“Mama jangan risau, kalau kerana cikgu seorang ni, pasti Nia akan buat betul – betul. Nia yakin group Nia akan johan dalam kuiz tu nanti” tuturku serius dengan semangat berkobar – kobar.
“What?”
Mama sedang menatapku. Alamak, aku terlepas bicara pula! Deria telinga mama cukup teliti. Pasti bicaraku sebentar tadi sudah diproses sepantas kilat oleh minda mama. Otak bergeliga mama memang sentiasa bekerja.
“Cikgu Sejarah Nia ni memang pandai mengajar. Mudah je nak faham. Dia ada bagi tip – tip cara nak jawab soalan kuiz tu” tuturku memberi penjelasan lebih detail agar tidak timbul sebarang prasangka mama.
“Kalau macam tu suruh ler cikgu tu ajar Nia semua subjek agar semua dapat A” tingkah mama seakan menyindirku.
Aku tersenyum sendiri. Alangkah bahagianya andai bicara mama suatu kenyataan. Tidak perlulah aku memendam rindu untuk menatap seraut wajah kacak itu. Ketika itu juga aku pasti bertungkus – lumus untuk menguasai semua subjek kerana aku tidak mahu mengecewakan cikgu pujaan hati pengarang jantungku itu. Sesungguhnya kejayaan dan kecemerlangan pelajar merupakan kebanggaan seorang guru.
“Jom balik” suara Dennis Lee memecah kesepian.
Aku melirik jam ditanganku. Masih awal lagi. Kemudian pandanganku beralih semula pada dada buku Sejarah yang sarat dengan maklumat – maklumat penting yang perlu aku simpan dalam memori ingatanku.
“Aku nak habiskan baca bab ni. Kau balik ler dulu” arahku.
Tinggal aku dan Dennis Lee saja yang berada di dalam kelas ini. Teman – teman yang lain sejam yang lalu sudah balik. Dennis Lee masih tidak berganjak dari tempat duduknya di depanku ini. Begitu setia menemaniku tanpa dipinta.
“Nampak bersungguh – sungguh awak demi Cikgu Elvart Hee tu” tuturnya tersengih menatapku.
“Sudah semestinya. Sebab pertama memang disebabkan Cikgu Elvart Hee. Kedua, sebagai wakil sekolah aku membawa amanah yang besar untuk mengangkat maruah sekolah di khalayak umum” tuturku bersungguh – sungguh.
“Wah, caya ler dengan awak!” tuturnya seolah – olah kagum dengan semangat membaraku.
“Awak minat sangat dengan Cikgu Elvart Hee ye” komennya.
Aku mengangguk. Semua rakan sekelas tahu yang aku minat dengan cikgu muda itu. Namun setakat mana kesukaanku kepada cikgu itu, semuanya di luar pengetahuan mereka. Hanya aku saja yang tahu.
“Awak menyukai dia melebihi sepatutnya kan?” duga Dennis Lee lagi.
“Melebihi sepatutnya?” kuulang semula perkataan itu.
Terasa janggal aku mendengarkannya. Dari bicara ini nampak sangat perbuatanku itu merupakan satu kesalahan dan sepatutnya tidak boleh dilakukan. Salahkah berkasih sayang sesama insan di alam fana ini? Statusku inikah yang jadi penghalang untuk aku menyemai perasaan kasihku kepada seorang guru melebihi kasih pelajar – pelajar lain. Sungguh aku tidak mampu mengawal perasaanku ini.
“Awak sukakan Cikgu Elvart Hee bukan seperti seorang pelajar sukakan
gurunya, tapi awak menyukai dia ibarat seorang kekasih memuja kekasihnya” luah
Dennis Lee tanpa berselindung lagi. Bicaranya sudah tidak berkias – kias lagi. Semuanya terang dan jelas. Aku menatap wajahnya. Aku tidak menduga yang dia sebegitu jauh mampu menyelami gelodok perasaanku.
“Kenapa awak suka sangat dengan cikgu tu? Agaknya awak ni suka tengok cite Hong Kong dan Korea. Cikgu tu kan meniru gaya aktor sana” ujarnya bersoal – jawab sendiri lengkap dengan andaiannya sekali.
Terbayang di mataku rambut keperangan Cikgu Elvart Hee yang lurus mencecah bahu, panjang sedikit di depannya lalu disikat penuh gaya. Cukup sepadan dengan cara berpakaiannya. Agaknya dia ikut trend fesyen dari Korea seperti yang Dennis Lee katakan.
“Bila tengok muka dia aku dapat rasakan ada satu perasaan luar biasa yang indah. Bila jumpa cikgu tu, aku rasa happy sangat” luahku tanpa segan silu.
“Ni dah kes berat ni. Awak sedang dilamun cinta. Wahai, sahabatku segeralah engkau sedar dari mimpi – mimpi yang indah ini! Sesungguhnya, engkau sedang dibuai perasaan yang boleh membawa kemudaratan diri” ujar Dennis Lee seakan – akan orang yang sedang berfirman dalam hadis.
Bicara Dennis Lee sememangnya tepat. Dalam diam aku telah jatuh cinta kepada cikgu itu. Aduh, dahsyatnya! Kalau semua ini sampai ke pengetahuan mama, pasti dia akan mengamuk besar. Aku tidak dapat menjangka reaksi yang bakal mama tunjukkan. Silap – silap pertimbangan mahu dibunuhnya aku.
“Aku rasa aku memang telah jatuh cinta dengan Cikgu Elvart Hee. Ini ler cinta pertamaku” tuturku bersahaja tetapi cukup bermakna dalam diriku.
“First Love?” soalnya Dennis Lee semula.
Aku mengangguk. Aku fikir sekejap lagi perlian pedas Dennis Lee akan dilemparkan kepadaku seperti kelazimannya. Sesaat, seminit, sekejap lagi, tatkala aku melihat mulutnya sudah terkuak untuk bersuara.
“Kenapa awak tak boleh jatuh cinta kat aku sedangkan aku tidak jauh bezanya dengan Cikgu Elvart Hee, nama pun hampir sama. Cuma kulitku tidak seputih kulitnya. Kalau diamati betul – betul aku lebih handsome daripada dia. Tengok je sepasang mataku yang tajam dan bulu mata yang melentik ni. Ramai gadis yang kirim salam kat mataku ni tau” ujarnya berjela – jela mempromosi diri sekaligus memesongkan sangkaanku.
Aku tertawa besar mendengar bicaranya itu. Pandai pula dia berlawak. Sememangnya bicaranya berasas. Dia bolehlah dikategorikan lelaki tampan hasil perkahwinan kacukan Cina – India. Namun hatiku tiada untuknya. Keakraban kami adalah atas dasar persahabatan.
“Kau boleh ke kahwin dengan gadis Melayu?” soalku mengusik.
Setahuku keluarganya berpegang teguh pada agama nenek moyangnya. Dennis Lee pun boleh dikira sebagai penganut yang setia. Kebetulan pula dia anak tunggal sepertiku. Soalanku tidak dijawab. Dia hanya tersenyum.
“Cikgu Elvart Hee tu nak ke juga kahwin dengan gadis Melayu?” soal Dennis Lee buat aku terdiam seketika.
Tidak pernah pula soalan itu terlintas difikiranku. Walaupun aku begitu kemaruk cinta dengan Cikgu Elvart Hee, tidak pernah pula aku terfikir untuk berkahwin dengan dia. Perkara itu masih jauh untuk difikirkan. Apa yang aku tahu Cikgu Elvart Hee adalah cinta pertamaku. Cinta yang berputik dalam diam. Cinta yang tidak mengharapkan sambutan, tapi sudah cukup membahagiakan hatiku.
“Kalau sudah jodoh mesti dapat hidup bersama. Kan kita ni 1 Malaysia” balasku tidak pasti berbaur gurauan.
Aku dan Dennis Lee ketawa. Perasaanku terhadap Cikgu Elvart Hee sudah jelas dan pasti. Malah Dennis Lee juga telah mengetahuinya. Harap – harap semua ini biarlah menjadi rahsia antara kami berdua. Cukuplah sekadar menjadi kisah indah dalam hidupku ketika usia remaja kian berganjak. Cinta monyet yang indah untuk aku kenang suatu hari nanti. Ataupun bakal menjadi cinta azali, andai ditakdirkan Cikgu Elvart Hee sudi menyambut huluran cinta suciku ini. Amin. Aku tersenyum sendiri.
“Kalau kita berdua yang kahwin, baru mencerminkan 1 Malaysia, ada darah Melayu, darah Cina dan darah India” tambah Dennis Lee lagi.
Sekali lagi kami tertawa sama – sama. Dennis Lee dan Nia Deliya, satu gabungan nama yang tampak senada. Namun nama ini tidak akan bersatu dalam melayari bahtera cinta.
“Andai ditakdirkan cinta awak pada Cikgu Elvart Hee kesampaian, awak nak bagi dia nama apa?” soal Dennis Lee lebih jauh.
“Amir Hamzah, seorang pahlawan Islam yang gagah perkasa, mati syahid di medan peperangan. Sanggup mati kerana cintanya pada Islam” tuturku penuh perasaan seraya tersenyum membayangkan sesuatu.
“Amir Hamzah .... Sanggup mati kerana cintanya.....” Dennis Lee turut sama menyebut nama tu.
Dari sinar matanya bagaikan dia juga turut membayangkan sesuatu. Amir Hamzah satu nama yang cukup indah dan perkasa. Amir Hamzah adalah nama dambaan hatiku.
No comments:
Post a Comment