menatap Yen dan Velviana yang berada di butik ini. Dekat dengan kami. Yen menatapku dengan wajah yang serius tidak seperti Velviana yang tersenyum ceria.
“Hey, awak pun ada kat sini! Pilih baju sama-sama ke?” soal Velviana pada Encik Rizal. Encik Rizal mengangguk dan tersenyum. Kemudian menghulurkan tangan bersalam dengan Yen. Salam disambut oleh Yen. Namun tiada kemesraan yang dipamerkan di wajahnya.
“Ye kebetulan pula jumpa kamu berdua kat sini,” ujar Encik Rizal memberikan respons pada bicara Velviana itu. Encik Rizal melirik kepadaku.
“Saya ambil tudung hitam ni ye. Awak suka tak warna ni?” soal Encik Rizal.
“Aaa...,” Aku jadi serba salah dan sedikit kurang senang dengan pandangan tajam Yen yang sedang menatapku tika ini. Tudung hitam bermanik itu sudah berada di tangan Encik Rizal. Akhirnya aku hanya mengangguk tanda bersetuju dengan pilihan itu sekali gus menerima sahaja hadiah Encik Rizal itu.
“Iman...! Rizal ... mari ke sini kejap. Tolong mama pilih tudung yang sesuai,” suara Datin Faridah sedikit melaung. Serentak aku dan Encik Rizal berpaling ke arah Datin Faridah yang berada di satu sudut. Begitu juga dengan Velviana dan Yen turut sama melontar pandangan ke situ.
“Datang sekali dengan ibu ke?” soal Velviana tersenyum meleret. Riang lagaknya bila tahu ibu Encik Rizal ada di sini. Encik Rizal mengangguk.
“Minta maaf, kami nak gerak dulu,” ujar Encik Rizal memohon diri sekali gus mewakiliku. Ketika kami melangkah meninggalkan Velviana dan Yen, pandangan Yen masih menyoroti langkahku dan Encik Rizal.
“Hubungan mereka benar-benar seriuskan. Tak lama lagi nak nikahlah mereka tu,” tutur Velviana memberikan komentar terhadap hubungan Encik Rizal dan Iman. Yen memandang sekilas ke arah Velviana.
“Kenapa? Awak tak percaya?” soal Velviana kurang senang dengan pandangan Yen itu.
“Kalau dah keluar sama-sama dengan bakal mak mertua, itu tandan hubungan mereka serius. Tak lama lagi sepupu awak tu akan jadi isteri. Itu pun awak tak tahu,” ujar Velviana tersenyum suka. Yen membisukan diri.
“Jom...,” ajak Velviana lantas mengatur langkah ke sudut itu. Yen hanya mengekori langkah gadis itu. Dari sudut itu, tanpa disedari oleh sesiapapun, Yen masih melontar pandangan ke arah gadis itu. Gelagat gadis itu bersama perempuan tua dan pemuda itu diperhatikan. Mereka begitu mesra. Yen jadi cemburu.
“Awak tunggu kat sini kejap,” arah Yen lantas mengatur langkah ke sudut itu. Velviana terkebil-kebil memerhatikan langkah Yen yang sudah meninggalkannya.
“Iman ssi...!” Aku berpaling. Begitu juga dengan Encik Rizal dan Datin Faridah. Yen sudah terpacak di depan kami.
“Sorry, saya ada hal nak cakap dengan Iman,” ujar Yen lantas menarik tanganku beredar dari situ. Aku tergamam. Encik Rizal dan Datin Faridah tercengang-cengang melihat Yen membawaku pergi.
“Honey...! Yen...!” laung Velviana memanggil kekasihnya ini. Namun tidak diendahkan oleh Yen.
“Siapa pemuda tu, Rizal?” soal Datin Faridah hairan.
“Sepupu Iman,” sahutnya.
“Iman ada sepupu Cina?” soal Datin Faridah lagi. Kali ini dia hanya tersenyum. Dibiarkan pertanyaan itu tidak dijawab.
“Awak buat apa ni?” rungutku lantas menarik tanganku dari pautan tangan Yen. Kini kami sudah berada di luar. Jauh dari Butik Reztu.
“Awak buat apa kat situ?” soal Yen serius. Aku mendengus. Dia sudah nampak dengan mata sendiri. Sepatutnya persoalan itu tidak perlu dikemukakan kepadaku lagi. Aku diam tidak mahu menjawab pertanyaan ini.
“Hari tu awak kata tak dapat balik sebab busy awal semester. Jadi nilah yang buat awak busy ni,” sinis suara Yen melemparkan tuduhan kepadaku. Aku menatap tajam wajah Yen.
“Pandai sangat awak berlakon ye,” masih sinis nada suara Yen.
“Mwo (apa)...!” Aku melenting mendengar tuduhan itu.
“Busy konon...,” Yen tersenyum sinis. Sakit hatiku menatap reaksi itu.
“Salah awak juga! Konon nak datang ambik saya petang Jumaat tu tapi awak tak muncul-munculpun,” tegasku. Anak mata Yen terkebil-kebil menatapku. Mungkin baru sedar dengan kesilapan itu. Silap sebab mungkir janji.
“Nasib baik saya tak terus tunggu awak. Kalau tak macam orang bodoh je saya. Awak yang dinanti rupanya sibuk bersama kekasih,” perliku sinis.
“Mwo (apa)...!” lantang suara Yen. Aku mendengus. Salah orang dia nampak tetapi salah diri sendiri langsung tidak nampak.
“Saya hantar awak balik sekarang,” arah Yen.
“Tak payah! Encik Rizal boleh hantar saya,” tingkahku.
“Jangan degil,” radang Yen.
“Awak jangan lupa Velviana ada bersama awak,” ujarku mengingatkan. Yen terdiam. Mungkin baru sedar dia datang bersama Velviana tadi. Yen menatapku lagi. Pandangannya beralih ke jariku.
“Mana cincin awak?” soal Yen sambil tajam menatapku. Pelik. Sejak bila pula dia ambil berat tentang cincin nikah itu.
“Kenapa awak tak pakai?” tegur Yen radang. Aku mendengus. Bosan dengan perangai kebudak-budakan Yen.
“Awak pun tak pakai cincin tu,” balasku menempelak. Terkebil-kebil Yen menatapku.
“Saya nak pergi sekarang,” ujarku lantas berpaling memulakan langkah meninggalkan Yen yang masih terpacak di situ.
“Iman ssi...!” panggilan Yen tidak kuendahkan. Aku terus mendapatkan Encik Rizal dan Datin Faridah yang sedang menantiku di Butik Reztu. Beberapa minit kemudian Yen muncul kembali di Butik Reztu. Lantas dia mengajak Velviana beredar dari situ. Aku sempat memerhatikan langkah Yen dan Velviana meninggalkan Butik Reztu ini. Sempat juga aku memandang wajah masam Velviana. Pasti murka tatkala ditinggalkan oleh Yen sebentar tadi.
“Kenapa?” soal Encik Rizal yang berdiri di sebelahku.
“Ada hal sikit,” sahutku berahsia. Senyap. Aku dan Encik Rizal masih menanti kedatangan Datin Faridah yang sedang membuat pembayaran di kaunter.
“Are you okey?” soal Encik Rizal mengejutkanku. Laju aku mengangguk. Lantas mengukir senyuman. Aku cuba mempamerkan reaksi bersahaja bagai tiada apa-apa yang berlaku sebentar tadi. Hakikatnya, pertelingkahanku dengan Yen sebentar tadi meninggalkan kesan di hatiku.
“Nah, untuk Iman!” Beg kertas yang berisi baju kurung yang dibeli oleh Datin Faridah tadi diserahkan kepadaku. Aku tergamam menatap Datin Faridah yang masih tersenyum kepadaku.
“Ambillah, auntie beli baju kurung ni untuk Iman,” jelas Datin Faridah sambil menggantung tali beg itu dijariku.
“Terima kasih auntie,” ujarku serba salah berbaur segan.
“Mari...,” ajak Datin Faridah sambil memulakan langkah ke muka pintu. Aku dan Encik Rizal mengekori langkahnya meninggalkan Butik Reztu. Kupandang di sekeliling pusat membeli-belah ini. Kelibat Yen dan Velviana sudah tidak kelihatan lagi.
SUDAH beberapa kali dia menukar posisi tubuh di katil itu. Tidak statik. Sekejap mengiring ke kanan, sekejap mengiring ke kiri. Hati gundah-gelana. Yen bangkit dari perbaringan. Digaru-garu kepala yang tidak gatal. Fikiran buntu. Mengingati kejadian siang tadi dia kian gelisah. Bukan kemarahan Velviana yang ditinggalkan seketika yang merungsingkan diri. Sebaliknya pertemuan dengan Iman yang ketika itu ditemani oleh Encik Rizal bersama ibunya yang membangkitkan kerisauan. Yen berbaring semula. Kemudian tergolek-golek di atas katil itu. Dia melepaskan keluhan berat. Anak matanya menatap jari manis. Lama. Dia terus bangkit dari perbaringan lalu menarik laci kaca itu. Lantas dicapai kotak baldu itu. Dikeluarkan cincin suasa belah rotan itu lalu menyarungkan ke jari manis. Kemudian dicapai iPhone yang terletak di atas meja itu. Laju jemarinya menekan nombor itu. Satu panggilan telah dibuat. Kedengaran suara seorang lelaki menyahut panggilan itu.
“Saya terima tawaran awak tu,”
“Oh..., thanks,” suara lelaki itu teruja mendengar kata putus yang diberi.
“Jangan lupa datang ke office saya sebelum pukul 3.00 petang pada hari Isnin. Kelas bermula tepat pada pukul 3.00 petang,” jelas lelaki itu dengan terperinci.
“Okey...,” sahut Yen pendek.
“Tak sabar nak tengok betapa teruja mereka tengok awak nanti,” tutur lelaki itu riang. Yen tersenyum sendiri. Sebenarnya dia pun tidak sabar hendak melihat apa akan berlaku sebaik sahaja kemunculannya pada hari itu.
“Jangan lupa datang tau,” pesan lelaki itu lagi.
“Ye...Bye...,” Panggilan itu ditamatkan. Yen kembali berbaring di tilam empuk itu. Diramas-ramas cincin suasa yang sudah tersarung di jari manis itu. Cincin pernikahan. Senyuman lebar terus terukir di bibir. Lantas beberapa kali dikucup cincin suasa belah rotan itu.
No comments:
Post a Comment