Thursday, 20 April 2017

NamaKu Bukan Flora.....90




BAB 90

“Kedegilan awak akan membunuh Aqel” suara Bella mengancamku. Aku memandang tajam ke arahnya. Kejadian semalam terbayang di mataku. Aku dan Aqel nampak lelaki yang memandu kereta yang hampir-hampir mahu melanggarku. Mujur Aqel bertindak pantas. Namun yang menyedihkan Aqel tercedera.
“Jangan kata saya tak pernah beri awak peringatan” tegas Bella serius. Aku mengetap bibir menahan gelodak perasaan. Cuba menitip kesabaran diri.
“Angkuhnya awak” ujarku sinis. Persis dirinya sungguh berkuasa.
“Selagi awak tak jauhkan diri dari Haqem, selagi itu Datin Sofea takkan biar awak hidup tenang” Bella memberi amaran lagi.
“Idlan perlukan saya” tegasku. Bella mendengus kasar.
“Tak perlu awak mencampuri urusan keluarga Haqem” lirih suara Bella. Aku menggeleng-geleng kepala.
“Saya dah janji dengan arwah Kak Harianie akan jaga Idlan dengan baik. Selagi Datin Sofea tak menyayangi Idlan selagi itu saya takkan tinggalkan Haqem” ujarku berterus-terang.
“Awak...!” bentak Bella dengan garang. Tangannya cuba menyentuh tubuhku. Namun kasar tanganku menepis. Aku tidak akan membenarkan Bella memperlakukanku sesuka hati.
“Awak memang kejam. Awak ambil lebih perhatian pada Idlan dan Haqem sedangkan Aqel awak jadikan korban. Awak tak sedar sebenarnya awak lebih teruk daripada saya dan Datin Sofea” jerit Bella hilang sabar. Aku tergamam. Kata-kata Bella menusuk hati. Bella meninggalkan aku bersendirian di bilik ini.

Kupandang kereta Aqel di garaj. Hari ini Aqel balik awal. Mungkin kurang selesa dengan kecederaan semalam. Laju aku melangkah masuk ke rumah. Mahu segera mempastikan Aqel dalam keadaan yang baik.
“QMV 7350 kereta Suzuki. Saya nak awak cari maklumat pemilik kereta ini” arah Aqel.
“Baiklah, Encik Aqel” sahut suara lelaki itu.
“Saya dah hantar gambar pada awak. Awak lindungi gadis itu dalam apa cara sekalipun. Pastikan dia tak menyedari pergerakannya diekori” tegas Aqel serius.
“Saya faham, Encik Aqel”
“Bagus... Sebarang maklumat yang awak peroleh laporkan segera kepada saya” arah Aqel lagi. Wajah Aqel terpamer keresahan dan kebimbangan.
“Ya, saya akan lakukan” sahut lelaki itu.     
“Awal awak balik. Awak tak rasa tak selesa ke?” tanyaku sambil melontar pandangan ke arah Aqel yang sedang berdiri menghadap jendela. Dia sedang berbual di talian. Aqel berpaling dan memandangku sekilas. Kemudian menghadap ke jendela semula.
“Kemudian saya call awak lagi” Perbualan itu ditamatkan. Aqel berganjak dari jendela lantas duduk di sofa. Aku melangkah mendekatinya. Kupandang Aqel.
“Awak bercakap dengan siapa? Nampak serius saja” komenku. Aqel tersenyum.
“Kawan lama...” balasnya.
“Oh..., kawan” Tidak pernah Aqel bercerita tentang kawan-kawannya yang lain. Aku hanya tahu Haqem ialah kawan Aqel. Rania juga kawan sekuliah Aqel. Ketika itulah mereka bercinta.  
“Okey tak hari ini? Sakit lagi?” tanyaku sambil menatap Aqel. Aqel senyum.
“Saya nak berehat kejap. Hari ini banyak kerja di office” jelas Aqel lalu membaringkan tubuh di sofa panjang itu. Aqel memejamkan mata. Kupandang Aqel. Nampak memang dia keletihan hari ini. Aku bersimpati pada Aqel namun tidak mampu menolong.
“Awak berehatlah. Saya nak sediakan makanan malam” jelasku lalu bangkit dari sofa. Membiarkan Aqel berehat. Aku mencapai tuala dan pakaian lalu melangkah ke bilik air. Mahu mandi agar lebih segar-bugar dan bertenaga. Keluar dari bilik air, aku mendengar dengkuran Aqel. Aku senyum. Nyenyak sungguh dia tidur. Aku melangkah ke pintu. Langkahku mati. Aku berpaling ke arah Aqel. Dia sakit? Aqel rasa tidak selesa? Tidak pernah melihat Aqel tidur sekembali dari pejabat. Aku perlu menyiapkan makanan malam sekarang agar Aqel cepat makan. Kemudian barulah Aqel akan bertenaga kembali. Barulah Aqel tidak terbaring di situ sahaja. Sekurang-kurangnya Aqel ada tenaga hendak menghabiskan buku tebal yang dibacanya setiap malam. Kasihan Aqel.

Usai memasak aku mengambil wuduk. Bersiap sedia solat Maghrib. Kedengaran batuk Aqel. Aqel sudah bangun. Aku solat di bilik tetamu. Masih ada waktu sebelum masuk solat Isyak. Kucapai Yasin. Sudah lama aku tidak membaca surah ini. Kesal. Urusan dunia sering kali menjadi alasan untuk tidak berkesempatan membaca ayat-ayat Al-quran yang indah ini. Ya, Allah ampunkan dosaku. Sebak. Kuhadiahkan surah ini buat arwah ayah, arwah nenek dan arwah datuk serta sekalian umat Nabi Muhammad S.A.W. yang telah kembali menemui Yang Maha Esa. Lantas aku mengalun suara dengan surah Yasin. Tenang hati ini.

Aku meletakkan dua biji pinggan dan dua biji gelas di atas meja melengkapkan keperluan hidangan makan malam ini. Ada nasi, lauk-pauk, sayur dan air kosong. Sudah cukup hidangan untuk aku dan Aqel. Lantas aku melabuhkan duduk menanti kemunculan Aqel. Mataku memerhatikan hidangan di atas meja namun benakku menerawang jauh.
“Awak memang kejam. Awak ambil lebih perhatian pada Idlan dan Haqem sedangkan Aqel awak jadikan korban. Awak tak sedar sebenarnya awak lebih teruk daripada saya dan Datin Sofea” kata-kata Bella terngiang-ngiang di telingaku. Aku korbankan Aqel? Sekejam itukah aku? Aku melepaskan keluhan.
“Mengalamun nampak” Aku tersentak. Lantas mendongak. Aqel sudah menarik kerusi lalu duduk di depanku.
“Mari makan...” ajaknya lalu menyeduk nasi ke dalam pinggan. Aku menatap Aqel. Dia sentiasa tenang dan bersahaja. Luka di siku Aqel bertampal. Semalam banyak darah keluar. Aqel menyelamatkan tubuhku daripada dirempuh kereta yang dipandu oleh lelaki itu. Lelaki yang tidak dikenali. Namun selepas kejadian itu aku hanya terbayang wajah Datin Sofea dan Bella. Sakit hati yang sudah tidak tertanggung boleh mendorong mereka mencederakan aku. Sudah banyak kali aku cuba tidak berprasangka buruk namun suara hatiku tidak mahu menafikan. Aku yakin dan percaya kejadian semalam adalah rancangan Datin Sofea. Namun aku tidak mahu berbincang perkara ini dengan Aqel. Redup pandanganku menatap Aqel. Rasa bersalah menyelubungi diri.
“Siku awak sakit lagi?” tanyaku bersimpati. Aqel menatapku. Kemudian mengalih pandangan pada nasi di dalam pinggan.
“Dah tak rasa apa-apa” jelasnya bersahaja. Tidak pasti kebenaran bicara itu. Mungkin sekadar mahu menenangkan perasaanku. Maka kesakitan itu disembunyikan sahaja.
Sorry...” Aku menatap Aqel. Aku dan Aqel beradu pandangan seketika. Aqel tersenyum. Aku bersalah kerana menyebabkan Aqel cedera.
“Lain kali... andai awak ternampak saya... awak kena cepat-cepat larikan diri. Setiap kali awak bertembung dengan saya...awak mesti segera menjauhkan diri. Jika awak terserempak saya di tengah jalan...awak pura-pura tak kenal saya. Jangan sesekali pedulikan saya. Maka hidup awak akan lebih baik” pintaku dengan mata yang berkaca. Sedih mengenang Aqel sentiasa menjadi korbanku.
“Saya akan sentiasa nampak awak walaupun dari kejauhan. Tak mampu melangkah beriringan... saya akan mengekori langkah awak. Jika kita tak bertembung... saya akan cari awak” sahut Aqel membalas bicaraku. Aqel engkar.
“Aqel...” Pilu dan rawan mendengar kata-kata Aqel sedemikian.
“Saya akan melindungi awak dalam apa keadaan sekalipun” tegas Aqel mengabaikan permintaanku. Aku mengetap bibir. Aqel memang degil.
“Saya tak nak awak cedera kerana saya” rintihku. Air mataku menitis ke pipi. Laju tanganku mengesat. Aqel menatapku.
“Janji saya akan melindungi awak” ujar Aqel serius. Aku melepaskan keluhan kecil.
“Apa yang perlu saya buat agar saya tak rasa bersalah pada awak...tak cederakan awak?” tanyaku. Buntu. Aqel berpegang teguh pada janji. 
“Hiduplah dengan baik” pinta Aqel. Aku terdiam. Mendalam makna bicara Aqel. Aku dan Aqel tidak bersuara lagi. Aqel menyambung suapan hidangan malam ini dengan sorotan pandanganku yang terikat di wajahnya. Sungguh perasaanku terbeban. Aku juga mahu Aqel hidup dengan baik.  

“Awak nak ke mana?” Aku berdiri di muka pintu bilik. Hairan menatap Aqel yang memakai seluar jeans dan jaket kulit.  Berpakaian serba hitam. Dia sudah bersiap sedia hendak keluar. Aqel menatapku.
“Nak jumpa kawan” sahutnya. Aku diam. Jumpa kawan? Mungkin juga Rania. Perkara ini pernah terjadi. Aqel memaklumkan mahu bertemu dengan kawannya. Kemudian esoknya, aku dan Nina nampak Aqel bersama Rania hendak meninggalkan perkarangan hospital.
“Saya pergi dulu” Aku tersentak. Aqel sudah melewatiku. Aku menyoroti langkah Aqel dengan perasaan aneh. Sebenarnya sikap Aqel pelik hari ini. Petang tadi nampak Aqel menyembunyikan perbualannya dengan seseorang yang dikatakan kawan. Kemunculanku menyebabkan Aqel terus menamatkan perbualan itu. Persis dia mahu berahsia. Aku membaringkan tubuh di atas tilam dengan benak yang sarat memikirkan tentang tingkahlaku Aqel.
Aku menguap beberapa kali. Kutatap jam di iPhone. Sudah melewati pukul 12.00 tengah malam. Kutatap skrin iPhone jikalau Aqel ada menghantar pesanan. Tiada pesanan sesiapa yang aku terima jauh malam begini. Aku sudah tidak mampu bersengkang mata lagi. Sudah sampai masa aku menidurkan diri. Terasa kedinginan mencengkam tulang-temulangku. Aku menarik selimut menutupi tubuhku. Kucapai iPhone. Sudah pukul 3.25 pagi. Baru sedar lampu yang terpasang sebelum tidur tadi sudah dipadamkan. Sekarang hanya cahaya lampu tidur yang menerangi bilik ini. Bermakna Aqel sudah balik. Aku melontar pandangan ke sofa itu. Terkejut melihat Aqel sedang duduk bersandar di sofa sambil melontar pandangan ke arahku. Pandanganku dengan Aqel bersatu.
“Awak belum tidur lagi?” tanyaku hairan melihat Aqel duduk terpaku di sofa itu.
“Belum...” sahut Aqel masih memandangku. Aku menguap lagi. Belum puas tidur.
“Tidurlah...” arah Aqel masih tidak mengalih pandangannya dariku. Aku memejamkan mata kembali. Sudah tidak nampak bebayang tubuh Aqel lagi. Tidak sempat juga memikirkan tentang Aqel.
Jam loceng berdering kuat membangunkan aku. Tepat jam 5.30 pagi. Aku gagahi diri bangkit dari perbaringan ini. Kemudian menggeliat dan melakukan gerakan senaman ringan. Tersentak aku menatap Aqel masih duduk terpaku di situ memerhatikan gelagatku.
“Awak tak tidur sepanjang malam?” tanyaku kehairanan.
“Saya tak boleh tidur” sahutnya.
“Sepanjang malam awak duduk terpaku di situ memerhatikan saya?” tanyaku janggal. Seingatku ketika aku terjaga pada pukul 3.25 pagi tadi aku melihat Aqel duduk sedemikian sambil mengarah pandangan ke arahku. Sekarang Aqel masih melakukan perkara yang sama. Aqel mengangguk mengejutkan aku. Tidak senang melihat kelakuan Aqel yang pelik. Bingkas aku bangun lalu melangkah mendekati Aqel. Aku duduk di sebelah Aqel.
“Kenapa awak tak boleh tidur?” tanyaku. Tidak pernah Aqel berkelakuan ganjil begini. Aqel memandangku. Dingin.
“Awak tak sihat?” tanyaku cemas. Laju tanganku menyentuh dahi Aqel. Aqel mematung diri. Dahinya tidak panas. Suhu tubuh Aqel normal.
“Awak ada masalah ke?” tanyaku bimbang. Aqel menggeleng. Dia tersenyum.
“Aqel...” Aku tidak puas hati dengan diam Aqel.
“Jangan risau. Saya tak apa-apa” tutur Aqel perlahan. Aku melepas keluhan. Tidak percaya pada kata-kata itu. Senyap. Kalau tiada yang merunsingkan Aqel, kenapa dia tidak boleh tidur sepanjang malam. Ada perkara berat yang membebani fikiran Aqel.
“Awak patut cakap pada saya apa yang tak kena” gesaku. Mahu Aqel berterus-terang. Aku dan Aqel saling berpandangan. Tidak senang dengan sikap aneh Aqel.
“Flora...” Aku menatap Aqel. Berdebar-debar aku menunggu Aqel menghabiskan bicaranya. Aqel sudah bersedia berterus-terang kepadaku. Aku bersedia mendengar.
“Saya mengantuk sekarang. Boleh saya tidur?” tanyanya. Aku melepaskan keluhan. Lalu mengangguk. Kecewa kerana tidak mengetahui perkara yang telah berlaku.
“Tidurlah...” arahku memberi kebenaran. Aku tidak akan meminta Aqel menjawab pertanyaanku tika ini. Aqel membaringkan tubuh di atas sofa ini. Tidak mengambil masa yang lama  Aqel hendak melelapkan mata. Cepat Aqel lena. Mudah Aqel tertidur setelah sepanjang malam berjaga. Aku memerhati Aqel yang sedang tidur. Rasa bersalah menyelubungiku. Aku bangkit dari sofa, meninggalkan Aqel seketika. Kusorong pintu almari lalu mencapai selimut Aqel yang sudah kucuci harum mewangi ini. Aku menebarkan selimut di tubuh Aqel. Kupandang Aqel.
“Sungguh aku tak memahamimu, Aqel” bisikku. Aku mengeluh.


Aku sudah siap memasak bubur untuk Aqel. Bangun tidur nanti bolehlah dia terus bersarapan dengan bubur. Biar dia lebih bertenaga. Aku melangkah ke bilik  menyiapkan diri untuk ke tempat kerja. Kupandang Aqel yang sedang lena. Tidak berhasrat hendak mengejutkannya. Biarlah Aqel berehat di rumah hari ini.
“Tidurlah puas-puas ye...” bisikku sambil mengatur selimut menutupi tubuh Aqel. Kutatap siku Aqel yang tercedera keranaku. Kuusap lembut.
“Lain kali awak tak boleh cedera lagi...” bisikku mengingatkan dirinya. Aku tidak mahu Aqel cedera kerana aku. 
Kutinggalkan Aqel yang sedang tidur nyenyak. Biarlah dia berehat sepanjang hari ini. Tatkala dia sudah bertenaga barulah aku mengajukan beberapa pertanyaan kepadanya. Harap-harap tika itu Aqel tidak akan berdiam diri sahaja. Aku memandu kereta BMW ActiveHybrid 7 memasuki laman parkir KDUT. Kemudian mengatur langkah memasuki bangunan kaca ini. KDUT tidak pernah sepi. Manusia lalu-lalang di sekitar bangunan ini. Persis sebahagian daripada mereka tidak pernah berehat dan tidur. Mengerah kudrat tidak kira waktu, siang atau malam. Demikianlah kehidupan warga KDUT. Cuba memberi kegembiraan kepada orang lain. Itulah dunia hiburan yang sentiasa nampak menyeronokkan.    
“Lia...!” Langkahku terhenti. Aku berpaling. Marnie berlari-lari anak mendekatiku.
“Saya ingat awakpun cuti dengan Encik Aqel. Honeymoon” jelas Marnie tersenyum meleret. Sudah mula hendak mengusikku.
“Huh...!” Besar mataku menatap Marnie. Sejak semalam dia menyakatku. Belum aku memaklumkan tentang Aqel, Marnie nampaknya lebih awal mengetahui yang Aqel tidak akan datang ke pejabat hari ini.
“Aqel cuti?” Berkerut dahiku menatap Marnie.
“Ya...” sahut Marnie.
“Cuti apa? Cuti sakit?” tanyaku lagi.
“Aqel sakit ke?” Kali ini Marnie pula yang menyoalku. Dia nampak terkejut. Aku geleng kepala. Suhu badan Aqel normal. Cuma dia berjaga sepanjang malam. Nampak sukar dia hendak melelapkan mata. Ada perkara yang Aqel fikirkan.
“Saja cuti” jelas Marnie. Dia tergelak sendiri. Bermakna Aqel memang merancang hendak cuti hari ini. Aku terbayang tingkahlaku aneh Aqel sepanjang malam tadi. Dia duduk terpaku di sofa itu sambil melontar pandangan ke arahku. Tidak banyak cakap. Aku mengeluh. Perangai pelik Aqel merisaukanku.
“Makan sama-sama rehat nanti” ajak Marnie. Aku mengangguk. Pejabat kami berasingan. Maka kami berpisah mengikut arah tuju masing-masing. Langkahku terhenti di depan pintu ini. Aku menarik nafas dalam-dalam. Bismillahnirahmanirahim. Kutolak daun pintu lalu melangkah masuk dengan langkah kanan. Mohon hari ini dipermudahkan segala urusan.
Aku memulakan rutin kerjaku. Kutatap tiga keping kertas yang sudah siap tandatangan pengesahan Bella. Sedia maklum dengan permintaan dan akan diambil tindakan segera. Ada tiga senarai pakaian yang perlu disediakan secara berasingan. Pakaian yang diperlukan pada pagi, petang dan malam. Mujur penggambaran waktu yang berbeza. Kalau tidak terpaksalah aku dibahagi tiga kerana aku diwajibkan berada di lokasi penggambaran menguruskan bahagian pakaian dari bermula hingga berakhir sesi penggambaran. Bermakna esok jadualku padat. Mungkin juga sepanjang hari berada di lokasi penggambaran. Sudah dapat kubayangkan kesibukan pada hari itu. Aku menarik nafas panjang. Lantas bangun dari kerusi lalu melangkah ke bilik penyimpanan kostum.
Berjam-jam menghabiskan masa di sini. Semua pakaian yang dikehendaki sudah beres. Aku keluar dari bilik penyimpanan kostum. Kucapai fail di dalam kabinet. Aku bergerak ke arah meja dan kerusi yang sudah beberapa hari terbiar dan tidak kukunjungi gara-gara peraturan baru Bella. Aku menghidupkan laptop. Lantas membuka fail rekod. Pakaian yang hendak dikeluarkan harus direkod satu-persatu. Terasa pedih pula mataku. Aku menyandarkan tubuh di kerusi sambil menggosok-gosok mata. Terasa kabur. Semalam tidurku tidak lena. Apatah lagi kalau semalaman tidak tidur. Aku teringat pada Aqel. Adakah dia sudah bangun? Apa yang dia buat sekarang? Sudahkah Aqel makan bubur yang aku masak? Bagaimana kalau Aqel tidak bangun-bangun dari sofa itu? Mungkin dia demam. Banyak pertanyaan berlegar di benakku.    
Laju kucapai iPhone. Aku menghubungi Aqel. Namun panggilanku tidak dijawab. Kutekan barisan nombor iPhone Aqel semula. Perkara yang sama. Aqel tidak mengangkat iPhone. Aku semakin bimbang. Cuba tidak memikirkan perkara yang bukan-bukan. Cuba meyakinkan diri bahawa Aqel sedang tidur sekarang. Tidur yang nyenyak kerana sepanjang malam berjaga. Aqel perlu tidur yang cukup agar bertenaga kembali. Aku memandangkan tempat duduk Bella. Ke mana gadis itu menghilangkan diri? Seperti selalu dia tidak akan berkata apa-apa. Aku tersentak tatkala daun pintu ditolak. Mungkin Bella baru sampai. Laju aku bangkit dari kerusi ini sebelum kelibatnya kelihatan di sebalik pintu itu. Aku bergegas mengatur langkah ke bilik penyimpanan kostum dengan kepala yang tegak dan tidak menoleh-noleh lagi. Tidak mahu bertembung mata dengan gadis itu.
  “Awak nak pergi mana?” Langkahku terhenti. Suara lelaki. Suara Aqel. Laju aku berpaling. Pandanganku dengan pandangan Aqel bersatu.
“Buat apa awak datang ke sini?” Aku tercengang-cengang menatap Aqel. Aqel senyum lantas melempar tubuh di sofa panjang itu. Aqel berbaring di situ. Aku terpinga-pinga menatap Aqel.
“Awak cutikan hari ni?” Aku minta kepastian. Aqel mengangguk.
“Kenapa tak berehat di rumah saja? Kenapa pula nak pergi office?” Banyak pertanyaan yang kuajukan kepada Aqel. Aqel masih tidak memberikan penjelasan.
 “Aqel...” panggilku mahukan jawapan yang terperinci. Aqel mesti menjelaskan kedatangannya di sini. Aku dan Aqel saling berpandangan. Aku mengetap bibir. Geram.
“Saja nak temankan awak di sini” jelasnya tersenyum lebar. Aku serius menatap Aqel. Dia sudah tidak boleh diselamatkan lagi. Tiada halangan untuk Aqel melakukan perkara yang dia suka. Itulah kehebatan Aqel.
“Huh...” Aku menjeling tajam. Jawapan itu tidak memuaskan hati. Aqel senyum.
“Kan banyak kali awak call saya, jadi saya datang sinilah sebab awak perlukan saya sekarang” jelas Aqel dengan wajah bersahaja. Aku menarik nafas. Dugaan sungguh bercakap dengan anak muda Mak Long ini.
“Kenapa awak call?” tanya Aqel sambil mengarah pandangan ke arahku. Sesekali mengatur tubuh di atas sofa itu. Cuba mencari keselesaan diri.
“Saya ri...” kata-kataku tergantung. Aqel tersengih panjang. Suka.
“Tahu... awak risaukan sayakan” Aqel menghabiskan bicaraku. Aku mencebik lalu melangkah kembali ke tempat dudukku. Mahu melengkapkan rekod yang baru separuh kubuat.
“Awak duduk di sini atau di dalam bilik kostum tu?” tanya Aqel.
“Kejap-kejap di sini...kejap-kejap di sana” jelasku. Bekerja dengan Datin Sofea dan Bella tiada tempat duduk yang statik. Aqel bangkit dari sofa. Mula meninjau-ninjau di sekitar bilik ini. Terpacak di situ sambil mengusap-usap dagu seakan sedang berfikir. Lagak Yang Berhormat yang sedang memikirkan masalah anak buah. Kemudian melangkah ke bilik penyimpanan kostum. Selepas beberapa minit, Aqel muncul semula di sini.
“Awak buat apa? Boleh tak awak duduk diam-diam? Pening kepala saya tengok awak merayau-rayau di dalam bilik ini” rungutku. Aqel tergelak. Kata-kataku mencuit hatinya. Aku mempemer wajah serius sekali gus melenyapkan senyuman di bibir Aqel.
“Saya nak jadi Detektif Conon” balasnya bercanda. Aku mencebik. Gurauan Aqel buat aku rasa bengang. Aqel berbaring di atas sofa panjang itu semula. Tiada tanda-tanda dia mahu beredar dari bilik ini. Langsung tidak bimbang yang Bella akan muncul pada bila-bila masa sahaja. Begitu tenang dia berbaring di situ. Barangkali kerana sudah terlalu lama berbaring di atas sofa menyebabkan Aqel suka sungguh pada sofa. Pantang jumpa sofa panjang, pasti tubuhnya sudah terlentang di situ.
Salahku juga. Aku yang janggal berkongsi katil dengan Aqel. Demi keselesaanku Aqel memilih menjadikan sofa panjang sebagai tempat tidur baru. Kasihan Aqel. Aku mengeluh. Sejak mengenaliku kehidupan Aqel sukar. Aku telah menjadi bebanannya. Sunyi sepi. Tiada suara Aqel yang berbicara. Kupandang ke sofa. Kelihatan Aqel masih berbaring di situ dengan mata yang sudah terpejam. Aqel sedang tidur. Kucapai selendangku lalu melangkah ke arah Aqel. Nampak tangannya memeluk tubuh. Pasti Aqel kedinginan sekarang. Lantas kutebarkan selendang ini menutupi tubuh Aqel. Sedikit memberi keselesaan buat anak muda Mak Long ini.
“Tolong bungkus nasi ayam ni satu ye” pintaku. Pekerja restoran ini mengangguk. Marnie tercengang-cengang menatapku. Musykil.
“Dah makan sini, awak nak tapau lagi? Sejak bila awak kuat makan ni. Jangan-jangan awak mengandung” Sesuka hati sahaja dia bercakap. Aku menjeling tajam. Marnie tersengih.
“Saya nak beli nasi untuk Aqel” jelasku menghancurkan impian Marnie yang mahu menatap wajah Aqel Junior.
“Oh...” Marnie tersengih lagi.
“Aqel...saya tinggalkan di bilik tadi. Dia sedang nyenyak tidur” jelasku.
“Apa? Encik Aqel ada di office awak tadi?” Marnie terkejut. Besar matanya menatapku. Aku mengangguk.
“Kan dia cuti, kenapa pula datang sini?” tanya Marnie kehairanan. Aku menjungkit bahu. Aku sendiri tidak mengerti akan tingkahlaku Aqel. Dari semalam berperangai pelik. Semalam nampak dingin dan diam memanjang. Hari ini dia tampak ceria dan banyak cakap pula. Banyak kali juga tersenyum. Walaupun senyuman Aqel sungguh indah, namun kali ini aku tidak menyukainya. Bagai Aqel sedang memaksa diri tersenyum. Persis dia sedang menyembunyikan sesuatu di sebalik senyuman indah itu.
“Awak tak rasa perangai Aqel pelik?” tanyaku meminta pendapat Marnie.
“Pelik...Takdelah. Macam biasa saja Encik Aqel, tak suka banyak cakap” jelas Marnie. Aku diam. Aqel bukan sentiasa berada di depan mata Marnie. Tidak sempat Marnie hendak memerhatikan perangai Aqel. Mungkin Haqem lebih mengetahui perkara ini.
“Kalau macam tu, cepatlah balik. Nanti kelaparan pula bos kacak saya tu” ujar Marnie tersengih dan mengambil berat terhadap Aqel. Aku mencebik. Kucapai sebotol air mineral dan nasi ayam yang sudah siap dibungkus lalu ke kuanter pembayaran. Kemudian aku dan Marnie melangkah ke pintu meninggalkan restoran ini.
Aku menolak perlahan-lahan daun pintu. Tidak mahu mengejutkan tidur Aqel. Aku tersentak. Sofa panjang ini kosong. Selendang yang menjadi selimut Aqel dilipat kemas. Aqel sudah pergi. Aku meletakkan nasi ayam dan sebotol air mineral ini di atas meja. Aku duduk di sofa ini sambil memikirkan tentang Aqel. Tiada jawapan yang kutemui. Lantas kucapai iPhone lalu menulis mesej.
~Pastikan awak dah makan dan dapat rehat yang cukup. Jangan lewat balik nanti. Malam ini saya akan masak sedap untuk awak. Kalau awak balik lewat saya habiskan semua. Saya tunggu awak~ Kuhantar mesej ini kepada Aqel. Seminit kemudian keluar tanda biru pada WhatsApp yang kuhantar. Bermakna Aqel sudah membaca. Kupandang iPhone ini. Tiada mesej balasan yang kuterima. Kutunggu seketika. iPhone ini masih di tanganku. Lama. Akhirnya kuletak di atas meja. Aqel hanya membaca WhatsApp ini tetapi tidak mahu membalas. Aku mengeluh. Sedikit hampa.

AKU menatap hidangan malam yang sudah dingin di atas meja ini. Sup tulang, daging sizzling, sambal kerang pedas, cendawan sos tiram dan air jus oren. Semua ini makanan kegemaran Aqel. Kupandang jam di dinding. Sudah menjangkau ke pukul 10.00 malam. Sudah lewat untuk makan malam. Dua jam aku menunggu Aqel. Namun Aqel belum balik lagi. Kucapai tudung saji lalu menutup hidangan malam di atas meja ini. Seleraku lenyap. Aku melangkah ke bilik lalu melempar tubuh ke atas tilam. Keletihan membuatkan aku mahu tidur awal. Beberapa kali aku menguap. Tidak larat hendak menunggu kepulangan Aqel lagi. Hanya berharap Aqel berada di rumah Mak Long sekarang. Kenyataan ini akan lebih mententeramkan aku.
Tiba-tiba sahaja aku terbangun. Aku tersentak. Aqel sudah berbaring di sebelahku sedang tidur lena. Tangan Aqel memeluk pinggangku. Haruman wangian Dunhill memenuhi rongga hidung. Tubuh Aqel terlalu dekat denganku. Berhati-hati aku memindahkan tangan Aqel. Lega. Baru dapat bernafas. Hilang rasa mengantuk. Aku duduk di atas tilam empuk ini sambil memerhatikan Aqel yang sedang tidur. Tidak sangka Aqel berada di depanku sekarang. Aku tersenyum sendiri.  
“Sudah lama awak perhatikan saya?” Aku tersentak. Mata Aqel yang terpejam tadi sudah terbuka luas. Dia menatapku. Segan diperhatikan Aqel sedemikian.
“Mata awak memang cantik....bersinar...bercahaya...berkaca-kaca” puji Aqel. Aku terpaku menatap Aqel. Beradu pandangan seketika.
“Kita tinggalkan negara ini. Kita pergi jauh dari sini” ajak Aqel.
“Aqel...” Aku tersentak. Kupandang Aqel. Tidak percaya Aqel akan bercakap sedemikian. Persis orang yang sedang dilanda kekecewaan. Aqel tergelak.
“Saya dah berjaya membuat awak terkejut” tutur Aqel. Dia tersenyum lebar. Aku terpaku menatap Aqel. Perlahan-lahan melepaskan keluhan. Hampir-hampir buat aku sakit jantung. Aqel bangkit dari katil lalu melangkah ke arah sofa.
“Tidurlah sekarang” arahnya lalu melempar tubuh ke sofa panjang itu. Aqel berbaring di situ. Sudah bersedia mahu menyambung tidur semula. Aku memerhatikan gelagat Aqel. Dia sudah memejamkan mata. Mudah sahaja Aqel hendak tidur.  
“Saya perlu hidup dengan baik... kerana saya hidup untuk melindungi awak” Mulut Aqel terkumat-kamit berbicara sendiri. Seminit kemudian kedengaran dengkuran Aqel. Aku merebahkan tubuh ke tilam semula. Kata-kata Aqel sukar difahami. Sikap Aqel sungguh membingungkan.

No comments:

Post a Comment