“Awak buat apa kat sini?” soalan itu diulangi oleh Velviana lagi dengan wajah serius. Aku masih terpaku dan kali ini benar-benar kematian akal. Pertanyaan Velviana tidak mampu aku jawab.
“Saya yang ajak Iman datang ke sini,” suara Yen mencelah. Aku melirik ke arah Yen yang tampak begitu tenang tika ini. Hakikatnya memang bukan menjadi kesalahan pun suami isteri berdua-duanya begini.
“Hey, awak dah bertudung...,” seakan baru dia menyedari perubahan ini. Velviana menatapku lama.
“Tapi tak sangka pula walaupun dah bertudung tapi awak sanggup berdua-duaan dengan lelaki bukan muhrim di dalam bilik ni. Awak jangan cemarkan imej perempuan bertudung,” Aku tersentak. Sinis dan tajam bicara yang keluar dari mulut gadis ini. Mukaku panas membahang dan maruahku tercalar. Sesuka hati dia menghinaku.
“Vel, dia tu sepupu saya. Yang awak naik angin ni apa hal?” suara Yen mencelah. Namun Yen masih kelihatan tenang.
“Memang pun sepupu tapi awak dengan dia bukan muhrim pun,” tingkah Velviana panas hati. Yen geleng kepala dan mengeluh.
“Iman, saya nak ingatkan awak. Walaupun awak dengan Yen sepupu tapi saya tak suka awak rapat dengan dia,” tegas Velviana memperingatkan aku. Aku menelan liur. Velviana nampak bersungguh-sungguh mengutarakannya.
“Untuk pengetahuan awak, saya akan jadi isteri Yen,” ujar Velviana menyentakkanku. Aku berpaling ke arah Yen. Seketika aku dan Yen hanya berpandangan. Tiada sebarang penafian yang keluar dari mulut Yen. Memang sahih Yen dan Velviana akan bernikah. Dalam diam Yen sedang merancang hari bahagianya. Mungkin sebab itulah dia mengajak aku datang ke sini untuk mendengar kenyataan ini daripada Velviana. Aduh..., aku rasa kesakitan itu! Hatiku terluka mendengar kenyataan gadis ini. iPhone berdering. Lantas aku menjawab panggilan daripada Encik Rizal ini.
“Sekejap lagi saya datang,” ujarku kepada Encik Rizal yang sudah berada di TSM sedang menantiku. Velviana dan Yen sedang menatapku.
“Velviana, awak dah salah faham. Saya dan Yen tak de hubungan istimewa pun. Tak usahlah awak bimbang. Hati dia dah jadi milik awak,” tegasku serius. Yen menatapku. Aku masih mampu mengukir senyuman biarpun hatiku terguris.
“Saya tahu tapi saya tetap nak ingatkan awak agar jangan terlalu rapat dengan Yen. Saya tak suka!” sahut Velviana angkuh. Yen hanya mendiamkan diri. Pengakuan Velviana langsung tidak dibantah. Bagai dia merestui tindakan Velviana ini. Memang benar dia milik Velviana dari dahulu sehingga sekarang. Luka hatiku terasa semakin dalam. Aku mengangguk tanda mengerti pada bicaranya.
“Okey...saya tak nak ganggu kalian. Saya pergi dulu,” ujarku lantas bergerak ke muka pintu.
“Awak nak ke mana?” soal Yen membuatkan langkahku terhenti. Aku berpaling menatapnya.
“Encik Rizal sedang menunggu saya sekarang. Saya nak jumpa dia,” sahutku lantas menyambung langkahku kembali. Laju aku melangkah menjauhi kelibat Yen dan Velviana. Di dalam kotak lif ini aku menyandarkan tubuh. Kupejamkan mata seketika. Kepedihan menjalar dalam tubuhku.
“Tapi tak sangka pula walaupun dah bertudung tapi awak sanggup berdua-duaan dengan lelaki bukan muhrim di dalam bilik ni. Awak jangan cemarkan imej perempuan bertudung,”cemuhan Velviana masih kedengaran di telingaku. Terbayang reaksi Yen ketika itu. Dia tampak begitu tenang. Kenapa dia tidak membelaku? Yen seharusnya melindungi aku daripada penghinaan Velviana itu. Dia tidak patut membiarkan Velviana mencelaku sewenangnya. Aku isterinya! Seorang isteri lebih berhak ke atas suaminya! Tanpa kupinta air mataku menitis ke pipi. Aku tersedu-sedan di situ. Mudah sahaja air mataku keluar saat ini. Deringan iPhone mengejutkanku. Nama Encik Rizal tertera di dada skrin. Laju tanganku mengesat air mata di pipi lantas memaksa diri melenyapkan sendu.
“Hello...assalamualaikum ... Encik Rizal. Saya dalam perjalanan ni,” tuturku cuba berlagak biasa.
“Kenapa ni? Awak okey...?” soalan Encik Rizal menyentakkan aku lagi. Tidak sangka dia menyedari perubahan suaraku tika nie.
“Ye... saya okey,” sahutku perlahan.
“Awak menangis ke?” Sekali lagi aku tersentak.
“Hey..., takdelah Encik Rizal. Selsema je...,” sahutku berbohong.
“Kejap lagi saya sampai. Assalamulaikum...,” Cepat aku matikan perbualanku dengan Encik Rizal. Tidak sanggup lagi berbohong lebih banyak. Aku melewati ruang lobi DLH. Beberapa langkah di depanku, Encik Rizal sedang menantiku dengan senyuman. Aku cuba berlagak biasa lantas membalas senyuman itu. Hakikatnya hatiku menangis tika ini. Pedih dan menusuk jiwa ragaku bak sembilu. Alangkah baik kalau aku boleh berkongsi kedukaan ini dengan seseorang.
“Assalamualaikum... Encik Rizal. Apa khabar?” sapaku mendahuluinya.
“Alhamdulillah... sihat,” sahutnya masih tersenyum. Pandangannya menatapku buat aku tidak selesa. Apatah lagi dalam situasi sekarang baru usai menangis. Khuatir kalau Encik Rizal menyedari pembohonganku tadi. Aku yakin Encik Rizal aku terus bertanya pelbagai persoalan.
“Cantik awak bertudung,” pujinya. Aku tersenyum. Encik Rizal terus mengajakku masuk ke bilik pejabat. Kelibat Encik Rustam tidak kelihatan di sini. Mungkin sedang memantau di bahagian operasi.
“Duduk, Iman,” pelawanya mempersilakan aku duduk di sofa ini. Aku akur. Encik Rizal juga sudah duduk bertentangan denganku. Seketika wajahku ditatap. Lama.
“Betul ke awak okey ni? Saya tengok mata awak merah je macam orang lepas menangis,” komen Encik Rizal sambil terus menatapku. Aku diam. Saat ini aku sudah tidak mampu mengukir senyuman walaupun hanya senyuman paksa. Keprihatinan yang ditunjukkan oleh Encik Rizal tika ini membuatkan aku terharu dan hiba. Tiba-tiba air mataku menitis keluar. Laju tanganku menyeka. Encik Rizal kelihatan terkejut.
“Kenapa ni, Iman?” soalnya kerisauan.
“Awak tak sihat ke? Kat mana sakitnya?” bertalu-talu soalan diajukan kepadaku. Tampak dia risau. Aku geleng kepala.
“Kenapa awak menangis? Cakaplah...,” gesa Encik Rizal.
“Hati saya sakit Encik Rizal,” ujarku perlahan bersama deraian air mataku. Encik Rizal terpaku menatapku. Dia kehilangan akal berhadapan dengan situasi sekarang. Mahu sahaja dia memeluk tubuh gadis itu cuba mendamai, namun akal waras menghalang bertindak sedemikian. Gadis itu tidak akan rela diperlakukan sebegitu. Malah dia juga tidak pernah memperlakukan mana-mana gadis sedemikian.
Aku cuba tersenyum kepada Encik Rizal, namun air mataku terus berderai. Sekarang aku hanya mampu mengukir senyuman dalam tangisan. Seketika Encik Rizal membiarkan aku melayan perasaan dan tangisanku. Namun dia tidak mahu meninggalkan aku bersendirian di sini. Encik Rizal masih setia menemaniku. Pandangan matanya tetap terarah kepadaku. Entah kenapa dalam keadaan sekarang aku langsung tiada perasaan malu kepada Encik Rizal. Akhirnya tangisanku lenyap jua. Encik Rizal menyuakan sekotak tisu kepadaku. Kupandang wajah Encik Rizal, kemudian beralih pada sekotak tisu yang masih berada di tangannya. Aku tergelak sendiri. Disusuli oleh tawa Encik Rizal. Melihat sekotak tisu itu hatiku tercuit. Mesti air mataku sudah banyak tumpah sehingga dengan serius Encik Rizal menyuakan sekotak tisu itu kepadaku. Perlahan-lahan aku menghela nafas panjang. Lega. Kengaran deringan iPhone. Tanganku mengeluarkan dari beg galas. Kupandang nama yang tertera di skrin.
“Awak tak nak jawab panggilan tu?” soal Encik Rizal tatkala melihat aku hanya membiarkan iPhone berdering. Senyap. Berbunyi sekali lagi. Laju tanganku mengembalikan iPhone ke dalam beg galas. Bunyi deringan itu lenyap. Akhirnya tidak berdering lagi setelah aku enggan mengangkat. Encik Rizal menatapku. Seketika kami saling berpandangan. Pasti tingkahlakuku ini mengundang kehairanan. Tambahan pula tangisanku tadi menjadi persoalan.
“Kenapa awak menangis?” soal Encik Rizal. Senyap. Perlukah aku menceritakan segala-galanya kepada Encik Rizal bahawa hatiku telah hancur luluh. Cinta pertamaku yang hanya bertepuk sebelah tangan telah kecundang. Aku bakal berpisah dengan pemuda Korea itu.
“Orang yang call tu ke yang buat awak menangis?” soal Encik Rizal curiga. Perlahan-lahan aku geleng kepala cuba menafikan hakikat. Encik Rizal merenungku. Aku tertunduk.
“Iman...,” panggilnya. Aku mengangkat muka lalu bertentang mata dengan Encik Rizal.
“Saya takkan biarkan awak terluka. Saya janji akan lindungi awak,” ujar Encik Rizal serius buat hatiku sebak. Betapa aku tersentuh dan terharu dengan bicara Encik Rizal ini. Tanpa kupinta setitis air mata gugur ke pipiku lagi. Namun laju tanganku menyapu. Aku tersenyum. Tidak tega mempamerkan deraian air mataku di depan Encik Rizal. Seketika aku dan Encik Rizal hanya mendiamkan diri. Pandangan Encik Rizal yang langsung tidak berganjak dariku cukup jelas memperlihatkan kerisauan dan simpatinya.
“Maafkan saya, Encik Rizal...,” tuturku perlahan. Rasa bersalah kerana mewujudkan suasana yang tidak elok pada pertemuan ini. Dia tersenyum.
“Kalaulah tangisan itu mampu luahkan segala kedukaan awak, menangislah sepuas-puasnya. Saya tak kisah malah tetap setia menemani awak,” ujar Encik Rizal lembut menusuk kalbu. Betapa aku terusik dengan bicara ini. Ya Allah, betapa suci hati lelaki ini. Setiap patah bicara yang keluar dari mulutnya begitu menyentuh perasaanku. Kejujuran dan keikhlasan jelas terpamer di wajahnya. Aku cukup tenang dan damai bersama lelaki ini.
“Terima kasih, Encik Rizal...,” tuturku sebak. Encik Rizal tersenyum.
“Dari dulu dah saya terima kasih awak,” sahut Encik Rizal tersenyum mengusikku. Aku turut tersenyum. Pandai dia menyakatku.
“Awak dah okey sekarang?” soal Encik Rizal setelah melihat aku mampu tersenyum. Aku mengangguk. Kadangkala tangisan itu penawar kedukaan. Tangisan mampu meluahkan bebanan emosi yang gundah-gelana. Sekarang emosiku mula reda. Encik Rizal masih tersenyum menatapku.
“Awak lapar tak? Saya apar...,” ujar Encik Rizal mengadu.
“Biar saya temankan Encik Rizal makan,” pintaku buat senyuman Encik Rizal kian lebar. Barangkali memang diharapkan aku bisa menemaninya makan tengah hari ini.
“Mari...,” ajak Encik Rizal. Hampir serentak aku dan Encik Rizal bangkit dari sofa lalu beriringan melangkah ke muka pintu. Teman-teman TSM tersenyum-senyum mengusik tatkala melihat kemunculan Encik Rizal bersamaku.
“Selamat tengah hari, Encik Rizal. Nampak berseri-seri je Encik Rizal hari ni,” sapa Ruran mengusik Encik Rizal. Usikan yang cukup kufahami. Ada makna tersirat di sebalik ungkapan itu. Rasanya Encik Rizal pun mengerti dengan usikan orang bawahan selama ini.
“Apa tak berserinya kan ada bunga penyeri di sebelah tu. Betulkan Encik Rizal,” suara Amenda mencelah. Kali ini lebih jelas lagi usikan tersebut. Aku dan Encik Rizal hanya tersenyum. Aku sudah lali dengan usikan teman-teman yang pantang melihat aku bersama Encik Rizal. Tanpa mengendahkan usikan mereka, aku dan Encik Rizal meninggalkan TSM. Tujuan kami hanya satu iaitu mengisi perut yang mula berkeroncong kelaparan. Maklumlah sudah tiba masa untuk menikmati hidangan tengah hari. Aku dan Encik Rizal melewati ruang legar lobi DHL. Harapanku hanya satu agar aku tidak dipertemukan dengan pasangan kekasih itu lagi. Lantas percepatkan langkahku. Tidak kisah kalau menimbulkan keraguan Encik Rizal melihat tingkahlakuku ini kerana aku ada alasan tersendiri.
“Cepat awak jalan,” tegur Encik Rizal.
“Dah kelaparan sangat ni, Encik Rizal,” sahutku memberi alasan. Encik Rizal tersenyum.
“Kalau lapar makan banyak-banyak nanti,” arah Encik Rizal mengusikku. Aku senyum.
“Saya akan makan banyak. Encik Rizal jangan pula hairan nanti,” sahutku berjenaka. Encik Rizal tergelak.
“Tak hairanpun. Orang yang lepas menangis memang kena makan banyak nak dapatkan tenaga balik,” balas Encik Rizal. Aku tergelak. Bicara Encik Rizal mencuit hati. Betulkah menangis boleh menghilangkan tenaga? Tidak pula aku tahu kesahihan fakta ini. Apa yang pasti Encik Rizal telah mengembalikan keceriaanku.
“Terima kasih, Encik Rizal,” tuturku. Encik Rizal menatapku dengan dahi yang berkerut. Hairan dengan ungkapan penghargaanku yang baru sahaja keluar dari mulutku. Langkahku dan Encik Rizal terhenti di ruang lobi hotel ini.
“Terima kasih sebab Encik Rizal sentiasa bersama saya sama ada tika saya gembira, tika saya duka, tika saya sihat mahupun tika saya sakit. Encik Rizal tak pernah pun biarkan saya sendirian malah sentiasa menceriakan saya,” tuturku jujur. Senyuman lebar sudah menguntum di bibir Encik Rizal. Betapa hatinya teruja mendengar bicara gadis itu. Sejak mengenali gadis itu memang perkara itu yang ingin dilakukan. Cuba menggembirakan dan menceriakan hidup gadis itu.
“Saya tak tahu macam mana saya nak balas budi Encik Rizal ni,” luahku sebak sebab aku tidak mampu membalas. Encik Rizal geleng kepala.
“Saya tak pernah mengharapkan sebarang balasan. Kalau awak bahagia itu dah cukup buat saya,” tutur Encik Rizal buat aku terharu. Ya Allah, Engkau berikanlah segala kebaikan kepada lelaki ini. Hatinya suci luhur.
“Cuma satu je yang saya harapkan dari awak,” bicara Encik Rizal tergantung. Kutatap wajah Encik Rizal. Tidak sabar-sabar hendak mengetahui. Terasa jantungku berdebar-debar.
“Apa harapan Encik Rizal tu?” soalku.
“Saya nak awak hidup baik-baik dan jangan sesekali mengalah dengan apa yang berlaku. Awak mesti kuat melawan musuh awak,” tutur Encik Rizal menambah persoalan di kepalaku.
“Musuh saya? Maksud Encik Rizal?” soalku tidak mengerti. Encik Rizal tersenyum. Setahuku tiada sesiapa yang bermusuhan denganku. Tidak tahulah kalau ramai yang menganggap aku musuh mereka terutama Velviana. Teringat kembali pada bicara Encik Rizal sebentar tadi. Layakkah aku berjuang untuk mendapat cinta itu sedangkan sejak azali mereka memang pasangan kekasih. Sanggupkah aku menghancurkan perasaan kaum sejenisku semata-mata untuk kepentingan sendiri. Aku tersenyum lantas malu pada diri sendiri. Tidak perlu berfikir banyak persoalan sedangkan hakikatnya Yen memang sudah milik Velviana. Hati Yen hanya ada Velviana. Paling penting sejarah percintaan tiga segi antara abah, ibu dan Mak Long tidak mungkin berulang lagi. Aku tidak mahu berlaku kejam pada diri sendiri lantaran membiarkan diriku hanyut dalam cinta yang tidak bersambut. Malah tidak mahu berlaku kejam kepada Velviana untuk menjadi parasit pada percintaan mereka.
“Musuh awak ialah kesedihan awak itu. Awak berhak untuk hidup bahagia di dunia ni. Nikmati kebahagiaan dan hapuskan kesedihan tu,” pinta Encik Rizal buat aku terdiam panjang. Betapa kesedihan itu jelas terpancar di wajahku lantaran selama ini kehidupanku diselubungi kesedihan yang panjang. Dalam usia kanak-kanak aku kehilangan abah dan ibu. Kemudian aku menumpang kasih nenek tanpa disenangi oleh Mak Long dengan kehadiranku itu. Kepergian nenek menambah kedukaanku. Aku menumpang kasih pula kepada keluarga Pak Long tanpa restu Mak Long. Sekian lama Mak Long membenciku. Aku diperkenalkan dengan pemuda Korea yang sudah dimiliki hatinya. Aku yakin aku tidak akan jatuh cinta kepadanya. Namun takdir yang menentukan segalanya. Soal hati dan perasaan ternyata aku gagal mengawal. Hatiku terguris meratapi kecundang cinta pertamaku ini. Cinta yang tidak bersambut. Bilakah berakhir kedukaan ini? Masih adakah sinar bahagia buatku? Aku melepaskan keluhan kecil. Kutatap wajah lelaki yang sedang terpacak di depanku saat ini. Ya Allah, lelaki inikah yang Engkau utuskan untuk memadamkan kedukaanku yang berpanjangan ini lantas membahagiakan hidupku.
“Iman ssi...!!!” Kedengaran suara Yen melaung namaku. Serentak aku dan Encik Rizal berpaling. Yen dan Velviana sedang bergerak ke arah kami. Seminit kemudian mereka sudah terpacak di depanku dan Encik Rizal. Velviana melontar pandangan serius ke arahku.
“Kenapa awak tak jawab panggilan saya tadi?” soal Yen serius. Encik Rizal menatapku. Terbongkar sudah gerangan si pemanggil yang tidak aku endahkan itu. Sesuatu sedang bermain di fikiran Encik Rizal. Aku tidak mahu dia mengetahui aku menangis kerana pemuda Korea ini. Sungguh aku mahu merahsiakan!
“Awak menangis ke?” soal Yen sambil merenungku.
“Takdelah...,” nafiku lantas mengukir senyuman.
“Tadi awak kata nak minta saya belanja awak makan,” ujar Yen.
“Saya yang suruh Yen ajak awak makan dengan kami. Saya nak minta maaf sebab agak kasar dengan awak tadi,” suara Velviana mencelah bagai tidak ikhlas dengan bicara itu. Seperkara lagi bagaimana dia boleh berbicara sedemikian sedangkan perjanjian makan tengah hari bersama Yen sudah dipersetujui sebelum kemunculannya. Aku tahu Velviana cuba melindungi cemburunya lantaran itu dia berusaha sendiri menyenangkan hati. Kasihan Velviana.
“Kebetulan kami pun nak makan. Marilah kita makan sama-sama,” cadang Encik Rizal. Senyap. Encik Rizal menatapku.
“Awak tak kisah kan?” soal Encik Rizal. Aku mengangguk.
“Kamu..?” soalan itu beralih pula kepada Velviana dan Yen.
“Cadangan yang bagus. Kita makan sama dengan mereka Sayang,” tutur Velviana mula mempamerkan lagak manja. Lengan Yen sudah dipeluk erat. Aku sekadar melontar pandangan kepada mereka. Sempat juga bertentangan mata dengan Yen. Tadi bukan main Velviana mengutukku konon aku buat kesalahan besar tatkala berdua-duaan dengan Yen yang bukan muhrimku. Dia tidak tahu bahawa kekasih yang dicintai ini sebenarnya ialah insan yang melafazkan akad nikah ke atasku. Yen Aeiqal Shuen bin Kamarudin Yen ialah suamiku yang sah.
“Mari...,” ajakan Encik Rizal mengejutkan aku. Kupandang Encik Rizal lantas tersenyum. Betapa aku alpa seketika menyaksikan kemesraan mereka. Pasti Encik Rizal menyedari tingkahlakuku sebentar tadi. Maka kejadian tadi sudah tidak menjadi rahsia lagi. Kebijaksanaan Encik Rizal mampu mencari jawapan pada semua persoalan itu.
“Kita makan kat restoran depan tu ye. Kat sana hidangan sedap,” cadang Velviana seraya berpaling ke arah aku dengan Encik Rizal yang mengekori langkah mereka. Tangan Velviana tetap memeluk erat lengan Yen yang sentiasa berwajah serius. Aku tahu kemarahannya kepadaku belum padam lagi lantaran panggilan yang tidak aku endahkan tadi.
“Okey, kami ikut je,” sahut Encik Rizal mewakiliku. Lantas aku dan Encik Rizal meneruskan langkah mengekori langkah Yen dan Velviana. Pandanganku tetap terarah kepada Velviana dan Yen yang berada di depanku tika ini. Cinta mendalam Yen terhadap Velviana memadamkan kekhuatiran. Dia tidak risau hubungan cintanya dengan Velviana diketahui oleh keluarganya. Dia begitu mesra bersama Velviana di khalayak umum ini.
“Awak okey?” soal Encik Rizal menyentakkanku. Kupandang wajah Encik Rizal meminta penjelasan terhadap persoalannya itu.
“Saya tengok awak macam tak selesa je bersama mereka,” luah Encik Rizal. Laju aku geleng kepala. Nampak sangatkah reaksiku ini di mata Encik Rizal? Kini kami sudah berada di luar DLH lalu menyeberangi jalan besar yang menyediakan enam laluan yang bertentangan untuk ke restoran di depan sana.
“Kita kena hati-hati... kekasih dia tu garang sangat,” bisikku cuba berlawak memadamkan kecurigaan Encik Rizal kepadaku. Aku dan Encik Rizal tergelak. Pasti Encik Rizal masih teringat kejadian Velviana menyerangku di RCC dulu. Pada masa itu Encik Rizal mengaku bahawa dialah kekasihku semata-mata mahu memadamkan amukan Velviana sekali gus melindungiku. Mendengar bunyi tawa yang berpadu itu hati Yen panas. Betapa dia tidak suka mendengar keriangan yang dikongsi bersama itu. Dia mendengus kasar. Velviana yang masih berpaut di lengannya mendongak wajah kekasihnya itu.
“Apa hal? Awak tak suka ke sepupu awak tu bercinta dengan bos dia,” teka Velviana kurang senang. Yen mempamerkan wajah kelat. Dia mendengar ada tawa bergema lagi. Laju dia berpaling. Tiba-tiba pandangannya terarah pada kereta sport merah yang meluncur laju itu. Dia berpaling semula ke arah pasangan yang leka berbual sambil tertawa riang itu. Kehadiran kereta sport merah itu langsung tidak disedari oleh mereka. Yen bertindak pantas. Pautan tangan Velviana terlerai. Dia terus menerpa ke arah gadis itu.
“Iman ssi... hati-hati...!” Sekelip mata Yen mendakap tubuhku lalu kami sama-sama terhumban ke tepi. Semua berlaku begitu pantas. Aku sempat melihat buntut kereta sport merah itu meluncur laju melewatiku.
“Yen...!” jeritan lantang Velviana menyedarkanku.
“Iman, awak okey?” soal Encik Rizal sambil meluru bersama Velviana mendapatkan aku dan Yen. Aku mengangguk dan bagai baru tersedar. Lantas aku berpaling. Aku nampak sekujur tubuh Yen yang terbaring tidak bergerak-gerak lagi. Ada darah mengalir perlahan-lahan dari dahi lalu menuruni pipi. Aku tergamam.
“Jang Geun Sik...! Jang Geun Sik..!!” Panggilku lantas menggegar tubuh Yen. Masih tidak bergerak. Aku semakin ketakutan. Lantas kutepuk pipi Yen beberapa kali mengharap dia akan membuka mata. Terasa panas membasahi pipi. Aku tidak mahu sesuatu yang buruk menimpa Yen.
“Semua ni salah awak...!” Velviana dengan kasar menolak tubuhku. Aku tersungkur ke belakang. Lantas Velviana memeluk tubuh Yen yang tidak bergerak-gerak lagi sambil meraung-raung. Encik Rizal memapahku bangun.
“Saya dah hubungi ambulans. Sekejap lagi mereka sampai...,” ujar Encik Rizal cuba menenangkan Velviana dan aku.
“Kalau berlaku apa-apa pada Yen, saya takkan lepaskan awak...!” jerit Velviana histeria dengan pandangan tajam ke arahku. Aku semakin takut. Aku juga tidak mahu sesuatu yang buruk menimpa Yen. Air mataku semakin lebat membasahi pipi.
“Awak okey?” soal Encik Rizal lagi. Pertanyaan Encik Rizal tidak mampu kujawab. Pandanganku tetap terarah pada Yen.
“Oh, My God, siku awak berdarah,” suara cemas Encik Rizal menyentakkanku. Aku melihat titasan darah sudah mengalir keluar perlahan-lahan.
“Mari kita berteduh di sana,” pinta Encik Rizal menarik tanganku beredar dari kepanasan terik mentari tu. Aku geleng kepala.
“Saya takkan tinggalkan dia,” tegasku dengan pandangan yang masih terikat pada Yen yang berada di pangkuan Velviana. Ambulans datang. Yen diusung masuk ke dalam kereta ambulans lantas dikejarkan ke hospital. Dia ditemani oleh Velviana ketika ini. Aku ingin pergi bersama tetapi Velviana menolak kehadiranku di situ. Lantas Encik Rizal mengajakku pergi ke hospital dan cuba mendapatkan rawatan atas kecederaan ringan ini.
“ Dia akan selamat kan,” tuturku kepada Encik Rizal. Encik Rizal mengangguk. Ya Allah, Engkau lindungilah Yen.
“Kalaulah saya tak cuai semua ni takkan berlaku...” keluhku menyesal. Air mataku terus mengalir. Aku menangis lagi. Encik Rizal yang berada di sebelahku membiarkan aku melayan perasaan kesal. Dia sedar bahawa dia tidak mampu mengawal emosiku lantas menghentikan tangisanku ini.
“Semua ni bukan salah awak. Rasa tanggungjawab dan keinginan untuk melindungi awak membuatkan dia sanggup membahayakan diri. Dia perlukan sokongan awak,” tutur Encik Rizal. Aku berpaling. Aku dan Encik Rizal bertentangan mata. Tangisanku terus lenyap.
No comments:
Post a Comment