Thursday, 23 February 2012

Milik Siapakah Hati Ini? 7



Bab 7

Sepanjang perjalanan balik sehinggalah aku sampai di rumah sewa kami, aku masih memikirkan tentang pemuda tadi. Terkeliru dan terkejut. Itulah yang menyerang diriku saat ini. Terkeliru kerana dia seakan tidak mengenaliku dan terkejut kerana aku dipertemukan dengannya pada saat aku belum cukup bersedia.

Aku langsung tidak menjangka akan berhadapan dengan wajah itu lagi setelah aku meluputkan dari ingatanku. Pada pendapatanku, aku hanya berhadapan dengan  wajah itu pada hari pertama ketika aku menyerangnya dan pada hari itu juga merupakan pertemuan terakhir kami secara bersemuka. Selepas itu aku tidak akan menemuinya lagi setelah seminggu aku mempersiapkan diri menunggu kemunculannya. Kata hatiku telah memutuskan bahawa itulah pertemuan pertama dan terakhir antara aku dengannya.

Namun hari ini, tiba-tiba saja dia terpacak depanku malah turut mencelah perbualanku dengan Anie. Sesuatu yang cukup memeranjatkanku. Mujur juga dia tidak berkasar denganku. Barangkali dia sudah lupa tentang pertemuan pertama kami yang penuh dengan trajedi. Seperkara lagi yang memusykilkanku tentang identiti dirinya. Betulkah dia pemuda Cina itu? Atau jangkaanku yang silap? Maksudku orang yang serupa tetapi aku tersilap meletakkan identiti sebenar dirinya. Mana mungkin Kak Sofea dan Anie bersahabat dengan ahli kongsi gelap jikalah benar telaahku padanya.

Semuanya berlegar-legar di ruang kepalaku. Buntu. Aku gagal menemui jawapan yang sejelas-jelasnya. Apakah dia pura-pura tidak mengenaliku? Kemudian akan muncul semula membinasakan nasib baikku. Ahh....! Logik kata Lina. Andai pemuda itu di kalangan ahli kongsi gelap, dia tidak perlu memanjangkan waktu untuk memberi pengajaran kepadaku. Ibarat si harimau buas yang akan terus menerkam mangsanya.

Aku meletakkan kepalaku di sofa, mendongak hamparan siling yang putih ceria. Mataku langsung tidak berkedip-kedip. Aku nampak bayangan wajahnya di mataku. Aku melihat senyumannya. Lagaknya ibarat seorang kawan. Datang dan pergi dengan penuh santun. Kenapa sebentar tadi dia tidak berdiri di depanku sebagai musuh? Sakit kepalaku memikirkannya.

Entah kenapa aku terlalu serius dengan perkara ini. Mungkin Anie boleh memberikan jawapan yang terbaik buatku. Anie? Ohh... pasti dia akan mempersoalkan refleksiku terhadap pemuda itu. Dijangka Anie akan menghujaniku dengan pelbagai persoalan selaras dengan bidang kewartawanan yang dituntutnya. Anie tolong jangan soal aku tapi berilah aku jawapannya! Jerit hati kecilku.

“Nitie.... bangun” sayup-sayup ada suara lembut berbisik di cuping telingaku. Perlahan-lahan kuangkat kedua-dua belah kelopak mataku. Lina sedang menunduki aku yang terbaring di sofa. Rupanya aku tertidur tadi. Terasa lenguh-lenguh seluruh anggota badanku.

“Dah dekat nak Maghrib” beritahunya sambil berganjak menjauhiku.

Aku bangun dan tersandar di sofa. Belum berniat untuk meninggalkan ruang tamu. Lina kembali dari dapur dan terus melabuhkan punggung berhadapan denganku.

“Kau tak sihat ke?” soalnya sambil menatapku.Aku hanya geleng kepala.
“Rasa letih sangat hari nie” tuturku perlahan.Yalah setalah memerah otak sehabisnya. Aku rasa lesu sangat sehingga akhirnya aku terlelap di sofa ini. Kutatap wajah Lina.

“Kenapa? Kau nak cakap sesuatu ke?” duganya. Barangkali dia menyedari sikapku sedikit ganjil hari ini. Pantas aku geleng kepala. Bingkas aku bangun dan berniat untuk masuk ke bilik. Aku ingin segera mandi agar aku dapat menyegarkan kembali diriku. Sekurang-kurangnya air adalah penawar kesegaran tubuh badan yang paling mudah ditemui.

“Nitie, kau ada masalah ke?” Langkahku terhenti. Aku berpaling semula menatap Lina. Hanya gelengan kepala yang mampu aku berikan sebagai jawapan atas persoalannya itu.

“Orang baru bangun tidur memang tak banyak cakap” luahku bersuara cuba mengusir kebimbangan Lina padaku. Lina ketawa. Sudah cukup aku menyakinkan Lina bahawa aku tidak menghadapi sebarang kesulitan. Tiada perkara yang serius menimpaku. Lantas kusambung kembali langkahku. Aku mandi sepuasnya. Lama juga aku berada di bilik air. Bila terasa tubuh mula menggigil barulah aku berhenti.

“Nitie... jom makan” laung Lina memanggil namaku. Aku bergegas keluar. Kulihat Lina sudah menantiku di meja makan. Aku duduk bertentangan dengannya.

Sorrylah aku tak sempat tolong kau masak” ujarku serba salah.
“Takpe masih ada kerja lain aku tinggal untuk kau” Aku tersenyum. Seketika sepi. Sesekali kedengaran sudu dan pinggan berlaga.

“Emm.. sedap” pujiku sambil melumat sambal tumis udang yang Lina masak. Lina tersenyum bangga mendengar pujianku.

“Lain kali kau masak lagi untuk aku ye” sakatku.
“Banyak cantik muka” cemuh Lina. Aku tertawa. Kuceduk lagi sambal tumis udang dan sayur campur. Malam ini memang menyelerakan.

“Tengok aku banyak makan” Lina tersenyum.

“Kau tu dah kereping kenalah ambik lebih sedikit” perlinya. Sekali lagi aku ketawa. Lucu aku mendengar gelaran yang Lina berikan kepadaku itu.

“Lelaki tak suka kalau kurus sangat” ujarnya memperingatkanku. Aku hanya tersengih. Barangkali satu hakikat yang harus aku terima.

“Kau tahu pagi tadi siapa yang aku jumpa” tuturku berteka-teki. Lina menatapku.

“Siapa?” soalnya pantas.

“Pemuda Cina yang kotorkan bajuku tu”

“Kat mana kau jumpa dia? Dia ada buat apa-apa tak?” soalnya Lina bertimpa-timpa. Aku tersenyum melihat sikap Lina yang tidak pernah berubah. Sering saja pertanyaannya berlumba-lumba tanpa mempastikan yang mana satu harus didahulukan. Pandangan Lina masih padaku.

“Kat kedai bunga tadi. Siap sekali bercakap denganku. Aku rasa dia tak cam muka aku”ceritaku.

“Betul ke dia tu ahli kongsi gelap?” soal Lina lagi. Aku angkat bahu. Tidak dapat kupastikan kenyataan itu. Yang jelas pada pandangan mataku aku melihat ada tali hitam halus merantaii lehernya, sesuatu yang tidak terlalu asing buat pemuda-pemuda Cina. Barangkali dia menggantungkan azimat di situ. Entah kenapa perkara remah itu pula yang menarik perhatianku.

“Aku rasa dia tu taklah bahaya sangat” komenku sebegitu yakin. Tiba-tiba saja aku dapat rasakan bahawa dia bukanlah seorang yang samseng. Mungkin tepat pemuda itu bukanlah seorang ahli kongsi gelap. Adalah sesuatu yang mustahil kalau Kak Sofea dan Anie mempunyai hubungan baik dengan kumpulan sebegitu.

“Okeylah kalau kau rasa macam tu” sokong Lina menyedapkan hatiku.

“Yang lawaknya aku betul-betul terkejut dengan kemunculannya di depanku itu. Langsung satu perkataan pun tak keluar dari mulutku” ceritaku disusuli gelak mentertawakan diriku sendiri.

Lina turut tertawa. Agak melucukan juga bila aku yang rancak berbual dengan Anie tiba-tiba saja kehilangan suara untuk terus berbicara. Apatah lagi gambaran wajahku tika itu. Kemunculannya itu benar-benar mengundang seribu rasa dihatiku. Tergamam, terkejut, takut, semuanya berbaur menjadi satu.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Aku tercengat di luar berdekatan dengan kelas menanti kedatangan Adie. Petang tadi dia sudah menyatakan akan datang menjemputku sebaik saja kelas tamat. Walaupun pada mulanya aku keberatan kerana takut menyusahkannya, namun setelah dia menyatakan kedatangan semata-mata ingin melepaskan kerinduan kepadaku, aku tiada alasan lain untuk menghalangnya menjemputku. Nun jauh di sudut hati aku pun merinduinya malah aku cukup gembira menerima kehadiran Adie.

“Nitie tak balik lagi?” tegur Noni kawan sekelasku.

“Tunggu kawan ambik” balasku tersenyum.

Okay see you tomorrow” ujarnya lalu bergerak meninggalkan aku. Beberapa minit selepas Noni berlalu meninggalkan aku, Adie pun muncul tepat-tepat di depanku. Aku segera memasuki kereta lalu duduk di sisinya. Adie tersenyum menatapku.

“Lama tunggu?” soalnya bersuara.

“Tak, kelas baru je habis” terangku. Adie terus saja memandu kereta ke jalan utama. Lagu When Will I See You Again yang disampaikan melalui petikan piano beralun merdu memenuhi ruang sepi. Aku sudah cukup hafal dengan lagu-lagu yang terdapat dalam koleksi Romantic Piano milik Adie ini. Sungguh aku menyukai petikan piano yang dimainkan oleh Richard, seorang pemain piano profesional.

“Dah makan?” soal Adie sambil menoleh kepadaku.

“Belum. Jom kita makan” ajakku tanpa segan silu.

Adie mengangguk dan tersenyum. Kami makan di sebuah restoran yang menyediakan makanan laut. Seperti biasa aku menyerahkan sepenuhnya kepada Adie untuk menentukan menu. Adie sudah arif benar tentang seleraku. Dia mengetahui jenis masakan apa yang aku gemar makan atau masakan apa yang akan ditolak oleh tekakku. Kiranya aku ini agak cerewet jugalah dalam pemilihan makanan. Namun dalam bab ini Adie tidak menghadapi masalah tika melayani seleraku. Tahu apa sebabnya? Kerana Adie adalah aku dan aku adalah Adie.

Aku dan Adie memiliki citarasa yang sama. Sesuatu yang amat menarik dan jarang sekali ditemui pada orang lain biarpun pasangan yang tengah hangat bercinta. Maka dengan itu juga aku tidak perlu bersuara setiap kali makan di luar bersama Adie. 

 “Makan banyak sikit” arahnya seperti selalu. Aku menatap udang galah bakar di depanku. Tampak menyelerakan. Pantas saja aku mencapai pisau dan gerpu. Perlahan-lahan kuletak ke dalam mulut kerana bahangnya masih terasa. Sedap.

“Macam mana dengan kelas?” soal Adie mematikan tumpuanku sepenuhnya pada hidangan di depan ini.

“Okey. Cuma busy sikit” jawabku ringkas. Adie tersenyum. Tanpa aku cerita pun Adie sudah tahu sebab dia juga pernah melalui saat-saat itu malah lebih hebat lagi terutama tika dia melanjutkan pelajaran di over sea. Bukan setakat tekanan pelajaran malah keadaan hidup di negara asing juga turut memberikan tekanan hebat padanya. Pada yang lemah pasti akan tersungkur.

“Tapi lama lagi nak real exam, kan” tuturnya cuba menenangkanku. Aku mengangguk.

However, aku kena prepared awal” balasku masih ada sisa-sisa kerisauan. Aku tidak mahu gagal dalam erti kata sebenar. Kalau boleh masa dan tenaga yang kukorbankan selama ini akan membuahkan hasil yang cukup membanggakan.

“Jangan risau, aku yakin kau mampu lakukan yang terbaik. You are strong person” tutur Adie membuatkan aku tertawa.

Wajahku kembali ceria. Harap-harap aku tidak akan menghampakan diriku sendiri. Jauh sekali menayangkan wajah murung pada Adie, Lina dan Kak Sofea. Kalau boleh aku ingin menghadiahkan kejayaanku kepada mereka yang selama ini memberikan sokongan padu padaku.

“Nitie, aku nak jumpa kawanku kejap” suara Adie mengejutkanku. Kulihat Adie sudah bangun dan bergerak mendapatkan kawannya. Tanpa pedulikan orang di sekelilingku yang semakin ramai, aku terus melayan seleraku. Sesekali memandang ke arah Adie yang sedang berbual-bual dengan kawannya itu.

“Fan..., give me five minute” pintanya sambil sempat tersenyum pada Adie yang baru saja dikenalinya itu. Gadis berambut perang itu terus saja bangun tanpa memberitahu tujuan sejelas-jelasnya. Dari jauh nampak dia mengeluarkan telefon bimbitnya. Rupanya dia ingin membuat panggilan.

“Kat mana kau jumpa gadis mat salleh tu?” Fandi tersenyum lebar. Baginya bukan sesuatu yang sukar untuk mengajak gadis-gadis cantik menemaninya ke mana saja.

Mix, Eurasian and Chinese” ujarnya memperbetulkan tanpa menjawab persoalan tadi. Adie hanya tertawa menyedari akan kesilapannya itu. Gadis yang dikenalinya sebagai Clarissa itu nampak up to date sangat tidak kira sama ada dari segi penampilan mahupun sikapnya.

“Aku dah accept. Thanks kerana tolong aku” Fandi hanya senyum. Dia tahu sudah menjadi kewajipannya untuk menghulurkan bantuan kepada sahabat karibnya itu. Mana tahu suatu hari nanti dia juga perlukan pertolongan daripada sahabatnya itu.

“Clarissa dah habis berbual tu, aku pergi dulu” ujar Adie seraya bangun ingin meninggalkan Fandi bersama gadis itu.

“Jumpa kat office esok” Adie hanya mengangguk lalu meninggalkan Fandi yang ditemani gadis cantik itu. Dia tidak mahu kewujudannya di situ akan mengganggu special night mereka. Sudah cukup dia menegur sapa sahabatnya itu. Kebetulan pula ada seseorang yang sedang bersendirian menanti akan kedatangannya. Itu lebih penting lagi.

Sorry lambat sikit”Adie kembali mendapatkan tempat duduknya.

“Aku jumpa kawan satu kerja tadi” ceritanya tanpa kupinta.

“Boleh berkenalan?” dugaku.

“Tak boleh. Bahaya” halangnya.

“Kenapa?” soalku hairan.

“Dia mata keranjang. Kebetulan dia very handsome and can get anyone” terang Adie bersungguh -sungguh sekaligus membuatkan aku tertawa panjang.

You not trust me?” soalku meminta kepastian.

“Bukan aku takut kau terpikat kat dia tapi aku takut dia terpikat kat kau” usik Adie sambil tersenyum lebar. Aku mencebik bosan. Pandai pula dia mengambil hati. Lebih sejam kami menghabiskan masa di situ. Kira-kira dalam pukul 11.20 malam aku sudah tiba di perkarangan rumah sewa kami.

Thanks” ujarku sambil tersenyum pada Adie.

“Tidur awal sikit ye” nasihatnya. Aku hanya mengangguk.

If you have any problem, don’t forget call me. Okay” ujarnya memperingatkanku untuk kesekian kalinya. Aku mengangguk lagi. Keprihatinan Adie kepadaku sememangnya tidak pernah luak.

“Jaga diri baik-baik” pesanku. Aku memerhatikan Adie berlalu sambil membalas lambaian tangannya. Perlahan-lahan aku mengatur langkah memasuki rumah. Tatkala daun pintu terkuak, aku nampak Lina sedang leka menonton tv. Aku bergerak mendekatinya.

“Hai... baru balik” sapanya tersenyum mendahuluiku. Aku mengangguk lalu singgah di situ untuk berbual seketika dengannya.

“Kau dah lama sampai?” soalku pula.

“Adalah dalam 30 minit. Bagaimana dengan date malam nie?” soalnya tersenyum.

“Okey” balasku ringkas. Pandangan kami sama-sama tertumpu pada kaca tv. Tiba-tiba saja ketawaku dan Lina berpadu. Aksi pelawak itu betul-betul melucukan hati. Aku menguap beberapa kali.

“Aku masuk dulu” beritahuku seraya melangkah meninggalkan Lina di ruang tamu.

“Nitie, aku ada letak buku yang kau nak kat atas meja study kau” beritahunya sekaligus mematikan langkahku. Pantas aku berpaling menatap Lina semula.

“Terima kasih Lina” tuturku gembira.

“Jangan lupa bayar tau” guraunya. Aku mengangguk dan tersenyum. Pantas kusambung kembali langkahku. A History of Education Before The Middle Ages, tulisan F.P. Graves menyambut kedatanganku. Aku tersenyum puas. Dengan adanya buku ini melengkapkan lagi reference collectionku.

Setelah siap membersihkan diri serta menukar pakaian, aku segera berbaring ke tilam dan buku tebal tadi sudah berada di tanganku. Kelazimannya sebelum aku melelapkan mata, sudah semestinya aku akan membaca sebarang buku untuk mengisi ruang yang ada sehinggalah aku rasa mengantuk.

Aku memulakan bacaanku pada muka surat pertama. Tanpa aku sedari rupanya jam sudah hampir-hampir mencecah ke pukul 1.00 pagi. Sungguh aku leka dengan ilmu baru yang kutimba. Mahu tidak mahu aku terpaksa menamatkan pembacaanku setakat itu dahulu walaupun keseronokan sudah mula terasa.

Aku harus tidur sekarang kerana esok aku perlukan tenaga untuk meneruskan rutin kehidupanku. Kuletakkan buku itu di meja di sisi katil lalu mematikan suis lampu. Aku membaringkan tubuhku semula. Kurapatkan kelopak mataku.

No comments:

Post a Comment