BAB 73
Aqel menatap kereta BMW yang baru sahaja berhenti di
depan pintu utama bangunan KDUT. Tetamu yang tidak asing namun mengundang
kehairanannya. Sudah sekian lama Datin Sofea tidak menjejakkan kaki ke KDUT.
Sejak dia bernikah dengan Lia, Datin Sofea sudah kurang berminat hendak
berkunjung ke situ. Hatinya tidak tenang. Dicapai iPhone dari saku slacknya.
Nombor iPhone gadis itu ditekan.
Tidak diangkat. Dicuba lagi. Perkara yang sama berulang. Daun pintu ditolak
lantas Aqel mengunjurkan kaki keluar. Dia tercengat di sebelah keretanya dengan
mata yang liar memandang deretan kereta yang berada di laman pakir. Kereta Waja
yang dicari tidak berada di situ. Aqel masuk ke dalam kereta kembali. Dipasang
tali pinggang. Sudah bersedia memulakan pemanduan. Namun hajat itu terbantut
tatkala terpandang kereta Waja yang baru sahaja memasuki kawasan perkarangan
firma KDUT. Gadis itu keluar dari kereta itu bersama budak lelaki.
“Idlan... Apa mereka buat di sini?” Aqel bersoal-jawab
sendiri. Dahinya berkerut.
“Datin Sofea...” Nama ini pula yang tercetus di bibir
Aqel. Aqel terus mematikan enjin kereta. Lantas keluar meninggalkan laman
parkir. Mahu menjejaki kelibat Lia dan Idlan yang sangat mencurigakan. Dia yakin
ada agenda yang telah direncana oleh mereka.
“Encik Aqel belum balik lagi?” sapa Marnie yang
berpapasan dengannya di ruang lobi ini. Aqel hanya tersenyum.
“Haqem dah balik?” tanya Aqel. Marnie mengangguk.
“Sejam yang lalu Encik Haqem dah keluar tadi. Ada urusan
dengan Mr. Lee” jelas Marnie bercakap tentang pergerakan bosnya. Aqel
mengangguk faham.
“Awak ada nampak Flora tadi?” dikemukan pertanyaan lagi.
“Flora?” Dahi Marnie berkerut. Nama yang asing di
pendengarannya. Dia tidak mengenali pemilik nama itu. Namun nama itu sering
didengarnya.
“Oh... Lia! Saya tak nampak pun Lia hari ni” jelas Marnie
tersengih. Baru teringat Aqel akan memanggil sahabatnya itu dengan nama
tersebut.
“Okeylah... tak pe. Saya pergi cari dia sekarang” jelas
Aqel lalu meninggalkan Marnie. Marnie hanya terkebil-kebil menatap langkah laju
Aqel yang menghala ke bilik operasi gadis yang sedang dijejakinya itu. Hairan.
Laju tangannya mencapai iPhone lalu
menghubungi Lia. Namun panggilan ini tidak dijawab. Lantas ditulis pesanan
ringkas buat gadis itu. Seminit kemudian pesanan itu selamat dihantar. Marnie
meneruskan langkahnya ke muka pintu. Lupa tentang perlakuan pelik sepasang
suami isteri itu.
Langkah Aqel mati di depan pintu itu. Diketuk beberapa
kali. Sunyi. Lalu dipusing tembol pintu. Nyatanya berkunci. Dia yakin Lia dan
Idlan tidak berada di dalam bilik itu. Lantas dipanjangkan langkahnya ke
pejabat Haqem. Mahukan kepastian. Mungkin juga dia akan bertemu dengan Datin
Sofea di situ. Bicara Marnie benar. Dari ambang pintu utama itu dia sudah
nampak bilik pejabat Haqem gelap. Haqem mahupun sesiapa tidak berada di sini
sekarang. Beberapa minit berlalu, Aqel masih terpacak di ambang pintu itu.
“Ke mana kalian pergi?” suara Aqel melontar pertanyaan.
Benak Aqel ligat berfikir. Terdetik kebimbangan di hatinya. Risau sesuatu yang
buruk menimpa Lia dan Idlan. Dia tidak mahu berlengah lagi. Lantas pencarian
itu diteruskan.
Aku melawan pandangan tajam Datin Sofea sambil
menggenggam erat jemari halus Idlan. Aku masih menggantung harapan yang tinggi
agar Datin Sofea boleh mencuruh kasih-sayangnya pada Idlan. Berjuang sehingga
ke titisan terakhir.
“Datin dah tengokkan kad-kad yang arwah tulis untuk
datin” ujarku berhati-hati menutur kata. Cuba tidak mahu menghangatkan hati
perempuan ini. Diam. Datin Sofea masih tidak bersuara. Hanya sekadar mempamer
wajah seriusnya. Tidak pernah Datin Sofea tersenyum ikhlas kepadaku.
“Saya harap datin akan maafkan segala kesalahan dan
kesilapan arwah sebagai anak. Saya mohon juga kesudian datin menerima Idlan
sebagai cucu datin” tambahku berbicara.
“Kamu ni kan memang tak faham bahasa” Datin Sofea
mendengus kasar. Matanya terbuka luas. Ada kemarahan yang mahu dilempiaskan.
Mudah-mudahan bicara dan tingkahlaku perempuan ini tidak mengguris hati Idlan.
“Maaf datin... saya nak datin mengenali lebih rapat anak
arwah. Idlan dah tak de siapa-siapa lagi di dunia ni selain datin dan Haqem.
Dia dah kehilangan ibu bapa dan kakak-kakaknya” tuturku perlahan. Bimbang juga
mengundang kesedihan Idlan kembali. Namun aku berusaha meraih simpati Datin
Sofea buat cucu tunggalnya ini.
“Siapa kamu nak mencampuri urusan keluarga saya?” bentak
Datin Sofea kasar. Hatinya langsung tidak tersentuh dengan bicaraku. Aku yakin
Datin Sofea sendiri sudah membaca kad-kad yang ditulis oleh arwah. Pasti arwah
ada mencurah kisah sedihnya di situ. Rasanya Haqem juga telah menceritakan kejadian
tragedis yang menimpa keluarga arwah kepadanya. Cerita sedih yang perlu
dikongsi bersama.
“Datin... niat saya ikhlas. Saya nak tolong Idlan dan
arwah menyatukan ikatan keluarga yang terpisah sejak sekian lama. Saya yakin datin
sebenarnya kesunyian. Anak-anak tak de di sisi. Tiada teman berbicara dan
berkongsi cerita” ujarku memberikan andaian. Datin Sofea tergelak besar. Dia
tersenyum sinis.
“Saya tak perlukan semua itu. Hidup saya tenang tanpa
memikirkan orang lain. Saya tak nak hidup saya terganggu dengan adanya orang asing
bersama saya. Rimas...!” bentak Datin Sofea kasar. Terasa renjatan tangan
Idlan. Aku menatap wajah anak kecil ini. Dia terkedu.
“Siapa budak lelaki ini? Saya tak mengenalinya dan saya
tak ingin mengenalinya” tegas Datin Sofea garang. Kugenggam erat tangan Idlan.
Cuba memberi kekuatan pada dirinya agar tabah menerima kata-kata kesat Datin
Sofea. Anak mata Idlan berkaca-kaca. Aku tahu hatinya hancur saat ini. Bicara
Datin Sofea melukai perasaannya.
“Sampai hati datin cakap macam tu. Kasihan Idlan” keluhku
kecewa. Hiba hatiku menatap kesayuan di wajah Idlan. Datin Sofea mendengus
kasar. Langsung tidak terusik hatinya menatap kesedihan Idlan tika ini.
“Saya datang di sini sebab saya nak beri peringatan
kepada kamu. Kalau kamu tak nak budak ni terluka lagi, berhentilah mengejar saya.
Kalau kamu masih berdegil juga... kamu tanggunglah akibatnya nanti. Saya jamin
budak ni akan lebih terluka. Tolong nasihatinya agar jangan berangan-angan
lagi. Perkara yang terjadi akan tetap terjadi dan takkan berubah sama sekali”
tegas Datin Sofea tanpa belas kasihan. Keangkuhan yang menggunung. Keegoan yang
tinggi. Dia sejelas-jelasnya menyatakan bahawasanya dirinya tidak memerlukan
kehadiran Idlan dalam hidupnya.
“Datin...” Aku terkedu. Tidak menduga Datin Sofea sanggup
mengeluarkan bicara sedemikian di depan Idlan, anak kecil yang mengharapkan
kasih-sayangnya selama ini. Cucu yang mendambakan kasih-sayang ahli keluarganya.
Oh... kejam sungguh perempuan ini! Syukurlah Allah berikan aku seorang ibu yang
terbaik di dunia ini! Ibu yang tidak pernah surut kasih-sayangnya pada
anak-anaknya. Ibu yang sentiasa mencurah perhatian pada anak-anaknya. Hidup
tabah demi zuriatnya. Tidak pernah mengalah walau dihujani pelbagai rintangan.
Tetap menjadikan kehidupan yang membahagiakan bersama anak-anak.
“Ingat baik-baik apa yang saya katakan tadi” tegas Datin
Sofea memberi peringatan. Lantas melewati aku dan Idlan yang terkesima
mendengar bicaranya. Datin Sofea tiada kesudian memandang Idlan sedangkan
pandangan mata anak kecil ini tidak beralih menatapnya. Lambat-lambat aku
berpaling ke arah Idlan. Bagaikan tiada kekuatan hendak memandangnya. Aku tahu
Idlan terkilan dengan sikap Datin Sofea. Cerita-cerita indah yang keluar dari
mulut Idlan sepanjang perjalanan tadi hancur lebur. Tiada yang benarnya.
Semuanya hanyalah impian yang tidak terlaksana.
“Kamu okey?” tanyaku dengan berat hati. Idlan menatapku
dengan mulut terkunci.
“Jangan ambil hati akan kata-kata nenek kamu tadi. Dia
perlukan masa. Kamu mesti sabar menunggu” ujarku menyuntik semangatnya. Aku
masih memberi harapan pada Idlan. Betulkah tindakanku ini? Perasaanku
berbelah-bahagi. Aku sama sekali tidak akan mengajar Idlan membenci Datin
Sofea.
“Mak Usu...kejamnya nenek... Dia buat saya terluka” luah
Idlan bersama deraian air matanya yang mengalir perlahan-lahan. Dia tidak mampu
membendung air mata itu lagi. Aku terus sahaja memeluk tubuh Idlan cuba mendamaikan
perasaannya. Namun tidak mampu menghalang tangisan Idlan yang kian kuat. Sekelip
mata sahaja aku pun turut menangis.
“Maafkan... Mak Usu. Semua ini salah Mak Usu. Mak Usu tak
mampu pujuk dan lembutkan hati nenek kamu. Datin Sofea memang tak sukakan Mak
Usu...” tuturku dalam tangis. Aku merasakan kedegilan Datin Sofea ada kaitan
denganku. Jikalau dia mudah menerima Idlan persis dia fikir dirinya tunduk
padaku. Mengapalah aku tidak berfikir panjang tentang perkara ini? Bukan aku
yang layak mempertemukan Idlan dengan Datin Sofea. Haqem yang harus melakukan
semua ini. Sepatutnya aku menolak permintaan Idlan itu. Sepatutnya juga Idlan
tidak bergantung harapan kepadaku. Sekarang semuanya telah musnah. Aku bersalah
kepada Idlan.
“Memang salah awak...!” suara tegas lelaki mencelah.
Serentak aku dan Idlan mendongak. Aqel serius menatap kami.
“Berhenti menangis sekarang...!” suara Aqel garang. Aku
dan Idlan terkedu.
“Cepat bangun...!” arah Aqel lantang. Pelukanku pada
Idlan terlerai. Aku mengetap bibir. Cuba menahan gelodak perasaan. Cukuplah
dengan kemarahan Datin Sofea. Tidak sanggup lagi berhadapan dengan kemarahan
Aqel pula.
“Sapu air mata tu...” arah Aqel. Aku dan Idlan patuh
sahaja.
“Sudah lewat ni. Awak hantar Idlan balik sekarang” arah
Aqel lagi. Aku mengangguk. Kutarik tangan Idlan meninggalkan taman kecil di
atas bumbung bangunan KDUT ini sambil diperhatikan oleh Aqel yang masih berdiri
di situ. Aqel menghela nafas lega. Tiada perkara yang membimbangkan berlaku.
Kemudian dia menyusuli langkah Lia dan Idlan.
Dari cermin pandang belakang ini, aku menatap kereta Peugeot RCZ
Sports Coupe yang dipandu Aqel
masih mengekori rapat kereta Waja ini. Mungkinkah Aqel meraguiku sehingga
memaksa dirinya mengiringi perjalanan ini. Mak cik Tijah keluar menjemput
Idlan. Tidak sempat aku hendak bertegur-sapa dengannya tatkala memandang wajah
sugul Idlan. Sekadar bahasa isyarat yang kuhantar kepadanya. Mak cik Tijah
mengangguk faham dan sekilas senyuman terukir di bibirnya. Aku meneruskan
pemanduan balik ke rumah. Seperti tadi, Aqel masih mengekoriku. Memang Aqel
mahu pulang bersamaku. Aku langsung tidak terlepas daripada pengawasan matanya.
Kupandang wajahku di cermin. Kusapu sisa-sisa air mata.
Namun jelas bebola mataku kemerahan selepas berpadu tangis dengan Idlan tadi.
Tidak mahu menimbulkan persoalan mak. Hatiku tersentuh lagi tatkala teringat
pada Idlan. Dia memang bersedih dengan kedinginan Datin Sofea. Aku tersentak
dengan ketukan jari Aqel di cermin tingkap ini. Kuturunkan cermin kereta.
“Awak tak nak keluar?” tanyanya dengan pandangan tajam
merenungku. Aku terkedu.
“Suka sangat buat orang risau” ujar Aqel geram lantas
meninggalkan aku menghala langkahnya ke pintu. Aku melepaskan keluhan berat.
Tiada yang dapat disembunyikan daripada Aqel. Aku menolak daun pintu perlahan.
Langkahku longlai. Kedengaran suara mak dan Aqel berbual-bual di dapur.
“Lia, mari minum” panggil mak mempelawa.
“Maaf... Lia nak solat dulu” sahutku menolak ajakan mak.
Aku melangkah ke tangga. Mahu segera ke bilik. Lemah seluruh tubuhku. Aku
melempar tubuh ke tilam. Mahu merehatkan diri seketika. Kupandang hamparan
siling yang memutih. Kepiluan masih mencengkam hati.
“Saya tak perlukan semua itu. Hidup saya tenang tanpa
memikirkan orang lain. Saya tak nak hidup saya terganggu dengan adanya orang
asing bersama saya. Rimas...!” suara Datin Sofea mendatangiku kembali. Dia anggap
Idlan orang asing. Sungguh memilukan.
“Siapa budak lelaki ini? Saya tak mengenalinya dan saya
tak ingin mengenalinya” suara Datin Sofea bertindih-tindih mendatangiku.
Terbayang deraian air mata Idlan yang menyayat hati. Bicara Datin Sofea melukai
perasaannya. Aku memejamkan mata. Terasa hangat mengalir di pipiku. Mendengar
bunyi derap langkah, pantas aku bangkit meninggalkan perbaringanku. Aku ke
bilik air mengambil wuduk lalu mengerjakan solat asar. Usai melafaz salam kedua,
kutadah tangan mohon hajat kepada Ilahi. Kupanjat kebahagiaan buat Idlan.
Mudah-mudahan impiannya diperkenan yang Maha Esa. Aku menangis lagi. Tidak
mampu membendung rawan hatiku.
“Belum cukup awak menangis tadi?” suara sinis Aqel
menegur. Aqel tiba-tiba sahaja muncul di bilik ini. Dia sudah berdiri di sebelahku
sedang menatapku. Aku mengetap bibir
menahan gelodak perasaan. Pandangan Aqel janggal.
“Suka hati saya nak tumpahkan air mata ini sebanyak mana
pun” sahut suara kecilku namun tidak mampu aku luahkan. Tersekat di kerongkong.
Aqel tidak sedar betapa aku kecewa dengan sikap Datin Sofea yang terlalu kejam
melayan Idlan sedemikian. Kalaupun ada dendamnya kepada arwah suami-isteri
tidak bermakna dia harus melempiaskan kepada Idlan. Idlan hanyalah anak kecil
yang berjiwa kental dan berhati mulia. Bersemangat waja merealisasikan impian
bonda yang dikasihi. Nun jauh di sudut hatinya, Idlan hanyalah anak kecil yang
manja yang dahagakan kasih- sayang dan perhatian ibu bapa dan keluarganya.
Kasihan Idlan.
Kukesat sisa-sisa air mata di pipi. Kupandang Aqel.
Kebetulan Aqel sedang menghala pandangan ke arahku memerhatikan tingkahlakuku.
Beradu pandangan seketika. Aku menarik nafas dalam-dalam.
“Aqel...saya dah bersedia jadi ibu Idlan. Saya akan jaga
dan layan dia seperti anak saya sendiri. Saya akan curahkan seberapa banyak
kasih-sayang yang diperlukannya dan akan sentiasa berada di sisinya” tegasku. Aqel
menatapku dengan pandangan kosong. Mulutnya terkunci. Tiada kata-kata yang keluar dari mulut Aqel lagi.
Keputusanku ini pasti telah mengejutkan Aqel.
Terjaga sahaja dari tidur subuh ini, Aqel tiada di
sebelahku. Cadar masih kemas. Bantal tersusun. Bantal peluk statik di
tengah-tengah katil. Langsung tidak bergerak dari sempadan yang ditetapkan.
Barangkali Aqel tidak tidur di katil ini. Kulontar pandangan ke arah sofa panjang
di sudut bilik ini. Kosong. Aqel tidak berbaring di situ. Namun buku yang Aqel
baca semalam masih berada di atas meja. Ke mana Aqel menghilang subuh-subuh ini?
Aku tertanya-tanya. Mungkin juga sedang menemani mak di dapur menyediakan
sarapan seusai solat tadi. Bingkas aku bangun mahu segera mengerjakan solat
subuh.
Usai solat subuh, aku melangkah ke dapur. Kelihatan mak
bersendirian di sini. Sudah menjadi rutin mak menyiapkan sarapan untuk keluarga
ini sebelum kami keluar ke tempat kerja. Kuperhatikan mak yang sedang
membelakangiku. Kupanjatkan kesyukuran yang berpanjangan lantaran aku
dianugerahkan Allah seorang ibu mithali yang sangat hebat. Dalam banyak keadaan
Haqem nampak sangat sempurna kerana memiliki segala-galanya. Namun dari
kasih-sayang seorang ibu Haqem tidak seberuntung aku. Aku melepaskan keluhan
berat. Simpati kepada Haqem, arwah Harianie dan Idlan. Mudah-mudahan Datin
Sofea akan berubah menjadi ibu yang baik sebelum terlewat.
“Hey... awal kamu bangun” suara mak menyentakkanku.
Kusambung langkah ke dapur. Aku
tersenyum menatap mak.
“Mak... Lia nak cakap sesuatu pada mak” tuturku buat dahi
mak berkerut. Nampak pelik perangaiku awal pagi ini. Aku mendekati mak. Lantas
berdiri di depan mak. Kupegang kedua-dua tangan mak erat. Cuba memindahkan kekuatan
mak pada diri ini.
“Kenapa ni?” tanya mak hairan.
“Terima kasih sebab jadi ibu Lia. Lia bersyukur kerana
memiliki ibu yang penyayang seperti mak. Mak tabah dan sabar membesarkan kami
bersendirian. Mak ialah ibu yang terbaik yang tiada tandingan di dunia ini. Lia
sayang mak” luahku serius lantas memeluk tubuh mak. Mak mengusap-usap lembut
belakangku. Sebak kurasakan tika ini.
“Suatu hari nanti saya ingin jadi ibu sebaik mak”
bisikku. Mak mengangguk-angguk.
“Lia akan jadi ibu yang lebih baik dari mak” ujar mak
merendah diri. Pelukanku dengan mak terpisah. Tangan mak membelai lembut
rambutku. Mak tersenyum.
“Kenapa ni?” tanya mak sangsi dengan tingkahlaku. Aku
senyum dan geleng kepala.
“Ada yang tak kena?” duga mak.
“Di luar sana ramai anak yang tak dapat kasih sayang
ibunya. Betapa beruntung hidup Lia yang dilimpahi kasih sayang mak dan ada
keluarga yang prihatin, sentiasa memberi sokongan” tuturku jujur.
“Alhamdulillah...
keluarga kita dilimpahi kasih sayang” tutur mak tersenyum.
“Syukur...” tambahku. Harta kekayaan tidak menjamin
kebahagiaan di dunia. Sebaliknya kasih sayang memberi kekuatan kepada kita
untuk hidup lebih senang dan bahagia.
*****************************************************
“Last minute saya
tempahan tiket Encik Aqel ke Paris. Mujur juga sempat” ujar Marnie berkongsi
cerita. Aku hanya mendengarkannya. Maklumat daripada Marnie ini telah
menjelaskan kehilangan Aqel subuh tadi. Ada masanya Aqel bagai biskut chipmore. Sekejap ada sekejap hilang. Tiada
yang menghairankan perkara ini.
“Awak janganlah marah sebab ditinggalkan Encik Aqel. Jangan
manja sangat. Aqel pergi sekejap saja” ujar Marnie tersengih mengusikku. Aku
mempamerkan wajah kosongku.
“Semuanya tak dirancang. Encik Aqel terpaksa menggantikan
Encik Haqem yang ada hal kecemasan. Dengar-dengar anak arwah kakaknya yang di bawah
jagaannya sakit” jelas Marnie panjang lebar. Aku tersentak. Mula tidak
tenteram.
“Idlan sakit?” tanyaku meminta penjelasan. Marnie
mengangguk.
“Oh... baru saya ingat. Budak tu manja dengan awakkan”
tambah Marnie.
“Serius ke?” tanyaku cemas.
“Kalau Encik Haqem dah batal perjalanan dia pasti demam
budak tu teruk” ujar Marnie membuat tafsiran sekali gus menambah kerisauanku. Aku
terpaku. Benakku menerawang memikirkan Idlan. Aku rasa bersalah. Idlan sakit
kerana kegagalanku. Hasrat Idlan tidak tercapai. Kecewa yang mendalam yang
tidak mampu ditanggungnya. Akhirnya Idlan jatuh sakit. Laju sahaja tanganku
mencapai iPhone lantas membuat
panggilan. Marnie hanya memerhatikan gelagatku.
“Assalamualaikum...” sapaku tatkala mendengar suara Haqem
menjawab panggilan. Salamku bersambut.
“Apa hal, Lia?” tanya Haqem. Mudah sahaja Haqem mengenali
suaraku. Mungkin juga nombor telefonku tidak pernah dipadamkan oleh Haqem.
“Bagaimana keadaan Idlan sekarang? Serius ke?” tanyaku
cemas.
“Idlan dirawat di Hospital Damai sekarang” jelas Haqem.
Aku terpana. Rawan hatiku mendengarkannya. Kasihan Idlan.
“Saya pergi ke sana sekarang” jelasku lantas bangkit dari
kerusi ini. Marnie terkebil-kebil menatapku. Kumatikan perbualanku dengan
Haqem. Tidak mahu berlengah lagi.
“Nak pergi mana?” tanyanya hairan.
“Ke hospital jenguk Idlan. Saya ambil cuti hari ni”
jelasku. Aku mahu bersama Idlan.
“Awak nak ikut sekali?” tanyaku. Marnie menggeleng.
“Saya kena jaga office
ni.Takde sesiapa di sini sekarang” jelas Marnie.
“Okey... awak tunggu di sini. Biar saya seorang yang
pergi” ujarku bersetuju dengan bicara Marnie. Marnie mengangguk.
“Saya pergi dulu” ujarku lalu mempercepatkan langkah ke
pintu. Mahu segera sampai ke Hospital Damai. Tidak sabar-sabar hendak
mengetahui keadaan Idlan. Mudah-mudahan demam Idlan tidak berada pada tahap
yang membimbangkan. Alhamdulillah...perjalanan ke hospital lancar. Tiada
berlaku kesesakan di jalan raya kerana waktu pejabat sudah bermula. Seusai
memakir kereta, aku terus menuju ke lif. Tidak perlu ke kaunter pertanyaan lagi
kerana Haqem telah memberikan maklumat lengkap daripada whatsApp yang kuterima dalam perjalanan ke sini. Aku terus
mengunjungi bilik yang menempatkan Idlan menerima rawatan. Kutolak daun pintu
perlahan-lahan kerana tidak mahu mengganggu Idlan berehat. Idlan perlukan rehat
yang cukup. Tatkala aku melangkah masuk, Haqem ada di sini menjaga Idlan. Dia
tersenyum.
“Bagaimana keadaan Idlan?” tanyaku berbisik.
“Deman panas yang serius. Suhu badan masih membimbangkan”
jelas Haqem. Wajahnya muram. Keadaan Idlan merisaukan dirinya.
“Idlan akan cepat sembuh. Dia cukup kuat melawan setiap dugaan.
Awak janganlah susah hati” ujarku menenangkan hati Haqem. Haqem mengangguk.
“Awak dah letih...berehatlah. Biar saya yang tolong jaga
Idlan. Hari ini saya ambil cuti” jelasku. Haqem menatapku. Aku senyum. Sekurang-kurangnya
senyuman ini boleh mengurangkan ketegangan saat ini. Berharap Haqem akan tenang
setenangnya.
“Saya tak sedap hati kalau tak nampak sendiri keadaan
Idlan” ujarku tidak mahu Haqem salah tafsiran. Idlan sakit kerana terpukul
dengan sikap Datin Sofea. Aku tidak mampu menawan hati Datin Sofea. Kebencian
Datin Sofea kepadaku begitu tebal. Aku bertanggungjawab dalam hal ini.
“Terima kasih kerana datang” ujar Haqem.
“Saya takkan biarkan awak bersendirian menghadapi
kesukaran ni. Idlan perlukan sokongan” jelasku. Aku mengerti. Selain rapat
dengan Haqem dan Mak Tijah, Idlan juga rapat denganku. Aku mahu menyembuhkan
Haqem dengan keprihatinanku.
“Awak baliklah ke rumah berehat. Biar saya yang jaga
Idlan di sini. Kita boleh bergilir-gilir jaga Idlan” ujarku. Aku bangkit lalu
berdiri di sebelah Haqem. Sudah bersedia hendak mengambil alih posisi Haqem di
sisi katil dekat dengan Idlan. Mahu mengawasi perkembangan Idlan.
“Okey... saya ke pejabat dulu. Balik dari sana saya akan
terus singgah di sini” ujar Haqem tidak bertenaga. Kupandang Haqem.
“Awak tak nak balik rumah berehat?” tanyaku. Haqem
perlukan rehat setelah sepanjang malam berjaga mengawasi Idlan. Dia juga perlu
menjaga kesihatannya demi Idlan. Dalam usia kecil sekarang Idlan bergantung
hidup sepenuhnya kepada Haqem.
“Ada dokumen yang
perlukan tindakan segera” jelas Haqem. Aku mengangguk. Tiada hak aku hendak
menghalangnya ke pejabat jika sedemikian sudah keputusan Haqem. Haqem mahupun
Aqel, kedua-duanya memberikan komitmen yang tinggi pada kerjaya mereka. Aqel...
sudah sampaikah dia ke destinasi yang dituju? Fikiranku melayang mengingati
Aqel.
“Saya pergi dulu...” Aku sedikit tersentak. Namun cepat
aku mengangguk.
“Kalau ada apa-apa yang membimbangkan jangan lupa call saya” pesan Haqem. Aku mengangguk
berjanji.
“Awak selesaikanlah kerja awak. Awak tak payah risau,
saya akan jaga Idlan sebaik mungkin” janjiku cuba menghilangkan kerisauan
Haqem. Dia menggangguk dan tersenyum.
“Saya tak pernah meragui awak. Saya tahu awak akan buat
lebih baik daripada saya” tutur Haqem yakin. Aku hanya senyum. Keyakinan dan
kepercayaan Haqem kepadaku sangat aku hargai.
“Saya pergi sekarang” jelas Haqem.
“Ya...hati-hati” pesanku mengingatkan dirinya. Haqem
mengangguk dan tersenyum. Dia terus melangkah ke pintu. Sekejap sahaja kelibat
Haqem hilang dari pandangan mata.
Kini... tinggallah aku dengan Idlan berdua di bilik ini.
Sunyi dan sepi. Kupandang lama wajah Idlan. Pucat lesu. Idlan mengerang. Nampak
dia sedang menanggung kesakitan. Hiba dan sebak kurasa tika ini. Kudakap
tanganku di dahi Idlan. Panas membahang. Kucapai besen kecil berdekatan
denganku. Masih ada tuala kecil bersama air yang sudah dingin. Lantas kuangkat
ke sink. Kubilas bersih-bersih tuala kecil ini. Kumasukkan air ke dalam besen
lalu mendapatkan air panas pada bekas air di atas meja kecil ini. Kucampur air
di dalam besan dengan air panas mendidih dari bekas ini. Mahu menjadikan air
suam untuk mengelap dahi Idlan. Kekerapan mengelap akan mengurangkan suhu panas
badan Idlan.
Setelah berpuas hati dengan tahap suhu air yang kucampur
di dalam besen kecil ini, aku mendekati Idlan yang terlantar di katil ini.
Kuletak besen ini di sebelah Idlan. Tidak mahu berlengah, aku terus mengelap
dahi Idlan. Berulang-ulang. Akhirnya kuletakkan tuala kecil yang basah ini di
dahi Idlan. Kini baru nampak Idlan selesa. Kuusap-usap lembut kepalanya.
“Ya...Allah, Engkau sejahterakanlah kehidupan budak
lelaki ini. Perkenankanlah hasratnya untuk menjadi cucu yang terbaik” bisikku
melafaz munajat. Kulepaskan keluhan. Aku memang berharap hati Datin Sofea akan
terbuka untuk menerima kehadiran Idlan dalam hidupnya. Kurenung lama wajah
Idlan. Terasa panas mengalir di pipiku. Cepat kukesat. Terlalu hebat ujian
hidup Idlan dalam usia sekecil ini. Sungguh Allah sangat mengasihinya sehingga
sedemikian berat ujian yang diberikanNya.
Kedengaran bunyi daun pintu ditolak perlahan. Laju aku
berpaling ke pintu. Mak Tijah melangkah masuk sambil melempar senyuman
kepadaku. Aku menyalami Mak Tijah yang sudah berdiri di sebelahku.
“Bagaimana dengan Idlan?” tanyanya dengan suara perlahan.
“Sejak tadi belum bangun-bangun lagi” jelasku. Mak Tijah
meletakkan tangannya ke atas dahi Idlan. Menyukat suhu badan Idlan.
“Dah kurang sedikit berbanding semalam” ceritanya.
“Kamu lap tubuhnya tadi?” tanya Mak Tijah. Aku
mengangguk.
“Patutlah ada kurang panasnya. Kamu memang baik hati,
Lia. Terima kasih” ujar Mak Tijah menyanjungiku. Aku menggeleng.
“Ubat yang doktor beri itu juga berkesan” tingkahku.
Bimbang tafsiran Mak Tijah silap. Mak Tijah tersenyum.
“Kamu memang baik hati. Sentiasa merendah diri” sanjung
Mak Tijah lagi. Segan mendengar bicara Mak Tijah sedemikian.
“Kamu pergilah berehat. Biar mak cik yang jaga Idlan”
arah Mak Tijah. Kutatap jam tanganku. Sudah menghampiri ke pukul 1.00 petang. Masa
terlalu cepat berlalu. Bagaikan baru sekejap sahaja aku berada di bilik ini.
“Okeylah... mak cik, saya balik dulu. Dah masuk waktu
zuhur. Insyaallah malam nanti biar saya yang jaga Idlan. Mak cik baliklah
berehat di rumah” ujarku.
“Tak membebankan kamu ke?” tanya Mak Tijah kurang senang.
Aku menggeleng dan tersenyum.
“Siang biar mak cik yang jaga Idlan. Malamnya pula
giliran saya yang jaga” cadangku.
“Mak cik tak boleh berjaga malam. Kena banyak berehat”
tambahku. Kudrat tua Mak Tijah tidak sekuatku. Usianya tidak mampu berjaga
sepanjang malam.
“Tanggungjawab mak cik berat. Mak cik kena jaga dua orang”
ujarku membicarakan tanggungjawabnya terhadap Haqem dan Idlan seterusnya memancing
persetujuan Mak Tijah terhadap cadanganku tadi. Mak Tijah tersenyum. Tandanya
cadanganku diterima.
“Terima kasih, Lia. Keluarga ni memang banyak terhutang
budi pada kamu” ujar Mak Tijah meluahkan isi hatinya. Aku menggeleng.
“Saya ikhlas membantu mak cik. Idlan dah saya anggap ahli
keluarga saya sendiri. Haqem pun kawan saya dan kawan karib Aqel. Memang patut
saya bantu mereka” tegasku berpaksikan prinsip diri.
“Terima kasih, Lia” Sekali lagi Mak Tijah melafazkan
kalimah ini.
“Saya balik dululah, mak cik” ujarku mengundur diri.
“Hati-hati dalam perjalanan” pesan Mak Tijah. Aku mengangguk.
Bangun dari duduk lantas mengatur langkah ke pintu. Kutinggalkan Idlan bersama
Mak Tijah buat sementara waktu. Dalam perjalanan balik, aku singgah di Pasar
Ria. Hanya sekadar membeli ayam daging segar hendak dibuat sup untuk Idlan. Sup
memang sesuai untuk orang sakit.
Kepulanganku mengundang kehairan mak. Sebaik sahaja aku
menceritakan tentang Idlan, wajah mak muram. Aku berkongsi kesedihan dengan mak
mengenangkan nasib Idlan. Lantas kesempatan yang ada kumaklumkan kepada mak
tentang hasratku mahu membantu Haqem menjaga Idlan di hospital pada sebelah
malamnya. Lalu mak mengingatkan aku agar memohon keizinan daripada Aqel. Aqel
lebih berhak ke atas diriku. Aku berjanji akan menghubungi Aqel.
Melangkah ke bilik ini, kulontar pandanganku ke segenap
ruang dan sudut. Mencari-cari jikalau Aqel ada meninggalkan pesanan. Selalunya
Aqel akan mencoret pada sekeping memo merah jambu lalu menampalnya di cermin
meja solek. Laju aku mengalih pandangan ke situ. Kosong. Tiada sebarang kertas
ditampal di situ. Aqel tidak mahu berkongsi perjalanannya denganku. Kuseluk
poket beg sandangku. Kukeluarkan iPhone.
Laju telunjukku bergerak pada skrin. Tiada panggilan daripada Aqel. Tiada mesej
mahupun whatsApp daripada Aqel. Jauh
sekali Aqel hendak berkongsi pemandangan Kota Paris ketika ini. Mungkinkah dia
kecewa dengan keputusanku? Sebelum melangkah ke bilik air, kuhantar sebaris
ayat kepada Aqel.
~Saya harap awak selamat menjejakkan kaki ke Kota Paris~ Kulepaskan iPhone
ke atas tilam. Aku terus melangkah ke bilik air.
No comments:
Post a Comment