Bab 4
Aku meletakkan buku William H. McNeil yang berkisar tentang Kebangkitan Sejarah Masyarakat Manusia. Malam ini sudah tiba masanya giliran untukku mengulangkaji subjek Sejarah. Sejak aku nekad untuk menjejakkan kaki ke menara gading aku sudah membiasakan setiap detik yang aku miliki akan aku pergunakan sebaik mungkin. Maka kerana itu juga aku mewajibkan diriku agar belajar dengan tekun dengan penuh keredaan.
Sudah menjadi rutin kehidupanku dipenuhi dengan dua perkara utama iaitu bekerja dan belajar. Pada sebelah siang aku akan menghabiskan masaku di Lady Florist sebagai pembantu Kak Sofea manakala kelasku pula bermula dari hari Isnin sehingga Jumaat yang berlangsung pada waktu malam.
Mujur juga diadakan kelas sebegini bagi membimbing individu yang akan menghadapi peperiksaan sebagai landasan ke menara sepertimana impianku. Malah memberikan kesempatan kepada individu yang masih bersemangat untuk meneruskan pendidikan tanpa persekolahan formal. Semuanya tampak sukar dan memenatkan tetapi aku rasa cukup gembira melaluinya.
Aku membaca halaman yang menceritakan tentang kebangkitan Barat disusuli dengan kemunculan Tamadun Mesopotamia, Mesir dan China secara ringkas sebelum aku memberikan penumpuan yang lebih detail bagi setiap topik tersebut.
Aku cukup tertarik dengan kata-kata Confucius iaitu pengasas Confuciusme dan seorang ahli falsafah China sebelum Masihi. “Jika ada kebenaran dalam hati, akan ada keindahan dalam watak. Jika ada keindahan dalam watak, akan ada keselarasan dalam rumahtangga. Jika ada keselarasan dalam rumahtangga, akan ada ketertiban dalam bangsa. Jika ada ketertiban dalam bangsa, akan ada perdamaian di dunia”. Terlalu indah dan penuh makna bahkan konsepnya terkandung dalam watak dan fitrah manusia secara semula jadi dalam semua dimensi.
Aku turut tertarik dengan penekanannya terhadap pendidikan. Confucius melihat pentadbiran yang baik bagi sesebuah negara adalah melalui keupayaan dan kecekapan yang bergantung kepada keturunan, kekayaan, pangkat atau kedudukan seseorang itu. Keupayaan tersebut adalah hasil pengetahuan seseorang yang diperoleh melalui pendidikan yang sesuai, sempurna dan mencukupi. Justeru, pendidikan seharusnya disebar secara meluas dalam sesebuah negara.
Maka tugas pemerintah sebuah kerajaan harus diserahkan kepada mereka yang berpendidikan tanpa mempersoalkan keturunan mereka. Sumber yang aku dapat daripada penulisan Lok Chong Hoe, pensyarah salah sebuah pusat pengajian tinggi.
Aku menggemari ulasan dan komenternya berkaitan dengan Confucius. Tampak jitu dan mantap. Alangkah beruntungnya andai suatu hari nanti aku berpeluang menjadi salah seorang pelajarnya. Paling penting aku panjatkan kesyukuran kerana bernaung di sebuah negara aman dan damai malah tampuk pemerintahannya selandasan dengan falsafah Confucius.
Entah kenapa aku merasakan banyak yang menarik daripada luahan buah fikiran philosopher ini. Beruntunglah bumi China kerana pernah melahirkan guru sehebat ini.
Dalam kelekaan aku membaca Sejarah China, tiba-tiba saja ada sesuatu yang berkaitan dengannya terlintas di fikiranku. Rasanya siang tadi merupakan hari yang paling teruk kulalui. Terasa nyawa dan tubuhku terpisah jauh. Seakan tidak waras aku berfikir dan bertalu-talu persoalan memberati diriku. Semuanya gara-gara pertemuan yang tidak disengajakan antara aku dengan pemuda Cina itu. Sesuatu yang agak misteri.
Aku masih ingat bentuk fizikalnya. Rambutnya berwarna perang, kulitnya putih kapas, tubuhnya tinggi segak. Matanya tidak jelas pada penglihatanku kerana tersembunyi di sebalik kaca mata hitamnya. Tubuh itulah yang terpacak di depan Kak Sofea pagi tadi. Aku yakin dengan pandangan mataku itu.
“Hey....khusyuknya...” satu tamparan singgah di bahuku. Aku mengherotkan muka menahan sakit membuatkan Lina tertawa. Dia sudah duduk di depanku.
“Betul ke kau tengah study nie? Aku tengok asyik terkebil-kebil je” perlinya. Aku tersenyum. Tidak sedar pula Lina memerhatikan gelagatku.
“Kesian aku tengok kau nie langsung tak bagi peluang pada diri sendiri untuk berehat. Belajar dan kerja tulah dunia kau je. Kalau aku macam kau dah lama aku jadi gila” rungutnya. Aku senyum lagi. Bukan sekali Lina meluahkan bicara sedemikian malah sudah acapkali. Aku tahu dia bosan melihat kehidupanku sebegitu.
“Walau apapun aku salute kat kau, bersemangat kental. Aku confident kau akan berjaya” tuturnya menyemarakkan lagi semangatku.
“Thanks” balasku berbesar hati. Sudah sekian lama aku mengenali Lina, malah aku dengannya ibarat adik-beradik. Bahkan rasanya lebih utuh lagi. Aku dan Lina tidak pernah bermasam muka. Hari-hari yang kami lalui penuh dengan kasih sayang.
“Kau betul-betul nak belajar lagi?” soalnya sambil menatapku.
“Yup. Kau kan tahu sememangnya cita-citaku untuk menjejakkan kaki ke universiti tapi malang tika tu kita tak berpeluang, tak cukup kuat seperti sekarang” balasku mengungkit kisah lalu.
“Ya...” sahut Lina perlahan. Masing-masing diam. Barangkali Lina juga sepertiku cuba mengimbau detik itu.
“Nitie, andai kata kita punya keluarga yang sempurna seperti orang lain mesti kita tak hidup beginikan” Aku nampak ada kesayuan di mata Lina.
“Mungkin lebih baik lagi...... dan mungkin juga tidak” balasku tidak pasti.
“Apa yang pasti dan lebih bermakna kita dipertemukan. Kalau kita ada keluarga barangkali persahabatan nie takkan terjalin. Aku takkan kenal siapa Lina” tambahku tersenyum. Lina tersenyum panjang. Wajahnya kembali ceria.
“Macam mana dengan kerja kau?” soalnya mengubah topik perbualan.
“So far so good”
“Really?” soalnya meminta kepastian.
Aku mengangguk. Sememangnya logik Lina bertanya sedemikian kerana sudah beberapa kali aku bertukar kerja. Semuanya bukan disebabkan aku tidak mampu bertahan dengan situasi kerja, sebaliknya percanggahan dengan jadual kelasku kerapkali berlaku. Pilihan utamaku adalah pelajaran, maka aku harus ketepikan kerja. Sekarang aku amat berpuas hati dengan kerjaku di samping seorang bos yang baik hati dan prihatin. Akhirnya dapat juga aku seimbangkan antara kerja dan belajar.
“Pastinya Kak Sofea layan kau dengan baikkan”duga Lina.
“Ya. Aku yakin dia juga akan layan semua orang dengan baik” tambahku. Aku dapat menangkap maksud tersirat yang cuba disampaikan Lina di sebalik bicaranya itu. Semestinya Lina cuba menggaitkan hubunganku dengan Adie. Kak Sofea dengan Adie ada pertalian saudara.
“Adie apa khabar?” soalnya lagi.
“Ok tapi bertambah busy sekarang” ceritaku.
“Aku banyak soalkan. Nampaknya aku nak tahu semua semua perkara yang berkaitan dengan hidupmu” keluhnya tersenyum sendiri.
Aku turut senyum. Barangkali Lina mula menyedari akan sikapnya yang dia sendiri kurang menyenanginya. Mungkin juga dia merasakan aku terkongkong dengan persoalannya yang bertimpa-timpa itu.
“Aku akan berhenti bertanya kalau kau langsung tak bagi peluang aku bercakap” terangnya. Kutatap Lina. Dia senyum lagi.
“Dengan cara kau yang memonopoli perbualan tersebut. Jadi mulut murai seperti aku” selorohnya disusuli dengan gelak tawanya.
Aku turut tertawa. Sudah semula jadi Lina mempunyai banyak bahan untuk dibicarakan. Agaknya pergaulan yang luas dan berhadapan dengan pelbagai ragam manusia menjadi guru terbaik yang mengajar dan melatihnya menyusun bicara tanpa ketandusan.
Tampak sedikit berbeza dengan sikapku. Pergaulanku agak sempit kerana aku hanya akan menghabiskan masaku di tempat kerja dan kelas. Sesekali aku akan keluar bersama Adie dan Lina, orang yang sama yang sudah cukup sebati dengan diriku. Aku tidak banyak sangat terdedah dengan ragam manusia. Ternyata ruang kehidupan itu juga turut mencorak telatah manusia.
Aku semakin menerima hakikat bahawa perbezaan itu adalah sesuatu yang akan memlengkapkannya menjadi sesuatu yang lebih sempurna. Sedikit pertentangan sikapku dengan Lina ternyata telah mengukuhkan persahabatan kami. Aku dan Lina saling melengkapi untuk menyempurnakan kekurangan yang wujud.
“Lina, aku bersyukur ada sahabat seperti kau” luahku jujur seraya memegang erat jemari Lina. Lina tersenyum. Ada air bertakung di kelopak matanya namun pantas dikesatnya. Dia jadi begitu emosional. Aku senyum.
“Apa yang pernah kita lalui adalah sesuatu yang indah” tambahnya menyedarkanku bahawa dia juga turut mempunyai perasaan sedemikian.
“Janganlah sedih. Hari nie aku ada story lucu untuk kau. Satu lagi..... aku nak sahut saranan kau” ujarku berseloroh. Lina tertawa. Suasana kembali ceria.
“Apa dia?” soalnya tidak sabar-sabar.
“Aku dipertemukan dengan seorang pemuda Cina tapi berbeza sikit secara tak sengaja. Orangnya nampak kaya” ceritaku.
“Apa maksudnya tu? Macam mana kamu boleh berkenalan? Handsome tak? Kau nak curang kat Adie ke?” soalnya bertalu-talu. Aku tertawa melihat tindak balas Lina. Betapa aku telah berjaya memancing perhatiannya.
“Banyak soalan yang mana yang aku nak jawab nie?” usikku.
“Jawab semua” perintahnya serius.
“Good-looking. Wajah dia macam Cina tapi ada berbeza sikit dari wajah Cina sebenar” balasku memeningkan kepala Lina. Sebenarnya aku pun tidak tahu bagaimana untuk mengekspresikan wajah lelaki itu setepatnya.
“Lagi?”
“Don’t worry, aku takkan curang”
“Perkenalan kamu?” Kutatap Lina. Betul-betul terasa satu program wawancara sedang berlangsung. Aku menarik nafas panjang. Jarang sekali Lina tertinggal mengikuti cerita-cerita sensasiku. Begitu juga dengan aku. Banyak perkara suka duka yang kami kongsi bersama.
Melihat Lina sudah tidak sabar-sabar untuk mendengarnya, aku terus saja memulakannya dari awal sehingga ke penghujung cerita dan akhirnya disambut oleh gelak ketawa Lina. Dia mentertawakanku lebih-lebih lagi bila saja aku meluahkan keadaanku hari ini. Gara-gara kelancangan mulutku aku sendiri yang diserang rasa ketakutan yang sangat.
“Betul ke dia tu ahli kongsi gelap?” soal Lina meminta kepastian.
“Tak pasti pulak” terangku.
“Kau nie pandai-pandai pulak cakap dia ahli kongsi gelap. Jangan-jangan anak bos kot” ujarnya membuat andaian berdasarkan fakta dariku. Aku diam. Cuba berfikir sesuatu.
“Kalau dia tu ahli kongsi gelap, tak payah nak tunggu esok, time kau marah kat dia tu juga dia terkam kau” tambah Lina menambah keyakinanku. Logik juga kata-kata Lina. Ada sedikit kelegaan di hatiku. Harap-harap aku tidak akan dihantui bayangan pemuda Cina itu lagi.
“Yang pastinya sure dia terkejut beruk bila kau terus saja menyerangnya” luah Lina disusuli gelak tawanya.
Kami sama-sama ketawa. Aku pun tidak menyangka akan bertindak sedemikian. Pada masa itu aku memang betul-betul marah. Sebab itu bila saja aku nampak pemuda itu, aku terus meluahkan kemarahanku kepadanya. Rasanya kemarahanku itu berasas kerana aku melepaskannya kena pada tempatnya. Pemuda itu yang bertanggungjawab mengotorkan bajuku malah boleh membahayakan nyawaku.
“Macam mana kalau kamu terserempak lagi?” soal Lina meminta pendapatku.
“Tak, aku takkan jumpa dia lagi” balasku penuh yakin. Aku tidak ingin dan tidak mengharap akan wujud pertemuan kedua dengannya. Aku dapat merasa akan wujud sesuatu yang tidak kusenangi. Barangkali kehadirannya akan disusuli dengan satu musibah. Aku tidak mahu menjadi mangsa untuk kali kedua.
Ahh....! Kejamnya aku kalau berfikiran sedemikian. Andai dia tahu beginilah persepsiku terhadapnya, pasti aku bakal melukakan hatinya. Yalah.... tampak seolah-olah aku menuduh kemunculannya pembawa bala dan sial. Tidak sepatutnya aku berfikiran sebegini zalim. Maafkan aku... bisik hatiku kecil.
No comments:
Post a Comment