Saturday, 11 February 2012

Milik Siapakah Hati Ini? 2



Bab 2

Agak lewat aku bangun hari ini gara-gara semalam aku bersekang mata untuk menyiapkan kertas tugasan yang perlu dihantar pada kelas malam nanti. Natijahnya pagi ini aku tergesa-gesa menyiapkan diri. Takut terlewat pula nanti. Tidak pasal-pasal menyusahkan Kak Sofea.

Sebagai pekerjanya seharusnya akulah orang yang pertama sampai di situ bukannya Kak Sofea.  Aku tahu Kak Sofea tidak pernah memarahiku malah cukup faham dengan situasiku. Namun aku tidak pernah terfikir untuk mengambil kesempatan atas kebaikannya itu. 
              
          Lina masih lena dibuai mimpi. Tidak sempat untukku memaklumkan kepadanya tentang kepergianku. Aku betul-betul telah kesuntukan masa. Rasanya hari ini Lina kerja shif malam. Justeru tidak perlulah aku kejutkan dia.

Setelah mempastikan pintu berkunci, aku terus saja berlari-lari anak ke perhentian bas. Dalam beberapa minit lagi bas akan sampai. Jika aku tertinggal pastinya aku kena tunggu setengah jam lagi untuk bas seterusnya. Aku berbaris menaiki bas yang baru saja berhenti bersama-sama beberapa orang penumpang lain. Mujur tidak ramai sangat penumpang pagi ini membolehkan aku dapat tempat duduk. Aku menarik nafas panjang. Rasa lega sikit.
                     
                Aku turun di perhentian terakhir. Kutatap jam. Ternyata aku sudah terlewat lebih daripada 10 minit. Sesuatu yang tidak menyenangkan hatiku. Aku berlari-lari lagi bagi menjimatkan masa kelewatanku. Sekurang-kurangnya aku cuba memendekkan masa terlajakku. Dengan penuh berhati-hati aku menyusun larian kakiku. Takut juga terjatuh memandangkan permukaan jalan basah dan licin angkara hujan lebat semalam. Sebelum menyeberang jalan aku menghentikan langkahku, memerhatikan kiri dan kanan. Sebuah kereta sport Honda hitam metalik meluru betul-betul melewatiku. Puppp! Aku terjerit kecil. Sebahagian t-shirt putihku kotor akibat percikan air lumpur dari takungan lopak yang diredah oleh tayar kereta sport Honda tadi.

Shit!” sumpahku geram. Hampir-hampir saja aku menjerit kepada pemuda yang tidak berhemah itu. Riak sangat dengan kereta mewahnya itu. Tanpa mempedulikan pandangan beberapa pasang mata yang agak kehairanan, aku meneruskan langkahku dengan kemarahan yang masih bersisa.

Kira-kira 200 meter untuk sampai ke destinasiku, aku ternampak kereta Honda tadi sedang parking. Tatkala aku berada dekat dengan kereta itu, tiba-tiba keluar seorang anak muda segak berambut keperang-perangan dengan cermin mata hitamnya.

“Lu pandu kereta tak guna mata ke? Lu tengok nie... Semua nie angkara Lu” serangku melepaskan kemarahanku. Dia menoleh. Budak Cina bedebah! Dia tergamam dan menatapku serius. Aku tahu di sebalik cermin mata hitamnya itu dia sedang merenungku. Timbul juga perasaan gerunku. Takut-takut kalau dia dari kalangan ahli kongsi gelap. Pasti dia akan datang mencari aku semula.

What’s going on honey?” tersembul wajah seorang perempuan di tingkap kereta. Agaknya teman wanitanya.

“Lain kali jadilah rakyat yang berbudi bahasa sikit” ujarku memperingatkan pemuda ini lalu melangkah meninggalkannya terpacak di situ. Terasa puas hatiku kerana berkesempatan melempiaskan kemarahan yang terbuku sebentar tadi. Aku mempercepatkan semula langkahku. Nampak Kak Sofea sedang sibuk mengatur pasu-pasu dan jambangan bunga.
 
“Assalamualaikum akak. Maaf terlewat” luahku serba salah.

“Ya Allah apa yang telah berlaku Nitie? Kenapa baju kamu tu kotor? Kamu jatuh ke tadi? Kamu tak apa-apa?” soalnya bertalu-talu dengan wajah yang cemas. Aku geleng kepala dan hanya tersenyum. 

“Kamu pergi tukar baju tu dulu. Dalam almari tu ada t-shirt akak, kamu pakailah” arahnya.

“Terima kasih kak” Mujur juga Kak Sofea bermurah hati meminjamkan bajunya kepadaku. Aku terus saja menukar t-shirtku yang kotor tadi lalu meneruskan tugasku seperti hari-hari yang sudah.

Siap mengatur  bunga-bunga pada setiap kedudukannya, aku terus saja menyemak senarai tempahan di dalam note book. Hari ini ada beberapa tempahan bunga yang harus aku siapkan sebelum pelanggan-pelanggan itu datang.

Anak mataku meneliti beberapa jenis bunga yang perlu digubah. Pantas saja tanganku mencapai bunga mawar yang masih segar mengikut jumlah yang telah ditetapkan oleh pelanggan. Ada juga dalam kalangan pelanggan sendiri yang menetapkan harganya. Jadi aku hanya perlu menyiapkan tempahan itu berdasarkan harga dan jenis bunga yang dipesan.

Hari ini aku hanya perlu mengubah bunga-bunga dalam jambangan tanpa menggunakan bakul, vase, botol mahupun bekas gubahan yang lain. Beberapa helaian plastik lut sinar terdiri daripada pelbagai warna yang berpadanan telahpun aku siapkan sebagai alas bunga-bunga ini nanti.

“Apa yang berlaku tadi Nitie?” suara Kak Sofea memecah kelekaanku pada bunga-bunga yang sedang aku gubah ini. Aku mengalih konsentrasiku pada Kak Sofea yang berada di kaunter. Aku mengeluh kecil. Kesal juga dengan kejadian tadi. Malah satu pengajaran buatku.
 
“Kereta Honda tu punya pasal kak. Hey... bukan.... driver tu yang berlagak sakan. Bawa kereta macam kat litar formula 1” omelku tidak puas hati.

“Mentang-mentang keretanya lawa” rungutku sendirian.

“Syukurlah Nitie tak apa-apa” Aku mengangguk mengiyakan. Kutatap jambangan mawar yang sudah siap digubah di tanganku. Langkah terakhir yang perlu aku lakukan adalah mengikat reben. Aku memilih reben yang paling sesuai. Pantas saja tanganku mencapai reben merah hati. Biar menyerlah agar penerimanya tahu bahawa perasaan si pemberi sedang membara saat ini.

Kuteliti kali terakhir jambangan mawar yang kini sudah siap sepenuhnya. Tiada apa yang perlu diubah suai lagi. Perfect. Kuletakkan di kaunter di hadapan Kak Sofea.

Very nice” puji Kak Sofea sambil menyelitkan kad si pengirim. Aku hanya tersenyum. Terasa puas hati dengan penghargaan yang diberikan.

“Wow 99 kuntum mawar merah. Romantik punya pak we” komenku kekaguman sebaik saja melihat catatan dalam note book. Kak Sofea tersenyum.
 
“Nie mesti nak pikat secret admire” tambahku lagi.

“Alaa... kan hari nie 14 Februari, Valentine Day

“Yelah kak, Nitie terlupalah. Patutlah hari nie tempahan lebih sikit dari hari-hari biasa” Aku meletakkan 99 kuntum mawar merah di depanku penuh hati-hati. Satu kelopak pun tidak boleh gugur. Agaknya jejaka manakah yang romantik ini. Bukan selalu sangat aku gubah bunga sejumlah begini.

“Apa plan kamu hari nie Nitie? Ada candle light dinner?” cungkil Kak Sofea berbaur usikan. Aku hanya senyum. Tiada sebarang perancangan pun. Malam ini aku ada kelas. Mungkin sekadar bertelefon saja. Kebetulan sejak kebelakangan ini Adie sibuk sangat dengan kerjanya.

“ Present yang paling berharga pada malam Valentine Day, bila akak dapat sebentuk cincin dan pada malam tu suami akak lamar akak. Romantik sungguh” cerita Kak Sofea disusuli dengan gelak kecil mengenangkan peristiwa lalu. Tampak wajah Kak Sofea ceria. Pastinya mereka sekarang hidup bahagia.
 
“Akak terus accept?”

Sure. Akak yakin tulah jodoh akak” jelasnya.

“Hidup berumahtangga nie walaupun bukan satu perkara yang mudah tapi kalau tepat caranya, terasa indah. Apatah lagi kalau ada anak-anak penyeri hidup, pengikat kasih” ceritanya terus. Satu pengalaman yang terlalu bermakna untuk kuselik dalam hidupku.

“Suatu hari nanti Nitie akan melalui juga. Jangan risau” usiknya.

“Insya-Allah kak” balasku pendek. Masih terlalu jauh untuk aku mengecapi dunia itu.

“Kalau Nitie dah jadi isteri Adie nanti, akak akan pastikan dia layan Nitie dengan baik” Aku tertawa kecil. Aku tahu niat Kak Sofea ikhlas. Rasa bersyukur dan terhutang budi kepada Adie kerana telah mempertemukan aku dengan Kak Sofea.

“Adie tu dah macam adik akak sendiri. Begitu juga dengan Nitie. Kalau Adie ada buli Nitie cakap je kat akak, jangan segan” ujarnya memperingatkan aku.

“Terima kasih kak” Rasa terharu aku melihat keprihatinan Kak Sofea. Hatinya memang tulus. Betapa bertuah suaminya memperoleh isteri sebaik Kak Sofea. 

“Nanti kalau Nitie dah kahwin mesti dapat anak-anak yang comel” usiknya. Aku tertawa. Terasa lucu mendengar usikannya itu. 

“Kalau ibu dia cantik mesti anak dia pun comel. Betul tak?” tokoknya buat aku rasa segan.

“Akak nie merepeklah” tingkahku. Kak Sofea tersenyum panjang.

“Untung Adie dapat Nitie, bukan setakat cantik malah berprinsip, pandai berdikari, tegas...” tambah Kak Sofea memujiku menggunung.

“Dahlah puji saya kak nanti tak boleh siap pula kerja nie. Sapa juga yang rugi, akakkan” tingkahku memotong bicaranya buat Kak Sofea tertawa kecil.
          
                     Sepi seketika. Masing-masing leka meneruskan tugas sendiri. Kutenung 99 kuntum mawar merah yang bakal menjadi jambangan. Pastinya aku inginkan sesuatu yang terbaik agar pelaburan si pengirim ini mendapat pulangan iaitu kepuasan si penerimanya.  Gubahan yang ringkas tetapi menarik merupakan satu kreativiti yang mencerminkan hasil seni. Malah aku tidak mahu melihatnya terpesong jauh daripada fungsi sebenar iaitu sebagai penyeri. Begitu teliti dan tekun aku menyusun 99 kuntum mawar merah ini agar menjadi sebuah gubahan yang terindah.

“Ya Allah akak baru teringat hari nie akak ada appointment. Nitie tolong akak jaga kedai nie ye” suara Kak Sofea memecah kesepian sekaligus menyentakkanku. Pantas aku mengangguk.
 
“Aa.... satu lagi tolong siapkan gubahan 99 kuntum mawar tu secepat mungkin sebab bila-bila masa saja pelanggan tu akan datang ambik. Dia terlupa tulis kadnya tapi dia dah bagi mesej dan nama sekali, ada kat depan nie. Nanti Nitie tolong tuliskan” pesan Kak Sofea panjang lebar sambil mengangkat sekeping kertas padaku.

“Ok segalanya akan beres. Akak jangan risau” janjiku memberi harapan kepadanya.

“Ok akak pergi dulu”

“Hati-hati kak” pesanku kerana tidak mahu bala yang menimpaku pagi tadi berulang lagi. Kak Sofea mengangguk dan tersenyum lalu bergegas meninggalkanku. Sekarang aku ada tugas tambahan yang perlu dibereskan tepat pada masanya. Segalanya harus berjalan lancar. Seperti kelaziman setelah berpuas hati dengan hasil kerjaku barulah aku meneruskan langkah selanjutnya sepertimana pesanan Kak Sofea. Kad yang akan diselit pada jambangan mawar itu sudah terbentang di depanku menunggu catatan yang bakal aku lakarkan. Sebaik mungkin aku melaksanakannya.

“To Ika:
Love You More Everyday _ Fandi” ulangku membacanya.


Tidak sangka orang seromantik ini pun boleh lupa pula. Bukankah bingkisan kad itu lebih bermakna. Sesuatu yang lahir dari naluri kita. Pelik juga si pengirim ini. Sedikit sebanyak aku rasa telah mencacatkan keindahan 99 kuntum mawar merah ini. Malang sungguh. Alangkah baik kalau si pengirim itu sendiri yang menulisnya. Ahh...! Pedulikan! Bukankah Kak Sofea kata tadi Fandi terlupa hendak tulis. Itu nama si pengirimnya. Sorry Fandi tak pasal-pasal aku berikan kau komentar yang lebih-lebih.

Sedang aku leka menyembur pewangi ke atas jambangan ini tiba-tiba saja telefon di sisiku berdering hampir-hampir buat aku terjerit. Aku mengurut dada.

“Hello Lady Florist, boleh saya bantu?” sapaku sopan.

“Oh ye nie Fandi. Mesej tadi tu dah tulis ke?” soalnya. Ohh.... rupanya si jejaka romantik yang pelupa ini. Panjang umurnya. Barangkali dia tersedak tadi gara-gara aku seronok sangat mempertikaikannya. Boleh tahan suaranya. 

“Maksud encik 99 kuntum mawar merah tu ke?” soalku semula meminta kepastian.

“Ya, dah siap ke?” soalnya lagi.

“Dah. Bila encik nak datang ambik?”

“Saya nak tukar nama Ika tu kepada May Lin. Awak tulis semula ye”arahnya buat aku terlopong. Biar betul orang nie! Nama Ika ini  tukar kepada May Lin. Si gadis Melayu dan bertukar jadi gadis si mata sepet pulak! Mungkin lepas ini jadi Mala pulak. Wujudlah satu jalinan masyarakat majmuk Malaysia. He... He... Sempat juga hati kecilku memperlinya. Dasar buaya darat!

“Takpe jangan risau nanti saya bayarlah untuk kad tadi tu” balasnya selamba. Alamak...sombongnya dia! Mendengar aku terdiam tadi barangkali dia ingat aku sedang memikirkan perkara itu.
 
“Kalau tak pun awak buatlah satu lagi” arahnya semakin bongkak. 

“Nanti saya datang” tambahnya. Klik! Panggilan sudah diputuskan buat aku terlopong lagi. Sah dia hendak bagi jambangan bunga itu kepada dua orang gadis yang berbeza. Malanglah kamu dimadukan. Muktamadnya aku kena siapkan satu jambangan mawar merah lagi. Hai... malangnya nasib. 

“Nak gubah 99 kuntum itu bukannya kerja mudah. Takpelah... dah kerjaku dan dah rezeki Kak Sofea” getusku sendirian memujuk hati.

Syukurlah akhirnya berjaya juga aku siapkan tempahan 99 kuntum mawar merah daripada si jejaka romantik yang sombong itu termasuk beberapa tempahan pelanggan yang lain. Sekurang-kurangnya sekarang aku boleh menarik nafas lega. Loceng berbunyi mengisyaratkan ada tetamu yang datang. Dua orang anak gadis yang memakai uniform pegawas sekolah muncul. Aku menyambut kedatangan mereka dengan senyuman mesra.

“Nak cari bunga apa dik?” sapaku ramah.

“Kami nak cari bunga yang paling sesuai untuk Special Request kak” jawab gadis bercermin mata dengan santunnya.

“Tak payah yang mahal-mahal kak” tambah yang seorang pula. Aku tersenyum. Nyatanya Valentine Day ini juga turut melanda sekolah. 

So kalau macam tu adik pilih kat sini” ujarku sambil membawa kedua gadis itu ke satu sudut.

“Sekuntum berapa kak?”

“Yang kat sini RM 2.50, nie RM 1.80 dan selebihnya semua RM 1.50” terangku sambil membahagi setiap bahagian mengikut harga tersendiri.

“Tak boleh kurang ke kak?” Aku tersenyum.
 
“Adik pilihlah dulu yang mana satu nak. Kalau adik ambik banyak akak boleh kurang harga sikit. Bincanglah ye....” jelasku.

“Banyak tak boleh ke kak?”

Hey... kamu nie” Kedua-dua gadis itu tertawa kecil. Aku biarkan kedua-duanya berbincang untuk membuat pilihan. 

“Ok dah ada kata sepakat?” soalku sebaik saja melihat mereka berhenti berbicara.

“Kami nak 30 kuntum bunga nie kak” beritahu gadis yang bercermin mata seraya mengangkat sekuntum bunga ros kepadaku sebagai sampel.

“Akak bagi RM1.20 sekuntum. Boleh?” soalku lagi. Mereka berpandangan. Satu keputusan perlu diambil lagi. 

“Oklah kak. Nak pelbagai warna ye kak”pinta gadis yang bercermin mata.

“Boleh...” Aku memasukkan 30 kuntum bunga ros yang terdiri daripada pelbagai warna ke dalam beg kertas berserta satu resit pembelian.

Thanks” ujarku sambil menyerahkan beg kertas itu kepada salah seorang daripada mereka.

“Terima kasih kak” Aku mengangguk. Kedua-dua gadis itu telah berlalu. Aku tersenyum sendiri apabila mengingati zaman tika aku seusia gadis-gadis tadi. Aku pernah menerima sebungkus coklat Carbury berserta sekuntum bunga ros merah jambu daripada seorang yang tidak kuketahui. Ros merah jambu lambang cinta pertama si dia yang menjadi rahsianya sejak sekian lama. Maknanya si penerima adalah insan yang menjadi idaman si pengirim selama ini. Baru kini aku ketahui rahsia di sebalik warna itu membuatkan aku tersenyum sendiri.
 
Bukan aku tidak cuba merisik daripada Lina siapa gerangan yang bermurah hati menghadiahkan aku semua itu. Namun sebagai pengawas sekolah Lina begitu amanah dan berpegang pada janji. Jawapannya mudah saja, daripada secret admireku.  Sampai sekarang aku tidak tahu siapa gerangannya kerana Lina tidak pernah buka mulut biarpun sudah banyak kali aku mendesaknya.

Ahh...! Geram juga dengan Lina kerana terlalu pandai menyimpan rahsia biarpun sudah bertahun-tahun kami meninggalkan alam persekolahan itu. Suatu hari nanti pasti aku akan tahu juga. Yakin boleh!

1 comment: