“Buat apa awak datang ke sini!” herdik Velviana lantas meluru ke arahku. Namun tangkas Encik Rizal menghalang langkahnya sebelum Velviana sempat menyerangku. Aku terlindung di sebalik tubuh sasa Encik Rizal.
“Bertenang Cik Velviana...,” ujar Encik Rizal cuba menenangkan dirinya. Velviana mendengus kasar.
“Lepaskan saya...!” arahnya lantang. Encik Rizal patuh. Namun sudah bersiap sedia kalau Velviana bertindak kasar terhadapku.
“Buat apa awak datang ke sini!” tegah Velviana garang sambil menatapku tajam. Aku hanya mendiamkan diri.
“Iman sepupu Yen. Dia berhak berada di sini. Kebetulan Yen cedera kerana nak selamatkan Iman,” ujar Encik Rizal lebih rasional. Velviana mendengus kasar. Tindakan kekasihnya itu tidak direstui. Timbul kemarahannya kepada gadis itu. Kenapa Yen perlu membahayakan nyawa demi menyelamatkan gadis itu. Nyawa yang terlalu bernilai dan hanya sanggup digadaikan untuk seseorang yang begitu bererti buat seseorang.
“Saya tak nak tengok muka dia ada kat sini! Pergi...!!! Pergi...!!!” jerit Velviana sehingga beberapa orang jururawat memandang ke arah kami.
“Iman, mari kita pergi,” ajak Encik Rizal beredar dari situ. Kupandang Encik Rizal. Terasa berat shatiku hendak meninggalkan Yen.
“Lengan awak tu perlukan rawatan juga. Nanti bila dah kemarahan Velviana reda kita datang ke sini balik,” tutur Encik Rizal memujukku.
“Saya risau berlaku sesuatu yang buruk pada Yen,” tuturku perlahan. Terasa anak mataku berkaca-kaca. Aku tidak mahu menyembunyikan ketakutanku mengenangkan nasib malang Yen.
“Diakan selamat,” ujar Encik Rizal cuba mententeramkanku. Kupandang Encik Rizal lagi.
“Mari...,” ajaknya lagi. Kali ini aku akur pada bicara Encik Rizal. Aku dan Encik Rizal berlalu meninggalkan Velviana sendirian di depan bilik kecemasan yang menempatkan Yen yang sedang dirawat oleh seorang doktor bersama pembantu. Betapa berat langkahku tika ini. Tanpa kupinta setitis air mata gugur ke pipiku. Laju tanganku mengesat.
“Awak jangan risau nanti saya ke sana tengok perkembangan Yen,” janji Encik Rizal cuba menenangkanku.
“Terima kasih...,” tuturku berbesar hati. Memang aku tidak mahu terlepas daripada mengikuti perkembangan Yen.
“Awak dapatkan rawatan untuk luka awak tu dulu,” ujar Encik Rizal sambil menunding jari pada sikuku. Aku mengangguk. Baru terasa perit. Aku mendapat rawatan pesakit luar. Luka di sikuku dibersihkan oleh pegawai pembantu perubatan. Kemudian dibalut. Ada pil penahan sakit dan cecair pembersih luka yang dibekalkan oleh pihak hospital.
“Saya hantar awak balik sekarang,” ujar Encik Rizal. Kupandang Encik Rizal. Aku ingin sekali kembali ke bilik kecemasan itu untuk mengetahui keadaan Yen sekarang.
“Velviana masih ada di situ. Awak tak boleh pergi ke sana sekarang,” ujar Encik Rizal dapat mengagak perkara yang sedang aku fikirkan tika ini. Aku melepaskan keluhan. Hampa. Ituah hakikat. Velviana tidak mahu aku berada di situ. Dia menyalahkan aku atas kecelakaan yang menimpa Yen. Memang salah aku juga sebab terlalu cuai dengan keadaan sekeliling. Kalau aku lebih berhati-hati semua ini tidak akan berlaku. Malah tidak perlu Yen membahayakan diri untuk menyelamatkan aku. Kecederaan Yen salahku. Memang patut Velviana marah dan bertindak kasar padaku.
“Awak balik dulu ye. Lepas hantar awak saya datang ke sini semula. Nanti saya beritahu awak perkembangan Yen,” pujuk Encik Rizal. Aku mengangguk. Lantas beriringan dengan Encik Rizal memulakan langkah untuk pergi. Tatkala melewati pintu laluan pemisah antara bahagian pesakit luar dengan ruangan kecemasan itu sempat juga aku memandang ke situ.
“Semoga tiada sesuatu yang serius menimpa awak, Jang Keun Sik,” bisik hatiku berdoa. Di dalam kereta BMW Encik Rizal ini, aku masih mahu melontar pandangan pada bangunan konkrit Hospital Utama ini. Bagaimanakah keadaan Yen sekarang? Sudah sedarkah dia? Andai sesuatu buruk menimpa Yen aku tidak akan maafkan diriku. Sumpah aku sanggup menjaga Yen sepanjang hayatku andai Yen sudah hilang keupayaan diri akibat kecelakaan itu. Nauzubillahminzalik...!!! Lindungilah dia ya Allah. Engkau sejahterakanlah hidupnya.
“Kita makan dulu,” ajak Encik Rizal. Aku berpaling menatap Encik Rizal.
“Maaf Encik Rizal, saya tak de selera nak makan sekarang. Boleh terus hantar saya balik rumah?” pintaku. Encik Rizal mengangguk tanpa sebarang bantahan. Dia faham dengan keadaanku sekarang. Encik Rizal memulakan perjalanan ini. Terasa begitu jauh sahaja perjalanan ini memandangkan aku dan Encik Rizal hanya mendiamkan diri.
“Awak dah call mak cik awak?” suara Encik Rizal memecah kesepian. Aku berpaling menatap Encik Rizal.
“Maksud saya ibu bapa Yen,” tutur Encik Rizal lebih terperinci. Lantas aku teringatkan Datuk Kamarudin dan Puan Sodiah. Perlukah aku maklumkan kepada mereka tentang perkara ini? Risau pula akan terbongkar segala-galanya kalau perkara ini sampai ke pengetahuan mereka. Velviana juga tidak akan berpeluang berjumpa dengan Yen lagi. Aku yakin Puan Sodiah tidak akan berenggang dengan Yen. Pasti dia mahu menjaga Yen di hospital.
“Iman, awak dengar tak?” soal Encik Rizal mengejutkanku. Aku mengangguk. Wahai pemuda Korea cepatlah engkau sembuh agar perkara ini tidak perlu dimaklumkan kepada keluarga.
“Awak tak nak beritahu mereka?” soal Encik Rizal lagi.
“Saya akan beritahu mereka,” sahutku berjanji. Encik Rizal mengangguk.
“Jangan risau mereka takkan salahkan awak,” tutur Encik Rizal bijak membaca reaksiku. Bukan itu yang aku risaukan. Aku buntu sekarang. Tidak tahu sama ada perkara ini didiamkan sahaja daripada pengetahuan keluarga Yen. Kalau Datuk Kamarudin dan Puan Sodiah dapat tahu keadaan Yen sekarang, bermakna Velviana terpaksa berpisah dengan Yen buat sementara waktu ini. Walau bagaimanapun, perkara ini harus diketahui oleh keluarga Yen. Kalau aku tidak cakap awal akan terbongkar juga nanti sebab DLH perlukan kehadiran Yen. Namun tidak tega aku hendak memisahkan Velviana dengan Yen. Saat begini Yen memang perlukan kehadiran Velviana.
“Awak berehatlah di rumah. Sampai hospital nanti saya tengok keadaan Yen. Saya akan call awak,” janji Encik Rizal ketika menurunkan aku di depan pintu pagar banglo milk Yen ini. Aku mengangguk.
“Terima kasih Encik Rizal,” ujarku berbesar hati.
“Jangan lupa selalu bubuh ubat kat luka tu,” ujar Encik Rizal mengingatkan aku. Aku mengangguk lagi.
“Masuklah... Saya dah nak pergi ni,” arahnya. Aku mengangguk.
“Hati-hati...,” pesanku. Encik Rizal tersenyum lalu memandu perlahan-lahan beredar pergi. Sempat dia melambaikan tangan kepadaku. Setelah kelibat Encik Rizal bersama kereta BMW hilang dari pandangan, barulah aku melangkah memasuki perkarangan banglo ini dengan langkah longlai. Kepalaku sarat memikirkan perkara tadi. Belum ada keputusan yang kuambil. Masuk ke bilik, aku terus membaringkan tubuh ke tilam. Kesakitan di sikuku terasa berdenyut-denyut. Kutatap skrin iPhone yang sudah berada dalam genggamanku. Aku tidak mahu berjauhan dengan iPhone ini kerana Encik Rizal sudah berjanji akan menghubungiku untuk memaklumkan keadaan Yen sekarang.
“Ya Allah, Engkau selamatkanlah pemuda Korea itu,” doaku tidak putus-putus. Aku menatap lagi skrin iPhone ini. Belum ada panggilan mahupun mesej yang kuterima. Aku mula gelisah. Kutatap jam. Mungkin Encik Rizal belum sampai ke hospital lagi. Barangkali juga Velviana menghalang kehadirannya ke situ. Harap-harap semua itu tidak akan berlaku. Sekarang aku hanya mampu menggantung harapanku kepada Encik Rizal untuk mengikuti perkembangan Yen. Nada dering mesej yang masuk memecah kesepian. Laju tanganku memaparkan mesej daripada Encik Rizal yang kuterima ini.
~ Saya ada letak nasi bungkus atas tembok pagar banglo mak cik awak. Nanti makan ye. Jangan lupa tau ~ sms Encik Rizal.
Aku menghela nafas panjang. Terbukti Encik Rizal belum berada di hospital lagi. Tidak sabar aku menunggu berita tentang Yen daripada Encik Rizal. Mahu sahaja aku mengarahkan Encik Rizal agar segera ke hospital lalu memaklumkan kepadaku tentang keadaan Yen sekarang. Itu lebih mustahak daripada memikirkan makanan yang perlu diisi ke dalam perutku. Namun aku patut menghargai keprihatinan Encik Rizal ini. Lantas kubalas mesej daripada Encik Rizal sebentar tadi.
~ Terima kasih, Encik Rizal ~
iPhone dalam genggaman kutenung lama. Aku masih menantikan kiriman mesej daripada Encik Rizal. Dalam masa yang sama aku membuat pertimbangan sama ada aku patut menghubungi keluarga Yen sekarang. Lantas aku teringat pada iPhone Yen. Mungkin aku boleh cuba menghubungi Yen. Mesti Velviana yang akan menjawab. Yen masih tidak sedarkan diri. Aku melupakan niatku itu. iPhoneku berdering. Laju aku menjawab panggilan itu.
“Assalamualaikum... Yen ditahan di bilik wad sekarang. Dia perlu berehat dan buat masa ni doktor melarang pelawat berkunjung,” jelas Encik Rizal.
“Bagaimana keadaan dia?” soalku ingin penjelasan lebih terperinci.
“Dia okey...,” Aku menarik nafas lega. Aku hanya perlukan jawapan itu.
“Bila dah doktor membenarkan pelawat datang nanti, awak pergi ler jenguk dia. Tapi buat masa ni Velviana masih bersama Yen,” ujar Encik Rizal yang cukup aku fahami. Maksudnya selagi Velviana ada di situ selagi itulah aku tidak berpeluang menjenguk Yen. Aku melepaskan keluhan.
“Saya dah tinggalkan nombor iPhone dan pesan pada seorang jururawat agar memaklumkan pada saya andai Velviana dah takde kat situ nanti,” ujar Encik Rizal melapangkan dadaku. Terharu dengan usaha yang telah Encik Rizal lakukan. Akhirnya seusai solat Maghrib barulah aku berkesempatan menemui Yen. Aku menatap Yen yang sedang terbaring di katil dengan mata yang terkatup. Menurut Encik Rizal sejak tadi dia belum jaga lagi. Mujur juga tidak ada calar-calar pada wajahnya. Lengan dan kepalanya juga berbalut. Risau aku mengenang jikalau kepala Yen terhentak kuat. Kepala merupakan bahagian yang sensitif. Malah di situ letaknya otak yang berfungsi untuk berfikir secara optimum lalu mengawal tingkahlaku serta nadi kesempurnaan manusia untuk menjalani hidup.
“Assalamualaikum... anyonghaseyo, Jang Geun Sik,” sapaku sambil menatap wajah putih bersih itu. Kelihatan Yen persis sedang tidur nyenyak.
“Jangan panggil saya dengan nama tu!” terngiang-ngiang suara Yen di telingaku. Aku tersenyum sendiri.
“Saya harap awak cepat bangkit dari katil ni sebab awak masih ada hutang dengan saya,” tuturku perlahan cuba mengingatkan Yen pada janjinya untuk belanja aku makan. Yen tampak begitu lena.
“Saya tak boleh lama-lama di sini. Velviana tak suka saya berada di sini,” ujarku memaklumkan perkara tersebut. Senyap. Terusik hatiku tatkala meluahkan bicara itu. Aku menghembuskan nafasku. Cuba melegakan diri.
“Salah awak juga sebab selamatkan saya...,” ujarku tersenyum sendiri. Sengaja mahu mengusiknya agar Yen cepat bertindak balas. Pantang dirinya dipersalahkan. Yen mudah melenting.
“Bukan...!!! Salah saya sebab terlalu cuai. Gomawoyo (terima kasih) kerana selamatkan saya…,” tuturku membetulkan bicaraku. Setitis air mata menitis di tangan Yen. Laju tanganku menyapu titisan air mata itu. Lalu kugenggam erat jemari putih bersih ini. Jemari sasa yang selalu memainkan melodi indah untuk kudengar malah sangat berjasa kepadaku sehingga aku mampu memetik tali gitar lantas mengalun melodi sendiri. Jemari nakal yang memelukku sehingga menimbulkan amarahku. Aku tersenyum sendiri tatkala mengimbas rentatan kisah yang kulalui bersama Yen selama ini. Semua itu telah menjadi kenangan terindah buatku. Aku harap genggaman tanganku ini mampu membangkitkan Yen. Dia mesti bangun untuk meneruskan perjuangan hidup.
“Awak mesti cepat sedar sebab saya perlukan pertolongan awak,” pintaku. Pertolongan agar aku tidak perlu berfikir lagi untuk membuat keputusan. Aku belum memaklumkan perkara ini kepada Puan Sodiah dan Datuk Kamarudin.
“Saya tak pasti sama ada saya harus merahsiakan perkara ini daripada keluarga awak. Saya rasa bersalah kepada Puan Sodiah dan Datuk Kamarudin sekarang… tapi … kalau saya maklumkan kepada mereka risau awak dan Velviana sukar nak bertemu lagi. Saya tak tahu mana yang terbaik untuk awak, Jang Geun Sik,” tuturku terus berbicara sendiri. Kehadiran Velviana memang diperlukan oleh Yen. Pasangan kekasih sentiasa saling memerlukan. Kutatap jam tangan. Mungkin sebentar lagi Velviana akan muncul di sini.
“Saya harus balik sekarang. Esok saya datang ke sini lagi. Awak harus cepat sedar agar saya boleh bawa awak balik. Saya tak suka tinggal sendirian di rumah awak,” tuturku sedaya upaya mengawal emosi. Kuleraikan genggamanku pada jemari Yen. Sayu hatiku menatap Yen.
“Mianhae (maaf) buat awak jadi begini,” tuturku kesal. Betapa sebak hatiku saat ini melihat Yen yang sudah tidak bermaya.
“Jang Geun Sik, awak mesti kuat menghadapi semua ini. Saya sentiasa ada di sini untuk bersama awak,” tuturku sendirian sambil menatap wajah Yen. Aku berpaling. Air mata menitis di pipi lagi. Tanganku dipegang. Lantas aku berpaling. Aku tergamam. Air mataku terus mengalir.
“Jang Geun Sik, awak dah sedar...,” tuturku sebak sambil menyapu air mata kegembiraan di pipi. Aku tersenyum menatap Yen. Dia sedang merenungku. Lama. Ada kehairanan terpamer di wajahnya.
“Awak ni siapa?” pertanyaan yang keluar dari mulut Yen menyentap tangkai jantungku. Terasa sesak nafasku tiba-tiba. Air mataku kian laju meluncur di pipi.
“Awak tak kenal saya ke? Saya Iman... Iman ssi...,” ujarku berusaha mengingatkannya kepadaku. Renungan Yen tidak beralih dari wajahku. Aku sudah tidak mampu mengawal diri. Aku menangis teresak-esak. Aku benar-benar bersalah dan ketakutan sekarang. Tidak sanggup aku menerima kenyataan kalau betul Yen hilang ingatan.
“Mianhae! Mianhae! Mianhae! (maaf),” pintaku dalam esakan. Sukar melenyapkan tangisan saat ini. Lantas aku merapati Yen. Kutatap wajah Yen.
“Saya Iman…Iman ssi…Isteri awak,” jelasku cuba mengembalikan memori Yen. Yen menatapku dengan pandangan kosong. Dia tidak mengenaliku lagi.
“Awak janganlah menakutkan saya,” ujarku berharap Yen akan kembali mengingati siapa aku sekali gus mengembalikan memori lalu.
“Awak tengok rantai yang saya pakai ni. Di loket ni ada tertulis nombor iPhone awak. Ni rantai yang awak suruh saya pakai selepas saya tersesat. Awak kata selagi rantai ni tergantung di leher saya selagi tu saya takkan tersesat,” ujarku bersungguh-sungguh seraya menayangkan loket dua butir bintang yang saling bertautan ini. Yen tercengang-cengang menatapku. Deraian air mata di pipi kukesat. Bagai aku sudah hilang semangat mahu mengajak Yen mengingati perkara lalu. Aku menarik nafas dalam- dalam. Kasihan Yen bagai orang yang tidak tahu apa-apa. Tampak kehilangan arah.
“Awak jangan risau, selagi saya hidup saya akan bersama awak. Saya akan jaga awak dan tolong awak mengingati semula kehidupan lalu awak. Saya akan pastikan awak sembuh,” ikrarku seraya menepuk-nepuk lembut bahunya. Senyap. Aku dan Yen saling berpandangan. Barangkali dia keliru dengan bicaraku ini.
“Ha…! Ha…! Ha…! Ha…!” Tiba-tiba Yen tergelak besar. Aku tergamam melihat reaksi itu.
“Iman ssi… telajak perahu boleh diundur, tapi telajak kata tak boleh ditarik balik. Awak sanggup terus hidup bersama saya walaupun terpaksa hidup bermadukan… he… he…he…,” tutur Yen menimbulkan kecelaruan.
“Mwo (apa)?” soalku terlopong. Aku menatap wajah Yen yang sedang tersengih panjang.
“Jang Geun Sik….! Awak tipu saya…!” Jeritku sekuat hati. Pupp! Tanpa dirancang tanganku sudah hinggap di lengan Yen.
“Aduuuhhhhh…!” Yen terjerit kesakitan. Wajahnya berkerut menahan sakit. Lengannya merah. Aku menutup mulut tatkala menyedari tindakan kasarku itu.
“Sakit? Sorry… Sorry… Sorry…Saya tak sengaja,” tuturku seraya mengusap-usap lembut lengan Yen yang kemerahan-merahan itu. Segalanya berlaku sekelip mata. Tiba-tiba sahaja Yen rebah di katil. Matanya terpejam kembali dan Yen tidak bergerak-gerak lagi.
“Jang Geun Sik…,” Panggilku perlahan seraya menepuk bahunya. Statik. Mustahil dia pengsan. Kugegar tubuh pemuda Korea ini. Masih juga tidak bergerak-gerak. Jangan-jangan ada darah beku dalam otak dia akibat hentakan yang kuat tadi.
“Yen Aieqel Shuien…!” suaraku bergema lagi. Tubuh Yen kugegar mahu mengejutkannya. Aku mahu dia membuka mata semula. Senyap. Aku masih menatap Yen. Lantas kuletakkan telunjuk di di lubang hidung. Tiada hembusan nafas. Kuperhatikan dadanya. Tidak berombak lagi.
“Jang Geun Sik….bangun…!” panggilku. Tiada reaksi yang ditunjukkan. Betulkah Yen sudah tidak bernyawa lagi. Aku tidak cukup kuat. Lalu berpaut pada birai katil. Akhirnya aku terjelompok ke lantai bersama tangisanku.
“Iman ssi…,” sayup-sayup aku dengar suara yang memanggilku. Kutoleh ke muka pintu. Tiada sesiapa di situ. Bingkas aku bangun. Aku terkedu menatap Yen sedang tersenyum kepadaku.
“Awak ni kan…,” ujarku geram dan sakit hati.
“Jangan...! Sakit…!!” laung Yen menegah sebelum sempat tanganku hinggap di tubuhnya. Aku mematikan niat hendak memukul Yen. Pukulan tanganku sebentar tadi sudah cukup menghukumnya. Aku mengetap bibir menahan geram dan marahku lantaran dipermainkan olehnya. Namun melihat senyuman di bibir Yen sudah cukup membahagiakan hatiku.
“Terima kasih Allah, Engkau masih memberi peluang kepadaku untuk bersama pemuda Korea ini,” bisik hati kecilku sambil saling bertentangan mata dengan Yen. Lama.
No comments:
Post a Comment