BAB 55
Teringat pada sejambak ros lavender yang pernah Aqel
berikan kepadaku, laju saja jemariku menaip makna di sebalik warna bunga ros di
ruangan google. Sekelip mata saja semuanya telah terpapar. Hujung jariku
meneruskan pencarian. Anak mataku terikat pada sebaris ayat ringkas yang
memberi penjelasan tentang makna warna di sebalik ros lavender.
“Cinta pandang pertama yang mempesonakan. Hantarkan bunga
ros berwarna lavender untuk menyampaikan mesej ‘cinta pandang pertama’ pada
seseorang yang istimewa. Anda juga boleh menghantarnya pada seseorang untuk
membuat satu impresi yang istimewa” suaraku memindahkan artikel bertulis ini
dalam bentuk lisan. Aku terkedu. Inikah maksud yang cuba Aqel luahkan kepadaku?
Bagaimana pula dengan Flora? Bukankah Flora itu gadis pertama yang mengetuk
pintu hatinya? Rania juga lagenda cinta Aqel. Oh... banyak sangat cinta pertama
Aqel! Aku mendengus bosan.
“Mengapa awak tinggalkan saya?” Aku berpaling. Haqem
sudah melewati pintu bilik ini sedang bergerak mendekatiku. Betapa aku terkejut
dengan kemunculannya ini.
“Sampai hati awak buat begini pada saya, Lia” ujar Haqem
lemah. Aku menarik nafas dalam – dalam. Cuba mengumpul kekuatan diri berhadapan
dengan Haqem. Kupandang muka Haqem.
“Saya boleh bertahan menerima cacian mama awak. Saya tak
kisah dan tak berdendam apa saja yang mereka lakukan pada saya, tapi hati saya sakit
bila saja dia mula menghina mak saya” jelasku meluahkan isi hatiku. Haqem terdiam.
“Sorry.....” sayup – sayup suara Haqem melafazkan
permohonan maafnya. Aku geleng kepala. Tidak patut Haqem meminta maaf kepadaku.
“Bukan salah awak. Jadi tak payah minta maaf” tuturku
tidak pernah menyalahkan Haqem. Aku dan Haqem memang bernasib malang. Bertemu
dan bercinta kali kedua selepas tiga tahun berpisah namun masih tidak direstui.
“Saya akan pujuk mama agar minta maaf pada awak” tutur
Haqem lagi.
“Awak tak perlu lakukan semua tu” tegahku. Aku tidak mahu
antara Haqem dan Datin Sofea berantakan lagi. Sudah ada penyelesaian antara aku
dengan Haqem. Kutatap wajah Haqem.
“Hiduplah baik – baik. Jangan menderita kerana saya”
pintaku berharap. Rawan hatiku melihat keadaan Haqem sekarang. Aku menarik
nafas dalam – dalam.
“Maafkan saya atas apa yang berlaku. Sekarang kita tak
boleh bertemu seperti ini lagi. Kehidupan kita dah berbeza” ujarku perlahan
cuba menyelami kedukaan Haqem. Haqem menatapku.
“Sebelum saya pergi, tolong jawab pertanyaan saya sejujurnya”
pinta Haqem. Aku mengangguk. Aku akan menjawab pertanyaannya itu demi memuaskan
hatinya.
“Adakah pernikahan awak dengan Aqel semata – mata kerana
memenuhi hasrat keluarga ataupun atas kerelaan awak sendiri?” soal Haqem
menyentakkanku. Kelu lidahku. Pertanyaan yang sangat rumit hendak kujawab. Haqem
masih menatapku menanti jawapanku. Aku sudah terlanjur berjanji akan menjawab
pertanyaan Haqem sejujurnya. Maka aku tidak boleh berdiam diri saja.
“Aqel sakit kerana saya. Tindakan bodah saya menyebabkan
Aqel menanggung bebanannya sehingga ke hari ni” jelasku.
“Aqel sakit serius?” soal Haqem tersentak. Dahinya
berkerut. Perkara ini baru saja sampai ke pengetahuan Haqem. Pasti Aqel tidak
mahu berkongsi kisah dukanya ini bersama orang lain. Jauh sekali mahu menagih
simpati orang di sekelilingnya.
“Saya dah janji akan jaga dia sepanjang hayat saya. Saya
harus tebus kesalahan saya pada Aqel” ujarku serius. Haqem geleng – geleng
kepala. Dia tidak merestui keputusanku.
“Awak yakin ke Aqel betul – betul sakit disebabkan awak?’
soal Haqem curiga. Nampak sangat Haqem cuba menafikan kenyataan itu. Aku
mengangguk. Aqel manusia paling serius yang kukenali. Tiada unsur kecindan
dalam dirinya.
“Inilah suaratan hidup saya. Saya redha menerimanya”
tuturku berserah segala – galanya pada takdir Ilahi yang tertulis untukku.
“Takkan awak nak hidup bersama Aqel sepanjang hayat awak dengan
alasan ini. Awak takkan bahagia” hujah Haqem.
“Saya juga tak dapat hidup bersama awak walaupun awak
lelaki yang saya cintai” tuturku. Haqem terdiam seketika. Aku mahu Haqem sedar
tentang kenyataan itu. Sampai bila – bila pun Datin Sofea tidak akan merestui percintaan
Haqem denganku. Haqem tertunduk merenung nasib.
“Awak mesti yakin dengan ketelusan cinta saya. Cinta yang
tulus akan mampu menghadapi apa saja rintangan yang mendatang” tutur Haqem
bersungguh – sungguh.
“Haqem.... saya dah kahwin. Sekarang saya dah jadi isteri
Aqel” tuturku menyedarkan Haqem tentang hakikat ini. Haqem melepaskan keluhan
panjangnya. Bukan mudah dia menerima semua ini. Haqem menatapku.
“Walaupun awak dah jadi isteri Aqel, saya takkan berhenti
mencintai awak. Saya tetap berharap akan hidup bersama awak” tutur Haqem
serius.
“Haqem...” Betapa aku tidak senang mendengar bicaranya
ini.
“Saya betul – betul serius, Lia” tegas Haqem lalu
meninggalkan aku termangu – mangu di situ. Haqem nampak bersungguh – sungguh
dengan bicaranya. Aqel yang baru saja hendak melangkah ke bilik itu kematian
langkah. Dia berpaling menatap sahabatnya itu. Haqem berlalu tanpa menyedari
kedatangannya ke situ. Jelas di matanya wajah murung Haqem. Perlahan – lahan
Aqel melepaskan keluhan sebelum melangkah masuk ke bilik itu.
#########################
Aku menatap deratan pakaian Aqel yang tergantung kemas di
almari ini. Koleksi pakaian Aqel terjaga rapi. Pasti semua ini adalah baju –
baju kesayangannya yang mahal belaka harganya. Maklumlah Aqel begitu menjaga
penampilan dirinya. Aku terpandang t – shirt merah yang selit di celah – celah
deratan pakaian ini. Rasanya aku sangat kenal dengan t – shirt merah ini. Laju tanganku menariknya keluar. Memang tepat.
Inilah t – shirt merah teddy bear
salah satu baju kesayanganku. Mak telah meminjamkan baju ini kepada Aqel. Maka
aku dengan berat hati merelakannya. Lantas baju itu aku sedekahkan kepada Aqel.
Tidak mahu mengambilnya semula lantaran tidak pernah berkongsi baju dengan
orang lain apatah dengan lelaki. Tidak sangka pula t – shirt merah teddy bear ini tersimpan bersama pakaian
berharga Aqel. Aku ingatkan Aqel telah menjadikannya kain lap memandangkan
harga dan kualiti yang tidak setanding dengan pakaian Aqel. Kusimpan kembali t
– shirt merah teddy bear ini. Baju
ini sudah menjadi milik Aqel dan aku sudah tiada hak ke atasnya biarpun
perasaan sayang masih ada.
“Semua yang ada dalam almari tu adalah baju – baju
kesayangan saya” suara Aqel di belakangku. Aku berpaling. Aqel baru saja
melangkah masuk.
“Saya nak gantung baju awak ni” jelasku sambil
menayangkan dua helai t – shirt ke arah Aqel. Tidak mahu Aqel salah faham.
Risau juga kalau Aqel ingat aku mengganggu barang miliknya. Bukankah Aqel
pernah memberi peringatan agar aku tidak menyentuh barang miliknya tanpa
keizinannya terlebih dahulu. Aqel mengangguk mengerti dan membiarkan aku
melangsaikan kerja ini. Teringat bicara Aqel sebentar tadi. Semua baju yang ada
di dalam almari kaca ini adalah baju – baju kesayangannya.Termasuk t – shirt
merah teddy bear ini jugalah. Tidak sangka
pula Aqel menghargainya sebanyak itu. Tumpang gembira sebab Aqel menghargai
pemberianku yang dalam keadaan paksa rela ketika itu. Aku tersenyum sendiri.
Aku melirik ke arah Aqel yang sedang bersandar di kepala
katil sambil membaca buku tebal itu. Satu tabiat Aqel yang kuketahui
sejak kami bernikah. Setiap malam sebelum tidur Aqel terlebih dahulu menelaah
apa saja jenis bahan bacaan. Sudah menjadi kewajipan baginya. Kalau aku tidak
sampai lima minit membaca pasti akan terus mengantuk. Alahan sangat menatap
buku di tempat perbaringan. Penawar mujarab untuk cepat tidur. Barangkali ini
juga teknik Aqel agar cepat lena demi melawan kata hatinya. Sampai bila lelaki
normal seperti Aqel mampu bertahan melawan godaan nafsu lelaki tatkala
berbaring di sebelah perempuan. Apatah lagi aku memang halal untuknya. Betulkah
tabiat Aqel ini ada kaitan dengan apa yang aku fikirkan sekarang?
Bau wangian dunhill menyerang rongga hidungku. Betapa
wanginya Aqel malam ini. Aku mencuri pandang ke arah Aqel yang kelihatan begitu
leka membaca buku di tangannya. Nampak
betapa tampannya anak muda Mak Long ini. Aqel tiba – tiba saja mengangkat
mukanya lalu melemparkan senyuman mengoda ke arahku menggetar jiwa perempuanku.
Lirikan manja mata Aqel bagai mahu menuntut sesuatu dariku. Aku jadi gerun
tatkala mengingati Aqel akan meminta berlangsungnya malam pertama kami yang
sudah tertangguh. Betapa runsingnya aku. Perlukah aku menolaknya? Berdosa
isteri yang menolak permintaan suami untuk bersetubuh dengannya. Aduhhh.....
ngerinya hendak sebut perkataan itu! Terasa membahang wajahku. Rasa malu dan
segan yang menebal.
“Awak nak terpacak di situ sampai esok?” suara Aqel
menyentakkanku. Aku menatap Aqel. Tiada senyuman yang mengoda terukir di
bibirnya. Mahupun lirikan mata manjanya yang mengoda kalbuku. Sebaliknya Aqel
sedang kehairanan menatapku. Kutepuk – tepuk kepalaku. Teruknya jangkauan
fikiranku sebentar tadi. Aku sekadar berimaginasi saja. Malunya kalau Aqel
dapat tahu apa yang ada dalam fikiranku sebentar tadi.
“Awak tak nak tidur ke? Dah lewat ni....” tutur Aqel
dengan dahi yang berkerut menatapku. Aku garu – garu kepala yang tidak gatal.
“Tidur....” sahutku lalu bergegas naik ke katil. Aku
terus berbaring di sebelah Aqel lalu menarik selimut menyelubungi tubuhku. Mahu
menyembunyikan tubuhku dari pandangan mata lelaki Aqel. Senyap. Kupejamkan
mataku memaksa diri untuk tidur. Namun tidak juga berhasil. Betapa kekoknya aku
berbaring di sebelah Aqel tika ini. Inilah yang kurasa setiap malam setiap kali
berada di katil ini bersama Aqel.
“Awak fikirkan apa tadi?” suara Aqel memecah keheningan
ini. Kelopak mataku terbuka luas. Aqel sedang menatapku. Seketika aku dan Aqel
berlaga pandangan.
“Saya tengok awak berfikir panjang tadi” ujar Aqel lagi.
Aku diam. Tidak mungkin aku akan memaklumkan imaginasiku tadi kepadanya. Nanti
tidak pasal – pasal Aqel fikir aku isteri yang ketandusan. Hey..... ngerinya
aku! Sedikit terangkat bahuku membayangkan semua itu!
“Awak mesti sedang fikirkan sentuhan suamikan...” tutur
Aqel bersahaja. Aqel tersenyum - senyum menatapku. Membutang mataku menatap
Aqel. Mukaku panas membahang.
“Awak jangan fikir yang bukan – bukanlah” tegahku
menafikan. Aqel tergelak – gelak kecil. Seronok benar dia membicarakan topik
ini.
“Muka awak merah. Mesti awak malu sekarangkan” ujar Aqel
mengusikku.
“Mana ada....” nafiku lagi. Laju saja tanganku mencapai
bantal di sisi lalu menutup wajahku. Cuba bersembunyi dari pandangan mata Aqel.
Tidak mahu juga bertentangan mata dengan Aqel. Sebenarnya memang aku malu pada
Aqel saat ini.
“Saya mahu malam pertama kita berlangsung ketika bulan
madu kita. Ketika itu di hati awak tiada siapa – siapa kecuali suami awak”
kedengaran serius Aqel menuturkan bicaranya ini. Aku terkedu. Bicara Aqel
menyentuh hatiku. Lantas memikirkan bicara Aqel sedalamnya. Bulan madu di Korea
Selatan berlangsung dengan baik. Aku menyedari sikap romantik Aqel di sebalik
lakonannya sebagai suami yang romantik di depan Pak Long. Sebetulnya tanpa
dirancang dan bukan di depan Pak Long, adakalanya tindakan Aqel membuai
perasaan perempuanku.
Pastinya Aqel mahu menebus penyatuan kami pada bulan madu
yang lain. Pada ketika itu aku telah menyerahkan sepenuh hatiku kepada dirinya.
Andai aku mampu menyerahkan sepenuh jiwa ragaku kepada suamiku, bagaimana pula
Aqel? Mampukah Aqel mensirnakan nama dan bayangan Flora dalam dirinya? Hampir –
hampir saja bibirku menyebut nama gadis itu di depan Aqel. Tatkala mengingati
janjiku tidak mahu membangkitkan luka lama Aqel, segera kutahan nama itu dari
terluah di bibirku. Biarlah Flora hidup dalam kenangan Aqel. Namun hatiku masih
mahu mengajukan pertanyaan ini.
“Siapa Flora, Aqel?” suara hatiku berbisik. Kupejamkan
mata rapat – rapat. Mengundang lena tatkala aku tidak mampu bertentang mata
dengan Aqel saat ini. ‘Maafkan aku... Aqel, sebab bulan madu kita masih
tertangguh’ sayup – sayup suara hatiku berbisik.
*************************
Aku menatap gadis bergaun labuh hitam yang kelihatan
begitu elegan menyerlahkan kulitnya yang putih bersih. Wajahnya ditatarias
begitu indah. Padaku walaupun tanpa solekan itu dirinya tetap anggun jelita.
Gadis ini bagaikan bidadari yang memukau setiap mata yang memandangnya. Pasti
banyak sangat pujian dan sanjungan yang diterimanya atas kesempurnaan ciptaan
Ilahi yang dimilikinya ini. Sungguh aku hairan melihatnya berlegar – legar di
ruang bilik pejabat Aqel tanpa menyedari kehadiranku di muka pintu ini. Aku
mencari kelibat Aqel di sekitar bilik ini. Ternyata gadis ini bersendirian di
sini.
“Tumpang tanya... awak tetamu Aqel?” kuajukan juga soalan
cepu emas ini. Dia berpaling lalu berlaga pandangan denganku. Hatiku memuji
lagi betapa jelitanya gadis ini. Dia tersenyum mempamerkan deretan giginya yang
tersusun rapi. Memang layak menjadi ratu cantik dunia tahun ini. Dia mengangguk
masih dengan senyuman yang menguntum menyenangkan mata menatapnya. Tingkahnya
sopan penuh bertatasusila. Memang layak dirinya dipanggil bidadari.
“Oh.... ye... saya Flora” ujarnya memperkenalkan diri lantas
menghulurkan tangan kepadaku. Aku terkedu. Rupa – rupanya dialah Flora kekasih
hati Aqel. Gadis yang banyak menimbulkan persoalan dalam diriku selama ini.
Sempat aku membandingkan diriku dengannya. Betapa berbezanya kami. Bagai langit
dengan bumi. Aku tidak layak pun untuk dibandingkan dengan dirinya. Kusambut
huluran tangan mulusnya ini. Penampilan dirinya memang sungguh terjaga rapi
persis diri Aqel juga. Di mataku sudah terbayang betapa sempurnanya Flora dan
Aqel sebagai pasangan kekasih. Patutlah Aqel tidak pernah melupakannya walaupun
sedetik.
“Nama awak....” suara merdu Flora menyentakkanku. Aku
terkebil – kebil di depan Flora yang sedang tersenyum indah ini seindah senyuman
Aqel.
“Saya Lia, is.....” bicaraku tergantung. Hatiku melarang
memperkenalkan diri sedemikian. Betapa rasa rendah diri hendak memberitahu
gadis ini bahawa akulah isteri Aqel.
“Nur Dahlia....” tuturku mengulangi memperkenalkan diri
sekali gus menutup kepincangan bicaraku sebentar tadi. Dia tersenyum. Sekian
kalinya aku memuji betapa indahnya senyuman itu. Senyuman yang membuatkan Aqel
gila bayang kepadanya. Iri hati pula rasanya.
“Nice name. Macam nama saya.... nama flora...” tuturnya.
“Betul.... sebab itu juga Aqel panggil saya Flora”
sahutku pada bicaranya. Bukan pada pujiannya itu. Flora menatapku.
“Really..... Aqel panggil awak Flora?” soalnya seakan
tidak mempercayaiku. Aku mengangguk. Bukan niatku mahu menyinggung perasaannya.
Jauh sekali hendak menandingi dirinya. Betapa aku sedar aku tidak setanding
dirinya.
“Oh..... dia memang lelaki yang tak setia...” keluhnya
dengan riak wajah yang terluka. Terguris hatinya dengan tindakan Aqel. Aku rasa
bersalah pula memaklumkannya tentang perkara ini. Apakah reaksi gadis ini andai
dia mengetahui bahawa Aqel telah bernikah denganku?
“Siapa awak? Adakah awak dengan Aqel menjalin hubungan istimewa?”
soalnya sangsi menyentakkanku. Kelu lidahku. Aku dan Flora saling berpandangan.
Tidak tega aku hendak berterus terang kepadanya. Risau hatinya terguris lebih
dalam.
“Saya harap awak jujur dengan saya” tegasnya mencalarkan
sedikit lemah lembutnya. Aku jadi serba salah. Memang menyakitkan jika diri
dibohongi.
“Saya sepupu Aqel. Ayah saya dengan mak Aqel adik
beradik” jawabku selengkapnya. Inilah bicara terbaik yang mampu aku luahkan
tika ini.
“Oh... sepupu Aqel. Gembira berkenalan dengan awak” tutur
Flora ceria. Aku mengangguk dan tersenyum. Keikhlasan terpancar di wajahnya.
“Mengapa awak muncul sekarang setelah menghilang begitu
lama?” soalku meluahkan andaian sendiri. Aku mengandaikan dirinya dengan Aqel
sudah lama terpisah. Maka sebab itulah Aqel berpeluang menemui Rania. Kemudian
Aqel menjalin cinta dengan Rania. Namun disebabkan gadis ini, hubungan cintanya
dengan Rania terputus. Perlakuan Aqel yang tidak mampu melupakan Flora
mendorong Rania berlaku curang. Rania tidak sepatutnya disalahkan sepenuhnya. Setiap
perlakuan Rania adalah berpunca dari sikap Aqel. Aqel yang begitu mencintai
Flora cuba menjalin hubungan dengan gadis lain bertujuan mahu melupakan Flora.
Namun Aqel tewas melakukannya. Jiwa raganya masih terikat pada Flora. Oh....
kejamnya Aqel! Flora tersenyum.
“Saya dan Aqel telah bersumpah akan hidup semati walau
apapun terjadi. Sekarang sudah tiba masanya saya datang bawa Aqel pergi bersama
saya” tutur Flora bersungguh – sungguh.
“Awak tak boleh bawa Aqel pergi....” tegahku. Berkerut
dahinya menatapku.
“Siapa awak nak halang cinta saya dengan Aqel” tutur
Flora sinis melenyapkan perwatakan dirinya yang kukagumi sepanjang perkenalan
ini.
“Saya bukan setakat sepupu Aqel. Saya adalah isteri sah
Aqel. Isteri pilihan mamanya” tegasku tidak mahu berselindung lagi. Tiba – tiba
saja aku rasa aku perlu menghalangnya membawa Aqel pergi bersamanya demi
menyelamatkan rumah tangga kami. Tidak tega aku terus membiarkan mak bersedih
dengan kehidupanku andai aku bakal ditinggalkan oleh Aqel. Mak akan terluka dan
menyalahkan diri andai aku bergelar janda.Tatkala aku membuat keputusan dengan rela
hati menjadi isteri Aqel salah satu sebabnya mahu membahagiakan mak. Mak akan
bahagia andai aku merealisasikan hasrat hatinya. Aku bernikah dengan Aqel cuba
membalas kasih sayang Mak Long kepadaku. Niat hatiku suci mahu membahagiakan
mak dan Mak Long serta rasa tanggungjawabku menjaga Aqel. Biarpun adakala aku
terfikir bahawa aku telah mengorbankan diriku bernikah dengan lelaki yang tidak
kucintai. Aku telah mempertaruhkan masa depanku bersama Aqel.
“Saya akan berusaha jadi isteri yang terbaik” tuturku
bersungguh – sungguh. Aku sudah membuat pilihan. Maka aku tidak akan berundur
sewenangnya. Alang – alang aku mempertaruhkan masa depanku bersama Aqel,
biarlah aku bertarung sehingga ke akhirnya.
“Oh.... awak menantu pilihan mama Aqel! Perempuan itu
masih mahu mencampuri urusan Aqel ....” tutur Flora penuh dendam. Mak Long
masih mahu mencampuri urusan Aqel? Adakah cinta Flora dengan Aqel cinta
terhalang persis cintaku dengan Haqem? Benarkah Mak Long tidak merestui pilihan
Aqel? Mustahil! Mak Long bukan persis Datin Sofea yang berkuasa sepenuhnya ke
atas anak lelakinya. Mak Long masih ada pertimbangan dan belas kasihan kepada
Aqel. Flora sengaja mahu menyerabutkan otakku berfikir.
“Tak elok awak cakap macam tu” tegurku tidak senang Flora
menuduh Mak Long yang bukan – bukan. Flora tersenyum sinis.
“Oh....betapa baiknya awak sehingga menjadi pilihan
perempuan tu! Cermin diri awak tu dulu. Awak langsung tak layak untuk Aqel”
Flora tersenyum sinis menatapku. Aku mengetap bibir menahan geram. Benci
berdepan dengan keangkuhan dan keriakan manusia.
“Saya takkan biarkan awak membawa Aqel pergi. Awak
hanyalah kekasih Aqel sedangkan saya adalah isterinya yang sah. Saya lebih
berhak ke atas Aqel” tegasku tidak mahu bertolak ansur. Biarlah aku berlaku
kejam kepada Flora demi menyelamatkan rumahtanggaku dengan Aqel dan demi
kebahagiaan mak dan Mak Long. Aku tidak tega melihat mak dan Mak Long
menyalahkan diri sepanjang hayat mereka andai Aqel meninggalkanku untuk bersama
Flora.
“Awak mahu hidup
bersama lelaki yang mencintai perempuan lain?” soal Flora sinis. Aku
mengangguk. Aku sudah nekad dengan keputusanku.
“Saya bernikah dengan Aqel pun tanpa perasaan cinta. Saya
dah janji akan menjaga Aqel sepanjang hayat saya. Aqel sendiri yang setuju
nikah dengan saya” tegasku. Tajam pandangan Flora menatapku.
“Andai awak mahu hidup bersama Aqel, tunggulah tika saya
dah tak de di dunia ni lagi” tuturku serius. Tiba – tiba saja Flora tertawa
terbahak – bahak. Hilang keayuan dirinya.
“Awak betul – betul mahu memperbodohkan saya atau
sebetulnya awak memang bodoh. Awak ingat saya dan Aqel akan hidup seribu tahun
lagi” lirih saja suara Flora.
“Ajal maut di tangan Allah. Mana tahu masa saya dengan
Aqel singkat saja” sahutku. Rawan hatiku tatkala berbicara sedemikian. Flora
tersenyum sinis sambil menggeleng kepala.
“Saya takkan melakukan sesuatu yang tak pasti” tingkah
Flora tidak mahu berkompromi denganku. Nampak sangat Flora tidak mahu melengahkan
masa untuk bersama Aqel. Flora sudah nekad akan membawa Aqel pergi bersamanya.
Mereka pasangan kekasih yang saling mencintai. Sudah pasti andai Aqel bertemu
dengan Flora sekarang, Aqel tidak akan membiarkan Flora pergi bersendirian. Aku
yakin Aqel akan meninggalkan aku sendirian di sini. Aku mesti menghalang
pertemuaan Aqel dengan Flora. Maafkan aku, Aqel!
“Tolongnya pergi dari sini sekarang! Tolong jangan temui
Aqel! Saya merayu awak agar jangan bawa Aqel pergi” rayuku tatkala tewas pada
kesungguhan Flora. Tajam pandangan Flora menatapku.
“Awak sungguh pentingkan diri sendiri” kutuknya. Aku
mengangguk. Rela menerima apa saja kutukan Flora. Aku nekad mahu menghalang
sepasang kekasih ini bertemu demi mak dan Mak Long. Daun pintu tiba – tiba saja
ditolak. Aqel muncul di sebalik daun pintu. Aku tergamam. Aqel terkedu tatkala
bertentang mata dengan Flora. Lama Flora dan Aqel beradu pandangan persis
melepaskan kerinduan yang terbuku selama ini. Aqel dan Flora terus saja
melangkah mendekatkan diri masing – masing. Renungan mata mereka menusuk hati.
Mereka berpelukan. Nyatanya Aqel dan Flora sepasang kekasih yang sarat
kerinduan lantaran terpisah sejak sekian lama. Sepasang kekasih yang tidak mampu
dipisahkan lagi.
“Maafkan saya, Lia. Saya terpaksa bawa Aqel pergi...”
tutur Flora lalu memaut lengan Aqel mengajaknya beredar dari situ.
“Aqel... awak tak boleh tinggalkan saya begini. Mak Long
dan mak akan terluka dengan tindakan awak ni....Please Aqel... jangan
tinggalkan saya” rayuku sepenuh hati. Aqel menurut saja langkah Flora tanpa
mengendahkan panggilanku. Sekelip mata kelibat Aqel dan Flora hilang dari
pandangan mataku. Kini tinggallah aku sendirian di bilik ini meratapi nasibku.
Ternyata pilihan yang kulakukan untuk membahagiakan mak dan Mak Long tidak
kesampaian. Mungkin inilah balasan ketidakikhlasanku melakukan semua ini? Betulkah
aku tidak ikhlas cuba membahagiakan mak dan Mak Long? Mungkin juga ini balasan
yang kuterima kerana meninggalkan Haqem. Perlahan – lahan panas menuruni cerun
pipiku. Aku berteleku di situ bersama tangisanku yang menyayat hati. Ternyata
akulah insan yang telah tertewas.
Terasa hangat menuruni pipiku. Perlahan – lahan aku
mengangkat kelopak mataku. Tanganku terus saja menyentuh pipiku yang terasa
basah. Aku menangis dalam tidur. Kukesat air mata di pipiku. Aku berpaling.
Kelihatan Aqel di sebelahku sedang lena di buai mimpi. Baru aku tersedar rupa –
rupanya aku bermimpi. Mimpi yang panjang. Kurenung Aqel yang nampak tenang.
Betulkah gadis yang kutemui dalam mimpi ini adalah Flora? Sejelita itukah
dirinya? Aku melepaskan keluhan. Mimpi adalah mainan tidur. Mungkin aku lupa
basuh kaki sebelum tidur tadi. Terlupa juga baca doa tidur lantaran segera mahu
melelapkan mata kerana tidak tahan dengan usikan Aqel. Kutatap wajah Aqel lagi.
Baru aku menyedari bahawa Aqel tidur berbantal. Aku telah mengambil bantal Aqel
untuk diletakkan di mukaku. Mengapalah Aqel tidak mengambilnya semula tatkala
aku sudah lena dibuai mimpi tadi. Perlahan – lahan kuangkat kepala Aqel lalu
menyorongkan bantal ini.
Tidak semena – mena Aqel membuka matanya. Tersedar dengan
tindakanku. Dia menatapku buat aku tidak keruan. Risau dimarah Aqel sebab
mengganggu tidurnya. Bimbang juga kalau Aqel salah faham dengan tindakanku.
Tidak rela dituduh mengambil kesempatan ke atas dirinya. Mana tahu Aqel ingat
aku saja – saja menyentuh dirinya.
“Saya hanya letakkan bantal ini di kepala awak. Kasihan
tengok awak tidur tak berbantal” jelasku menerangkan tindakanku.
“Awak yang ambil bantal saya” tuturnya. Aku tersengih
sambil garu – garu kepala yang tidak gatal. Sedar dengan kesilapanku. Siapa
suruh dia baik hati sangat membiarkan aku menggunakan bantalnya sepanjang
malam.
“Mengapa awak terjaga jam begini? Kan baru pukul 3.00
pagi lama lagi masuk waktu solat subuh. Tidurlah...” keluh Aqel sambil melirik
ke arah jam di atas meja solek itu.
“Saya bermimpi ngeri tadi....” ujarku sambil membaringkan
diri di tilam. Aqel berpaling ke arahku.
“Awak mimpi apa?” soal Aqel. Laju tangannya menutup
mulutnya yang menguap. Mungkin Aqel lewat tidur malam tadi. Mesti dia mahu menghabiskan
buku yang dibacanya. Aku menggeleng. Babak mimpi yang panjang kalau diceritakan
kepada Aqel mesti mengambil masa yang lama. Silap – silap sampai ke subuh pun
belum tentu habis. Kalau diceritakan pasti Aqel akan mentertawakanku. Paling
menakutkan kalau fikiran Aqel menyimpang jauh. Mesti Aqel ingat aku menangis
meraung – raung kerana kecewa ditinggalkannya. Kemudian Aqel akan membuat
kesimpulan mudah bahawa aku telah jatuh cinta padanya. Benak Aqel sentiasa
kreatif.
“Mimpi ngeri ke?” soal Aqel tanpa memandangku. Matanya
terpejam. Tidak sangka dia masih berminat pada mimpiku. Senyap.
“Aqel... andai suatu hari nanti Flora muncul, adakah awak
akan tinggalkan saya?” soalku berhati – hati. Risau mengundang kemarahan Aqel.
Kelopak mata Aqel terbuka luas. Aqel serius menatapku. Seketika aku dan Aqel
berlaga pandangan dengan mulut yang terkunci.
“Dalam mimpi pun awak masih ingat nama ni. Nampaknya awak
betul – betul trauma dengan nama ni” keluh Aqel. Aku hanya mendiamkan diri.
Pertanyaanku tidak dijawabnya. Aqel memejamkan matanya kembali.
“Banyak sangat yang trauma dengan nama ni....” sayup –
sayup aku mendengar suara Aqel berbicara sendiri. Begitu jelas patah demi patah
perkataan yang keluar dari mulut Aqel sekejap tadi. Maksudnya nama Flora ini
telah memberi kesan kepada orang lain? Siapakah mereka? Aqel? Mak Long? Pak
Long? Ingin saja aku ajukan perkara ini kepada Aqel, namun Aqel sudah
berdengkur. Tidak sampai hati pula mahu mengganggu tidur Aqel lagi.
Aku terbaring dengan mata yang terkebil – kebil. Hilang
sudah rasa mengantuk. Aku masih memikirkan bicara Aqel. Kemudian memikirkan
mimpiku. Betapa malangnya diriku. Dalam mimpi pun aku masih ada musuh. Seolah –
olah manusia di sekelilingku tidak mahu aku hidup bahagia. Cepat aku berisghtifar.
Semua itu hanyalah mainan mimpi. Syaitan sentiasa berbisik – bisik pada hati
yang lemah. Bingkas aku bangun lalu melangkah ke bilik air mengambil wuduk. Aku
mengerjakan solat tahjud memohon keampuan Illahi serta keberkatanNya agar kami
sekeluarga hidup dalam limpahan rahmatnya. Maka kupohon juga kesejahteraan
hidup Aqel bersama Mak Long dan gadis yang bernama Flora itu. Andai gadis yang
bernama Flora itu benar – benar wujud, maka aku mengharapkan pertemuaan
dengannya. Pertemuaan yang mendatangkan seribu kebaikan. Kini aku rasa tenteram
dan damai. Lantas kupanjatkan kesyukuran kepada Yang Maha Esa atas kurniaanNya
ini.
“Ya Allah.... sesungguhnya, Engkau yang mempertemukan
jodohku dengan Aqel dengan apapun alasannya. Aku redha ya Allah....” bisik hatiku
penuh kepasrahan.
Alhamdulillah.... Aku baru saja usai solat subuh yang
diimankan oleh Aqel. Tenang hati dapat melaksanakan kewajipan diri. Tatkala
Aqel menghulurkan tangannya, aku menunduk lantas mengucup tangan Aqel. Dalam
diam cuba memohon restu dan keredhaan suami dalam segala hal.
“Awak tak tidur sebab memikirkan mimpi awak” ujar Aqel
sambil merenungku. Aku membisu. Pandangan Aqel masih tidak beralih dari
wajahku.
“Tak perlu awak bebani fikiran awak dengan nama tu. Flora
tak de kena mengena dengan hal kita” ujar Aqel. Mungkinkah ini jawapan Aqel
untuk pertanyaanku yang belum dijawabnya itu. Jawapan yang tidak jelas dan
tidak memuaskan hatiku. Aqel memalingkan mukanya dari pandanganku. Ligat saja tangannya
melipat sejadah itu. Aqel berpaling ke arahku lagi. Sejenak aku dan Aqel saling
berpandangan.
“Awak menyesal meninggalkan Haqem?” soal Aqel menyentakkanku.
Nama Haqem meniti di bibir Aqel sekian kalinya.
“Saya menyesal membuatkan Haqem bersedih kerana saya” tuturku.
Biarlah Aqel memikirkan sendiri bicaraku ini. Dia cukup bijak mentafsirkannya. Aqel
tidak bersuara lagi. Begitu juga aku. Diamku dan diam Aqel bersatu. Diam yang panjang.
salam ramadhan semua.... ketahuilah banyak lagi unsur suspen akan anda temui tatkala semakin byk anda baca novel ni... jgn mare ye.....
ReplyDeletewah.... sape la agaknya flora tu kan.... x sabar nak thu nih...
ReplyDeleteKesian Lia banyak sangat dugaan yang dia kena lalui...
ReplyDeleteIman Ssi .. Nak n3 niy jugak.. Bila bole baca eh.. Hee :) Walaupun i bukan peminat tegar artis korea... Tapi i niy pengagum DIA (ALLAH Ta'alaa ) Subhanallah.. Tiap pandang wajah artis korea niy .. kelu lidah .. Ini baru umat akhir zaman (walo mereka ada yg buat surgery) bagaimana dengan Baginda Rasulullah ,nabi yusuf.. Allahuakbar.. Tak dapat bayangkan .. Astaghfirullah..
ReplyDeletebila nk smbung??
ReplyDelete