Sunday, 12 February 2012

Nazar Kasih



‘NaZar KaSih’
Aku ketawa memerhatikan gelagat Faid. Tidak pernah hilang tabiatnya itu. Dia nampak termegah – megah. Amni di sebelahku hanya geleng kepala.
“Tak elok kau buat macam tu, Atie” tegurnya kurang senang. Aku hanya senyum.
“Dia tu penakut sangat. Barangkali dia tengok muka Miza tu macam hantu sebab tu lari lintang – pukang” ujarku penuh janggal.
“Hai...., tak faham betullah aku dengan perangai kawan kita seorang tu” tambahku dengan keluhan sambil geleng kepala.
“Memang sejak dulu dia macam tu” jelas Amni.
“Kau tak rasa pelik ke dengan perangai dia tu?” soalku.
“Buat apa nak hairan, dia dibesarkan dalam dunia lelaki. Mana ada masa dia nak mengenali perempuan” cerita Amni selaku orang yang lebih memahami dan lebih mengenali Faid.
“Kalau macam tu situasinya, sepatutnya dia lebih gentleman dan gagah. Tak pun boleh membentuk dia menjadi buaya darat he... he.... he...” bidasku.
“Perangai manusia nie pelbagai ragam, ada pro dan kontranya. Mungkin itu kelemahan Faid” ujar Amni masih lagi membela sahabatnya itu.
Anak mataku masih menatap Faid di depan sana yang kelihatan keletihan. Maklumlah baru lepas menamatkan larian pecut 100 meter gara – gara mahu melarikan diri daripada Miza.
“Ita, Fiad nak jumpa kau!” laungku kepada gadis yang sedang melewatiku.
Ita salah seorang gadis yang meminati Faid di kampus ini.
“Betul ke?” soalnya nampak teruja. Aku mengangguk.
“Tu dia” beritahuku sambil menunding jari ke arah pemuda itu. Ita terus sahaja mendekati Faid.
“Dahlah jangan mainkan Faid tu lagi” tegur Amni tidak setuju.
“Tengok.... tengok  tu!” beritahuku.
Aku ketawa lagi. Ketawaku semakin melarat melihat gelagat Faid yang melucukan itu. Memang sahih, dia betul – betul takutkan perempuan. Seperti lipas kudung dia berlari meninggalkan Ita yang nampak kematian akal di situ.
“Ita, pergilah kejar. Dia tu malu kat kau tau!” laungku.
“Dahlah tu” tegur Amni lagi.
Aku mengurut – urut dadaku. Terasa letih juga asyik ketawa. Perangai Faid itu betul – betul melucukan aku.
“Seronoklah kau tu dapat sakat Faid”. Aku terus senyum. Tingkahlaku Faid sekurang – kurangkannya menghiburkan aku.
“Kalaulah Faid terus macam tu, agaknya seumur hidup nie pun dia takkan kahwin” putusku memberikan kesimpulan atas tingkahlakunya itu.
“Kalau takde orang nakkan dia, kau jelah yang kahwin dengan dia nanti” syor Amni mudah.
Aku ketawa lagi. Tidak dapat aku bayangkan jika bicara Amni menjadi kenyataan. Memang aku akui dia seorang yang kacak. Kalau tidak masakan ramai gadis meminatinya dan masakan semudah itu mereka patuh dengan bicaraku sedangkan mereka sudah cukup kenal dengan perangai Faid. Cuma mereka saja ingin mencuba nasib. Rasanya mereka sendiri juga yang berkeinginan untuk menemui anak muda yang sangat pemalu itu. Faid ibarat semalu. Sensitif sangat tidak boleh ketemu dengan kaum Hawa. Bolehlah dikatakan penyakit alahan perempuan. Ha! Ha! Ha!

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Aku melangkah ke kafeteria diiringi oleh Yati dan Sitah. Perbualan rancak kami tiba – tiba saja terhenti. Pandanganku tertumpu kepada seorang anak muda yang duduk bersendirian di hujung sana. Dia cuba berselindung daripada pandangan orang lain, terutama dari pandangan kaum Hawa. Kupandang Yati dan Sitah sambil beri isyarat. Mereka tersenyum sambil mengangguk. Otak nakal kami mula berfungsi. Nampaknya Faid akan jadi sasaran sebentar tadi.
“Jom....” ajakku.
Langkah kami semakin mendekati Faid yang sedang leka melayan seleranya. Khusyuk dan penuh berselera. Langsung tidak pedulikan keadaan sekelilingnya. Langkah kami semakin mendekati Faid yang masih leka menjamu seleranya.
“Hai, Faid!” sapaku sambil menepuk bahunya.
Dia tersentak. Aku terus saja duduk di sisinya. Yati dan Siitah duduk di hadapannya sambil tersenyum menggoda menongkat dagu sedang menatapnya. Pandangan kami sepenuhnya jatuh kepada anak muda ini membuatkan Faid jadi tidak keruan. Aku tertawa kecil melihat tangannya terketar – ketar malah kelihatan peluh dingin di dahinya.
“Aa... apa hal!” soalnya gagap tanpa memandang kami.
“Alah ... kalau nak cakap tu tengoklah kat sini” usik Yati.
“Sejak bila pula kau gagap nie?” usikku pula.
Aku tersenyum meleret melihat tangannya masih bergetar memegang gelas itu. Yati dan Sitah terus memerhatikannya.
“Tangan kau terketar – ketar. Kau sakit?” soalku terus mengusiknya.
Faid geleng kepala. Yati dan Sitah menggigit bibir menahan tawa.
“Hati – hati nanti terlepas gelas tu” tegus Sitah.
“Aku pergi dulu ada hal” ujarnya tiba – tiba lalu bangun meninggalkan kami di situ. Langkahnya begitu pantas.
“Hey, Faid, air dan kuih kau belum habis lagi nie!” laung Sitah.
Dia langsung tidak menoleh. Kami ketawa gelihati. Kasihan Faid sekali lagi dia menjadi mangsa usikan kami.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@   

Aku meletakkan buku di depanku. Anak mataku liar menatap sekeliling. Betapa bosannya!
“Kenapa kau suka sangat sakat Si Faid tu?” suara Amni memecah kesepian. Aku menoleh ke arah Amni yang baru sahaja muncul lalu melabuhkan punggung di sebelahku.
“Dia ada cerita kat kau ke pasal semalam tu?” soalku semula. Amni mengangguk membuatkan aku tersenyum lebar.
“Kau belum jawab lagi soalanku tadi” ujarnya memperingatkanku.
“Sebab dia tu penakut sangat kat perempuan” balasku selamba.
“Apa dia cakap kat kau?” soalku lagi.
“Macam mana kau buat semalam tulah cerita dia” balas Amni memaksa aku mengimbau hal semalam. Aku tersenyum sendiri. Kejadian semalam menerjah
kembali ruang ingatanku.
“Kau tahu tak kenapa dia jadi macam tu?” soal Amni.
Aku menatap Amni. Rasa tidak sabar ingin tahu penyebabnya. Setahu aku sebelum ini Amni kata dia jadi fobia di depan perempuan sebab Faid dibesarkan dalam lingkungan lelaki sahaja hingga membentuk dirinya sukar untuk bergaul dengan kaum Hawa.
“Semua nie ada kaitan dengan kau tau”
“Aku?” soalku hairan. Amni mengangguk lagi.
“Sebenarnya dia sukakan kau”
“Apa!”
Sekali lagi aku terkejut. Aku terus saja ketawa. Ketawaku semakin berlanjutan. Terasa lucu dengan kenyataan yang baru saja kuterima ini.
 “Aku serius nie tau” ujarnya cuba meyakinkan aku. Aku ketawa lagi. Apa dia ingat aku ini mudah percaya cakap orang.
“Atie....” keluhnya.
“Yalah .... yalah tu” sahutku dengan senyuman yang tidak sudah – sudah.
“Alaa... lupakan je apa yang aku cakap tadi tu” rajuk Amni.
Aku mengurut dadaku. Terasa semput nafasku gara – gara banyak sangat ketawa. Kutatap Amni.
“Dah habis ketawa tu” rungutnya.
“Kau nie betul – betul buat aku rasa lucu”
“Alaa..., kau nie memang tak pernah percaya kat aku” ujarnya separuh merajuk. Kuhabiskan sisa – sisa tawaku.
“Kau tu suka sangat cakap yang pelik – pelik”
“Anggap je cakap aku tu gurauan tapi macam mana kalau perkara nie suatu kenyataan?”
Sedikit serius wajah Amni menatapku. Aku tersenyum panjang. Semua itu tidak akan berlaku.
“Mustahil! Semua tu takkan berlaku”
“Sekiranya....” Amni masih berdegil untuk mendengar jawapanku.
“Aku tak terfikir langsung. Mungkin diam saja” balasku.
“Kita tau tak berdiam tu maksudnya suka. Mak aku kata perempuan zaman dia dulu kalau dipinang orang diam, itu maknanya suka” terang Amni.
Aku ketawa lagi. Itu zaman dahulu bukannya zaman sekarang. Diam itu banyak maknanya. Diam kerana tidak mahu mengecilkan hati orang lain. Diam kerana tidak yakin dengan diri sendiri. Diam kerana ketandusan idea untuk berbicara. Ada bermacam – macam lagi makna di sebaik tingkahlaku DIAM itu. Aku ketawa lagi.
“Aku dah biasa dengar semua tu” balasku lalu mengemaskan buku – bukuku.
“Faid tu boleh tahan juga” puji Amni memancing perhatianku.
“ Kalau kau jumpa dia beritahu aku kirim salam. Suruh dia bersedia sebab bila – bila masa saja aku akan sakat dia lagi” ujarku lalu bangun untuk pergi.
“Esok jangan lupa bawa nota tu” tambahku.
Amni mengangguk faham.
“Aku suruh Faid serah nota nie kat kau nanti”  
Tersenyum panjang aku mendengar nama itu.
“Aku tunggu ketibaannya, okey” balasku.
“Kau tak caya?”
“Okey, aku pergi dulu. Bye...”
Kutinggalkan Amni yang tidak sudah – sudah dengan khayalannya. Dia ingat Faid itu akan merealisasikan impiannya itu. Aku cukup kenal dengan Faid. Pemuda yang tidak punya keberanian dan keyakinan berhadapan dengan perempuan.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Lama juga aku terpacak di sini macam tunggul kayu memerhatikan sekeliling. Pelbagai ragam yang dapat kusaksikan. Yati dan Sitah yang kutunggu – tunggu belum muncul lagi. Anak mataku terus liar mencari kelibat mereka. Tiba – tiba aku terpandang anak muda yang tidak asing di mataku. Langkahnya semakin pantas dan seolah – olah langkah itu bergerak mendekatiku. Pasti. Mustahil pula dia hendak mendekati mautnya. Aku teringatkan kata – kata Amni. Faid yang berada beberapa meter dariku tersenyum. Mustahil. Agaknya aku bermimpi di siang hari.
“Hey...!”
Aku tersentak. Pantas aku berpaling. Yati dan Sitah sudah berada di depanku, mengambil tempat duduk masing – masing.
“Apa yang kau tengok tu?” tanya Sitah.
Aku berpaling semula. Faid sudah lenyap. Kukesat beberapa kali mataku. Rasanya aku tidak silap tengok tadi. Memang Faid yang tersenyum kepadaku tadi. Tiba – tiba saja aku tersenyum sendiri. Terasa ada lucunya. Aku yakin memang dia yang aku tengok tadi. Barangkali dia sudah berselindung daripada penglihatan kami.
“Kenapa?”
“Aku tengok Faid tadi. Aku ingat dia nak jumpa aku” ceritaku.
“Jangan nak mimpilah”
Sitah mengetuk kepalaku seolah – olah menyedarkan aku dari mimpi. Aku tertawa gelihati. Yalah agaknya aku bermimpi.
“Jom, kita dah lewat nie”
Kami terus melangkah. Namun aku masih sempat menoleh ke belakang. Mana tahu Faid masih berada di situ.

“Ada tak Faid hantar nota kat kau semalam?” soal Amni.
“Kau ingat dia tu berani nak jumpa aku” perliku.
Amni terdiam. Kedengaran dia merungut seorang diri.
“Apa yang sedang kau fikirkan tu?” soalku.
“Tak delah”
“Jom....”
Aku dan Amni terus melangkah.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

“Atie....”
Aku tersentak menatap wajah itu. Betul – betul tidak menyangka dia akan berdiri di depanku tika ini. Ahh, barangkali aku bermimpi lagi! Kutepuk – tepuk pipiku. Terasa sakit. Sah aku masih sedar untuk memungkinkan aku sedang bermimpi atau berkhayal. Memang Faid betul – betul sedang terpacak di depanku sekarang.
“Atie, are you okay?” soalnya sekaligus mensahihkan kewujudan di sini.
Aku terkejut sekali lagi. Dia langsung berbeza dengan orang kukenali selama ini. Faid sudah pandai berbicara dengan lancar.
“Kau tak kenal aku ke?” soalnya lagi.
“Bu.... bukan” suaraku terputus – putus.
Ahh, kali ini aku pula yang gagap!
“Kau nie Faidkan?” soalku dungu sambil garu – garu kepala.
Dia tersenyum. Perangai Faid tiba – tiba sudah berubah. Dia tiada lagi perasaan takut untuk berhadapan denganku. Bahkan dia menjadi seorang pemuda yang berkeyakinan tinggi. Betul – betul telah menakjubkan aku.
“Yalah. Kenapa? Kau tak kenal dengan aku lagi ke?” soalnya lagi.
 “Kau... kau dah tak...” suaraku masih tersekat – sekat.
“Tak delah” laju saja dia memintas bicaraku.
Faid terus saja duduk di sisiku yang masih belum pulih dari rasa terkejut.
“Kau dah jadi pendiam, Atie?” soalnya ramah.
Aku menatap wajah itu mencari sesuatu. Dia benar – benar nampak lelaki sejati yang penuh karisma, keberanian dan keyakinan tidak seperti sebelum ini. Terlalu berbeda dengan perangai Faid yang kukenali selama ini. Mungkinkah ini kembar seiras Faid yang menggantikan tempat Faid. Justeru, memegang watak Faid untuk membela kembarnya yang selama ini seringkali dibuli olehku.
“Kenapa? Cakaplah sesuatu” pintanya.
Kelu lidahku hendak bersuara. Diamku berterusan. Perubahan dirinya ini tentunya satu kejutan yang maha besar padaku.
“Kenapa tiba – tiba saja kau jadi terlalu peramah?” soalku.
Akhirnya terkeluar juga suaraku. Faid tersenyum. Pertanyaanku tidak dijawab. Sebaliknya dibiarkan berlalu bersama kemusykilan yang bersarang di kepalaku. Musykil dengan perubahan sikap pemuda ini.
“Sebenarnya aku nak serahkan nota nie kat kau. Dah lama aku pegang” ujarnya tersenyum lagi sedangkan aku terus – terusan kematian akal.
“Maaf ye buat kau tertunggu – tunggu” tambahnya lagi lalu meletakkan nota itu ditanganku.
Sepi seketika. Aku masih lagi terpaku macam manusia kena sihir. Lambat – lambat aku dengar keluhannya tercetus.
“Berpeluang berdua – duaan begini aku harap kau jadi diri kau seperti yang aku kenali seorang yang kuat menyakat. Aku ingin berbual panjang dengan kau. Aku tahu kau belum cukup mengenaliku” luahnya perlahan tapi amat teratur.
Kutatap wajah itu. Dia tersenyum.
“Sebenarnaya aku tak pasti sama ada Faid betul yang berhadapan denganku tika ini. Setahu aku sikap Faid tak macam nie” balasku meluahkan kekeliruan diri disambut dengan ketawa kecilnya.
“Kan aku dah kata kau belum cukup mengenaliku” ulangnya.
“Kenapa kau tak takut kat aku lagi?” soalku macam orang bodoh.
“Kan aku nie perempuan” tambahku lagi seraya mencari satu kepastian.
“Rasanya kau bukan perempuan seperti mereka”
“Maksud kau?”
Aku terkeliru. Faid masih tidak lekang dengan senyumannya. Kali ini baru aku berkesempatan menyaksikannya. Senyuman yang terukir di bibir Faid tampak indah menawan. Sedikit menggetarkan jiwa wanitaku.
“Berdepan dengan kau seolah – olah aku tak berdepan dengan seorang gadis. Barangkali tingkahlaku kau tak seperti perempuan lain dan yang pasti kau takde perasaan kat aku” terang berjela.
Aku tertawa. Langsung tidak berkecil hati dengan bicaranya itu.
“Barangkali aku terlalu rapat dengan Amni” balasku pula dengan andaianku. Setahuku Amni adalah satu – satunya kaum Hawa yang boleh berkomunikasi baik dengan Faid. Mungkin kerana keakrabanku dengan Amni membuatkan sikapku seolah – olah menyerupai sikap Amni. Justeru, Faid beranggapan demikian. Dia melihat aku seperti mana dia melihat Amni. Kesimpulannya, dia boleh berhadapan denganku tika ini seperti dia berhadapan dengan Amni.
“Mungkin juga” sokongku mengesahkan bicara hatiku sebentar tadi.
“Kalaulah kau terus bersikap macam nie, kan elok. Kau berkesempatan untuk mengenali perempuan lain. Aku yakin suatu hari nanti, kau juga perlukan perempuan dalam hidup kau” nasihatku.
Faid geleng – geleng kepala. Barangkali pendapat kami bercanggah dalam hal ini.
 “Kenapa? Kau bencikan perempuan ke?” soalku bertalu – talu.
Aku takut dia pernah kecewa dengan cintanya lalu bersumpah untuk tidak mendekati perempuan lagi. Bukankah perkara macam ini seringkali terjadi. Trauma cinta yang menjerat hati seseorang lalu menghalangnya menjadi pencinta.
 “Aku perlu selesaikan satu perkara” jawapannya masih kabur.
“Apa dia? Perlu ada sesuatu syarat yang wajib dipatuhi?’ soalku benar – benar ingin tahu.
Kali ini dia mengangguk pula. Aku teruja. Pasti kisah Faid ini kisah yang unik dan istimewa.
“Kau ada tuntut ilmu ke sampai ada syarat yang perlu dipatuhi?” soalku kebinggungan.
Faid tertawa. Setahu aku hanya orang yang menuntut ilmu batin saja yang perlu mematuhi pantang larang yang disyaratkan oleh tok guru.
“Itu janji aku pada Allah. Nazar. Suatu munajat kasih” balasnya menambah kekeliruanku.
Cehwah....! Macam berfalsafah pula pemuda ini. Pening kepala memikirkan bicaranya itu.
“Cakap biar jelas” tegurku.
  “Kau sedarkah sekarang?” soalku lagi cuba mempastikan kestabilan dirinya. Dia mengangguk.
“Aku masih waras” jawabnya selamba.
“Aku harus berhati – hati dengan janji itu” tambahnya.
“Susah betul nak faham dengan kau nie” keluhku.
“Kan aku dah cakap tadi kau belum memahamiku” ujarnya tersenyum.
Aku diam. Kulontar pandanganku ke hadapan. Tiba – tiba sahaja mataku terpandang Yati dan Sitah di hadapan sana. Tentunya mereka juga ingin melihat perubahan drastik sikap Faid ini. Langkah Yati dan Sitah semakin dekat.
“Tengok tu mereka. Aku panggil ye.... Sitah! Yati! Mari ler ke sini!” laungku penuh bersemangat kerana ingin membuat kejutan besar kepada mereka.
Sitah dan Yati memberikan respons yang baik. Aku berpaling ke sisiku. Tersentak aku tatkala mendapati Faid sudah lesap. Aku terfikir sesuatu. Betulkah Faid yang berbual denganku sebentar tadi atau...........? Terasa tegak bulu romaku. Tidak mungkin suatu yang mistik pula. Aku begitu pasti Faidlah yang berbual panjang bersamaku sebentar tadi.
“Apa hal kau duduk sorang – sorang kat sini?” soal Yati lalu melabuhkan punggungnya di sebelahku menggantikan Faid.
  “Aku tengah bercerita dengan Faid tadi. Ingatkan nak buat surprise kat kamu tadi” ceritaku sedikit kecewa kerana hajat hati tidak dapat dipenuhi.
“Jangan nak mimpi ler Yatie” omel Sitah.
“Betul ler aku tak bohong” balasku bersungguh – sungguh cuba meyakinkan mereka.
Liar anak mata mereka memerhatikan sekeliling. Mungkin sedang mencari kelibat Faid sekaligus membuktikan bicaraku.
“Mana dia?” soal Yati pula.
“Tuler yang buat aku hairan. Tadi dia duduk kat sini” beritahuku lagi.
“Hey, cakap biar betul”
Sitah dan Yati berpandangan. Kemudian menatapku pula.
“Kau betul – betul yakin?”
Aku mengangguk.
“Jangan – jangan .... Hey....... ngeri aku nak sebut”
“Alah.... agaknya kau mimpi tak!”
Aku diam. Mana mungkin aku bermimpi ketika mata terbuka luas. Tidak logik betul bicara Yati itu. Lagipun ketika aku menemui dan berbual panjang dengan Faid tadi, aku sudah pastikan yang aku betul – betul sedar.
“Dah ler jangan fikirkan sangat perkara tu” putus Sitah.
“Jom kita pegi minum” ajak Yati sekaligus menutup topik bicara kami.
Aku bingkas bangun lantas mengekori langkah Sitah dan Yati. Fikiranku masih berkecamuk. Aku tidak percaya makhluk lain yang berbicara denganku tadi kalau bukan Faid. Aku nekad. Aku mesti cari Faid. Satu penjelasan amat diperlukan daripada anak muda itu.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Aku bergegas mendapatkan Amni di bawah pokok sana. Dia tersenyum menyambut kedatanganku.
“Mana Faid?” soalku belum sempat duduk lagi.
Amni kehairanan menatapku. Agaknya dia juga fikir aku sedang bermimpi seperti yang disangka oleh Yati dan Sitah.
“Mana Faid?” kuulangi lagi soalan itu.
“Faid?” soalnya semula.
“Ya. Aku sedang cari Faid nie” tegasku.
Aku tidak mahu bersoal – jawab seorang diri lagi. Aku inginkan kepastian. Paling penting aku tidak terfikir yang aku ini gila.
“Faid ada kuliah sekarang”
Aku terus duduk. Kulepaskan keluhanku.
“Apa halnya? Penting sangat ke?” soal Amni.
“Aku nak jumpa Faid”
Masih juga aku utarakan hajatku itu.
“Aku rasa hari nie kelas dia penuh. Kalau kau nak jumpa dia waktu lunch nanti” cadang Amni.
Waktu makan tengah hari tidak boleh sebab lepas makan dan solat Zohor, aku ada diskusi kumpulan. Aku harus berada di kelas lebih awal daripada masa yang ditetapkan.
“Tapi dia berani ke nak jumpa kau?”
Aku menatap wajah Amni. Pertanyaannya itu membuatkan aku berfikir seketika. Kalau dia tidak berani jumpa aku, maknanya orang yang berbual denganku tempoh hari bukan Faid.
“Atie, kenapa nie?”
Aku tersentak. Amni sedang menatapku. Dia nampak hairan.
“Apa yang berlaku? Ada hal penting ke kau nak jumpa Faid?” soalnya bertalu – lalu.
“Takde ler. Saja nak jumpa dia” ujarku berdalih.
Amni tersenyum.
“Kau nie buat aku cemas je” luahku.
“Tak pelah. Hari nie aku rasa tak de mood pula. Aku nak baliklah dulu” putusku lalu bangun meninggalkan Amni di situ.
  Tidak sempat aku melihat reaksinya. Aku yakin dia pasti tertanya – tanya akan sikapku hari ini.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Aku betul – betul terkejut bila ada tangan menyentuh bahuku. Aku menoleh. Sekali lagi aku terkejut. Kutatap lama wajah yang sedang tersenyum kepadaku ini. Ahh, apakah kali ini aku juga bermimpi?
“Are you okay?” suaranya lembut menyapaku.
“Betul ke awak nie Faid?” soalku kebinggungan.
Dia mengangguk. Nampak dia keliru dengan pertanyaanku itu.
“Kau bukan orang lain yang menyamar sebagai Faid?” soalku lagi.
“Apa yang kau cakap nie, Atie?” soalnya sambil tertawa kecil.
Aku teliti wajah pemuda yang sedang terpacak di depanku ini. Ada lurah di bawah hidungnya. Orang kata kalau tiada lekuk itu maknanya bukan manusia.
“Kau tak kenal aku lagi ke?”
“Betul kau Faid?” ulangku bertanya.
 “Ya” suaranya ditekan cuba meyakinkan aku.
Aku diam lagi. Nampaknya aku mula terkeliru antara kenyataanku dengan kata – kata Yati, Sitah dan Amni.
“Amni kata kau nak jumpa aku” suaranya memecah kebuntuanku.
Sekarang aku betul – betul yakin dan percaya dia memang Faid. Budak misteri yang memeningkan kepalaku untuk berfikir.
“Apa hal kau nak jumpa aku?” soalnya.
“Betulkan kau yang berbual dengan aku tempoh hari?”
Aku tidak membuang masa lagi. Terus saja aku menyoalnya. Dia mengangguk.
“Kenapa kau tiba – tiba je lesap hari tu?”
“Aku ada nazar. Nazar yang sedikit pelik kerana selalunya orang bernazar akan melakukannya selepas apa yang dinazarkannya termakbul tapi  cara aku nie lain sikit. Aku membayar nazar tu dahulu agar impianku itu akan mudah terkabul” balasnya menambah kekeliruanku.
Rasanya bukan ini jawapan yang aku inginkan.
“Aku rasa kau nie betul – betul pelik. Kau nie datang dari planet apa?” soalku geram. Faid tersengih.
“Kan aku pernah cakap dulu yang kau belum memahamiku”
Dia masih mengulangi bicaranya itu. Pening! Pening! Betul – betul menyesakkan kepalaku.
“Memang ler aku tak faham tapi janganlah kusutkan fikiranku ni. Aku keliru tau” keluhku dengan perasaan yang menebal.
Aku mengeluh lagi.
“Maafkan aku” ujarnya tiba – tiba dengan wajah mendungnya.
“Kau tak de buat salah cuma..... ahh, aku pun tak tahu nak cakap apa”
  Aku benar – benar telah kematian akal. Mindaku buntu. Tidak kusangka hal ini akan menjadi begitu rumit dan serius malah menjadi masalah berat buatku.
“Atie....!”
Aku menoleh. Yati dan Sitah semakin dekat denganku.
“Hey.... Faidlah”
“Atie, aku pergi tandas” tiba – tiba saja dia mengundur diri.
Aku tidak sempat lagi menahan langkah Faid. Yati dan Sitah sudah berada di sisiku. Pandangan mereka hanya mampu menyoroti langkah Faid yang
semakin menghilang.
“Hey, Faid tu nak pergi mana?” soal Sitah.
“Betul ke dia tu Faid?” soal Yati seakan tidak percaya dengan pandangan matanya tadi.
“Dia nak pergi tandas. Kejap lagi dia datanglah balik kat sini”
“Aku tak silap tengok tadikan?” soal Yati meminta kepastian.
Aku mengangguk. Seketika kami menanti kemunculan Faid semula. Kulirik jam ditanganku. Sudah 15 minit berlalu. Yati dan Sitah menatapku.
“Lama betul dia kat tandas tu” omel Yati.
Aku diam. Tidak berminat untuk mencelah bicara itu. Kutatap jam lagi. Kami tetap setia menanti kemunculan Faid di situ.
“Aku rasa dia takkan datang ke sini lagi” putusku.
Yati dan Sitah menatapku.
“Kau betul – betul yakin dia tu Faid?” soal Yati cuba menambah kekeliruan yang sedia ada.
“Apa yang kau tengok tadi tu bukan muka Faid ke?” soalku semula.
Yati diam.
“Aku tak nak fikirkan perkara nie lagi. Sama ada dia Faid atau bukan, aku tak kisah. Yang penting aku tak nak perkara nie jadi masalah kat aku” putusku dengan perasaan yang geram lalu melangkah meninggalkan mereka.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Aku menatap wajah itu. Aku sudah mengambil keputusan untuk tidak membebankan fikiranku lagi.
“Aku tahu aku telah buat kau terkeliru dan mungkin buat kau sakit hati” keluhnya perlahan.
Aku menatapnya. Faid tunduk.
“Aku tak de pilihan lain”
“Tapi kenapa aku yang jadi sasarannya?” bantahku.
Faid diam. Dia telah mencipta situasi yang begitu merumitkanku. Faid yang kukenali sangat fobia dengan perempuan. Dia tidak boleh duduk tenang di hadapan kaum Hawa. Acapkali melarikan diri bila ada gadis yang cuba mendekatinya. Tiba – tiba Faid muncul di depanku lantas boleh berbicara panjang denganku. Namun Yati dan Sitah begitu asing padanya. Lantas Faid mencipta satu delima buatku.
“Kenapa?” ulangku.
“Sebab aku suka dan sayangkan kau”
Aku terkejut untuk sekian kalinya. Permainan apakah ini? Barangkali Faid ingin membalas dendam kepadaku kerana sikapku selama ini.
“Aku tahu kau takkan percaya tapi itulah hakikatnya” tegasnya cuba meyakinkan aku.
Aku tetap diam.
“Mungkin kau rasa semua nie tak masuk akal tapi aku betul – betul ikhlas. Dari dulu sudah aku menyimpan perasaan terhadapmu. Tanpa pengetahuan kau, aku mengikuti setiap perkembangan kau. Aku beruntung kerana Amni rapat dengan kau. Semua nie memudahkan aku mengenalimu dalam diam”
Mulutku tetap terkunci. Apa yang pernah aku katakan pada Amni benar – benar berlaku. Kutatap wajah Faid. Dia begitu serius.
“Aku tahu untuk memiliki hatimu bukannya mudah. Lihat saja beberapa ramai lelaki yang kecewa setelah cinta mereka ditolok. Justeru, aku bernazar dengan caraku tersendiri. Selagi aku tak berterus – terang dengan kau selagi itu aku takkan pandang dan dekati perempuan lain” cerita Faid.
Aku tersentak lagi. Betulkah dia begitu nekad dengan keputusannya. Faid tersenyum sendiri.
“Amni kata aku gila. Mungkin kau juga akan kata aku gila tapi aku tak kisah semua tu. Bagiku hanya cara itu saja impianku akan terkabul. Aku yakin jika kita bernazar permintaan kita akan lebih mudah diperkenankan olehNya. Tentu kau dah faham sekarangkan?” soalnya tenang.
Faid menatapku. Pantas aku melarikan pandanganku.
“Atie, sudikah kau menerima aku?” soalnya.
Terasa jari jemariku digenggam. Aku menatap Faid. Mulutku masih terkunci rapat. Soalan Faid begitu sukar untuk aku jawab. Apatah lagi kenyataannya itu sangat mengejutkan aku. Akhirnya aku terus diam.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

“Sayang.....!”
Aku tersentak. Mujur gambar ditanganku tidak terjatuh. Aku menarik nafas lega. Kularikan pandanganku dari senyuman Amni.
“Abang nie suka sangat mengejutkan Atie, dari dahulu sampai sekarang tak pernah berubah – ubah” rungutku manja.
Faid tersenyum lalu meletakkan tangannya dibahuku.
“Tengok tu Amni tersenyum tengok Sayang cakap macam tu” ujarnya sambil menunding jari pada gambar itu.
Aku masih ingat gambar ini diambil ketika Faid melafazkan akad nikah di depan ayah sambil diperhatikan oleh saksi – saksi dan para tetamu termasuklah Amni  yang sedang tersenyum. Yati dan Sitah juga sempat melemparkan senyuman kepadaku.
“Mama Zahra nak mandi”
Tiba – tiba muncul puteri comel usia lingkungan 4 tahun di muka pintu. Aku tersenyum menatapnya. Betapa menggunung kasihku kepadanya.
“Alaa........., comotnya anak abah! Kenapa macam nie?” suara Faid beralun lembut.
Faid mendekati anak kecil itu. Aku hanya memerhatikan dengan pandangan penuh kasih sayang.
“Abah, Zahra nak mandi” renggek suara manja itu.
“Jom abah mandikan”
Dikucupnya pipi gebu itu lantas tangannya menggeletek tubuh kecil itu membuatkan suara manja itu bergema menahan geli. Aku terus tersenyum. Rasa bahagia menyelubungi jiwaku. Terima kasih Faid kerana tidak berputus asa untuk memilikku. Terima kasih Tuhan kerana realisasikan impian Faid lantas menemukan aku dengannya. Kemudian lahirlah permata hati kami Nur Zahra Nur Iman. Puteri comel ini adalah lambang kasih dan cintaku dengan Faid.
Sesungguhnya, dunia ini memang dihuni oleh manusia yang punya pelbagai ragam. Justeru, lahirlah juga sebilangan manusia yang punya cara tersendiri untuk memakbulkan impian. Adakalanya cara itu suatu yang pelik dan nampak tidak logik. Itulah pilihan Faid. Dia merealisasikan impian cintanya dengan cara demikian. Kalaulah lebih awal dia punya keyakinan dan keberanian untuk berterus terang kepadaku tidaklah perkara ini memeningkan aku bahkan tidak perlulah dia bernazar sebegitu. Apa – apapun ini adalah cerita sebuah kehidupan. Dalam sebuah kehidupan pasti diwarnai dengan pelbagai cerita yang menjadi pengisi kehidupan.
Aku dan Faid telah melalui beberapa episod sebuah kehidupan.  Munajat Faid untuk menjadi peneman hidupku telah termakbul. Aku bahagia sekarang. Bahagia hidup sebagai isteri Faid. Bahagia menjadi ibu kepada zuriat Faid.

-          TAMAT –




  




No comments:

Post a Comment